Monday, May 26, 2008

respon entri tiada idea keenam

arkhaios: apa yang memberi erti?

apa yang memberi erti pada aku adalah bila aku rasa aku punya makna untuk sesiapa.

seperti bila aku mendapat senyum ketika meyelitkan rm50 di telapak tangan abah, walhal itu adalah wang untuk menampung nasi aku dua minggu.

atau bila melihat seri wajah kawan yang tersangkut di tengah jalan dengan kereta yang habis bateri di parkir klcc, di tengah malam pejus, ketika melihat aku sampai dengan jumper dan kereta buruk aku.

juga bila lauk2 yang aku masak habis licin dilahap kawan2 yang sedang lapar di tengah2 bulan.

memberi erti pada orang lain sangat memberi erti pada aku.
kerana rasa begitu dihargai.
dan dari situ terasa diri sangat disayang.

macam ketika tuan hadzir sms aku, mengatakan seorang fynnjamal ini telah memberi makna pada dia dan keluarganya.

*terasa terharu dan terpempan*

lalu aku yang tamak ini terus mahu menjadi suatu yang relevan pada semua.
supaya wujud aku ini ada signifikasi pada dunia.
maka bangkit aku di tiap pagi bukan satu yang sia2.

tapi masalahnya, aku ini terlalu mahu diterima setiap satu mauduk atas mukabumi ini.

*diam*

malam tadi performasi bersama tri, shafiq dan aizat. seharusnya tidak langsung ada persediaan. malangnya kerana terlalu taksub tiba2 dengan penerimaan orang, aku uruskan perjumpaan beberapa jam lebih awal.

kononnya mahu lebih sempurna. lebih ada makna.

dan seperti mahu menegur, tuhan telah tuliskan di angkasa malam tadi sedikit terkacaukan.

musik dari komputer riba tidak berfungsi.
sistem bunyi berantakan.
susunan lari.
aizat tiba2 rasanya mati.
tri terus jadi kejung.
syafiq layankan saja.

aku tidak peduli.

bila kita terlalu mahu sesuatu itu jadi sempurna, tuhan akan selalu pangkahkan. bukan kerana dengki, kawan2. bukan. tapi untuk mengingatkan yang fi'l amr "kun" yang bermakna ayat perintah "jadi!" hanya bisa datang dari dia.

dalam bahasa yang lebih mudah, beberapa jam sebelum performasi, yang runutnya sangat indah dan magnifisi, tiba2 jadi pelik atas pentas.

dan kami yang sudah tinggi citanya kerana sudah menemui nota sempurna dalam latihan triplet itu terus jadi kecewa di atas pentas. kerana tidak menjadi.

maka aku tidak rasa.
elemen yang paling wajib ada dalam diri aku.
entah bagaimana terhilang malam tadi.

tri yang paling kecewa. bukan dengan aku. bukan dengan kawan2 lain. tapi dengan situasi. terang sekali marahnya kerana perkara tidak makbul seperti dalam bayang kepalanya yang terlukis bergaris dari latihan awal.

maaf, tri.
aku rosakkan lagu kau, ya?

entahlah. susah hendak aku kisahkan pada kalian. kalaulah kalian bisa faham apa yang kami mahu luahkan.

lagu yang tersangat indah, dan kami jumpa bertiga ketika latihan di taman tasik perdana semalam pagi, tak tercerita mlm semalam.

seolah kau terjumpa malam lailatul qadr. kau mahu berkisah pada semua, mengatakan betapa hebatnya malam indah itu. tapi bahasa kau tiba2 hilang dan lidah kau mengeras.

dan orang padang kau yang sedang kelu macam orang gila.
begitu rasanya.

kalaulah kalian ada di tasik perdana semalam.
hanya itu yang mampu aku katakan.

*diam lagi dengan penuh kecewa kerana tak mampu bercerita*

tapi ramai juga yang datang dan berkata persembahan malam tadi bagus. teman2 dari gelanggang puitis turun padang memberi sokong. peminat baru ada lima enam orang tampil. masih ramai yang mahu mengambil gambar. meminta autograf (gila, kan? mcmlah aku ini siapa2). macam2.

*hela nafas*

aku patut bersyukur masih ada sekerat ini yang mahu menganggap aku ini ada erti untuk mereka.

aku patut tampar diri sendiri kerana terlalu mengharap kasih dari seluruh benda dalam semesta.

aku patut malu kerana terlalu tamak mahu menjadi sesuatu yang bermutu untuk setiap satu kamu.

aku patut sedar, aku patut rangkul yang ada segelintir itu. menjaganya tetap dan tanpa ragu.

*senyum*

tak mungkin semua orang suka kita. yang satu yang suka itulah yang harus kita jaga. kan?

maka aku mahu menjawab soalan kamu, arkhaios, apakah yang memberi erti pada aku? apa sahaja yang menjadikan aku ada erti. walau tidak semua manusia, cukuplah kita2.

harap aku punya makna pada kalian.
kerana aku hari2 berusaha menulis, untuk bertemu kalian di sini.
di puisitepijalan ini.

Sunday, May 25, 2008

In The Making






aku buta instrumen. tidak pandai bermain alat musik. tidak ingat membaca nota musik. yang ada cuma petikan gitar dari tri di ipod.

dan sebiji keyboard yang sudah lama tak berusik.

harap kau suka.
tidak siap lagi.
kalau boleh aku mahu beri nyawa pada lagu ini.

terima kasih teknologi.

tri & fynn
"In The Making"

Saturday, May 24, 2008

respon entri tiada idea kelima

azriaris: anak seni baru itu hasilnya memang seni atau ikut2an?

filem mona lisa smile. lakonan julia roberts sbg seorg guru seni di sebuah universiti. satu filem yang sangat feminis. dan di satu scene, kristen dunst menempelak sebuah lukisan yang baginya sangat hodoh.

futnot:
kd: kristen.
jr: julia

kd: itu bukan seni!
jr: sebab?
kd: ia menjijikkan. langsung buruk.
jr: maka bukan seni?
kd: siapa yang nak panggil itu seni?
jr: apa itu seni?
kd: kita akan tahu bila ada yang kata ia seni.
jr: itu seni.
kd: dengan rasa!
jr: saya rasa itu seni.

*senyum*
terbaik.

apa itu seni?
subjektif.

baru tulis tiga empat puisi, sudah canang pada orang yang dia anak seni.
baru berlakon dua tiga filem, yakin lelongkan nama sendiri pejuang seni.
baru menyanyi empat lima lagu hit, sudah panggil diri gila seni.

najis.

kelakar, sebab anak2 seni yang sebenar jarang mampu memakai judul itu di badan mereka, berbanding sesetengah yang dengan bangga menampalnya seperti anak2 sekolah yang memakai tag nama di kocek atas kemeja seragam.

bangga sangatkah mempamer jiwa kusut?

tak perlu berusaha beriya2 mahu menunjuk serabutlah. melainkan keserebehan kamu itu seni, usahlah bersungguh2 mahu menonjol segala hancur.

entahlah. mungkin anak2 sekarang rasakan seni itu suatu yang "in".
tak mampu tulis muzik, menyanyi.
tak mampu menyanyi, menari.
tak mampu menari, berlakon.
tak mampu berlakon, tulis puisi.
tak mampu tulis puisi, bergaya saja.

aku tidak mampu menjawab soalan kamu, azriaris. kerana seni itu, bak kata aku di awal tadi, subjektif. lagu scoin juga boleh dikirakan seni kalau ada yang ingin menghayati. tidak semestinya semua orang setuju chairil anwar itu manusia seni, kerana dia tidak puitis.

dan tidak wajib kita labelkan tulisan kau itu seni kalau semata2 kau selak kamus untuk mencari perkataan bombastik utk menggantikan kosa kata biasa kita.

aku kira, ramai yang terjun ke bidang seni kerana ikutan. aku juga sama.
kerana terjumpa mesin taip arwah bunda yang penuh dengan puisi tentang mati.

ada dua tiga manusia blog yang memberitahu mereka teringin menulis kerana aku. dan seperti biasa, tidak pernah aku halang. dari kau ikut orang lain minum arak dan seks bebas, baik kau ikut perkara sebegini.

sekurang2nya ini amal jariah aku.

cuma soalannya, apa ikutan itu mencambah suatu yang indah? atau sekadar engkau mencedok2 idea dan gaya sahaja?

siapa seni?
tuhan.

siapa seni?
*senyum*

Thursday, May 22, 2008

respon entri tiada idea keempat

MM: tentang kekosongan dalam jiwa.

kasihan jiwa. tiap2 masa aku kreditkan dia dengan kekosongan, kan?
*senyum gelengkan kepala untuk diri sendiri*

apa makna kosong untuk aku?
rasa sifar. rasa tidak punya makna. rasa pagi yang tidak ada tujuan. dibangkitkan tanpa ada mahu.

dan yang lebih bodoh adalah, aku tahu aku membodoh atas pilihan sendiri.

padahal boleh saja aku bangun dan melutut pada tuhan. membuka rangkul dengan seribu kebahagiaan, dengan niat memberi indah pada alam. bersedekah rasa. beramal mesra.

tapi tidak, aku memilih untuk jadi bodoh.
mengundi untuk menjadi tongong.
dan termenung.

apa yang aku cuba katakan adalah, kepada kalian di luar sana. jiwa kosong adalah satu pilihan. dan kau mesti punya sejambak hati yang besar. teramat besar yang bila kau ranap dan mengempis, masih ada sedikit baki untuk kau tiupkan kembali di esoknya.

untuk mengosongkan jiwa, kau perlu gagah.
kerana andai kau tewas, kau pasti akan panjat langit itu dan terjun untuk dihisap angin2 kencang.
dan mati.

kenapa aku memilih dunia ini?
mudah. kerana ia memilih aku.

dan aku mampu mengisahkan tentang ia.

benar, aku benci rasa itu. teramat benci dan jijik. tapi aku harus mengaku, ada juga sekelumit berterima kasih. kerana lumrah seorang umat yang sentiasa lupa tuhan, di masa2 genting begini sahaja kita sudi kembali padanya.

tuhan, tiupkan rindu dalam hati untuk berkasih dengan kamu.

entri tiada rasa, kali ini. kerana sejujurnya hari ini langitnya terlalu kuning, terlalu indah untuk aku perikan hal yang menghancurkan.

aku sedang rindu tuhan.
abah ibu di halaman.
adik abang taulan.

aku sedang bersyukur atas setiap kehancuran.
kerana apa yang aku rasa ini setimpal segala penat dulu.

redha itu suatu yang sangat melangit.

kosong jiwa aku ini terlalu cantik dengan redha ini.
alhamdulillah.

Wednesday, May 21, 2008

senyum ikhlas

merah cadar bilik gelap aku berwarna kembali.
langit hitam sudah menjingga kuning seolah dulu.
terkekeh sudah setiap tulang kecil di jemari.
setiap siul angin mula menitip sekian bicara lagu.

hendak aku tulis apa di entri kali ini? yang setiap kesabaran itu akan tuhan adilkan dengan keindahan? atau tentang kekebalan jiwa akan dirahmat rasa salut oleh Pencipta?

kau layak merasa ini, fynn jamal.
persis itu kedengaran suara langit, membisik pada aku yang di atas bukit kosong itu, ketika menyajak peri sedih sendiri.

tetapi tidak pula ingin aku ini menampal lampu suluh kecil di sebelah rumah kunang2. apalah sangat rasa ini jika dibanding kekuatan tuhan.

kun fa yakun.
jadi maka jadilah.

tahun ini melangkah ke usia 26. sudah perlu bijak bermain redha.
patut sedar setiap mauduk adalah fana.

ada, maka adalah.

dari dulu lagi, bila aku mahu menebar cinta, akan aku diamkan dan siulkan cuma di hati. kerana takut tidak menjadi. dari dahulu.

cuma andai ranap, ketika itu, aku riuhkan.
itu pun bukan kerana mahu menyerak aib.
sekadar mengongsi rasa hancur.

manalah tahu ada gunanya pada yang perlu.

aku rindu abah.
pada kacaknya yang sentiasa menenangkan jiwa.
pada gagahnya yang sentiasa membobok rasa.

duplikasikan hj jamalludin abd hamid,
untuk menjadi suami aku, wahai tuhan.
kerana dia paling sempurna.

cinta itu apa, ya?
selain suatu rasa, yang kita definasikan.
berdasarkan potret yang dilukis oleh teman2.
tentang dunia cinta mereka.

siapa sebenarnya yang milik cinta?
apa ada?

aku rindu kecy.
pada hilai tawa bodoh yang tidak ada relevan langsung.
pada setiap perasaan kami kuncikan dan pasung.

andai harga menjadi matang adalah dengan menyembelih perkara2 yang aku sayang, aku minta untuk tidak membesar.

tahun 2007 adalah tahun terbaik.
kenapa perlu diubah2 haa?

*diam*
tapi ada juga yang bagus.

dgn keranapan, kita bangkit.
dan lebih mendepang tangan.

entri ini begitu positif.
suatu yang baru.

kuat, fynn.
kuat.

*senyum ikhlas*

Sunday, May 18, 2008

penat si perempuan gila, mengelek anak, menunggu suami.

hati mula mencambah cinta.
apa bisa?

terasa mahu kembali hidup. tapi takut diserak2kan lagi. diperca2. kerana seorang fynn jamal adalah suatu yang mudah: hidup mahu mencinta. dan dicinta.

maka di setiap keranapan, aku masih mahu senyum. kerana aku berbangga, seorang aku ini tidak sama seperti manusia di luar sana. yang mudah2 mengganti2.

*diam*

cinta kawan2 terhiris2 dua tiga hari ini. sudah binasa. untuk kesekian kalinya. tapi di waktu ini sudah tidak ada rasa apa. lebih kepada "sukahatilah".

satu perkara tentang kesetiaan adalah satu: akan penat.

seolah seorang isteri gila yang hari2 bersengkang mata mengelek anak kecilnya yang lahir tidak berbapa, di dermaga itu. menunggu suami yang tidak pulang sejak purnama2 dulu.

"dia berjanji akan pulang menatap senyum anak ini"

dan hidup si isteri yang terdegup semata harapan itu tetap digagahkan. tanpa peduli suara dunia yang sibuk mengunyah jantungnya: "sudah matilah, perempuan gila!"

tidak!

kasihan...
tapi satu hari nanti, akan datang suatu pagi yang dia bangkit dan tersentuh dek bayu pagi. yang mana subuh itu dia tidak lagi dikejutkan dengan dingin air sejuk di matanya. tiada lagi ada gigil tangis sisa malam tadi.

hari itu akan tiba, persis seperti kata2 seluruh genap alam.
dan di ketika itu, semuanya ditampal redha.

begitulah umpamanya.

cinta kawan, kah. cinta hati, kah. cinta apa sahaja sekali pun.
bila hati sudah penat, tamat.

tidak ada benci dalam hati. tidak ada dendam.
sekadar penat.
dan redha.

*diam lagi. dan kali ini penuh tanda soal*

tuhan, apa suami aku akan pulang dan memangku anaknya ini?

Friday, May 16, 2008

doa termakbul yang aku sesal sumpahkan.

aku sebenarnya sedang terpana.

di entri lepas yang mana aku sumpahkan seorang sahabat jatuh dan terduduk, untuk sedar hidupnya yang baru adalah lebih elastik dari plastik tesco, doa itu makbul.

dan dia, seperti dulu, meminta aku ada.
tak perlu disoalkan, aku terus jadi remuk kerana kasihkan dia.

kasihan, mungkin.
tapi sebenarnya, rasa teraduk2.

tidak mahu berkata banyak. cuma aku mahu kata,
"memang aku dari dulu di sini".

aku sudah stereotupikal. aku tahu selepas ini aku akan dibuang lagi, tatkala dia terjumpa dunia baru yang lebih gah, lebih kool.
sukahati.

yang penting,
aku manusia yang pegang pada janji.

dengar cakap aku ini, sahabat:
kalau mahu menyentuh langit,
pastikan tangan kau kebal.

dan aku rasa, kau manusia biasa.

sini, sebelah aku ada kerusi kosong.
duduk sajalah.

Monday, May 12, 2008

kau dan mulut hebat engkau.

dan seperti keluarga lain, terdapat pergolakan dalam keluarga kecy.
inilah padahnya kalau terlalu gembira.

abah selalu ckp, gelak2 sgt di siang hari, tgh malam mesti menangis.

sebulan kecy tidak berjumpa. tidak bergurau tawa ria bahagia. dan seperti biasa, akan timbul bisik celaka Si Bakal Direjam.memporak peranda. laknat, engkau, iblis.

aku tak mahu bercakap banyak.
tunggu dan lihat.

nampaknya aku perlu jadi Angah yang dulu, yang mengembalikan abah dan along yang tidak bertegur setahun. tengoklah macammana. sebab aku dah penat dengan mulut kau.

manis bila perlu.
bisa bila mahu.

hebat lah.
dah hidup senang. mesti lupa orang. biasalah.
dah mula abaikan fakta air minum kau dulu air peluh aku.
dah rasa bagus kerana dah ada sayap. boleh menyentuh langit.

dan lebih hebat lah.
kawan2 ditarik2 ke kiri ke kanan. begitu politik.
orang2 dipecah belahkan. hasad kau tembus ke semesta.
kau memang tuhan.

aku tak doa kau jatuh.
cuma aku doa kau kembali mcm dulu.
zaman kau jahanam.

sebab masa itu nanti, kami tetap kutip kau.
kau fikir bidadari2 dan tentera baru akan menopangmu?
hello. kau sedang senang sekarang.

mana engkau di zaman berbaring di rumput?
sama ada manusia itu sudah lama mati,
atau kami dulu sekadar tempat hantu seperti kau bergayut sebentar.

persinggahan di kaabah kecil kami.

tetap bodoh, kami ini, di waktu kau tergelincir untuk kali keberapa itu.
menangguk engkau.

tak macam kau yang tengah bahagia menyelimut diri dengan kulit babi di subuh2 pagi.
kelakar, kalaulah orang tahu engkau yang jahat.
yang lupa diri.
yang meranapkan orang.

hebat sangat engkau, mampu menubuh empayar baru untuk berpaling dari dunia kecil ini.
pada anda2 yang gemar duduk di tengah2 terutamanya, buang saja kemaluan engkau.
hidup tanpa tulang belakang, berseronok dgn melelong cerita orang.

bukan salah kau juga. orang lain, kalau ada aib kawan2nya, pendamkan.
kau pula menjajakan.

haih.
kalau tiada si mulut tepayan, tidak jadi juga.
dari dulu, berjuta cerita hina aku pegang, tidak pula aku layang2kan.
aib kawan, kita jaga.
aib diri, harap sama.

selamat tidur, sahabat.
sebab mimpi emas sekoyan kau sedikit2 sedang dikunyah2 azan.

Thursday, May 8, 2008

en tri

subuh ini akan ke penang.
esoknya ke kedah.

seperti biasa, aku meneman kugiran hujan menggila di gig sana2. aku seperti biasa akan moshing pogo segala. terasa seronok menjadi grupi begitu. dapat pula menggrupi kawan sendiri.
dan bergempita seolah itu memang sentiasa akan bisa membuat aku hilang akal.
dapat lari dari realiti sebentar.

syurga.

*diam*

aku tak pernah rasa berat hati hendak tinggalkan kuala lumpur.
tidak pernah langsung.
biasanya aku suka.
gembira.
mengharap.

tapi ini malam aku masih tidak mahu membungkus baju.

celaka.
aku dah gila.

atau aku akan mati?
konon2 rasa tak sedap hati.
khak tuih.

*memegang kuat dompet*
kuala lumpur, rindu aku ya.

respon entri tiada idea ketiga

msYuz: kehidupan mana yg kamu pilih: nur affina yanti atau fynnjamal?

aku telah memutuskan persaudaraan / persahabatan dengan masa silam. saudara2 jahat aku yang kejam mengekeh fizikal aku. teman2 sekolah yang pernah membuli aku di setiap hari di sekolah rendah kebangsaan laksamana. kawan2 sekolah yang menyiksa mental aku di sekolah menengah kebangsaan agama bandar penawar.

caranya: aku tukar nama.
semua itu sudah aku buang. kerana aku benci aku yang dulu itu.

aku panggilkan tempoh 18 tahun itu sebagai sial.

kemudian, dengan berbekalkan nama fynn, aku mula hidup sebagai gadis kuala lumpur. eleh, keyhell la sangat. aku menjadi semakin bosan. tidak tahu apa yang aku cari. terjumpa pelbagai ragam yang aku celup keseronokan dari masa ke semasa.

masih, aku tidak jumpa apa aku mahu.

entah bagaimana, aku kembali panjat pentas. mulanya kerana tidak cukup wang tambang hendak balik kampung. pertandingan sajak hari kebangsaan memberikan ganjaran rm 200 di tempat pertamanya, dengan syarat, wang penyertaan dibayar.

rm 20 itu wang terakhir aku.
aku masuk, dan menang.

dan sejak itu menjadi fynn jamal.

aku mula mengumpul semua kertas2 yang bersepahan. membuat kompilasi secara online. mula menulis di layar internet. terima kasih pada layar tanchap, memberi aku peluang untuk kali pertama bersuara dgn suara jiwa.

sejak itu, fynn jamal mula meniti dari bibir dia ke bibir mereka. melompat2 dan menari2 di mata semua.

untuk itu, terima kasih, tuhan.

menjawab soalan kamu, aku tidak punya jawapan. aku rasa, semua itu bukan pada nama. kerana, seindah hidup seorang fynn jamal, tetap aku disisakan. disampahkan.

aku kira sang nama itu bisa sedikit sebanyak mencorak hidup.
ternyata bukan.

tapi andai tetap kau mahu jawapan, mana satu yang aku suka, sudah pasti aku akan jawabkan "menjadi fynn jamal". kerana selama menjadi nur affina yanti, suara hati aku dipaksa mati.

fynn jamal seorang yg bebas meluah rasa.
cukup.
sial apa pun aku akan tadah, kerana aku ini --
fynn jamal.

Tuesday, May 6, 2008

respon entri tiada idea kedua

syfns: keperluan asas kak fynn?

andai aku ini mahu menjadi fynn jamal yang zahir, yang sinis, yang gemar sembunyi rasa pada masa2 terang, sudah pasti aku jawab: air, elektrik dan internet.

tapi di sini, di puisitepijalan, entah kenapa aku rasa macam satu dosa jika mahu berbohong.
oleh yang demikian, sini dengarkan jawab aku yang aku rasa kau mahu dengarkan.

apa keperluan asas aku?

cinta.
rasa mencintai.
rasa dicintai.

oleh abah.
ibu.
adik2.
abang.

oleh kawan2 yang rapat itu.
teman2 blogger.
adik2 dunia siber.

aku tidak mampu bertahan sehari tanpa cinta. kerana hidup aku sedari kecil begitu tandus dengan perhatian. terlalu mahukan pandangan manusia, yang dari sedar2 celik mata tidak pernah peduli adanya nur affina yanti.

aku mahu yakin yang aku ini ada harga.

khairul (teman hoppers) pernah bising pada aku. dia katakan aku tidak reti menerima pujian. tidak pandai berterima kasih. malah, aku tolak bulat2 dan katakan pemuji itu berbohong, yang mana menyinggung rasa mereka yang berkata ikhlas.

tapi itu sememangnya aku, kawan2.
bukan memancing undi populariti rendah diri. tidak. cuma aku tidak tidak mampu percaya setiap baris manis dari bibir2 anda itu.

dari anak2, aku telah hidup dengan percaya aku ini si hodoh, si busuk, si hina. perempuan yang aku pandang hari2 di cermin tetap si gedempol berpanau berkudis di badannya. kasihan aku, kawan2. duduk di meja kantin, dibaling kotak susu UHT percuma. dikekeh2 kerana pinggang sama diameter sama anak lembu, seolahnya.

aku membesar dengan tiada rasa hormat pada diri.

mungkin, kerana itu aku sangat tersinggung bila dikatakan tidak berterima kasih pada kata puji. aku benar2 tidak memahami. sungguh!

*memandang tingkap yang memainkan satu2 kisah zaman kecil*

aku rasa hidup yang diasaskan dengan cinta akan memberi bahagia. dari cinta, pasti ada kasihan, mesti terbit ehsan. rasa redha dan syukur harus lahir dari hasil ikhlas itu.

eksperimen abah pada keluargaku yang kecil telah menunjukkan betapa cinta membentuk aman di dalam hati.

ye. bohonglah kalau tidak ada gejolak dalam keluarga. dan tidaklah pula patut aku cerakinkan salasilah jahanamnya hidup kami dulu. tapi kerana cinta, setiap kami kini sudah menjadi teman peling rapat dalam dunia.

kerana cinta.

kalaulah...
aku mahu seluruh dunia merasa yang cinta itu enjin kehidupan. sebagaimana cinta membentuk aku.

tidak apalah aku ranap kerana cinta. tidak apalah aku hancur rabak kerana merasa apa aku rasa. jika tidak ada cinta di sini, pasti ada si dia yang lain di sana.

kan...?

mungkin, yang lebih cintanya pada aku. yang sanggup memberi lagu2 di dalam gelap malam aku. yang mungkin juga telah lama dipanggil ke arasy, bermakna tidak lagi wujud cinta aku dan dia di dunia yang tidak kekal ini.

*diam*

mungkin cinta abadi aku adalah malaikat yang sedang setia untuk aku ini, andai ada kerusi kosong buat aku di syurga sana.

aku selalu tanya pada cikgu2 yang rapat sama aku. "abah kahwin dua. nanti dengan siapa dia abadi di akhirat?"

aku sayang kedua2 arwah mak dan ibu. sama siapa bahagia kekal abah?
dan seperti biasa, jawapan yang aku benci lahir dari lidah mereka, "itu kerja tuhan"

bukan aku marah tuhan. langsung tidak. tapi aku terbayang salah seorangnya tertinggal dari bahagia. tuhan, kasihankan ya?

keperluan asas aku adalah cinta. ya. memang membosankan. sikit2 cinta. sikit2 rasa. tapi inilah aku.

fynn jamal adalah manusia yang terlebih cinta.

aku punya sebalang besar cinta manis.
siapa ada cawan kosong, mari aku tuangkan.
nak tak?

Monday, May 5, 2008

...

dia mengambil jari telunjuknya, dan dilari2kan menyusur kulit tubuh manusia di hadapan itu dengan teliti dan perlahan2. hidungnya dilalu2kan menghirup nafas yang difikirkan haknya melalui tubuh manis itu.

begitu berhati2, dia takut manusia yang sedang nyenyak itu tersenggol dari mimpi.

dia mahu menangis hanya kerana diberi tuhan kerapatan yang begitu. jadilah. dia sudah bersujud di dalam fikiran, berterima kasih pada tuhannya.

dia pandang alis manusia itu, dilukis setiap satu di dalam akalnya, cuba menghafal setiap roma, untuk dibuat bekalan ketika rindu nanti2. terkesima dan terdiam ketika sang manis itu merekah senyum kecil dalam tidurnya.

jangan bangkit dulu, rayunya tanpa bersuara.

yang ada cuma bunyi rangup daun2 yang menggesel angin. terasa ingin menyentuh sang manis sebagaimana nikmatnya daun2 di luar itu berasmara bersama bayu. dia cemburu dengan keramahan mereka.

aku mahu juga.

terlihat dia akan tangsi2 hitam yang memendung wajah si manis. ditiup dan dilenturkan senyum kecil untuk sang manis yang sedang di alam mimpi. bangga pada diri sendiri. seolah baru selesai memedang singa dan menyelamatkan puteri dari nenek kebayan kejam.

dia terpana lagi. terasa mahu ditekap wajah itu, menamat deru nafasnya yang berbau embun, dan menyimpannya hanya untuk dirinya.

cuma yang ini, tuhan. yang satu ini. kasilah..!

sedang itu, guruh menegur dan bertempik. sang manis mengerut kening gelapnya. sang pecinta itu bangkit dan mengucup sang manis dengan matanya. terlihat sayap putih yang tergantung di tepi dinding itu.

mesti pergi. sebelum dipergikan.

respon entri tiada idea pertama.

tri: apakah muzik bagi kamu?

menurut wikipedia, muzik adalah satu formasi bunyi dan kesunyian, melibatkan frekuensi, pitching, ritma, dan kualiti muzik seperti timbre, articulation, dynamics dan texture.

tapi kalau kau tanya aku, aku tak giverfak.

muzik bagi aku adalah bunyi yang mampu melayangkan aku jauh dari realiti, tanpa memisahkan aku dengan dunia itu. buat kita hanyut tatkala mendengarnya, sambil mengingatkan setiap apa yang terjadi di alam hidup ini.

ada orang bilang muzik itu suatu yang terlalu seni. harus. wajib. maka manusia mula melabel2 dan memberi kategori. tidak kiralah dari segi genre atau dari taraf kesedapan. namun aku tidak pernah peduli siapa penyanyinya. asalkan muziknya indah, aku terus akan memahat cinta. sebab bagi aku, muzik yang sempurna tidak perlukan banyak, cuma feel. perasaan. jiwa.

dan suara tidak perlu sedap. yang penting mesti ada attitude. mcm macy gray. suara katak yang ada soul. aku benci bila ada org membebel2 suara minah tidak sedap, suara razif sengau, suara thambi macam bunyi kalkulator yang berbunyi ketika dipicit.

kerana, tidak ada satu penyanyi yang bisa menyanyi semua feel.

aku tak akan beli cd eminem kalau dia menyanyi keroncong, norkumalasari kalau dia memilih hip hop. begitu-begitu. macam siti nurhaliza. aku suka sekali bila dia bernyanyi balada, apatah lagi etnik melayu.

bukan lagu joget2 spaQ itu. entah.

muzik yang aku paling gemar adalah muzik yang bermain di kepala tiap kali sesuatu perkara terjadi pada aku. entah. pernah tak kau rasa, bila kau sedang sayu, bunyi hujan akan lebih menghiris? atau bila kau sedang bahagia, kekeh anak-anak kecil di hujung padang sana terasa begitu ceria? juga bila kau sedang marah, tiba2 kesunyian menjadi suatu yang sangat memedihkan?

muzik bagi aku tidak perlu ada pelbagai. aku cuma perlu rasa. dan suara yang menyanyi rasa itu aku kira lebih jujur dan benar.

mungkin kerana itu aku gemar bernyanyi sedikit2 ketika berpuisi. kerana kita tak bisa lari dari bunyi.

aku suka muzik kerana abah. dia suka bernyanyi. seorang2, juga untuk arwah mak. dan ibu sekarang. oh begitu manis.

apa ada abah di dalam lelaki di luar sana? untuk mencinta aku sebagaimana dia mencinta emak dan ibu? argh. tekanan benar. aku tidak mahu kahwinlah. pasti aku hancur dengan konsep cinta yang sentiasa aku bandingkan sama cinta mereka.

*diam*

pada aku, muzik itu sangat penuh dengan romance.

aku ada rahsia. dari kecil aku mahu seseorang yang bisa menyanyi untuk aku sebelum tidur. mencipta melodi untuk aku, berkisah tentang aku. cliche. tapi hey, aku kaki berangan. biarkan.

siapa tidak mahu dicintai sesorang yang bisa memegang gitar dan bernyanyi ketika memujuk, kan?

pemuzik adalah pecinta.

tapi ramai yang poseur. bermain muzik semata untuk nampak kool dan hebat. itu tidak jujur. dan itu, aku benci. muzik mesti lahir dari jantung. di degup2 yang berliuk kerana rasa takut, rasa cinta, rasa mahu, rasa marah, rasa merajuk.

rasa.
cukup itu, sudah menjadi muzik aku.

hey pemuzik,
mahu cinta aku?
buaikan aku dengan suara rasa engkau,
sambil mata engkau tembus ke dunia fantasi aku,
melalui mata sayu aku.

dan pasti,
aku akan serahkan hati ini, dan jahitkan di kocek kamu.

Sunday, May 4, 2008

seni dari tri.

Sumpahkan daku ke sana
Hidup bersama

Mati berdua


Andai ku takdir di sini

Peluklah aku

Rangkullah aku


Jangan kau puja

Jangan kau hina

Ikhlasku dan jujurku

Jangan kau puja

Jangan kau hina

Ikhlasku dan jujurku


Sempatkan daku ke sana

Ku takut semua hilang bernama

Ambilku dan bawalah ku

Kerna ku takut tiada lagi


- tri -
_______________________


entah kenapa, setiap denting lagu yang dibikin tri masuk terus terperosok dalam jiwa. mungkin kerana di setiap keting bunyi itu menyenggol setiap denyut nadi aku. di satu2 dentum gendangnya menghentak dunia halus aku.

entah.

aku bukan mahu berbual literasi. tidak. tidak aku akan menganalisa stanza atau stail pembubuhan kosa katanya. cuma aku mahu berkisah ini: aku jatuh hati sekali.

kalaulah aku bisa salurkan mp3 ini untuk kalian dengarkan.

yang aku lukiskan di akal, sebaik getaran bunyi ini melalui rongga telinga, adalah satu gambaran harapan seorang pecinta yang sangat dalam. bersembunyi dari belukar, menonton sang puteri berkolek2 di muara, juga sendiri.

dan terdengar bisik suara hati dia dari pecahan langit:
kalaulah mampu aku sapa dan meluah rayu.
kalaulah...
cukuplah sekadar itu.

haih, berapa ramai pemendam nyawa di luar sana, kan? yang memasrah sebelum bermula runut pencak. "tidak mungkin diterima" sudah dizikir di tasbih hati sebelum sempat bertegur, pun. betapa kasihan. mati tak berjuang. membazir-bazir.

dalam kehidupan realiti, di satu2 masa kita mungkin menjadi kedua2 watak yang ada. mencinta separuh ranap dan dikagum seluruh nyawa. ada masa kita tahu di mana duduknya kita. ada juga waktu kita tidak menyedari langsung yang mana satu.

dan kalaulah bisa dipilih, aku kira, rata2 kita mahu menjadi sang puteri (abaikan jantina engkau sebentar). kerana rasa dipuja itu sangat mengkhayalkan. mendapat pandangan seseorang khusus untuk engkau. khas. cuma.

merasa wujudnya engkau itu suatu yang relevan untuk suatu mauduk lain. bermakna, kau tidak tercipta untuk sekadar bangun pagi.

untuk sesuatu.

aku teringin merasa ini. menjadi si satu2nya. apa ada?

tapi dengan nisbah merapu dan tidak adil langsung, bagaimana mahu mencari teman? sedang yang ada pun, lebih selesa dengan seksualiti songsang. atau tidak mahu langsung berpasangan, cuma hendak zuriat (dan anak itu akan cuma minum susu badan buatan hasil dari suntikan atau ubatan).

ini bukan entri mencari jodoh.
tapi persoalan benarkah kita tercipta ini sudah disiapkan pasang-pasangnya?

ada masa aku bahagia jadi manusia di belakang belukar ini. mencipta fantasi sendiri. membayang bahagia yang mungkin tercipta andai mendapat puteri. setiap mungkin yang dia mahu mergurau2 di gigi air, menyimbah2 manja sang jiwa. mengutip batu2 kecil untuk disusun di tepi cebok air, sambil memberi nama pada ayam itik sebagai ganti kucing yang tak terjumpa di tengah hutan gelap itu.

cuma ada aku, dan mimpi biru.
sedangkan puteri itu sudah bersedia mahu naik ke langit.

tidak salah hidup dengan bayang-bayang, kan?

tri, aku suka tulisan engkau. dan aku mau lagi. sekali sama melodinya. dan kisahkan jiwa engkau. kerana aku rindu kisah2 cinta di luar sana.

kawan2, siapa kalian? si pecinta di belakang belukar atau sang puteri itu?


Thursday, May 1, 2008

tanpa idea

dan menulis mula kembali menjadi sesuatu yang tidak punya erti. pembetulan: kerana menulis tanpa isi itu akan mendapat markah kosong, selain menulis rapikan akan mendapat habuan markah terpesong.

tetap, aku mahu menulis tentang sesuatu.
tapi tentang apa?

bagitahu aku.
apa yang kau mau tau.

respon2 anda:
tri: apakah muzik bagi kamu?
(siap: entri 5 mei 2008)
syfns: keperluan asas kak fynn?
(siap: entri 6 mei 2008)
msYuz: kehidupan mana yg kamu pilih: nur affina yanti atau fynnjamal?
(siap: entri 8 mei 2008)
MM: tentang kekosongan dalam jiwa.
(siap: entri 22 mei 2008)
azriaris: anak seni baru itu hasilnya memang seni atau ikut2an?
(siap: entri 24 mei 2008)
arkhaios: apa yang memberi erti?
(siap: entri 26 mei 2008)
nolalitalife: kenapa dunia ini tidak adil sekali?
mr aries: kenapa kita ujud?
syuxx: bagaimana mahu menjadi pemuisi hebat?
bulan: sebab2 aku bangkit setiap hari.
siti: apakah keajaiban yang kamu akan minta dan bila akan diminta?
fire: rasa dan cita-cita, juga tentang sahabat dan teman2.

menarik.

kaunter ditutup. banyak gila soalan.
aku cinta kalian, teman2 blogger.

aku cuba tuliskan esok2.