Ini adalah menu dessert malam semalam. Rumah cik June dah malam baru orang semua ada di rumah sebab itu waktu memasak cik June adalah di sebelah lewat petang dan kekadang sambung lepas Maghrib. Dah gaya bulan puasa aje, kan?
Si Adik sedang bercuti semester dua minggu...jadi dialah yang ada di rumah meraba segala stok yang tersimpan di dalam kabinet dapur.
"Ma! Jagung dalam tin ni nak buat apa?"
"Kalau yang krim tu boleh buat puding dan kuih bakar," jerit cik June dari tingkat atas.
"Kalau nak buat puding tu, ada ke bahan-bahannya?"
Ek...eh? Dia tanya kita? Dah tentu dia di dapur tu sedang menyelongkar lemari kabinet, carilah apa yang diperlukan untuk membuat Puding Jagung?
"Cari dulu resipinya....baru selongkar cari bahan," cik June beritahu supaya jangan pandai selongkar tapi tak pandai nak mengemas letak balik ke tempat asalnya. Nanti cik June juga yang separuh gila mencari tak jumpa.
Maka terhasillah Puding Jagung si Adik yang akhirnya cik June juga yang siapkan kerana dia tidak berani menggodak adunan yang sudah mulai kental di atas tungku dapur.
"Ma...kita tak ada acuan yang ngancam sikit ke?" tanya si Adik semasa cik June suruh dia selongkar cari acuan selain loyang yang tertebeng di tingkat pengering.
"Pakai ajelah acu kuih apam tu," arah cik June yang bimbang nanti adunan menjadi sejuk.
"Eee...tak lawa la," tambah si Adik lagi dengan mencebikkan bibirnya.
"Boleh je guna...nak lawa nanti terap dengan acuan biskut si Hana tu bila dah sejuk."
Memang sudah lama cik June tidak ada membeli acuan-acuan biskut, puding dan kek yang terkini walau silicone mould itu sedang hangat di pasaran.
Tak sangka pulak dia rajin nak ke dapur. Selalu tu asyik menghadap lap-top di biliknya aje...kalau tidak pun menghadap TV dari pagi sampai malam. Isy!
"Ala...togel je?" kata si Adik apabila puding yang telah sejuk tadi ditanggalkan dari acuan dan diletakkan ke dalam mangkuk kecil.
"Buatlah sosnya..." suruh si Kakak malam itu.
"Tak leh...susu cair dah habis."
Kemudian mereka berdua berpandangan. "Ala...kita yang buat dia," jawab si Adik dan Kakak serentak belum sempat cik June bukak mulut menjawab.
"Tau tak pe..." Dah berapa kali cik June beritahu, benda ni semua kita yang buat dia, suka hatilah nak letak apa yang rasanya boleh jalan seganding dengan resipi tu, kan?
Si Kakak ke kabinet dapur mencari Fruit Cocktail yang masih berbaki satu tin di dalam stok simpanan.
"Ah! Nyaman..." dua beradik tadi menyandar sambil menonton Love Rain drama Korea dari channel 391 yang bermula dari jam 9.00 hingga 10.00 malam.
Untuk anak-anak inginkan resipi mudah ini, jom kita salin.....
PUDING JAGUNG
Bahan-bahannya....
1 cawan tepung kastad
2 cawan air
2 cawan susu segar @ susu cair
1/2 cawan gula
1 biji telur
1/2 tin jagung berkrim
Cara menyediakannya.......
1. Masukkan ke semua bahan kecuali jagung ke dalam sebuah bekas yang besar. Kacau perlahan sehingga adunan rata dan tidak bergentel. ~ blend adunan atau tapis agar ia menjadi lebih halus ~
2. Campur dengan jagung dan dimasak di atas api perlahan sehingga pekat dan likat.
3. Tuang adunan ke dalam acuan kegemaran dan biarkan ia sejuk.
Selamat Mencuba!
No comments:
Post a Comment