BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, December 30, 2008

Cara Penulis Melihat Sesuatu

Puan Jalilah Abdullah, Editor majalah Anis, pulang ke tanah air minggu ini setelah lebih 50 hari bermusafir di Tanah Suci kerana melaksanakan tugas. Kini bergelar ‘Hajah’, beliau menjenguk ke pejabat menjelang waktu Asar tadi.

Fizikalnya sedikit susut kerana melakukan tugas agak lasak sepanjang musim haji. Segera saya teringat kata-kata Hj. Abu Hassan Morad dalam e-melnya dari Tanah Suci sebelum ini: “Kak Jal lasak. Dengan pikul 2-3 kilo beg, dia terpaksa bergerak dari hotel ke hotel. Dah turun badannya.”

“Banyak idea buku yang saya dapat di sana,” ujar Hajah Jalilah ketika singgah di Jabatan Buku yang bersebelahan saja dengan Jabatan Majalah.


“Jangan cakap saja, kena tulis,” usik Puan Suraiya Pauzi, salah seorang editor di Jabatan Buku, dalam nada berseloroh.

“Ya, kena tulis, insya-Allah,” akur Hajah Jalilah.


Penulis adalah manusia yang unik. Antara bezanya penulis dan bukan penulis adalah pada cara dia melihat sesuatu dan keinginannya untuk berkongsi apa yang dilihatnya itu dengan orang lain melalui tulisan.


Apabila melihat dan mendengar tentang sesuatu perkara dan insiden, penulis akan membina persepsinya sendiri. Persepsi inilah yang zahir dalam karya atau tulisannya. Sebab itu, penulis harus banyak membaca, berkongsi pandangan, mengkaji al-Quran dan hadis, mengamal dan menghayati Islam dalam kehidupannya. Semua itu akan membantunya membina persepsi apabila berdepan dengan asam garam kehidupan untuk diterjemahkan ke dalam tulisannya.

Apabila persepsi itu datang dari hati yang jernih dan pemikiran yang jelas, penulis dapat memberi sumbangan besar kepada usaha membangunkan jiwa dan minda umat. Jika sebaliknya, maka natijah sebaliknya pula mungkin berlaku.


Salah satu kekuatan penulisan Hajah Jalilah adalah pada garapan segar kisah-kisah kehidupan dari perspektif Islam, seperti dijelmakan melalui buku ini. Harian Metro mengulas begini: “Buku Alahai Pengantin Baru… ini memang menghidangkan banyak inspirasi kepada pembaca. Lebih menarik lagi, pengkisahan Jalilah bersandarkan perspektif Islam menjadikan buku ini tidak sekadar Chicken Soup versi salinan bahasa Malaysia.”


Dua Kesibukan Yang Mengganggu Kreativiti Penulis

Umumnya, kesibukan bukanlah penyebab, lebih-lebih lagi bukan boleh dijadikan alasan, tumpulnya pena penulis. Tetapi berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan penulis, ada dua kesibukan yang sering mengganggu kreativiti penulis. Pertama, kesibukan dengan kerja mengurus dan mentadbir. Kedua, kesibukan membetulkan tulisan orang lain!

Kesibukan yang pertama sudah saya perhatikan berlaku pada beberapa orang rakan penulis, termasuk Tuan Hj. Abu Hassan Morad, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pengarang Kumpulan GISB. Sewaktu tugas mengurus dan mentadbir masih ada sedikit ‘lompong’, beliau masih dapat menulis sebuah novel apabila pulang daripada musafir ke luar negara atas urusan tugas. Lalu lahirlah antara lain novel Julia, Cinta Madinah, dan Suu Phea.

Selalunya, ‘isyarat’ beliau sedang menulis novel dapat dilihat pada suasana dan ‘mood’ di biliknya. Sewaktu beliau sedang menggarap novel Cinta Madinah selepas pulang dari Tanah Suci beberapa tahun lalu, bayangan watak-watak novelnya ditampal pada kertas manila di dinding biliknya. Melihat guntingan watak-watak dilekatkan pada kertas manila itu, tahulah kami bahawa beliau mempunyai projek novel terbaru.Namun seingat saya, sudah beberapa tahun ini kami tidak melihat adanya ‘isyarat’ itu di bilik beliau.

Lalu saya membuat andaian, kreativiti beliau untuk menggarap karya fiksyen sudah diganggu oleh beban kesibukan kerja mengurus dan mentadbir yang sarat. Pagi ini beliau sempat menjenguk anak-anak buahnya selepas beberapa jam tiba dari Tanah Suci kerana urusan tugas sambil menunaikan ibadah haji kali kedua. Selepas ini beliau akan bertambah sibuk dengan kerja mengurus dan menyiapkan produksi untuk syarikat bersekutu GISB, Layar Consult Sdn Bhd. Beliau juga terlibat menulis skrip.

Kesibukan kedua iaitu kesibukan membetulkan tulisan orang lain, berlaku pada diri saya sendiri sejak sekian lama. Hal ini mula saya sedari ketika saya diserapkan ke meja penyuntingan selepas dua atau tiga tahun berkhidmat di meja wartawan di Bernama kira-kira 20 tahun lalu.

Apabila kita sibuk membetulkan (menyunting) tulisan orang lain, kita akan berasa kurang produktif untuk menghasilkan tulisan sendiri. Akhir-akhir ini perkara itu makin terasa. Selain membetulkan tulisan orang lain, saya juga memberi ulasan dan maklum balas kepada karya yang tiba di meja saya, terutamanya novel, sama ada yang berupa sinopsis mahupun manuskrip lengkap. Penulis bakat baru khususnya, memerlukan ulasan daripada editor untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam karyanya.

Dengan gangguan dua ‘kesibukan’ ini, perlunya penulis pandai mengurus idea adalah sangat mendesak. Pengurusan idea (idea management) sama penting dengan pengurusan masa. Apabila kita dapat mengurus idea dengan baik, langkah seterusnya adalah mengurus masa dengan sebaik-baiknya. Kreativiti kita mungkin terganggu, tetapi ia bukanlah tersekat langsung.

Tuesday, December 23, 2008

Bruce Lee dan Idealisme Karyawan

Mendiang Bruce Lee hanya terjun secara serius ke dalam dunia filem sekitar tiga atau empat tahun terakhir hayatnya. Beliau mati muda dalam usia awal 30-an. Namun, nama beliau terpahat sebagai lagenda yang memperkenalkan kung fu Cina kepada dunia melalui bidang perfileman. Beliau adalah orang pertama yang membuka mata dunia kepada kehebatan kungfu Cina melalui filem-filem lakonan dan arahannya.

Filem-filem yang sempat beliau arah hanya ada beberapa buah tetapi mengatasi kesemua filem box-office Hong Kong waktu itu, termasuk filem masyhur Way Of The Dragon. Memperkenalkan kungfu Cina kepada dunia adalah ‘jihad’ Bruce Lee. Itulah idealisme yang memantapkan filem-filem beliau. Disebabkan kuatnya beliau berpegang kepada idealisme itu, beliau menolak untuk terus membina nama di Hollywood selepas berlakon dalam siri The Green Hornet.
Beliau memilih untuk menghasilkan filemnya sendiri di Hong Kong walaupun beliau lahir di Amerika. Bruce Lee pulang ke Hong Kong dan bekerjasama dengan seorang penerbit filem di sana untuk ‘melawan’ Hollywood dengan berbekalkan idealismenya sebagai pakar kungfu. Beliau hanya bersetuju kembali ke Hollywood melalui filem Enter The Dragon arahan Robert Clouse dengan syarat-syarat yang ketat, termasuk meminta diberi kebebasan mengubah suai skrip dan mengarah babak pertarungan.

Beliau yakin, hanya seorang pakar kungfu sejati saja yang dapat menceritakan dan memvisualkan kehebatan kungfu Cina sebenar. Beliau yakin, pakar itu adalah beliau sendiri. Melalui filem, beliau membawa misi menaikkan kungfu Cina di mata dunia dan beliau berjaya. Misi itu kemudian disambung oleh Jet Li, Jackie Chan, Samo Hung dan lain-lain pakar kungfu (Jackie Chan dan Samo Hung adalah pelakon stunt dalam Enter The Dragon sebelum membina nama sebagai pelakon dan pengarah filem aksi).

‘Jihad’ Bruce Lee adalah memperjuangkan filem kungfu terbaik untuk tontonan masyarakat dunia hingga masyarakat dunia akur bahawa kungfu Cina memang hebat dan no. 1, sampaikan Hollywood sendiri pun banyak menyelitkan elemen kungfu Cina dalam filem-filemnya. Untuk filemnya Way Of The Dragon misalnya, Bruce Lee menulis sendiri skripnya, mengarah, menerbitkannya (melalui usahasama) dan melakonkan watak utama di dalamnya.

Maka, idealisme sebegitulah yang seharusnya ada, malah lebih kuat diperjuangkan, oleh karyawan Muslim. Oleh itu, wajarlah kita menyokong dan mendoakan inisiatif Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) yang terjun langsung ke dalam dunia perfileman kerana memperjuangkan idealisme yang berteraskan Islam dalam pembikinan filem adaptasi Ketika Cinta Bertasbih karya beliau. Idealisme seorang Bruce Lee sudah pun disambut oleh pakar-pakar kungfu selepasnya. Mudah-mudahan idealisme Kang Abik akan disambut oleh karyawan-karyawan muda berjiwa Islam lainnya.

Friday, December 19, 2008

Penulis dan Dunia Yang Dekat Dengannya


Pagi ini saya menelefon seorang calon novelis yang baru saya luluskan proposal novelnya. Penulis dari Segamat, Johor ini menulis tentang kisah pelajar sekolah. Novelnya saya kategorikan sebagai novel inspirasi pelajar. Kekuatan cerita novel ini adalah pada jalinan cerita dan watak. Watak pelajar perempuan bernama Nasuha yang berusia 15 tahun digambarkan secara bersahaja namun ‘hidup’.

Saya ingin mengetahui sedikit latar belakang penulis ini dan kaitannya dengan kisah yang dibentangkan dalam novelnya. Saya rasa tentu beliau dekat dengan dunia remaja, lalu saya bertanya untuk mendapatkan kepastian, “Puan bekerjakah?”

“Ya, saya mengajar,” kata Puan Zurinah Ismail. “Sekarang musim cuti, saya ada banyak masa menulis. Tapi ini baru balik dari kampung bawa anak-anak bercuti,” ujarnya.

Beliau seorang guru. Patutlah beliau dapat mencipta watak pelajar yang ‘hidup’ kerana beliau kenal betul dengan watak-watak itu.

Seorang lagi calon novelis yang sedang saya bina adalah seorang guru di sebuah sekolah menengah di Ipoh. Puan Norehan Mohd Nooh adalah guru bahasa Inggeris. Beliau dapat menggarap dengan baik pergolakan dunia pelajar kerana beliau dekat dengan mereka. Beliau sentiasa berdepan dengan keletah, kerenah dan ekspresi pelajar remaja di tempat beliau mengajar. Watak dan suasana kehidupan pelajar remaja di sekolah dapat beliau gambarkan di dalam novelnya dengan begitu jelas.

Mendiang Enid Blyton, penulis novel kanak-kanak dan novel remaja yang karya-karyanya masih terus diminati itu, juga mempunyai latar belakang sebagai pendidik. Beliau juga dekat dengan dunia remaja atau dunia pelajar.

Benar, apabila kita dekat dengan sesuatu, kita akan berasa lebih mudah untuk bercerita mengenainya. Penulis harus menulis tentang sesuatu yang dekat dengan dirinya supaya lebih mudah dia berekspresi.

Apabila kita mahu menulis kisah pergolakan dunia kanak-kanak tetapi kita tidak dikelilingi oleh suasana kehidupan kanak-kanak, bagaimana hasilnya nanti? Kita hanya akan menulis tentang watak-watak yang kita tahu tetapi tidak kenal.

Sebab itu saya menyarankan kepada calon-calon penulis novel remaja Islami supaya mendekati dunia remaja, memahami psikologi mereka dan menyelami pola berfikir mereka. Apabila kita dapat mengikhlaskan niat untuk membangunkan jiwa remaja ini melalui karya kita, nanti Allah akan bantu kita untuk menyelitkan nilai didikan yang sesuai untuk mereka. Nilai yang disampaikan melalui pendekatan yang mereka boleh terima.

Benar sekali apa yang Rasulullah SAW pesankan, bercakaplah dengan orang lain mengikut kadar akalnya.


Tuesday, December 16, 2008

Cerewet Dengan Fakta

Sewaktu saya bertugas di Bernama, ada seorang penyunting kanan melakukan kesilapan menyunting berita yang dianggap besar. Beliau ‘membetulkan’ ejaan jenama satu produk jamu dari negara jiran yang disyaki bermasalah oleh pihak berkuasa. Beliau terkeliru dengan satu jenama lain yang sebutannya hampir sama, cuma dibezakan oleh satu huruf. Beliau mengubah ejaan jenama itu, lalu ia merujuk kepada jenama satu produk lain yang tidak ada kena-mengena dengan kes yang diberitakan itu.

Kesilapan fakta begini boleh menjejaskan reputasi satu-satu pihak. Malah turut menjejaskan reputasi badan media yang mengeluarkan berita itu.

Seorang penulis bahan berbentuk kewartawanan khususnya, mesti mengambil serius dalam soal fakta. Fakta mesti lengkap, benar dan tepat. Ini soal asas dalam kewartawanan.

Selain wartawan dan penulis, penyunting juga mesti mengambil serius soal ini kerana jika pemberita menulis fakta yang silap, penyunting dapat membetulkannya. Jika penyunting pun terlepas pandang kesilapan fakta pada bahan yang disuntingnya, dia turut bersalah kerana ‘merestui’ kesilapan itu. Malah, lebih buruk lagi, penyunting ‘membetulkan’ fakta yang sudah betul.

Wartawan adalah golongan yang disuruh cerewet dengan fakta. Baik waktu menulis, mengumpul bahan atau menemubual responden.

Ada pengamal media Barat memberi takrif ‘berita’ sebagai “history shot on the wings.” Berita adalah sesuatu yang dalam proses untuk menjadi sejarah. Ini bermakna, berita dan sejarah sama-sama mementingkan fakta.

Cerewet dengan fakta boleh membantu kita menulis (dan mengedit) dengan baik dalam apa bidang penulisan pun. Sebab itu selain bekas wartawan, ramai juga bekas peguam (terutama di Barat) yang berjaya membina nama sebagai penulis. Antara rahsianya, mereka terbiasa untuk cerewet dengan fakta dan mahir mencungkil dan menggunakan fakta untuk menyampaikan sesuatu maksud!

Buku-buku kisah benar (true account) dan biografi adalah antara karya yang meletakkan fakta sebagai asas penting. Buku sejarah sudah semestinya banyak bermain dengan fakta, termasuk buku sejarah kontemporari. Jangan anggap novel juga tidak mementingkan fakta.

Wartawan media Islam harus lebih berhati-hati dengan fakta. Ini peringatan untuk diri saya juga sebenarnya. Saya juga pernah melakukan khilaf dalam soal fakta ini. Jika tidak, masakan saya ditegur kerana silap mengeja Astana Karya sebagai Astaka Karya, serta mengeja ‘coach’ sebagai ‘couch’ dalam entri sebelum ini. Mujurlah saya mempunyai editor tidak rasmi yang membantu saya membetulkan kesilapan saya itu. Siapa lagi kalau bukan anda yang membaca blog ini. (Ini satu sebab yang kuat mengapa setiap penulis mesti percaya kepada editor.)

Friday, December 12, 2008

Sedikit Tentang Mengurus Idea

“Tuan, bagaimana cara mengurus idea?” Ada yang bertanya.
Penulis harus memiliki kemahiran mengurus idea supaya dapat menulis dengan berkesan, khususnya untuk menulis buku atau novel. Tetapi mungkin konsep pengurusan idea (idea management) ini belum begitu difahami berbanding dengan pengurusan masa (time management).

Secara mudah, mengurus idea melibatkan aktiviti mencatat idea, menyimpan idea, mengembangkan dan mematangkan idea, menyusun serta menggunakan idea dalam penulisan. Sebagaimana kemahiran mengurus yang lain, ia memerlukan sedikit teknik atau kaedah.

Mengurus idea yang terbukti berkesan adalah dengan menggunakan pemikiran non-linear. Dalam entri sebelum ini, saya ada berkongsi sedikit maklumat mengenai kaedah yang dinamakan KJ Method. Kaedah ini boleh diaplikasi dalam mengurus idea dengan baik dan berkesan, khususnya untuk menulis buku.

Salah satu ciri dalam kaedah ini adalah mencatat dan menyusun idea secara tidak mengikut urutan atau secara melompat-lompat. Untuk memahami kaedah mencatat idea secara melompat-lompat ini, saya ingin membawa analogi bagaimana al-Quran diturunkan dan disusun.

Memang al-Quran bukan idea manusia tetapi wahyu daripada Allah. Namun dalam sejarah susur galur turunnya al-Quran dan kerja menyusun al-Quran itu, kita mendapat sedikit ilmu yang boleh dikaitkan dengan konsep mengurus idea menggunakan pemikiran non-linear.

Kita tahu al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dalam masa kira-kira 23 tahun. Selain diturunkan secara beransur-ansur, al-Quran juga diturunkan oleh Allah tanpa mengikut urutan sesebuah surah. Jika mengikut urutan surah, tentulah surah al-Fatihah lebih dulu diturunkan, diikuti surah al-Baqarah dan seterusnya sampai surah an-Nas. Kerana itulah tertib susunan surah di dalam al-Quran yang bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Bagaimanapun, Allah menurunkan dulu surah al-‘Alaq iaitu surah ke-96 dalam al-Quran. Manakala wahyu terakhir yang diturunkan adalah surah an-Nasr, surah ke-110, bukan surah an-Nas, surah ke-114 iaitu surah terakhir dalam al-Quran.

Allah juga tidak menurunkan al-Quran mengikut urutan ayat. Jika mengikut urutan ayat, tentulah selepas Allah menurunkan ayat 1-5 surah al-‘Alaq, Allah menurunkan sambungannya iaitu ayat 6-19. Tetapi wahyu kedua yang diturunkan selepas ayat Iqra’ adalah ayat 1-9 surah al-Qalam, surah ke-68 dalam al-Quran. Sambungan surah al-‘Alaq diturunkan kemudian.

Setiap turunnya ayat al-Quran, Nabi SAW menghafalnya dan baginda meminta Sahabat-sahabat menghafalnya. Ada Sahabat yang menghafal sebahagian, ada yang menghafal keseluruhan al-Quran mengikut tertib urutan ayat dan surah yang Nabi ajarkan. Ada Sahabat yang menulisnya menggunakan pelbagai medium seperti pelepah tamar, atas batu dan sebagainya. Bagaimanapun, tulisan ayat-ayat al-Quran waktu itu terpisah-pisah.

Selepas Nabi SAW wafat iaitu pada zaman Sayidina Abu Bakar, barulah al-Quran itu ditulis seluruhnya. Sahabat yang diberi tugas ini adalah Zaid bin Tsabit. Sahabat ini menulis keseluruhan ayat al-Quran di dalam lembaran-lembaran dan kemudian mengikat lembaran-lembaran itu dalam keadaan tersusun menurut urutan ayat-ayat dan surah sebagaimana yang sudah ditetapkan oleh Nabi SAW.

Ertinya, al-Quran diturunkan tanpa mengikut urutan ayat mahupun surah tetapi disusun kemudiannya mengikut tertib susunan yang diberitahu oleh Nabi SAW. Begitulah menurut maklumat yang sampai kepada kita. (Lihat Al-Quran dan Terjemahannya, Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran, Indonesia.)

Salah satu perkara yang kita boleh pelajari daripada proses al-Quran diturunkan yang tidak mengikut tertib urutan ayat mahupun urutan surah itu adalah, begitulah proses tabii atau semulajadi dalam menyusun banyak benda dalam kehidupan kita ini.

Misalnya, apabila kita mengutip bunga-bungaan untuk dijadikan gubahan, kita akan mengutip mana-mana bunga yang dirasakan sesuai dan selepas itu baru kita gubah atau susun mengikut kreativiti kita. Kita tidak akan mengutip bunga mengikut mana dulu yang akan diletakkan di dalam bekas gubahan.

Begitu juga apabila kita mengeluarkan ramuan-ramuan untuk memasak, kita akan keluarkan mana-mana yang sempat dicapai dulu. Kita tidak akan keluarkan mengikut urutan bahan yang hendak dimasukkan dulu di dalam kuali atau periuk.

Apabila kita memotong kain untuk dibuat pakaian, kita akan potong mana-mana bahagian yang dirasakan lebih mudah dipotong dulu, bukannya memotong bahagian yang hendak dijahit dulu. Selepas dipotong-potong mengikut saiz, barulah kita akan susun potongan-potongan itu untuk dijahit.

Demikianlah juga dalam mengurus idea untuk menulis sebuah buku atau novel. Kita akan mencatat apa-apa idea yang terlintas atau yang diperolehi selepas melakukan penyelidikan. Mengikut proses semulajadi, kita hanya perlu mencatat saja dulu dan fikirkan susunannya kemudian. Kita tidak perlu bersusah payah mencatat idea-idea itu mengikut urutan yang betul.

Perkara pertama yang penting dalam mengurus idea adalah mencetuskan satu idea besar. Sebab itu ramai penulis yang dari awal lagi sudah mencari tajuk yang dirasakan sesuai untuk buku atau novelnya. Berdasarkan tajuk itu (walaupun sekadar tajuk sementara atau ‘working title’), penulis sudah nampak apa yang hendak ditulisnya. Dia sudah menetapkan halatuju tulisannya. Dari situ akan tercetus pula idea-idea kecil yang berkaitan dengan apa yang hendak ditulis. Idea besar tadi adalah induk kepada tulisan kita yang kemudian disokong dan dikuatkan dengan idea-idea kecil.

Apabila sudah dikenal pasti hendak menulis tentang apa, perkara kedua adalah mencatat idea secara beransur-ansur dengan tidak mengikut urutan. Penulis akan mula memikirkan idea-idea untuk dimuatkan di dalam tulisannya. Di sini perlunya pemikiran non-linear iaitu cara berfikir yang tidak mengikut susunan yang betul tetapi melompat-lompat. Ibarat hendak membina bangunan tiga tingkat, ia mungkin bermula dengan menyiapkan tingkat dua dahulu. Tidak semestinya disiapkan tingkat satu baru boleh membina tingkat dua.

Di peringkat ini, apa saja idea yang muncul harus dicatat. Idea ini mungkin diperolehi ketika membaca buku orang lain, sewaktu membuat rujukan, selepas berbincang, selepas bertemubual dengan responden, melalui perbualan biasa atau sumber-sumber lain. Ada juga idea yang datang waktu sedang rehat-rehat, sedang memandu, sedang memasak, sedang beriadah dan sebagainya. Pokoknya, semua idea ini harus segera dicatat.

Mencatat segera idea yang datang adalah salah satu perkara penting dalam teknik mengurus idea. Dalam KJ Method, idea-idea ini dicatat dalam kad-kad kecil. Satu kad untuk satu idea. Kad-kad itu dihimpunkan di dalam sebuah bekas. Apabila hendak menulis, kita akan melihat semula kad-kad yang sudah banyak terhimpun itu. Kemudian kita menyusun kad-kad itu mengikut kelompok-kelompok berasingan. Kad-kad yang mengandungi idea-idea yang berkait rapat antara satu sama lain disatukan dalam satu kelompok. Satu-satu kelompok mungkin boleh dijadikan satu bab buku. Atau dua kelompok boleh dicantumkan untuk dijadikan satu bab, bergantung pada bagaimana penulis menyusunnya kemudian.

Sekarang sudah ada komputer. Sebagai ganti kad, kita buka satu fail dalam komputer untuk satu-satu idea yang terlintas. Satu fail untuk satu idea. Fail-fail itu dihimpunkan di dalam satu folder besar (master folder). Satu master folder adalah untuk sebuah buku. Apabila dirasakan sudah cukup idea yang terkumpul untuk dikembangkan menjadi sebuah bab misalnya, kita pun menulisnya. Bab mana yang mahu disiapkan dulu bergantung pada cukup atau tidak bahan idea yang terkumpul.

Begitulah lebih kurang cara mengurus idea menggunakan pemikiran non-linear, khususnya menggunakan KJ Method.

Thursday, December 4, 2008

Kreativiti Mengalir Di Bawah Tekanan

Menjelang pukul 11.30 pagi pada akhir bulan lalu, rakan-rakan di Galeri Ilmu sudah mula berkumpul di tingkat bawah bangunan pejabat Astana Karya untuk meraikan tiga orang rakan yang akan berangkat ke Tanah Suci. Mereka akan melaksanakan tugas sambil menunaikan ibadah haji.

Melihat pintu bilik Pengarah Urusan masih terbuka, saya menjenguk ke dalam. Tuan Hj. Abu Hassan Morad yang akan turut berangkat, masih duduk menaip.

“Cikgu sedang buat artikel ni,” beritahu beliau sambil senyum.

“Artikel apa, cikgu (panggilan mesra di kalangan kakitangan)?” Saya sengaja bertanya walaupun saya sudah dapat mengagak jawapannya.

“Artikel untuk Anis,” balas Hj. Abu Hassan. Hah, beberapa minit lagi hendak berangkat, beliau masih menaip artikel untuk ruangan tetapnya dalam majalah Anis!

Saya kemudian naik ke Jabatan Buku di tingkat 2 Astana Karya. Apabila saya turun semula di tingkat 1 dan menjenguk ke bilik Hj. Abu Hassan, beliau sudah tiada di bilik. Sejurus kemudian saya lihat beliau keluar dari bilik air di surau dan mengambil wuduk. Selepas beliau solat Dhuha dan solat musafir, saya bertanya, “Artikel dah okey, cikgu?”


“Dah, cikgu sudah beri kepada Shimah,” katanya dalam nada lega.

Bagi seorang penulis, kadang-kadang kreativiti lebih mudah mengalir apabila menulis dalam situasi yang agak tertekan. Bahkan boleh dikatakan semua orang yang bekerja dalam bidang yang menggunakan kreativiti mengalami hal yang sama.

Apabila tertekan dengan ‘deadline’, kadang-kadang idea mengalir lebih laju. Dua hari lepas, kotak e-mel saya dimasuki satu e-mel daripada Ustaz Zamri Zainal Abidin yang sudah pun berada di Tanah Suci, juga kerana tuntutan tugas sambil buat haji. Beliau bertolak empat hari sebelumnya. Beliau mengirimkan artikel untuk ruangan tetapnya dalam Anis. Beliau tidak sempat menyiapkannya sewaktu sibuk bersiap-siap untuk bertolak. Saya sangkakan beliau tentu tidak ada masa langsung untuk menulisnya di Tanah Suci. Maklumlah sibuk dengan tugasan baru. Rupa-rupanya kreativiti beliau mengalir di sana. Lebih-lebih lagi di tempat yang berkat.

Saya faham ada segelintir penulis yang tidak suka dihambat oleh ‘deadline’. Tetapi percayalah, ‘deadline’ ini kadang-kadang sangat membantu dalam proses menulis. Oleh kerana penulis sudah disediakan sasaran tarikh untuk menyiapkan tulisannya, maka sibuk bagaimanapun dia akan cuba mengurus masa untuk menulis.

Bekerja dengan hambatan ‘deadline’ juga meletakkan penulis dalam kedudukan memegang janji. Apabila dia bersetuju dengan ‘deadline’ yang diberi oleh editor, bermakna dia sudah berjanji untuk memenuhinya. Dorongan untuk memenuhi janji ini memberi rangsangan yang kuat untuk menulis dan menyiapkan tulisannya dalam tempoh yang dipersetujui.

Ini pengalaman Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku laris Aku Terima Nikahnya:

“… sungguh luar biasa, disebabkan oleh tekanan yang sengaja saya ledakkan kepada diri, hampir 15 artikel baru berjaya disempurnakan dalam tempoh seminggu. Idea datang mencurah-curah dan segalanya dipulangkan sebagai pujian kepada Allah… Dengan bantuan ‘matlamat’ yang spesifik, saya berjaya untuk fokus.”

Beliau berkata, pengajaran yang beliau perolehi adalah, pentingnya seorang penulis untuk belajar bersahabat dengan tekanan.


Monday, December 1, 2008

Islamkah Skrip Filem Apabila Difilemkan?

Minggu lalu saya berbual-bual dengan novelis Kusyi Hirdan dan suaminya Encik Zulkifli. Gembira berkenalan dengan pasangan ini. Selepas berbincang tentang novel, kami bersembang pula tentang pembikinan drama.

Ada sesuatu yang bermain di dalam kepala Puan Kusyi. Sebagai novelis, beliau tentulah gembira apabila ada karyanya mahu diadaptasi kepada drama tv. Dalam masa yang sama, sebagai penulis yang ada prinsip, beliau juga prihatin tentang satu perkara.

Puan Kusyi menyoal, “Apabila karya kita mahu didramakan, adakah kita ada hak bersuara untuk memastikan drama itu tidak lari daripada prinsip yang kita pegang?”

Misalnya, adakah penulis dapat memastikan drama itu mematuhi prinsip ‘shariah-compliant’?

Keprihatinan ini sebenarnya dikongsi oleh ramai lagi penulis yang ada jiwa Islam, lebih-lebih lagi penulis yang ada kesedaran yang tinggi untuk mendidik masyarakat melalui karyanya. Beberapa minggu lalu saya bertemu dengan seorang penulis yang skrip-skrip drama bersiri dan telemovienya sudah banyak diterbitkan. Beliau meluahkan rasa kurang puas hati atas ‘layanan’ yang diberi kepada salah sebuah skrip drama bersirinya yang cuba diberi sentuhan nilai Islam. Nilai Islam itu gagal direalisasikan dalam drama itu.

Penulis-penulis yang prihatin ini mahu menggalas tanggungjawab ke atas impak karya mereka kepada masyrakat. Tetapi siapalah mereka untuk mengatur kerja penerbit dan pengarah. Apabila skrip mereka sampai ke tangan pengarah yang diamanahkan oleh penerbit untuk membuat kerja pengarahan, pandai-pandai pengarahlah untuk menterjemahkan skrip itu kepada medium visual. Jika skrip itu jatuh ke tangan pengarah yang berkongsi rasa prihatin yang sama, selamatlah karya itu. Jika unsur ‘shariah-compliant’ yang dimahukan oleh penulis, itulah yang akan cuba digarap oleh sang pengarah.

Saya berkata kepada Puan Kusyi, “Perkara begini patut awal-awal lagi dibincangkan oleh penulis skrip dengan penerbit. Itu pentingnya dicari penerbit yang ada cita-cita Islam.”

Bagaimanapun, kata saya, kadang-kadang penerbit sendiri hilang kawalan ke atas pengarah apabila mengambil pengarah yang kurang faham akan nilai-nilai Islam.

Saya mengenali seorang pengarah drama yang suka meminta pandangan penulis skrip sewaktu dia mengarah, malah pengarah ini suka jika penulis skrip berada di lokasi. Tetapi pengarah begini tidak ramai. Jarang ada pengarah yang suka penulis campur tangan dalam kerja mengarah.
Inilah sebabnya Habiburrahman El Shirazy sanggup mempelajari ilmu pembikinan filem selepas mendapati novel Ayat-ayat Cinta yang digarapnya kehilangan sesuatu apabila difilemkan.

Kini khabarnya Ustaz Habiburrahman (Kang Abik) sedang memantau pembikinan filem kedua daripada novelnya. Beliau memantau proses pembikinannya dari A sampai Z, hatta ketika memilih pelakon. Beliau sendiri yang mengadakan uji bakat (audition) untuk memilih pelakon untuk filem adaptasi novel dwilogi Ketika Cinta Bertasbih itu. Dan syarat pemilihan itu, antara lain, adalah si calon mesti tahu mengaji al-Quran dengan baik. Sewaktu saya menulis ini, beliau khabarnya berada di Kaherah, Mesir atas urusan pembikinan filem itu.

Kang Abik malah siap mempelajari teknik pengarahan filem. Apabila ada penerbit yang mahu memilemkan novel beliau dan sanggup memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengarah sendiri filem itu, beliau sudah bersedia. Ertinya, beliau bersedia untuk mencorak karyanya secara menyeluruh apabila karya itu dipindahkan dari medium teks ke medium visual.

Oleh itu, apabila seseorang penulis mahu melihat karya bertulisnya kekal mempunyai nilai dan roh Islam ketika didramakan atau difilemkan, dia tidak wajar menyerahkan urusan itu kepada mana-mana penerbit. Dia harus berusaha memilih penerbit yang juga mempunyai cita-cita Islam dan sebaik-baiknya penulis dapat mencadangkan nama pengarah yang dia yakin mampu memindahkan nilai dan roh Islam dalam karyanya ke dalam bentuk visual yang berkualiti.

Ayat-ayat Yang Mengalir Di Bawah Sedar

Apabila seseorang penulis mahu menulis dalam satu-satu genre penulisan, penulis itu mesti membaca banyak buku dalam genre tersebut. Gaya atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan itu akan mempengaruhinya sewaktu proses menulis. Hal ini ada penjelasannya dalam teori psikolinguistik atau psikologi bahasa. Psikolinguistik adalah kajian ke atas faktor-faktor psikologi dan neurobiologi yang membolehkan manusia memperolehi, menggunakan dan memahami bahasa.
Mengikut teori psikolinguistik, bahasa yang didengar atau dibaca akan terakam dalam pemikiran bawah sedar seseorang. Apabila seseorang itu banyak membaca novel, laras atau ragam bahasa novel akan terakam dalam pemikiran bawah sedarnya. Dengan itu, apabila dia menulis novel, ayat-ayat novel akan mudah mengalir di hujung penanya.

Begitu juga apabila seseorang itu banyak membaca buku motivasi atau buku inspirasi maka dia akan mudah menulis menggunakan ayat-ayat motivasi/inspirasi.

Maka untuk menjadi novelis yang baik, penulis mesti banyak membaca novel. Untuk menjadi penulis buku pembangunan diri yang baik, penulis mesti banyak membaca buku pembangunan diri. Untuk menjadi penulis biografi yang baik, penulis mesti membaca buku-buku biografi. Begitulah juga dengan genre-genre penulisan yang lain.

Oleh itu, saranan supaya penulis banyak membaca bukanlah semata-mata kerana membaca dapat menambah pengetahuan. Ia juga disebabkan membaca dapat membantu penulis menguasai dan menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan genre penulisan yang diterokainya.

Apakah ada calon-calon novelis yang tidak rajin membaca novel?

Apakah ada calon-calon penulis buku motivasi atau buku inspirasi yang tidak rajin membaca buku-buku dalam kategori itu?

Apakah ada calon-calon penulis buku bisnes yang tidak rajin membaca buku-buku bisnes?

Apakah ada calon-calon penulis buku seni taman yang tidak rajin membaca buku jenis itu?
Jika ada, nyatalah calon penulis itu belum betul-betul bersedia untuk menulis dalam satu-satu genre penulisan. Dia belum melengkapkan dirinya dengan salah satu ramuan untuk dimuatkan di dalam tulisannya. Ramuan itu adalah variasi atau ragam bahasa dalam genre yang hendak ditekuninya.

Thursday, November 27, 2008

Pentingkah Bakat?

Menulis memang memerlukan bakat. Apabila ada bakat, selalunya lahirlah minat. Dari situ barulah timbul dorongan untuk mengasah bakat yang sedia ada itu. Barulah seseorang itu akan mula menulis.

Aktiviti menulis adalah aktiviti mengasah bakat yang sedia ada itu. Semakin diasah bakat menulis itu, semakin bercambah minat untuk menulis dan terus menulis.

Bagaimanapun, selalu juga bakat itu terpendam. Empunya diri sendiri tidak sedar dia ada bakat. Ada banyak juga kes seseorang itu menjadi penulis secara ‘kebetulan’. Walaupun nampak macam kebetulan, kadang-kadang itulah cara Allah mengatur takdir seorang penulis. Mula-mula timbul dorongan atau rangsangan untuk menulis selepas satu-satu insiden atau situasi. Dia pun bertindak melayan dorongan atau rangsangan itu, lalu mula menulis. Ramai yang ada pengalaman ini.

Seorang rakan penulis dulunya hanya menjadi pembantu kepada seorang penulis. Kerjanya membantu menaip dan menyusun bab-bab untuk manuskrip buku penulis tadi. Akhirnya dia sendiri terdorong untuk menulis. Apabila sudah menulis, dia rasa dia ada bakat menulis. Orang-orang yang rapat dengannya memberi maklum balas yang baik kepada tulisannya. Mereka suka membaca tulisannya. Hal inilah yang menambah lagi minat untuk dia terus menulis.

Bakat (talent) tadi akhirnya bertukar menjadi kemahiran (skill). Lama-kelamaan, selepas diasah terus-menerus, kemahiran menulis bertambah tajam. Apabila si penulis duduk menulis, ‘cair’ sahaja tulisannya mengalir. Mudah sahaja dia mengarang ayat.

Namun, ‘cair’ tulisan itu juga banyak bergantung pada idea. Idea adalah bahan mentah untuk menulis. Idea pula tidak semuanya datang begitu saja. Idea juga perlu diusahakan. Malah dalam banyak keadaan, idea juga perlu disokong. Idea perlu disokong untuk berkembang dan bercambah. Ini memerlukan ramas otak (brainstorming). Idea juga perlu disokong dengan fakta dan maklumat. Ini memerlukan penyelidikan.

Apabila tidak ada sokongan ramas otak dan penyelidikan, penulis mungkin masih mampu menulis dengan ‘cair’ tetapi tulisannya akan tandus. Nilai isi (content value) tulisannya kurang kerana idea yang dimuatkan di dalam tulisnya tidak berkembang, tidak bercambah serta tidak disokong dengan fakta dan maklumat.

Apabila dinisbahkan bakat dengan usaha ikhtiar untuk mengasah dan mengembangkannya menjadi kemahiran, maka tinggallah bakat itu menjadi sekitar 20 peratus saja. Manakala 80 peratus lagi terletak pada usaha mengasah dan mengembangkannya. Barulah seseorang itu dapat menjadi penulis yang baik berbekalkan bakat yang dia ada.

Razzi Armansur berkata, “Bukan semua orang boleh menjadi penulis -- sama dengan bukan semua orang boleh menjadi doktor, guru, penjenayah dan lain-lain lagi.”

Cukuplah Menjadi ‘Coach’ Dulu

“Sekarang sedang menulis buku apa?” soal rakan penulis yang sudah menghasilkan beberapa judul buku dan sering mengadakan bengkel untuk penulis.

Saya menung sesaat lalu berkata, “Belum ada buku. Saya sedang membina penulis.”

Sebenarnya saya ada merancang beberapa judul buku yang saya mahu tulis sendiri. Tetapi entah kenapa, apabila ditanya, saya tidak teringat menjawab begitu. Buat masa ini, saya lebih memikirkan untuk melahirkan penulis. Memang ini tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sejak kira-kira lima bulan lalu. Membina judul-judul buku baru dan melahirkan penulis/novelis.

Ada di kalangan calon penulis yang meminta izin untuk memanggil saya ‘cikgu’. Untuk menjadi guru dalam penulisan, saya rasa macam belum layak kerana saya belum menulis buku. Ada, tetapi buku yang terlalu ringan. Nama saya diletakkan sebagai penulis bersama.

Bagaimanapun, saya berpegang kepada satu keyakinan. Saya yakin dengan sedikit bakat, kemahiran menulis dan pengalaman yang saya ada, saya mampu membimbing calon-calon penulis.

Walaupun saya bukan ‘player’ di gelanggang menulis buku, saya yakin saya boleh menjadi ‘coach’ untuk membantu penulis menghasilkan buku atau novel yang dapat memberi impak tersendiri. Bukankah dalam sukan bolasepak misalnya, ada jurulatih yang bukan tertaraf pemain? Walaupun tidak pernah menjadi pemain yang disegani, dia mampu menjadi jurulatih yang baik. Dia tahu cara dan teknik bermain serta mampu menunjuk ajar pemain. Di bawah bimbingannya lahir pemain-pemain yang baik.

Tun Daim Zainuddin pernah berkata, "Usahawan yang berjaya ialah usahawan yang melahirkan usahawan berjaya." Kang Razzi Armansur, penulis bestseller tanahair, mengaitkan kata-kata itu dengan penulis. Beliau menukar ayat itu begini, "Penulis yang berjaya ialah penulis yang mampu melahirkan penulis yang berjaya."
Lima bulan sudah berlalu. Beberapa manuskrip buku dan novel sudah mula tiba di meja saya, hasil garapan penulis-penulis yang saya bimbing. Saya mula tidak menang tangan. Beberapa manuskrip lagi sedang dalam pembikinan. Beberapa penulis baru bakal lahir dan bakal mencorak persada dunia penerbitan buku kita, insya-Allah. Mudah-mudahan ada saham saya di situ.


Tuesday, November 25, 2008

Apa Kaitan Kelapa Dengan Nyamuk?

Salah satu kemahiran yang harus ada pada penulis adalah kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain. Misalnya, mengaitkan satu ayat Quran dengan satu kisah, atau sebaliknya mengaitkan satu kisah dengan ayat Quran, hadis, syair dan sebagainya. Atau mengaitkan satu hadis dengan satu analogi atau peribahasa.
Satu ilmu dapat dikaitkan dengan satu ilmu yang lain. Satu ilmu juga dapat dikaitkan dengan satu situasi, atau sebaliknya satu situasi dapat dikaitkan dengan satu ilmu. Satu kisah dapat dikaitkan dengan satu rumusan.
Apabila mengupas satu-satu isu misalnya, kita dapat mengaitkannya dengan satu kisah yang relevan atau dengan satu kata-kata hukamak. Untuk meringankan satu perbahasan yang agak berat, kita boleh menggunakan gaya pengkisahan. Mulakan tulisan dengan kisah yang relevan dan kemudian kaitkan kisah itu dengan perkara utama yang hendak dibicarakan.

Mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain ini memerlukan sedikit kreativiti. Namun kreativiti bukan semata-mata soal bakat tapi adalah kemahiran yang dapat dikuasai melalui latihan.

Dalam satu bengkel penulisan yang saya sertai, peserta diminta menyebut kaitan antara penyangkut baju dengan 20 benda yang disenaraikan termasuk bendera, bola golf dan sebagainya. Apa kaitan penyangkut baju dengan bendera? Apa kaitannya pula dengan bola golf? Sekali pandang memang nampak tidak ada kait-mengait. Tetapi dengan sedikit kreativiti, benda-benda itu boleh dikaitkan. Bendera boleh dikaitkan dengan penyangkut baju apabila bendera itu disangkut. Bola golf juga boleh dikaitkan dengan penyangkut baju apabila penyangkut baju itu digunakan untuk meleretkan bola golf. Ini merupakan latihan kreativiti yang dapat mengasah kemahiran mengaitkan satu perkara dengan perkara yang lain.
Apabila menulis karya fiksyen, seperti novel, penulis akan berasa terbantu apabila memiliki kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara lain. Penulis dapat mengaitkan satu subplot dengan subplot yang lain atau dengan plot utama. Atau mengaitkan satu kisah silam dengan kisah yang digarap dalam karyanya. Inilah yang membolehkan Habiburrahman El Shirazy memasukkan adaptasi kisah Zulaikha dengan Nabi Yusuf ke dalam salah satu konflik dalam novelnya Ayat-ayat Cinta.
Penulis juga dapat mengaitkan konflik dengan watak-watak atau plot, mengaitkan satu watak dengan satu watak yang lain, mengaitkan satu bab dengan bab yang lain, mengaitkan permulaan cerita dengan penutup cerita, dan sebagainya.

Selain memerlukan kreativiti, kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain ini juga memerlukan ilmu pengetahuan. Penulis perlu banyak membaca dan menambah ilmu. Barulah dia tahu hendak mengaitkan apa dengan apa. Misalnya, untuk mengaitkan kelapa dengan nyamuk, penulis mesti tahu banyak perkara mengenai kelapa dan kegunaan batang, buah, sabut, tempurung dan umbut kelapa. Penulis juga harus ada pengetahuan mengenai nyamuk seperti tabiat, habitat dan kelemahannya.

Sebab itulah penulis harus memiliki beberapa ilmu bantu. Kemahiran menulis itu sendiri boleh dikuasai melalui latihan demi latihan. Tetapi dalam masa yang sama, penulis tidak harus meremehkan keperluan kepada ilmu bantu.

Ilmu kejuruteraan adalah ilmu bantu bagi seorang penulis. Ilmu guaman juga adalah ilmu bantu bagi seorang penulis. Begitu juga ilmu memasak, ilmu tentang enjin, ilmu sains, ilmu matematik, ilmu perakaunan, ilmu bisnes, ilmu bercucuk tanam, ilmu tentang komputer, ilmu tentang masyarakat dan sebagainya. Atau ilmu hadis, ilmu al-Quran, ilmu tauhid, ilmu tasawuf dan lain-lain. Dengan memiliki ilmu-ilmu bantu ini, penulis akan lebih cekap dan mahir untuk mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain.


Monday, November 24, 2008

“Bacalah karya-karya Kang Abik!”

“Saya sangat menyarankan calon-calon novelis Galeri Ilmu membaca karya-karya Kang Abik,” beritahu saya kepada novelis Ummu Hani Abu Hassan. Ummu Hani pernah bertemu Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy, penulis novel Ayat-ayat Cinta) dan turut mengikuti bengkel penulisan novel yang dikendalikan oleh Kang Abik minggu lalu.

Ummu Hani baru menyiapkan manuskrip sebuah novel remaja (novel ketiganya) untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Kami berbincang tentang novelnya itu di meja saya.

“Salah satu yang menguatkan novel-novel Kang Abik sebagai wadah Islami, dia menampilkan watak-watak soleh dan solehah yang pembaca boleh salin pada diri mereka. Dalam novel Kak Ummu (panggilan mesra saya kepada Ummu Hani), watak ini ada pada diri Kak Eka,” kata saya. Eka Norviyanti adalah salah satu watak penting dalam novel Ummu Hani itu. Watak wanita muda yang solehah, bijaksana dan berwajah cantik yang berasal dari Indonesia.
Di dalam novel-novel Kang Abik yang sempat saya baca (Ayat-Ayat Cinta dan dwilogi Ketika Cinta Bertasbih), watak-watak protagonisnya mampu membahagiakan dan membanggakan pembaca. Watak-watak itu menjadi watak yang pembaca suka untuk salin pada diri mereka. Watak soleh dan solehah itu dipertemukan pula dengan banyak watak lain yang juga mempunyai ciri-ciri kesolehan.

Kang Abik juga memaparkan watak-watak rosak akhlak yang beliau 'bantu' untuk menggapai cahaya hidayah. Yang ditugaskan ‘membantu’ watak rosak akhlak itu untuk kembali ke jalan yang lurus adalah watak-watak soleh dan solehah tadi.

Cara Kang Abik mengetengahkan watak rosak akhlak itu adalah secara yang bijaksana. Beliau lebih banyak memaparkan natijah atau akibat daripada kerosakan akhlak itu, bukan memaparkan perilaku-perilaku rosak akhlak tersebut. Oleh itu, perilaku rosak akhlak tidak dominan dalam novel beliau. Yang dominan adalah perilaku soleh, tabiat soleh dan tutur kata soleh yang mengesankan pembaca. Mirip dengan pendekatan yang digunakan dalam karya-karya Buya Hamka.

Pemaparan watak-watak dengan pendekatan begini selalu saya tekankan kepada calon-calon novelis yang saya bimbing. Apabila membaca novel-novel Kang Abik, saya rasa sangat terbantu kerana saya ada model yang boleh ditiru oleh calon-calon novelis itu. Sebab itulah saya menyarankan kepada mereka agar membaca karya-karya Kang Abik.

Saya kerap juga membaca novel-novel Melayu sendiri, yang ditulis oleh karyawan Muslim, yang tidak peka dengan sensitiviti pembaca Muslim dalam memaparkan perilaku-perilaku negatif watak-wataknya. Watak-watak yang tidak boleh dijadikan contoh dari sudut agama dan akhlak, diangkat menjadi watak utama dan dominan. Perilaku-perilaku dan tutur kata yang tidak sesuai, dimuatkan begitu saja tanpa ditapis. Yang dititikberatkan hanya menampilkan perilaku dan tutur kata yang relevan dengan plot serta perkembangan watak. Yang dipentingkan hanya memindahkan realiti seadanya ke dalam fiksyen tanpa bersikap selektif. Yang ditekankan hanya untuk menjadikan cerita sedap dibaca dan ada elemen dramatik.

Penulis karya Islami harus mampu mencorak pembacanya dengan nilai-nilai Islam. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan adalah dengan menampilkan watak-watak yang membawa idealisme penulis sendiri. Melalui watak-watak ciptaan yang soleh dan solehah ini, penulis mampu membangunkan keperibadian pembaca dan memaparkan keindahan Islam kepada mereka.

Saya tidak hairan dengan penonjolan watak-watak ‘baik’ yang kaki maksiat (minum arak, bersekedudukan dan sebagainya) di dalam sebahagian novel (atau filem) Barat. Dengan siapa para penulis itu banyak bergaul dan berinteraksi, itulah yang tumpah di dalam karya mereka. Diri mereka (penulis) adalah apa yang mereka tulis. Jika penulis biasa bergaul dengan orang yang kaki perempuan, apalagi jika penulis sendiri kaki perempuan, watak begitu akan mudah terbentuk di dalam karyanya.

Bagaimanapun, karyawan Muslim harus mampu mengetengahkan watak-watak ideal versi Islam yang membawa fungsi serampang dua mata. Selain untuk menggerakkan dan menghidupkan cerita, watak-watak itu harus menunjukkan contoh kehidupan, perilaku dan tutur kata yang baik menurut ukuran Islam. Watak yang para pembaca terangsang untuk menyalin kesolehannya pada diri mereka secara di bawah sedar.

Oleh itu, dengan siapa penulis banyak bergaul, itulah yang akan mengayakan ramuan di dalam karyanya. Apabila banyak bergaul dengan orang yang mempunyai banyak ciri kesolehan, perilaku-perilaku soleh lebih mudah diserapkan ke dalam karya melalui watak-watak yang direka. Watak-watak rekaan itu dan perilaku mereka akan ‘hidup’, tidak terasa dibuat-buat. Penulis tidak hanya mengkhayalkan perilaku-perilaku soleh itu tetapi memindahkan apa yang biasa dilihatnya dalam kehidupan seharian.

Novel Islami harus dapat menimbulkan kesan bahawa masih ramai orang baik-baik di dunia ini!


Sunday, November 23, 2008

Selidik dan Buat Pemerhatian

Sewaktu saya menunaikan ibadah umrah bersama rombongan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd pada 2006, saya dibawa oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Ustaz Dauh Che Ngah menziarahi bapa saudaranya di Rumah Kupang iaitu apartment lama yang terletak di Shiib Amir, di pertengahan bukit Jabal Abi Qubaish, Makkah.

“Anta boleh tulis tentang Rumah Kupang ini untuk majalah Anis,” beritahu beliau.

Di sana beliau memperkenalkan saya kepada Pak Su Hj. Salleh Abdullah. Daripada perbualan dengan Pak Su Salleh, tahulah saya beliau berasal dari mukim Kupang, Baling, Kedah dan bermastautin di Makkah lebih 50 tahun. Saya juga mendapat maklumat bahawa Rumah Kupang merupakan asrama bagi pelajar-pelajar dari Baling yang menuntut di Makkah satu ketika dulu. Oleh kerana ia diwakafkan dan dibangunkan oleh anak-anak mukim Kupang, ia terkenal dengan nama itu. Jemaah haji dari Baling juga menjadikan Rumah Kupang sebagai rumah persinggahan ketika berada di Makkah.

Kebetulan, dua hari sebelumnya, Dato’ Ustaz Daud membawa saya menziarahi keluarga Pak Su Hj. Abdul Latif Hj. Mohd Zain di Kakkiah di luar kota Makkah. Pak Su Latif juga bekas ‘graduan’ Rumah Kupang seperti Pak Su Salleh. .Saya sangat terkesan dengan kunjungan singkat ke Rumah Kupang dan bercadang menulis artikel mengenainya. Bagaimanapun, dengan maklumat yang sedia ada, saya belum yakin untuk menulisnya.


Apabila pulang ke Malaysia, saya membuat sedikit penyelidikan. Saya menemui ahli-ahli keluarga Pak Su Salleh dan Pak Su Latif di tanahair.

Alhamdulillah, banyak maklumat yang saya perolehi mengenai Rumah Kupang daripada Dato’ Hj. Najmi Hj. Ahmad. Lebih banyak maklumat lagi saya perolehi daripada ayah saudara beliau, Dato’ Prof. Dr. Haji Marzuki Haji Mahmood, yang merupakan sepupu Pak Su Latif. Dato’ Prof. Dr. Haji Marzuki mewarisi amanah penjagaan Rumah Kupang daripada abangnya Allahyarham Hj. Mohd Rushdi Mahmood, penama tunggal pada geran pemilikan premis tersebut. Beliau malah menunjukkan salinan geran itu kepada saya.

Barulah saya mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai sejarah dan kedudukan Rumah Kupang. Barulah saya berpuas hati dan berani menulis artikel mengenainya.

Penulis mesti mengetahui banyak perkara mengenai subjek yang hendak ditulis walaupun apa yang diketahuinya mungkin tidak sampai 50 peratus yang dimasukkan di dalam tulisannya. Di sini perlunya penyelidikan. Selepas membuat penyelidikan, penulis selalunya akan lebih arif daripada pembaca mengenai satu-satu subjek itu.

Menulis novel sekalipun memerlukan penyelidikan. Misalnya penulis harus menyelidiki lokasi-lokasi yang dipilih untuk melatari kisah di dalam novelnya. Habiburrahman El Shirazy, penulis novel bestseller Ayat-ayat Cinta, menggunakan istilah ‘penelitian’.

Kadang-kadang penelitian ini dibuat dengan memperuntukkan masa sekian-sekian lama di satu-satu tempat dan menajamkan daya penelitian terhadap suasana, nama-nama jalan, nama dan bentuk bangunan, keadaan cuaca dan tingkah laku manusia di tempat itu.

Habiburrahman tidak akan dapat menggambarkan suasana di Mesir sedemikian baik dalam novelnya Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (dwilogi) jika beliau tidak membuat penelitian ini sewaktu belajar di Mesir. Ernest Hemingmay tidak akan dapat menulis kisah pertarungan seorang nelayan tua dengan ikan marlin besar dalam novelanya The Old Man and The Sea dengan begitu baik jika beliau tidak mempunyai kegemaran belayar dan memancing di laut dalam.

Kadang-kadang penyelidikan dibuat untuk mengangkat adat atau budaya dalam karya. Buya Hamka tidak mungkin dapat mengangkat adat Minangkabau sebagai latar cerita novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck jika beliau tidak mengkaji dengan mendalam adat Minangkabau.

Ini satu kelebihan apabila menulis tentang subjek yang dekat dengan penulis sendiri, seperti dekatnya Habiburrahman El Shirazy dengan bumi Mesir, dekatnya Buya Hamka dengan adat Minangkabau dan dekatnya Ernest Hemingway dengan laut. Bagaimanapun, dekat ini mesti disertai daya pemerhatian yang kuat. Dengan daya pemerhatian yang kuat ini juga, novelis Abu Hassan Morad mampu melahirkan novel Cinta Madinah (diadaptasi kepada drama bersiri) selepas beberapa minggu mendekati keluarga Melayu di Madinah. Begitu juga sewaktu melahirkan novel Julia selepas beberapa kali beliau ke Australia dan novel Suu Phea selepas pulang dari Myanmar beberapa tahun lalu.

Selain daripada pemerhatian atau penelitian, penulis perlu membuat penyelidikan untuk bahan tulisannya melalui sumber internet dan bahan bacaan lain. Yang penting, penulis tidak harus cepat berpuas hati untuk menulis tentang sesuatu subjek mahupun isu jika belum cukup bersedia dengan maklumat dan pengetahuan mengenainya. Budaya membuat penyelidikan ini selalunya menjadikan penulis beberapa tahap lebih berpengetahuan daripada pembaca.

Thursday, November 20, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (3)

Apabila saya membuat temujanji untuk menemubual seseorang tokoh untuk siaran majalah Anis, soalan-soalan yang disediakan biasanya difokuskan untuk mencungkil pandangan tokoh tersebut mengenai satu-satu isu atau topik. Isu atau topik itu pula sudah dibincangkan dalam sesi ramas otak (brainstorming) bersama editor dan ketua pengarang. Biasanya interviu dirancang adalah untuk menguatkan atau menyokong artikel utama yang membicarakan topik pilihan tersebut.

Apa yang hendak dicungkil daripada tokoh itu mestilah menjurus kepada skop yang berbeza daripada apa yang sudah disentuh di dalam artikel utama. Topiknya sama tapi daripada skop atau ‘angle’ berbeza. Atau membicarakan lebih mendalam satu-satu perkara yang sudah disentuh di dalam artikel utama tadi.

Oleh kerana fokusnya pada satu topik perbincangan, saya biasanya sudah membuat sedikit penyelidikan mengenai topik itu. Dengan cara ini, saya bolehlah menjadi regu berbincang dengan tokoh yang hendak ditemubual, bukan sekadar menjadi tukang soal. Saya juga tidak akan terikat dengan soalan-soalan yang sudah dirangkakan, sebaliknya lebih bebas mencipta soalan-soalan spontan. Walaupun namanya spontan, ia tidak lari daripada skop perbincangan. Saya perlu memandu responden kepada topik asal jika perbincangan agak sudah melencong.

Apabila mula menemubual responden, wartawan perlu mahir dalam mencatat perkara-perkara yang relevan dengan topik. Kemahiran mencatat ini akan mempengaruhi penulisan artikel hasil interviu itu nanti.

Pertama sekali yang perlu dicatat adalah nama penuh (dengan ejaan yang betul) dan jawatan orang yang kita interviu. Maklumat itu elok dicatat dahulu. Minta responden pastikan ejaan nama dan jawatan dia betul. Minta ‘call card’ dia (jika ada). Selalunya apabila saya menemubual seseorang untuk ruangan berbentuk profil keluarga, saya akan meminta salah seorang ahli keluarga itu menulis nama ahli-ahli keluarganya satu persatu, lengkap dengan umur.

Seterusnya, apabila kita sudah menghadam betul apa yang kita mahu cungkil daripada responden, kita sebenarnya boleh membayang-bayangkan rangka kasar artikel sewaktu sesi interviu berlangsung. Paling kurang, sambil mendengar dan mencatat input-input daripada responden, kita boleh mengenal pasti perkara yang kita boleh angkat sebagai intro artikel.

Untuk itu, kita boleh cuba membina kemahiran mencatat supaya catatan kita jelas dan tersusun. Kita harus mampu menimbang-nimbang, apa yang perlu dicatat dan apa yang tidak perlu.

Perkara-perkara yang perlu dicatat adalah yang menjurus kepada topik. Perkara yang tidak menjurus kepada topik yang dibincangkan, kita tinggalkan saja. Jika perkara yang tidak relevan dengan topik itu ternyata bermanfaat, ambillah manfaat itu untuk diri sendiri atau dikongsi dengan orang yang dekat dengan kita, bukan dengan pembaca. Untuk pembaca, kita hanya kongsikan apa yang relevan dengan topik saja.

Kadang-kadang sambil mencatat, kita juga sudah boleh mengenal pasti ungkapan menarik yang kita boleh petik sebagai cakap ajuk. Saya biasanya akan buat siap-siap tanda petikan “….” pada ungkapan yang menarik itu. Ini memudahkan saya apabila menulis artikel nanti.

Ketika mencatat input-input daripada responden yang membincangkan topik yang agak panjang lebar, saya mempunyai cara saya sendiri untuk menjadikan catatan saya lebih tersusun. Saya biasanya menggunakan halaman sebelah saja untuk mencatat (halaman sebelah kanan atau kiri buku nota). Saya biarkan kosong sebelah halaman buku nota saya. Tujuannya supaya kalau ada fakta atau input yang ada kesinambungan dengan ‘point’ yang telah disebut sebelumnya, saya boleh masukkan saja input itu ke halaman kosong di sebelah ‘point’ awal tadi.

Cara ini memudahkan saya untuk merujuk pada ‘point’ itu waktu membuat artikel nanti. Bagaimanapun, saya tidak menyarankan semua orang mengikut cara ini kerana lain orang, lain caranya. Yang penting, catatan biar jelas dan tersusun. Yang paling penting lagi, kita tahu apa yang kita tulis.

Ya, kita hendaklah mencatat apa yang kita faham saja. Sekiranya responden menerangkan sesuatu yang kita kurang faham, kita tidak harus segan untuk meminta penjelasan lanjut. Kita harus mendapatkan penjelasan ‘on the spot’, selesai waktu itu juga. Tidak wajar kita berasa bodoh untuk bertanya lanjut dan tidak perlu menunggu sudah balik ke pejabat baru hendak memikir-mikirkan perkara yang kita tidak faham itu. Apabila tidak jelas atau ragu-ragu waktu mencatat, kita akan membawa keraguan itu waktu menulis artikel nanti. Ini mengganggu proses menulis.

Dalam menerima input daripada responden, wartawan tidak harus menerima bulat-bulat tetapi mesti kritis dan peka. Kritis terhadap maklumat yang mungkin tidak tepat, atau fakta yang mungkin silap. Misalnya kalau seorang tokoh agama menyebut satu hadis yang setahu kita ia hanya kata-kata hukamak, kita boleh menanyakan balik untuk meminta kepastian. Begitu juga fakta tentang tarikh dan sebagainya. Yang namanya manusia memang kadang-kadang buat silap. Kita harus meminta kepastian, jangan hanya mencatat begitu saja.

Di hujung interviu, jangan lupa berpesan kepada responden bahawa kita mungkin akan menghubungi beliau semula kalau memerlukan input tambahan. Pastikan kita menyimpan nombor telefonnya. Tanyakan juga waktu bila beliau biasanya ‘available’ untuk dihubungi.

Sebahagian tugas sudah pun selesai dengan selesainya catatan pada sesi interviu, kita hanya tinggal menyempurnakan sebahagiannya lagi apabila pulang ke pejabat atau ke rumah. Tidak kurang penting adalah memelihara silaturrahim yang berterusan dengan responden. Terus berhubung dengannya dari semasa ke semasa walaupun sekadar melalui sms ucapan selamat hari raya misalnya.

Wednesday, November 19, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (2)

Sewaktu bersama majalah Anis, saya banyak menemubual tokoh agama, pakar motivasi atau pensyarah universiti. Doa saya hingga kini, mudah-mudahan saya mendapat tempias daripada ilmu dan hikmah yang mereka kongsi dalam setiap sesi interviu itu. Ilmu dan hikmah itu sudah saya kongsi dengan para pembaca majalah Anis dalam setiap bulan keluarannya sejak sekian lama. Rugilah saya jika saya sendiri tidak dapat menjadikannya sebagai panduan hidup.

Selalunya apabila hendak keluar dari pejabat untuk sesi interviu, saya akan mencatat perkara-perkara yang saya akan tanyakan di atas sekeping kad bersaiz poket. Kad itu mudah dimasukkan ke poket baju. Tetapi sebelum itu, saya biasanya sudah hadam dulu soalan-soalan itu dalam kepala.
Sudah menjadi amalan biasa seorang wartawan, dia akan menyediakan soalan-soalan kasar. Amalan kami di majalah Anis, sidang editor akan mengadakan sesi ramas otak (brainstorming) untuk mendapatkan halatuju ruangan utama iaitu ruangan yang memaparkan isu tumpuan untuk satu-satu keluaran. Dari situ baru dirangka soalan-soalan untuk ditanyakan kepada responden yang dipilih. Sudah tentu perlu dicari sedikit maklumat mengenai calon responden supaya soalan yang akan diajukan itu sesuai dengan latar belakangnya, minatnya dan bidang yang dia arif.

Pertama sekali, kita harus mulakan soalan yang sekira-kira seronok untuk dijawab oleh responden itu, sesuai dengan apa yang dia minat atau tahu. Soalan-soalan itu boleh dirangka mengikut urutan walaupun waktu menyoalnya nanti tidak perlu terikat dengan urutan itu. Elakkan soalan bertindih – misalnya dua soalan hampir serupa yang membuat responden terpaksa mengulang perkara yang sama.
Daripada pengalaman saya, sering juga kita menyoal perkara yang kita sendiri sudah boleh mengagak bentuk jawapannya. Kita menyoal hanya untuk mendapatkan kupasan perkara itu daripada orang yang ada autoriti untuk bercakap mengenainya. Atau kita memerlukan input-input tambahan untuk menguatkan input yang kita ada.
Dalam keadaan ini, wartawan harus tahu tentang perkara yang ditanyakan. Kita harus mewakili rasa ingin tahu pembaca. Tanyakan pada diri, “Apa agak-agak yang pembaca hendak tahu atau perlu tahu yang saya boleh cungkil daripada tokoh ini?”
Siapa yang biasa menonton rancangan forum di tv yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama seperti Ustaz Ahmad Shukri Yusof dan Ustaz Fauzi Mustaffa akan faham maksud saya. Mereka selaku moderator rancangan itu, arif ilmu agama. Selalunya mereka mengajukan soalan-soalan yang mewakili rasa ingin tahu penonton. Mereka menanyakannya bagi pihak penonton walaupun mereka sendiri mungkin arif akan jawapannya.
Menghadam soalan yang sudah dirangka di atas kertas ada kelebihannya. Kita tidak akan sibuk menengok kertas sewaktu sesi interviu berlangsung kerana soalan-soalan itu sudah ada dalam kepala. Kita juga tidak akan terikat dengan soalan yang kita rangka, atau terikat dengan urutan soalan. Soalan itu cuma sebagai panduan.

Sewaktu Interviu Berlangsung
Bukan semua orang boleh bercerita habis. Pakar motivasi yang banyak pandangan bernas sekalipun, perlu dibantu untuk mengeluarkan apa yang dia ada. Kerja wartawan adalah mencungkilnya atau merangsang responden itu meluahkannya.
Sesetengah responden hanya perlu diterangkan secara sepintas lalu apa kita mahukan daripada dia dan selepas itu dia akan terus bercakap atau bercerita secara tersusun. Tetapi tidak semua orang begini. Kebanyakan orang perlu dicungkil untuk merangsang dia bercerita atau meluahkan pandangan.
Ketika saya kongsikan perkara ini dengan perunding motivasi, Dr. Robiah K.Hamzah, dia mengiyakannya. Katanya, “Kalau duduk memikir sorang-sorang, susah nak keluar. Kalau dirangsang, baru keluar.” Beliau yang sudah ada pengalaman menulis banyak buku dan bercakap dalam banyak program motivasi, masih merasakan lebih mudah untuk melontarkan input-input apabila dirangsang atau dicungkil.

Meniti Atas Jawapan
Selalunya, pada jawapan responden sudah ada ‘clue’ untuk soalan seterusnya. Kita hanya perlu ‘meniti’ atas jawapannya. Kebolehan meniti atas jawapan ini penting supaya wartawan tidak terlalu terikat dengan soalan atas kertas. Yang lebih penting, kita dapat menghalakan interviu kepada perkara-perkara yang relevan dengan tajuk. Tidak banyak menyimpang kepada perkara lain.
Sebab itu, kita harus ‘masak’ dengan perkara yang kita hendak tanyakan. Ini memudahkan kita untuk respons atas jawapan responden dengan soalan susulan yang lain.
Sering juga berlaku, soalan berikut yang kita rangka atas kertas sudah pun terjawab waktu seseorang responden itu menjawab soalan sebelumnya. Jadi, kita hanya bersedia dengan soalan susulan dengan cara meniti atas jawapan responden. Saya biasa mengalami perkara ini, lebih-lebih apabila menemubual tokoh yang mempunyai gagasan fikiran yang mantap.

(Dalam entri selepas ini, saya akan berkongsi tentang kemahiran mencatat sewaktu sesi interviu, insya-Allah. Ya, wartawan perlu juga ada kebolehan mencatat dengan cara yang akan memudahkannya menulis artikel hasil daripada interviu itu.)

Tuesday, November 18, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (1)

Satu pagi saya berada di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji untuk satu sesi interviu majalah Anis. Sementara menunggu orang yang saya hendak interviu itu datang, saya mundar-mandir di ruang legar pejabat di tingkat 11 itu. Tidak lama kemudian, sepasang suami isteri separuh umur keluar dari lif dan bertanya kepada saya mengenai seseorang yang mereka hendak temui. Si suami memakai kopiah manakala isterinya bertudung labuh.

“Minta maaf, saya pun tidak biasa di sini,” kata saya kepada pasangan tersebut. Saya lalu mengunjuk ke arah pejabat di mana mereka boleh berurusan.

Pihak Tabung Haji yang mengaturkan interviu sudah menyediakan sebuah bilik mesyuarat untuk sesi itu. Tidak lama kemudian pegawai Tabung Haji memberitahu saya, orang berkenaan akan tiba sebentar lagi. Namanya Ustazah Maznah Daud. Beliau menggantikan seseorang lain yang tidak dapat hadir kerana ada urusan penting di tempat lain.
Seorang wanita muncul di muka pintu bilik mesyuarat. Dia adalah wanita bertudung labuh yang keluar dari lif sebentar tadi bersama suaminya. Pegawai Tabung Haji memaklumkan, dialah Ustazah Maznah Daud. Saya jadi malu sendiri kerana tidak mengenalinya. Syukurlah, walaupun juru interviu dan orang yang hendak diinterviu tidak saling kenal-mengenali, interviu itu berlangsung dengan lancar.

Kes seperti ini jarang saya hadapi. Selalunya saya akan membuat sedikit ‘homework’ untuk mengetahui latar belakang orang yang hendak saya interviu. Dalam disiplin kewartawanan, memang begitu sepatutnya. Wartawan mesti kenal siapa tokoh yang hendak diinterviu, kecuali apabila menemubual ‘layman’ atau orang awam. Perlu ambil tahu sikit sebanyak latar belakang orang berkenaan dan bidang yang dia tahu, minat atau mahir.

Untuk mencungkil kisah keluarga misalnya, wartawan harus mendapatkan latar belakang keluarga respondan. Sekarang mudah untuk mencari semua fakta atau maklumat dengan menggunakan internet.

Kita perlu mengetahui latar belakang orang yang hendak diinterviu supaya kita tidak perlu menanyakan soalan-soalan remeh yang kita boleh dapatkan jawapannya melalui sumber lain termasuk internet. Seperkara lagi, kita akan lebih seronok berjumpa dengan orang itu dan dia juga seronok berbual dengan kita apabila dia tahu yang kita sudah kenal dia secara dekat.

Pada satu ketika saya menemubual seorang tokoh korporat untuk mencungkil kisah beliau menerokai dunia bisnes. Sebelum itu saya sudah mendapatkan maklumat mengenai beliau melalui internet. Tokoh ini agak terkejut apabila saya menyebut nama anak-anaknya dan tahu beberapa perkara mengenai dirinya – asal dari mana, dulu belajar di mana, anaknya berapa orang, dan sebagainya.

Dengan mengetahui sedikit latar belakang tokoh berkenaan, ruang bersilaturrahim lebih terbuka. Dia lebih mudah bercerita atau meluahkan pandangan.

Bagaimanapun, dalam kes awal tadi di mana wartawan tidak tahu langsung atau tidak berapa tahu latar belakang respondan, perlulah ada sedikit takruf melalui sembang ringan supaya ada suasana mesra. Break the ice. Dia kenal kita dan kita kenal dia. Waktu sembang ringan itu juga kita dapat mengenal pasti minat atau kecenderungannya.

Daripada sekadar pertemuan biasa, wartawan boleh menjadikan sesi interviu sebagai perkongsian pengalaman dan pandangan untuk manfaat diri dan pembaca.

Monday, November 17, 2008

Komitmen Penulis Untuk ‘Menjual’ Diri Sendiri

Tengah hari ini Saudara Zabidi Mohamed menjamu rakan-rakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd makan sate dan bihun goreng. Beliau bersama isterinya dan anak-anak datang menghantar juadah istimewa itu ke pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara sebagai tanda kesyukuran selepas memenangi Anugerah Media Islam Negara (AMIN) untuk skrip terbaik bagi telemovie Mencari Nur Khadijah. Zabidi adalah penulis skripnya manakala Anugerah Media Network (syarikat bersekutu Galeri Ilmu) adalah penerbitnya.

Selepas makan, saya dan rakan-rakan sempat bersembang-sembang tentang penulisan dengan Sdr Zabidi.

Bekas majistret ini menceritakan pengalamannya mempromosikan dua buah bukunya, Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar. Beliau sendiri yang berusaha ke sana ke mari untuk memperkenalkan dan mengedar buku-buku itu. Malah beliau turut mempromosikan dirinya sebagai penulis yang harus bertanggungjawab sepenuhnya atas penulisannya.

“Penulis tidak boleh mengharapkan penerbit semata-mata untuk mempromosikan bukunya. Penulis sendiri perlu ‘menjual’ dirinya. Tidak perlu malu,” ungkapnya.

“Penulis yang berlatar belakang Islami perlu berani menempuh perkara ini. Berani mempromosi diri sendiri,” katanya.

Siapa yang mengenali SH Alattas pasti tahu apa yang dimaksudkan oleh Zabidi. SH Alattas atau Pak Habib adalah penulis buku-buku politik yang cukup dikenali. Setiap kali sebelum buku terbarunya diterbitkan, Pak Habib akan menjaja kulit buku itu terutamanya ke kedai-kedai buku Indie atau kedai-kedai buku mamak. Daripada maklum balas pekedai-pekedai itu, beliau akan tahu berapa jumlah buku yang patut beliau cetak.

Penulis seperti Pak Habib bukan saja mempunyai otak penulis tapi juga otak peniaga. Sekarang buku-buku beliau sudah ada dijual di rangkaian kedai buku elit seperti MPH.

Pak Habib juga biasa dilihat menjual sendiri buku-bukunya di perhimpunan agung UMNO. Di gerai jualannya, beliau berdepan sendiri dengan pembeli buku-bukunya.

Buku adalah hasil kreativiti dan hasil perahan minda penulis sendiri. Buku itu harus diperkenalkan kepada seramai mungkin orang supaya lebih ramai mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu tidak ada sebab mengapa penulis buku harus malu mempromosi bukunya sendiri. Sama seperti seorang pembuat kek, dia tidak harus malu mempromosi kek-kek buatannya.

Syarikat-syarikat penerbitan yang berwibawa selalunya memberi diskaun kepada penulis-penulis buku untuk membeli dan menjual sendiri buku-buku mereka. Ini merupakan insentif yang harus digunakan oleh penulis untuk mempromosi buku-bukunya, sekaligus membantu menaikkan jualan buku itu.
Apabila penulis menghasilkan buku yang ada unsur dakwah dan didikan, langkah promosi itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dan usaha mendidik. Bukankah menonjolkan diri atau men'selebriti'kan diri itu perlu untuk melancarkan dakwah dan didikan?
Pendakwah (dalam konteks ini penulis) harus dikenali ramai supaya dakwahnya mudah diterima oleh seramai mungkin mad'u (sasaran dakwah). Apabila penulis yang membawa gagasan dakwah dan didikan tidak berbuat demikian, jangan salahkan orang ramai apabila mereka lebih kenal kepada penulis yang memperjuangkan karya picisan, lucah dan merosakkan.

Sedikit Tip Untuk Mendapatkan Foto Kandid


Pada akhir tahun 2005, saya memegang amanah menjadi jurufoto bagi satu majlis yang dirasmikan oleh Tuanku Permaisuri Siti Aisyah. Hari itu beliau muncul pertama kali di dalam majlis rasmi selepas beberapa tahun menyepi. Beliau merasmikan Kem Hafazan al-Quran anjuran majalah Asuh dengan kerjasama Institut Al-Quran Kuala Lumpur. Kemunculan beliau menjadi tajuk berita utama beberapa akhbar arus perdana.


Selesai merasmikan majlis, Tuanku Permaisuri Siti Aisyah bersama ibu dan bapanya diraikan di meja makan. Kesempatan itu saya gunakan untuk mengambil banyak gambar kandid beliau. Saya mencuba dari beberapa sudut untuk mendapatkan gambar terbaik. Saya memilih posisi di mana saya dapat memotretkan gambar beliau dengan jelas. Setiap beberapa detik, saya halakan lensa dan merakamkan potret beliau. Sekali-sekala beliau memandang kamera. Daripada berbelas-belas 'shot' yang saya ambil, salah satu gambar itu, dengan izin Tuanku Permaisuri Siti Aisyah, dijadikan gambar hiasan kulit majalah Anis keluaran Januari 2006.



Kebolehan mengambil gambar foto adalah satu bonus bagi penulis mahupun editor, terutama dalam penerbitan majalah. Dengan kebolehan ini, penulis dan editor tidak akan terlalu bergantung kepada jurufoto. Hal ini sangat terasa apabila timbul keperluan untuk mendapatkan gambar-gambar kandid untuk hiasan majalah.



Oleh kerana namanya ‘kandid’, gambar-gambar ini memang bukan gambar yang dirancang. Bagi media berunsur Islam, gambar-gambar itu haruslah ‘shariah-compliant’ dan memaparkan aksi yang berakhlak. Selalunya pandai-pandai wartawan atau jurufotolah untuk menangkap gambar kandid ini. Editor biasanya lebih peka dengan gambar-gambar kandid yang diperlukan untuk menghiasi halaman-halaman majalah yang dikendalikannya.



Berdasarkan sedikit pengalaman, saya ingin berkongsi beberapa tip untuk mendapatkan gambar kandid.

1. Ikut naluri atau rasa hati
Kadang-kadang kita dapat nilai sesuatu aksi atau suasana itu berharga ataupun tidak untuk dirakamkan hanya dengan berpandukan rasa hati. Waktu datangnya saat itu, kita harus bertindak cepat. Apabila dirasakan momen itu memang ada nilai, halakan lensa, baca selawat atau basmalah, dan rakamkanlah.



2. Jadi sebahagian daripada latar
Untuk mendapatkan aksi-aksi yang natural dan bersahaja, ada masanya kita perlu menyerap masuk atau menjadi sebahagian daripada latar subjek yang kita hendak ambil. Contohnya, jika dalam majlis keramaian, kita menjadi sebahagian daripada orang ramai. Buat apa yang mereka buat (selagi tidak melanggar syariat dan akhlak) – sama-sama menikmati suasana, duduk-duduk macam orang lain dan sebagainya. Sambil itu, budayakan senyum dan bersilaturrahim. Apabila ada kesempatan, kita halakan lensa untuk merakamkan suasana atau aksi.



3. Pilih aksi terbaik/ada nilai
Dalam masa yang sama, kita harus juga peka dan selektif. Pilih aksi-aksi yang kita rasa ada nilai untuk disiarkan sebagai gambar hiasan, rencana bergambar dan sebagainya. Mungkin ada gambar yang ada nilai berita, nilai cerita, nilai mendidik atau nilai simbolik.



Nilai berita maksudnya, ia satu benda baru. Nilai cerita bermaksud, aksi itu menceritakan sesuatu. Misalnya menceritakan kehidupan sebuah keluarga nelayan. Nilai mendidik bermaksud, aksi itu boleh mendidik hati. Misalnya, gambar anak mencium tangan bapa – gambar ini mendidik hati dengan unsur kasih sayang dan hormat kepada bapa. Contoh nilai simbolik pula, gambar air menitis dari anggota wuduk – simbolik kepada dosa-dosa yang gugur.



Pastikan tidak ada aksi yang boleh mengaibkan orang yang diambil gambarnya. Apabila membelek gambar itu kemudian, timbulkan soalan: Adakah orang ini akan suka jika gambarnya dalam posisi ini tersiar?



4. Cari orang sedang buat sesuatu
Orang yang sedang buat kerja biasanya tidak perasan kehadiran kita. Oleh itu, kita boleh mendapatkan shots yang benar-benar kandid. Jika kita mahu mereka melihat kamera, kita boleh menegur sapa, menanyakan sesuatu atau cuma berkata, “Boleh tengok sini?” Boleh juga halakan lensa dan tunggu dia melihat kita sebelum petik. Lepas itu senyumlah seikhlasnya.



5. Dekati mereka
Ada masanya kita harus mendekati orang yang kita hendak jadikan subjek gambar. Asalkan orang itu bukan jenis yang segan dengan kamera (camera-shy). Jika orangnya jenis sporting, dia boleh memberikan aksi yang kita kehendaki dan kita boleh memintanya berlakon.



6. Buat eksperimen
Apabila kamera sudah ada di tangan, elok juga kita mencuba mengambil gambar dari pelbagai sudut dan platform – dari atas bas, dari dalam kereta, dari atas jambatan, dari balik pokok, dari anak tangga dan lain-lain. Pelbagai gambar kandid boleh dirakamkan dari sudut-sudut yang berbeza itu.



7. Jangan fikir kesempurnaan
Kadang-kadang jangan fikirkan sangat soal angle yang tidak berapa kena, gambar yang mungkin kabur atau mungkin lari dari frame dan sebagainya. Setiap kali ada kesempatan yang baik untuk menangkap aksi atau suasana yang dirasakan ada nilai yang kita hendak, kita wajar mengambil peluang merakamkannya.

Wednesday, November 12, 2008

Penulisan Adalah Satu Seni, Penerbitan Adalah Bisnes

Petikan artikel Encik Fauzul Na’im Ishak dalam http://www.mentorpenulis.com

Para pengarang selalu merasakan penulisan adalah satu kesenian. Ia adalah gabungan inspirasi dan pengetahuan yang diterjemahkan ke dalam bentuk bertulis. Apabila begitu ramai yang merasakan ia perlukan bakat semulajadi, sesiapa yang tidak berbakat tidak mampu merasakan naluri seni itu.

Pada pandangan peribadi saya, saya bersetuju dengan pandangan penulisan sebagai seni itu. Namun begitu saya tidak bersetuju bahawa penulisan itu semata-mata bakat semulajadi. Bakat itu boleh dilatih. Ia bergantung kepada seseorang individu, ingin berubah ataupun tidak.

Satu ketika dahulu, kita sendiri tidak tahu apa itu huruf A, B, C hinggalah ke Z. Kemudian kesan daripada itu kita tidak tahu menulis angka-angka tersebut. Namun begitu selepas proses pembelajaran di taman asuhan kanak-kanak ataupun di rumah, kita sudah mengenalinya. Seterusnya kita tahu mengaplikasikannya dalam menulis setiap hari.

Menulis juga begitu.

Pada mulanya ramai pengarang yang tidak tahu bagaimanakah menghasilkan karya yang baik. Ramai yang mempunyai mitos-mitos dan falas-falasi pelik-pelik dalam minda masing-masing. Kemudian mereka datang ke bengkel, mengetahui teknik-teknik menulis. Bertanya-tanya dan bertukar-tukar pandangan dengan pengarang lain. Mendengar saranan mentor ataupun sifu penulisan. Kemudian berusaha menghasilkan karya pertama. Itu memang sangat susah.

Kemudian apabila karya pertama sudah keluar, kepuasan diri datang. Terus menulis karya kedua, karya ketiga dan seterusnya. Ini adalah satu keadaan yang boleh kita lihat berlaku kepada pengarang semasa. Asalnya mereka ada ketakutan, apabila sempadan ketakutan itu dipecahkan maka ia terus berlari dengan baik.

Penerbitan pula adalah bisnes. Apabila satu-satu karya sudah siap ditulis, dikirimkan kepada mana-mana penerbit. Persoalan bisnes pula diambil kira. Adakah karya ini boleh dijual ataupun tidak? Bagaimanakah untuk melakukan program pemasaran? Siapakah sasaran pembelinya? Siapakah yang ingin menjualnya? Apakah pakejnya? Kesemua ini diambil kira pula.

Jadi dalam perkara ini, pada pandangan saya, pengarang seharusnya menggabungkan kedua-dua unsur ini dalam minda mereka. Pengarang seharusnya menjadi pengarang yang mempunyai minda ahli pemasaran. Ia bukan sahaja menulis untuk inspirasi, tetapi untuk pembacanya. Apabila pengarang mempunyai minda begini, dengan sendirinya buku yang ditulis bersesuaian dengan citarasa pembaca.

Gabungan penulisan sebagai satu seni dan penerbitan sebagai satu bisnes menghasilkan inovasi dan kreativiti. Kreatif dalam mengeluarkan idea yang segar dan berinovasi dalam menyediakan pakej bersesuaian. Pengarang selalunya selepas mengirimkan naskhah kepada para penerbit, yang ditanya adalah bila royalti hendak dibayar. Mentaliti sebegini seharusnya diubah. Saya tertarik dengan satu email yang dikirimkan kepada saya.

Fundamental atau tujuan menulis yang meletakkan wang sebagai force, sesuatu yang amat menakutkan. Ia boleh merosakkan penulis-penulis yang berbakat. Kita kena tekankan soal sebenar sebab kita menulis…. Sangat bahaya cara saudara meletakkan wang sebagai faktor utama…. Betulkan balik….

Ini adalah mentaliti pengarang berfikir cara lama. Mereka merasakan kepengarangan adalah soal bakat semata-mata. Cara berfikir sebegini perlu diubah. Saya sebagai seorang pengamal penerbitan tahu bagaimana sesebuah karya itu dilayan. Apakah kerenah pengarang.

Apabila sesebuah karya itu boleh dijual dengan baik, lebih ramai yang dapat membelinya. Lebih ramai orang membeli, lebih banyak ilmu dimanfaatkan. Insya-Allah di akhirat kelak ada bahagiannya. Cuba kita lihat sebaliknya. Karya yang tidak dibeli dan boleh dijual, sedikit orang membelinya. Maka tidak banyak ilmu bermanfaat disebarkan atas muka bumi.

Kita fikirkanlah.

Sesiapa yang berminat untuk menghadiri program pembangunan penulis Akademi Penulis, sila lawati http://www.janawangdenganmenulis.com

*Encik Fauzul Na'im Ishak adalah pengarah eksekutif dan pengurus di PTS Millennia Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS (www.pts.com.my). Memiliki beberapa bisnes berkaitan buku dan terlibat secara langsung dalam mengendalikan bengkel, ceramah dan seminar penerbitan di seluruh Malaysia. Sudah 7 tahun berkecimpung dalam dunia penerbitan dan pembangunan penulis. Sering dijemput oleh organisasi kerajaan, bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memberikan input mengenai dunia penerbitan dan penulisan.

Tuesday, November 11, 2008

Membiasakan Bahasa Yang Betul

Pada akhir tahun lalu, saya bertemu dengan guru bahasa saya, Prof. Dr. Awang Sariyan, dalam satu seminar penataran bahasa yang dikhususkan untuk wakil-wakil media. Prof. Dr. Awang adalah tutor saya sewaktu pengajian saya di Universiti Malaya (ketika beliau belum bergelar profesor). Pertemuan akhir tahun lalu begitu istimewa bagi saya kerana saya kembali berguru dengan beliau selepas 20 tahun! Dr. Awang mengendalikan seminar itu dari awal sampai akhir.

Kini Prof. Dr. Awang sudah pun berada Beijing kerana memenuhi tanggungjawab sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu selama dua tahun sejak bulan Mei lalu. Bagaimanapun, satu pesanan beliau yang masih saya ingat dan saya pegang adalah perlunya pengguna-pengguna bahasa “membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa”.

Kata-kata azimat ini sebenarnya kata-kata Pendeta Zaaba dan sering diulang oleh Prof. Dr. Awang.

Membiasakan menggunakan bahasa yang betul adalah penting bagi penulis. Betul susunan bahasanya, betul tatabahasanya, betul ejaannya dan betul tanda bacaannya. Penting juga bagi penulis untuk membetulkan kebiasaan menggunakan bahasa yang salah.

Dengan kata lain, penulis harus membiasakan menggunakan bahasa standard. Ia juga diistilahkan sebagai bahasa tinggi, lawan kepada bahasa rendah. Oleh itu, bahasa Melayu standard adalah bahasa Melayu tinggi.

Walaupun namanya bahasa Melayu tinggi, ia bukanlah bahasa yang sukar atau rumit. Sebaliknya, bahasa Melayu tinggi adalah bahasa yang mudah difahami. Mudah dan betul mengikut ukuran standard.

Kelebihan menggunakan bahasa standard, ia menjadikan hasil penulisan kita sesuai dibaca sepanjang zaman. Jika menulis buku, buku itu mempunyai ciri ‘evergreen’. Puluhan tahun akan datang, buku kita masih boleh difahami dan masih sedap dibaca.

Oleh kerana buku akan menjadi warisan, wajarlah penulis menghasilkan tulisan yang terus ‘evergreen’ sampai bila-bila. Untuk memelihara sifat ‘evergreen’ sesebuah buku, mahu tidak mahu, penulis harus menjaga penggunaan bahasanya.

Penulis harus belajar menulis dengan bahasa standard, bukan bahasa pasar atau bahasa rojak.
Walaupun penulis mungkin menulis karya yang ringan untuk bacaan remaja, tidak wajar penulis menggunakan bahasa ala karya picisan. Menulis untuk remaja bukan ‘tiket’ untuk menggunakan bahasa slanga, bahasa pasar atau bahasa rojak.

Remaja kita mungkin sudah terbiasa bercakap menggunakan bahasa yang caca-marba, tetapi penulis harus mampu mengubah kebiasaan budaya rendah itu. Anak-anak remaja kita harus diajar membiasakan menggunakan bahasa yang betul serta membetulkan cara berbahasa yang salah.

Kalau kita dapat menulis buku dengan bahasa yang standard, buku kita bukan saja dapat memenangi hati pembaca sasaran tetapi juga dapat memenangi hati orang yang prihatin pada isu bahasa, terutama guru-guru. Buku kita dapat dijual di sekolah-sekolah atau dijual kepada golongan pelajar dengan sokongan guru-guru.

Oleh itu, penulis yang mahukan tulisan atau karyanya ‘evergreen’ harus menggunakan bahasa yang standard. Bahasa al-Quran dan hadis adalah contoh bahasa standard yang akan terus 'evergreen' sampai bila-bila.

Apabila kita menulis buku khususnya, jangan fikir buku kita hanya akan dibaca oleh orang-orang sezaman dengan kita. Buku itu mungkin akan menjadi harta intelek yang terus diulang cetak. Paling kurang, ia akan tersimpan di rak-rak perpustakaan untuk berdekad-dekad lamanya. Buku itu mungkin akan menjadi warisan atau ‘legacy’ kita, seperti novel-novel Enid Blyton yang sampai sekarang masih terus dijual dan boleh ditemui di perpustakaan walaupun penulisnya sudah berdekad lamanya meninggal dunia.

Monday, November 10, 2008

Menyusun Idea Secara Lompat-lompat


Hasan Suyut seorang jurutera. Beliau tidak mengetahui tentang KJ Methode dan aplikasinya dalam penulisan. Tetapi beliau secara tidak sedar sudah mempraktikkan kaedah ini sewaktu menulis buku kisah benarnya Atiq Wazif: Satu Anugerah yang saya selenggarakan sebagai editor.


Beliau berfikir menggunakan logik non-linear. Itulah sebabnya beliau menyiapkan bab pertama dan bab terakhir bukunya terlebih dahulu. Jika beliau berfikir mengikut logik linear, beliau akan menulis bab satu, diikuti bab dua, bab tiga dan seterusnya. Tetapi dengan berfikir secara non-linear, beliau menyusun dan menggarap idea penulisannya secara melompat-lompat, tidak mengikut urutan.


Berfikir secara non-linear ini adalah ciri utama kaedah yang dipanggil KJ Methode.


Kaedah ini diperkenalkan oleh Kawakita Jiro, seorang ahli antrolopogi Jepun, dan diaplikasi dalam teknik pengurusan.


Puan Ainon Mohd, sifuPTS, mempelajari kaedah ini dalam satu seminar di Singapura lama dahulu. Dalam seminar itu, kaedah ini diajar untuk kegunaan menulis laporan pengurusan yang panjang-panjang. Dengan menggunakan kaedah ini, laporan yang panjang berjela itu dapat disiapkan dalam masa yang singkat.


Puan Ainon menggunakan kaedah ini untuk menulis buku-buku umum. Hasilnya, beliau mampu menulis buku dalam tempoh yang singkat. Malah beliau mampu menulis beberapa buah buku dalam satu-satu masa. Rahsianya adalah pada cara berfikir non-linear.


Logik linear dalam penulisan buku adalah menulis bab satu terlebih dahulu, kemudian diikuti bab dua dan seterusnya. Mengikut logik linear, adalah tidak betul untuk menulis sebuah buku dengan dimulakan dari bab tiga dahulu misalnya. Apatah lagi jika dimulakan dari bab terakhir!


Logik non-linear pula membolehkan cara penulisan yang melompat-lompat. Mengikut logik non-linear, boleh saja ditulis mana-mana bab dahulu.


Saya teringat kepada seorang calon penulis novel. Dia sudah menyiapkan novelnya hingga ke bab tujuh tetapi buntu untuk meneruskan garapannya. Selain disebabkan dia tidak melakarkan plot novelnya bab ke bab hingga ke bab terakhir, dia juga terikat dengan cara penulisan mengikut urutan. Selagi tidak selesai satu-satu bab, dia tidak berani atau tidak terfikir untuk melangkau ke beberapa bab di hadapan.


Seorang editor pernah menceritakan kes yang hampir sama mengenai seorang pengarang yang sudah menyiapkan bukunya hingga ke bab enam tetapi mengalami ‘writer’s block’ di situ. Dia bermasalah untuk meneruskan ke bab tujuh.


“Saya buntu, tak tahu bagaimana hendak meneruskan penulisan buku saya,” adu pengarang itu kepada sang editor.


Lalu editor ini menyarankan kepada pengarang itu supaya menggunakan pemikiran non-linear.
“Tinggalkan dulu bab tujuh itu. Tulis dulu bab-bab berikutnya,” beritahu editor.


Pengarang ini mengikut saranan editornya dan tidak lama kemudian dia berjaya menyiapkan manuskrip bukunya.


Menyusun idea mengikut urutan adalah ciri utama pemikiran linear, manakala menyusun idea tanpa terikat dengan urutan adalah ciri utama pemikiran non-linear. Oleh itu, penulis yang menggunakan pemikiran non-linear lebih bebas menurunkan ideanya di atas kertas walaupun secara melompat-lompat.


Hasan Suyut mungkin sudah terlatih berfikir secara non-linear maka beliau dapat menulis menggunakan salah satu aplikasi KJ Methode iaitu menyusun isi bukunya tanpa mengikut urutan, sebaliknya boleh secara melompat-lompat.


Dalam tulisan seterusnya, saya akan cuba berkongsi dengan para pembaca satu lagi aplikasi penting KJ Methode insya-Allah.