Followers

Friday, June 26, 2009

Purdah Antara perbandingan hukum. Oleh : Dr Yusuf al-Qardhawi

Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama'. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus.

Penilaian kita selaku golongan muttabi', iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.Ada dua pendapat; pertama menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid'ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini.

Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunnah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama'.Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat.


Ulama' berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud
"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya" Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud, yang dikatakan dengan perkataan 'ma zahara minha' ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.(lihat mu'jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan 'ma zahara minha' dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan.

Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b Malik berpendapat begitu.Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki 'melabuhkan pakaian' sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat 'ma zahara minha' tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.Antara ulama' yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama' kebanyakan tempat.Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A'la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juga terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan dikalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap(tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk!

Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut.

Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.


Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memaki purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama' bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Dalil : Surah An Nur ayat 30 dan 31

.: Hadis Rasul SAW yang bermaksud "Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini,sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan ( had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan)


.: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31

.: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.

Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.


2. Tafsir Ibnu Mas'ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.


3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.


4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.


5. Saddu Zaraii'ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.


6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.

Secara akhirnya, jumhur ulama' yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah.

Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.


2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.


3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.


Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya.

Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan 'tidak boleh masuk dengan masyarakat'. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah.

Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar'i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini!

Thursday, June 25, 2009

Walimah & jalan-jalan…


Jumaat lepas seorang lagi sahabat saya selamat diijabkabulkan, akad nikah selepas isya’. Moga Allah rahmati baitul muslim amalina & shahid. Tahniah ye, dik. Majlisnya pula hari sabtu. Asalnya memang nak pergi, then tak jadi, lepas tu tiba-tiba jadi pulak. Maka bermulalah perjalanan yang panjang pada hari hari sabtu, Gombak-kemaman. Jauh tu, penat drive! Tapi yang pastinya bukan saya yang drive, sebab saya Cuma ada lesen basikal je, huhu…
"Tahniah amalina dan shahid...(^_~)"


Kira-kira jam 7pagi bertolak dari uia. Saya, imad, adah & lina satu kereta. Lina & adah drive gilir-gilir. Saya dengan imad jadi penumpang setia. Bawak je nota, kononnya nak study, baca la jugak sikit-sikit, tapi tak boleh focus la baca dalam kereta. Kan imad, kan? Kereta lagi satu aina, nisa’, fadhilah, haryani & laila. Aina yang drive, tak tukar shift pun. Lina ambil alih kejap je, kesian aina penat, tapi nampak maintain je.
"Saya tak bagitau umi saya ni muslimin takde, nanti dia risau." Nisa' bersuara. Masa tu tengah berhenti breakfast.
"Saya pun tak bagitau mama budak lelaki tak ikut, kalau tak mesti dia tak bagi." lina pulak menyampuk.
Dekat pukul 12 tengahari still berada kat kuantan parade, cari hadiah. Kalut betul. Tapi ada jugak yang sempat shopping, sambil-sambil. Aina beli kasut, fadhilah beli cincin.
“Ai, nak gi walimah pun beli cincin baru ke?” saya menegur.
“Saja je, berkenan..saya pun beli lah.” Ada-ada je kawan saya yang sorang ni.
Lewat jugak kami sampai, sebab banyak kali berhenti. Dan ada beberapa ‘masalah teknikal’ semasa dalam perjalanan. Kelakar pulak rasa, lina yang drive, adah yang tekan gear. Boleh imagine? Kalut betul, kereta tu bermasalah sikit, sebab nak sesuaikan diri dengan pemandu baru kot. Huhu…
"Ni yang tak jadi nak tidur ni." Imad meluahkan kerisauannya. Tapi memang nak tergelak la bila ingat balik. ‘Mencabar’ jugak naik kereta dengan lina ni. Jangan marah ye, dik..gurau je! ;p
Kira-kira jam 2 petang, Alhamdulillah sampai jugak ke rumah amalina. Excited sangat jumpa sahabat-sahabat uia kuantan, macam buat reunion pulak rasanya. Padahal pengantin tak jumpa lagi tu. Sibuk duk bersalam dengan budak-budak ni. Maklumlah lama tak jumpa.
“Nurul, dah setahun lebih tak jumpa awak, akhirnya dapat jugak saya jumpa ‘iffah…” saya mendekati nurul yang sedang meriba ‘iffah.
“Ha, tu la awak, dah besar dah anak saya…” ujar nurul sambil bersalam dengan saya. Takpelah, at least dapat jumpa, kan? Dapat jugak lepas rindu kat sahabat-sahabat & anak saudara yang seorang ni.

"Sahabat-sahabat yang dirindui...tak nampak la pulak muka zai & aina."
Tak lama sangat pun duk kat sana. Lepas makan, borak-borak jap, tanya khabar, ambil gambar ramai-ramai. Tapi seorang pun tak bawak kamera, guna handset je. Tak sempat nak bergambar dengan pengantin pun.
Perjalanan diteruskan. Setiap kali tukar orang untuk drive, setiap kali jugaklah imad risau.
"Ai, tak boleh tidur lagi ni, driver baru lagi." saya gelak je. Memang susah sikit nak sesuaikan diri dengan kereta tu.
"Imad, perlu ke cakap macam tu?" saya memandang imad di sebelah.
"Perlu, k.jie..." selamba imad menjawab.
"Imad, bagus jugak tengok diorang berdua ni. time lina drive, adah yang tenangkan, time adah drive pulak, lina yang tenangkan, kelakar pulak." agak kalut, sebab beberapa kali enjin kereta 'ter'mati tiba-tiba. Tapi dengar kata dalam kereta lagi satu haryani yang paling kecoh. Walaupun dia tak drive, tapi macam polis trafik pulak, peka betul dengan peraturan jalan raya. Ye ke yani? K.jie tak tau, aina yang cakap, hehe...
Masa balik tu pun sempat lagi menyinggah sana sini. Budak-budak ni berhenti tepi jalan, beli lemang, lepas tu beli keropok pulak, makan jelly kelapa. Siap call mak, mak cik lagi, tanya nak kirim tak. Yelah, alang-alang dah sampai Terengganu kan? Then singgah rumah mak cik adah pulak, adah hantar barang.
Ingatkan dah nak balik terus, dekat pukul 6 dah, berhenti kat pantai balok la pulak. Isy3…
“Kita ni baru nak exam, tapi macam dah habis exam pulak. Jalan-jalan, makan-makan, sabar jelah…” saya memandang sahabat-sahabat yang lain.
“Takpe k.jie, release tension, tenangkan fikiran dulu…” boleh pulak gitu. =)
Sudahnya pukul 12 tengah malam jugak baru sampai uia. Semua keletihan dan ‘kelayuan’. Tapi yang drive lagilah penat. Banyak perkara yang berlaku sepanjang perjalanan tu, panjang la pulak kalau nak cerita semua. Takpelah, yang pastinya semua orang selamat, walaupun tanpa muslimin. Ya, muslimat boleh! Er, perlu ke? Perlu. Pembetulan, muslimat power! Hehe… Pengalaman. (^_^)
p/s: sahabat2 kuantan, sape2 yang amik gambar hari tu, nanti forward la ye, arigato!

Berakhir sudah...

Alhamdulillah pagi tadi dah habis exam. Lega memang la lega, tapi stage seterusnya jangan lupa-tawakkal. Semalam langsung tak tidur, exam isnin lepas pun sama, malam tu langsung tak tidur. Lepas tu mula la fenin-fenin, nasib baik badan stabil lagi. Memang tak boleh menzalimi diri sendiri, sebab badan ada hak yang perlu ditunaikan. Takpe, nanti boleh qadha' rehat. ^_^

Walaupun sem ni cuma 2 subjek, tapi satu subjek 3jam sekali harung, boleh tahan jugak tu. Kadang-kadang tersengguk-sengguk dalam kelas, it's normal for a student, right? Ye ye je...;p

Disebabkan lama tak menulis dalam blog, as well as in my diary, jadi rasa macam blur sikit. Tak tau nak start dari mana. Insyaallah ada ruang dan kesempatan lepas ni saya usahakan untuk menulis lagi. Sebab dah ada orang tegur. Yela2 dah update la ni, walaupun tak tulis banyak.


Hari ni dah masuk 1Rejab, bermakna Ramadhan juga semakin menghampiri. Sama-sama jadikan bulan Allah ini sebagai langkah awal untuk kita meningkatkan amal ibadah, sebagai medan latihan untuk mengislah diri.

Yang dah habis exam, alhamdulillah. Selamat bercuti, manfaatkan cuti ini sebaiknya. Yang belum selesai, selamat meneruskan jihad di medan imtihan. Ma'an najah. =)

Wednesday, June 17, 2009

:: Tiga Tahap Hati ::

SOAL hati, Imam al-Ghazali ada membuat perincian dengan tiga pembahagian mengikut tahap ketetapan dan kemantapan, kebaikan dan kejahatan atau peralihan kepada satu daripadanya, iaitu:



1- Hati yang dibangunkan dengan binaan takwa, dibersihkan daripada akhlak yang keji dan tercela, lalu terisilah di dalam hati ini lintasan dan saranan kebaikan daripada khazanah alam ghaib atau simpanan alam malaikat.

Dengan daya penglihatan terbukalah kepada daya akal mengenai sudut kebaikannya, lalu memutuskan ia adalah suatu mesti dilakukan. Begitulah daya akal (syarie) ini menggalak, mendorong dan menyerunya supaya melakukannya.

Malaikat akan meninjau ke dalam hati ini, didapatinya baik dan subur, bersih dengan sifat ketakwaan dan bersinar dengan cahaya ilmu. Malaikat mendapati hati ini layak untuk tempat penurunan.

Ketika itu, hati dibantu dengan tentera yang tidak dapat dilihat oleh mata dan sentiasa ditunjuk ke arah kebaikan dan sentiasa tertarik dari satu kepada kebaikan yang berterusan dan saling bersambungan.

Bantuan ini tidak terputus sama ada dalam bentuk saranan, galakan dan dorongan kepada kebaikan atau dirintiskan kepadanya laluan, lorong atau jalan kemudahan dan kelapangan. Allah mengisyaratkan dalam surah al-Lail, maksudnya:

"Apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa. Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)." (al-Lail:5-7)

Hati sedemikian adalah hati yang pelitanya menyinarkan cahaya dari 'misykat rububiyah' sehingga tidak ada suatu terlindung padanya dan tidak terpengaruh oleh tipu daya syaitan, bahkan tidak akan mempedulikannya.

Selepas bersih daripada sifat tercela membinasakan, hati ini segera terhias indah dengan sifat terpuji yang menyelamatkan seperti syukur, sabar, takut dan pengharapan, zuhud, mahabbah, reda, rindu, tawakal, tafakkur dan muhasabah.

Hati inilah diterima dan dihadapkan Allah ke atasnya iaitu hati muthmainnah yang dimaksudkan oleh firman Allah bermaksud:
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (ar-Ra'd)


2- Hati yang kecewa dan terbuang, dipenuhi hawa nafsu, dikotori dengan akhlak buruk dan tercela, terdedah dan terbuka luas kepada pintu syaitan dan tertutup dari pintu malaikat.
Punca kejahatannya ialah bermula daripada lintasan hawa nafsu ke dalam hati dan membisikkan dengan kejahatan, lalu hati merujuk kepada hakim akal untuk mendapatkan nasihatnya.

Tetapi akal sudah biasa menjadi khadam yang sentiasa patuh kepada hawa nafsu, sentiasa mencari helah dan tipu muslihat bagi membantu hawa nafsu, sehingga akal dikuasai nafsu, lalu hati menerima setiap kemahuan hawa nafsu yang menjadikan kekotoran semakin tebal, karat dan kegelapannya kerana semakin lemah daya akal dari mengawal dan mempertahankan.

Ketika itu, syaitan mengambil peranan untuk memperkuatkan penguasaan hawa nafsu ke atas hati melalui tugasnya.

Dengan sebab itu, semakin lemahlah daya imannya dengan janji Allah yang baik dan jahat, semakin malap cahaya keyakinannya kepada hakikat hidup akhirat, kerana asap debu gelap daripada hawa nafsu menutupi hati sehingga menutup sinar cahayanya.

Sementara akal sudah menjadi seperti mata yang terkena asap, tidak mampu lagi untuk melihat dengan baik.

Demikianlah kesan penguasaan keinginan hawa nafsu kepada hati, sehingga hati tidak lagi berdaya untuk menggunakan fikiran dan membuat pertimbangan.

Jika cuba disedarkan oleh seorang yang ikhlas atau diterangkan jalan yang benar, ia sudah menjadi buta dan tuli. Yang bergelora adalah keinginan hawa nafsunya, lalu lahirlah pelbagai maksiat.

Hati yang demikian diisyaratkan Allah dalam firman-Nya bermaksud:

"Adakah engkau nampakkah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqaan: 43-44)





3- Hati yang didatangi lintasan hawa nafsu dan membisikkan perlakuan kejahatan tetapi segera dipintas lintasan iman dan mengajaknya supaya melakukan kebaikan.
Ketika itu dengan keinginannya cuba menolong lintasan kejahatan sehingga semakin kuat tarikan hawa nafsu.

Oleh itu, akal segera menyedarkan kepada kebaikan dan mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu serta menjelaskan sudut keburukannya sehingga diri nafsu itu cenderung kepada nasihat akalnya.

Tetapi syaitan tidak melepaskan peluang untuk memberikan bantuan terakhir menentang akal, sehingga lintasan dan saranan hawa menjadi semakin kuat.

Demikian hati menjadi rebutan berterusan antara dua daya tarikan iaitu tarikan hawa nafsu dengan bantuan syaitan serta tarikan akal dan ketakwaan dengan bantuan malaikat.

Sekiranya sifat yang ada pada hati lebih kepada sifat bahimiyah, sabu'iyah dan syaitaniyah, hati akan dikuasai syaitan, malah cenderung kepada golongan dan puak syaitan yang akan melahirkan pelbagai bentuk maksiat.

Tetapi jika yang ada pada hati itu lebih kepada sifat malaikat, hati tidak akan mendengar rayuan syaitan, bahkan tidak terpengaruh kepada janji syaitan, sebaliknya akan cenderung kepada golongan Allah dan dengan itu akan lahirlah pelbagai ketaatan.

Thursday, June 11, 2009

Hargailah sahabat di sisimu...

Sahabatku...
Mintalah teman yang soleh dalam sujud terakhirmu sewaktu tahajjud
kerana dia bisa menguatkan kakimu di jalan Allah...

Sahabatku...
Di sekeliling kita terdapat banyak hati-hati yang kosong
dan rindukan sentuhan iman dari teman yang soleh...

Sahabatku...
Mulakan dengan menjadikan dirimu penawar kepada mereka semua,
penghidup hati-hati yang gersang...
Banyakkan memberi dari mengharap...

Biarlah kita tidak dihargai, asalkan kita menghargai orang lain
kerana kelak Allah pasti menghargai kita...

Nilai RM 5


Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhenjut-henjut Toyota Corolla Altis 1.8 ini dilambung graviti. Ery duduk di sebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi-jadi. Siaran radio sekejap berbunyi bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah, mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa orang budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung, geli.

Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini.

Beberapa gadis bertudunglabuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar, Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!" Dia terketar terkejut, sedikit berundur. ”Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku, tahulah macamana aku nak ajar kau!!"

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu ditutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai.

Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi.Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku. Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan.

Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi di luar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku melayan, meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?". Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah,membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah. Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

"Jika tidak dapat apa yang kita suka, belajarlah utk menyukai apa yang kita dapat."
Renungkan...

Wednesday, June 10, 2009

"Paku yang lekat di hati"

“Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata-kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.

“Saya tahu itu salah, ibu. Tapi saya akan cepat minta maaf. Itu satu kelebihan saya juga, bu,” kilas si anak.

“Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang, anakku,” kata ibu itu lagi.

“Saya rasa tidak. Selepas minta maaf, segala-galanya langsai, bu.”

Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini?

“Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.”

Tanpa membantah anak itu setuju.

“Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!”

“Baik, ibu.”

Beberapa bulan berlalu, mereka sama-sama menghadap dinding tersebut.

“Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” ujar si anak dengan bangga. “Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya minta maaf.”

“Betul kamu sudah minta maaf dan mereka memaafkan, tapi sedarkah kamu…?”

“Maksud ibu?”

“Cuba kamu tengok dinding ni. Semuanya sudah tebuk, calar dan “berkematu”. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”

Si anak merenung dinding yang tebuk-tebuk itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti?

Pengajaran: Meminta maaf adalah perbuatan terpuji. Tetapi berusaha agar kita tidak terpaksa meminta maaf (maksudnya menghindarkan diri daripada menyakiti hati orang lain) jauh lebih terpuji. Ya, luka di hati itu lebih sukar diubati daripada luka di tangan.

Sumber: majalah solusi isu no.8