“JUANG”
1.
Saya suka untuk memulakan
ucapan ini, dengan memetik kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada
Perhimpunan Agung yang lalu. Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari
ini perjuangan kita dan esok ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah
perjuangan yang kita ada, suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah
kebijaksanaan.
2.
Kita sudah memahami wadah,
wasilah dan hikmah yang kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya,
untuk kita sama-sama meneroka tentang apa itu JUANG dan setiap jalur makna yang
terangkum di dalam rohnya.
3.
Angka 28. Tahukah anda Surah ke 28, adalah Surah
Al-Qasas menceritakan peristiwa lahirnya Nabi Musa a.s sehingga baginda
menentang kekejaman Firaun. Ini kisah juang. Pada tanggal 28 Februari, Tun
Mahathir dengan semangatnya menggagaskan Wawasan 2020 ke arah memacu negara
maju. Ini kisah juang. Dan pada tanggal 28 Julai juga saksi apabila berkibarnya
panji UMNO buat pertama kali di angkasaraya. Ini juga kisah juang. Dan hari
ini,28 November 2012 sebuah lagi kisah juang akan kita lakar bersama.
JUANG , WANITA DAN POLITIK
Sidang perwakilan sekalian,
4.
Juang. Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk
Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang adalah pengembaraan meneruskan survival
hidup sehabis daya. Juang adalah semangat keramat manusia yang sanggup
mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana di bumi Tuhan mencari makna
kehidupan.
5.
Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas
sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup
berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim
a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar
satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha
kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang
adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita
berbeza.
6.
Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi
khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan
prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita,
baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada
fitrahsemulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.
7.
Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan
sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan
tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan. Dengan juang kita menggerakkan
idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun
bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata. Politik dan
perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan. Politik itu perjuangan dan perjuangan
itu politik. Di situ akan lahir makna kesucian dalam berjuang.
8.
Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan
surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama
Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan
pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama,
sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan
menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka
dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada
pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir
di penghabisan zaman,persamaan tanggungjawab antara manusia hanya
satu,perjuangan. Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar penghilang duka,
dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan tunjang kepada
perjuangan lelaki.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
9.
Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi,
ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji.
Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau
suami dikurung dalam jeriji besi. Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka
usaha memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya.Sebab itu di sebalik
kegigihan keenam-enam Perdana Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan
dilupa pada wanita-wanita ini. Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun
Rahah, Tun Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin
Paduka Seri Rosmah. Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat
pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.
10. Politik pula jika diimani
maknanya, bukan soal kuasa dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi
politik ialah perlumbaan prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan
meroboh kebatilan. Kerana itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang
terkecuali darinya.
11. Ada orang yang takut dan gentar
berjuang kerana menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada
orang yang enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan
mereka tidak akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan
hanyalah semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.
12. Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya yang sejati, setiap
dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal tanggungjawab, survival dan
fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia, tiada seorang pun terkecuali
darinya. Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai khalifah di
muka bumi Allah.
Sidang
perwakilan sekalian,
13. Jika kita selak lembaran sejarah bagaimana keterlibatan wanita dalam
peperangan dunia memberi erti yang besar dalam perubahan tamadun manusia.
Disebalik kelembutan Maharani Fu Hao memimpin bala tentera Dinasti Shang dalam
satu siri peperangan setelah berperang beratus tahun telah berjaya menewaskan
dan menawan kawasan Yi, Qiang dan Ba, mencipta sejarah menyatukan rakyat Cina
buat pertama kali. Kehebatan wanita Aceh,Cut Nyak Dhien dan Cut Nyak Meutia menentang Belanda
pada hujung kurun ke-20 berjaya menyatukan hati-hati anak bangsa. Bagi mereka
had dan berbeza gender bukanlah satu halangan untuk kehadapan memimpin bala
tentera berjuang bukan untuk mereka tetapi buat rakyat jelata.
14. Tetapi percayalah, juang bukan milik saya seorang. Juang bukan milik
anda seorang. Ia juga bukan hanya milik pemimpin yang mempunyai kuasa. Tetapi
juang ialah milik kita semua, ia milik semua rakyat ia adalah tanggungjawab
setiap daripada kita yang masih bernyawa. Inilah tanggungjawab yang akan
ditanya Tuhan selepas kematian.
SEBUAH KEBANGKITAN
15. Warna sejarah bangsa sudah banyak mengajar dan mencorakkan kita. Hitam,
kita pernah melalui zaman kegelapan dalam cengkaman penjajahan. Putih, warna
kesucian. Zaman gemilang Melayu menakhoda nama di pentas dunia. Merah, warna
keberanian. Dari jerih payah kita menetang penjajahan. Dan biru perpaduan. Di
asas ini kita bersatu dan mebina kemakmuran dan kebahagian.
16. Dari kepelbagaian warna ini lah, akar bangsa mengakar pucuk negara
menjalar Dari warna warni inilah kita mendekati makna juang yang sebenar. Dan
jika di imbau dalam sejarah, sebahagian besar dari warna-warni dicatan oleh
tangan-tangan wanita yang cekal dan kental.
17. Setelah sekian lama, sejak zaman berzaman WANITA adalah lambang
kesucian, sejak kecil anak-anak Melayu jiwanya ditenun budi semangatnya disulam
maruah. Benar, wanita itu kelembutan. Benar, wanita itu kesucian. Benar, wanita
itu kesopanan. Tetapi yang lebih benar dalam suci, lembut dan sopan, wanita
menggegar menongkah zaman.
18. Namun siapa sangka, dalam sejarah manusia yang panjang, ada detik wanita
bangkit berjuang. Kita mengenang bijaksana Tun Fatimah sehingga menjadikan
penjajah lebih hina daripada binatang. Kita angkat kesucian Sumaiyah kerana
iman sampai nyawa tergadai. Kita agungkan kehebatan Khadijah sehingga Islam
tersebar serata alam. Wanita, di ceruk bumi manapun kita dilahirkan, sucinya
kita sehingga menggegar langit dan tanah ciptaan Tuhan.
19. Ini semua kisah ketokohan sejarah pemimpin wanita di pentas dunia. UMNO,
juga menyimpan sejarah yang hampir sama. 1947, lahirnya sayap Wanita dalam UMNO.
Yang dikenali sebagai Kaum Ibu dan akhirnya menjadi Wanita UMNO. Kerana
kelantangan, keberanian dan terampilnya Wanita UMNO akhirnya parti ini percaya
perlu ada sayap wanita muda. Maka 2001, lahirlah Pergerakkan Puteri UMNO
Malaysia. Kedua-dua sayap wanita ini adalah manifestasi terbaik perjalanan
politik yang cekal.
20. Hari ini jumlah keahlian Puteri mencecah 395 482. Dengan jumlah ini,
kita punya kekuaatan untuk menggerakkan jentera parti. Jumlah ini juga menjadi
petanda betapa Puteri kekal relevan sebagai medium perjuangan wanita-wanita
muda. Malah 365 882 ahli Puteri telah berdaftar sebagai pengundi dan saya
percaya ini mampu memberi sumbangan besar dalam pilihan raya nanti. Di kesempatan
ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas kejayaan
menganjurkan Himpunan Wanita Muda Negara 2012. Kita berjaya menghimpunkan lebih
14 000 wanita muda dari plebagai latar belakang. Ini membawa petanda betapa
wanita muda sudah mula mendekati kita.
Sidang perwakilan sekalian,
21. Perjuangan mempertahankan kesucian ialah asas
sebuah ketamadunan. Zaman akan terus berubah, manusia akan terus berkembang
tetapi kesucian perjuangan ialah idealisme yang dipegang sampai bila-bila.
Kerana itu yang membezakan UMNO dan parti-parti lain di Malaysia ialah kita
tertubuh kerana prinsip dan asas juang yang jelas pada bangsa. UMNO bukan
tertubuh kerana memenuhi perjuangan peribadi, bukan tertubuh kerana rasa hasad
dan dengki. Bukan tertubuh sebagai parti yang memendam dendam meliar. Akhirnya
yang rosak dan binasa adalah rakyat dan seluruh rasa percaya mereka.
22. Soalan-soalan berkenaan ketidakyakinan manusia sekeliling masih tetap
berkumandang. Tetapi, dengan yakin dan percaya, bangun dan suarakan kepada
mereka, walau jiwa mentah tapi akal dan semangat kita tak mudah menyerah. Kita
katakan kembali warna merah jambu yang dipakai ialah campuran merah warna pejuang
dan putih kesucian diri. Kita asak kepada yang bertanya bahawa perjuangan ialah
milik semua. Kita buktikan dengan usaha yang tidak pernah putus membantu
perjuangan parti. Kita tinggalkan mesej kepada masyarakat bahawa yang
diperjuangkan puteri ialah sebuah kesucian juang dan kita ialah bala
tenteranya. Dengan baju kurung di badan, kita pelihara kesucian bangsa dan
agama. Telekung dan selendang di kepala, kita angkat maruah dan jati diri
seorang perwirawanis. Manis suara dan santun tindak ialah senjata taruhan
puteri. Kehormatan akal dan jiwa jadi matlamat. Perjuangan, buat kita semua
puteri-puteri bangsa ialah kesucian yang nyawa jadi taruhan.
23. Dalam kebangkitan sebuah juang, tindakan ialah teras yang menjadi
tunjang. Kita boleh punya cita-cita, kita boleh punya angan-angan, tetapi yang
lebih penting kuasa yang ada pada tindakan. Kerana itu dalam wadah politik
baru, suara bukan lagi satu kuasa selagi mana tindakan tidak membuktikan
apa-apa. Tamsilan dari maksud inilah, maka asas perjuangan Puteri seharusnya
bergerak atas tindakan lebih dari sekadar cita-cita dan angan-angan.
24. Saya suka mengajak anda untuk menghayati satu kisah perjuang wanita yang
tulen yang percaya pada kuasa bertindak. Helen Keller, adalah seorang pemimpin
wanita di Amerika yang buta dan pekak. Dan dalam survivalnya untuk bercakap
beliau akhirnya menjadi pemidato terkemuka di dunia yang menggerakkan
perjuangan hak-hak wanita. Kalau anda pernah menonton video ucapannya, anda
pasti akan terfikir bagaimana dengan segala kekurangan wanita ini berjuang
untuk mencapai sesuatu di dalam hidupnya. dan hari ini kata-katanya telah
merangsang dan mengubah dunia. Satu kata-katanya yang sehingga hari ini telah
merangsang semangat juang dan setia kawan jutaan manusia “working with a friend in the dark, is better then working alone in the
light”.
25.
Sejarah perjuangan wanita muda telah
lama bermula. Mereka telah secara langsung menentang Malayan Union pada 1946
yang mengancam bangsa dan negara. Walhal, wanita sebelum zaman itu, tidak
pernah terlibat dalam politik, bagi mereka dunia seorang wanita adalah isi
rumah, suami dan anak-anak. Namun, segalanya berubah. Apabila semangat juang
menentang Malayan Union membuka mata semua. Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah
Sidek antara figura yang menjadi perintis penglibatan wanita muda di jalan
politik. 50 tahun yang lalu, nama-nama seperti ini telah menyerahkan seluruh
jiwa dan raga mereka untuk menegakkan perjuangan hak bangsa dan negara. Ini
memberikan kepada kita satu petanda dalam sejarah perjuangan politik, wanita
muda pernah merakam nama. Hinggalah tanggal 9 April 2001, tertubuhlah Puteri
UMNO sebagai pentas perjuangan terbaik untuk wanita muda menyumbang kudrat dan
idea, memperkasa politik negara.
26. Pundak kita mungkin lemah kudratnya. Pundak kita mungkin dianggap remeh.
Tetapi di pundak inilah, perjuangan menemukan rentaknya. Pergerakan Puteri UMNO
perlu belajar menjadi pundak yang lebih kuat. Selama sebelas tahun kita sudah
buktikan kemampuan kita menyokong perjuangan parti. Kita perlu bekerja lebih
keras untuk masa depan parti kerana agama, bangsa dan negara. Siap siaga hadapi
segalanya.
MENEKUNI REALITI
Sidang perwakilan sekalian,
27. Politik adalah perkataan yang menjadi halwa telinga di
mana-mana sahaja kaki manusia berdiri. Politik yang berasal daripada kalimah
Greek iaitu ‘politikos’, membawa maksud daripada rakyat, kepada rakyat dan
untuk rakyat. Politik membabitkan persoalan menguruskan kelompok manusia yang
terdedah dengan pengaruh tempat dan masa. Dalam politik, untuk mengikat manusia
yang cenderung berubah ini bagi terus menyokong sebuah aspirasi, hanya
kepercayaan yang menjadi kuncinya.
28. Hakikatnya, kepercayaan rakyat boleh dibeli, tapi bagaimana? Kita boleh
memilih untuk membeli kepercayaan rakyat dengan wang, janji atau dengan
pengorbanan. Dengan wang, kepercayaan akan hilang apabila wang habis
dibelanjakan. Dengan janji, kepercayaan akan lunyai apabila janji tidak
tertunai. Namun dengan bakti dan pengorbanan, kepercayaan dalam jiwa rakyat
akan kekal tersemat walau digoncang kuat. Meyakini hakikat ini, Puteri tidak
berpeluk tubuh, berdiam diri dan goyang kaki. 18 program berkala tetap telah
dilaksanakan meliputi sekecil-kecil aspek hinggalah yang paling besar. Program
Puteri merangkumi aspek sosial seperti, B2R; Program Banteras Ragut Dan Rogol, Life
is Precious; kempen kesedaran pembuangan bayi hinggalah Program Sinar Kasih;
Program yang memberikan rawatan percuma untuk golongan emas. Program-program
lain termasuklah Projek Puteri Prihatin, Ziarah Kasih, Program Back To School
dan yang terbaru Program Barber on Wheel.
29. Berdekad lamanya, UMNO secara umumnya dan Puteri secara khususnya cekal
meredah desa, menjelajah kota, turun ke lapangan rakyat bagi menabur jasa.
Selama 66 tahun, rakyat menganugerahkan kepercayaan untuk parti keramat ini
terus memerintah sebagai balasan setiap nikmat kebajikan, keamanan dan kemajuan
yang mereka nikmati. Namun malang menimpa bumi bertuah, saat petualang
menggerakkan strategi paling kotor dan busuk, mereka meniupkan roh fitnah dan
memberikannya nyawa untuk menghancurkan bangsa. Secara diam dan perlahan,
fitnah menjadi santapan harian, membunuh rasa percaya rakyat pada kerajaan.
30. Adakah mereka lupa firman Allah dalam surah
Al-Anfaal, ayat ke-25.
Maksudnya,
"Dan
jagalah diri kamu daripada berlaku dosa yang membawa kepada bencana fitnah yang
bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus
(bahkan akan menimpa kamu secara umumnya) dan ketahuilah bahawa Allah Maha
berat azab seksaan-Nya."
31. Makna fitnah melangkaui kesaksian palsu seperti yang lazimnya dihadam
oleh masyarakat. Fitnah juga hadir sebagai ujian kemewahan dan kesenangan.
Dalam kalangan kita, apabila diuji dengan harta dan kekayaan, lihatlah betapa
ramai yang tewas hingga tersungkur di medan juang, tidak kurang juga yang
menanti masa dikuburkan sia-sia? Di mana letaknya kita? Tepuk dada, tanyalah
nawaitu perjuangan, tanyalah iltizam tindakan. Kisah
Firaun,
Haman, Qorun dan Bal'am seharusnya menyedarkan kita, betapa pangkat dan harta adalah
satu fitnah dalam bentuk ujian kemewahan, yang bisa membunuh
pejuang dan membinasakan perjuangan.
32. Nabi sendiri pernah memberikan amaran dalam sabdanya, yang diriwayatkan
oleh Al-Tirmidzi.
“Tidaklah 2 ekor serigala yang kelaparan
dilepaskan kepada seekor kambing, lebih merosakkan daripada kerakusan seseorang
dalam mengejar harta dan pangkat merosakkan agamanya,”
33. Apa yang turut mengerikan, sebenarnya kacau-bilau, huru-hara, dan
ketidaktenteraman yang melanda sarwajagat juga adalah fitnah. Allah berfirman
dalam kitab Al- Quran, Surah An-Nisa’ ayat 83.
“
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau
kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja
hal itu kepada Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka,
tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil
keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia
Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut
Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas
ilmunya di antara kamu). ”
Sidang perwakilan sekalian,
34. Tanggal
3 November 2012, ketenangan yang selama ini berdamping erat dengan jiwa rakyat
direntap tiba-tiba. Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul Izzah,
Naib Presiden PKR yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih agama di
bawah prinsip kebebasan beragama, di sebuah forum bertajuk, “Islamic
state? Which vision? Whose responsibility”. Beliau menjawab satu soalan
dalam forum itu dengan menyebut, “there
should be no compulsion in any religion including Islam. How can anyone say
(freedom of religion) only apply to the non-Muslim, it has to be applied
equally.”
35. Pemimpin wanita beragama Islam ini dengan sewenang-wenangnya memetik
ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi;
Maksudnya;
“ Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu,
sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang
tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ”
36. Pemimpin PKR ini jelas terkeliru, ‘asbabunnuzul’
atau sebab turun ayat ini adalah kerana seorang Ansar, Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf yang bertanya
kepada Rasulullah tentang keinginannya memaksa dua orang anaknya penganut
ajaran Nasrani untuk memeluk Islam. Ayat ini memberi mesej jelas, kita tidak
boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agama suci ini. Tetapi ayat ini tidak
sesekali membenarkan dan mengizinkan orang Islam untuk murtad, keluar dari
Islam, menyamaratakan agama ini dengan yang lain dan sekaligus memperlekehkan
kebenaran agamanya
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
37. Telitilah dengan daya fikir yang paling tajam, sebaran ideologi
pluralisme ini bukan sahaja mengancam aqidah umat Islam, bahkan dengan sengaja menyanggah dan mencabar
Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2), yang meletakkan antara definisi Melayu mestilah
seseorang yang beragama Islam. Lebih menghairankan kita, kenyataan ini juga jelas bertentangan dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum
hudud. Adakah mereka lupa? Antara
bahagian yang terkandung di bawah hukum hudud adalah hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad? Inilah akibatnya,
apabila seekor kerbau punya tiga gembala. Dua orang bertelagah, seorang lagi
bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah.
Ketahuilah, ini satu alamat dan petanda
sebuah
malapetaka.
38. Kerana sudah terlukis di lantai sirah, akibat fitnah, tamadun dan
pemerintahan ternama di dunia menderita taqdir yang hina. Angkara fitnah
Mendeliar dan Kitul, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir dan laksamana
Melaka di zamannya. Angkara fitnah, empayar Moghul yang didirikan Babur pada tahun
1526 jatuh tersungkur. Angkara fitnah, khalifah Uthman Ibnu Affan digulingkan,
tamadun Islam rebah, punah dan musnah. Angkara fitnah, manusia berbunuhan tanpa
rasa bersalah. Angkara fitnah, sejarah dunia dipalit warna permusuhan dan
darah. Soalnya, inikah yang kita mahu biarkan membarah dalam kalangan marhaen
kita?
39. Angguklah dan katakan ya pada sebuah hakikat, politik bersadur fitnah di
akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil, kerana fitnah sudahpun lahir seawal
zaman Qabil dan Habil. Mendepani situasi mencabar ini, marilah kita laung dan
zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata seperti yang dididik agama.
Pertama ilmu, kedua kebijaksanaan dan ketiga adalah sabar. Ketiga-tiga
pendekatan ini harus beradaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan
tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan,
membakar seluruh isi perjuangan.
Sidang perwakilan sekalian,
40. Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis tohmah dan fitnah
pembangkang. Fitnah yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat akan
ditentang habis-habisan. Tetapi, Puteri
dengan berani akan katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan
persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan
dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan
dengan fakta. Ini jalan kita.
41. Pembangkang secara terang-terangan cuba membentuk persepsi buruk dengan
membuat pelbagai tuduhan palsu. Mereka gigih berusaha untuk menggambarkan
kepada rakyat bahawa UMNO dan BN yang memerintah negara, adalah parti yang
tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga kebajikan rakyat. Mereka
bermati-matian menolak tema Sambutan Kemerdekaan Negara ke-55, ‘Janji Ditepati’
yang telah BN laksanakan. Kerana apa hadirin sekalian? Kerana mereka tahu apa
yang kita kata, kita kota. Apa yang kita janji, kita tepati. Sedangkan mereka
mengabaikan tanggungjawab, mungkir janji yang dibuat dan khianati kepercayaan
rakyat.
42. Kita ambil contoh negeri yang paling mereka bangga-banggakan kononnya
paling berjaya melipatgandakan pendapatan, iaitu negeri Selangor. Dalam
manifesto 2008, mereka tabur seribu satu janji untuk rakyat negeri ini.
Janjikan elaun bulanan untuk ibu tunggal, tapi tidak ditunaikan. Janjikan
bantuan anak muda mendirikan rumahtangga, tapi tidak ditunaikan. Janjikan
bantuan anak kecil ke pusat asuhan, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan
pendidikan prasekolah, tapi tidak ditunaikan. Kalau di negeri Selangorpun
mereka gagal mengotakan apa yang mereka janji, adakah kita yakin mereka akan
tunaikan janji untuk negara jika diberi kuasa? Jawapannya pasti tidak.
43. Jangan kita gadaikan negara untuk mereka mengecap kuasa, akhirnya rakyat
yang jadi mangsa. Katakan pada mereka, cukuplah sekali, rakyat tak akan ditipu
lagi!Tidak seperti mereka, UMNO akan terus membela rakyat. Asas perjuangan kita
pada huruf Alif, Ba dan Ta akan kita pertahankan. Alif untuk agama. Ba untuk
bangsa, dan Ta untuk tanah air. Ini sumpah setia dan janji kita. Islam akan
dimartabat, melayu akan diangkat dan negara akan didaulat.
44. UMNO bukan seperti PAS yang berpakaian agama untuk menghalalkan
segala-galanya demi memuaskan nafsu politik. Sirah telah mengajar kita, Nabi
junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah S.A.W. tidak pernah menghina sesiapa.
Nabi tidak pernah mendoakan keburukan dan kemusnahan walaupun pernah dizalimi
Yahudi, sebaliknya mendoakan kesejahteraan dan hidayah buat yang
memusuhinya. Inilah sunnah sebenar yang
wajar diikuti. Sayang sekali sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam,
dengan menjerit mendoakan kemusnahan
sesama umat Islam. Demi politik, segala keterlanjuran mereka, difatwakan
sebagai benar dan kononnya itulah
ajaran agama. Itu kaedah perjuangan mereka, itu bukan cara kita.
RESAM CABARAN
45. Ketahuilah, sejarah bukan sekadar susunan aksara yang hanya perluuntuk
dilafaz, ia juga bukan sekadar susunan kata yanghanya perlu untuk dihafaz.
Sebaliknya, setiap kisah sejarahyang dibaca, perlu untuk kita hadam nilainya,
perlu untukkita faham maksudnya. Ia perlu ditafsir dengan hati danminda yang
terbuka bagi membina masa depan yang lebihbaik dari sebelumnya.
46. Kefahaman berhubung kisah dan sejarah silam inimerupakan sesuatu yang
fundamental untuk kita jadikantauladan dan sempadan. Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tidak
selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular darilubang yang sama dua kali”
Seharusnya
intipati hadis ini perlu untuk kita terapkan dalamdiri, perlu kita sematkan
dalam hati dan sanubari setiap ahli gerakan. Tsunami politik pada PRU ke-12
memberi mesej yang jelas untuk kita sama-sama merealisasikan sebuah transformasi
perjuangan secara besar -besaran. Jangan biarkan ular lidah bercabang, hidung
belang terus mengapur rakyat dengan janji temberang. Sahabat Pakatan Rakyat
diaboleh kelentong tetapi dengan rakyat jangan nak bohong. Rakyat adalah
aspirasi Puteri. Janji perlu ditepati, bukanhanya tahu bertelingkah merebut
jawatan Perdana Menteri.
47. Selaras dengan slogan transformasi tampuk pemerintahan Dato’ Sri
Presiden, formula baru perlu wujud dalam setiap gerakan yang diatur. Sebelum
siap siaga berperang tempur. Asas utama dalam perjuangan yang murni ini perlu
ditunjangi dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Kesetiaan ini bukan
bersifat sembrono. Kesetiaan yang kita mahukan dari setiap ahli adalah kesetiaan
yang bertunjangkan ilmu dan agama. Bukan kesetiaan Pak Turut yang hanya tahu
mengikut perintah yang dituntut. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk
perbuatan demi kepentingan parti yang
kita sayangi.
48. Mari kita ambil iktibar dari
beberapa kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng
kepada perjuangan sepertimana yang disebut dalam kitab dan sirah. Contohnya
wanita bernama Nusaibah binti Kaab yang begitu setia mempertahan dan melindungi
Rasulullah. S.A.W. dalam peperangan Uhud. Peristiwa lebih 14 kurun ini, sudah pasti
menjadi pengajaran penting kepada kita, bahawasanya Puteri mampu dan sanggup
berkorban hatta menggadai nyawa sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada
panji yang telah kita bawa. ‘Semangat Nusaibah’ mesti membara dalam diri setiap
ahli puteri hari ini.
49. Kesetiaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti dipadukan,
kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ia menjadi tenaga yang mampu menerjah
dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita Puteri tidak pernah dan
perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan,
walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan
parti tetap kita teruskan. Puteri sedia berkorban apa saja demi agama, bangsa
dan negara.
Sidang
perwakilan sekalian,
50. Kombinasi yang perlu hadir bersama kesetiaan ini adalah kebijaksanaan
dalam melaksanakan perjuangan. Metod perjuangan perlu selari dengan peredaran zaman.
Kita semua sedar dan tahu, PAS dan PKR, dua parti yang ditubuhkan atas dasar
kekecewaan dan dendam. Sebab itu perjuangan mereka didasari fitnah dan hasad
dengki. Mengajak rakyat berhimpun mendoakan kebinasaan manusia seagama, menuduh
slogan 1Malaysia yang jelas murni ideadari Yahudi, Mengajak rakyat sertai
demonstrasi dan lakukan kerosakan, itu semua cara perjuangan mereka yang jelas terpesong
dari adab susila manusia! Perjuangan yang sama sekali ditolak rakyat kita! UMNO
tidak lahir atas dasar kecewa, dengki, dendam, benci dan berjuang untuk tujuan peribadi.
51. Tetapi UMNO tertubuh atas rasa tanggungjawab kita
membela bangsa. UMNO adalah parti tulen dan parti
sejati orang Melayu. Jangan kita hancurkan empayar yang telah kita bina ini
dengan fitnah. Perjuangan kita perlu selari dengan keperluan rakyat. Yang
rakyat inginkan adalah kebajikan mereka dijaga bukan fitnah sebagai halwa
telinga. Sebagai penggerak, puteri harus bijak dalam mendekati rakyat. Rakyat perlukan
suara mereka didengari, bukan mendengar caci-maki. Contoh terbaik yang boleh
dipraktikkan adalah sepertimana kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Sikap kepimimpinan yang fleksibel membuatkan para sahabat sentiasa berasa
senang untuk mendampingi baginda baik untuk mengadu masalah mahupun mendapat
penjelasan berhubung sesuatu hukum. Contoh kepimpinan beginilah yang seharusnya
kita teladani. Mobiliti dan akauntabiliti sentiasa ada bagi memastikan setiap
aduan didengari, bukan hanya sekadar pandai menabur janji.
52. Tugas Puteri hari ini bukan lagi sebagai sisipan, tetapi pemain utama di
dalam arus perdana. Masyarakat perlu mempunyai persepsi yang matang dalam
politik untuk memastikan survival perjuangan masa depan terus terbela. Inilah
tugas penting yang harus dipikul Puteri. Mendidik rakyat supaya matang dalam
mentafsir senario politik negara. ‘Action
Plan’ yang jitu telah diperkenalkan Dato’ Sri Presiden. Pelbagai platform
telah disediakan melalui program transformasi kerajaan untuk membolehkan
aspirasi ini dicapai. Kita semua menjadi saksi keberjayaan program yang telah
dijalankan. Daripada GTP hingga ETP, daripada NKRA hingga NKEA, daripada RTP
hingga PPP semua dilaksanakan bagi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan
kelangsungan wadah perjuangan.
53. Sebagai jentera, Puteri seharusnya bertindak sebagai pemberi maklumat
berhubung segala usaha dan kejayaan program yang telah dilaksanakan kerajaan
kepada rakyat. Saya percaya, dengan adanya usaha ini, ia secara automatik akan
memberikan satu persepsi baru kepada masyarakat berhubung keseriusan kerajaan
dalam membantu rakyat. Inilah kematangan yang kita perlukan. Menilai kejayaan perlaksanaan,
bukan banyak mana janji yang telah ditaburkan.
PRU13
Sidang perwakilan sekalian,
54. Peperangan dalam pilihan raya umum ke-13 , pastinya akan menjadi
peperangan pilihan raya yang paling sengit dan mencabar dalam sejarah demokrasi
di malaysia. Kemenangan tipis pada PRU yang lalu, serangan-serangan provokatif
para petualang, ditambah pula dengan strategi-strategi populis menjadi senjata
yang menopang, pastinya menzahirkan pilihan raya kali ini sebagai medan tempur
sejarah yang tidak boleh dipandang mudah.
55. Pengalaman PRU12 ini adalah contoh yang paling ketara dan paling dekat
di jiwa. Bukti jika kita terlalu leka dan selesa dengan kedudukan yang kita
ada, semuanya bias hancur dan hilang sekelip mata sesingkat awan menjadi hujan,
api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Itulah nilai sebuah kejatuhan.
56. Azimat dari kisah ini, jawapannya satu, kita harus kembali pada asas
perjuangan. Asas yang dipasak dengan semangat dibenam dengan hakikat betapa
yang menghimpunkan kita dalam garis perjuangan ini adalah asas yang membuatkan
kita dipercayai dan dihormati. Asas yang melahirkan kita Pergerakan Puteri
dalam parti yang kita sayangi.
Kesatria-kesatria
Puteri sekalian,
57. Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri. Bisa sahaja menjadi
badai atau bayu yang membelai. Saat ini, jika kita masih berpeluk tubuh kita
berdosa pada parti. Jika segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari, kita
berdosa pada parti. Jika kita tidak berpangkat, tidak berjawatan, tidak
berkedudukan, kita biarkan hanya mereka yang mendapat mandat sahaja yang
menyusun aturan, kita berdosa pada parti. Jika kita pura-pura didepan bikin
kerja tapi di belakang bikin cerita, kita berdosa pada parti. Di saat saudara kita
berjuang, kita canang kononnya mereka petualang, kita berdosa pada parti. Jika
kita dendam tak bertepi cembru membita tuli, kita berdosa kepada parti. Dari
sekian dosa yang yang kita lakar tanpa sedar, kitalah pengkhianat dan petualang
sebenar.
58. Jadilah seperti Sumayyah, tanpa pangkat pun masih tegar mempertahankan
agama. Jadilah seperti Mashitah, kezaliman Firaun tidak pernah melunturkan iman
di dada. Jadilah Khalid al walid, dari apa jua pangkat dan kedudukan, hidup
matinya untuk pasukan.
59. Hari ini kita berdiri kerana sayangnya kita pada agama. Sayangnya kita
pada negara. Dan sayangnya kita pada M E
L A Y U. Bangsa. Perjuangan yang bukan bermaharkan harta dan berdulangkan
kuasa. Perjuangan seikat lidi yang perlu bertahan sesama sendiri agar tidak mudah
dipatahkan oleh sesiapa.
60. Hari ini Puteri bukan lagi hulubalang biasa. Puteri harus bangun sebagai
pahlawan, Puteri harus bangun sebagai perwira Puteri harus bangun sebagai
laksamana yang ternama. Sesungguhnya, Puteri yakin dan percaya bahawa
peperangan kali ini bukan soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Ingat.
Kekalahan pilihan raya ini bukan sekadar membawa maksud kalahnya parti kita.
Tetapi kekalahan ini, akan menjadikan asbab matinya seluruh perjuangan dan kita
pasti akan dikuburkan pada pusara yang tidak akan lagi di kenang. Jika kita
gagal, maka segala perit jerih kita membela rakyat dan membina negara selama
ini akan bernoktah disini.
61. Sesungguhnya Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka, akar
budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara, pemimpin itu perlu dihormati,
andai ada salah secara hemah teguran diberi. Kayakan jiwa kita dengan
keikhlasan dalam berjuang.
62. Sesungguhnya detik dan ketika ucapan ini ditutur, puteri telah bersiap
siaga untuk turun bertempur. Sepatutnya juga, ketika ucapan ini ditutur, sikap
sudah kemas dilentur. Nilai-nilai positif ini sepatutnya sudah sebati dalam
jiwa, sudah tersemat di minda, sudah menjadi budaya yang tidak akan terpisah
selamanya. Kerana kini, kita sudah berada di fasa untuk bertindak, yang
sekarang masih perlahan bergerak.
63. Andai kita rebah di medan perang, itu satu malapetaka yang cukup malang.
Rebahnya kita bukan dek kuatnya lawan, tapi kerana lalai dan leka dalam meniti
arus perjuangan. Jika ditakdirkan ini berlaku, jawapan apa untuk kita berikan
kepada anak cucu kita semua? Tatkala kita sedang berkuasa, apa yang kita
lakukan? Tatkala amanah diberi kepada kita, apa kita laksanakan? Tatkala kita
diberi kepercayaan, kita bacul dan khianat.
64. Jangan kita izinkan dalam ukiran sejarah pada zaman hadapan, Puteri
tumbang kerana kita leka, Puteri tumbang kerana kita alpa, Puteri tumbang
kerana kita terlalu selesa, Puteri tumbang kerana kita kejar kuasa.
65. Biarlah dalam nukilan yang dibaca anak cucu kita, Puteri bangkit demi
bangsa, Puteri berjuang pertahankan agama, Puteri berkorban kerana cintakan
Negara. Puteri benar-benar jelmaan Nusaibah, berjiwa besar dan tidak sesekali
gentar. Andai dibunuh sekalipun, Puteri mati dengan bangga.
66. Kepada para Puteri, ayuh kita sama-sama berdiri teguh di atas satu azam
perjuangan yang kukuh. Ingatlah, betapa lahirnya puteri bukan untuk dimanja,
bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa lahirnya Puteri
adalah untuk berjuang sama merasai perit jerih membela nasib rakyat dan bangsa.
Degup jantung Puteri adalah degup jantung rakyat, jiwa Puteri adalah jiwa
rakyat dan hidup mati Puteri adalah untuk menabur bakti kepada seluruh rakyat.
67. Marilah bersama-sama kita berdiri. Kita berikrar dan bersetia. Parti ini
adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu. Parti ini lahir dari
darah, keringat dan kudrat pejuang terdahulu.
68. Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan maruah
parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun mempertahankan jalan
juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan tetap mempertahankan
parti pusaka ini sampai mati.
69. Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan
fitnah. Kita akan tentang mereka dalam
parti yang suka mencucuk dan mencanag. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh
pengkhianat dan petualang.
70. Kita akan ketepi soal peribadi, kita akan ketepikan sikap yang meroskkan
parti. Kita akan tanam dan kapankan rasa dengki dan iri hati.
71. Puteri berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan, mengerah segala
kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi memastikan kita
menang dalam pilihan raya yang akan datang. Puteri akan lakukan apa jua demi
bangsa, agama dan negara.
72. Maka akhirnya dalam politik bukan semuanya
tentang untung sabut timbul untung batu tenggelam, juga bukan rezeki
secupak takkan jadi segantang. Tapi politik semuanya tentang berpantang maut
sebelum ajal, membujur lalu melintang patah. Dengan
seluruh tekad dan keringat. Seluruh jiwa dan raga kita. Hanya untuk parti. Kita
akan terus percaya di saat sakit, jerih dan perih, puteri berdiri bukan kerana
takdir, tetapi kerana seruan juang pada agama bangsa dan negara. Hingga
sekiranya ditanya. Sebagai pejuang, sanggupkah kita membayar perjuangan dengan
nyawa kita sendiri? Katakan bahawa kita sanggup. Katakan kita mahu, kita mampu,
kitalah pejuang-pejuang itu! Selamat berjuang untuk semua yang bersidang.