Followers

Tuesday, August 31, 2010

Eratkanlah rabitah hati antara kami... ‎(。◕‿◕。) ~♥♥♥~ (◕‿◕✿)

Rakaat kedua, syira mula solat sambil duduk. Sebaik sahaja memberi salam, syira merebahkan badan ke sejadah. Saya meneruskan wirid dan menghabiskan doa. Dah agak, syira collapse lagi. Tak bergerak, mata masih terbuka.Sejujurnya, saya memang tak tau nak buat apa. 

Kami membiarkan ustaz masuk mendekati syira, masa tu ustaz dah balik dari masjid. Zaujnya lebih arif keadaan syira. Kakak-kakak lain juga masih berada di ruang tamu, sahabat-sahabat ustaz berada di luar rumah.

Sambil tu, syida dan nur memunggah pinggan mangkuk di ruang tamu membawa masuk ke dapur. Syida mula mencuci pinggan, saya tolong bilas. Bukan setakat pinggan mangkuk dan gelas, dengan periuk sekali syida sental. Bagus, bagus.

“Ada bakat jadi pembantu rumah la kita ni.” Saya bersuara. Syida tergelak. Nur masih memunggah, saya dan syida berada di singki.

“Syida tau tak, jie memang tak percayakan syira masa dia kata ok tadi. Dah agak dah dia tak ok sebenarnya.”

“Takpelah, kita tolong apa yang patut.” Syida membalas.

“Banyak jugak kalau ustaz nak cuci semua ni dan kemas sorang-sorang, kan?” sambil cuci pinggan kami berborak. Nur siap sapu lantai lagi masa tu. Maaflah syira, kami dah buat macam rumah sendiri pulak. Syira tak kisah, kan? :)

“Syida, tengok nur tu, siap sapu lantai lagi.”

“Nur memang rajin, jie...kat rumah tu, bilik syida pun dia kemas.” Wah, bagusnya. Bertuah siapa dapat nur nanti. ;)

Sedang kami ‘mengerjakan’ pinggan mangkuk di dapur, ustaz masuk. Lebih kurang pukul 9.30 masa tu.

“Nak balik cepat ke... tergesa-gesa tak?” zauj syira bertanya.

“Tak, tak...”

“Ana kena ke masjid, ganti imam, lupa nak bagitau diorang awal-awal tadi. Boleh tak kalau...tengokkan syira...” ustaz serba salah agaknya masa tu.

“Boleh3...” saya terus memotong. Lagipun meeting memang tak jadi. Takpelah balik lambat sikit pun. Kami pun tak sampai hati nak tinggalkan syira seorang diri dalam keadaan macam tu.

“Dalam pukul 10.30 ana balik.” Ustaz menyambung.

“Owh, takpe je...” Sememangnya kami memang tak kisah. Tolong jaga syira sekejap je. Syira masih terbaring dengan telekung, tapi keadaannya dah semakin baik.

Selesai tugas di dapur, kami kembali ke ruang tamu. Syira dah mampu tersenyum. Dia pandang saya.

“Takpe, takpe...” Cuma itu yang saya ucapkan, sambil membalas senyumannya. Syira kuat, kan? :)

Sementara tunggu ustaz balik, saya, syida dan nur duduk di sisi syira sambil bersembang.

“Sedih la nur tengok syira macam ni, rasa macam nak nangis je...” nur buat muka sedih la pulak.

“Sabar nur, sabar. Kan syira dah ok ni.” Saya menyedapkan hati. Haru je kalau nur betul-betul menangis. Huhu...

Keadaan syira semakin stabil, syida picit dan urut kaki syira. Dah mula boleh bergerak, alhamdulillah. Tepat jam 10.30 ustaz sampai. Memang sharp betul. Kami terus bercerita, ustaz berlalu ke dapur.

Setelah melewati jam 11 malam kami meminta diri untuk pulang. Kena balik UIA sebelum pukul 12. Dari rumah syira nak balik UIA mengambil masa kira-kira setengah jam.

“Kami balik dulu ye.” Kakak-kakak yang lain terpaksa balik awal tadi. Yelah, masing-masing dah ada baby, tak boleh lama-lama sangat. Kami yang single ni takpe la. Sambil tu boleh tolong kemas apa yang patut. Bila tengok kami bangun, syira cuba untuk bangun.

“Tak payah, tak payah...jangan mengada-ngada nak bangun, baring je.” Saya membantah. Disokong oleh syida dan nur. Syira tetap mengukir senyuman. Saya tau dia masih menahan kesakitan, walaupun saya tak merasainya. Anggaplah diri syira bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang tak semua orang mampu tanggung. Saya pun mungkin tak sekuat dirinya. Orang yang sakit ni lebih mensyukuri nikmat sihat, kan?

Syira menghulur tangan sambil berbaring, salam disambut. Saya buka purdah, cium pipi dan dahi syira, tak boleh nak peluk. Moga terus kuat ye, dik! Insyaallah lepas raya nanti kita buat gathering lain pula ye, biiznillah. Semoga Allah permudahkan segala urusan.

Sunday, August 29, 2010

Mensyukuri sebuah pertemuan...♥◕‿◕♥

Selepas keluar bersama syida dan zafirah minggu lepas, kami bercadang untuk berbuka di rumah insyirah pada hujung minggu ini. Beberapa kali ber'sms' dengan syira, tak sabar untuk bertemu, meminta confirmation & merancang menu untuk berbuka nanti. Semangat betul syira. ^_^


Jumaat, syira memaklumkan keadaan kesihatannya yang kurang stabil. Malam tu syira mesej lagi, kesihatannya semakin teruk, beberapa kali pengsan. Hati rasa berbelah bahagi, sebab tak nak menyusahkan syira. Hampir saja membatalkan perancangan asal apabila syira sendiri yang meminta untuk cancel liqa+iftar di rumahnya. 


"Jie, tak nak ziarah syira ke?" mesej dari syida. Memang teringin nak pergi, tapi dalam masa yang sama tak nak buat syira rasa serba salah. Berselang-seli menerima mesej dari syida dan syira.


"Bukan syira tak nak bagi datang, tapi syira malu...takut tak dapat layan tetamu dengan baik." syira membalas. Saya sendiri ada meeting petang dan malam, takut tak dapat pergi. Meeting petang sabtu diawalkan ke hari jumaat, alhamdulillah settle.


Syida nampaknya bersungguh-sungguh mahu berjumpa syira, walaupun sekadar menziarahinya. Nur pula sanggup datang dari perak, tempat praktikalnya, semata-mata nak join iftar di rumah syira (lagi la semangat). Dari sana, datang ke KL, tumpang tidur di rumah syida. Selepas berbincang menerusi sms, akhirnya syira memutuskan untuk proceed dengan perancangan asal.


"Takpe2, datang je, insyaallah syira akan sihat..datang tau..." terharu dengan jawapan syira. Mungkin tidak mahu menghampakan kami.


Sabtu pagi, syira hantar mesej lagi,


"Assalamu'alaikum..K.jie, tadi syira mesej dengan k.syida kat facebook. K.syida kata k.jie tak jadi datang. Sedihnya... Huk3..." tak tau nak reply apa, biarkan je dulu. Tak lama kemudian, nur pula mesej, 


"K.jie, k.syida kata nak gerak after zohor." Pulak. Saya berfikir sendiri, 'aku nak pergi tak ni? Pergi jelah.' Kemudian terus sms syira.


"Slm, syira sayang..sori lambat, insyaallah akak gi nanti ye.:) "


Alhamdulillah, dapat bergerak seperti yang dirancang. Cuma, zafirah dan masyi tak dapat ikut. Lain kali ye insyaallah. Kira-kira jam 4 petang baru syida sampai, sama macam minggu lepas, kata lepas zohor. Huhu...


Banyak tempat persinggahan kami sebelum sampai ke rumah syira. Mula-mula singgah ke masjid untuk solat asar. 


"Syida dah ada wudhu' belum?" sambil melangkah ke dalam masjid.


"Dah, belajar dengan jie la ni. Dah ambil wudhu' siap-siap sebelum keluar." Tersenyum dengan jawapan syida. Bagus, bagus. Nur dah jamak awal-awal lagi. Selepas sesi 'tolak-menolak', saya jadi imam, sama macam minggu lepas.


Selesai solat, bawak nur pergi cari kain tudung, dengan saya sekali 'ter'beli kain tudung jugak. Siapa suruh syida tak nak 'ter'belanja jie, kan? :P Masa dalam kereta, kami call syira. Katanya sedang memasak, tak payah beli apa-apa. Tapi, kami singgah juga di bazar ramadhan untuk beli sedikit kuih. Tak selesa pula datang dengan tangan kosong.


Awal lagi masa tu, dalam 5.30 petang. Then, pergi 'the store' pulak. Kononnya nak cari jubah, tapi lagi sekali 'ter'beli beberapa buah buku. Lain yang dicari, lain pula yang dibeli. Sabar jelah.




Kami tiba di rumah syira jam 7 lebih. Nasib baik syida dah biasa dengan jalan tu. Dekat je dengan rumah syida sebenarnya. Yang jadi jauh sebab kena jemput saya kat UIA ni dulu. Kan syida, kan? Hehe... Masa tu dah ada tetamu di rumah syira, sahabat-sahabat zauj syira dengan zaujah dan anak-anak masing-masing. Tetamu-tetamu yang lain semua orang dewasa nampaknya, puan syira je 'kanak-kanak'. Bertambah kenalan kami, seronok dapat jumpa kakak-kakak tu dan baby yang comel. ^^,


"Nak kami tolong pape tak?" saya memang tak senang duduk tengok syira dan zaujnya sibuk di dapur. Nak jugak menyibuk. Sorry ye syira, akak memang macam ni, hehe... Tolong sikit-sikit je, angkat dan hidang apa yang patut, dah nak siap pun masa tu. 




"Comel la budak tu..." saya memandang amanina, baby kak nor. Chubby sungguh. 


"Dia tu anak angkat syira tau, syira umi kedua dia." Sambil menyiapkan hidangan.




"Boleh jadi anak angkat akak jugak la kalau macam tu. Akak pun nak jadi umi dia."  Nak jugak, hehe.


"Tak boleh, tak boleh...kalau akak jadi umi, mana abi nya?" Saja nak kenakan orang ye, syira.


"Ala...abi nya coming soon la, tak ada pun takpe. Anak angkat je pun." Tak nak mengalah. Semua orang geram kat baby tu, comel sangat.




"Akak, tolong angkat ni..." syira menunjukkan tong air.


"Tak nak." spontan saya membalas, saja test.


"Ala...tolong la...syira tak boleh angkat barang berat." sayu la pulak. Saya memang dah faham keadaan dia pun, saja nak usik syira. :P




Alhamdulillah dapat iftar bersama-sama. Zauj syira dan sahabat-sahabatnya berbuka di ruang tamu bahagian hadapan, kami berbuka di ruang satu lagi. Selesai menjamu selera, ustaz-ustaz ke masjid, kami berjemaah di rumah. 




Lepas solat maghrib, syira menghidangkan kuih. Makan lagi. Saja nak bagi kitorang gemuk ye? Hehe... Sambil makan, sambil beramah mesra dengan kakak-kakak dan melayan anak-anak diorang.


"Habisla jie, dia dah dapat baby dah." syida menjeling. Lalala~


"Mana satu mak dia ni?" kak alia memandang saya dan kak nor di sebelah. Nur Ilham Amanina yang berusia 8 bulan berada di ribaan saya, ibunya berada di sebelah. Saya tergelak. Kak alia ingat amanina tu baby saya. Wah...bangga, bangga...Puan syira sila jeles ye, syida pun sila jeles jugak. :P


Masuk waktu isya', kami masih berjemaah di rumah syira.



"K.jie la jadi imam..."

"Syira la, syira kan puan, akak 'cik' lagi..."

"Ha, 'cik' la jadi imam..."

"Syida jelah, tadi jie dah jadi imam kan.'

"Tak nak, tak nak, syida tak boleh...nanti gugup."

"Yelah, yelah..." akhirnya saya mengalah. Sebelum solat, syira mula 'bermasalah'. Kaki cramp. Risau saya.

"Ok tak ni?" 

"Ok, kuatkan semangat!" senyuman masih terukir di bibirnya. Bukan boleh percaya budak tu. Saya merenung matanya, mencari kepastian.

"Akak kenapa? Syira ok la..jom solat." masih lagi senyum. Dalam hati saya, masih lagi bimbang. Syida sekadar memandang.

"Betul takpe? Ke nak solat sambil duduk?" syida pula bertanya.

"Takpe, takpe.." syira membalas.

~to be continue~

Friday, August 27, 2010

Sayang Kawan Perempuan, Tinggal-tinggalkan...

"Sayang, sayang... kenapa kita tak pernah keluar berdua?
Tengok diorang tu, pergi mana-mana pun berdua je, sweet kan? Kenapa kita tak macam tu?


Kawan honey kan, nak pergi mana-mana mesti boyfriend dia temankan. Bukan setakat PAUN, nak pergi ‘potostet' pun boyfriend dia temankan. Sweet sangat! Romantic couple! Kan? Kan sayang kan? Mesti diorang tak pernah gaduh, sweetnyeee.....


Kenapa sayang tak nak keluar dengan honey,teman honey jalan-jalan, shopping... tak macam boyfriend lain buat kat girlfriend diorang? Sayang malu keluar dengan honey ek? Honey tau la honey tak cantik.... Hmm...."

***IKLAN ABIS, TAPI SEBAB TAK SANGGUP TENGOK CERITA TERSEBUT, TUKAR CHANNEL***



"Ustaz, boleh tak sebenarnya lelaki dan perempuan keluar berdua? Tak kisahlah diorangcouple ataupun tidak. Boleh tak? Keluar sebab ada urusan kerja ke, saja-saja ke, tapi tak buat apa-apa. Means tak sentuh-sentuh, just borak-borak je..."

"Hmm... Drama sebelah tadi pun cerita pasal lelaki perempuan keluar berdua jugak".

**** PENONTON TERCENGANG! ****


"Oklah, oklah, ustaz jawab insyaAllah...
Tapi kamu nak ustaz jawab ikut ilmu ke nafsu ke exclusive?"
"Exclusive hape plak tu ustaz?"
"Ok satu-satu ye? Mula-mula,jawapan ikut nafsu dulu. Kalau ikut nafsu, EH, MESTILA BOLEH! BUKAN BUAT APA-APA PUN KAN??!!!?"
"Astaghfirullah terkejut saya, ustaz ni...."
"Hehe... mestila boleh. Kata kamu tadi diorang tak buat apa-apa pun kan? Takpelah, takkan tak boleh keluar berdua kot, nak pergi makan-makan ke, apa ke, ye dak? Lagi pulak kalau ada kerja, ada urusan, apa salahnya berdua, bukannya cakap benda bukan-bukan pun... kan?"

"Err, ustaz tanya saya ke tu? saya nak jawab apa ni? Blurr kejap, heh...."
"Tapi kalau jawab ikut ilmu, Nabi Muhammad SAW ajar kita untuk ‘berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Didalam pergaulan sehari-hari antara lelaki dan perempuan. Disebut dalam bab muamalat, ikhtilat. Dalam satu hadith sahih,

Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya". 

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Di dalam riwayat yang lain,

Daripada Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya". 

(Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

Di dalam surah An-Nur surah yang ke 24 ayat yang ke 30 Allah bagitau,

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."

Ayat lepas tu Allah nasihat kaum Hawa pula untuk menjaga pandangan....

"Sedangkan Aisyah, yang digelar Ummul Mukminin, ibu orang-orang mukmin, pun menggunakan tabir untuk menyampaikan ilmu pada para sahabat yang lelaki setelah kewafatan nabi. Para sahabat yang mempunyai iman setinggi gunung, pun mengambil langkah ‘berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Bukan menyuruh bertabir, tetapi ‘berjaga-jaga' dengan mengelakkan dari ‘berdua'. Kerana lelaki di zaman sekarang tidaklah lebih hebat dari para sahabat, perempuan pula tidaklah setanding iman Aisyah".

"Berdua pasti akan ada yang ketiga. Syaitan tidak menghasut playboy sahaja, ulama' pun tidak terkecuali. Cuba bagi seorang perempuan duduk dengan seorang ulama'. Mampu beliau tahan 'fitrah'nya selama setahun? Sebulan? Seminggu? Sehari pun masih ragu-ragu jika tiada ikatan yang halal".

"Kalau jawab ikut ‘exclusive', Allah nasihatkan jangan mendekati zina bukan bermaksud jangan berbuat zina. Tetapi Allah bermaksud, jangan ‘pergi ke arahnya'. Sebab? Yang pertama, kamu akan cenderung melakukan zina. Sebab yang kedua,adalah kerana itu akan menimbulkan fitnah". 

Cakap-cakap orang...


Apa kata orang bila nampak lelaki perempuan berdua?
Apa terdetik di hati orang yang melihat mereka berdua?
Adakah orang akan tahu mereka berbincang tentang apa?
Adakah orang akan sangka mereka cuma berbual sahaja?

"Yang baik akan bersangka baik dengan mereka, ‘mungkin hal persatuan agaknya'...


Tetapi yang tidak baik, apa yang difikirkan mereka?
Inilah yang Allah nak elakkan, ‘peluang-peluang' untuk orang mengata.' Peluang-peluang' untuk orang berdusta. ‘Peluang-peluang' inilah FITNAH".

"Fitnah ini tidak memberi kesan pada lelaki.


But women? Kita bercakap soal ‘exclusive'. Seorang perempuan, adalah seperti mutiara yang tersimpan kemas. Mahu menikmati ketenangannya, menyentuh emosinya, mendengar kemanjaannya, merasakan kelembutannya, HARUS NIKAH DULU!"

"Kenapa ustaz kata lelaki tidak terkesan dengan fitnah ini? Kerana lelaki bebas untuk ‘touch n go' ". 

Sudah jemu? Terpulang untuk tinggalkan, cari sahaja alasan, asalkan dapat yang baru. Yang lama konon-konon masih sayang, tapi di hadapan teman-temannya???


"Perempuan tu ke? Ooh... aku pernah keluar berdua dengan dia dulu. Teman dia pergi shopping."


"Perempuan tu? Alah, senang je nak ajak dia keluar, aku pernah keluar dengan dia dulu..."


"Perempuan tu ke? Haha... Aku dah pernah rasa dah..."


"Perempuan tu? Alah, dia minat aku dulu."


"Perempuan tu??? Nampak je baik tu, bekas aku je dulu tu..."

" EVEN DIA TIPU DAN REKA CERITA SEKALIPUN KAWAN-KAWANNYA BUKANNYA TAHU! "

"Di mana kaum hawa ketika itu untuk membela diri dan martabat??
Di mana maruah, hak exclusive seorang suami terhadap isteri jika sudah begitu nilai diri?


Lelaki... Di depan sahabat tunjuk hebat, konon dialah lelaki terdahsyat, pernah mencairkan wanita-wanita memikat.
Perempuan... Biar dikerat empat, lelaki tersayang itulah yang paling jujur dan hebat.
Perempuan... Biar dikerat empat, ‘kawan baik' itulah tempat dia curhat.
Perempuan... Biar dikerat empat, sering terlupa mana mimpi mana hakikat.

Lelaki selagi belum jadi suami tetap ada peluang untuk ‘berpisah'.
Kalau ditakdirkan berpisah, badan mahupun ruh, apa tinggal untuk bakal suami?


‘Sayang'? Dah bagi kat boyfriend.
‘Keluar berdua'? Dah bagi kat kawan study group.
‘Suara bangun tidur'? Dah bagi kat abang angkat.
Body'? Malasnya nak tutup-tutup, rimasnya pakai baju longgar-longgar.
‘Muka makeup'? Tiap-tiap kali dinner kot??? "


**** TERASA PEDAS, TUKAR CHANNEL ****

"Sayang sayang..... sayang sayang sayang?"
" Of course sayang.....sayang saaaaaaaaaaaaaaaaaaaayang sayang!"


(Erk....???? Apakah? Gastric juice is over secreted, help!!! )

**** TUKAR CHANNEL BALIK ****

"Amatlah rugi orang yang sudah sampai kebenaran padanya namun dia menolak dengan perasaan bongkak dan benci".

Allah menyebut didalam al-Quran,

35 : 24. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

6 : 104. Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).

"Ustaz, lelaki memang semua macam tu ke?"
"Mungkin tak semua, tapi perempuan kena sentiasa berjaga-jaga. Elakkanlah ‘fitnah' kepada diri sendiri. Dan lelaki pula, harus hormat martabat dan darjat wanita, jaga dan bimbing mereka ke jalan yang benar...."


**** BLACKOUT, TUTUP TV ****


sumber: iluvislam.com

Sunday, August 22, 2010

Menyemai benih-benih ukhuwwah... :)

Secara tidak sengaja dia mengenali saya di blog, perkenalan diteruskan melalui facebook, dan mengambil keputusan bertemu saya di uia. Ukhuwwah menerusi alam maya berpanjangan apabila kami bersemuka buat pertama kali pada semester lepas. Apalagi bila syida mengajak untuk keluar bersama, saya terus bersetuju. Niqab menjadi wasilah awal pertemuan. 

“Syida kenal jie kat blog ke?” saya pun tak ingat macam mana sahabat saya ni boleh kenal saya.

“Em, masa tu syida tengah search pasal niqab, lepas tu jumpa blog jie.” Syida menerangkan.

“Ooo, lepas tu baru syida add kat facebook ye?” saya mengagak.

“A ah, kan awal-awal dulu syida tegur kat facebook, syida panggil jie ‘kakak’, rupa-rupanya kita sebaya.” Katanya sambil tergelak.

Sabtu, 21 Ogos, kami keluar bersama. Sebelum ni syida pernah ajak untuk berbuka puasa dengan beberapa orang sahabat lain. Juga kenalan melalui blog dan facebook.

“Mana masyi?” tanya saya apabila Cuma syida dan zafirah yang kelihatan di depan mahallah. Sebelum datang ke uia, syida menjemput zafirah dahulu.

“Masyi tak dapat datang, dia ada presentation hari ni. Nur pulak tak dapat balik, tengah praktikal lagi kat Perak. Frust betul nur tak dapat join. So kita bertiga jelah.” Sepatah saya bertanya, panjang lebar syida menjelaskan.

“Ala tak bestnya...” sedih pulak tak cukup korum. Masyi dan nur pernah datang ke uia bersama syida dan zafirah sebelum ni, sekali je kami pernah jumpa. Then syida ajak keluar iftar sekali, tapi lagi dua orang tak dapat ikut pulak.

Mula-mula kami singgah di kedai tudung, zafirah tengah cari tudung labuh untuk kakak ipar dia. Saya dan syida ada jugak tengok-tengok jubah, tapi tak ada yang berkenan pulak. Nanti-nantilah cari yang lain. Hehe...


~selepas menunaikan solat asar di masjid negara~

Waktu asar, kami berhenti solat di masjid negara. Tapi tak tau nak naik ikut tangga mana. Last-last tanya orang yang jaga kat situ, boleh tahan jugak la berjalan nak naik ke tingkat atas tu, huhu... 

Perjalanan diteruskan, syida tekun memandu, saya dan zafirah setia menjadi penumpang. Banyak kali orang dalam kereta-kereta kat sebelah pandang kami, lagi-lagi bila berhenti kat traffic light, ada je yang pandang. Pelik sangat ke tengok kami bertiga berpurdah? Tak faham saya. Kalau pandang sekali je takpe lagi, ni duk tenung je, sabar jelah. =_='

Masuk sogo, cari parking, dah pukul 7 lebih. Ingatkan nak makan kat food court je, tapi sangatlah ramai orang kat dalam tu.

“Macam mana ni? Kita nak makan kat mana sebenarnya? Ramai sangat la orang.”

“Tengah cari tempat la ni. Tapi macam tak ada tempat je, semua penuh.”

“A ah, kalau ada pun, susah...open sangat, takde tempat tersorok...”

“Jom, jom...jie rasa kita dah jadi perhatian ni. Walaupun tak pakai spek, tapi jie tau diorang duk pandang kita tu. Obvious sangat kot, kita je yang pakai macam ni...” Memang dari awal saya perasan ada je yang duk perhatikan kami. Huhu...

“Syida...secret recipe...” dah mula dah saya ni...

“Nak ke? Syida belanja.” Spontan syida membalas. Saya memandang syida, senyum melalui mata. Wah, seronoknya syida nak belanja! Best2! 3 slice kek yang berlainan untuk kami bertiga. Saya ulang, syida belanja ye. Tq syida! Hehe...

~inilah juadah berbuka kami, secret recipe yang syida belanja~


Setelah gagal mendapatkan tempat untuk berbuka, kami bercadang untuk makan kat surau je. Makan kek dan minum air jelah dulu. Tapi, lain pulak jadinya.

“Ramainya orang kat sini, beratur sampai ke luar surau.” Tak jadi masuk, berderet orang kat luar, confirm dalam surau tu pun penuh. Sudahnya kami berbuka dalam kereta.

“Jie, cepat baca doa”. Syida tengah drive masa tu. Zafirah menghulurkan minuman. Destinasi kami, tasik titiwangsa. Entah ke mana-mana je kan berbuka? Dahla beli secret recipe je.

“Hari ini dalam sejarah, jie tak pernah buka puasa dengan kek, secret recipe pulak tu.” Zafirah dan syida tergelak. Fira memang kuat gelak la... :P

“Ok, kita cari tempat dulu. Kat depan tu ok tak?” syida mula memperlahankan kereta.

“Fira ok je!” zafirah terus menjawab.

“Jie mana-mana pun tak kisah, asalkan dapat duduk makan.”

Bila keluar kereta, nak duduk kat kawasan tepi tasik tu, ramai la pulak orang. Dari jauh tak nampak sebab agak gelap. Yang dengan family ada, dengan kawan-kawan ada, yang berdua pun ada. Hmm... Kami tiga-tiga ber’tutup’, so kenalah cari tempat yang tertutup jugak. At least yang terlindung sikit. Last-last ada jugak satu ruang yang memang tak ada orang kat area tu, ada seorang dua je.

“Kejap, syida pergi ambil lapik kat dalam kereta.” Saya dan zafirah menunggu di situ. Tengok-tengok, syida kembali dengan sebidang tikar.

“Ya Allah, syida...siap bawak tikar lagi tu! Ni macam nak picnic dah ni.” Terkejut saya. Syida ni la, tak tau nak kata apa, huhu...

“Ok, line clear kan? Takde orang, jom makan...” Maklumlah bila dah jadi ‘ninja’ ni, nak makan kena cari tempat yang sesuai dulu. Makan kek je pun untuk berbuka.

“Takpe, takpe..lepas ni kita pergi cari nasi ye..” syida memujuk. Malam tu kami makan kat kampung baru. Alhamdulillah, dapat port yang strategic, memang terlindung. Lagi sekali, syida belanja. Mudah-mudahan murah rezeki syida ye, ameen...;)

~sebelum...nasi goreng syida belum sampai lagi ni...~


~selepas...alhamdulillah, kenyang...:) ~

Sampai uia dah dekat pukul 11, tapi syida dan fira naik ke bilik saya dulu. Sempat lagi tu. Dalam sejam jugak kot duk sembang-sembang. Siap belek-belek jubah, tudung, dan niqab saya kat loker tu. Huhu... Bukan itu saja, saya siap ajar diorang menjahit lagi. Dah tengah malam kot. Budak berdua tu teringin sangat nak tau cara saya jahit purdah, so ajar jelah. Kain perca ada lagi yang lebih, jarum dan benang memang sentiasa ada. Kalau nak minta saya jahitkan pun boleh. Masa tu diorang ada tengok buku-buku saya yang berderet tersusun dekat rak.

“Amik je kalau nak pinjam, jie tak kisah.” Dengan senang hati saya mempelawa. 

Banyak la pulak cerita tengah-tengah malam ni. Dahla masa dalam kereta cakap tak berhenti. Then, sempat lagi syida ajar edit gambar guna photoshop. Saya buka laptop, dalam masa yang sama zafirah tengah test jahitan yang saya ajar tadi. Semangat betul budak tu.

“Ok, lulus dah.” Saya melihat corak jahitan zafirah.

“Yeay! Ha, kak syida, kak jie cakap dah lulus dah!” excited la pulak zafirah tu.

Saya dan syida masih mengadap laptop. Sambil tu, buka album family, tengok gambar raya, macam-macam lah. Sudahnya pukul 12 lebih baru syida dan zafirah meminta diri. Saya turun ke bawah sekali, syida kena hantar zafirah balik dulu kat puchong, lepas tu baru pulang ke damansara. Jauh perjalanan, kan? Dari tengahari sampai ke tengah malam. May Allah bless our ukhuwwah forever, insyaallah...

P/s: Sebenarnya agak banyak peristiwa dan kisah yang berlaku sepanjang perjalanan kami, tapi panjang sangat kalau nak cerita semua. Apa pun, semoga ia menjadi kenangan kita bersama. Sayang kamu lillahi taala. =) 
Planning nak pergi rumah insyirah next week, kalau syira berkelapangan dan sudi menerima kunjungan kami nanti...insyaallah wa biiznillah.



"Roh ukhuwwah menggetarkan hati dan perasaan. 



Hati-hati bersatu atas dasar yang satu, terikat dengan ikatan aqidah, ikatan yang paling kukuh dan mahal. 
Bila hati telah terpaut dan jiwa telah terpadu, maka persaudaraan yang wujud terus berjalan, bersih, dan penuh rasa kasih. 
Berdoalah agar kita sentiasa dikurnia nikmat kemanisan berukhuwwah. 
Agar kita sentiasa berpijak pada simpulan aqidah, pengikat yang utuh dan abadi..."

Wednesday, August 18, 2010

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah


Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu."

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit



Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku.

Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh


Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat


Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

sumber: solusi isu 21, tulisan fatimah syarha