Vanida Sukar Bercinta Dengan Suami Sendiri Dalam Filem
BIARPUN teruja apabila berlakon sebagai pasangan kekasih bersama suaminya Rashidi Ishak di dalam filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki buat pertama kalinya, namun aktres berkaliber Vanidah Imran akui tugas itu bukanlah semudah yang disangka.
Ketika Afdlin memberitahu saya dia mahu mengambil Rashidi untuk digandingkan dengan saya ssebagai pasangan kekasih di dalam filem ini, saya terkejut juga. Mungkin ramai yang ingat status kami sebagai suami isteri akan memudahkan lagi perjalanan penggambaran filem ini.
"Sebenarnya ia lagi sukar kerana walaupun kami ini suami isteri, namun saya dan Shidi tidak boleh terlalu selesa sangat bercinta di dalam filem ini. Sebab kami perlu tonjolkan perasaan cinta sebagai kekasih bukan sebagai suami isteri.
"Sebenarnya pemilihan Shidi bukanlah disebab dia itu suami saya, tetapi memang Afdlin mahukan dia menjayakan watak Affin, sementara saya pula sebagai Ujie. Mainan emosi merupakan perkara penting dalam filem ini.
"Nak wujudkan mood bercinta pula bukannya senang, dan kemesraannya juga berbeza bukan macam pasangan yang dah berkahwin. Tetapi apa yang boleh katakan, Afdlin punya sebab tersendiri memilih kami berdua dan bukan disebabkan status saya dan Rashidi,"jelas Vanidah mengenai cabarannya bercinta semula dengan suami dalam Untuk Tiga Hari.
Bercerita mengenai dunia lakonan, Vanidah akui masih belum puas menjadi anak wayang. Setelah 19 tahun mendambakan diri dalam dunia seni, dia masih menantikan tawaran untuk melakonkan watak dalam filem aksi.
"Antara watak yang saya belum pernah saya jayakan sepanjang bergelar pelakon adalah berlakon dalam filem aksi. Mungkin kerana imej yang sering dilakonkan lebih terarah kepada kewanitaan, tapi sebenarnya saya ini bukanlah terlalu sangat mahu 'kontrol' ayu.
"Tetapi tidak dinafikan, setelah 19 tahun berlakon ada ketikanya saya akan memilih watak-watak yang ditawarkan. Semua ini dilakukan demi mencari kepuasan untuk menjayakan sesebuah watak. Bukan kerana saya sudah lama berlakon.
"Namun begitu kejayaan sebuah filem atau produksi itu bukan hanya terletak di bahu pelakon semata-mata tetapi pengarah dan juga skrip memainkan peranan yang sangat besar. Dapat dilihat gabungan mantap seperti ini sering mencipta kejayaan kepada sesebuah filem dan produksi itu,"jelas aktres yang terkenal dengan lakonan mantapnya itu.
Selain Rashidi dan dirinya, filem Untuk Tiga Hari yang diadaptasi daripada novel karya Ahadiat Akasha ini turut dijayakan pelakon lain seperti Ayu Raudhah, Dira Abu Zahar, Ainul Aishah, Zizan Nin serta Afdlin Shauki sendiri.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam pada 20 September ini.