6ixthSense, Black Parallax, Go Gerila!, Hujan dan Sofazr bakal menggegarkan industri muzik tanahair menerusi program realiti terkini, VERSUS. Kelima-lima kumpulan terkenal tanahair ini akan menonjolkan bakat kreativiti mereka menerusi gubahan lagu yang diberikan selama lapan minggu berturut-turut. Cabaran yang dilalui serta kehebatan mereka dapat disaksikan secara langsung di TV9 (saluran 119) dan didengari di frekuensi Hot FM seluruh negara mulai 13 April, jam 9.30 malam.
Menurut Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin, “Versus adalah projek terbesar kami pada tahun ini. Keunikan konsep program realiti ini memperkuatkan lagi kepercayaan kami terhadap Versus.
Kekuatan Versus terletak kepada kemampuan dan kebolehan setiap kumpulan untuk menonjolkan kreativiti mereka selama 8 minggu berturut – turut. Semestinya ramai yang akan teruja untuk mendengar lagu-lagu yang pernah popular satu masa dahulu diberi nafas baru.”
“Kami rasa begitu seronok apabila diberitahu yang dua ‘Project Band’ akan ditubuhkan khas untuk program ini iaitu Black Parallax dan Go Gerila. Secara ringkas, Versus adalah satu lagi platform untuk terus memberi peluang dan laluan kepada kumpulan terhebat Malaysia dalam menghasil serta menyerlahkan kreativiti mereka menerusi muzik. TV9 juga turut berasa teruja kerana Versus ini merupakan satu lagi kolaborasi terbesar kami bersama Hot FM.”
Kelima-lima kumpulan terhebat ini pastinya memberikan persembahan terhebat khas buat peminat setia mereka. Setiap kumpulan yang terlibat ini mempunyai keunikan tersendiri termasuk dua ‘Project Band’ yang menyertai Versus, iaitu Black & Parallax yang merupakan gandingan Black dan Meet Uncle Hussein dan Go Gerila yang dianggotai oleh Aizat serta kumpulan barunya di samping vokalis utama, Amir Jahari.
Versus adalah kolaborasi strategik yang terbaru di antara TV9 dan Hot FM setelah berganding dalam beberapa projek yang khususnya direka untuk golongan muda sebelum ini. Gabungan strategik di antara TV9 dan Hot FM ini diyakini mampu memberi pengalaman yang menyeluruh kepada penonton dan pendengar kami. Sebagai contoh, Kaki Bola yang dilancarkan awal tahun ini telah mendapat sambutan yang sangat hangat di setiap platform media iaitu di TV, radio, media baru dan juga internet.
Kedua-dua media ini juga mempunyai latar belakang yang lebih menjurus kepada muzik membolehkan format Versus ini berputar 360 darjah di mana ianya bergantung antara satu sama lain untuk memberikan pengalaman yang terbaik buat semua penonton dan pendengar mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Encik Seelan Paul berkata, “Telah menjadi budaya kerja kami untuk terus kekal inovatif di hati pendengar kami. Untuk kali ini, sekali lagi kami berkolaborasi dengan TV9 untuk sebuah program yang tidak pernah terfikir untuk direalisasikan sebelum ini. Apatah lagi dengan intergrasi pelbagai media seperti media baru dan juga online. Kami percaya dengan kolaborasi sedemikian mampu menarik minat pendengar serta penonton kedua media ini kerana ianya melibatkan nama-nama besar serta bakat yang tidak perlu dipertikaikan lagi.”
“Dengan TV9, kami yakin Versus mampu menjadi program realiti yang menjadi bualan hangat pencinta muzik tanahair dan orang ramai secara amnya.”
Berbeza dengan rancangan realiti lain, tiada penyingkiran diadakan sepanjang Versus berlangsung. Sistem penilaian untuk Versus adalah melalui dua landasan iaitu sistem undian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan juga pemarkahan daripada juri profesional. Populariti dan ‘fanbase’ lima kumpulan hebat ini bergantung kepada kebolehan mereka memberikan kelainan dalam tugasan mingguan.
Juri profesional yang terlibat terdiri daripada Jennifer Thompson selaku ketua juri, Loque pula sebagai juri tetap dan seorang lagi juri jemputan mingguan yang berpengalaman dalam bidang muzik. Nama Jennifer Thompson tidak asing lagi dalam bidang muzik yang mana beliau mempunyai pengalaman yang begitu mendalam dan telah menyaksikan sendiri perkembangan atau evolusi muzik tanahair. Loque berkelulusan Kejuruteraan Audio daripada University of Berkeley, mewakili generasi baru ahli muzik yang sentiasa ingin meningkatkan lagi taraf muzik tanahair.
Kemeriahan Versus diserikan lagi dengan keletah Hunny Madu dan Aidid Marcello sebagai pengacara. Program realiti ini diterajui oleh Penerbit Eksekutif Sunil Kumar dan Alet Arzuan Anuar. Sementara Kiedd Fariz Aziz dan Ahmad Khairi Zulkifli dari Primeworks Studios, selaku penerbit program.
Bakal bersiaran selama 8 minggu, setiap episod konsert mingguan akan menyaksikan persaingan para peserta bagi merebut gelaran juara dan memenangi hadiah utama bernilai RM200,000. Setiap minggu, satu tema akan ditentukan dan para peserta diberi lagu yang perlu digubah mengikut kemahiran dan kreativiti masing-masing. Masa yang diberi adalah selama seminggu dan para peserta akan membuat persembahan di konsert mingguan sebagai medan penilaian.
Tempoh undian bermula pada hari Jumaat jam 10.30 malam selepas berakhirnya konsert mingguan hingga Jumaat minggu berikutnya pada jam 12.00 tengahari. Carta undian semasa akan diumumkan melalui portal rasmi Versus di www.tv9.com.my/VS.
Bayangkan lima kumpulan paling gah masa kini iaitu 6ixthSense, Black Parallax, Go Gerila!, Hujan dan Sofazr, berada di atas satu pentas dan beraksi selama 8 minggu berturut-turut. Nantikan gegaran Versus pada setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 13 April ini hanya menerusi TV9 (saluran 119) dan frekuensi radio Hot FM seluruh negara.