Masjid berkenaan yang merakamkan detik sejarah penuh suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Usianya hampir 200 tahun.
Saya dan seorang rakan berkereta ke Kampung Pulau Tawar, kira-kira 30 minit dari bandar Jerantut. Ketika sampai di kampung itu, suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang bermastautin di pesisiran Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah serta nostalgia abad ke-18 dan 19 seolah-olah baru sahaja berlalu.
Seorang penduduk Kampung Masjid, Pulau Tawar, Ismail Bilal Taib, 75, menerima kunjungan kami dan sudi membawa menjengah masjid yang tertua di Pahang itu.
Masjid lama itu terletak berdekatan tebing Sungai Pahang yang jernih airnya, seolah-olah mahu memberitahu kami rentetan peristiwa yang terpalit di bumi Pulau Tawar pada abad yang lampau.
Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat Kilau, dan pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang.
Namun begitu masjid lama itu lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an.
Perkembangan institusi pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. Di situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd Rahim, Imam Daud dan Imam Yahya.
Menurut Ismail, masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah Islamiah. Malahan banyak pelajar dari seluruh Jerantut, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18.
Menurut keterangan orang-orang tua, tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an.
Masjid lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetap mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan.
Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran Inggeris di Pahang.
Setelah mengalami kerosakan teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu mengalami sekali lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta lantainya supaya kelihatan lebih teguh.
Walaupun berhadapan dengan arus putaran masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan asal iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh seni bina Minangkabau.
Yang lebih unik, sehingga ke hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia hampir sama dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh khatib sewaktu membaca khutbah.
Ismail memberitahu, sebuah beduk kayu yang juga berusia hampir dua abad hilang dari masjid berkenaan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab beberapa tahun lepas.
Di masjid lama Pulau Tawar itulah berlaku sejarah pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau pada 26 Disember 1969 setelah menghilangkan diri buat sekian lama.
Ismail berkata, sebelum mengisytiharkan dirinya pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali singgah di masjid itu menyamar sebagai peniaga dan orang luar.
Kini tinggallah masjid lama tersebut digigit sepi malah diselimuti dengan semak samun setelah penduduk di situ menggunakan masjid baru.
Namun masjid lama itu sering didatangi oleh ahli sejarawan tempatan, siswa universiti, pelajar sekolah serta orang perseorangan untuk merakamkan sejarah dan melihat seni bina di luar dan dalamnya.
Walau bagaimanapun, menurut penduduk di situ, masjid lama tersebut sering diziarahi oleh sekumpulan orang luar yang tidak dikenali dengan menjalankan kegiatan sembahyang dan meratib sepanjang malam.
Kami juga sekejap di makam Mat Kilau berdekatan masjid itu untuk mensedekahkan Fatihah sambil menghayati perjuangan suci yang tetap utuh di sanubari bangsa Melayu.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=1998&dt=0422&pub=utusan_malaysia&sec=gaya%5Fhidup&pg=ls_02.htm&arc=hive