Thursday, May 31, 2012

Mihun Soto...

Assalamualaikum dan salam sejahtera........

Perhatikan ejaan 'Mihun' tu anak-anak. Ada sesetengah mengeja 'Meehoon' tetapi menurut sumber dari Buku Prima, Grup Buku Karangkraf, ejaan sebenarnya ialah 'Mihun'. Maka anak-anak yang masih belajar itu kena berhati-hati ketika menggunakan perkataan itu di dalam karangan.

Terima kasih kepada cik/puan Nurfilzah Wahidon yang bersumberkan dari cik/puan Mahaya Mohd Yassin dari Pusat Latihan Guru di Seremban, kerana berkongsikan ejaan yang betul.

Untuk blogger macam cik June ni tak kisahlah kot, sebab kami guna bahasa santai sahaja ketika menulis untuk mengisi blog. Kalau terlalu formal pulak nanti tak ada 'umph' waktu membacanya, kan?

Okey...hari ni cik June buat Mihun Soto tanpa bergedil. Anak-anak cik June yang mahukan menu sebegitu di musim cuaca yang agak panas ini. Namun demikian, Mihun Soto ini harus digandingkan dengan sambal kicap cili padi yang membuatkan si pemakan itu tidak ambil peduli siapa yang lalu di belakang atau bertanya sesuatu kepadanya seperti....

"Pedas tak dik?"


Haram dia menjawab. Kemain tekun dia memintal mihun di hujung chopsticks sambil sebelah tangan memegang tisu yang dilekapkan ke hidung.

"Pedas la tu, kan?" Kalau tidak, tak kan dinamakan cili api?


Cik June ni kalau buat tak hengat dunia...macam awak tu tahan pedas pulak. Tapi kalau dimakan begitu sahaja, tentulah tak ada 'umph'nya. Teringin juga nak simbah-simbah sikit sambal kicap cili padi tu, kan?





"Besarnya ayam dia!" jerit Kakak di dapur yang sedang menyenduk kuah sup masuk ke mangkuk. Itu sebenarnya ayat gumbira dari Kakak yang memang gemarkan ayam sebagai makanan utama. Dia ni kalau diberi seekor ayam golek tu, tak payah share dengan orang lain.

Itu sebab kalau cik June beli, cik June akan jadikan lauk. Jadi ianya boleh dikongsi bersama. Ayam golek tadi cik June belah empat sahaja sebab di rumah ni tak payah nak berebut. Cik June biasa beli ayam golek di Tesco, balik rumah tinggal masakkan kuah supnya dan masukkan ayam golek tadi ketika kuah sup sudah menggelegak. Kecilkan api dan biarkan ia merenih.

Amek ko! Sampai lerai tulang jadinya.

Ini sebenarnya menu berulang...sudah berpuluh kali membuatnya. Anak-anak lebih gemarkan mihun berbanding mi kuning atau kuetiau.
Maka untuk N3 hari ini tidak disertakan resipinya. Kita jamu mata sahajalah ya?



Tersedak bagai nak gila cik June dibuatnya ketika sedang menjinak-jinakkan diri mencepuh sambal kicap tu, kawan sekolah cik June yang ditemukan di laman mukabuku menelefon menanya....

"June! Ko jadi tak pergi kenduri anak si Din kawen?" terjerit si Zainah di seberang sana talian.

"InsyaAllah," cik June jawab. Memang kebetulan emak cik June ada buat kenduri arwah sempena menyambut bulan puasa nanti. Kenduri rumah Din pada 2/6 dan emak pula 3/6. Di kawasan rumah emak cik June tu, kena booking tarikh kerana jiran tetangganya rata-rata orang Melayu kita. Emak pula kena pilih tarikh dalam cuti sekolah sebab kalau boleh dia hendak anak cucunya balik.

Oo...baru teringat. Bermakna minggu ini cik June tak payah nak membeli stok barangan dapur kerana cik June akan pulang ke rumah emak di Kluang, Johor. InsyaAllah. Semoga dipanjangkan usia dan sihat sejahtera.

Si Din ni sama batch dengan cik June masa sekolah dulu. Dia baru nak buat kenduri kahwin anak sulongnya. Maka habis teman sekolah yang ditemui di laman mukabuku ini dijemput menghadiri majlis itu dan tidak secara langsung dijadikan sebagai satu majlis pertemuan.

Wah! Korang kenal aku ke? Dulu bolehlah body macam model. Sekarang ni kerja aku masak dan makan aje. Jangan terkezut dan tak kenal aku sudah! Hehehe......

Jomlah layan Mihun Soto ni........






Selamat Menjamu mata!





Wednesday, May 30, 2012

Puding Jagung

Assalamualaikum dan salam sejahtera......

Ini adalah menu dessert malam semalam. Rumah cik June dah malam baru orang semua ada di rumah sebab itu waktu memasak cik June adalah di sebelah lewat petang dan kekadang sambung lepas Maghrib. Dah gaya bulan puasa aje, kan?

Si Adik sedang bercuti semester dua minggu...jadi dialah yang ada di rumah meraba segala stok yang tersimpan di dalam kabinet dapur.

"Ma! Jagung dalam tin ni nak buat apa?"


"Kalau yang krim tu boleh buat puding dan kuih bakar," jerit cik June dari tingkat atas.

"Kalau nak buat puding tu, ada ke bahan-bahannya?" 

Ek...eh? Dia tanya kita? Dah tentu dia di dapur tu sedang menyelongkar lemari kabinet, carilah apa yang diperlukan untuk membuat Puding Jagung?


"Cari dulu resipinya....baru selongkar cari bahan," cik June beritahu supaya jangan pandai selongkar tapi tak pandai nak mengemas letak balik ke tempat asalnya. Nanti cik June juga yang separuh gila mencari tak jumpa.

Maka terhasillah Puding Jagung si Adik yang akhirnya cik June juga yang siapkan kerana dia tidak berani menggodak adunan yang sudah mulai kental di atas tungku dapur.




"Ma...kita tak ada acuan yang ngancam sikit ke?" tanya si Adik semasa cik June suruh dia selongkar cari acuan selain loyang yang tertebeng di tingkat pengering.

"Pakai ajelah acu kuih apam tu," arah cik June yang bimbang nanti adunan menjadi sejuk.

"Eee...tak lawa la," tambah si Adik lagi dengan mencebikkan bibirnya.

"Boleh je guna...nak lawa nanti terap dengan acuan biskut si Hana tu bila dah sejuk."

Memang sudah lama cik June tidak ada membeli acuan-acuan biskut, puding dan kek yang terkini walau silicone mould itu sedang hangat di pasaran.
Tak sangka pulak dia rajin nak ke dapur. Selalu tu asyik menghadap lap-top di biliknya aje...kalau tidak pun  menghadap TV dari pagi sampai malam. Isy!




"Ala...togel je?" kata si Adik apabila puding yang telah sejuk tadi ditanggalkan dari acuan dan diletakkan ke dalam mangkuk kecil.

"Buatlah sosnya..." suruh si Kakak malam itu.


"Tak leh...susu cair dah habis."


Kemudian mereka berdua berpandangan. "Ala...kita yang buat dia," jawab si Adik dan Kakak serentak belum sempat cik June bukak mulut menjawab.

"Tau tak pe..." Dah berapa kali cik June beritahu, benda ni semua kita yang buat dia, suka hatilah nak letak apa yang rasanya boleh jalan seganding dengan resipi tu, kan?


Si Kakak ke kabinet dapur mencari Fruit Cocktail yang masih berbaki satu tin di dalam stok simpanan.

"Ah! Nyaman..." dua beradik tadi menyandar sambil menonton Love Rain drama Korea dari channel 391 yang bermula dari jam 9.00 hingga 10.00 malam.




Untuk anak-anak inginkan resipi mudah ini, jom kita salin.....

PUDING JAGUNG
Bahan-bahannya....
1 cawan tepung kastad
2 cawan air
2 cawan susu segar @ susu cair
1/2 cawan gula
1 biji telur
1/2 tin jagung berkrim
Cara menyediakannya.......
1. Masukkan ke semua bahan kecuali jagung ke dalam sebuah bekas yang besar. Kacau perlahan sehingga adunan rata dan tidak bergentel. ~ blend adunan atau tapis agar ia menjadi lebih halus ~
2. Campur dengan jagung dan dimasak di atas api perlahan sehingga pekat dan likat.
3. Tuang adunan ke dalam acuan kegemaran dan biarkan ia sejuk.

Selamat Mencuba!








Nasi Dagang...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ini menu malam semalam. Cik June yang teringin nak makan Nasi Dagang sebab dah lama benar tak jumpa orang yang menjualnya. Anak-anak cik June tak berapa gemar kerana nasinya ada dicampur dengan beras pulut.
Ini pun mujur cik June buat dengan beras pulut biasa, kalau menggunakan beras pulut merah tu lagilah dia orang tak usik.
Tapi cik June memang pandai dan suka makan Nasi Dagang ini sejak berdagang di Mersing, Johor dulu.
Rumah Cik June tu dikelilingi oleh mak cik-makcik yang berasal dari Terengganu. Cik June pertama kali diperkenalkan dengan Nasi Dagang menggantikan Nasi Lemak.


Nasi Dagang versi cik June...

Mula-mula tu ingatkan macam Nasi Lemak aje bungkusannya. Tapi pelik bila bukak bungkus tu ada lauk gulai ikan sekali. Dah biasa makan Nasi Lemak cuma ada sambal tumis, bilis goreng dan timun sahaja. Pagi-pagi pulak tu. Kalau dengan emak biasanya kami makan kuih muih atau roti sahaja untuk sarapan.
Lama kelamaan...oleh kerana suka makan, cik June pun belajarlah cara membuatnya dengan jiran cik June yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan tetapi sudah lama hidup berdagang macam cik June juga. Terima kasih untuk Puan Noor Aini Mohamed, berkat tunjuk ajar anda, saya telah pun berjaya membuatnya jika teringin.
Kepada anak-anak yang mahu mencuba, jom kita semak bahan yang diperlukan.......

NASI DAGANG ~ versi cik June
Bahan-bahannya.....
2 cawan beras pulut merah ~ oleh kerana cik June tak ada beras pulut merah, maka cik June gantikan dengan 1 cawan beras panjang + 1 cawan beras pulut putih ~
1 cawan pati santan
secubit garam
1/2 sudu teh halba
2 cm halia  ~ dimayang halus
4 biji bawang merah ~ dimayang halus
Cara menyediakannya...
1. Rendam beras pulut beberapa jam, sebaiknya semalaman. ~ dalam versi cik June, pulut dan beras itu dicampur sekali dgn halba, bawang dan halia mayang dan ditanak seperti memasak nasi biasa bersama santan yang mencukupi ~
2. Kukus beras pulut selama 30 minit.
3. Campurkan garam dan santan ke dalam mangkuk besar. Masukkan pulut yang dikukus tadi dan gaul rata bersama halba, halia dan bawang merah.
3. Masukkan semula ke dalam kukusan dan dikukus lagi 30 minit.







Nasi Dagang biasanya dimakan dengan hidangan sampingan iaitu Gulai Ikan Tongkol dan Acar Timun.
Untuk resipi Gulai Ikan Tongkol, berikut adalah bahan-bahannya........



...gulai ikan tongkol/aya....

GULAI IKAN TONGKOL...
Bahan-bahannya...
2 ekor ikan tongkol yang sederhana besar
1 senduk makan cili kisar
1 kotak santan
7 biji bawang merah *
4 ulas bawang putih *
1 inci halia *
1 inci kunyit hidup *
1 inci lengkuas *
2 sudu makan ketumbar
....Kisar atau tumbuk halus bahan bertanda *
Cara menyediakannya....
1.  Ikan tongkol yang sudah dibersihkan tadi direbus dengan asam keping dan sedikit garam. Ketepikan.
2.  Tumis cili kisar dan bahan tumbuk tadi sehingga garing. Masukkan air rebusan dan santan. Biar mendidih dan rasa asam garamnya kerana air rebusan tadi sudah dimasukkan dengan asam keping dan garam.
3. Masukkan ketumbar biji yang ditumbuk kasar dan ikan. Biarkan ia merenih.
4. Boleh juga dimasukkan beberapa biji cili padi atau cili hijau ke dalam gulai ini.


Acar...


ACAR TIMUN...
Bahan-bahannya...
1 batang timun
1 batang carrot
1 batang cili merah
1 batang cili hijau
1 labu bawang besar
....hiris bahan atas ikut suka ~ cik June hiris rampai utk kelainan. Hehehe...~
Masukkan ke dalam bekas besar dan letakkan sedikit garam, gula dan cuka. 
2. Gaul rata.







"Ma, adik rasa Nasi Kerabu lagi sedap la," komplen si Adik setelah menghabiskan sepinggan dengan 2 potong ikan.

Anak-anak cik June diperkenalkan dengan Nasi Kerabu semasa kami tinggal di Simpang Renggam dulu. Di sana banyak terjual Nasi Kerabu di Bazar Ramadhan. Sepupu mereka Nur Liesa, anak adik cik June yang berbapakan orang dari Pasir Mas, Kelantan itu sangat gemarkan Nasi Kerabu waktu berbuka. Maka anak cik June pun mulalah belajar menyukai nasi tersebut yang berlaukan telur masin, solok lada dan daging salai dicolek dengan sambal budu.
Muahaha....gelak guling-guling cik June bila sudah makan baru mereka hendak bertanyakan sambal budu tu.

"Budu?"


Mak Uteh yang kaki menyakat tu angguk senyum. Amek kau! Dah habis sepinggan pun.




Untuk anak-anak yang dikasihi...Selamat Mencuba!



Sunday, May 27, 2012

Roti Jala...

Assalamualaikum & salam sejahtera.......

Sungguh bijaksana tukang masak dulu sehingga kini nama itu terus digunakan cuma dipelbagaikan rupanya sahaja.


Versi tradisional.....

Cik June cadang nak menjala dengan warna pink dan hijau tapi si Adik cakap, "...eee...tak seleranya nak makan roti jala warna warni ni..."


Haizz!! Banyak songehlah dia ni. Apa salahnya? Cik June suka aje nanti bila masuk dalam blog nampak berseri sikit.

Maka cik June batalkan niat untuk menjala warna-warni dan diteruskan ajelah dengan warna tradisional dan ternyata dia berselera dengan warna itu dan makanannya pun gerenti habis. Itu yang penting, kan?

Jom! Kita menjala pulak hari ni...........







Kepada anak-anak yang ingin mencuba, di bawah ini cik June sertakan resipi turun temurun.


ROTI JALA  ~ dari dapur cik June
Bahan-bahannya...
300 gm tepung gandum
1 biji telur
4 cawan air
secubit garam
1/4 cawan minyak masak
sedikit pewarna kuning
Cara menyediakannya....
....Kisar bahan-bahan di atas sehingga rata dan halus. Pastikan adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Jika kelihatan cair, tambah sedikit tepung gandum dan jika pekat pula, tambahkan dengan sedikit air.
2.  Panaskan kuali leper dengan api yang sederhana. Sapu sedikit minyak pada kuali.
3.  Masukkan adunan ke dalam acuan Roti Jala dan pusingkan acuan dalam kuali 360 darjah dari bahagian luar hingga ke bahagian dalam.
4.  Biarkan masak sehingga keperangan dan lipat ikut gaya kesukaan masing-masing.
5.  Ulang langkah 3-4 hingga habis adunan tepung.
6.  Dihidang bersama kuah kari atau sambal tumis.








Setiap kali memasak kari, tidak kiralah kari ayam, daging atau ikan, anak-anak cik June mesti akan mengatakan, "...pergh! Kalau ada Roti Jala ni sedap."
Memang sedap sesekali beralih kepada makanan selain nasi dan jika ada sambal tumis tambah ngam gitu. 






Sehingga berjumpa lagi, Selamat Mencuba!





Thursday, May 24, 2012

Asparagus Goreng Belacan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...........

N3 menu untuk makan tengahari.
Kami ke Jusco Bukit Rajah kerana ada AEON sale yang bermula pada 19 Mei hingga 10 Jun, 2012.
'Enjoy superb bargains & discounts up to 70 %. Hurry to AEON/JUSCO stores today'. Itu adalah sms yang dikirimkan kepada pemegang kad ahli. Maka cik June bawalah si kakak ke sana kerana dia sibuk hendak mencari baju untuk dipakai ke pejabat.

Setelah siap membeli-belah dengan potongan harga yang hebat, kami ke bahagian supermarket. Cik June memang suka membeli barangan basah di situ kerana dibungkus dalam kuantiti yang cukup untuk sekali masak dan barangannya juga segar.

"Ma, kalau asparagus ni boleh masak apa aje?" tanya si kakak.

"Goreng belacan," jawab cik June sambil membelek daun selasih. Apa nak dimasak dengan daun selasih ni? Minda berputar mencari idea. Kalau ada pisang muda atau nangka muda, tentu sedap. Tapi di Jusco tak ada nangka dan pisang muda pulak. Nak kena ke pasar Jalan Meru/Kapar, kot?

"Akak nak?"


"Ambillah."




Maka...asparagus itu telah menjadi lauk kami hari itu yang dimasak gaya Melayu habis.

ASPARAGUS GORENG BELACAN...
Bahan-bahannya...
1 ikat asparagus
2 biji cili merah/ 5 biji cili padi *
1 inci belacan * 
2 ulas bawang putih *
3 biji bawang kecil *
sedikit udang kering ~digoreng tanpa minyak dan tumbuk kasar/rendam dan tumbuk bersama bahan bawang~
.....bersihkan asparagus dan buangkan batang yang keras.
2. Tumis bahan bertanda * hingga wangi dan masukkan batang asparagus tadi.
3. Apabila lembut, perasakan dengan garam. 
4. Balik-nalikkan dan padam api. Taburkan dengan udang kering yang ditumbuk kasar tadi. 

Bersama hidangan.........




Nampak tu! Kemain cantik ku susun dalam periuk.


Mak ai! Banyaknya? 

Kembong tu ada sepuluh ekor, cik June malas nak pelbagaikan. Anak-anak lebih menggemari masak kicap, jadi cik June lebur semua dalam masak kicap. Cuma masak kicap cik June gaya untuk orang dewasa kerana cik June letakkan 2 sudu makan cili kisar semasa menumis. Jadi sesuailah dengan tekak orang dewasa.

Berikut adalah resipi untuk masak kicap gaya cik June.

KEMBONG MASAK KICAP ~ gaya cik June
Bahan-bahannya...
Ikan ~ digaram kunyit dan digoreng terlebih dahulu
2 batang cili merah ~ buang biji dan dihiris memanjang
1 biji bawang besar ~ dihiris bulat
2 sudu makan cili kisar
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang kecil
1 inci halia
1/2 cawan kicap manis
1/2 cawan sos tomato
....tumis bawang putih, bawang merah, halia yang telah ditumbuk lumat bersama cili kisar. Digaul rata dan biarkan cili kisar sedikit garing. Masukkan secawan air jika mahukan berkuah.
2. Masukkan kicap manis dan sos tomato. Gaul rata. 
3. Masukkan pula ikan yang sudah bergoreng tadi. Rasa asam garamnya.
4. Masukkan bawang besar dan cili merah sebagai hiasan. Balik-balikkan sebentar hingga bawang layu dan bolehlah matikan api.


Ini menu ulangtayang. Untuk mereka yang dah otai tu sila abaikan.

Kepada yang mahukan pedas, cik June dah sediakan semangkuk sambal belacan. Anak-anak cik June pula lebih menggemari kacang panjang itu dimakan sebagai ulam. Nah! Lagi senang kerja cik June.......

Sambal belacan dan kacang panjang yg dijadikan sebagai ulam.....


Selamat menjamu selera!




Wednesday, May 23, 2012

Bingka Keledek...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.......

Hari ini kita bersiaran dengan Bingka Keledek. Muahaha....gelak guling-guling kalau blogger masak otai dengar tajuk N3 cik June. Orang sibuk dengan Bingka Labu, dia nak buat bingka juga. Tapi Cik June tak tak kisahlah....cik June tak ada labu, jadi digantikan dengan keledek. Pandai-pandailah adjust...kita yang buat dia.

Biasanya kalau buat tu main campak-campak dan agak-agak aje (orang lama la katakan). Tapi kerana nak dijadikan N3, terpaksalah cik June sukat juga. Hasilnya mewah....dengan satu adunan, cik June dapat 24 biji bingka yang kecil-kecil menggunakan acuan muffin dan sangat memuaskan hati.

Tengok!


Comel aje, kan?


Berikut...adalah resipi cik June jika ada sesiapa yang mahu mencuba.


BINGKA KELEDEK ~ dari dapur cik June
Bahan-bahannya...
2 cawan tepung gandum
3 biji telur
1/2 cawan gula
secubit garam
1/2 cawan susu sejat
1 camca teh esen vanila
2 cawan santan
2 camca besar majerin/minyak sapi
2 cawan keledek ~ didadu dan direbus/kukus hingga empuk
bijan untuk ditabur atas permukaan kuih
Cara menyediakannya...
1. Masukkan kesemua bahan kecuali keledek dan bijan ke dalam blender dan kisar ~ adunan akan menjadi lebih halus dan sebati.
2. Masukkan keledek yang telah direbus/kukus tadi ke dalam adunan tepung. Kacau rata.


Proses pembikinan........


3. Tuang ke dalam loyang/acuan yang telah digris. Taburkan sedikit bijan ke atasnya.
4. Bakar dalam ketuhar 160 darjah Celcius selama 45 minit hingga 1 jam ~ mengikut saiz acuan dan ketuhar.
5. Biarkan sejuk sebelum dipotong.








Amek kaw! 24 biji kesemuanya.
Jom kita minum dulu............









Bukan setakat sarapan...boleh untuk minum petang juga. Selamat Mencuba!





Tuesday, May 22, 2012

Serimuka...

Assalamualaikum dan salam sejahtera........

Serimuka ni dibuat untuk sarapan pagi sebenarnya, tapi oleh kerana jarang dibuat, maka apabila siap sahaja, ada yang sudah menjengah berulang kali. Maka sambil-sambil menonton di waktu malam itu, berjamulah dengan seteko kopi panas yang dibawa pulang oleh anak dan menantu yang baru pulang bershopping di Bandong.

"Tak sedap pun kopinya," beritahu si Adik yang mula menghirup perlahan. "Apa yang femes sangat kopi ni di sana?"


Cik June hanya angkat bahu tanda tidak tahu kerana cik June sudah terbiasa dengan kopi cap tv dari Kluang.

"Ei! dia orang cakap kopi tu dah disimpan selama 8 tahun dan hanya dijual sebanyak 20kg sehari sahaja," si Abang menjelaskan.

"Mama tak pandai nak sukat tak? Sepeket tu cuma ada 250gm aje...kalau letak banyak sudu, berapa kali aje dapat buat?" cik June menerangkan keadaan. Seteko diletak 3 sudu makan pun macam cair aje? Tapi tak apalah...dah dilayan dengan kuih serimuka yang masih melekit tu, sedap pula jadinya.


Serimuka dan kopi dari Bandong....

Malam itu kami semua menonton bolasepak perlawanan diantara pasukan Sime Darby dan Kelantan. Kucing cik June yang sekor ni pun sama sibuk juga. Tengok.......




Untuk anak-anak yang ingin cuba membuatnya, di bawah ini cik June sediakan resipinya......

SERIMUKA ~ dari dapur cik June
Bahan-bahannya...
Lapisan Pulut...
1 1/2 cawan beras pulut ~ seeloknya direndam semalaman
1 cawan santan cair
secubit garam
1 helai daun pandan ~ disimpul
....Pulut yang direndam tadi dicuci bersih dan ditoskan.
2. Masukkan ke dalam loyang 8 inci. Campur santan cair bersama garam dan gaulkan pada pulut. Masukkan daun pandan dan kukus sehingga masak ~ 30 minit.
3. Keluarkan daun pandan dan gemburkan pulut menggunakan garpu. Kemudian mampatkan pulut dengan menekan menggunakan daun pisang atau kertas aluminium. Kukus lagi selama 15 minit.


Lapisan Tepung...
3 biji telur
1 cawan pati santan
3/4 cawan gula pasir
1/4 cawan tepung gandum
1 camca besar tepung jagung
sedikit esen pandan @ 1/4 cawan air daun pandan dan kurangkan santan kepada 3/4 cawan.
.....campur telur, santan dan gula ke dalam mangkuk. Kacau perlahan sambil campurkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak terlebih dahulu.
2. Letak mangkuk tahan panas ke dalam air mendidih dan kacau berterusan sehingga adunan menjadi pekat.
3. Tuang adunan ini ke atas lapisan pulut dan kukus di atas api kecil (untuk mendapatkan permukaan yang rata) selama 25 minit lagi atau sehingga masak.
4. Biarkan sejuk sebelum dipotong.








Akibat tak sabar menunggu sehingga sejuk, maka lapisan tepungnya masih lagi melekit. Sebelah malam sahaja sudah habis separuh dari loyang tu, esok paginya tinggallah berbaki seperti gambar di bawah ini....


...baki utk b/fast....



Saturday, May 19, 2012

Pineapple Tart....

Assalamualaikum dan salam sejahtera................

Cewah! Tajuk kemain lagi....speaking London.

Tu la semalam kisahnya dekat Setia Alam ni ada pembukaan shopping kompleks terbaru dan terkini. Cik June kalau naik basikal pun boleh sampai sebab lagi senang hendak menyelinap di deretan kereta yang banyak macam tak pernah pergi shopping pulak dia orang ni. Tapi kang kalau nak basikal....dah beli barang, nak disumbat kat mana pulak? Maka cik June redah jugalah kesibukan itu dan dengan gigihnya berpusing beberapa kali mencari tempat parkir.

Ingatkan buat di Setia Alam ni, untuk kesenangan kami penduduk di sinilah, kan? Rupanya.....mak ai! Pertama kali cik June tengok kereta yang banyak di Setia Alam ini dari segala penjuru jalan berderet  menunggu lampu isyarat mengatakan YES! Terpaksalah mereka menyediakan bantuan dari pasukan RELA di dalam memudahkan dan membantu kereta keluar masuk ke tempat membeli belah ini.



...gambar yg sempat dirakam dari dlm kereta je...



Cik June yang bercadang hendak membeli barangan dapur, terpaksa membatalkan niat dan berpatah balik ke kedai yang berhampiran rumah kerana barisan yang panjang di kaunter bayaran. Kalau nak pergi ronda-ronda aje bolehlah....itupun kalau tak ada kerja yang menunggu di rumah, kan?



....di Urban Fresh....



Makanya cik June tadi sudah menerap adunan tart tinggal diisi dengan intinya sahaja. Eh? Dah nak raya ke? Mana ada! Cuma semalam tu cik June mengemas esbok, jumpa sebekas jem nanas yang masih elok lagi. Jadi cik June panaskan kembali dan verangan untuk dijadikan biskut boleh makan waktu nonton Hindustan hari Sabtu nanti..hehehe

Jadi sebelum bergerak pulang, cik June sempat singgah di Krispy Kreme....




Krispy Kreme yg enak....




Saja je beli buat alas perut di rumah nanti. Lagipun dah payah-payah keluar tadi, tak sedap pulak balik lenggang kangkong. Kalau donut biasa tu di Tesco depan rumah tu pun ada...Krispy Kreme ni pula, kalau nak makan kena ke Sunway. Untunglah sekarang ini boleh dibeli di Setia City Mall yang berhampiran dengan rumah. Syukur alhamdulillah dengan kemudahan yang telah Allah berikan, Amin.





...kulit tart...



Hah!! Nampak yang dah siap berterap tu? Cik June yang sudah sampai di rumah tadi terus menyinsing lengan menyambung kerja yang tertangguh. Sekarang ini membuatnya mudah...terap aje dah siap berbunga tepinya. Zaman cik June mula-mula buat dulu, kuih ni nak kena bersepit tepi-tepinya. Kemain lama nak menenyiapkan satu adunan tart...dahlah tu, adunannya pula lembut kerana menggunakan butter. Sekarang ni   kalau malas juga....memang tak tahu nak dimasukkan dalam kategori apa agaknya. Jem nanas juga sudah dijual di super-supermarket...tak payah nak memarut nanas hingga hancur jari. Makanya kita semua ni bila nak sambut raya tu yang rajin sangat nak buat macam-macam.




...cara mudah yg cik June gunakan...



Adunannya yang lembut agak payah hendak dicanai. Jika dicanai lebar, harus sama menabur tepung ke permukaan adunan apabila hendak diterap. Jika tidak, adunan tadi mudah pula melekat pada acuan. Jika asyik ditabur dengan tepung nanti adunan akan jadi terkeras pula.....maka cik June guna cara mudah cik June. Lagipun kalau setakat buat satu adunan, memang cik June buat sensorang aje....melainkan semasa menerima tempahan, barulah cik June memerlukan kakitangan lain untuk mengisi intinya dan menyapukan kuning telur ke sekelilingnya.

Jika anak-anak sudi untuk mencuba, di bawah ini cik June sediakan resipinya.......

TART NANAS....
menghasilkan 85 biji tart....
Bahan-bahannya.....
250 gm butter
1 biji kuning telur
Tepung secukupnya 
.......Pukul perlahan butter dengan kuning telur. Masukkan tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut.
2. Canai dan terap dengan acuan tart.
3. Isi intinya dan sapu keliling dengan kuning telur.
4. Bakar pada suhu 160 darjah Celcius selama 15 minit.












Ini adalah hasil dari resipi yang cik June gunakan sejak dari mula menjinakkan diri ke dapur pada usia 15 tahun. Emak cik June pula, kalau anaknya rajin masuk ke dapur, memang dia lepas tangan. Kemudian dia akan jadi juri masak....ada yang tak kena, tadah ajelah telinga...sebab dia selalu bandingkan dirinya yang pernah melalui hidup susah. Air yang harus diangkat dari perigi dan kayu yang harus dicari untuk memasak. 


"Korang ni sekarang dah senang sangat, petik-petik dapur dah keluar api. Bukak paip keluar air, itu pun malas juga!" 


Mujur cik June ni dilahirkan jadi seorang yang ringan tulang...hehehe...*kes masuk bakul naik lif*. Macam hari inilah....lepas meronda ke Setia City Mall, cik June masih sempat buat tart. Tak cukup dengan cara yang biasa, cik June cuba 'Tart Munge' yang cik June jumpa di dapur Azlita Masam Manis. Anak-anak boleh jengah ke dapur beliau untuk melihat hasil kerjatangan beliau membuat 'Tart Bunga'. Terima kasih Ita...suku dari adunan tadi akak try buat macam Ita....tadaaa........








Tart Munge...yg nampak comot tu kerana disapu dgn kuning telur....






Cik June memang suka warnakan jem itu dengan warna merah. Jika adunan asli yang berwarna kuning butter itu, naik sikitlah serinya *konon*.  Maka terhasillah dua bentuk tart dari adunan yang sama. Muahaha....*sangat suka nih!* Rasa nak jerit pada emak yang nun berada di selatan tanah air memberitahu bahawa anaknya sangat rajin. Jika dekat akan ku hantarkan sebalang untuk sambutan Hari Ibu...lap U Mak!








Tart biasa dan tart munge, menggunakan adunan yg sama....


Jomlah! Nak try yang mana satu....rasanya sama je.
Selamat Mencuba!







Friday, May 18, 2012

Karipap....


Assalamualaikum & salam sejahtera........

Ini N3 biasa-biasa aje....

Karipap....
Al-kisah adalah sebuku keledek di dapur tu....nak digoreng buat sarapan, sikit sangatlah pulak. Kalau dijadikan inti karipap bagus juga, kan?
Maka bersilatlah cik June pagi-pagi buta di dapur itu sensorang sewaktu anak-anak masih mahu sambung menarik selimut walaupun sakit tekak ayam jantan sapa entah berkokok untuk membangunkan mereka.


Sorry to say la....cik June ni memang jenis yang suka buat kerja sendiri. Malas nak terpekik terlolong minta bantuan. Kalau ada yang suka membantu, alhamdulillah. Nanti dia orang juga yang pandai, kan? 


Mood cik June tak boleh kena usik. Kalau pepagi dah mula ada yang buat hal....memang cik June tak kan bercakap sampai esok. Sapa yang rugi...mereka dan keluarga merekalah! Cik June kes gendang gendut tali kecapi...sapa yang suka masuk ke dapur, kenyang perut...suka hati! hehehe...gitew!


Adunan tepung yg digentel sama besar dan digelek nipis.....

Memasak ini sebenarnya memerlukan daya pemikiran yang lebih sahaja. Tak ada benda ni, kita ganti dengan yang itu. Jika kena perasanya...gerenti sedap! Macam untuk pagi ni...cik June tak ada stok daging kisar. Biasa guna udang kering pun boleh juga, tetapi memang udang keringnya pun dah tinggal bekas aje. Ikan bilis pun boleh...tumbukkan biar lumat sikit. Tetapi ikan bilisnya masih belum berkopek...alamak! Macam-macamlah pulak. Maka cik June guna daging burger ganti daging kisar....cer try!

Jomlah kita ke dapur mengintai bahan yang diperlukan...............


KARIPAP ~ dari dapur cik June
Bahan-bahannya.....
1 buku keledek ~ dibuang kulit dan didadu
2 keping daging burger ayam/daging ~ dihancurkan
2 ulas bawang putih ~ ditumbuk/dicincang
1 biji bawang besar ~ didadu
3 sudu besar rempah kari daging
1 pelepah daun kari
.......tumis bawang putih dan bawang besar, biar sampai layu. Masukkan rempah kari yang sudah dibancuh dengan sedikit air. Masukkan juga daun kari tadi. Kacau rata.
2. Masukkan daging burger. Gaul rata dengan rempah tadi sambil dipecah-pecahkan dagingnya.
3. Masukkan keledek yang dipotong dadu tadi dan tuan sedikit air menutupi paras keledek. Balik-balikkan selalu agar tidak melekat di dasar dan masak sehingga keledek empuk. Perasakan dengan garam.
4. Masak sehingga kering.


Sementara itu kita sediakan adunan untuk kulitnya pula.....


Bahan yang diperlukan.......
3 cawan tepung gandum ~ ayak
1/2 cawan mentega ~ cairkan
sedikit garam
air secukupnya untuk menguli
.......taburkan secubit garam ke dalam mangkuk yang berisi tepung gandum. Ratakan.
2. Tuang mentega cair dan ramas sehingga rata.
3. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk membentuk doh yang kental.
4. Canai dan terap ikut sebesar mana yang disukai ~ cik June gentel jadkan bebola sama besar dan gelek nipis.
5. Isikan inti tadi dan dikelim hujungnya.
6. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali dan goreng hingga kekuningan.


Siap untuk digoreng.........






Alhamdulillah....dapat dijadikan sarapan pagi....


Adunan tadi menghasilkan 35 keping karipap. Boleh lah dijadikan sarapan pagi dan boleh juga dibawa hingga ke petang.
Betul kata orang tua...kalau ringan tulang, berat perut jadinya....




Sambil menunggu idea boleh dijadikan bahan kudapan......


Hurm....rasanya tidak menghampakan. Kan cik June dah beritahu.....kita yang buat dia!















Thursday, May 17, 2012

Kek Karamel...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....

Wah! cik June ni sekejap timbul, lama pulak tenggelamnya kan? Hehehe....
Kalau ada xtvt lain...memang cik June tak berkesempatan ke dapur. Sudah tentulah tak kan ada N3 hendak diupdatekan.

"Jom kita buat kuih yang warna-warni pulak....asyik warna coklat aje?" Cik June beritahu si Adik yang tidak ke kelas petang itu kerana kelasnya dicancel.

"Buatlah Kek Karamel tu...sedap aje nampaknya," kata si Adik pulak.

"Carilah resipinya dalam buku mama tu....lepas tu sediakan bahan-bahan yang diperlukan. Buat apa yang patut dulu, bila stuck nanti panggil," cik June beritahu dia sambil tangan sibuk menaip dialog-dialog dalam cerita yang sedang cik June karang itu.

"Ma! Adik tak pandai nak masak gula dia!!" Jerit Adik dari ruang dapur.


2 sudu makan gula dijadikan karamel....

"Coming!" sahut cik June sambil menekan butang 'SAVE'. Isy! Bahaya tu...kalau tidak kucing cik June yang suka tidur atas keyboard tu...pernah cerita sebanyak 236 muka surat dideletenya. Frust menonggeng cik June satu ketika dulu. Bukan senang nak siapkan satu cerita...makanya idea tu datangnya di waktu malam masa dah berguling-guling atas katil.

Gambar di atas menunjukkan cara membuat Gula Hangusnya.....
Sediakan loyang 8"....taburkan 2 sudu makan gula dan masak di atas api perlahan. Biar gula hancur dan warna bertukar perang. Ratakan gula dengan menyengetkan loyang kiri dan kanan. Biar gula sejuk. Gula yang keras ini akan retak dan berbunyi seperti kaca pecah. Ketepikan.

Kuning & putih telur yg diasingkan....

2) Bahan untuk karamel.....
    1/2 tin susu cair
    70 gm gula castor
    1/2 sudu teh vanilla
    3 biji kuning telur
Cara...
1. Kacau susu dengan gula hingga larut.
2. Kacau telur dan esen vanilla perlahan. Satukan dengan bahan susu dan dikacau perlahan.
3. Tapiskan ke dalam loyang gula hangus tadi. Ketepikan. Kalau hendak lapisan karamel yang tebal, gandakan sukatan susu dan kuning telur.



3) Adunan kek (bahan 1)......
    70 gm gula castor
    3 biji kuning telur
    135 ml air
    45 ml minyak masak
Cara.....
1. Pukul kuning telur, minyak dan air sampai gebu dan bertukar ke warna putih.
2. Masukkan gula castor dan pukul lagi sampai naik sekali ganda.


(Bahan 2)......
140 gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
.....matikan mixer, masukkan tepung gandum dan baking powder yang telah diayak bersama. Masukkan sedikit demi sedikit sambil dikaup balik hingga semua bergaul sempurna.


Meringue......
6 biji putih telur ~pastikan jangan tercampur kuning telur
70 gm gula castor
1 sudu teh cream of tartar
Pastikan semua peralatan di dalam keadaan kering ~
Cara menyediakannya.....
1. Pukul putih telur hingga berbuih. Masukkan gula dan cream of tartar dan terus memukul lagi dengan kelajuan tinggi hingga adunan kental dan kaku.
2. Campurkan 1/3 adunan meringue ke dalam adunan tepung tadi (adunan kek). Gaul rata secara kaup balik. Kemudian masukkan semua baki adunan meringue dan kaup balikkan sehingga rata dan bergaul sempurna.
3. Bahagi sama banyak dan letak pewarna kegemaran.
4. Tuangkan lapisan kek ini ke atas karamel. Tuangkan 3 sudu adunan hijau(contoh), 3 sudu adunan merah dan 3 sudu adunan kuning. Lakukan sehingga 3/4 adunan dan kemudian dikurangkan kepada 2 sudu pula. Lorekkan atas adunan dengan lidi. (Jika suka)
Nak sangat warna-warni....amek kaw!!


5. Panaskan oven terlebih dahulu....160 darjah Celcius ~ api bawah sahaja ~



6. Tuang air panas ke dalam loyang yang lebih besar dari loyang kek tadi. Letakkan loyang yang berisi kek dalam loyang air panas tadi.
7. Bakar selama 1 jam. Biarkan kek kekal di dalam oven sehingga renggang di tepi loyang. Terbalikkan di atas pinggan dan biarkan ia turun sendiri.





dah siap & dah diterbalikkan.....

Kek ni fragile sikit...harus disimpan semalaman didlm esbok...
Di sini berlaku kesilapan di dalam membahagi adunan. Oleh kerana bahagian hijau terlebih banyak, maka apabila sudah diterbalikkan, warna pelangi pada awalnya sudah dikacau dengan warna hijau tadi.
Jadi anak-anak yang ingin membuatnya pastikan adunan dibahagi sama banyak tau? Jika mahukan resipi dan cara yang lebih jelas, anak-anak boleh intai ke dapur Azlita Masam Manis. Mungkin cara beliau membuatnya lebih teliti. 
Terima kasih Azlita & minta maaf anak-anak nak lalu lalang mengintai ke dapur Ita pula. Walau apapun....rasanya memang sedap. 


Warnanya serabut sikit....

Selamat Mencuba!





Wednesday, May 9, 2012

Sandwich Goreng...

Assalamualaikum to all..........

N3 mudah cik June hari ini.........

Sandwich goreng...
Hendak dikatakan mudah, tidaklah begitu mudah kerana harus menyediakan tepung gorengan untuk menyaluti roti yang siap diisi inti, dicelup dan digoreng garing seakan membuat goreng pisang. Tetapi jika usahanya dilebihkan sedikit, maka hasilnya sudah tentulah menarik dan sedap.

Seperti biasa cik June gunakan inti sardin.....

Bahan inti sardin.....
1 tin sardin
1 biji bawang besar
Beberapa biji cili merah/hijau/cili padi
Perahan air limau kasturi

Cara menyediakannya.....
1. Bawang besar didadu
2. Cili merah/hijau/cili padi dihiris halus
3. Sardin dibuang tulangnya dan dilecek lumat.
4. Kemudian gaul rata dengan bahan dadu dan dihiris tadi, masukkan perahan air limau kasturi. Rasa asam garamnya.


Step by step ~ konon...hehehe
Cik June mencari goreng pisang untuk minum petang, tetapi ternampak peniaga tu menjual sandwich goreng ini. Entah berpa harganya, cik June tidak pulaklah bertanya. Tapi cik June perasan pernah nampak di dapur seorang blogger masak.

Jadi cik June tidak membelinya kerana yakin benar boleh membuatnya sendiri. Cuma kelainannya, inti yang digunakan sahaja. Yatie menggunakan sosej untuk intinya dan roti tadi digeleknya nipis untuk mendapatkan hasil yang rangup.

Anak-anak yang ingin cuba membuatnya, bolehlah ke dapur Yatie yang diperolehi dari dapur Ha Sue. Terima kasih anda berdua atas idea yang bernas dan sudi berkongsi resipi ini. Cik June kongsikan pula di sini untuk anak-anak yang teringin mencubanya.


Celupkan dengan bancuhan tepung....

Bahan untuk tepung goreng rangup...
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
2 camca besar majerin
1 camca teh garam dan gula & pewarna kuning

Cara menyediakannya....
1. Campur kesemua bahan dan digaul sebati.
2. Celupkan roti ke dalam bancuhan tepung ini dan digoreng hingga garing.


Siap utk dimakan....

"Ma! Apa ni?" Tanya si Adik pagi itu.

"Sandwich," Jawab cik June pendek sambil mengemas dapur.

"Goreng?" Tanyanya lagi kerana biasanya kalau sandwich, lapiskan dengan salan timun dan tomato. Isi inti sardinnya dan dimakan begitu saja. Hari ini ada kelainan sikit pulak....itu yang bertanya. "Tak ada salad dan tomato pun?" Tanya si Adik lagi sambil membelek inti sandwich.

Cik June tak banyak cakap, terus buka esbok ambil daun salad dan, "...nah! Balut macam orang Korea tu....boleh aje, kita yang buat dia," hehehe...amek kau! Dah tinggal makan pun banyak songeh.