Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan

3 Dis 2014

Jika Aku Jatuh Hati



..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Bismillahirrahmanirrahim…

Ya Allah…
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu…

Ya Muhaimin…
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu…

Ya Rabbana…
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya,
Agar tidak berpaling daripada hatiMu…

Ya Rabbul Izzati…
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang,
Yang merindui syahid di jalanMu…

Ya Allah…
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya,
Bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…

Ya Allah…
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh,
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…

Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas,
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu…

Amin ya rabbal alamin…


26 Nov 2014

Poyokah Kita?



Salam sejahtera, semua. Tajuk macam pelik kan?

Baiklah, mula-mula kita perlu faham maksud poyo. Apakah maksudnya?

Poyo ialah perkataan bahasa pasar atau slanga Melayu boleh dikategorikan sebagai kata sifat. Ia sering digunakan di kalangan generasi moden terutama remaja Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia dalam perbualan sehari-hari.
Perkataan poyo ialah slanga yang baru dicipta sekitar 2000an tidak terdapat di dalam Kamus Dewan dan setakat ini belum ada sebarang kajian akan asal-usulnya. Poyo juga belum mempunyai takrifan khusus dan tepat. Ia lebih kepada perkataan yang digunakan untuk menunjukkan seseorang itu tidak menyukai sifat tertentu atau kelakuan seseorang individu.
Namun begitu, berdasarkan penggunaannya, ia boleh dikatakan bermaksud berikut:
  • Seseorang yang mempunyai watak hambar, tidak asli atau 'original', sedikit menjengkelkan dan kebodoh-bodohan
  • Seseorang yang berwatakan luar dari norma orang biasa seperti merasakan diri-sendiri bagus, suka temberang dan bercakap luar dari kenyataan
Ia juga mempunyai persamaan dengan slanga bahasa Inggeris Amerika iaitu 'lame'

Terima kasih Encik Wikipedia. Ketahuilah bahawa perkataan 'poyo' ini tiada di dalam Kamus Dewan. Jangan susah-susah cari.

Sebenarnya, saya ingin mengupas serba sedikit mengenai ikhtilat? Apakah definisi ikhtilat? Ikhtilat daripada sudut bahasa adalah bercampur. Dari segi syara', ikhtilat membawa maksud percampuran/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Hukum ikhtilat ini bergantung pada situasi dan keadaan. Ada yang haram. Ada yang harus. Ada yang halal malah diwajibkan.


  • Haram kalau berhubungan lelaki dan perempuan yang ajnabi dan tiada urusan yang perlu/mendesak untuk melakukan perhubungan itu.
  • Harus pula dalam urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan seperti doktor dengan pesakitnya, urusan jual-beli, cikgu dengan anak muridnya dan yang seangkatan dengannya.
  • Halal malah diwajibkan pula adalah dalam situasi yang benar-benar mendesak seperti mahu melindungi seorang wanita yang dikhuatiri terancam keselamatannya.

Allah S.W.T. ada berfirman di dalam al-Quran, yang terjemahannya berbunyi,


"Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Israa, 17:32)

Dalam ayat ini, Allah tak berfirman supaya jangan berzina, tapi menjauhi perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kita kepada lembah penzinaan. Antara perkara yang mencenderungkan kita ke arah lembah hitam itu adalah pergaulan bebas. Maka, batasilah pergaulan anda dengan syariat.

Saya ingin bertanya kepada pembaca blog ini, adakah dengan tidak 'follow' insan berlainan jantina (yang mahram / halal, takpe) di Instagram, anda dipanggil poyo? Kalau boleh, kita sepatutnya menghindarkan diri daripada melihat gerak-geri insan-insan yang berlainan jantina supaya tidak wujud imaginasi-imaginasi liar yang boleh menggugat iman.

Sama juga di Facebook. Jangan tenung lama-lama gambar insan berlainan jantina tu, nanti mengundang imaginasi-imaginasi liar hadir ke dalam minda. Stalk orang lain jantina? Jangan hairan seandainya pasangan anda kelak juga adalah seorang stalker. Kita kena jadi baik dulu barulah kita layak untuk mendapat pasangan yang baik. Firman Allah S.W.T.:

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Surah an-Nur, ayat 26)

Batasilah pergaulan anda, supaya Allah sentiasa redha pada diri anda. Elakkan komunikasi yang tidak perlu antara jantina. Contohnya, mesej panjang meleret yang tiada pengisian, sebaliknya penuh kata-kata cinta, perkataan-perkataan yang kurang baik. Cukuplah sekadar balas mesej yang perlu sahaja, elakkan daripada meleret panjang, tak perlu smiley-smiley comel dan tak perlu kata-kata gedik.

Maka, saya ingin bertanya kepada semua,


  • Adakah anda sanggup dikatakan poyo hanya kerana anda membatasi pergaulan?
  • Adakah anda sanggup dikatakan poyo hanya kerana tidak 'follow' rakan berlainan jantina di Instagram?
  • Adakah anda sanggup dikatakan poyo hanya kerana tidak menjadi 'stalker' sejati di laman muka buku?
  • Adakah anda sanggup dikatakan poyo hanya kerana anda tidak balas mesej yang tidak penting daripada insan berbeza jantina?


Saya sanggup. Saya sudah berhenti 'LIKE' gambar-gambar wanita/akhawat/bidadari dan yang sewaktu dengannya. Bukanlah saya tidak menghargai perhiasan duniawi.

Biar orang kata sombong, yang penting Allah redha. Ke guane? Maafkan saya, saya tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana rakan saya, jauh sekali untuk bersikap poyo, namun saya harap anda faham. Kalau anda tidak faham sekarang, lama-kelamaan anda akan faham. Saya pun pernah silap sebab pernah mengata orang yang menjaga batas pergaulan ini poyo, bajet, bajet alim dan sebagainya. Namun selepas nampak kepentingan menjaga batasan pergaulan, saya tarik balik kata-kata saya yang lepas.

Dalam menangani isu ikhtilat ini, janganlah jadi seorang yang jumud, sebaliknya jadilah seorang yang profesional. Bukanlah tidak boleh berkomunikasi langsung dengan rakan-rakan yang berlainan jantina, namun perlulah dibatasi dengan syariat. Yang penting, elakkan diri kita daripada mengundang kemurkaan Allah S.W.T.

Pesanan untuk wanita :  Malumu berharga. Malu itu indah, malu itu fitrah.



Cukuplah setakat ini sahaja perkongsian ringkas daripada hamba Allah yang lemah ini. Semoga semuanya sentiasa dirahmati Allah S.W.T.. Semoga Allah sayang.

19 Ogo 2014

Aidilfitri 1435H

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri kali ini berkisarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1435H.

Telah berlalu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Namun pastinya kita akan merindui fadilat yang terkandung dalam bulan berkenaan. Sabda Rasulullah s.a.w., "Sekiranya umatku mengetahui kemuliaan dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".

Alhamdulillah, selesai sudah sebulan berpuasa. Tempoh sepurnama madrasah Ramadhan telah berjaya ditempuhi dengan baik. Sama ada amal ibadat kita semua diterima, hanya Allah S.W.T. yang tahu. Yang penting, tiba sudah hari kemenangan, maka raikanlah dengan seadanya.

Tahun ini, seperti biasa, semua pulang ke rumah di kampung bandar halaman, Kota Bharu untuk beraya bersama. Cuma kakak sulung (Along) tiada di pagi raya sebab beraya di rumah mertuanya. Ada banyak gambar saya bersama keluarga dan rakan-rakan yang ingin saya kongsikan untuk tatapan para pembaca blog ini.

Wajah ceria di pagi raya

My precious..

Pandang kamera lain

Selfie keluarga Roslan di pagi raya

Bersama rakan dari kecil sehingga kini, Iqbal, pengunjung pertama teratak Roslan, kini belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat. #SaVIour

Si kacak di pagi raya, baju raya Jakel Zizan Razak.

Tatkala ramai rakan saya di berek polis yang sudah berpindah, ini rakan saya yang masih tinggal di sini, Haiqal Daud. Kini belajar di UiTM Dungun.

Rakan-rakan seperjuangan di SM Sains Alam Shah (ASiS), Kuala Lumpur dulu. Dari Kota Bharu ke Machang, kemudian ke Pasir Mas dan akhirnya ke Tumpat, tempat gambar ini diambil. #SaVIour

dari kiri : Syakir, Murshidien, Kitaro, Rashdan

Rakan-rakan SK Ismail Petra 1, dari kiri : Rashdan, Afiq Mazlan, Nik Nur, Herman

Beraya di rumah TMZ bersama Nabil. #SaVIour

Ini pun geng #SaVIour juga. Beraya di rumah Adib Azizi. Atiff Ghazali pun ada.

Beraya di rumah rakan se-dorm 2A3 dulu, Aqhari. Buat muka pulak dia. =.=' #SaVIour

Beraya di rumah Sir Sariy pulak. Tak lama lagi jadi cikgu. #SaVIour 
Jejaka USM-KLE 2nd Batch beraya

Beraya di rumah Syahrain, rakan sekuliah di USM-KLE, dan bakal rakan seposting nanti.

Ikhwah Ireland datang beraya di rumah, akhi Huzaifah dan Hazreen.

PR Executive Inteam, akhi Firdaus bersama isteri dan anaknya pun datang beraya di rumah ana juga. 

Geng UPSR 2004 beraya di rumah Afiq Mazlan di Kubang Kerian

Sahabat selamanya ^_^

Beraya di Lapangan Terbang Sultaz Aziz Shah, Subang bersama jiran dorm, Fatah Khairi. #SaVIour

Beraya di Batang Kali, di rumah Najmi.

Kumpulan nasyid Inteam turun Kelantan, sempena persembahan di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD)

Makan tengah hari di rumah mertua akhi Firdaus bersama Inteam dan wakil dari KTD. 
Bergambar kenangan bersama Inteam selepas persembahan mereka di KTD. Banyak kenangan bersama mereka pada tahun ini. InshaAllah, ada rezeki, jumpa lagi pada bulan Julai 2015.

Bergambar kenangan bersama saudara Hafiedz Udu, pemain perkusi dan instrumen yang handal. Beliau merupakan ahli kumpulan Algebra dan Jawi.

Di sini, saya ingin berterima kasih kepada semua yang sudi bertandang di rumah saya pada hari raya yang lalu dan kepada yang mengundang saya ke rumah, terima kasih juga. Maaf banyak-banyak kepada sesiapa yang saya tidak dapat penuhi undangan ke rumah terbuka mereka kerana saya juga perlu memenuhi undangan lain. Ada rezeki, bolehlah kiranya kita berjumpa pada kesempatan yang lain, inshaAllah.

Sesungguhnya hari raya kali ini banyak kenangan yang manis. Namun tetap terasa tidak lengkap kerana hari raya kali ini, tiada lagi nenek dan ibu saudara saya yang telah kembali ke rahmatullah.

Kubur arwah nenek saya. Ibu saudara saya, Hazizah bt. Ismail, menyusul lebih kurang 100 hari kemudian, kembali ke rahmatullah. Sedekahkan al-Fatihah untuk mereka, semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Semoga hari raya kali ini mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita. Yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan. Yang mana belum sempat berkunjung ke rumah saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga, masih sempat berbuat demikian, selagi Syawal masih ada. :)

29 Jun 2014

Lagu-Lagu Pilihan Ramadhan

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Macam mana Ramadhan anda semua setakat ini? Mudah-mudahan anda dikurniakan kekuatan untuk menunaikan rukun Islam yang ke-4 ini.

Perlukan halwa telinga sempena Ramadhan ini? Dengarlah lagu-lagu yang berunsur ketuhanan dan nasyid, mudah-mudahan kita dapat memelihara deria pendengaran kita daripada unsur-unsur lagha. Sedap juga kalau dengar lagu-lagu sebegini, lebih-lebih lagi yang bertemakan Ramadhan. Namun, ingatlah, dengar lagu pun jangan sampai kita lupa untuk merebut pahala-pahala dalam bulan Ramadhan ini.



Senarai 12 lagu pilihan sempena Ramadhan al-Mubarak, disediakan sendiri oleh saya.

1. Iftar - Inteam 
2. Harapan Ramadhan - Man Bai & Raihan
3. Gema Mubarak - Inteam, Far East, Salleh Brothers 
4. Kemuliaan Ramadhan - UNIC & Inteam 
5. Ramadhan Dua Zaman - Inteam & Nazrey Johani
6. Ramadan (Malay) - Maher Zain 
7. Ramadhan Bulan Berkat - Hijjaz 
8. Ramadhan Tiba - Opick 
9. Rindu Ramadhan - Devotees 
10. Ramadhan Datang - Tompi 
11. Lord of Ramadhan - CoTU
12. Puasa Dulu Baru Raya - Raihan





Ini antara lagu kegemaran saya yang bertemakan Ramadhan. Sebenarnya ada lagi, tapi 12 lagu ini sahaja yang mampu saya senaraikan sebagai antara lagu yang baik untuk didengari. Semoga dengan mendengar lagu-lagu ini, bertambah semangat kita untuk menunaikan ibadah puasa dan melipatgandakan ibadah kita dalam bulan yang penuh barokah ini, inshaAllah.

Mungkin ada lagu lain yang saya tidak senaraikan di sini yang sering anda dengari? Kalau ada, komen di bawah ya.

28 Jun 2014

Gema Mubarak

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)


Salam Ramadhan al-Mubarak 1435H untuk semua pembaca setia blog ini, semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menghadapi bulan yang penuh ujian ini dan juga diberikan kekuatan untuk beribadah. Rugi kalau tak dimanfaatkan bulan Ramadhan ini.



Ayuh kita jadikan Ramadhan ini yang terbaik yang pernah kita lalui. Siapa tahu, tiada lagi kesempatan untuk kita bertemu Ramadhan tahun depan?

Tahun ini saya tidak berpeluang untuk berpuasa walaupun sehari di perantauan seperti biasa iaitu di India. InshaAllah, sebulan penuh Ramadhan di Malaysia.

21 Jun 2014

OiC 2014

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Agak lewat untuk mengemas kini acara yang telah berlangsung pada awal tahun tempoh hari kerana kesibukan sebagai seorang pelajar.

Alhamdulillah, pada 11 dan 12 Januari 2014, saya telah menyertai program Outdoor Iman Camp 2014 (OiC 2014) yang diadakan di Summersand Beach Resort, Mangalore, India. Program ini dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia cawangan India (ISMA India).

Dengan bertemakan 'Fuel Your Future', acara ini dihadiri oleh 172 orang, rata-rata mereka terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang belajar dalam bidang perubatan dan pergigian di seluruh India. Program ini juga menampilkan tiga orang tetamu undangan yang istimewa kerana mereka diterbangkan khas dari Malaysia untuk menjayakan program ini. Mereka adalah Dr. Zainur Rashid Zainuddin sebagai Pengerusi Biro Luar Negara ISMA, Ustaz Mus'ab Norkefli sebagai Penasihat ISMA India dan Dr. Hasliza yang merupakan JK I-Medik Selangor.

OiC 2014, Mangalore, India.


Saya dan peserta-peserta lain dari Belgaum bertolak pada jam 11.15 malam pada 10 Januari 2014. Dalam perjalanan ke Mangalore kira-kira 420 km itu, kami singgah di Dharwad terlebih dahulu untuk menjemput peserta-peserta di sana untuk bertolak ke Mangalore bersama kami.

Perjalanan lebih panjang daripada biasa. Kami terpaksa berhenti solat Subuh di sebuah masjid di sebuah pekan kecil yang bernama Bhatkal. Untuk pengetahuan semua, masjid di India rata-ratanya tidak menyediakan ruang solat untuk wanita. Namun setelah memberi penerangan yang jelas, imam masjid tersebut membenarkan akhwat solat di situ. Selepas solat, imam masjid tersebut menawarkan sarapan kepada kami di rumahnya. Rezeki jangan ditolak. Sarapan yang sedap, iaitu air teh susu (chai) dan roti goreng.

Perjalanan masih jauh. Akhirnya pada jam 12.00 tengah hari, kami tiba jua di Mangalore, disambut mesra oleh para jawatankuasa OiC 2014. Perjalanan yang agak panjang sehingga ada sahabat saya muntah di dalam kereta.

Kami terlepas slot pertama iaitu ceramah yang disampaikan oleh Dr. Zainur Rashid yang bertajuk "Be A Superman". Tak mengapa, masih banyak slot yang boleh kami sertai. Terus masuk ke slot ke-2 iaitu "Jahiliah No More" oleh Dr. Hasliza. Walaupun penat, tetap tekun mendengar.

Petangnya selepas solat Zohor dan makan tengah hari, ada aktiviti yang amat menarik di tepi pantai iaitu 'Beach Sweat Challenge'. Tujuan utamanya adalah untuk mendidik sifat keberanian dan kejantanan di samping mengukuhkan ukhuwah antara para peserta.


Walaupun panas, namun tetap tenang kerana hubungan ukhuwah yang erat menyejukkan suasana.

Lautan yang belum kematian ombak

Sebahagian mahasiswa Malaysia di India beraksi di tepi pantai dalam acara futsal.

Dr. Zainur Rashid turut menyertai peserta lain

Salam bersalaman tanda ukhuwah yang mekar

Malamnya, ada forum yang bertajuk 'Melestari Cinta ke Syurga'. Ketiga-tiga tetamu jemputan menjadi panel forum berkenaan dan saudara Farris Hanafi bertindak sebagai moderator. Ramai ikhwah senyum malam tu, tak mengantuk ya? ;)

Forum sedang berlangsung. Amat menarik, rugi jika tidak memberi perhatian sepenuhnya kerana topik yang amat baik.

Tibalah masa untuk eksplorasi minda (ataupun bahasa mudahnya, tidur) pula setelah tamat program, di tempat penginapan yang amat selesa. Keesokan harinya, setelah bangun daripada tidur, solat Subuh berjemaah dan membaca al-Mathurat serta mendengar sedikit pengisian daripada saudara Asyraf Kosnan, diadakan pula acara Explorace.

Sebahagian peserta OiC 2014.

Akhi Hafizulfaiz bersama Dr. Zain dan Ustaz Mus'ab 

Kegigihan

Antara gelagat peserta sewaktu berlangsungnya acara Explorace 
Bergambar kenangan

Bukan sekadar bersuka ria, ada juga pengisian sepanjang permainan

Malaysia oh tanah airku

Buat apa dengan kelapa? Tok Moh Buaya ka? :D

Kumpulan saya dan kumpulan lagi satu

Ya Allah, kembalikanlah keamanan di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam lain. 

Selepas acara Explorace, diadakan pula slot 'Tarbiyyah : Where True Muslims Are Created." Kemudian, diadakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Setiap kumpulan perlu membuat poster mengikut nilai muwasafat tarbiyyah yang diberikan kepada mereka. Untuk kumpulan saya, kami mendapat nilai 'Akidah Yang Sejahtera'.

Ustaz Shin Chan

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah Outdoor Iman Camp kali ini. Namun begitu, program ini meninggalkan kesan yang amat baik untuk diri ini dan juga para peserta lain. Pelbagai kenangan manis terukir di Mangalore.


Ucapan daripada saudara Muhsan, pengarah projek OiC 2014.

Mewakili kumpulan saya yang berjaya meraih gelaran anugerah terbaik untuk Explorace

Akhi Rafi, kumpulannya berjaya menang Beach Sweat Challenge

Akhi 'Isa yang memenangi Anugerah Peserta Terbaik OiC 2014. Hidup OASiS SaVIour di India!

Syazwan Hazim, junior saya di USM-KLE, menang Anugerah Peserta Paling Comel :D

Alhamdulillah, OiC 2014 amat baik secara keseluruhannya, dari segala sudut. Tak mahu cakap panjang kerana semuanya terbaik. Tahniah kepada pihak penganjur. OiC 2015, jika diadakan, inshaAllah jika tiada aral melintang, saya akan cuba hadirkan diri.