BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 27 April 2007

..::Ujian Dalam Peperiksaan::..


Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga ku panjatkan kepada Ya Rabb, Pemilik alam semesta. Kalau tidak kerana Dia, siapalah aku dan apalah kudratku untuk mengatasinya.

Ya, hari ini tanggal 8 Rabiulakhir 1428H, aku telah berjaya menghabiskan satu lagi semester yang penuh mencabar di UTM ni. Kenapa semester ini aku rasa lebih mencabar? Sebenarnya, setiap semester baru, subjek yang aku ambil semakin sukar maka cabarannya semakin hebat. Sehingga aku merasakan setiap musim peperiksaan adalah saat-saat terakhirku di UTM ni. Pelbagai masalah timbul tatkala ‘musim bertapa’ tiba.

Ditambah pula ‘ujian’ dari Dia yang sengaja untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya. Sama ada ringan ataupun berat, ujian dari Yang Satu tidak dapat tidak, mesti dihadapi. Pelbagai bentuk dari ujian kesakitan, kehilangan, kematian, sehinggalah ke ujian keselesaan, kemewahan, dan sebagainya tidak terlepas daripada menimpa hambanya yang bernaung di bawah kalimah keramat Syahadatain.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar," al-Baqarah : 155.

Siapa pula orang yang bersabar yang dikatakan dalam ayat tersebut? Firman Allah lagi, "(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, “Innā lillāhi wa innā ilaihi rāji’ũn” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)," al-Baqarah : 156.

Apabila aku muhasabah balik diri aku, adakah aku berjaya mengatasi ujian-Nya? Apa aku buat bila mendapat ujian ini? Main game sampai berjam-jam, serve internet sepanjang malam, mengeluh tak tentu pasal gara-gara tertekan dari ‘ujian’ ini. Macam ni ke aku menghadapi ujian Allah? Ujian yang baru sedikit berbanding ujian yang menimpa junjungan mulia Rasulullah S.A.W. Seorang kekasih Allah pun diuji dengan ujian yang lebih berat tak pernah pun mengeluh, apatah lagi mengaku kalah. Inikan pula aku yang tak siapa-siapa yang diuji sedikit cuma.

Adakah aku layak tergolong dalam orang yang bersabar seperti ayat di atas? Adakah aku wajar mengaku diri aku beriman sedangkan ujian yang sedikit pun tak lepas lagi? Semoga Allah mengampunkan hamba-Mu yang sering lalai, leka, alpa dan berdosa ini. Tolonglah hamba-Mu untuk mengatasi ujian-Mu Ya Allah. Sesungguhnya, hanya kepada Engkaulah aku menyembah dan kepada Engkau jugalah tempatku memohon pertolongan. Amīn...


0 ulasan: