Showing posts with label Kejayaan Sebuah Rindu. Show all posts
Showing posts with label Kejayaan Sebuah Rindu. Show all posts

Thursday, March 3, 2016

Kejayaan Sebuah Rindu (Bahagian 8)

Seperti yang dijanjikan, Iqbal Hanina akan bermuzakarah dengan Naqibahnya pada petang itu. Kak Tasnim, seorang Naqibah yang lebih kepada seorang Kakak buat Iqbal Hanina. Sifatnya yang amat penyayang dan mengambil berat amat menarik hati Iqbal sejak awal perkenalan mereka. Kak Tasnim sering kelihatan tersenyum seolah tiada langsung masalah, walhal Iqbal Hanina sendiri maklum dia adalah salah seorang pelajar yang amat sibuk di Kampus Kejuruteraan USM itu. Tidak keterlaluan jika teman-teman mengatakan Kak Tasnim adalah ciri pelajar wanita contoh dan juga idola muslimah solehah di kampus ini.

Dari kejauhan Iqbal Hanina sudah Nampak kelibat Kak Tasnim, berbaju kurung bertudung labuh warna kuning cair, berjalan menuju ke arah mejanya. Petang itu Kafe Desasiswa Lembaran agak lengang. Mungkin kerana dek cuaca yang mendung, membuatkan ramai pelajar hanya mahu menghabiskan waktu petang di dalam desa sahaja.

“Assalamualaikum” Salam dihulur oleh Kak Tasnim. Pipi bertemu pipi disertai pelukan dan senyuman mesra. “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh”, jawab Iqbal Hanina. “Cik adik manis, boleh saya minta izin duduk?” begitu Kak Tasnim, bersahaja menyakat Iqbal Hanina. “Eh, kenapa wajah cik adik manis kita ni nampak mendung macam awan tu je?” Kak Tasnim memuncungkan mulut ke arah sekelompok awan kelabu di langit, sambil mengerutkan kening. Soalan itu dan riak wajah lucu Kak Tasnim membuat Iqbal Hanina tergelak kecil. “Akak ni kan, saja je menyakat saya kan. Okay, saya straight to the point.” Balas Iqbal Hanina, “Ada orang Khitbah…”
“MasyaAllah, walhamdulillah, berita baik ni ! Bila nak bagi akak kad wangi??” Kak Tasnim tersengih nakal dan tidak sabar menanti jawapan. Papp! Satu tepukan singgah di bahu Kak Tasnim. “Akak.. tolonglah serius sikit. Saya nak baliklah kalau macam ni. Kalau dah nak buat kad, tak ada lah saya nak muzakarah dengan akak. Malah, hal ni tak ada kena mengena dengan apa yang akak bayangkan tu.” Iqbal Hanina pura-pura merajuk. Kak Tasnim hanya tersenyum.

“Khitbah untuk MPP, kerusi fakulti. Naik automatik dan tak perlu pertandingan. Saya rasa berat untuk menerima. Akak banyak pengalaman dan saya perlu pandangan akak untuk buat keputusan.” Sambung Iqbal Hanina. “Dah istikharah? Dah tanya mak ayah?” Tanya Kak Tasnim.”Belum…” balas Iqbal Hanina. “Kerusi Syed Muzaffar ye?” Tanya Kak Tasnim lagi. “Eh, macam mana akak tahu ni?” Iqbal Hanina terkejut dengan soalan Kak Tasnim. Kak Tasnim tersengih-sengih. “Sebenarnya akak yang cadangkan nama Iqbal” Balas Kak Tasnim. Iqbal Hanina terlopong. Barulah dia tahu bahawa semua ini daripada Naqibahnya itu. “Macam ni, awak istikharah dulu. Jangan lupa tanya pendapat mak ayah. Tugas MPP ni memerlukan komitmen yang agak tinggi. Kadang-kadang terpaksa skip kelas. Kadang-kadang perlu mesyuarat lewat malam. Hujung minggu aktiviti biasanya penuh. Satu akak nasihat, apa pun keputusan nanti, niatkan Lillaahi Taala. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja.” Panjang Kak Tasnim memberi nasihat.

*****************************************************************************

Satu tahun berlalu, Iqbal Hanina membuat keputusan untuk menolak lamaran sebagai MPP. Sebaliknya hari ini, dia telah membuat keputusan bertanding untuk kerusi MPP. Dia mengetahui satu hakikat bahawa dia bukanlah orang selayaknya untuk bertanding, bahkan sesi pidato umum malam tadi adalah satu perkara yang amat sukar sekali buatnya yang tiada pengalaman. Namun atas rasa tanggungjawab, dia bersedia meneruskan langkah perjuangan ini. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jika benar dia mahukan jawatan itu secara mudah, dia sudah boleh menerimanya tahun lalu. Tahun ini misinya berbeza, bahkan dia bertanding bukan untuk kerusi Fakulti tetapi kerusi Umum, jawatan tertinggi kampus. Seorang calon wanita melawan seorang calon lelaki. Satu lawan satu. Ia satu keputusan yang besar bagi dirinya. Malah keputusannya ini menjadi perdebatan sebahagian besar kalangan ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) kampus, kerana bagi mereka wanita tidak seharusnya memimpin pada peringkat tertinggi. Hanya kepada Allah dia bertawakkal.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At Talaq: 2-3)

Hari ini hari mengundi Piliharan Raya Kampus (PRK). Seharian Iqbal Hanina ‘ponteng’ kelas. Dia menghantar permohonan bertulis kepada semua pensyarahnya, kebenaran tidak hadir ke kelas. Syukur semua berjalan baik dan beberapa pensyarahnya sangat senang dengan keterlibatan Iqbal Hanina dalam program ini. Malah ada pensyarah yang juga pernah terlibat dalam PRK bermurah hati berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna buat Iqbal Hanina. 

‘Assalamualaikum. Banyakkan doa dan selawat. Semoga Ukhti beroleh kejayaan.’ Satu mesej masuk ke inbox. Diiringi oleh mesej-mesej lain.
Tibalah masa yang dinanti untuk keputusan PRK diumumkan. Iqbal Hanina berpakaian baju kurung warna merah, ditemani rakan-rakan fakulti, palapes dan desasiswa menghadiri sesi pengumuman. Sungguh dia amat bersyukur kerana punya rakan-rakan yang sangat baik hati dan memberi sepenuh sokongan buatnya. Akhirnya keputusan diumumkan. Calon lawan memenangi PRK kali ini. Keputusan itu diterima dengan penuh redha dan syukur oleh Iqbal Hanina. Takbir ! Allahuakbar ! Takbir ! Allahuakbar ! Para pelajar yang hadir melaungkan takbir setelah keputusan diumumkan. “Tahniah Iqbal Hanina ! Awak telah melakukan yang terbaik.” Iqbal Hanina menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan-rakan. Secara automatik Iqbal Hanina menjadi pengerusi Hal Ehwal Siswi (HELWI) kampus. Tugasnya baru sahaja bermula.
Tet tet.. Satu mesej masuk ke kotak inbox.
Daripada: Syed Muzaffar
‘Assalamualaikum. Tahniah dan takziah. Ukhti ada peluang untuk naik secara automatic namun Ukhti menolaknya. Hari ini Ukhti menyertai PRK, ana berasa amat simpati atas kekalahan Ukhti.’
Iqbal Hanina menghulurkan telefon bimbit kepada Shahida dan Kak Tasnim di sebelahnya. Mereka berdua membaca bait-bait mesej daripada Syed Muzaffar. “Simpati ke perli ni?” Merah padam wajah Shahida menahan amarah. “Abaikan saja Iqbal. Awak tak perlu melayan perasaan saat-saat macam ni. Syed Muzaffar mungkin tak bermaksud begitu.” Kak Tasnim menggosok belakang Shahida. Ada satu perkara yang Iqbal rahsiakan daripada mereka berdua. Syed Muzaffar telah menyuarakan hasrat untuk mengkhitbah Iqbal Hanina, melalui Ustaz Luqman, dan dia belum lagi memberi apa-apa keputusan…

Akan bersambung InsyaAllah
..::Qalam 'Aini, 3 Mac 2016 / 23 JamadilAwal 1437H::..

Q'A
~saya perlukan komen review dari teman-teman yang baik hati untuk meneruskan penulisan, jazakalllah..
^^

Monday, February 15, 2016

Kejayaan Sebuah Rindu (Bahagian 7)


Pagi ini terasa amat tenang. Matahari kelihatannya malu-malu berselindung di balik awanan gebu berlatarkan langit nan biru. Usai bersiap, Iqbal Hanina memulakan langkah keluar dari biliknya dengan penuh tawakkal. Dia perlu berjumpa temannya Shahida di Pondok Lembaran 10 minit lagi. Selawat tidak lekang dari bibirnya. Hatinya benar terasa berdebar-debar sejak Subuh tadi. Mimpinya pada malam tadi masih berlegar di minda. ‘Milky Way dan Abdullah Wafi? Apakah maksud semua ini?’. Dia berusaha agar lebih fokus kerana hari ini adalah hari besar buat dirinya. Terasa berat ujian, terasa besarnya beban. Namun saat itu juga, terulang di benaknya akan hadis junjungan Rasulullah s.a.w.,


Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)
Di lain riwayat, Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tanpa berlengah Iqbal Hanina berpatah kembali ke bilik. Walau masa yang dia ada amat suntuk, tapi dia yakin pertolongan Allah swt perlu dijemput.  Wudhuk disempurnakan dan Solat Dhuha pun ditunaikan. Satu keyakinan, satu ketenangan yang tidak dapat digambarkan lantas hadir menguatkan dirinya. Allahuakbar! Manusia itu fitrahnya hanya akan lebih ingat kepada Tuhan saat diuji. Hari ini dan saat ini, keyakinannya semakin tinggi terhadap hadis Habibullah ini. ‘Allahumma Solli Ala Muhammad !’.

“Iqbal Hanina, awak okay? Senyum lebih sikit ya. Hari ini penentuannya.” Shahida menegur Iqbal Hanina yang kelihatan berfikir jauh sepanjang berjalan dari Desa Lembaran. Iqbal Hanina menatap wajah Shahida, manis, lalu menghadiahkan seukir senyuman. “Insya Allah. Doakan saya ya. Jom, harapnya kita tak lewat nanti.” Langkah mereka laju menyelusuri susur gajah berbumbung hijau menghala ke Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik. Banner dan Poster Pilihan Raya Kampus terhias penuh di sepanjang laluan. ‘Hasbunallah wa ni’mal wakeel !’.



***                              ***                              
1 Tahun Sebelumnya

***                              ***                             

Cahaya matahari waktu Dhuha menyimbah lembut ke wajah mulus Iqbal Hanina. Kesilauan, dia menundukkan pandangan ke bawah memandang rerumput segar menghijau di bawah kaki. Di hadapannya Syed Muzaffar dan Wan Hafidz berdiri. Mereka menanti jawapan darinya. Jarak 3 kaki antara mereka masih terasa amat melemaskan buat Iqbal Hanina. Sekilas Iqbal Hanina memandang Shahida dan Annur yang berdiri di sebelahnya.

“Saya mohon beri masa untuk saya buat Solat Sunat Istikharah dan buat Istisyarah dulu.” Iqbal Hanina bersuara, sedikit tegas. Satu kumpulan pelajar Tahun 1 kelihatan menghampiri pintu Dewan Kuliah Utama Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, tempat mereka berlima berdiri.
“Boleh Insya Allah. Kami amat berharap akan menerima berita baik dari Saudari.” Balas Wan Hafidz, bersungguh. Syed Muzaffar hanya mengangguk penuh berharap. Pandangan mereka langsung tidak bertemu. Terjaga. “Kami minta diri dulu. Assalamualaikum.” Akhiri Wan Hafidz dan mereka berlalu dari situ. "Wa'alaikumussalam." Jawab mereka bertiga.

“Iqbal, jom kita pulang ke Desa. Saya teringinnnn sangat nak minum Teh Tarik Peng Kafe Halim yang sedap tu. Oh sedapnya kalau dapat minum dalam cuaca panas-panas macam ni!” Suara Annur memecah kesunyian, cuba menceriakan keadaan. “Saya pun nak cuba lah. Kena sejukkan tekak dulu sebab lepas ni kita nak interbiu cik adik manis kita seorang ni. Apalah jawapannya ye. Kalau saya lah, mesti saya jawab YA terus tadi !” Shahida cuba mengusik Iqbal Hanina. “Eh, sepatutnya saya yang lebih rasa dahaga sekarang kan? Mujur saja tak pitam tadi.” Iqbal Hanina mencelah. “Betul juga tu. Usahkan awak, kami pun terkejut. Mujur lah awak tak pitam.” Annur dan Shahida tertawa nakal.

Dari jauh Syed Muzaffar memerhatikan Iqbal Hanina bersama teman-temannya. Dia mengeluh dalam-dalam. Pap ! Satu tangan singgah memegang bahunya. “Hai, belum dapat jawapan sudah mengeluh. Tenanglah Syeikh! Wan Hafidz menepuk bahu tegap Syed Muzaffar. Syeikh adalah pannggilan mereka sesama sahabat. Lambang hormat dan erat persahabatan. Syed Muzaffar tersenyum kelat. Dalam hatinya, tersangat mengharapkan satu jawapan positif dari Iqbal Hanina, dan dia sesungguhnya tidak bersedia untuk menunggu jawapan itu terlalu lama.

Petang itu awan kelabu kumulunimbus memayungi langit Kampus Kejuruteraan USM. Iqbal Hanina memerhati dari luar jendela. Seberat mana pun awan mengandung air hujan, ia tetap akan bergerak membawanya menuju destinasi yang ditugaskan. Awan petang itu seolah memahami situasi Iqbal Hanina. Berat hatinya untuk memberi jawapan “YA”. Namun dia tidak dididik untuk terus memberi jawapan “TIDAK” sebelum dia membuat istikharah dan istisyarah. Kabur sekali jawapan dihati.

Imam As-syawkani mengatakan Solat Sunat Istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya (Naylul Awtar, 3/71). Kedua-dua amalan ini mempunyai asas dan amat digalakkan di dalam Islam.  Asasnya termaktub di dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari (Al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, no 6382; Sohih menurut Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Abi Hatim tetapi dhaif menurut Imam Ahmad Hanbal;

Dari Jabir r.a bahawa Nabi bersabda :
“Apabila seseorang kamu inginkan sesuatu maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa:

Ertinya : “Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah dengan ilmuMu dan memohon dari kekuasaanMu, dan aku memohon dari kurnianMu dan agung, dan sesungguhnya Dikaulah yang maha berkuasa dan tiadalah aku berkuasa, Dikau Maha mengetahui dan aku tidak mengetahui, dan dikau maha mengetahui perkara Ghaib, Ya Allah sekiranya urusan ini (sebutkan urusannya) baik untukku pada agamaku, kehidupanku dan pengakhiranku, maka taqdirkan ia bagiku, dan sekiranya urusan / perkaara ini buruk bagiku, agamaku,kehidupanku dan pengakhiranku, jauhkan ia dariku dan jauhkan ku darinya, dan berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya” 


“Istikharah perlu apabila di hati kamu tidak ada apa-apa jawapan baik ya atau tidak. Masa itu lah baru istikharah itu benar-benar berfungsi.” Iqbal Hanina teringat satu kuliah oleh Ustaz Rifhan minggu lepas di Pusat Islam USM. Dia mencapai telefon bimbit. Beberapa bait mesej temujanji ditulis penuh hormat dan nama ‘Kak Tasnim’ dipilih sebagai penerima. Sent. Dia perlu bermuzakarah dengan Naqibahnya itu secepat mungkin. Perlu !

Akan bersambung.. InsyaAllah ^-^

..::Qalam 'Aini, 15 Februari 2016 / 5 JamadilAwal 1437H::..

Q'A
~alhamdulillah thumma alhamdulillah
^^

Friday, October 19, 2012

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 6)

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’(17) Ayat 32:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
“Kami tidak berzina. Kami berbual-bual saja ”, “Kami keluar makan saja” dan “Kami main SMS saja.” Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun hanya mendekati zina, ia sudah pun haram. Mungkin ada yang kurang jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin, ber‘couple’, teman tapi mesra, adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah haram.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Terasa kering sekali kerongkongannya melirik kotak mesej tulisan berwarna hitam putih itu. Berkali-kali menelan air liur masih juga terasa haus. Iqbal Hanina dilanda dilema. Jari jemari pantas menaip balasan. Jauh di sudut hati hadir satu bisikan nakal, “Wah wah wah Iqbal, kau ada secret admirer laa..he he..”. Pipinya terasa hangat dialus usikan nafsu.
“Ni siapa?”, Iqbal Hanina mengulang baca balasan yang telah ditaip olehnya. Tanpa ragu dia menekan butang ‘Send’. Dia menanti balasan mesej dari empunya diri di pihak sana.
“Iqbal, Iqbal, jom, jom!”, Zahra teman sebiliknya tiba-tiba menonong masuk ke dalam bilik entah dari mana dan mengheret Iqbal
“Eh, jom ke mana??”,tanya Iqbal Hanina terpinga-pinga kehairanan. Dia tersentak dalam penantian balasan mesej dek kerana Zahra.
“Haaa, kita ada projek besar malam ni, lets rock and roll bebeh..!”, spontan balas Zahra. Iqbal Hanina melirik hairan ke wajah Zahra yang sudah tersengih-sengih menyeringai sendiri menuju ke pintu bilik, membukanya dan keluar bersamanya. Telefon bimbit Iqbal Hanina di biarkannya sendiri di atas katil. Mereka berjalan laju-laju menuju ke sayap barat bangunan asrama dan berhenti di hadapan sebuah bilik. Iqbal Hanina melirik kearah selipar yang berselerakan di hadapan pintu bilik tersebut. Semuanya selipar pemilik yang dia kenali. Belum sempat Zahra memegang pintu bilik, ia sudah pun dibuka oleh orang lain dari dalam.
“Wei, lambat la korang datang, cepatla nanti dia balik pulak..” “Kita nak buat apa kat bilik Maria ni Syifa’?”, sekali lagi Iqbal Hanina terkejut melihat kelibat Syifa’ di balik pintu bilik teman mereka Maria, sedangkan bilik Syifa’ berada di sayap timur asrama. Dia menjenguk ke dalam bilik dan melihat ada 3 orang lagi bersama mereka, iaitu Haidar teman sebilik Maria, Laila dan Farihan yang juga rakan sekuliah mereka sedang bersidai-sidai sambil tersengih-sengih di katil Maria.
“Rumble lah Iqbal. Esok hari lahir Maria la. Malam ni kita rumble dia habis-habisan,he he..”, barulah Iqbal Hanina faham dari jawapan Syifa’. Dia ke kelas sewaktu mereka merangka perancangan, oleh sebab itu dia tidak tahu apa-apa. Biasanya program harian mereka akan di mesyuarahkan setelah mereka selesai solat Isyak berjemaah di surau asrama, tapi hari ini Iqbal tidak menghadiri kedua-dua program. Rumble bererti mereka akan membuat Maria huru hara pada malam ini. Kebiasaannya akan di akhiri dengan kemuncak mangsa dimandikan dengan telur. Itulah yang Iqbal pelajari semenjak dia belajar di sini. Ini adalah kali pertama dia tinggal di asrama, berbeza dengan teman-temannya yang lain, mereka semuanya adalah pelajar dari MRSM dan SBP dan sudah biasa dengan aktiviti sebegini.
“Laa, iyeke. Ampun madam, hamba tak hadir meeting komplot sebab ada kelas tadi. Jadi, apa plan kita ni?”, tanya Iqbal Hanina seakan sudah memahami agenda pada malam itu.
“Iqbal, Laila dan Farihan, kamu bertugas menggodak almari pakaian dia, dan apa saja barangan yang dia ada kat atas meja tulis dan katil manakala aku dan Zahra siapkan operasi di bilik air. Haidar jadi cover line, Maria sedang pergi beli makanan kat kafe, nanti Haidar akan lengahkan dia. Haidar akan ajak Maria makan di bilik tv pada malam ni kemudian pukul 12 mereka akan cuci tangan di bilik air hujung sana..”, panjang lebar Syifa’ memberi arahan operasi mereka pada malam itu. 

Setelah 15 minit, mereka bertiga bersorak riang dan sangat berpuas hati melihat hasil kerja tangan mereka menggodak hak milik Maria. Almari pakaiannya sudah seperti tongkang pecah dengan pakaian yang berlumuran bedak talcum berselerakan di merata tempat. Tuala mandi Maria yang merupakan bantuan terpenting Maria setelah operasi kemuncak di bilik air nanti sudah tidak kelihatan. Manakala meja tulisnya sudah bertukar menjadi katil dan katil menjadi meja tulis. Jam menunjukkan pukul 11.45 minit malam. Mereka bertiga meluru ke bilik air. Syifa’ dan Zahra masih bertungkus lumus menyiapkan bahan operasi. Di suatu sudut kelihatan Zahra sedang menyorokkan sebuah baldi dipenuhi cecair warna kuning. “Menu siap!”, teriak Zahra. Iqbal Hanina sudah tahu menu yang dimaksudkan oleh Zahra ialah air telur ayam campuran di dalam baldi tersebut. Ia adalah campuran telur ayam, tepung gandum, shower foam dan minyak. 


“Mereka dah datang!”, Syifa’ menjerit kecil di sebalik pintu bilik air. Lantas mereka semua menyembunyikan diri di setiap tandas dan bilik mandi yang ada. Senyap sunyi, seperti tidak pernah ada orang yang menjejakkan kaki di bilik air tersebut. Haidar mengajak Maria mencuci tangan dan bekas makanan di sinki yang agak jauh dari pintu bilik air agar Maria sukar untuk melarikan diri nanti.
“Banyaknya minyak dalam sinki ni, siapa lah yang tak bertanggungjawab tak cuci betul-betul lepas guna..”, Maria mengomel kepada Haidar. Haidar hanya tersenyum sendirian. “Rumble..!!!”, jerit Haidar memberi isyarat bahawa operasi bermula. Malam itu tersuratlah takdir pahit dalam hidup Maria, di serang hendap oleh teman-temannya. Sorakan dan hilai tawa kedengaran di bilik air. Maria menjerit-jerit meminta tolong dan di beri belas kasihan. Tiada siapa kisah dan menegur aktiviti mereka di bilik air pada malam itu, kerana Ketua asrama dan ahli Majlis tertinggi asrama adalah sebenarnya mereka berenam juga. Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi namun mereka masih di bilik air. Sehingga ke penghujung malam mereka bersenda gurau dan di awal pagi mereka bangun bersama-sama menunaikan solat subuh di surau yang berhampiran bilik Maria dan Haidar. Haidar adalah pelajar aliran agama dari SBPI manakala Syifa’ dan Farihan pula bekas ajk BADAR semasa di MRSM. Bagi mereka enjoy-enjoy juga, masing-masing masih berdarah muda dan suka berhibur tapi solat tetap utama.
Pagi itu mereka berenam ke kuliah seperti biasa. Syifa’ dan Haidar tidak bersama kerana mereka berdua adalah pelajar kuliah lain. Sebagai menghargai hari lahir Maria, mereka berenam memakai baju kurung berwarna pink semuanya kerana itu adalah warna kegemaran Maria. Itulah kali pertama Iqbal Hanina mengenakan pakaian berwarna pink, itupun dipinjam dari Syifa’ kerana dia tidak punya baju kurung warna tersebut. Empat orang gadis ayu berpakaian pink memasuki dewan kuliah dan menarik perhatian mata-mata yang ada di dalam kuliah. Iqbal Hanina, Zahra, Laila dan Farihan mengambil tempat biasa mereka di suatu sudut dewan
..Tet tet..
1 mesej baru masuk ke kotak mesej Iqbal Hanina.
‘Manisnya cik Iqbal Hanina serba pink hari ini. Maaf semalam saya tak balas mesej, dah tidur waktu tu. Saya pakai kemeja biru laut, duduk di bahagian kanan dewan kuliah..hehe.. Selamat menuntut ilmu ye cik Iqbal Hanina..’, terkedu Iqbal Hanina membaca mesej dari pemilik nombor semalam. Dia sudah lupa dengan mesej tersebut dek menjalankan tugas dalam operasi penting bersama teman-teman semalam. Pipinya terasa panas sekali lagi. Tidak sanggup rasanya untuk mendongak dan memandang ke bahagian kanan dewan kuliah, takut-takut ada mata yang memerhatikan.
Dua bulan lepas Iqbal Hanina membuat keputusan untuk menukar nombor telefon baru, semata-mata kerana dia di hantui oleh mesej-mesej jiwang dari 2 orang pelajar lelaki sekolahnya dulu. Seorang meluahkan kata-kata cinta dan hasrat untuk ber’couple’, manakala seorang lagi terlalu kerap bertanya khabar dari pagi sehingga malam. Mungkinlah hal itu berlaku kerana Iqbal Hanina adalah pelajar yang dikenali di zaman sekolahnya dulu. Dia bergelar head girl sekolah dengan position vice president prefect board semasa tingkatan 5, pernah mendapat kad luahan hati, surat-surat yang diselit bawah meja, panggilan telefon menyatakan cinta, hadiah hari lahir istimewa, dapat dedikasi valentine, dedikasi lagu nasyid secara langsung, dedikasi lagu cinta semasa bertugas harian sebagai pengawas, juga pernah mendapat sebentuk cincin tanda lamaran. Dan yang masih tak lupa, ada sorang cikgu berkenan padanya, sehingga dia menyimpan gambar Iqbal Hanina dari satu program sekolah dan hal itu diketahui oleh Iqbal Hanina dari mulut cikgu tersebut sendiri. Itulah zaman sekolah Iqbal Hanina. Oleh kerana tidak tahu apa lagi jalan penyelesaian terhadap hal yang dia alami, dia nekad untuk menukar nombor baru. Kali ini, sang jejaka yang cuba berkenalan dengannya juga kelihatan ada ura-ura seperti mereka berdua dahulu. Ada udang galah di sebalik mi ni!. Namun perasaan yang Iqbal Hanina alami kali ini berbeza. Dia masih boleh menghormati sang jejaka yang menghantar mesej itu. Mungkin saja kerana bahasa mesejnya kelihatan lebih sopan dan intelektual berbanding pelajar lelaki sekolahnya dulu. Iqbal Hanina memilih untuk mendiamkan diri, tiada balasan mesej yang dihantar kembali.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya:
“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.” 
Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja, menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantikannya, ketampanannya, sifat penyayangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber ‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

---------------------------------------------------------------------------------------------
Bagi Iqbal Hanina, dia tidak perlu melayan perkara yang tidak penting dalam hidupnya apatah lagi untuk pelajarannya. Tujuan dia datang ke sini adalah untuk menuntut ilmu bukan untuk mencari teman lelaki. Sayang sekali, pendiriannnya ini bukanlah didasarkan oleh pegangan ilmu agama terhadap hal ikhtilat antara lelaki dan wanita tetapi ia hanyalah satu bentuk ke egoannya terhadap lelaki yang membuatnya tidak mudah terpedaya. Sedangkan jika dia memiliki ilmu agama terhadap hal ini, pendiriannya akan menjadi lebih kukuh dan tidak akan mudah rebah jika digoda ayat-ayat cinta lelaki apatah lagi untuk dirinya sendiri menjadi penggoda lelaki. Namun Allah mengetahui perjalanan terbaik untuknya, mungkin suatu hari nanti dia akan berpeluang menimba ilmu agama dalam hal perhubungan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Namun tanpa dia mengetahui, Allah mendidiknya sedikit demi sedikit tentang agama semenjak dia belajar di sini. Dia dikelilingi oleh orang-orang yang ingin bersama-sama meningkatkan ilmu dunia juga ilmu agama, dan tempiasnya terkena pada dirinya kini. Dalam kekalutannya memikirkan ujian demi ujian yang melanda diri, dia terpandang Abdullah Wafi di suatu sudut dewan kuliah, dia kelihatannya baru sahaja tiba ke dewan kuliah. Entah mengapa dalam hatinya terdetik. “Adakah lelaki seperti Abdullah Wafi ini benar-benar menjaga pergaulannya dengan wanita, ataukah dia sama seperti pelajar lelaki yang menghantar mesej kepadaku ini?”, soalan monolognya terus menjadi persoalan.

********************************************************************************
Di hadapannya kini adalah Abdullah Wafi yang dia pernah kenal 5 tahun dahulu, sedang tersenyum memandangnya. Kafe Milky Way itu dirasakan semakin hening..
...

Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang. Iqbal Hanina terjaga dari tidurnya.
“Allah, apa maksud mimpi tadi tu??”, kepalanya serasa pening kerana bangkit dari pembaringan secara tiba-tiba. Dia mengerling kepada jam di telefon bimbit,
5.55 a.m
Hari ini hari yang akan melakar sejarah baru dalam hidupnya, InsyaAllah. Dia bangkit menuju ke bilik air untuk kendiri dan berwudhuk.
Usai Subuh dia bermuhasabah sendiri memikirkan mimpi yang hadir semalam. Persoalan keraguannya terhadap lelaki termasuk Abdullah Wafi sewaktu di dewan kuliah dulu berlegar di benaknya. Masakan tidak, dirinya sendiri sedang teruji berat dengan permasalahan itu pada saat ini. Iqbal Hanina menghela nafas berat, hanya mampu melafazkan sebaris ayat dari bibirnya, “Allah...”



Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 19 Oktober 2012 / 3 Zulhijjah 1433H::..

Q'A: 
Bahagian 6.. Terhasil dari masa-masa kecederaan sewaktu menulis thesis..(^_~)

Wednesday, July 25, 2012

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 5)

Zzzasss! Terasa panas telinganya mendengar kata-kata perlian yang ditujukan oleh rakan sekelas kepada Abdullah Wafi. Walhal perlian itu bukanlah ditujukan kepada dirinya namun dia cukup-cukup terasa pedih dengan perkataan ‘banjir’, entah kenapa. Iqbal Hanina sukar untuk bersangka baik dengan gurauan. Sekali dengar ia hanya seperti gurauan biasa. Abdullah Wafi hanya tersenyum. Berderu hilai tawa pelajar-pelajar lelaki memenuhi ruang kelas mendengar gurauan. Abdullah Wafi tenang mengambil tempat duduk sambil menepuk mesra bahu rakan-rakannya. Hal itu diperhatikan oleh Iqbal Hanina dari jauh. Pandangan matanya jatuh terpaku ke lantai mencari erti terhadap apa yang sedang dialaminya.
“Astaghfirullaahal’adzim. Baiknya hati dia. Aku pula, ah....”, Iqbal Hanina monolog sendiri. Hadir rasa sebak tiba-tiba di pangkal hatinya, antara menahan sedih dan menahan amarah. Mindanya ligat menayang bait-bait ayat yang pernah dibacanya tentang etika pakaian yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. 


Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jauhilah isbal (pakaian yang labuh melebihi buku lali) kerana ia termasuk dalam perkara kesombongan” (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud).
Dalam hadith ini disebut secara jelas bahawa memakai pakaian labuh yang menutup buku lali bagi lelaki adalah perbuatan orang yang sombong kepada Allah s.w.t (walaupun dia tidak sombong kepada sesama manusia). Begitu juga orang yang tidak menyembah Allah ialah orang yang sombong kepada Allah dan boleh membawa kepada azab neraka.
“Orang yang solat dalam keadaan isbal (labuh lebih buku lali), tidaklah dalam keadaan dihalalkan dan tidak pula dalam keadaan yang diharamkan Allah” (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud). Maksud hadith ini orang tersebut tidak beriman kepada perkara yang Allah halalkan dan yang Allah haramkan.
Kebanyakan ulama berpendapat lelaki yang bersembahyang dengan memakai kain menutupi buku lali tidak diterima sembahyangnya. Cuma seorang ulama dari India berpendapat bahawa “tidak diterima solat” itu bermaksud “tidak diterima untuk diberi pahala penuh”. Oleh itu berhati-hatilah agar sembahyang kita diterima Allah s.w.t. dan lipatlah kain seluar agar tidak menutupi buku lali.
“Iqbal, weh, Iqbal!”, Iqbal Hanina tersentak apabila bahunya dicuit oleh sahabat di hadapannya. Dia mendongak dan memandang kosong wajah sahabatnya lalu dibalas oleh si sahabat dengan muncungan mulut memberi isyarat ke depan. Saat Iqbal berpaling memandang  ke depan dia terus terlopong.  Waduh! Teacher Neena yang baru saja beberapa minit tiba ke kelas sedang  memandang pelik kepadanya. Waduh! Dengan kalut sekali Iqbal Hanina membetulkan kedudukan kerusi kedai kopi daripada membelakangi Teacher Neena kepada posisi sepatutnya. “Panjang termenung ye cik adik..he he..”, Iqbal Hanina tersengih malu-malu kucing dengan usikan sahabatnya. Kelas pun bermula dengan sambungan penyampaian essei bagi sesiapa yang belum membentangkan essei.
Usai kelas, Iqbal Hanina dan kawan-kawan berlenggang menuju ke asrama. Di sepanjang jalan mereka bersembang dan berbual sambil ketawa. Komen-komen terhadap kesalahan ayat dab teknik teman kelas semasa pembentangan berpindah dari bibir ke bibir diiringi gelak ketawa. Dek kerana terlalu gugup, salah seorang pelajar lelaki kelas mereka memulakan pembentangannya dengan ayat “Good Morning everybody..!” dengan begitu yakin.  Iqbal Hanina hanya tersenyum melihat gelagat sahabat-sahabatnya dan kadang-kadang turut tertawa bersama. Fikirannya teringat semula kepada peristiwa Abdullah Wafi sebentar tadi. Pertama kali dia melihat seorang pemuda yang cuba mengamalkan etika pakaian dari hadis Nabi s.a.w dan dia adalah Abdullah Wafi. Mahu saja dia menempelak gurauan pelajar lelaki kelasnya bahawa cara Abdullah Wafi melipat kaki seluarnya sehingga ke buku lali itu adalah sunnah. Gurauan ‘banjir’ sebegitu adalah keterlaluan dan tidakkan dia menyedari bahawa dia telah menyindir Nabi s.a.w?! Namun apabila dia terbayang raut wajah dan senyuman Abdullah Wafi dia jadi keliru. Hari ini Abdullah Wafi telah mengajarnya erti dua perkara iaitu,
'Bersangka baik dan Hikmah.'
Alhamdulillah. Itulah sebenarnya perkara yang perlu dipelajari oleh Iqbal Hanina. Boleh jadi pelajar lelaki yang membuat gurauan sebegitu tidak pernah mengetahui hadis Nabi s.a.w tentang cara berpakaian sebegini dan dia tidak berniat untuk mempersendakan Nabi s.a.w. Astaghfirullahal’adzim.
Setibanya di bilik Iqbal Hanina disambut dengan senyuman oleh rakan sebiliknya dan dibalas juga dengan senyuman. Di terus mencapai telefon bimbit untuk memeriksa jika ada panggilan dari ibunya.
3 Missed Calls’ terpapar di dada telefon bimbit. Iqbal Hanina mengukir senyum. Dia tersengih-sengih sendiri dan terus membelek-belek telefon bimbitnya melihat panggilan. Ada dua panggilan dari ibu dan 1 panggilan dari nombor yang tiada dalam senarai nama. “Siapa ni ye?”, Iqbal Hanina cuba mengingat-ingat adakah terdapat sahabat-sahabatnya yang mengguna nombor baru. Dengan pantas dia menaip mesej,
“Assalamu’alaikum. Ni no siapa ya? Maaf xde dlm simpanan sy. Masa call td sy x bw hp..”
..SENT..
Usai menghantar mesej Iqbal Hanina meneruskan misi untuk ‘bergayut’ dengan ibunya. Rakan-rakan sebilik sudah maklum dengan Iqbal Hanina yang sangat rapat dengan ibunya. Setiap hari dia akan bercakap-cakap dengan ibunya di talian. Selepas ibu dia akan berbual dengan adik lelaki, dan kemudian adik adik perempuannya. Itulah rutin harian Iqbal Hanina. Dekat dengan keluarga membuatnya rasa bahagia. Hampir satu jam mereka berbual. Iqbal Hanina tersenyum puas. Ceria mendengar suara ibu dan adik-adik di rumah. “Ehhem, lamanya bergayut dengan boyfriend ye..”, rakan biliknya bersuara menyakat bila melihat Iqbal tersenyum-senyum sendirian. “He he.. Ye la, rindu kat boyfriend, awak ada?”, Iqbal menguji. “Alah, masalahnya tak cukup umur lagi, kalau dah cukup umur boleh jugak saya pinang melalui akaknya.”, balas temannya sambil tersenyum. Dia sedia maklum bahawa Iqbal Hanina tidak mempunyai boyfriend dan yang dimaksudkan boyfriend oleh Iqbal Hanina itu adalah adik lelakinya yang baru berusia 14 tahun. Iqbal Hanina tergelak mendengar jawapan temannya itu.
Tet tet..
Satu mesej masuk ke inbox telefon bimbit Iqbal Hanina. Mesej tersebut berbunyi,
“Wa’alaikumussalam. Mmg no sy xde dlm simpanan awk,hehe. Sy student kuliah F2. Boleh kita berkenalan?”
Melihat pada gaya penulisan mesej Iqbal Hanina yakin pemilik nombor ini adalah lelaki. Fikirannya berputar-putar satu paksi. “Aduh, nak balas ke taknak??”, Iqbal Hanina termenung memandang kotak mesej..


Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 25 Julai 2012 / 5 Ramadhan 1433H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..Bahagian 5..(^_^)

Monday, October 31, 2011

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 4)

“Wa..waalaikumussalam..” Jawab Iqbal Hanina teragak-agak. Iqbal Hanina terpaku seketika, fikirannya ligat memikirkan adakah benar apa yang dilihatnya, seakan tidak percaya. Dia, dan pemuda itu, di tempat ini. Namun dia bijak menyembunyikan kekalutan fikirannya di sebalik senyuman yang terukir di bibir. Langsung tidak terlintas difikirannya akan pertemuan itu. Kafe yang saat itu bising dengan pelanggan yang keluar masuk dirasakan hening seketika. ‘Allahumma solli ala Muhammad..Allahumma solli ‘ala Muhammad..’ , Iqbal Hanina mengulang-ulang selawat di dalam hati. Itulah cara Iqbal Hanina saat berhadapan dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka dan saat-saat dia berada dalam kekalutan fikiran. Pemuda itu masih tersenyum memandangnya.
Abdullah Wafi, seorang pemuda yang memiliki pandangan mata yang redup dan sentiasa murah dengan senyuman. Permulaan perkenalan mereka adalah pada 5 tahun yang lepas. Pada mulanya Iqbal Hanina tidaklah begitu mengenalinya, dia hanya mengetahui tentang Abdullah Wafi dari sahabat-sahabatnya. Mereka sering berbicara tentang akhlak Abdullah Wafi, solatnya yang sentiasa di masjid, sentiasa menjaga pergaulan dengan dengan rakan-rakan wanita. Kata mereka, Abdullah Wafi tidak pernah berbicara dengan rakan-rakan wanita melainkan atas urusan perbincangan pelajaran, apatah untuk duduk-duduk bersembang bersama-sama rakan-rakan wanita di kafe atau di mana-mana seperti pelajar lelaki lain. Setelah kerap kali mendengar cerita tentang Abdullah Wafi, terdetik di hati Iqbal Hanina untuk mengenalinya lebih dekat. Baginya sekadar cerita-cerita begitu belum lagi membuktikan apa-apa, ‘Aduhai, manusia boleh memuji dan mengeji dalam beza waktu sesaat sahaja’, itulah yang terdetik di hatinya. Jauh di sudut hati juga, dia ingin melihat sendiri apakah benar semua cerita yang dikongsikan oleh sahabat-sahabatnya ataukah hanya sekadar indah khabar dari rupa.
**********************************************************************************
Jam menunjukkan pukul 7.56 minit pagi. Iqbal Hanina melangkah laju-laju menuju bilik tutorial. Kelas akan bermula sebentar saja lagi. Pagi ini kelas Bahasa Inggeris bersama Teacher Neena. Minggu lepas Teacher Neena sudah memaklumkan kepada semua bahawa hari ini dia mahu adakan pembentangan karangan hasil pelajaran kelas minggu lepas, maka semua pelajar dikehendaki datang lebih awal dari biasa. Bangunan tutorial belum lagi kelihatan di pandangan mata. “Jauh lagi, aduh, sempat tak aku nih?” Keluh Iqbal Hanina dalam hati. 5 minit kemudian, akhirnya dia menjejakkan kaki di depan bilik tutorial. “Okey, tarik nafas, relaks..relaks..”, dia berbicara sendiri di depan pintu bilik. Tanpa dia sedari ada yang memerhati gelagatnya di belakang. “Ehem..”, Iqbal Hanina tersentak mendengar suara dari belakang lantas terpacul spontan perkataan dari bibirnya, “Oh mak kau terkejut!” Pelajar lelaki tersebut tersenyum geli hati melihat gelagat Iqbal Hanina. Merah padam wajahnya saat itu rasa mahu disorok saja dalam beg bersama buku-buku. Cepat2 dia menolak daun pintu melangkah laju-laju menuju ke tempat duduk. Pelajar lelaki tersebut turut melangkah ke dalam kelas namun langkahnya kelihatan begitu tenang tidak seperti dirinya.Teacher Neena sudah hadir lebih awal. Bertambah-tambah lagi malu kerana datang lewat. Kelas bermula dan seperti yang dijanjikan Teacher Neena mahukan setiap pelajar membacakan hasil tulisan masing-masing. Tibalah giliran pelajar lelaki tersebut. Dia memulakan bicara dengan ucapan salam dan basmallah. Iqbal Hanina terpaku. Dia tidak pernah melihat cara pembentangan yang begitu dari kalangan rakan sebayanya. Lagi-lagi semasa kelas Bahasa Inggeris, semuanya sudah pasti dengan cara kebaratan termasuk kata-kata aluan dan sapaan. Pelajar lelaki itu membaca bait demi bait tulisannya dengan lancar. Baris demi baris dibaca dengan begitu tersusun. Tidak laju dan tidak juga lambat. Menyusup rasa tenang ke dalam hati saat melihatnya dan mendengar setiap patah perkataannya. Iqbal Hanina memasang telinga mendengar bisikan-bisikan temannya, “Weh Iqbal, best giler la dia baca..karangan dia biasa je kan tapi dia baca tu tenang je aku dengar, memang sempoilah bahasa dia..”, salah seorang temannya berbisik ke telinga Iqbal Hanina diiringi ketawa kecil. Tanpa sebarang respon, Iqbal Hanina mengangguk-ngangguk tanda setuju sedang pandangannya masih fokus kepada pelajar yang sedang bercakap di hadapan kelas saat itu. Jauh di sudut hati dia rasa kagum dan malu sendiri. Sedangkan dirinya dan teman-teman perempuannya tidak langsung punya ciri sebegitu, jauh panggang dari api. Saat mereka bersama, sekejap-sekejap mengusik, sekejap-sekejap melatah, sekejap-sekejap ketawa berdekah-dekah, sekejap-sekejap menyindir dan mengata si fulan fulanah, sekejap-sekejap ada saja hati yang mereka lukai dengan bahasa-bahasa mereka yang ‘sopan’ itu. Langsung tidak ada ciri-ciri sopan gadis timur. “Ni siape?”, tanya Iqbal Hanina kepada temannya. “Nama dia Abdullah Wafi..ehem2 Iqbal, apasal tanya pulak ni, berkenan ker?”, temannya mengusik diiringi ketawa kecil di belakang. Iqbal tidak ambil kisah dengan usikan begitu, dia sudah masak dengan sikap suka mengusik temannya itu. ‘Jadi dia inilah yang mereka sering perkatakan selama ni..’, bisik Iqbal Hanina di dalam hati.
5 tahun lepas, dia lebih dikenali dengan nama panggilan Iqbal. Nama Iqbal sering menjadi nama lelaki. Mungkin kerana itulah sifat dan perangainya lebih menyerupai lelaki, sedikit ‘tomboy’. Kadang-kadang  naluri wanitanya berbisik agar berubah ke arah yang lebih baik. Bak kata orang,’jadilah macam perempuan sikit’, namun naluri hanya tinggal naluri. Perangainya masih tidak berubah. Tomboy2 dia pun dia tidak bersosial. Itu prinsipnya dan teman-teman. Nakal mereka hanya dalam kalangan mereka saja. Tidak timbul soal berfoya-foya dengan lelaki, itu pantang. Kekurangan mereka dari segi adab pergaulan, cara pakaian dan cara hidup. Seringkali mereka yang dilabel ‘geng nakal’ itu hadir ke surau blok bagi mengimarahkan solat berjemaah maghrib dan isyak. Bahkan semakin lama geng mereka jadi semakin terkenal di surau, lebih terkenal dari ajk surau sendiri. Di situlah Iqbal Hanina mengenal sedikit sebanyak ukhuwah islam. Dil luar surau, di siang hari mereka tetap jadi diri mereka. Pada malam harinya mereka berjemaah dan berusrah di surau. Begitulah Iqbal Hanina dan sahabat-sahabatnya 5 tahun lepas. Tanpa disedari, amalan mereka pergi memeriahkan surau setiap malam telah membuahkan hasil yang sangat manis dalam hati mereka terutama pada Iqbal Hanina. Dia rasa tenang berada dalam majlis-majlis ilmu begitu. Benarlah bahawa manusia ini fitrahnya suka pada kebaikan, keindahan, dan ketenangan. Hanya saja terserah pada nafsu dan iman untuk menjadi penimbang arah langkah dan keputusan. Jika nafsu menjuarai carta, maka keindahan dan ketenangan dalam majlis ilmu hanya akan hadir di surau saja. Jika sebaliknya iman yang berjaya bertakhta di hati maka kemanisan rasa itu akan terus terbawa-bawa dalam amalan hidup seharian.
Benar sekali tulisan Syeikh Said Ramadhan Al-Buthy dalam Fiqh Sirah, “Islam itu bermula di masjid.”. Ya benar, fakta ini Iqbal Hanina hanya mengetahuinya setelah melangkah ke alam university. Jika kamu mahu cari Islam, pergilah ke masjid. Jika kamu mahu membina iman, pergilah ke masjid. Nak cari kawan, nak cari kerja, nak cari makanan, nak cari ilham dan ketenangan hati atau apa saja, pergilah ke masjid. Kerana di sana sudah pastinya terdapat majlis dan suasana yang akan membawa kamu kearah tujuan itu. Ia rumah Allah, maka tempat apakah yang lebih baik untuk kita kunjungi dan pasti akan dilayani dengan layanan terbaik selain rumah Allah yang Maha Kaya? Hanya masjid. Rasulullah s.a.w juga memanifestasikan fakta ini. Semasa hijrah Rasulullah s.a.w telah membina masjid pertama dalam sejarah Islam yakni Masjid Quba’. Setelah tiba di Madinah pula Rasulullah membina Masjid Nabawi. Di sanalah berpusatnya semua aktiviti Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Solat, syura, majlis ilmu, majlis keraian, perancangan perang, pentadbiran politik, pusat rujukan, pusat kewangan dan sebagainya semua bertempat di masjid. Hanya saja ummat terkemudian ini menganggap bahawa masjid sebagai tempat solat semata, tiada fungsi lain. Sunnah (perbuatan/perkataan) siapa lagi yang wajar kita jadikan panduan utama hidup selian sunnah manusia terbaik di muka bumi ini? Hanya Sunnah Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w,“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana jika kamu berpegang kepada keduanya nescaya tidak akan sesat selamanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.”
Waktu kelas semakin hampir ke penghujung namun belum semua pelajar berjaya membacakan karangan masing-masing. Lalu Teacher Neena membuat keputusan untuk mengadakan kelas tambahan pada malamnya. Terdengar keluhan-keluhan suara dari pelajar yang merasa keberatan untuk hadir. Kelas akan bermula selepas isyak jam 9 malam. Usai solat isyak di bilik, Iqbal Hanina dan teman-temannya melangkah perlahan menuju ke kelas. Hari ini mereka tidak solat di surau atas alasan takut terlambat hadir ke kelas. Mereka tiba 20 minit lebih awal. Sudah pastinya masa yang ada tidak disiakan begitu sahaja, mereka gunakan untuk bersembang-sembang sesama mereka, buka kedai kopi orang kata. Di satu sudut geng Iqbal Hanina ber’muzakarah’. Di sudut lainnya geng pelajar lelaki juga bermuzakarah dengan khusyuknya. Tidak lama kemudian seorang pelajar lelaki melangkah masuk ke kelas. Dia Abdullah Wafi. Kelihatannya seperti baru saja selesai solat berjemaah di surau yang berhampiran dengan bangunan tutorial. Dengan berbaju melayu, berseluar slack, berkupiah dan memakai capal. Penampilannya kelihatan berbeza sekali dengan pelajar lelaki lainnya yang hanya memakai t-shirt berlambang entah apa-apa dan berseluar track saja serta berselipar jepun. Melihat kehadiran Abdullah Wafi itu tiba-tiba seorang pelajar lelaki bersuara, “Wei, banjir ke kelas kita ni??” diiringi dengan hilai tawa dari pelajar lelaki lainnya. Iqbal Hanina terus berpaling ke arah suara itu, tidak semena terus menyirap darahnya ketika itu, entah kenapa..

Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 31 Okt 2011 / 3 Zulhijjah 1432H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..Bahagian 4..(terhasil setelah memaksa jari untuk menaip). Jom menaip paper jurnal bersama cerpen..he..(^_^)

Thursday, May 19, 2011

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 3)

“Alhamdulillah..” terluah ungkapan syukur Iqbal Hanina setelah dapat menikmati susu hidangan Milky Way. Ia percuma. Sudah hampir setengah jam dia di Milky Way, menikmati hidangan perlahan-lahan sambil berfikir. Perancangan perjalanannya selepas ini masih samar-samar di peta minda. Jujur dia sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya di bandar besar ini yang dia sendiri tidak pasti di mana, namun sepertinya dia juga pernah menjejakkan kaki di sini. Mungkin déjà vu pun boleh berlaku dalam mimpi, desis hatinya. Buku nota yang dibawa bersama-sama sejak tadi dibuka. Iqbal Hanina menyelak helaian buku nota itu satu persatu sambil membaca catatan-catatan yang tertulis. Tangannya terhenti di satu muka surat.
‘Allah..Muhammad..Allah..Muhammad..’
Perkataan-perkataan tersebut ditulis berselang seli. Sepenuh muka surat dipenuhi oleh dua perkataan itu. Dan Iqbal Hanina kembali teringat kisah disebalik dua perkataan itu. Asbab mengapa ditulisnya 2 perkataan itu sepenuh muka surat kembali segar dimindanya. Saat itu pipinya terasa panas, matanya terasa pedih. Jiwanya menjadi sebak tak tertahan, namun dia cuba mengawal sepenuh dayanya agar tak tertumpah air dari matanya dek menyedari bahawa dirinya berada di tempat awam.
Tatkala rombongan niaga Siti Khadijah sedia berangkat, Maisarah ketua rombongan berkata, “Wahai Muhammad, pakai baju bulu dan pegang bendera rombongan. Engkau berjalan di depan, menuju ke negeri Syam!
Muhammad melaksanakan perintah yang diberikan kepada baginda. Selepas mereka keluar dari halaman menuju jalan raya, tanpa sedar Muhammad kembali menangis. Tiada siapa pun yang melihat tangisannya kecuali Allah dan para malaikat-Nya. Daripada mulutnya terucapm suara kecil, “Aduhai nasib! Di mana gerangannya ayahandaku Abdullah, di mana gerangannya bondaku Aminah. Kiranya mereka menyaksikan nasib yang menimpa anakandanya yang miskin yatim piatu ini lantaran ketiadaan mereka, sehingga menyebabkan anakanda mereka menjadi buruh upahan ke negeri yang jauh. Aku tidak tahu apakah aku dapat kembali lagi ke negeri tanah tumpah darahku ini.”
Jeritan batinnya itu membuatkan para malaikat dilangit bersedih. Mereka meminta rahmat daripada Allah kepada baginda..
Tanpa sedar pipi mulusnya dibasahi air mata yang seakan tidak mahu berhenti mengalir. Allahu Allah. Saat itu Iqbal Hanina sudah tidak mampu lagi meneruskan pembacaannya. Terasa jiwanya bagai dihiris-hiris, hatinya terasa pedih sekali saat mengetahui kisah Habibullah insan Agung ini. Satu perkara yang paling melemahkannya ialah kisah ini. Namun sebenarnya kisah ini jugalah yang telah menguatkannya. Hanya Allah mengetahui betapa kasihnya dia terhadap insan agung ini. Dua orang lelaki yang teramat dia cintai dalam hidupnya, kedua-duanya bernama ‘Muhammad’. Persamaan keduanya bukan sekadar pada nama, tapi keduanya juga teramat dekat dihatinya walau pada zahirnya keduanya sudah berada terlalu jauh darinya. Namun hari itu Iqbal Hanina tidak mahu menangis lagi, lalu dia mengambil pena dan buku catatan ini, dan tertulislah apa yang telah tertulis di buku nota itu hari ini. Usahanya kelihatan seperti berhasil, kerana setelah habis satu muka surat, airmatanya kering sendiri. Iqbal Hanina tersenyum sendirian mengingat masa lalu.
‘Nabi Muhammad saw insan agung, seorang  yatim piatu. Hidupnya sedari kecil susah dan setelah dewasa juga penuh dengan ujian. Namun akhlaknya adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Imbalan sabar terhadap ujiannya maka Allah mengasihi baginda, digelar Habibullah juga kekasih bagi para hamba yang mencintai Allah.’
Iqbal Hanina sentiasa mengingatkan dirinya tentang kisah Rasulullah ini berulang kali sebagai muhasabah buatnya. Sedari umur 6 tahun dia sudah belajar berdikari sendiri tanpa seorang insan yang bernama ayah. Setiap kali pulang dari sekolah, dia memerhati para sahabatnya yang dijemput oleh ayah mereka. Namun dia tidak sedikit berasa cemburu kerana ibunyalah telah mengganti tempat ayah, seorang ibu yang mampu memberinya yang terbaik, seorang ibu yang juga ayah. Sehingga kini dia masih terasa kucupan terakhir ayah di dahinya, masih teringat manis senyumannya dan masih terngiang pesanannya. Dan itulah kali terakhir dia melihat ayahnya saat ayah menghantarnya ke sekolah pada pagi itu. Pada petangnya, dia mendapat berita ayahnya sudah kembali ke rahmatullah.
Realitinya dia merasa dia lebih kuat pada waktu kecilnya berbanding sekarang. Apalah yang mampu difahami oleh seorang anak kecil tentang erti kehilangan. Setelah meningkat dewasa, dia mula memahami erti rindu, erti kasih sayang terhadap seorang ayah. Hatinya lebih sensitif terhadap apa jua bentuk kehilangan. Dalam usrah atau majlis ilmu yang menceritakan tentang anak yatim, dia amat menghayatinya. Betapa banyak firman  Allah memerintahkan hambanya untuk berbuat baik terhadap anak yatim dan tidak kurang juga hadis Nabi Muhammad saw tentang itu. Bila dia melihat pada dirinya sendiri yang juga mempunyai ‘title’ anak yatim, dia sangat mudah untuk faham hikmah tentang ayat-ayat Allah dan hadis Nabi ini. Dia akui pada saat begitu hatinya sangat mudah tersentuh, dalam hatinya dia menangis sendiri. Seorang anak yatim tidaklah mendambakan harta yang melimpah ruah kerana mereka adalah golongan yang telah dilatih tabah sejak kecil sebab itu Allah memilih mereka. Bagi Iqbal Hanina, harta bukan masalah besar bagi anak-anak yatim diluar sana dek masyarakat yang sangat prihatin pada masa kini, yang mudah menghulur bagi yang memerlukan. Apa yang mereka perlukan  sebenarnya ialah ‘pengganti kasih sayang’ yang telah hilang dari mereka. Itulah sebenarnya ‘harta’ yang diperlukan mereka..
Jika kamu ingin melembutkan hatimu, “ demikian sabda Rasulullah yang pernah dia dengar, “ maka usaplah kepala anak yatim…”
Subhanallah, erti yang disampaikan baginda itulah yang sebenarnya  seorang anak yatim perlukan. Iqbal Hanina mula belajar untuk menyayangi insan di sekelilingnya sepenuh hati, kerana dalam hidupnya sejak berumur 6 tahun, itulah yang dia cari, ‘kasih sayang’. Dengan memberi, dia bahagia, dengan menyayangi dia rasa sempurna. Syukur Alhamdulillah, kerana Allah mendidiknya dengan jalan ini.
‘Manusia masih boleh hidup tanpa harta, tapi akan menjadi mayat hidup tanpa kasih sayang.’
Ya Rasulullah, sesungguhnya pada dirimu itu terdapat contoh teladan terbaik buat ummat.
“Assalamualaikum, Iqbal Hanina..??” Satu suara menerpa ke telinganya. Dia mendongak, terkesima. Wajah seorang pemuda yang sedang berdiri dihadapannya itu seakan pernah dilihatnya sebelum ini, tapi dimana...

Akan bersambung.. Insya Allah..

..::Qalam 'Aini, 19 Mei 2011 / 16 Jamadil Akhir 1432H::..

Q'A: 
Alhamdulillah..akhirnya ada rezeki untuk keluarkan bahagian 3..(^_^).. S.E.L.A.M.A.T.M.E.M.B.A.C.A.

Saturday, March 19, 2011

Kejayaan sebuah rindu (bahagian 2)

Iqbal Hanina melebarkan pandangan ke seluruh pelusuk kafe. Hiasannya kemas dan tampak moden. Warna hijau dan putih menjadi tema utama. ‘Cantiknya gabungan 2 warna kegemaran Rasulullah ni. Siapalah interior designernya ye..’, desis hatinya. Pada firasatnya apa-apa saja yang berkaitan dengan Rasulullah sudah menjadi indah. Itulah dia penangan rindu dan cintanya kepada habibullah itu. ‘Kalau orang kata angau pun masuk akal juga. Tak mengapalah, angau aku pada si dia saja..’,dia tersenyum sendirian.
“Wahhh..dah macam tempat peraduan kerabat  saya tengok tempat awak ni iqbal..Cik Iqbal Hanina kita ni keturunan raja ke tengku?? He he..”,  Iqbal Hanina tersentak dek satu suara yang tiba-tiba muncul dari pintu biliknya. Dia tersenyum memandang susuk sahabatnya itu, yang datang menziarah. Buku di tangan yang sedang dibacanya disimpan. “He he..raja boleh, tengku pun boleh..pilih je nak yang mana?”, dia berseloroh. Tawa mereka bersatu. Dipandangnya kearah katil dan hiasan di meja belajarnya yang dihiasi warna kuning lembut dan sedikit warna keemasan. “Tadi masa keluar outing, kat mall tu ada sales. Berkenannya saya tengok cadar ni. Warnanya cantik, lembut je.. Pastu wrappers ni pun beli sebab murah, tapi yang penting warnanya kuning. .he he..”, sambung Iqbal Hanina. Buka satu rahsia lagi minat Iqbal Hanina terhadap warna kuning dalam kalangan sahabat-sahabatnya. Masakan tidak, sudah terbukti di depan mata dia menghiasi tempatnya dengan tema warna kegemarannya itu. “Minat sungguh awak warna kuning ni..mana tahu nanti dapat jodoh kerabat ke..kan..he he..usik sahabatnya”, “Ameen..he he..”, balas Iqbal Hanina ambil tergelak kecil melayan usikan.
“Ni pun baru letak ye?”, tanya si sahabat melihat satu esei yang ditampal di hadapan meja belajarnya. Iqbal Hanina tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Si sahabatnya membaca apa yang ditampal itu dengan gaya seperti sedang berpuisi, Iqbal Hanina mendengar dengan setia ‘puisi’ dari sahabatnya itu,
"RASULULLAH, paras mukanya manis dan indah, perawakannya sedang, tidak terlampau tinggi, juga tidak pendek, dengan bentuk kepala yang besar, berambut hitam sekali dan ikal. Dahinya lebar dan rata, diatas sepasang alis lengkung, lebat dan bertaut. Sepasang matanya lebar dan hitam. Ditepi–tepi mata putih kemerahan, kelihatan lebih menarik dan kuat . Pandangan matanya tajam, dengan bulu mata yang hitam pekat. Hidungnya halus dan licin dengan barisan gigi yang bercelah – celah. Jambangnya lebat sekali, berleher panjang dan indah. Dadanya lebar dan kedua–dua belah bahu bidang.Warna kulitnya cerah dan jernih dengan kedua–dua belah telapak tangan dan kakinya yang tebal. Apabila berjalan, badannya agak condong ke hadapan, melangkah cepat–cepat dan pasti. Air mukanya membayangkan renungan dan penuh fikiran. Pandangan matanya menunjukkan kewibawaan, membuat orang patuh kepadanya. Sifatnya yang sangat rendah hati dan ketara. Apabila orang mengajaknya berbicara, dia mendengar berhati –hati, tanpa menoleh orang lain. Dia bukan sahaja mendengar, bahkan duduk menghadap orang itu. Bicaranya sangat sedikit tetapi lebih banyak mendengar. Apabila berbicara, dia bersungguh-sungguh tetapi tidak gemar berjenaka dan bersenda gurau. Apa yang dikatanya selalunya perlu. Kadangkala dia tertawa sampai terlihat gerahamnya. Apabila marah, tidak sampai telihat kemarahannya. Semuanya terbawa oleh kudratnya yang lapang dada, baik hati dan menghargai orang lain. Dia bijaksana, murah hati dan mudah bergaul. Tetapi dia juga bertujuan pasti, berkemahuan keras, tegas dan tidak pernah ragu – ragu dalam matlamatnya."

“Subhanallah Iqbal, tulisan ni betul ke? Saya tak pernah pun baca sebelum ni..indahnya perwatakan habibullah..”,sahabatnya kagum. “Insya allah, mudah-mudahan yang benar, saya ambil catatan ni dari sebuah buku Sirah Rasulullah..sungguh terkesan bila baca..Rasulullah idola saya..saya jadi rindu padanya setiap kali baca tulisan ni, sebab itu saya tampal kat situ, supaya saya boleh baca setiap hari dan boleh rindu setiap hari..”, jawab Iqbal Hanina dengan penuh perasaan.

Sahabatnya tersenyum bangga mendengar penjelasan Iqbal Hanina. “Saya nak salin jugak la..he he..Iqbal, awk tahu tak apa warna kegemaran Rasulullah?”,tanya si sahabat dengan penuh semangat sambil menghampiri Iqbal Hanina. “Hurmmm, ada ke warna kegemaran Rasulullah?”, Iqbal Hanina berfikir panjang, selama ini dia tidak pernah ambil tahu tentang hal itu. “Mestilah ada..he he..Warna yang paling disukai oleh Rasulullah adalah hijau, namun selain itu Rasulullah juga menyukai warna putih. Ada juga keterangan bahawa Nabi Muhammad saw pernah memakai pakaian berwarna hitam, merah hati, kelabu dan warna campuran. Tapi yang amat disukai oleh Rasulullah ialah warna putih..”, terang sahabatnya dengan penuh yakin. “Dan, kalau awak nak tahu sebenarnya Rasulullah pernah melarang sahabat memakai pakaian berwarna kuning. Erm, Rasulullah melarang kerana bersebab, ketika itu ada sahabat memakai pakaian yang dicelup dengan za’faran dan ia berwarna kekuningan oren. Masa tu pakaian warna begitu adalah pakaian orang kafir yakni pakaian penyembahan mereka. Sebab tu, saranan Rasulullah adalah untuk berbeza dengan orang kafir”, sambungnya lagi. Iqbal Hanina tersentak mendengar pernyataan terakhir. Hari ini baru dia tahu akan hal itu. Rupanya Rasulullah lebih suka warna putih dan hijau, manakala kuning pula tidak disukainya malah pernah dilarang. Dia bermuhasabah, tiba-tiba saja dia terasa tersangat kuning pula tempat beradunya ketika itu.

“Cik, ini dia minuman yang dipesan, selamat menjamu selera”. Lamunan Iqbal Hanina terhenti dengan kehadiran pelayan Milky Way bersama minuman yang dipesan. “Terima kasih..”, balas Iqbal Hanina dengan senyuman. Dia tersenyum apabila mengenangkan kisah pada hari itu. Rupanya, dari hal sekecil warna pun umat Islam dididik secara tidak langsung. Kini warna kegemarannya terserlah oleh pakaiannya, jubah hijau lembut dengan hijab berwarna putih susu. 'Ya Rasulullah, ku merinduimu..', monolognya sendirian.



Akan bersambung..Insya Allah..
..::Qalam 'Aini, 19 Mac 2011/ 14 Rabiul Akhir 1432H::..


Q'A: Sebenarnya cerita ni ditulis sedikit-sedikit..maksudnya tulis 'on the spot'..he he..amatur je..Dalam fikiran ni masih ada beberapa siri lagi tentang Iqbal Hanina ni..dan mungkin akan diakhirkan dengan kisah pertemuannya dengan sang mujahid (part ni yang ditunggu2 kot,he..)..insya allah.. Tapi kesinambungan kisah2 ini bergantung juga pada keadaan semasa penulis..biasanya kalau dalam keadaan yang tersangat sibuk maka akan terhasillah satu karya..doa2kan lah untuk yang akan datang ye..(jangan pulak doakan sibuk, doa aje kalau tak sibuk pun boleh bercerita)..(^_^)

Tuesday, January 25, 2011

Kejayaan sebuah rindu

Iqbal Hanina berjalan perlahan melintasi sebuah padang yang lapang. Di tangan kanannya sebuah buku nota kecil dipeluk erat ke dada bersama sebuah telefon bimbit yang digenggam erat di tangan kiri. Tiada seorang manusia pun dalam jangkauan pandangan yang mampu dilihatnya. Jauh di sudut hatinya merasakan bahawa dia sangat mengenali jalan ini seperti mana dia mengenal tapak tangannya sendiri. Ya, dia rasa begitu. Dapat di rasainya tanah yang di pijak ini seolah-olah ia betul-betul pernah dijejakinya. Nyaman perjalanan itu lebih-lebih di rasai apabila telinganya menangkap bunyi deruan air sungai di sebelah kiri jalan. Oh indahnya dan kelihatan begitu nyaman sekali. Selangkah demi selangkah dia mendekati sungai yang sedang mengalir lembut, begitu dia mendekatinya membuatnya merasa dirinya disempurnakan, nyaman sekali. Saat itu tidak ingin kakinya berganjak walau selangkah kerana telah merasa sungguh bahagia dapat berada di situ, bersama sungai dan alamnya nan hening. Walau dia tahu, bahawa ini hanyalah dunia maya.

Air sungai terus mengalir laju ke hadapan, alam skelilingnya seolah-olah menyapa kehadiran Iqbal Hanina di situ. Namun seketika itu juga, Iqbal Hanina mula merasa sunyi. Kebahagiaan serta keamanan yang dirasainya saat ini, membuatkan jiwanya meronta-ronta untuk berkongsi bersama seseorang. Hanya dirinya dan sungai itu, sunyi benar rasanya. Kesempurnaan yang tadi dirasakan mulai pudar sedikit-sedikit. Iqbal Hanina menggagahkan kaki untuk menyusuri tebing sungai yang dipenuhi rerumput hijau yang masih segar, dengan harapan akan menemui seseorang di hujung nanti. Setiba dihujungnya tidak juga ditemui sesiapa sehinggalah dia tiba di sebuah bandar kecil. Dari susuk bangunan2nya kelihatan bandar ini maju sekali. Kenderaan berpusu-pusu mengejar traffic light hijau, sekali sekala kedengaran bunyi hon. Di kiri kanan jalan tersusun atur gedung –gedung pakaian, kafe-kafe, pusat kecantikan juga pusat hiburan yang berdiri megah dengan arkitektur nan begitu indah. Ramai juga manusia di sini namun langsung tidak dikenali. Kenyataannya inilah dunianya yang sebenar di alam reality. Iqbal Hanina mula rasa rimas. Terasa mahu berpatah balik ke tebing sungai tadi. Ditolehnya ke belakang, yang kelihatan hanyalah manusia-manusia yang sedang berasak-asak ke menuju tujuan amsing-masing, ‘Ah, betul ke keputusan aku tadi? Tak sepatutnya aku datang ke sini.. ’, monolog Iqbal Hanina. Hatinya bertambah sedih, jika tadi dia hanya kesunyian tapi kini dia rasa keletihan, ketakutan, dan kerisauan sendiri.

Rupanya perjalanan Iqbal Hanina sudah teramat jauh dan kini dia rasa amat letih dan dahaga sekali. Terbayang dimindanya alangkah nikmatnya jika dapat meminum air segar dari sungai tadi, namun sudah terlambat. Dirinya kini mungkin telah sesat apatah mahu mencari jalan pulang ke sungai tadi. Cuaca di bandar itu panas sekali namun dia terus gagah melangkah sehingga tiba ke sebuah kafe bernama ‘Milky Way’. Iqbal Hanina melihat-lihat ke dalam kafe dan matanya tertumpu pada sebuah menu, ‘Free serving today: fresh goat milk’. “Bagusnya kafe ni ada free serving, aku pula tiada wang sekarang. Tapi, fresh goat milk?? Oh..”, Iqbal Hanina menelan air liur, terasa pahit. Terus teringat suatu masa dulu dia pernah muntah tak henti setelah cuba meminum susu kambing segar, oh pahit sungguh kenangan itu, sehingga membuatnya fobia terhadap susu, walau apa sahaja susu. Selain kafe itu dia tidak melihat kafe lain yang berdekatan.

Naqibahnya dulu pernah bercerita padanya, “..di antara minuman yang sentiasa diminum oleh Rasulullah saw ialah susu kambing segar, yakni langsung diminum sesudah diperah dari kambing..dan dalam peristiwa Israj & Mikraj, Nabi Muhammad saw telah disediakan tiga jenis minuman oleh Jibrail, iaitu Arak, Madu & Susu Kambing. Baginda memilih susu kambing..”

Masih terkesan di jiwa Iqbal Hanina perkongsian naqibahnya ini. Minum susu adalah sunnah. Semenjak dari hari itu, Iqbal Hanina terus berjihad untuk meminum susu, demi cita-citanya untuk mengikut sunnah dan hasilnya dia sendiri tidak betah hidup tanpa meminum susu setiap hari,“..alhamdulillah, kafe ni sediakan susu sebagai perkhidmatan percuma..”, Iqbal Hanina tersenyum lebar sambil melangkah masuk ke kafe ‘Milky Way’. Seorang pelayan menghampiri Iqbal Hanina untuk mengambil pesanan. “Susu segar..”, jawab Iqbal Hanina dengan senyuman, dan dibalas senyuman juga oleh pelayan itu lalu berlalu pergi menyediakan pesanan.


Akan bersambung.. Insya allah..


..::Qalam 'Aini, 25 Januari 2011/ 20 Safar 1432H::..
.
Q'A:
Kisah ini hanyalah rekaan penulis semata-mata, mohon maaf jika ada unsur yang mengguris hati mana-mana pihak. Watak utama dalam cerpen 'Kejayaan sebuah rindu' ini ialah Iqbal Hanina, seorang gadis muslimah.Tajuk cerpen ini di ambil sempena namanya, iaitu Iqbal Hanina di mana 'Iqbal' bermaksud kejayaan manakala 'Hanina' bermaksud rindu atau kasih sayang.. (^_^)