Seremban Maya mengalu-alukan penglibatan anda. Jika anda berminat untuk menyumbangkan sebarang maklumat terkini, atau muncul di vlog Seremban Maya sebagai tetamu undangan, jangan segan untuk hubungi kami. Hubungi kami terus melalui ruangan komen dan ruangan chat yang disediakan.
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Rabu, Mei 04, 2011

S2EP2 - Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia

Pada 29 April - 1 Mei 2011 yang lalu, telah berlangsung Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia di Klana Resort, Seremban. Perwakilan-perwakilan dan pemimpin-pemimpin badan-badan belia seluruh negara telah berhimpun selama beberapa hari di Seremban untuk persidangan tersebut. Seremban Maya telah mendapatkan pandangan beberapa orang pemimpin belia berkenaan dengan Seremban. Mari kita tonton.


Sabtu, April 23, 2011

Stesen komuter mula beroperasi pada Mei

Stesen komuter baru di Senawang dan Sungai Gadut akan mula beroperasi pada pertengahan bulan Mei 2011. Menurut pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kedua-dua stesen tersebut berjarak 10km antara satu sama lain, dan dengan siapnya stesen tersebut, jumlah keseluruhan stesen komuter meningkat kepada 53 buah.

Berita penuh: Bernama

Sabtu, April 16, 2011

Perkhidmatan komuter Seremban - Labu dihenti sementara

Perkhidmatan komuter sektor Seremban - Labu akan dihentikan sementara waktu untuk beberapa hari. Pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad menyatakan bahawa penutupan itu adalah bagi membolehkan ujian tertentu dijalankan terhadap sistem isyarat mereka. Berikut adalah hari dan masa penutupan perkhidmatan tersebut:

Tarikh: 16 dan 17 April 2011 (Sabtu dan Ahad)
Masa: 7 pagi - 11 malam

Bagi penumpang laluan Rawang yang ingin ke Seremban, hentian terakhir adalah hentian Labu. Shuttle bus akan disediakan di hentian Labu ke Seremban. Untuk maklumat lanjut, boleh lawat laman web KTMB di http://www.ktmb.com.my atau hubungi nombor telefon 1-300-88-5862.

Sumber asal: Bernama

Rabu, April 13, 2011

Penyembelihan ayam tidak dibenarkan di pasar besar

Pihak Majlis Perbandaran Seremban telah mengeluarkan larangan penyembelihan ayam daripada dilakukan di Pasar Besar Seremban. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini bagi menghalang pencemaran Sungai Temiang daripada sisa penyembelihan. Kerja-kerja penyembelihan perlu dilakukan di tempat-tempat khas berasingan yang mematuhi piawaian kebersihan dan kesihatan, serta bermanfaat untuk semua pihak sama ada peniaga dan alam sekitar.

Berita penuh: The Star

Seremban Maya: "Teringin nak tengok Sungai Temiang sekurang-kurangnya jadi macam Sungai Melaka."

Isnin, Mac 28, 2011

SKS-KL rancang tambah bas dua tingkat

Sistem Kenderaan Seremban - Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (SKS-KL), sebuah subsidiari Nadicorp Holdings Sdn. Bhd., merancang untuk menambah bilangan bas dua tingkat pada masa depan berdasarkan sambutan dan keperluan penumpang. Menurut pengerusinya Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib, pada masa ini terdapat 13 buah bas dua tingkat yang setiap satunya bernilai RM1 juta. SKS-KL mempunyai 69 buah bas termasuk 13 buah bas dua tingkat.


SKS-KL telah beroperasi di laluan Seremban-Kuala Lumpur-Seremban melalui Lebuhraya Utara-Selatan sejak 1977. Seramai 4000 orang penumpang menggunakan perkhidmatan SKS-KL setiap hari, dan jumlah ini berganda pada hujung minggu.

Berita penuh: Bernama

Selasa, Februari 22, 2011

Kemiskinan dan kurang upaya bukan penghalang untuk cemerlang dalam STPM

Kekurangan upaya atau kemiskinan bukan penghalang untuk tiga orang pelajar muncul cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun lepas. Mohd Rifaat Hussin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, yang mendapat 4A dan 1B walaupun kekurangan upaya dari segi penglihatan sejak berumur 15 tahun, menyatakan bahawa dia bertuah kerana rakan-rakan sekelas dan guru-gurunya tidak pernah mendiskriminasikannya. Apabila ditanya tentang cabaran terbesar yang dihadapi di sekolah, dia berkata yang dia tidak dapat melihat apa yang guru-guru tulis di papan hitam dan terpaksa bertanya kawan-kawan untuk membacakan apa yang ditulis. Remaja yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris atau Universiti Malaya.

Berita penuh / sumber: Bernama

Jumaat, Februari 11, 2011

Stesen keretapi dijangka siap pada bulan Mei 2011

Pembinaan dua buah stesen keretapi di Senawang dan Sungai Gadut untuk projek landasan elektrik berkembar Seremban - Gemas akan siap dan mula beroperasi pada Mei 2011. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan siapnya stesen itu, orang ramai dapat menikmati kemudahan pengangkutan yang disediakan kerajaan. Stesen-stesen itu juga dapat mengurangkan masalah kesesakan di stesen sedia ada. Stesen-stesen baru dan moden itu dilengkapi pejabat, tempat letak kenderaan, tandas awam, gerai jualan, ATM, telefon, surau dan kemudahan mesra OKU. Sementara itu, pengurus projek berkenaan iaitu Ranee Bakri Zakaria berkata, dengan siapnya laluan berkembar tersebut, perjalanan dari Seremban ke Gemas dijangka akan mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja, berbanding menggunakan lebuhraya.

Sumber: Bernama

Selasa, Februari 08, 2011

Berwaspada dengan geng perompak, nasihat polis kepada umum

Polis mempercayai sekumpulan lima orang warga asing bertanggungjawab terhadap beberapa kejadian rompakan di Negeri Sembilan sejak bulan lepas. Yang terbaru, kumpulan perompak tersebut memecah masuk sebuah rumah kepunyaan seorang pengawal keselamatan sekolah di Kuala Pilah pada pukul 3 pagi Isnin lepas. Modus operandi kumpulan tersebut adalah dengan memecah masuk rumah atau premis perniagaan menggunakan pintu belakang. Dalam kejadian tersebut, suspek telah mengikat pengawal keselamatan tersebut, sebelum lari dari tempat kejadian dengan barang rompakan, termasuk wang bernilai RM2000, barang kemas, selaras senapang panah dengan 30 butir peluru dan kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran NBC 6931.

Sumber: Bernama