KOTA BHARU 18 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) hari ini membidas tindakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan pembentukan kerajaan campuran Pas-Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Nik Aziz melihat tindakan Abdul Hadi itu sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan parti itu di Ipoh Ogos lalu yang menolak usaha pembentukan kerajaan campuran dengan BN.
Sambil menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai pandangan peribadi, Nik Aziz menegaskan satu mesyuarat khusus sepatutnya diadakan untuk membincangkan perkara itu.
"Itulah yang saya sebut, kalau nak bahas masalah kerajaan dengan UMNO kena ada mesyuarat khusus. Jangan buat keputusan lain, cakap lain, itu saya tak setuju. "Saya tetap dengan keputusan Muktamar (Tahunan Pas ke 54 yang lalu), barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu Pas tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran. Katanya, beliau hanya akan akur dengan cadangan Abdul Hadi itu sekiranya semua ahli jawatankuasa Pas Pusat bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dan keputusan itu perlu ditetapkan dalam mesyuarat khas berkenaan.
"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah," katanya. Nik Aziz berkata, beliau menentang cadangan Abdul Hadi itu kerana ia bertentangan dengan dasar parti selain dikhuatiri ia tidak akan membawa kebaikan pada Pas.
Cadangan Abdul Hadi itu sebelum ini dipersetujui Dewan Pemuda Pas Pusat yang disifatkan bertepatan dengan masa. Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuntut Abdul Hadi memberi penjelasan berhubung cadangannya itu kepada pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan DAP, sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat.
Sementara itu di :
KUALA LUMPUR 18 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencetuskan idea pembentukan kerajaan campuran antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. Karpal berkata, saranan pembentukan kerajaan campuran itu tidak harus timbul selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang.
"Saya fikir tidak harus ada pembentukan kerajaan campuran (antara BN dan Pas) apabila (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang akan mengetuai BN. "Pakatan Rakyat yang perlu membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya akan datang dan saya ingin tegaskan, bukan melalui kaedah lompat parti," katanya.
Baru-baru ini, Abdul Hadi mencadangkan agar semua parti di negara ini bersatu demi kepentingan rakyat tetapi pandangan itu kemudiannya disanggah keras Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mengenai percanggahan pendirian antara Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, Karpal berkata: "Itu menunjukkan terdapat percanggahan dalam kepimpinan Pas berhubung isu tersebut dan saya tidak tahu bagaimana Hadi boleh dapat idea sebegitu."
Katanya, beliau belum mendapat penjelasan Abdul Hadi berkenaan cadangan itu kerana pemimpin berkenaan kini berada di luar negara dan percaya cadangan tersebut dibuat berdasarkan pandangan peribadinya. Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan terdapat percanggahan dalam kepimpinan Pas dan pakatan pembangkang berhubung isu itu.
"Tidak ada percanggahan sangat, ini hanya berpendapat dan kita boleh bincang dalam mesyuarat pakatan rakyat. "Tuan guru Hadi Awang masih di luar negara dan apabila dia balik, kita boleh bincang," jelasnya. Berbeza dengan Karpal, Anwar mendakwa, beliau telah dimaklumkan mengenai cadangan itu oleh Abdul Hadi.
Sama-samalah kita tunggu dan lihat!
Torashah - UM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan