www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws

Friday, April 20, 2007

ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG



Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a berkata:

Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:


“ Bahawasanya Allah S.W.T. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah S.W.T. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

(Muslim)

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN



Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Seorang yang mahir dalam Al Quran akan berada di kalangan para malaikat, yang mana para malaikat itu merupakan para pencatat yang mulia dan benar, dan seorang yang tidak lancar (tersekat-sekat) dalam membaca Al Quran dan terpaksa bertungkus-lumus mempelajarinya, akan mendapat ganjaran dua kali ganda.”

(Bukhari, Muslim dll)

Thursday, April 19, 2007

DAKWAH TAJDID SEBENAR



DAKWAH TAJDID SEBENAR

Beberapa forum, laman dan blog mendakwa memperjuangkan tajdid dalam agama. Namun apabila kita mengembara ke dalam ruangan mereka, kita akan tertanya-tanya- apa benda yang didakwa tajdid dalam laman ini? Umumnya yang nampak hanyalah dakwah lama yang sudah tidak layak dipanggil tajdid lagi. Sebab itu ada pihak mengatakan , “Ini bukan dakwah tajdid, tapi dakwah takjadi.”

Kata-kata ini ada benarnya juga walaupun nampak macam tuannya hendak berkelakar atau menyindir. Ini kerana apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak itu ternyata benda-benda lapok lagi sudah basi. Itupun dinamakan tajdid? Yang kita tahu, tajdid benda baru. Yang mereka bawa tidak lain dakwah perpecahan umat masakini. Dakwah ini sudah lama berlalu. Ia sudah “out of date” pada zaman ini.

Antara isu yang didakwa sebagai tajdid ialah menghukum berdosa (melalui kata kunci “bidaah”) majlis tahlil, sambut Maulidurrasul, dunia kesufian, Sifat 20, takwil dan banyak lagi. Inikah tajdid? Dicetuskan ratusan tahun lalu pun tajdid juga? Nyata mereka ketinggalan zaman. Dakwah tajdid ini kalau manusia sudah terlalu tua usianya. Untuk memudahkan pemahaman, selepas ini saya akan menamakannya “Tajdid Lapok”. Tajdid Lapok ini sudah tidak layak disebut tajdid, tapi tak apalah. Kira tajdid jugalah agar golongan yang memperjuangkannya tidak terlalu kecil hati.

Yang hendak kita promosikan sekarang bukan Tajdid Lapok tapi Tadjid Segar dalam agama. Apakah Tajdid Segar? Ia adalah dakwah tajdid yang relevan dengan kurun ini, sedangkan dakwah Tajdid Lapok sepatutnya disimpan dalam muzium sahaja. Ada banyak perkara, tapi sebahagiannya tidak dinyatakan di sini kerana belum sampai masa untuk umat menerimanya. Biar lambat asal selamat.

Kita bentangkan dalam bentuk perbandingan agar pemahaman pembaca di tahap maksima.


TAJDID LAPOK
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa perbezaan fahaman antara dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya perbezaan ini adalah lebih penting daripada mencari persamaan. Tajdid Lama ini banyak membawa kerosakan dan perpecahan umat. Ia juga disokong oleh musuh-musuh Islam kerana membantu mereka mewujudkan perpecahan umat Islam.

TAJDID SEGAR
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa persamaan fahaman dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya mencari persamaan adalah lebih penting daripada mencari perbezaan fahaman. Tajdid Segar ini sangat berkesan untuk membawa perpaduan. Ia sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam.


TAJDID LAPOK
Umumnya tidak menyokong gerakan-gerakan Islam yang ada seperti jemaah-jemaah sufi, parti-parti politik Islam, Ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir, ABIM, JIM, ISMA dan lain-lain. Bagi mereka gerakan-gerakan ini hanya memecah-belahkan umat Islam menjadi 73 golongan sedangkan yang selamat hanyalah satu golongan sahaja iaitu mereka sendiri. Ada juga segelintir yang simpati dengan gerakan-gerakan Islam tapi mereka tetap tidak menjadi aktivisnya. Kalau jadi ahli pun sekadar ada nama sahaja. Nak kata digalakkan menyertai pun tidak, paling kuat kata harus saja. Mereka lebih utamakan perjuangan Tajdid Lapok. Kebanyakannya menghukum berdosa (melalui kata kunci bidaah) malah tidak akan selamat di akhirat ke atas semua gerakan Islam itu. Tajdid jenis ini memang menjadi kesukaan musuh-musuh Islam.

TAJDID BARU
Menggalakkan perkembangan jemaah-jemah Islam yang ada. Walaupun berbeza pasukan namun saling hormat-menghormati dan meraikan. Malah dari hari ke hari mereka berusaha mencari keselesaan untuk berjuang bersama. Pandang global, bergerak sebagai satu umat. Tajdid Segar ini amat digeruni musuh.


TAJDID LAPOK
Menghabiskan sebahagian besar masa, tenaga dan harta untuk membincangkan isu-isu khilaf. Seolah-olah itu sajalah perjuangan utama mereka dan itulah agama Islam. Tajdid Lapok ini direstui penuh musuh-musuh Islam. Mereka mahu umat Islam terutamanya golongan ulama sentiasa dalam keadaan bertelingkah. Kalau para ulama sudah berbalah, apa lagi orang awam.

TAJDID SEGAR
Mengutamakan isu-isu utama. Isu khilaf tidak ditinggalkan tetapi bukan menjadi agenda utama. Jika ada keluangan masa dalam memperjuangkan isu-isu utama, barulah dibuka isu-isu khilaf. Ini kerana telah terbukti bahawa isu-isu khilaf telah dibincangkan abad-berabad dan keputusannya, masih juga khilaf. Masa berabad-abad itu berlalu begitu sahaja tetapi keputusannya tetap sama. Ini membazir masa namanya. Kerja membazir ini sangat disukai Iblis dan syaitan. Jadi Tajdid Segar meletakkan perkara-perkara khilaf ke samping. Musuh-musuh Islam memang sakit hati dengan Tajdid Segar ini kerana umat Islam tidak ada masa untuk berbalah tetapi ada banyak masa untuk berhadapan dengan mereka.


TAJDID LAPOK
Biasanya menyebarkan perkara dusta dalam masalah “takwil, tak takwil”. Mereka umumkan “Salaf tak takwil, khalaf takwil”. Pembahagian ini kalau tidak disertai huraian sebagimana yang akan dinyatakan di bawah nanti, jelas satu pembohongan. Ini seolah-olah menggambarakn seluruh Salaf tak takwil dan seluruh khalaf takwil. Padahal pembahagian sebenarnya begini:

Salaf terbahagi kepada beberapa kelompok, bukannya satu kelompok sahaja sebagaimana pembohongan pembawa Tajdid Lama. Sekurang-kurangnya ada kelompok yang:
1. tidak takwil tapi tidak dijumpai bukti dia menegah takwil
2. kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil
3. tidak takwil dan dia menegah takwil (yang ini saya perlu kaji lagi)
4. tidak diketahui pun sama ada dia takwil ataupun tidak, dan sama ada dia menegah takwil ataupun tidak

Khalaf pula sekurang-kurangnya terbahagi kepada kelompok yang:
1. takwil
2. kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil
3. tidak takwil dan dia menegah takwil (ini golongan penjuang Tajdid Lama)
4. tidak takwil tapi tidak menegah takwil
5. boleh takwil dan boleh tidak takwil.

Jadi pembohongan yang mengatakan “Salaf tak takwil, khalaf takwil” sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan. Mereka mahu umat Islam seboleh-bolehnya percaya bahawa 100% salaf tak takwil. Padahal Imam Ahmad sendiri mentakwil hadis Nabi:

“Hajarul Aswad adalah tangan kanan Allah di muka bumi.”
(Al Hakim)

‘Hati orang beriman antara dua jari-jemari Ar-Rahman.”
(Muslim)

“Aku dapat rasakan nafas Ar-Rahman dari sebelah Yaman.”
(Ahmad)

SUMBER: Majmuk Rasail Hasan al-Banna.

Kata al-Banna:
“Sebagaimana yang anda tahu, masalah yang dibincangkan sedikti sahaja dan membabitkan masalah yang mana SEBAHAGIAN ULAMA SALAF SENDIRI ADA MEMBUAT PENTAKWILAN.”

Jelas bagai matahari di tengah hari yang cerah- dakwah “Salaf tak takwil, khalaf takwil” oleh penggerak Tajdid Lapok adalah penipuan terhormat. Kalau mereka jujur, pastinya mereka akan berkata “Salaf ada yang takwil dan tak takwil, khalaf pun begitu juga”.
Mengapa dakwah mereka begitu? Mudah saja. Tentulah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam agar tidak berani takwil kerana kononnya bertentangan dengan Salafussoleh, bertentangan dengan Sunnah dan bertentangan dengan Islam. Maka umat Islam yang jahil dalam hal inipun akan bersama-sama mereka menghentam ulama-ulama khalaf yang takwil.
Musuh-musuh Islam tersenyum lebar. Teruskan… teruskan…. kata mereka sambil bertepuk tangan.

TAJDID SEGAR
Kita sebarkan “Salaf banyak tak takwil tapi ada yang takwil, khalaf banyak yang takwil tapi ada yang tak takwil dan ada yang tak mahu takwil.”-sebagai contoh. Ini boleh diperhalusi lagi.


TAJDID LAPOK
Apa saja idea-idea yang bertentangan dengan mereka dengan kadar segera dan seboleh-bolehnya dikaitkan dengan Syiah.

TAJDID SEGAR
Idea-idea yang bertentangan dengan idea kita akan diselidiki sedalam-dalamnya terlebih dhaulu sebelum mengaitkannya dengan Syiah atau mana-mana pihak.


TAJDID LAPOK
Umumnya tidak ada harapan untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati bersama Syiah. Syiah dimusuhi semaksimanya. Umumnya menolak Syiah sepenuhnya hinggakan orang Syiah juga tidak ada hati untuk bekerjasam dengan mereka.

TAJDID SEGAR
Bekerjasama dengan Syiah dalam hal-hal yang disepakati. Umumnya tokoh-tokoh ala Tajdid Segar masih diterima oleh puak Syiah.


TAJDID LAPOK
“Bidaah” adalah satu hukum, seolah-olah hukum dalam Islam ada wajib, sunat, harus, makruh, haram dan bidaah. Keterlangsungan bagi bidaah adalah sama dengan haram atau berdosa. Ini mutlak.

TAJDID SEGAR
“Bidaah” bukan hukum. Hukum ke atas bidaah dijatuhkan mengikut keadaan “bidaah” itu sendiri. Sebab itu dalam kitab-kitab kita ada menemui ayat “bidaah yang makruh”, “bidaah lagi makruh”, “bidaah yang mungkar”, “bidaah yang tidak disunatkan (bidaah yang harus) dan seumpamanya.

Banyak lagi.
Cukuplah setakat ini dahulu. Insyaalah idea saya dalam hal ini tidak pernah kering dengan izin Allah.

Sekarang tugasan anda para pembaca.

PERTAMA
Anda pejuang Tajdid Segar ataupun pejuang Tajdid Lapok?

Jawapan: ________________________

KEDUA
Tajdid yang disukai oleh musuh-musuh Islam ialah Tajdid _________

KETIGA
Tajdidi yang relevan untuk kurun ini adalah Tajdid __________

Akhirnya, jangan malu-malu untuk mengakui anda sebagai pejuang atau penyokong Tajdid Segar. Kalau di laman mereka, mereka letakkan cogankata memperjuangkan “tajdid”, faham-fahamlah kita bahawa itu adalah Tajdid Lapok. Di laman kita juga kita boleh letakkan cogankata yang sama. Kami juga membawa tajdid. Oleh kerana perkatan “tajdid” mereka membawa maksud “Tajdid Lapok”, maka untuk membezakannya kita letakkan saja “Tajdid Segar”. Boleh juga “Tajdid Baru”, “Tajdid Sebenar”, “Tajdid Terkini”, “Tajdid Abad Ini”, “Tajdid Salaf” dan seumpamanya.
Untuk mereka, saya suka melabel “Tajdid Lapok” saja. Terpulanglah untuk anda melabelnya sebagai “Tajdid Orang Tua”, “Tajdid Basi”, “Tajdid Wahabi” dan lain-lain.

Diriwayatkan Sufyan ath-Thauri menegur kesalahan khalifah. Ketika dibantah khalifah dijawanya lebih kurang . “Aku mesti menegur perkara yang salah, kalau tidak… kencingu akan bertukar menjadi darah.” Dengan sebab itu dia dihukum bunuh tetapi diselamatkan Allah.
Saya tidak sahkan riwayat ini sebagai sahih, cuma ingin mengambil tamsilan bahwa begitulah sikap saya dalam hal ini.
Wallahulam.

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Posted on Friday, April 13 @ 06:04:36 EDT by alexanderwathern

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=121&mode=&order=0&thold=0

Sunday, April 15, 2007

Wanita Lebih Ramai Berbanding Lelaki


Daripada Anas r.a. berkata:

Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak penzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan”.

(Bukhari dan Muslim)

Golongan Anti Hadis



Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata:

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Hampir tiba suatu masa dimana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”.
(Kemudian Nabi Muhammad S.A.W. melanjutkan sabdanya): “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T ”.

(Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keterangan Hadis.

Hadis diatas bermaksud seorang lelaki telah mengingkari kedudukan hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran. Dia hanya percaya kepada Al-Quran sahaja. Baginya hadis tidak perlu dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan.
Realiti yang perlu kita fahami ialah seseorang itu tidak akan dapat memahami Al-Quran jika kita tidak merujuk kepada hadis Rasulullah S.A.W. Al-Quran sebenarnya banyak menerangkan kepada kita hal-hal yang besar dan garis panduan yang umum.
Oleh itu kita perlu merujuk kepada hadis Rasulullah S.A.W. Hadis berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayat Al-Quran. Hadis juga dapat menghuraikan dan menerangkan sepenuhnya perkara yang kita kurang jelas.
Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna jika kita hanya merujuk kepada Al-Quran semata-mata, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Rasulullah S.A.W.



Kelebihan Berpuasa



Dari Abdullah bin Amr bin Ash beliau berkata:
Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Shaum (puasa) tiga hari pada setiap bulan (pahalanya menyamai) shaum(berpuasa) setahun penuh".

(Bukhari dan Muslim)

Saturday, April 14, 2007

Kelebihan Membaca Al-Quran



“Barangsiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada Hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini.”


(Abu Daud & Ahmad)

Salah satu cara untuk kita membalas jasa kedua ibubapa, kita hendaklah membaca dan mengamalkan apa yang Allah perintahkan di dalam Al-Quran. Ibu bapa kita akan dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sinaran mahkota itu mengatasi cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah kita. Jika difikirkan matahari terletak begitu jauh sekali dari kita...walaubagaimanapun cahayanya cukup terang. Bayangkan sinaran dari mahkota yang akan dipakaikan kepada ibubapa kita adalah lebih bersinar lagi dari cahaya matahari...Alangkah hebatnya kekuasaan Allah S.W.T...Oleh itu marilah kita sama-sama mempertingkatkan
bacaan Al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya...

Wallahualam..


Friday, April 6, 2007

Permasalahan tentang fahaman Wahabi



Pengaruh kejahilan, adat setempat serta faktor pemikiran yang sempit menyebabkan amalan-amalan yang salah berkaitan kematian terus berleluasa di dalam masyarakat. Kesedihan yang menimpa keluarga si mati akan ditambah lagi dengan berbagai-bagai kesedihan seperti bebanan masalah kewangan kerana mereka perlu berhabis ribuan ringgit untuk membayar upah orang membaca al-Quran, bersembahyang jenazah, membuat kenduri arwah dan sebagainya.

Pandangan Cempaka

Kalau berhabis ribuan ringgit untuk membayar upah orang membaca al-Quran, bersembahyang jenazah, membuat kenduri arwah dan sebagainya itu dianggap MESTI, maka itu memang SALAH. Tapi kalau orang membuatnya dengan sukarela dan tidak menganggap ia satu KEMESTIAN, tidak ada salahnya.

Setahu cempaka, belum pernah lagi terdengar mana-mana masyarakat yang meletakkan hukum MESTI mereka perlu berhabis ribuan ringgit untuk membayar upah orang membaca al-Quran, bersembahyang jenazah, membuat kenduri arwah dan sebagainya. Agaknya dimana penulis artikel ini menjumpai masyarakat yang dikatakan memang meletakkan hukum MESTI buat???Entahlah di mana penulis menemuinya kerana dia tidak menerangkan lokasinya. Apa yang kita khuatir, penulis hanya mendengar-dengar cakap orang tanpa ada penyelidikan. Ini sangat bahaya.

***************************************************************************************************
Budaya ini sebenarnya bertentangan dengan roh Islam yang sebenar kerana Nabi Muhammad s.a.w. ketika mendengar berita kematian Ja’far ibn Abi Talib telah bersabda: Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan).
(Riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud).

Pandangan Cempaka

Budaya ini kalau dianggap MESTI, memang ia bertentangan dengan roh Islam. Kalau tidak dianggap MESTI, ia tidak bertentangan dengan roh Islam. Dalam hadis ini, Rasulullah mengalakkan para sahabat menyediakan makanan untuk keluarga si mati.

Dalam hadis itu Rasulullah menggalakkan para sahabat buatkan makanan untuk keluarga si mati, tapi tidak ada langsung larangan untuk keluarga si mati buatkan makanan untuk orang lain seperti ahli keluarganya yang datang dari jauh dan bermalam di rumahnya, untuk dirinya sendiri makan, untuk orang yang datang kerana majlis tahlil dan sebagainya.

Kami faham, penulis cuba eksploitasi hadis ini dengan tujuan untuk menunjukkan kononnya Rasulullah larang tuan rumah buat makanan. Ini taktik lama yang sudah tidak berkesan lagi pada hari ini tehadap orang-orang yang bijak berfikir. Untuk mereka yang taqlid buta kepada ceramah Wahabi ataupun bahan bacaan Wahabi, memang masih berkesan.

Thursday, April 5, 2007

MANDI JUNUB


Cempaka ingin berkongsi sedikit mengenai mandi junub.

Mandi junub bagi kaum wanita sama sahaja dengan mandi junub bagi kaum lelaki, hanya bagi
wanita yang berambut panjang, mereka tidak wajib menguraikan rambutnya. Yang penting air
sampai ke urat rambut. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.

Bahawa seorang wanita bertanya kepada Rasulullah S.A.W. :

"Jalinan rambutku sangat ketat, haruskah rambutku itu dihuraikan ketika mandi junub?"

Nabi bersabda:

"Cukuplah bila engkau tuangkan ke atasnya air sebanyak tiga kali, kemudian engkau siramkan keseluruh tubuhmu.Dengan demikian bererti engkau telah suci".

(Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)


Aisyah mendapat berita bahawa Abdullah bin Umar menyuruh isteri-isterinya menguraikan jalinan rambut mereka bila mandi. Maka Aisyah berkata:

"Aneh sekali Ibnu Umar, disuruhnya isteri-isterinya menguraikan rambut ketika mandi (mandi junub), kenapa tidak disuruhnya sahaja mereka memotong rambut? Sedangkan aku mandi bersama Rasulullah S.A.W. dari sebuah bejana, dan yang aku kerjakan, tidak lebih dari menuangkan air ke atas kepalaku sebanyak tiga kali".

(Muslim dan Ahmad)


Semoga kita mendapat manfaat dari hadis di atas.

Wednesday, April 4, 2007

Al-Quran Mendahului Ilmu Moden



Al-Quran memberitahu bahawa manusia akan mengalami sesak nafas apabila berada di langit tinggi. Fakta ini tidak diketahui oleh manusia sebelum ini. Al-Quran al-Karim telah pun menyebut perkara ini sebelum ia diketahui oleh manusia hampir 14 kurun yang lalu.

Firman Allah Taala:

“Dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.”

(al-An’aam: 125)


Ayat ini bermaksud sesiapa yang Allah kehendaki untuk disesatkan kerana perbuatan jahatnya dan penentangannya terhadap agama, Allah menjadikan dadanya sesak apabila mendengar peringatan atau penjelasan Islam seperti dada manusia yang sesak apabila naik ke langit.

Dahulunya manusia tidak mengetahui fakta ini iaitu fakta yang mengatakan dada akan menjadi semakin sesak apabila seseorang naik ke langit. Fakta ini hanya diketahui selepas penemuan juruterbang mengatakan sesak nafas akan berlaku apabila semakin tinggi seseorang naik ke langit. Ia boleh berlaku sehingga ke tahap boleh melemaskan seseorang.

Perkara tersebut berlaku kerana oksigen semakin berkurangan apabila manusia naik semakin tinggi ke langit. Sebelum ini manusia tidak mengetahui fakta ini kerana manusia beranggapan keadaan udara adalah sama, sama ada di bumi, di mana-mana planet atau di mana-mana bintang.

Sunday, April 1, 2007

WASIAT LUQMANUL HAKIM KEPADA ANAKNYA



Wasiat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya
Posted on Tuesday, March 27 @ 19:59:53 MYT by greenboc

Oleh Ibn Sabil

  • Wahai anakku ! Elakkan dirimu dari membuat hutang kerana sesungguhnya dengan berhutang itu akan menjadikan dirimu hina diwaktu siang hari dan menjadikan dirimu gelisah di waktu malam hari.
  • Wahai anakku ! Sekiranya kedua ibubapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan yang telah kamu lakukan maka kemarahan kedua mereka itu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanaman.
  • Wahai anakku ! Engkau akan dapat rasakan betapa beratnya ketika mengangkat batu yang besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat dari itu iaitu apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.
  • Wahai anakku ! Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan mengumpul ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya. Perbuatan ini tak ubah seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa menambah timbunan kayunya sedangkan ia tidak mampu untuk mengangkatnya.
  • Wahai anakku ! Berhati-hatilah terhadap tutur tata dan bicaramu, peliharalah budi bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya seolah mereka telah mendapat barang yang amat berharga darimu.
  • Wahai anakku ! Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu. Sekiranya dalam kemarahan itu ia masih mahu menasihati, menyedarkan dan menginsafkan kamu, maka dialah sahabat yang dicari. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.
  • Wahai anakku ! Bila kamu mempunyai teman yang karib maka jadikanlah dirimu sebagai seorang yang tidak mengharapkan sesuatu apapun darinya sebaliknya biarkanlah temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu darimu.
  • Wahai anakku ! Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak menciptakan kamu hanya untuk kehidupan di dunia sahaja. Ketahuilah tidak ada makhluk yang lebih hina selain dari mereka yang telah diperdayakan oleh dunia.
  • Wahai anakku ! Janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan jika tiada arah hala tujuan, janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang tidak memberi apa-apa faedah pun kepadamu dan janganlah kamu mensia-siakan hartamu pada jalan maksiat.
  • Wahai anakku ! Sesiapa yang bersifat penyayang sudah tentu dia akan disayang, sesiapa yang bersifat pendiam sudah tentu dia akan selamat dari mengeluarkan perkataan yang sia-sia. Ketahuilah sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari mengeluarkan ucapan kotor, sudah tentu ia akan menyesal kelak.
  • Wahai anakku ! Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami air hujan.
  • Wahai anakku ! Sesungguhnya kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah banyak manusia yang karam didalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, isi kandungannya ialah iman sedang layarnya pula ialah tawakal kepada Allah.
  • Wahai anakku ! Bila kamu menerima dua undangan majlis, satu majlis perkahwinan dan satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah majlis kematian kerana dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan dengan menghadiri majlis perkahwinan akan mengingatkan kamu kepada keseronokkan dunia sahaja.
  • Wahai anakku ! Janganlah kamu terus menelan apa saja yang kamu rasa manis dan meludah setiap apa yang kamu rasa pahit. Ingatlah, tidak semua yang manis itu akan menjadikan kita segar dan tidak semua yang pahit itu akan menjadikan kita segar.
  • Wahai anakku ! Janganlah kamu makan dengan terlalu kenyang yang berlebih-lebihan. Sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
  • Wahai anakku ! Carilah harta di dunia ini sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah hartamu yang selebihnya pada jalan Allah sebagai bekalan di akhirat. Janganlah kamu membuat dunia ini kelak dirimu akan menjadi pengemis dan membebankan pula orang lain tetapi jangan pula kamu terlalu mengejar dunia sehingga terlupa bahawa kamu akan mati. Ketahuilah, apa yang kamu makan dan pakai itu semuanya dari tanah belaka.
  • Wahai anakku ! Jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
  • Wahai anakku ! Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf dan sedar setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemulian dari Allah
http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=1163&mode=thread&order=0&thold=0

KEUTAMAAN SOLAT DHUHA



Dari Abu Dzar r.a. beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:


“Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya. Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Dhuha.

(Muslim)

Thursday, March 29, 2007

Ilmu Pembersih Hati


Posted on Wednesday, March 28 @ 22:08:06 MYT by greenboc

Oleh harriemaulana

"Sepotong do'a yang pernah diajarkan Rasulullah SAW dan disunnahkan untuk dipanjatkan kesyukuran kepada Allah Azza wa Jalla sebelum seseorang yang hendak menuntut ilmu. do'a tersebut berbunyi :

اللَّهُمَّ انْفَعْنِى بِمَا عَلَّمْتَنِى وَعَلِّمْنِى مَا يَنْفَعُنِى وَزِدْنِى عِلْماً مَا يَنْفَعُنِى

Dengan do'a ini seorang hamba berharap dikurniai oleh-Nya ilmu yang bermanfaat.

Apakah hakikat ilmu yang bermanfaat itu? Secara syariatnya, suatu ilmu disebut bermanfaat apabila mengandung mashlahat - memiliki nilai-nilai kebaikan bagi sesama manusia ataupun alam sejagat. Akan tetapi, ilmu tersebut menjadi tidak berguna sama sekali apabila tidak merasakan kedekatan kepada Zat Maha Pemberi Ilmu yakni Allah Azza wa Jalla. Dengan ilmu maka seseorang itu mungkin di angkat darjat kemuliaannya di mata manusia, tetapi belum tentu di angkat darjat kemuliaan itu disisi Allah Azza wa Jalla.

Dalam erti kata gambaran ilmu yang memberi manfaat itu sebagaimana yang pernah disebutkan oleh ahli sufi. " Ilmu yang berguna itu, ialah seperti sinar cahaya yang luas di dalam dada dan membuka penutup hati." Tokoh sufi iaitu Imam Malik bin Anas r.a. juga telah mengungkap kata-kata yang sedemikian iaitu " Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyak meriwayatkan sesuatu (hadith), melainkan ia adalah nur (cahaya) yang di masukkan Allah ke dalam hati-hati manusia. Adapun bergunanya ilmu itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada-Nya (Allah) dan menjauhkannya dari kesombongan diri."

Hakikat ilmu itu adalah kalaam Allah Azza wa Jalla. Sesungguhnya tidak
akan ada satu makhluk pun di alam semesta ini yang dapat mengukur Kemahaluasan ilmu-Nya. Sesuai dengan firman-Nya :


قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَاداً لِّكَلِمَاتِ رَبِّى لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّى وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَداً

"Katakanlah (wahai Muhammad) Kalau sekiranya seluruh lautan itu dijadikan tinta untuk (menuliskan) kalimat-kalimat Tuhanku, sudah tentu akan habis kering kontang lautan itu sebelum habis tertulisnya kalimat-kalimat Tuhanku,walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

Al Kahfi :109

Adapun ilmu yang dititipkan kepada manusia adalah tidak lebih dari setitik air di tengah samudera yang luas. Demikian juga, barangsiapa yang dikurniakan ilmu oleh Allah, maka dengan ilmu tersebut semakin bertambah dekat dan kian takutlah ia berbuat maksiat kepada-Nya.

Firman Allah SWT :

...يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ...

“ Dialah (Allah) mengangkat akan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu)."

Al Mujaadalah :11

Sesungguhnya janji Allah SWT itu tidak akan pernah meleset sedikit pun!

Walaupun hanya dengan setitis ilmu yang dititipkan ke dada-dada manusia, namun terlalu banyak sehingga tak pernah habis ilmu itu walau ianya dikaji sepanjang hayat. Bagi hamba-hamba yang arifin, ilmu tersebut menjadikan diri mereka semakin takut untuk berbuat maksiat kepada Allah. Inilah ilmu yang paling barkah yang sangat dituntut bagi kita mencarinya. Menuntut ilmu yang jelas (benar) niat mahu pun caranya (dari sebarang maksud yang lain selain dari keredhaan Allah semata-mata), nescaya kita akan mendapatkan manfaat yang besar tak terhingga darinya.

Bagaimana pula caranya agar kita memperolehi ilmu yang bersinar cahaya dan meliputi di dalam dada serta dapat pula membuka penutup hati? Imam Syafie yang nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris ketika masih menuntut ilmu, pernah ia mengeluh kepada gurunya lalu berkata "Wahai guru, mengapa ilmu yang sedang ku kaji ini susah sekali untuk memahaminya, bahkan cepat pula ia lupa?" Lalu guru itu pun menjawab, "Ilmu itu ibarat cahaya. Ia hanya dapat menerangi gelas yang bening (jernih) dan bersih." Maksud kata-kata guru itu ialah, ilmu tidak akan menerangi hati yang keruh dan banyak pula maksiatnya.

Oleh itu janganlah kita hairan sekiranya berlaku pada orang-orang yang rajin mendatangi majlis-majlis ilmu, usrah dan kuliah tetapi akhlak dan perilakunya tetap buruk. Mengapa pula demikian? Itulah yang dimaksudkan hati yang tidak dapat diterangi oleh ilmu, laksana air kopi yang hitam pekat di dalam gelas yang kotor. Walaupun diterangi dengan cahaya sekuat mana pun, sinar cahayanya tetap tidak dapat menembusi serta menerangi isi ruang gelas tersebut

Begitulah kalau kita sudah tamak dan rakus kepada dunia serta gemar maksiat, maka ilmu tidak akan pernah menerangi hati.

Padahal kalau hati kita bersih, ia umpama gelas yang bersih lalu diisi pula dengan air yang bening. Walau dengan setitik cahaya sekali pun akan mampu menerangi seisi gelas tersebut. Walhal, bila kita menginginkan ilmu yang boleh menjadi ladang amal saleh, maka usahakanlah ketika menimbanya, hati kita selalu dalam keadaan bersih. Hati yang bersih adalah hati yang bebas dari ketamakan terhadap urusan dunia dan tidak pernah digunakan untuk menzalimi sesama manusia mahu pun makhluk-makhluk Allah yang lain. Semakin hati bersih, semakin dipekakan Allah untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat tak kira darimana sekali pun ilmu itu datang. Disamping itu, kita pun akan diberi kesanggupan untuk menolak segala sesuatu yang akan membawa kepada mudarat.

Sebaik-baik ilmu itu adalah yang dapat membuat hati kita bercahaya. Oleh yang demikian, kita wajib menuntut ilmu sekuat-kuatnya yang dapat membuat hati kita menjadi bersih, sehingga pengetahuan yang lain (yang telah ada dalam diri kita) turut menjadi bermanfaat (ilmu).

Bila kita timba air diperigi tampak keruh, lalu kita akan mencari tawas (kaporit) untuk menjernihkannya. Demikianlah halnya dalam mencari ilmu. Kita hendaklah menuntut ilmu itu lalu menjadi tawas dan apabila hati sudah bening, ilmu-ilmu lain yang kita kaji dapat diserap seraya membawa manfaat.

Mengapa demikian? Sebab dalam mengkaji ilmu apapun kalau kita sebagai penampungnya dalam keadaan kotor dan keruh, maka tidak dapat tidak, ilmu yang dituntut itu hanya akan menjadi alat pemuas nafsu semata-mata. Sibuk mengkaji ilmu fiqh, tetapi hanya akan membuat kita menang sendiri dan gemar menyalahkan pendapat orang lain, sekaligus menginaya dan suka menyakiti hati sesama manusia.

Demikian juga dalam kita mendalami ilmu ma'rifat. Sekiranya dalam keadan hati itu busuk maka jangan hairanlah kalau hanya membuat diri kita riyak dan takabbur sahaja, malah merasa diri ini paling salih dan menganggap orang lain itu kotor dan sesat.

Oleh kerana itu adalah menjadi tuntutan fardhu ain ke atas kita untuk mengkaji ilmu kesucian hati dalam erti kata ma'rifat yakni mengenal Allah. Datangilah ke majlis-majlis pengajian (zikir) dan dapatkan pimpinan dari guru-guru mursyid yang membimbing kita kepada riyadhah iaitu berlatih mengenal dan mendekati diri kepada Allah Azza wa Jalla. Kita dibimbing agar memperbanyakkan berzikir iaitu mengingati Allah dan mengenal kebesaran-Nya, sehingga sedar betapa teramat kecilnya kita ini di hadapan-Nya.

Kita dilahirkan ke dunia dengan tidak membawa apa-apa dan demikianlah halnya apabila kita dikembalikan juga dengan tidak membawa apa-apa. Jadi kenapa mesti adanya perasaan ujub, riyak, takabbur, dan sum'ah di dalam diri kita? Merasakan diri ini besar, lalu memandang yang lain kecil. Merasa diri lebih pintar sedangkan yang lain bodoh. Apa! Adakah kita merasakan kehebatan dari ilmu yang kita miliki ini? Apakah kita sudah lupa bahawasanya ilmu yang kita miliki itu adalah titipan Allah jua. Dan tidak menjadi sulit bagi-Nya untuk mengambilnya kembali dari kita?

Subhanallaah! Mudah-mudahan kita dimudahkan oleh-Nya untuk mendapatkan ilmu yang dapat menjadi penerang dalam kegelapan dan menjadi jalan untuk dapat lebih taqarrub kepada-Nya.***

http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=1177

Keutamaan Mencari Ilmu


Dari Abu Darda’ r.a. , Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

“Sesiapa berjalan di atas jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Para malaikat meletakkan sayapnya di atas orang-orang yang mencari ilmu kerana malaikat menyukai apa yang mereka kerjakan. Makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya memohonkan ampun bagi orang yang berilmu termasuk ikan yang ada di dalam air. Keutamaan orang yang berilmu melebihi orang abid (ahli ibadah) bagaikan keutamaan bulan purnama ke atas bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para Nabi. Manakala para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar dan dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka sesiapa mengmbilnya dia kan mendapatkan keuntungan yang besar.

(Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah)




Wednesday, March 28, 2007

Sentiasa Mengingati Allah S.W.T.


Rasulullah S.A.W bersabda:

“Jagalah Allah, maka engkau akan mendapatkan-Nya di depanmu. Kenalilah Allah pada masa kesenangan maka Allah akan mengenalimu pada masa kesusahan. Ketahuilah bahawa sesuatu yang terlepas daripadamu tidak akan mengenaimu dan yang menjadi bahagianmu tidak akan terlepas daripadamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu berserta kesabaran. Kegembiraan itu sesudah kesusahan. Setiap ada kesusahan itu pasti ada kelapangan.

(at-Tirmizi)