Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi
orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW.
Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah
akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri
untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan
memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam
Jumaat lagi.
Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan
masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat.
Amalan Sunat Hari Jumaat
Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim
digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana
pakaian putih lebih disukai Allah.
Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan
berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan
menggosok gigi.
" Sesudah itu bersegeralah ke masjid.. Sabda
Rasulullah SAW: ”
Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid
pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah
berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua
berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka
seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke
masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor
ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban
dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya
buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul
dekat mimbar mendengar khutbah”
Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka
ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang
kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan
orang sedang sembahyang.
Solat Sunat dan Bacaan Surah
Pilihan
Kerjakanlah sembahyang tahiyatul masjid dan yang
paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat dengan
membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas
sebanyak 50 kali.
Dalam sebuah hadis dinayatakan: “Barangsiapa
yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat
di syurga”
Jangan tinggalkan sembahyang tahiyatul masjid.
Di Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam
keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau
Yasin.
Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau
Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan
sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya
terdapat beberapa kelebihan.
Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia
memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi.
Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah
sembahyang sunat dan juga jangan berkata-kata, jawablah seruan muazzin
kemudian perhatikan dan hayati khutbahnya..
Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka
bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah
Ma’uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab
Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim
dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari
syaitan.
Kemudian kalau boleh, cubalah untuk iktikaf di
masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan
dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari
Jumaat.