Wednesday, October 14, 2009
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (BHGN 7)
Untuk cemerlang dalam bidang dakwah, kita mestilah melazimi 2 perkara berikut seumur hayat:
1. sedia untuk terus ditarbiyah
2. sedia untuk terus mentarbiyah
Jangan sesekali menganggap diri kita serba tahu. Sungguhpun kita memegang jawatan pemimpin, tidak akan hilang bisa kita dengan meminta pandangan dan tunjuk ajar daripada orang bawahan. Tidak akan berkurang aura kita jika bertukar-tukar fikiran dengan pimpinan jemaah lain. Jangan sesekali menganggap “Aku sudha sampai tahap yang tinggi, tak perlu lagi dtarbiyyah. Aku layak mentarbiyah sahaja.”
Berlaku kesilapan dalam menanggapi dakwah. Ada orang berfikir dakwah adalah jalan pintas untuk menjadikannya seorang ulama dan menjadikan dirinya tumpuan orang. Jenis ini biasanya “hangat-hangat tahi ayam”. Apabila angan-angannya tidak tercapai, dia mulai “sejuk”. Sebenarnya tidak ada jalan mudah dan tidak ada masa singkat untuk sampai ke tahap itu. Dakwah adalah satu perjalanan jarak jauh. Jemaah-jemaah dakwah mempunyai sukatan pelajarannya sendiri sama ada secara langsung ataupun tidak. Kita kena melalui tingkat demi tingkat. Sesiapa yang berkebolehan, dia lebih cepat naik tingkatan.
Kesilapan seterusnya, ada orang menganggap dakwah hanyalah untuk golongan agama. Sesiapa yang tidak pernah mendapat pendidikan khusus agama Islam tidak layak untuk berdakwah. Padahal muallaf yang baru mengucap dua kalimah syahadah pun sudah boleh berdakwah asalkan kena dengan caranya.
Kesilapan seterusnya, menghukum sesuatu jemaah dakwah berdasarkan tindakan beberapa orang ahlinya. Oleh kerana beberapa orang ahli jemaah itu pernah terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka kita hukum jemaah itu tidak baik. Alasan kita, “Tengoklah hasilnya. Kalau jemaah itu betul, tentu hasilnya baik.” Kalau inilah hujahnya, tak perlulah umat Islam menghantar anak-anak ke sekolah kerana kebanyakan penjenayah hari ini pernah bersekolah belaka. Takkanlah kita nak berhujah, “Tengoklah hasilnya. Kalau sekolah itu betul, tentu hasilnya baik.”
bersambung...
SUMBER:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=126
PERMASALAHAN BERKAITAN HAID
SOALAN:
Adakah suami boleh makan dan minum bersama isteri yang sedang haid?
JAWAPAN:
Ada sebahagian orang yang menyangka bahawa dari maksud firman Allah SWT :
Maksud firman Allah SWT:
“Adalah jauhilah (termasuklah jangan ‘makan’ bersama) mereka sewaktu haid.”
(Al-Baqarah: 222)
Rasulullah saw menerangkan bahawa tidak demikian maksud ayatnya (bukan bermaksud tak boleh duduk dekat-dekat). Tetapi apa yang dimaksudkan hanyalah agar jangan melakukan persetubuhan dengan mereka yakni isteri.
Aisyah menceritakan:
“Saya minum ketika sedang haid, lalu minuman itu saya berikan kepada Rasulullah saw. Maka ditempelkan mulut baginda kepadaku, baru sesudah itu baginda minum. Dan pernah juga ketika saya sedang haid, saya memakan daging yang masih lekat pada tulang, lalu saya berikan daging itu kepada Rasulullah saw. Maka baginda tempelkan mulutnya pada salah satu tempat dari tubuhku.”
(Hadis riwayat jamaah selain al-Bukhari & At-Tirmizi)
Dan dari Abdullah bin Said, bahawa dia mengatakan: “Pernah aku tanyakan kepada Rasulullah saw tentang makan bersama isteri yang sedang haid, maka jawab baginda: “Makanlah bersamanya.”
(Ahmad, Abu Daud & Tirmizi)
Thursday, October 8, 2009
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (Bhgn 6)
Untuk menjadi pendakwah, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima bimbingan daripada orang lain sama ada sikit ataupun banyak. Nabi Muhammad sendiri dibimbing oleh Jibril dan para sahabat dibimbing oleh baginda. Begitulah seterusnya. Tidak mudah-mudah kita merujuk terus kepada sumber asal iaitu Al Quran dan as-Sunnah lalu hendak mengasaskan dakwah kita sendiri.
Kita faham, manusia ada ego sendiri. Kita ada ego sendiri. Saya ada ego sendiri. Cuma kita kena ingat, kita mungkin mahir dalam bidang kita namun kita belum mahir dalam bidang dakwah. Berdakwah ada seni tertentu, bukan main hentam saja. Ada orang beranggapan, ada ilmu agama pandailah dakwah. Ini tidak semestinya. Ada orang faham kalau lulusan agama tentu berupaya berdoa mengusir jin yang masuk ke dalam tubuh seseorang. Ini tidak semestinya.
Banyak lulusan agama tetapi dakwahnya kurang menjadi. Ada pula yang bukan lulusan agama tetapi dakwahnya berkesan. Ilmu agama dengan seni berdakwah adalah dua perkara yang berbeza meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ilmu agama dengan kemahiran berdoa adalah dua perkara berbeza, meskipun mempunyai perkaitan yang rapat. Ada yang bukan lulusan agama tapi doanya selalu makbul.
Sebenarnya banyak manusia yang tidak mahu menerima tunjuk ajar dalam berdakwah, lebih-lebih lagi kalau dia lulusan agama. Dirasakan dirinya serba tahu tentang agama termasuklah dakwah. Dialah yang layak memberi tunjuk ajar, bukan menerima tunjuk ajar. Sikap ini merugikan banyak pihak.
Ilmu dakwah adalah ilmu yang hidup. Ia bergerak menyesuaikan dirinya dengan peredaran zaman. Sebab itulah didatangkan para mujaddid untuk setiap kurun. Mereka memperbaharui teknik dakwah dari semasa ke semasa. Oleh itu, apa teknik yang dipraktikkan umat dua tiga kurun yang lepas, belum tentu sesuai untuk kurun ini. Sebahagiannya tidak relevan lagi. Apa yang kita tahu dan amalkan sepuluh tahun yang lalu, belum tentu ia sesuai untuk hari ini. Apa yang kita praktikkan semasa menuntut di universiti dulu, boleh jadi sudah lapok pada hari ini. Dan apa yang kita pelajari hari ini, belum tentu sesuai untuk 10 tahun akan datang. Jangan biarkan diri kita ketinggalan.
Orang-orang yang ketinggalan ini biasanya akan berfaham ketinggalan juga. Dulu pernah kita dengar beberapa orang yang bertaraf ulama mengharamkan mesin cetak, menyebabkan umat Islam ketinggalan hampir seratus tahun dalam penghasilan bahan-bahan bacaan berbanding orang-orang Kristian. Ada pula yang mengharamkan terus tali leher, baju kot, topi “cowboy”, keyboard, gitar, konsert Islamik, televisyen, radio dan sebagainya. Ini semua melemahkan umat dan dakwah.
bersambung...
Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=125
PERMASALAHAN BERKAITAN HAID
PERSOALAN
Apakah yang boleh dilakukan oleh suami terhadap isterinya ketika isterinya sedang haid?
JAWAPAN
Suami boleh menyentuh tubuh isterinya kecuali faraj ketika isterinya sedang didatangi haid. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT dan beberapa hadis Nabi.
Maksud Firman Allah SWT:
“Jika ditanya orang kepadamu (ya Muhammad) mengenai haid, katakanlah ia adalah sesuatu yang kotor, sebab itu hindarkanlah (jauhilah) isteri kamu ketika dalam haid, janganlah setubuhi/ menjimak mereka sehingga mereka suci. Apabila mereka bersuci (sudah mandi wajib), bercampurlah dengan mereka seperti yang telah disuruh Allah. Sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersuci.”
(Al-Baqarah: 222)
Hadis-hadis yang berkaitan:
“Dan dari Marwan bin Ajda’, katanya: “Pernah saya tanyakan kepada Aisyah ra, “Apakah yang boleh dilakukan laki-laki terhadap isterinya apabila sedang haid?” Maka jawab beliau: “Apa sahaja boleh selain farajnya.”
(Bukhari)
“Dan dari Hizam bin Hakim, dari bapa saudaranya bahawa bapa saudaranya itu pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang halal dari isteriku ketika ia sedang haid?” Jawab baginda: “Boleh kamu lakukan apa sahaja di atas kakinya.”
(Abu Daud)
“Dari Masruq bin Ajda’ katanya: “Aku tanyakan kepada Aisyah ra mengenai apakah yang diperkenankan bagi orang lelaki terhadap isterinya yang sedang dalam keadaan haid?” Jawab Aisyah: “Segala sesuatu selain kemaluannya.”
(Bukhari)
MENGENALI DARAH HAID
APAKAH PENGERTIAN HAID?
- Haid ialah darah yang keluar dari faraj perempuan dalam keadaan sihat, bukan kerana melahirkan anak ataupun pecahnya selaput dara.
BAGAIMANA MENGENALI DARAH HAID?
- Darah haid umumnya berwarna hitam ataupun merah.
Para ulama bersepakat berdasarkan hadis:
Dari Urwah, dari Fatimah binti Jahsy, bahawa ia mengeluarkan darah. Maka bersabdalah Nabi kepadanya: “Kalau itu darah haid, maka warnanya kelihatan hitam. Apabila demikian halnya, maka berhentilah kamu solat. Tetapi kalau tidak demikian, maka berwudhuklah lalu solat kerana itu hanyalah gangguan otot.” (HR Abu Daud)
BERAPA LAMAKAH MASA HAID BERLANGSUNG?
- Darah haid keluar paling sedikit ialah selama sehari semalam, dan sebanyak-banyaknya pula ialah 15 hari. Kebiasaannya adalah antara 6-7 hari sahaja.
Dari Ar-Robi’ bin Shabih, bahawa dia pernah mendengar Anas (sahabat Nabi SAW) mengatakan:
“Haid tidak lebih dari sepuluh hari.” (HR Ad-Daruquthni)
Dalam pada itu Syaikh Mahmud Khittab As-Subki mengatakan:
“Tidak diragukan lagi bahawa masa haid yang tiga atau sepuluh hari itu tidak dipersyaratkan keluarnya darah terus-menerus selama itu tanpa ada hentinya. Tetapi yang penting darah itu keluar pada awal dan akhir masa haid. Bahkan kalau seorang wanita itu melihat dirinya mengeluarkan darah pada saat terbit fajar di hari Sabtu umpamanya, dan darah itu terus-menerus keluar dan baru berhenti ketika terbenam matahari pada hari Isnin, itu bukanlah darah haid.”
Kemudian dari ‘Uthman bin Abi Al-Ash ra bahawa dia mengatakan:
“Bila bagi wanita mengeluarkan haid lebih dari sepuluh hari, maka kedudukannya seperti wanita yang istihadhah. Dia wajib mandi lalu solat.” (HR Ad-Daruquthni)
Saturday, September 12, 2009
SALAM KEMBALI....
Thursday, January 10, 2008
Syamsiah atau Kamariah - Mana satu pilihan kalbu?
Seorang lelaki berbadan kurus tinggi lampai bernama Alif menghadapi dilema. Yang mana satu harus dipilih. Syamsiah atau Kamariah? Pilih salah satu atau pilih kedua-duanya sekali? Dalam hidupnya, kedua-duanya amat bermakna dan bererti. Dengan lain perkataan, kedua-duanya sama penting dalam mewarnai kehidupan Alif.
Sejak pagi lagi, hinggalah ke tengah hari dan petang, Syamsiah sering mendampinginya. Alif tidak kesunyian lagi. Hidupnya tidak pernah berada dalam kegelapan sejak kedatangan Syamsiah. Ya, dia benar-benar menyinari kehidupan Alif.
Dengan bantuan Syamsiah, Alif kini begitu mudah menentukan waktu solat lima waktu. Dengan kata lain, Syamsiahlah tempat Alif bertanya bila masuk waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.
Kebiasaannya, Syamsiah memang tidak pernah jemu menemani Alif ke mana sahaja di waktu siang. Memang jarang sekali Syamsiah tidak kelihatan bersama Alif di waktu-waktu begini. Mungkin sesekali ada ketikanya, Syamsiah tidak kelihatan. Mungkin untuk menguji Alif barangkali terutamanya ketika awan mendung atau ketika hujan turun dengan lebatnya.
Alif juga hairan, apabila senja menjelang, Syamsiah mula menjauhkan diri daripadanya. Perlahan-lahan dia beredar meninggalkan Alif. Ke mana dia pergi? Sebaliknya, sebaik sahaja dia pergi, Kamariah mula datang menyapa Alif.
Badariah
Berbeza dengan Syamsiah, perwatakan Kamariah lain daripada yang lain. Tidak sama dengan Syamsiah. Ya memang tidak serupa antara keduanya. Kamariah biasanya kelihatan pada sebelah malam. Namun, bukan setiap malam Kamariah datang menjenguk Alif.
Biasanya Kamariah tidak muncul di awal atau penghujung bulan. Dia datang dengan ceria ketika pertengahan bulan.
Kamariah selalunya amat manja ketika pertengahan bulan. Wajahnya memang ceria dan di situlah mungkin terletaknya aura Kamariah yang menjadi tarikan ramai. Bila tiba saat-saat manja dan cerianya, dia lebih suka dipanggil Badariah. Itulah nama timangannya.
Kalau Syamsiah boleh membantu dalam menentukan masuknya waktu Solat, Kamariah apa kurangnya. Dia membantu Alif menentukan tarikh bila sepatutnya dia berpuasa Ramadan dan bila pula sepatutnya berhariraya.
Kedatangan Kamariah pada awal Ramadan dan Syawal memang ditunggu-tunggu. Ada kalanya, Kamariah mudah dilihat kemunculannya. Selalunya, Kamariah muncul tetapi ramai yang tidak menyedarinya termasuklah Alif.
Menanti kehadiran Kamariah di awal Ramadan dan awal Syawal memang sesuatu yang cukup mendebarkan. Memang wajah Kamariah ketika itu begitu berhargai. Wajahnya hanya mampu dilihat dalam tempoh beberapa detik sahaja . Itupun tidak sampai tujuh peratus daripada wajah keseluruhannya. Di saat itu Kamariah lebih suka menggunakan nama samaran Hilal sebagai pengganti diri.
Antara Syamsiah dan Kamariah banyak perbezaannya. Alif hingga kini masih gagal untuk merenung mata Syamsiah untuk jangka masa yang lama. Paling lama pun setakat dua tiga saat sahaja. Itupun sudah dianggap lama. Amat tajam mata Syamsiah.
Sebaliknya, Alif boleh merenung wajah Kamariah berjam-jam untuk mencari ilham. Semakin lama bertentang mata dengan wajah Kamariah semakin banyak ilham mendatang.
Tetapi, ada juga sifat yang sama pada mereka berdua. Kedua-duanya amat diminati ramai. Bukan sahaja kepada manusia lain tapi juga di kalangan haiwan. Ayam di kampung akan bersahutan berkokok menyambut kehadiran Syamsiah di awal dinihari. Burung pungguk pula seringkali menanti di celah-celah daun bilakah wajah Kamariah akan menjelma.
Alif semakin menghadapi dilema. Terbaru, pada 1 Januari 2008 lalu, apabila beliau memperkenalkan Syamsiah kepada khalayak ramai, sambutan sungguh meriah.
Pelbagai acara gilang gemilang diadakan di serata pelosok rantau. Hampir semua stesen televisyen mengadakan siaran secara langsung menyambut ulang tahun kelahiran Syamsiah.
Ini sungguh berbeza dengan apa yang berlaku senja petang semalam. Ketika masuknya tabir 1 Muharam 1429, sambutan ulang tahun penghijrahan Kamariah tidak seperti ulang tahun kelahiran Syamsiah. Kurang meriah, kurang liputan dan banyak lagi kekurangan kegemilangannya. Malah lebih menyedihkan ada juga yang tidak perasan kehadirannya.
Bertuah
Itulah sebuah cerita ringkas dilema seorang lelaki bernama Alif yang menggambarkan secara simbolik suasana sambutan tahun baru masihi dan tahun baru hijrah. Syamsiah sebenarnya bukanlah seorang wanita.
Perkataan syams bermaksud matahari dan sanah bererti tahun. Oleh itu sanah syamsiah bermakna tahun matahari. Dalam konteks ini tahun masihi 2008 menggunakan sistem matahari dalam pengiraan bilangan hari, minggu, bulan dan tahunnya.
Begitu juga halnya dengan Kamariah. Kamariah bukanlah seorang wanita. Perkataan kamar atau qamar membawa makna bulan dan sanah bererti tahun. Oleh itu sanah kamariah atau sanah qamariah membawa maksud tahun matahari.
Dalam hal ini, tahun Hijrah 1429 menggunakan sistem bulan dalam pengiraan bilangan hari, minggu, bulan dan tahunnya.
Alif pula biasanya memang sering digunakan sebagai nama seorang lelaki di Malaysia. Alif seperti mana kita maklum adalah huruf pertama dalam tulisan Arab atau tulisan Jawi. Sebab itu ia digambarkan kurus tinggi bersesuaian dengan bentuk huruf itu.
Mengikut peraturan tajwid, huruf Alif adalah suatu huruf yang berkecuali. Ia bukan dalam kategori alif lam qamariah atau alif lam syamsiah.
Alif lam kamariah mempunyai 14 huruf dan alif lam syamsiah juga mempunyai 14 huruf. Oleh itu untuk memudahkan para pelajar mengingatinya, cerita pendek di atas boleh digunakan di dalam kelas.
Jadi, kita bertuah kerana dalam tempoh hanya 10 hari, kita dapat merayakan dua kali tahun baru iaitu tahun baru 2008M dan tahun baru 1429H. Selain itu, jangan lupa bahawa, hujung tahun 2008 ini iaitu pada 29 Disember sekali lagi kita akan dipertemukan dengan tahun baru 1410 Hijrah dengan izin-Nya, insya-Allah.
Info berkaitan
* Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.
lJika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).
lJika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).
* As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua) telah tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut (thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bahawa bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.
* Hadis Nabi bermaksud, “Jika matahari diletakkan di bahu kananku dan bulan di bahu kiriku sekalipun, aku tidak akan berhenti daripada menyebarkan dakwah sehinggalah Allah memerintahkan berbuat demikian atau aku binasa kerananya”.
* Labah-labah membawa banyak pengertian yang mendalam. Semasa berhijrah, ia bertindak sebagai penyelamat Nabi dan
Saidina Abu Bakar. Dewasa ini, konsep sarang labah-labah dijadikan asas dalam pembinaan jaringan Internet. Di Barat, kisah labah-labah sebagai pertahanan berkesan daripada musuh diaplikasi dalam kehidupan.
* Kini, ia diternak secara besar-besaran untuk mendapatkan air liurnya yang sangat berharga untuk bidang pertahanan. Mengikut kajian, air liur labah-labah lebih tahan daripada besi keluli dan sukar ditembusi peluru.
Wednesday, November 21, 2007
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (Bhgn 5)
Berikut adalah antara jawapan-jawapan yang biasa kita dengar sekiranya diajukan pertanyaan : “Mengapa tidak jadi pendakwah?”
Mereka yang percaya bahawa mereka tidak boleh berdakwah biasanya menjawab:
“Saya tak layak jadi pendakwah.”
“Tak cukup ilmu lagi.”
“Saya memang tak ada bakat dalam bidang dakwah ni.”
“Ish, nak berdakwah kenalah mantap dulu.”
“Aku memang tak ada masa. Urusan harian sekarangpun dah padat.”
“Teringin juga, tapi… nantilah dulu. Pelan-pelan (perlahan-lahan)…”
Jenis ini lebih yakin yang mereka tidak boleh berdakwah daripada boleh berdakwah. Keyakinan itu diletakkan siap-siap sedari awal. Mengapalah lebih yakin “saya tak boleh” daripada “saya boleh”? Motivasi untuk berdakwah ditutup oleh diri sendiri.
Selagi mereka tidak membina “boleh”, selagi itulah mereka tidak akan punyai keberanian, kemahuan dan kemanisan. Apabila perkataan “tidak boleh” berganti “boleh”, maka ketika itu secara automatik aura negatif dalam diri berganti aura positif.
Masalah kita yang pertama ialah untuk mewujudkan “aku boleh”.
Mereka yang memang tidak mahu terlibat dengan dakwah biasanya akan menjawab:
“Kalau semua orang jadi pendakwah, siapa nak buat kerja lain?”
“Aku tak berapa minatlah jadi pendakwah ni.”
“Kita buat akhirat 50 dunia 50 sudah la.”
“Alah, tak payah dakwah pun boleh masuk syurga juga.”
“Saya ada cara saya sendiri, tapi orang tak nampak.”
Penjawab pertama punyai satu hukum peribadi bahawa urusan dakwah adalah kerja golongan tertentu sahaja. Boleh jadi dia juga menganggap dakwah yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit sudah maksima. Kadang-kadang dia juga menyindir kita dengan jawapan tersebut.
Penjawab kedua memandang dakwah bukan perkara wajib. Baginya tuntutan dakwah tidak jatuh atas semua orang termasuklah dirinya. Dakwah hanya salah satu hobi- siapa minat dia buat, siapa tak minat tak perlu ambil pusing. Islam tidak mengalami apa-apa kekurangan kalau dia tidak berdakwah.
Penjawab ketiga memandang mereka yang terlibat dengan dakwah adalah golongan yang sedikit ekstrem atau fanatik. Apa yang dia buat selama hari ini sudah cukup menjamin dirinya ke syurga walaupun kalau ditanya dia tidak akan mengakuinya secara langsung.
Penjawab keempat pun sama dengan penjawab ketiga. Baginya dakwah tidak punya apa-apa kelebihan.
Penjawab kelima menolak dengan helah. Dia juga merasakan kerja-kerja yang dilakukannya selama ini juga adalah dakwha yang standing dengan dakwah orang lain.
Apa yang dapat kita simpulkan, kelima-lima jawapan ini memberi impak negatif kepada Islam.
Bersambung…
Alexanderwathern
8 APRIL 2007
Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/article111.html
Sikap Rasulullah jadikan teladan
Monday, November 5, 2007
MEMAKAI BAU-BAUAN YANG HARUM
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (Bhgn 4)
Kita teliti hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengajak seseorang membuat kebaikan, ia akan mendapat balasan pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tidak kurang pahala tersebut walaupun sedikit. Sesiapa yang mengajak manusia ke arah kejahatan, ia akan mendapat dosa seperti dosa orang yang melakukannya, tidak kurang walaupun sedikit.”
(Muslim)
Ganjaran berdakwah bolehlah kita samakan dengan perniagaan “multi-level”- lagi banyak orang bawahan kita, lagi banyak bayaran yang kita terima iaitu wang ringgit. Maka lagi banyak orang yang menyambut dakwah kita, lagi banyaklah juga bayaran yang kita terima iaitu mata wang syurga (pahala). Bahkan bayaran hasil dakwah adalah lebih besar kerana kita mendapat pahala sama bayak dengan pahala mereka yang menuruti kita, tidak berkurang walaupun sedikit.
Mari kita lihat contoh perbandingan orang soleh yang sangat kurang berdakwah dengan orang soleh yang rajin berdakwah.
Umar seorang abid lagi soleh. Semua orang hormat akan Umar kerana amal ibadahnya banyak. Salah satu amalan hariannya ialah membaca Al Quran 5 juzuk sehari semalam. Maka pada setiap hari Umar akan mendapat pahala bacaan sebanyak 5 juzuk. Memang hebat! Orang awam tidak mampu menghabiskan 5 juzuk sehari semalam tetapi Umar mampu. Cuma Umar kurang berdakwah kepada orang lain, dia banyak menghabiskan masanya dengan bersunyi-sunyian dan beribadah.
Uthman juga seorang yang soleh tetapi rajin berdakwah. Kerana kesibukan hariannya dengan dakwah dan urusan sendiri maka Uthman hanya mampu menghabiskan 1 juzuk saja sehari. Namun begitu Uthman mempunyai 5 orang anak buah yang menerima dakwahnya. Hasil dakwah Uthman, mereka juga menghabiskan 1 juzuk sehari. Maka pada setiap hari Umar akan mendapat pahala bacaan sebanyak 6 juzuk (1 + 5).
5 orang anak buahnya pula turut rajin berdakwah. Setiap seorang berjaya mentarbiyah 5 orang lagi untuk baca Al Quran 1 juzuk sehari. Ada 25 orang semua, jadilah 25 juzuk sehari semalam. Uthman masih juga menerima saham daripada bacaan 25 orang ini kerana melaluinyalah maka 25 orang ini kini bermotivasi untuk menghabiskan 1 juzuk sehari. Dan saham untuk Uthman adalah 100% sebagaimana keterangan hadith Nabi di atas.
Maksudnya apa? 6 juzuk + 25 juzuk = 31 juzuk! Subhanallah! Pahala bacaan Al Quran Uthman adalah sebanyak 31 juzuk pada setiap hari, khatam satu Al Quran. Padahal dia membaca 1 juzuk saja sehari.
Lihatlah betapa jauh bezanya ganjaran untuk seorang pendakwah dengan seorang yang beribadah sendirian. Buat sedikit dapatnya banyak!
“Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, SERTA MEREKA BERJUANG DENGAN HARTA-BENDA DAN JIWA MEREKA PADA JALAN ALLAH. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Al-Hujurat: 15)
Kita lihat pula mereka yang terlibat dengan “multi-level marketing”. Mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mencari dan membanyakkan “downline”. Sanggup belajar cara-cara memikat manusia di kelas-kelas mingguan. Tak cukup dengan itu, tinggalkan anak-pinak pergi berkursus pula. Pujuk prospek dengan bersungguh-sungguh, telefon tanya khabar berkali-kali. Sentiasa memikirkan cara-cara untuk mendapatkan bonus bulanan yang lebih tinggi. Sanggup tukar penampilan agar nampak macam usahawan. Macam-macamlah pengorbanan untuk berdakwah membanyakkan “downline”. Kemudian apabila diajak melakukan perkara yang sama dalam dakwah, mereka menolak degan alas an tidak cukup masa dan meanggap usaha mereka untuk dunia dan akhirat sudah seimbang. Begitulah, untuk mengumpul downline buat duit sanggup berhempas-pulas.
Mengapa kita tidak mahu menggerakkan diri kita untuk melakukan perkara yang sama dalam dakwah? Tak mampu banyak, buat sedikit asalkan ada juga saham dalam menggerakkan agama Allah. Mengapa tidak mahu cuba-cuba belajar cara-cara memikat manusia agar mereka tertarik sama untuk menggerakkan agama Allah? Mengapa tidak sanggup berkursus dengan majlis-majlis qiam, khemah ibadah, kem motivasi dan seumpamanya? Mengapa tidak ada usaha memujuk rayu prospek agar menurut jejak langkah kita dalam dakwah dengan bersungguh-sungguh, telefon berkali-kali, SMS selalu…? Mengapa tidak ada usaha untuk menukar penampilan seperti penampilan seorang pendakwah? Mengapa tidak mahu membina “downline” dalam dakwah? Adakah kerana ganjarannya tidak nampak dengan mata kasar?
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.”
(At-Taubah: 111)
Tahniah kepada anda yang sedang membaca risalah ini kerana sebenarnya anda sedang berdakwah! Kerajinan anda mencari bahan-bahan dakwah di internetlah yang membuatkan para pejuang pena bersemangat untuk terus berjuang. Selagi anda mencari, selagi itulah mereka bersemangat untuk terus mencipta dan memberi. Semangat mereka datang daripada anda, maka saham untuk anda pastinya ada.
Kepada anda yang rajin menghasilkan bahan-bahan dakwah di ruang maya internet ini, selagi bahan anda dipandang selagi itulah mengalir pahalanya. Jika berlaku pula perubahan positif kepada yang memandang, lebih besar lagi saham anda. Mungkin boleh mencapai 100% daripada apa yang mereka lakukan.
bersambung…
Alexanderwathern
7 APRIL 2007
Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/article109.html&mode=&order=0&thold=0
BERSEDERHANA DALAM MAKAN DAN MINUM
Monday, October 29, 2007
KELEBIHAN BERSOLAT
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
"Sekiranya ada sebatang sungai di hadapan pintu seorang kamu di mana dia mandi di situ lima kali satu hari satu malam adakah tinggal lgi kekotorannya?"
Mereka menjawab: "Tidak ada lagi yang tinggal".
Baginda bersabda: "Maka demikianlah perumpamaan solat lima waktu yang dengannya (solat) Allah menghapuskan segala kesalahannya."
(Muttafaq Alaih)
Saturday, October 27, 2007
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (bah. 3)
MENJADI PENDAKWAH BERKESAN (bah. 3)
oleh alexanderwathern
1. Menambahkan ilmu, iman dan amal.
2. Diri lebih terpelihara. Apabila menjadi pendakwah, automatik kita kena menjaga tingkah laku kita. Malulah kita kalau pendakwah sendiri pun macam orang lain juga.
3. Nilai diri kita di mata umum dan di mata para malaikat semakin naik.
4. Mendapat lebih ramai kenalan dan teman. Apa yang penting, mereka ini umumnya orang yang baik-baik. Alangkah seronoknya dapat ramai kawan yang baik-baik kan.
5. Mendapat juga tambahan orang-orang yang tidak senang dengan kita. Ini memang tidak boleh lari. Pendakwah nombor 1 iaitu Nabi Muhammad saw sendiri begitu banyak musuhnya, apatah lagi kita. Tapi kita pandang dari sudut positifnya. Bertambah lawan, maka bertambahlah kewaspadaan, semangat dan usaha kita. Kerenah mereka menjadi punca pahala kepada kita keraan usaha kita untuk menghadapi kerenah mereka akan dibeli oleh Allah dengan syurga. Apatah lagi kalau kita bersabar, pahalanya mengalir tiada titik henti. Hebatkan?
6. Di akhirat pula… tak perlulah diceritakan. Masing-masing maklumlah akan laba yang bakal diperolehi. Apa pula antara kerugian kepada diri kita di dunia dan di akhirat jika kita tidak berdakwah?
- Ilmu, iman dan amal sukar untuk meningkat. Biasanya ditahap yang lama juga.
- Diri kurang terpelihara. “Aku orang biasa, bukan pendakwah. Kalau aku buat lebih kurang pun, orang tak menilai sangat.” Rasa segan silu untuk melakukan sesuatu yang makruh dan haram kurang dalam diri.
- Nilai diri di mata umum dan para malaikat ditakuk itu jugalah, tiada peningkatan. Hormat orang kepada kita masih sama, kurang hormat orang kepada kita pun masih sama.
- Tiada pertambahan teman-teman yang soleh. Kalau di dunia lagi sudah tidak bergaul dengan orang-orang soleh, bolehkah mudah-mudah di akhirat nanti kita berangan-angan hendak duduk bersama-sama orang yang soleh, malah dnegan para anbia dan aulia?
- Orang yang tidak senang dengan kita, akan sentiasa ada sama ada kita berdakwah atau tidak. Sama saja.
- Di akhirat pula, kerugiannya sangatlah besar (akan kita huraikan di bawah nanti insyaallah).
Alexanderwathern
21 MAC 2007
Sumber:
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=101&mode=&order=0&thold=0