INFO OSEMMM!!:

PERGH OSEMMM!!

OWHHH OSEMMM!!

WOW OSEMMM!!

    Shuhaimi Baba Optimis Tanda Putera Dapat Diterima Ramai


    Penerbit dan pengarah, Datin Paduka Shuhaimi Baba yakin filem arahannya berjudul Tanda Putera mampu menarik minat penonton apabila ia ditayangkan pada 29 Ogos ini walaupun telah beberapa kali ditunda penayangannya.

    Shuhaimi berkata, pihaknya telah melakukan beberapa promosi dan menyusun strategi pemasaran bagi memastikan filem berkenaan akan dapat diterima oleh orang ramai.

    "Benar filem ini hampir dua tahun terperap kerana ditunda namun itu telah melemahkan semangat kami di pihak produksi malah gembira dengan pengumuman tarikh tayangan Tanda Putera.

    "Kami akan memulakan strategi pemasaran dan promosi filem ini seperti mana dilakukan dulu supaya dapat menarik orang ramai keluar menonton filem ini nanti," jelasnya kepada mStar Online.

    Shuhaimi ditemui selepas Majlis Tahlil dan Doa Selamat filem berkenaan di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini pada Sabtu.

    Dalam perkembangan sama, Shuhaimi berkata, tidak sukar untuk mengembalikan momentum filem berkenaan dikalangan penonton kerana menerusi satu kajian orang ramai masih menyedari kewujudan Tanda Putera yang ditunda penayangannya.

    Malah kata Shuhaimi, rata-rata ada yang tidak berpuas hati ia ditunda dan masih menunggu tayangan filem berkenaan di pawagam.

    "Ramai yang masih belum lupakan filem berkenaan walaupun ia telah beberapa kali ditangguhkan daripada ditayangkan di pawagam sebelum ini dan ada yang marah kerana dengan kelewatan itu.

    "Dalam kajian selidik yang kami lakukan penonton masih menyedari kewujuduan filem ini dan dengan strategi pemasaran yang betul Insya-Allah akan menarik orang ramai menonton," katanya.

    Tanda Putera memaparkan kisah Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969.

    Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh jemaah Menteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan berbilang kaum masyarakat negara ini.

    Tanda Putera yang dibarisi pelakon Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi itu diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC). -mStar

    'Lagenda Budak Setan 2 - Katerina' Nikmati Keindahan Negara Bhutan


    SELEPAS mencatat kejayaan besar dengan filem 'Lagenda Budak Setan' yang mencatat kutipan lebih daripada RM4 juta ketika ditayangkan pada 2010, Astro Shaw Sdn. Bhd. meneruskan legasi cinta agung ini dengan sekuel terbaru, 'Lagenda Budak Setan 2 - Katerina'.

    Mengekalkan barisan pelakon sama dengan filem pertama iaitu Farid Kamil, Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae dan ramai lagi, 'Katerina' turut mengekalkan Sharad Sharan dibangku pengarah.

    Dalam memberikan kelainan berbanding filem pertama, 'Katerina' turut membawa penonton menikmati keindahan negara Bhutan yang telah dipilih sebagai salah satu lokasi untuk filem ini selain lokasi dalam negara seperti di Pulau Langkawi dan sekitar Kuala Lumpur.

    Kepada peminat yang ingin mengetahui kisah selanjutnnya trilogi hasil nukilan penulis hebat, Ahadiat Akashah, jangan lepaskan peluang menonton 'Katerina' di pawagam bermula 29 November ini!

    SINOPSIS:

    Kisah 'Lagenda Budak Setan 2 - Katerina' bermula 6 bulan selepas kematian Ayu. Kasyah yang masih bermurung atas kehilangan isteri tersayang mencurahkan kasih sayangnya kepada anak mereka,

    Katerina juga semakin pulih kekuatannya untuk berdepan semula dengan Kasyah. Ketabahan dan ketenangan Kasyah masih menyerlahkan senyuman dibibirnya meskipun kehilangan orang tersayang, benar-benar buatkan Katerina mengaguminya. Kemesraan mulai terjalin semula antara keduanya.

    Mereka merancang untuk bertunang namun ditentang oleh ibu Kate, Sofea. Tak mungkin dia menerima Kasyah sebagai menantu setelah dia kematian isteri. Kate tetap berkeras mahukan pertunangan tersebut hinggakan kedua orang tuanya terpaksa menurut.

    Namun, ayahnya, Sofean, punyai muslihatnya sendiri meskipun dia menyatakan persetujuannya. Ketika yang sama, Hisyam, bekas kekasih Kate yang masih menggilainya muncul kembali, mencetuskan kekecohan.

    Pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh Kate dan Kasyah yang telah memutuskan ikatan pertunangan mereka.

    Masa berlalu, Athirah pun sudah menjangkau usia 2 tahun. Kasyah masih murung, begitu juga Kate. Kedua mereka terluka hati. Antara mereka masih ada rasa saying yang menebal. Kate mengambil keputusan mengahwini Hisyam dengan hasrat menyakiti hati Kasyah.



    Sementara Kasyah, membesarkan anaknya dengan bantuan abangnya, Iskandar. Iskandar yang telah bercerai terpaksa kembali semula ke rumah peninggalan keluarga yang diduduki Kasyah. Malangnya, selain bercerai, Iskandar juga tidak punyai pekerjaan tetap. Kasyah berusaha membantu abangnya itu.

    Suatu hari, abangnya itu meninggal dunia kerana kemalangan. Anak kesayangannya, Athirah juga turut meninggal dunia tidak lama selepas itu kerana jangkitan kuku dan mulut. Kasyah kini tinggal sendirian, kesepian. Dia kehilangan segala yang disayanginya.

    Pada masa yang sama, Kate pula nekad untuk meninggalkan Hisyam. Sofean terkejut mendengar keputusan anak kesayangannya itu. Kate menyatakan kejadian sebenar tentang Hisyam dan sebab-sebab dia mengahwini Hisyam. Kini, barulah dia mengerti bahawa Kate selama ini tak bahagia.

    Beliau menyalahkan dirinya kerana menjadi punca memisahkan Kate dengan Kasyah. Sofean benar-benar menyesal. Kasyah perlu dicari dan menyatakan kebenaran. Suatu pagi, tanpa diduga Kasyah menghubungi Kate semula. Apakah kesudahan kisah cinta mereka?

    Esma Daniel Tidak Kecewa 'Zaiton Ceritaku' Gagal


    WALAUPUN menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak, filem 'Zaiton Ceritaku' tetap gagal menarik penonton ke pawagam apabila filem ini hanya mengutip tidak sampai RM100,000 sepanjang seminggu tayangannya.

    Namun, pengarah filem ini, Esma Daniel tidak berasa kecewa dengan sambutan dingin yang diterima.

    "Faktanya filem arahan saya itu gagal mendapat sambutan daripada penonton dan saya tidak menyalahkan pihak panggung menarik keluar ia daripada tayangan dalam tempoh seminggu kerana ia telah termaktub dalam peraturan Syarat Wajib Tayang.

    "Saya terpaksa mengakui hakikat itu kerana pada minggu pertama lagi Zaiton Ceritaku gagal mengutip angka yang memberangsangkan bagi membolehkan ia kekal untuk tayangan," ujarnya yang dipetik dari mStar Online.

    Esma juga merasakan faktor kekurangan promosi menjadi punca kegagalan filem ini namun tidak menyalahkan penerbit yang telah melakukan yang terbaik bagi memastikan karya tu berjaya.

    Sebelum ini, beberapa artis popular tempatan seperti Adibah Nor, Pekin Ibrahim dan Syarifah Amani telah membuat #ZaitonCeritaku di Twitter mengajak pengikut masing-masing menonton filem ini sekaligus menghayati suka-duka kehidupan anak seni bernama Zaiton Sameon ini.

    Vanida Sukar Bercinta Dengan Suami Sendiri Dalam Filem


    BIARPUN teruja apabila berlakon sebagai pasangan kekasih bersama suaminya Rashidi Ishak di dalam filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki buat pertama kalinya, namun aktres berkaliber Vanidah Imran akui tugas itu bukanlah semudah yang disangka.

    Ketika Afdlin memberitahu saya dia mahu mengambil Rashidi untuk digandingkan dengan saya ssebagai pasangan kekasih di dalam filem ini, saya terkejut juga. Mungkin ramai yang ingat status kami sebagai suami isteri akan memudahkan lagi perjalanan penggambaran filem ini.

    "Sebenarnya ia lagi sukar kerana walaupun kami ini suami isteri, namun saya dan Shidi tidak boleh terlalu selesa sangat bercinta di dalam filem ini. Sebab kami perlu tonjolkan perasaan cinta sebagai kekasih bukan sebagai suami isteri.

    "Sebenarnya pemilihan Shidi bukanlah disebab dia itu suami saya, tetapi memang Afdlin mahukan dia menjayakan watak Affin, sementara saya pula sebagai Ujie. Mainan emosi merupakan perkara penting dalam filem ini.

    "Nak wujudkan mood bercinta pula bukannya senang, dan kemesraannya juga berbeza bukan macam pasangan yang dah berkahwin. Tetapi apa yang boleh katakan, Afdlin punya sebab tersendiri memilih kami berdua dan bukan disebabkan status saya dan Rashidi,"jelas Vanidah mengenai cabarannya bercinta semula dengan suami dalam Untuk Tiga Hari.

    Bercerita mengenai dunia lakonan, Vanidah akui masih belum puas menjadi anak wayang. Setelah 19 tahun mendambakan diri dalam dunia seni, dia masih menantikan tawaran untuk melakonkan watak dalam filem aksi.

    "Antara watak yang saya belum pernah saya jayakan sepanjang bergelar pelakon adalah berlakon dalam filem aksi. Mungkin kerana imej yang sering dilakonkan lebih terarah kepada kewanitaan, tapi sebenarnya saya ini bukanlah terlalu sangat mahu 'kontrol' ayu.

    "Tetapi tidak dinafikan, setelah 19 tahun berlakon ada ketikanya saya akan memilih watak-watak yang ditawarkan. Semua ini dilakukan demi mencari kepuasan untuk menjayakan sesebuah watak. Bukan kerana saya sudah lama berlakon.

    "Namun begitu kejayaan sebuah filem atau produksi itu bukan hanya terletak di bahu pelakon semata-mata tetapi pengarah dan juga skrip memainkan peranan yang sangat besar. Dapat dilihat gabungan mantap seperti ini sering mencipta kejayaan kepada sesebuah filem dan produksi itu,"jelas aktres yang terkenal dengan lakonan mantapnya itu.

    Selain Rashidi dan dirinya, filem Untuk Tiga Hari yang diadaptasi daripada novel karya Ahadiat Akasha ini turut dijayakan pelakon lain seperti Ayu Raudhah, Dira Abu Zahar, Ainul Aishah, Zizan Nin serta Afdlin Shauki sendiri.

    Filem ini bakal ditayangkan di pawagam pada 20 September ini.

    Afdlin Shauki Arahkan Filem Genre Romantik Pertama


    SEBELUM ini, Afdlin Shauki memang cukup sinonim dengan mengarah filem-filem bergenre komedi yang telah berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengarah filem yang berada dalam kelasnya tersendiri.

    Namun, selepas beliau membaca skrip filem "Untuk Tiga Hari", pandangannya terhadap filem cinta yang sebelum ini baginya adalah sesuatu yang klise dan tiada apa yang menarik untuk diceritakan, beliau perlahan-lahan berubah sehinggalah beliau memberanikan dirinya untuk mengarahkan filem bercorak cinta yang sememangnya lain daripada yang lain.

    Menurut Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, filem yang diadaptasi daripada sebuah novel terlaris tulisan Ahadiat Akashah, ianya bukanlah kisah cinta biasa seperti mana yang sudah ditonton sebelum ini kerana ia memaparkan kisah yang sedikit pelik.

    "Selepas saya baca buku ini, saya cakap pelik cerita ini, tapi ia sesuatu yang berlaku, dan saya tahu banyak cerita cinta terhalang ini berlaku di kalangan masyarakat kita, cuma kali ini kita mahu menvisualkannya," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pra tonton "Untuk Tiga Hari" di GSC Pavilion, Kuala Lumpur.

    Tambah Afdlin lagi, baginya filem ini agak mencabar kerana mahu menampakkan jalan cerita sebenar dan filem tidak lari.

    "Bukan mudah sebenarnya untuk adaptasi semua cerita dalam novel ke filem. Jadi saya terpaksa pilih babak-babak penting dengan mengolahnya kepada bentuk sedikit komedi.
    Katanya lagi, filemnya kali ini sebenarnya telah melebihi jumlah masa yang biasa ditayangkan di pawagam, dan mereka terpaksa memotong banyak babak-babak menarik untuk menjadikan filem tersebut berdurasi 1 jam 30 minit.

    "Kalau nak tahu, saya terpaksa potong banyak babak-babak menarik. Sehinggakan watak Nabil Raja Lawak yang sepatutnya dalam filem ini pun kena buang. Mujurlah dia faham situasi ini," jelasnya.

    Filem terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd ini turut dibintangi Afdlin Shauki, Vanidah Imram, Rashidi Ishak, Zizan Nin, Zizan Razak, Dira Abu Zahar dan Ainul Aishah.

    "Untuk Tiga Hari" ini bakal menemui penonton pada 20 September ini.

    CICAKMAN 3 - FILEM MALAYSIA PERTAMA FORMAT TAYANGAN 3D


    SELEPAS menghasilkan filem Melayu pertama yang bakal ditayangkan dalam format tiga dimensi (3D) iaitu "29 Februari" yang akan mula ditayangkan pada 30 Ogos ini. KRU Studios akan meneruskan dalam menghasilkan filem berformat 3D untuk filem terbaru terbitan KRU, "Cicak-Man 3" yang akan memulakan penggambaran pada Oktober ini.

    Menurut Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, filem "Cicak-Man 3" ini tidak akan dirakam menggunakan kamera dua lensa seperti yang dilakukan pada filem "29 Februari", sebaliknya hanya akan menggunakan satu lensa, dan pengalihan ke bentuk 3D hanya akan dilakukan ketika proses pasca produksinya.

    Cicak-Man 3, filem 3D terbaru KRU Studios
    "Dengan cara itu, kos penggambaran dapat dijimatkan, walaupun perbelanjaan ketika proses pasca produksi dijangka lebih tinggi," kata Norman kepada Berita Harian.
    Tambahnya, filem "Cicak-Man 3" ini bakal memperlihatkan perubahan besar pada barisan pelakon, namun Norman enggan mendedahkan dahulu pelakon yang bakal membintangi filem adiwira itu.

    Yusry akan kembali mengarah filem ketiga "Cicak-Man", dimana ia merupakan filem kelima arahannya selepas "Cicak-Man", "Cicak-Man 2", "Hikayat Merong Mahawangsa" dan "Vikingdom".

    Sementara itu, Norman memberitahu, mereka akan menggunakan kepakaran luar untuk arahan aksi.
    "Rekaan aksi kita belum mencapai tahap antarabangsa. Jadi kami gunakan dulu pelakon lagak ngeri utama dari luar. Dengan cara ini, kita dapat belajar daripada kepakaran luar ini," kata Norman yang sebelum ini pernah menggunakan pakar lagak ngeri luar negara untuk filem "My Spy", "Merong Mahawangsa", dan "Vikingdom".

    TRAILER FILEM HANYUT (ALMAYER'S FOLLY) ARAHAN UWEI DILANCARKAN!


    TRAILER filem arahan pengarah tersohor U-Wei Hj Saari, Hanyut dilancarkan di laman sosial Youtube malam tadi. Filem yang dibintangi oleh Peter O'Brien, Sofia Jane, Khalid Salleh, Adi Putra dan Diana Danielle itu bakal ditayangkan kepada umum tidak lama lagi.

    Ditulis berdasarkan novel Almayer's Folly tulisan Joseph Conrad, filem epik tersebut mengisahkan tentang Almayer, seorang peniaga Belanda yang berjuang untuk meneruskan kehidupannya di Borneo pada pertukaran abad ke-19. Dia berimpian untuk menemui gunung emas yang dianggap mitos, tetapi ditentang oleh isterinya yang licik, kerajaan penjajah, intrik politik dari pusat daerah dan pedagang Arab, dan cinta putrinya terhadap seorang pahlawan Melayu yang inginkan kebebasan.

    Untuk perkembangan terkini mengenai filem epik ini, sila layari www.hanyut-almayersfolly.com.

    Setelah menyaksikan trailer tersebut, apa komen anda mengenai filem terbaru arahan U-Wei ini?

    'EK THA TIGER' SALMAN KHAN DILANDA KONTROVERSI LAGI!


    PEMINAT Salman Khan pastinya tak sabar melihat aksi beliau dalam filem terbaru. Namun filem "Ek Tha Tiger" yang bakal diriliskan pada musim Aidilfitri di seluruh dunia nampaknya sedang menghadapi masalah apabila terpaksa berhadapan dengan beberapa kontroversi.

    Sebelum ini, pihak kerajaan Pakistan telah memutuskan untuk mengharamkan tayangan filem tersebut yang dikatakan menggambarkan perisik kerajaan Pakistan, ISI secara negatif. Walaupun mempunyai ramai peminat di Pakistan, tetapi peminat Salman Khan tidak berpeluang menonton walau hanya sebuah trailer sekalipun.

    Kini, datang pula seorang lelaki bernama Vikram Vashishta yang mempunyai isu dengan filem tersebut.
    Menurut laporan Masala, Vikram telah melihat trailer filem dan mengatakan bahawa jalan cerita sama dengan kisah arwah bapa saudaranya, Ravindra Kaushik, yang secara kebetulan merupakan seorang perisik kerajaan India dan pernah dihantar ke Pakistan.

    Persamaan itu sangat membimbangkan Vikram, yang telahpun menghantar notis undang-undang kepada syarikat produksi Yash Raj Films, berserta dengan sebuah tuntutan untuk melihat skrip asal filem ataupun tontonan peribadi filem sebelum ianya diriliskan pada 15 Ogos. Salinan notis undang-undang tersebut turut dihantar kepada Lembaga Pensijilan Filem (CBFC) serta Persatuan Penerbit Filem & TV dan Persekutuan Filem India.

    HANTU GANGSTER - NAMEWEE MASIH BIMBANG...



    PENGARAH FILEM dan penyanyi rap Namewee berkata dia masih bimbang dengan penerimaan masyarakat ekoran kontroversi video menghina lagu Negaraku yang pernah dicetuskan olehnya sebelum ini.
    Pemilik nama penuh Wee Meng Chee, 29, berkata, walaupun kontroversi yang berlaku pada sekitar 2007 itu sudah selesai, dia masih tertanya-tanya adakah masyarakat Malaysia sudah dapat memaafkan kesilapannya.
    “Saya sering disalahertikan dalam perkara yang saya lakukan. Sebagai contoh, 95 peratus kandungan lagu rap dan filem saya memaparkan mesej positif, keharmonian dan kasih sayang tetapi kandungan berunsur kontroversi sebanyak 5 peratus juga yang dapat perhatian khalayak.
    “Terus-terang, sehingga kini saya masih tertanya-tanya sama ada masyarakat sudah dapat menerima saya sepenuhnya selepas apa yang tercetus (kontroversi video) sebelum ini,” luahnya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
    Namewee menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menghina negara melalui lagu Negaraku di laman YouTube pada 2007. Kes itu bagaimanapun ditutup selepas pihak polis berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan.
    Katanya, perasaan bimbang itu sekaligus membuatkan dia enggan meletakkan sebarang sasaran kutipan terhadap filem keduanya berjudul Hantu Gangster yang mula ditayangkan pada 9 Ogos depan.
    “Kutipan filem pertama Nasi Lemak 2.0 ditayangkan pada 8 September 2011 adalah sebanyak RM7 juta, membuatkan saya tidak berani letak sasaran tertentu pada filem kali ini.
    “Jujurnya, saya bimbang kalau orang belum dapat melupakan kontroversi itu sekaligus menjejaskan kutipan Hantu Gangster pula.
    “Sebab itu. saya tiada masa hendak fikir mengenai soal kutipan. Saya hanya harap kutipan filem kali ini konsisten dan tidak mengecewakan,” ujarnya.
    Mengenai Hantu Gangster yang bertemakan dunia gengster, Namewee berkata, dia mendapat ilham tema berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan datuknya di Muar, Johor.
    “Saya dapat ilham filem ini daripada kisah sebenar hidup datuk saya. Ketika muda dulu, dia menjalankan perniagaan kedai kopi yang sering dikunjungi kumpulan-kumpulan gengster.
    “Menurut cerita datuk, kumpulan-kumpulan gengster ini wujud bagi melindungi kaum dan penduduk dan bukannya untuk menunjukkan kuasa atau bertindak jahat.
    “Dalam filem ini, elemen itu hanyalah metafora atau simbolik kerana di sebaliknya saya mahu paparkan mesej perpaduan antara kaum,” katanya yang kini sibuk di lokasi filem ketiga berjudul Karaking untuk tayangan Tahun Baru Cina nanti.
    Hantu Gangster dibintangi antaranya Namewee sendiri, Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam.
    Ia terbitan Prodigee Media Entertainment dan bakal ditayangkan pada 9 Ogos depan bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya. -mStar

    BLOGGER HANIS ZALIKHA BINTANGI FILEM 'GANGSTER CELOP'!!


    EXCELLENT PICTURES dan Skop Production akan bersatu tenaga membikin filem "Gangster Celop", sebuah filem aksi komedi yang dibintangi oleh Shamsul Yusof, Kamal Adli, Yus Jambu, Azad Jazmin, Reen Rahim serta pelakon baru Hanis Zalikha.

    Produksi yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta ini merupakan sebuah gabungan produksi dua syarikat penerbitan filem tempatan iaitu di antara Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku pengarah dari Excellent Pictures dan Datuk Yusof Haslam sebagai penerbit dari Skop Production.

    Cerita berkisar tentang Shamsul Yusof dan Kamal Adli yang bakal memegang watak bekas samseng berkawan rapat. Mereka baru sahaja keluar dari penjara dan ingin memulakan kehidupan baru.

    Walaubagaimanapun, mereka dihubungi oleh Mat Jambu (Yus Jambu), seorang bekas ketua samseng yang kini memerlukan bantuan mereka untuk menjadi pengawal peribadi kepada Suzana (Hanis Zalikha), anak Jambu yang baru hendak mula berniaga.

    "Melihat situasi industri filem sekarang, gabungan ini boleh memberikan sebuah peluang untuk menghasilkan idea, kreativiti, modal dan kerja yang boleh menarik perhatian umum," ujar Datuk Yusof Haslam, yang turut mengatakan kolaborasi ini merupakan sebuah langkah yang besar dalam industri filem tempatan.

    "Kolaborasi ini boleh membuahkan fenomena baru dalam industri filem, yang mana ianya bukan sahaja berkaitan kolaborasi dua syarikat, malah ini antara fenomena baru dalam bidang lakonan apabila Hanis Zalikha, seorang blogger terkenal yang juga merupakan seorang model, turut berlakon dalam "Gangster Celop"," ujar Ahmad Idham.

    Penggambaran utama "Gangster Celop" sudahpun bermula di kawasan Lembah Klang dan berkemungkinan akan diriliskan pada tahun 2013.

    14 TRIVIA MENARIK FILEM "THE AMAZING SPIDER-MAN"


    Sempena sedang hangat penayangan "The Amazing Spider-Man" di pawagam-pawagam berdekatan anda, kami senaraikan beberapa fakta tentang adiwira lelabah kesayangan ramai ini.

    01. Pada Januari 2010, Sony Pictures mengumumkan bahawa mereka telah membatalkan idea filem "Spider-Man 4" arahan Sam Raimi dan lakonan Tobey Maguire dan akan memulakan kembali francais ini dengan kisah dan barisan pelakon baru.


    02. Antara barisan pelakon yang menjadi pilihan untuk watak Peter Parker/Spider-Man adalah Taylor Lautner ("Twilight"), Josh Hutcherson ("The Hunger Games"), Joseph Gordon-Levitt ("Inception"), Robert Pattinson ("Twilight"), Daniel Radcliffe ("Harry Potter"), Michael Cera ("Scott Pilgrim") dan Zac Efron ("High School Musical"). Namun akhirnya pengarah Marc Webb memilih Andrew Garfield ("The Social Network") kerana "...kombinasi kebijaksanaan, kemanusiaan dan kelucuan yang jarang ada pada seseorang."


    03. Pada awalnya produksi mahu menawarkan watak Dr. Curt Connors/The Lizard kepada Michael Fassbender. Namun Fassbender telah dipilih untuk melakonkan watak Magneto dalam "X-Men: First Class". Lalu watak tersebut diberikan kepada Rhys Ifans.


    04. Kedua-dua Spider-Man yang lama, Tobey Maguire dan yang baru, Andrew Garfield pernah berlakon dalam filem Terry Gilliam sebelum menjadi Peter Parker/Spider-Man. Maguire muncul dalam "Fear And Loathing In Las Vegas" dan Garfield pula dalam "The Imaginarium Of Doctor Parnassus". Kedua-dua buah filem itu turut dilakonkan oleh Johnny Depp.


    05. Antara barisan pelakon wanita yang dicalonkan untuk watak heroin filem ini termasuk Ashley Greene ("Twilight"), Mia Wasikowska ("Alice In Wonderland"), Amber Heard ("Drive Angry"), Dianna Agron ("Glee"), Lindsay Lohan ("Just My Luck"), Emily Browning ("Sucker Punch"), Lily Collins ("Mirror Mirror"), Anna Kendrick ("Scott Pilgrim"), Mary Elizabeth Winstead ("Abraham Lincoln Vampire Hunter") dan Hilary Duff ("A Cinderella Story"). Semuanya dikalahkan aktres baru, Emma Stone ("Easy A").


    06. Ini merupakan filem "Spider-Man" yang pertama di mana watak kekasih Spider-Man bukanlah Mary-Jane Watson, tetapi teman wanita asal Parker, Gwen Stacy.


    07. Rhys Ifans enggan menggunakan pelakon lagak ngeri untuk wataknya sebagai The Lizard kerana ingin melakukan sendiri semua aksi ngerinya.


    08. Dalam filem ini, watak Kapten George Stacy membangkang semua aktiviti Spider-Man manakala Gwen Stacy sedar dan sangat menyokong peranan Peter Parker sebagai Spider-Man. Ini sangat berbeza dengan komik asalnya, di mana George Stacy yang menyokong Parker manakala Gwen Stacy menyalahkan Spider-Man atas kematian bapanya, menyebabkan Parker merahsiakan identiti sebenarnya daripada Gwen.


    09. Sebagai persediaan untuk melakonkan watak Spider-Man, Andrew Garfield mengkaji pergerakan labah-labah dan cuba menirunya sebaik mungkin. Jelas Garfield, "Parker bukan sahaja seperti labah-labah melalui kostumnya, tetapi juga melalui pergerakannya."


    10. Dalam filem ini, Spider-Man menggunakan peralatan tersendiri untuk mengeluarkan sawang dari tangannya, diilhamkan daripada komik asal. Marc Webb menjelaskan bahawa mereka memilih gajet dan bukan kuasa adiwira untuk menekankan kebijaksanaan dan keistimewaan Peter Parker.


    11. Rakan Denis Leary yang juga seorang peminat Spider-Man mengatakan bahawa ketika kali pertama dia bertemu Leary, dia sangka Leary adalah George Stacy. Disebabkan itu Leary mendapat ilham untuk mencuba nasib dalam ujibakat dan sekaligus ditawarkan watak Kapten Stacy.


    12. Pihak produksi membuat keputusan untuk melakukan kebanyakan lagak ngeri di atas pelantar dan mengurangkan penggunaan animasi CGI. Marc Webb menjelaskan bahawa dia mahu filem itu lebih banyak menekankan aksi dan realistik.


    13. "The Amazing Spider-Man" ditayangkan pada Hari Ulang Tahun ke-50 Spider-Man.


    14. Ramai yang menyangka Emma Stone mewarnakan rambutnya yang merah menjadi perang untuk memainkan watak Gwen Stacy yang sememangnya seorang yang berambut perang. Namun sebenarnya pelakon "Zombieland" itu memang asalnya berambut perang.

    [FOTO] AYUNYA NORA DANISH BERTUDUNG DALAM FILEM 2 KALIMAH... @Nor4Danish @Shaheizy_Sam


    Mengapa foto-foto seksi Nora Danish yang menjadi perbualan hangat bila ada sisi yang lebih positif boleh ditonjolkan? Ini antara foto-foto dari MIG Pictures dari filem 2 Kalimah yang masih lagi dalam proses pengambaran di sekitar Terengganu. Filem ini turut dibintangi oleh Shaheizy Sam & Yana Samsudin... Nantikan 2 Kalimah di pawagam!!



    MADAGASCAR 3 DALAM FORMAT 3D - LEBIH MENGUJAKAN!!


    Alex, Marty, Gloria, dan Melman kini kembali menghangatkan pawagam setelah empat tahun menyepikan diri. Kali ini empat sekawan ini menempuh pelbagai cabaran lagi untuk pulang ke Kota New York selepas terkandas di Afrika.

    Memandangkan ini kali ini filem dihasilkan dalam format 3D, pengalaman menonton menjadi lebih seronok dan menghiburkan. Kesan-kesan khas yang dicipta juga menjadi. Kalau dapat ditonton dalam format IMAX pasti lebih hebat pengalamannya. Elemen warna-warni yang ditampilkan. Cukup cantik dan tidak keterlaluan kalau dikatakan ia mencetuskan mood gembira. Paling sesuai kalau menontonnya ketika tertekan dengan bebanan tugas.

    Selain itu, kemunculan beberapa watak baru yang comel dan melucukan. Vitaly Stefano dan Gia antara watak yang membantu menghidupkan jalan cerita. Vitaly merupakan seekor harimau Rusia yang mengetuai sekumpulan haiwan sarkas. Walaupun nampak berkeyakinan, Vitaly sebenarnya seekor harimau yang patah hati kerana satu insiden yang tidak diingini. Gia pula seekor harimau bintang cantik. Dia sentiasa ingin mempelajari sesuatu yang baru dan paling menarik, Gia dan Alex saling tertarik. Manakala Stefano, seekor singa laut yang melucukan. Setiap kali Stefano beraksi, pasti mengundang gelak-ketawa.

    Seperti filem-filem animasi lain, Madagascar : Europe’s Most Wanted tidak terkecuali daripada menghidangkan lagu-lagu popular sebagai pelengkap cerita. Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Gonna Make You Sweat (Everybody Dance Now), Hot in Herre, Afro Circus/I Like to Move It, Light The Hoop On Fire dan tidak ketinggaan single popular Katy Perry, Firework.

    Secara keseluruhan, sekuel ketiga ini lebih melucukan berbanding Madagascar : Escape To Africa. Cuma, agak terkilan kerana durasinya terlalu pendek iaitu hanya 85 minit. Mungkin perkara ini disengajakan bagi membuatkan peminat tertunggu-tunggu kemunculan Madacasgar akan datang.

    JALAN KEMBALI: BOHSIA 2 - KAUT RM3 JUTA DALAM MASA 4 HARI!! @burnsoul4u


    Pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof tampil dengan filem sekuel aksi "Jalan Kembali: Bohsia 2" apabila berjaya menarik perhatian penonton untuk menonton karyanya yang tidak pernah mengecewakan setakat ini.

    Dengan kehadiran filem aksi lain seperti "KL Drift" dan "Evolusi KL Drift" dimana berjaya menaikkan nama pengarah muda ini sebagai pengarah terbaik di dalam Anugerah Festival Filem Malaysia yang ke – 23 (FFM 23) yang lalu telah berjaya menambat hati penonton dengan genre yang diketengahkan pengarah muda ini.


    Menurut laporan yang diterima pihak Skop Production, kutipan untuk filem terbaru keluaran mereka iaitu "Jalan Kembali: Bohsia 2" berjaya mendapat kutipan memberangsangkan iaitu sebanyak RM 3 Juta selepas 4 hari ditayangkan.

    Filem ini merupakan antara filem yang berjaya meriah kutipan paling tinggi di awal penayangan buat masa ini berbanding filem-filem tempatan yang lain yang telah ditayangkan selepas kejayaan filem "Ombak Rindu".


    Filem yang mula ditayangkan pada 7 Jun yang lalu dibintangi pelakon hebat dari Salina Saibi, Nabila Huda, Soffi Jikan dan juga Syamsul Yusof. -CinemaOnline

    SHAMSUL YUSOF SURUH PELAKON MAKI IMAM??



    FILEM sentuhan Syamsul Yusof kebanyakannya tergolong dalam genre aksi kecuali filem seram Khurafat. Terbaharu, Syamsul muncul dengan filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang telah menemui penonton di pawagam bermula semalam, 7 Jun.
    Masih mengekalkan elemen pelesit rempit yang menjadi teladan kepada masalah sosial dalam sekuel pertama filem itu, menerusi sekuel kedua ini, Syamsul menyuntik elemen islamik dan juga komedi.
    Mempertaruhkan bakat Nabila Huda, Salina Saibi, Zizan Razak, Sofi Jikan dan juga Syamsul sendiri selaku pengarah dan pelakon, sekuel filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu menelan kos sebanyak RM2.1 juta itu mengundang kontroversi kerana terdapat babak menghina imam masjid yang berlaku di depan masjid.
    Bukan itu sahaja, kehadiran watak antagonis, Keting lakonan berkesan oleh Sofi serta komedi bersahaja oleh Zizan berjaya menghangatkan filem tersebut tetapi kerana kelantangan watak mereka berdua secara tidak langsung telah mendominasi watak-watak utama yang lain. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syamsul baru-baru ini.
    Kosmo!: Apakah yang menyebabkan Syamsul berani untuk tampil dengan sekuel filem Jalan Kembali: Bohsia 2?
    SYAMSUL: Filem Jalan Kembali: Bohsia 2 merupakan filem kritikan sosial, melihat kepada sambutan sekuel pertama dan juga selepas meneliti selera penonton yang gemarkan filem aksi, drama serta komedi saya yakin filem ini boleh diterima oleh penonton.
    Masih relevankah filem mengenai bohsia pada masa kini?
    Bagi saya masih relevan kerana setiap gejala sosial yang dipaparkan dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2 masih berlaku dan sedang berlaku. Saya harap menerusi filem ini, selain berhibur dapat memberi kesedaran kepada mereka yang menontonnya.
    SYAMSUL mempunyai alasan tersendiri kenapa dia menyelitkan babak seorang imam masjid dimaki dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2.


    Babak Keting (lakonan Sofi Jikan) menghina seorang imam di hadapan masjid dilihat seolah-olah menghina agama Islam. Syamsul sedar atau tidak sensitiviti masyarakat sebelum melakukan babak itu?
    Saya sedar sensitiviti masyarakat tetapi babak itu merupakan pilihan terbaik untuk menggambarkan betapa jauh terpesongnya watak Keting itu apabila dia hanyut dalam dunianya sendiri. Babak itu dibikin bukan untuk cipta kontroversi tetapi memberi gambaran sebenar serta menyuntik kesedaran. Sofi pun sebenarnya menasihatkan saya supaya lembutkan sedikit babak itu kerana dia bimbang, tetapi selepas diterangkan maksud di sebalik babak itu dia akhirnya bersetuju melakonkannya.
    Meskipun Jalan Kembali: Bohsia 2 diterajui oleh lima orang pelakon tetapi watak lakonan Sofi dan Zizan lebih menonjol serta menjadi daya penarik di dalam filem ini. Komen Syamsul?
    Zizan dan Sofi Jikan, memang pelakon yang bagus kerana itu saya memilih mereka untuk memberi nafas baharu dalam sekuel Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini. Saya sebenarnya mengawal mutu lakonan mereka supaya seimbang dengan watak yang lain tetapi terpulang kepada penonton jika mereka melihat watak Sofi dan Zizan yang lebih cemerlang.
    Apakah cabaran dalam menghasilkan filem ini?
    Saya menulis skrip, mengarah dan berlakon secara serentak tetapi cabaran utamanya ialah menghasilkan skrip yang menarik perhatian penonton. Melihat hasilnya saya cukup berpuas hati, saya amat berharap Jalan Kembali: Bohsia 2 mendapat tempat di hati peminat filem tempatan. -KOSMO!

    K-POP VERSI YANA & SHAHEIZY SAM!!


    Industri perfileman tempatan kini semakin bertambah meriah dengan penayangan dua buah filem seminggu. Dalam kerancakkan ini, Pencil Pictures tampil buat pertama kalinya mempertaruhkan filem yang berjudul Aku Ada, Kau Ada ???. Filem bergenre romantik komedi ini memaparkan kisah cinta remaja yang bermula dari perasaan benci dan dendam yang lama-kelamaan bertukar suka antara satu sama lain. Aku Ada, Kau Ada ??? bakal menemui penonton di seluruh negara pada 24 Mei ini.
    Aku Ada, Kau Ada ??? menampilkan dua bintang yang mendapat jolokan pasangan serasi iaitu Shaheizy Sam dan Yana Samsudin. Dalam filem ini, mereka perlu memainkan watak yang begitu berbeza daripada filem-filem lakonan mereka yang sebelumnya. Di samping itu, pelakon-pelakon lain yang turut sama menjayakan watak dalam filem seperti Kamal Adli, Angah Raja Lawak, Sheila Mambo, Siti Chubby dan ramai lagi. Turut memperkenalkan Wanna Ali dan Sufian Ali, pelakon baru yang cuba di asah bakatnya yang bakal mewarnai dunia seni tanah air.
    Rahila Ali, pengarah yang sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam dunia pengarahan drama, muzik video dan program hiburan diberi tanggungjawab merealisasikan karya ini dalam bentuk visual. Walaupun Aku Ada, Kau Ada ??? percubaan pertama beliau dalam pengarahan filem, dengan komitmen yang tinggi beliau yakin dengan hasil yang telah diberikan. Diharapkan buah tangan pertama dari Rahila Ali mendapat sokongan yang menggalakkan di samping mahukan penonton terhibur dengan jalan cerita yang dipaparkan.
    Menyedari tentang perkembangan produk filem luar negara terutama dari negara Korea Selatan kini semakin mendapat tempat di hati peminat negara kita, Pencil Pictures sepakat untuk menjalankan penggambaran di sana sebagai lokasi yang sesuai untuk dijadikan latar tempat bagi filem ini. Selain itu, filem ini turut merakamkan beberapa runut bunyi (soundtrack) seperti Begini Caranya, Baby Crazy, Halus Berbisa dan 2M yang dinyanyikan oleh pelakon-pelakon filem ini sendiri bagi menambahkan keistimewaan filem ini.
    Aku Ada, Kau Ada ??? merupakan filem edaran Metrowealth (MIG). Pencil Pictures percaya kerjasama yang dijalinkan dengan MIG ini merupakan peluang yang baik dalam mempromosi Aku Ada, Kau Ada ??? di seluruh negara. Pihak Pencil Pictures mengharapkan filem ini mendapat penerimaan yang positif daripada semua pihak dan seterusnya mendapat tempat di hati semua. Dengan sokongan berterusan akan menjadi pembakar semangat kepada pihak produksi untuk berterusan menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk meningkatkan lagi industri perfileman negara kita. -sinemamalaysia

    'THE AVENGERS' TEWAS KEPADA 'MEN IN BLACK 3'


    Filem box office "Men In Black 3" telah berjaya mendapat AS$55 juta (RM172 juta) pada minggu pertama ia ditayangkan, sekaligus menewaskan filem superhero "Marvel's The Avengers" untuk berada di tangga kedua.

    Dipetik daripada Hollywood.com, filem "Marvel's The Avengers" mendapat AS$37 juta (RM116 juta) pada minggu pertama ia ditayangkan, walaubagaimana pun telah mencipta sejarahnya tersendiri apabila "Marvel's The Avengers" merupakan filem paling cepat mendapat kutipan melebihi angka lima ratus juta iaitu sebanyak AS$513.7 juta (RM1.6 billion) dalam masa 23 hari tayangannya.

    Filem lakonan penyanyi terkenal, Rihanna, "Battleship" berada di tempat ketiga dengan kutipan sebanyak AS$44.2 juta (RM138.9 juta), manakala filem "The Dictator" di tempat ke empat dengan AS$41.4 juta (RM130.2 juta) dan tempat ke lima "Chernobyl Diaries" dengan AS$8 juta (RM25 juta).