NURUL Imani berjalan
perlahan-lahan menyusuri laluan di taman permainan itu. Hanya seorang diri,
tanpa berteman. Kejap-kejap dia tersenyum melihat gelagat kanak-kanak yang riuh
rendah, berlari-lari bermain papan gelungsur dan jongkat jongket. Kejap- kejap
dia melihat kenderaan yang tidak putus-putus lalu lalang di jalanan. Kemudian
dia duduk di sebuah bangku kosong, lantas melontar pandangan ke arah tasik yang
luas terbentang di hadapan matanya. Yang dipenuhi beberapa ekor swan putih dan
juga kura-kura yang tenggelam timbul.
‘Huhh......’ keluar satu keluhan daripada mulut Imani tanpa dia
sendiri menyedari. Kedua belah tangannya diraup lembut ke wajahnya. Serta merta
suara ibu yang dikasihi terngiang-ngiang lagi di telinganya.
‘Imani dan 25 tahun sekarang. Dah sampai masanya Imani hidup berkeluarga
macam kawan-kawan yang lain. Imani tak ada impian ke nak ada suami dan anak?’
Suara si ibu yang lembut tapi bernada tegas itu pantas ditangkap telinganya
walaupun ketika itu Imani di dapur dan ibunya berada di ruang tamu bersama ayahnya.
Imani sekadar diam membatu, tidak
menjawab. Dipilihnya untuk mengunci mulut sahaja. Tangannya laju menyambung kembali
kerja mencuci pinggan mangkuk yang tergendala sebentar.
‘Nurul Imani. Dengar tak ibu cakap ni?’ Imani dapat mendengar dengan jelas suara
ibunya mula berubah nada. Mungkin geram apabila soalan yang diajukan sengaja
tidak diendahkannya.
‘Dengar bu,’ Imani menjawab lemah sebelum menghabiskan cucian
pinggan yang terakhir. Kemudian dia mengeringkan tangan dan berjalan menuju ke
ruang tamu. Dia melihat ibunya sedang bersila melipat kain di lantai manakala
ayahnya sedang membaca surat khabar. Dia kemudian mengambil tempat duduk di
sofa bertentangan dengan ayahnya.
‘Imani ada ‘kawan’ senyap-senyap ke? Cuma selama ni tak bagitau ibu ngan
ayah?’ ternyata ibunya belum mahu menukar topik yang dibincangkan sebentar
tadi. Imani menelan air liur. Gugup. Itu bukanlah kali pertama ibunya bertanya
tentang kisah peribadinya. Sudah banyak kali. Cuma kali ni Imani mendengar
sendiri nada ibunya yang benar-benar serius dan juga berbaur risau.
Mendengarkan soalan yang
diajukan, ayah Imani menurunkan surat khabar yang dipegangnya dan memandang
wajah anak dara sulungnya dengan perasaan ingin tahu.
‘Er, tak ada ibu,’ Imani menjawab soalan sambil menggeleng. Itulah
juga jawapan yang diberinya apabila ditanyakan soalan yang sama sebelum ini.
Wajah ibunya terus bertukar hampa. Sekali lagi.
‘Umur Imani akan semakin bertambah. Ibu takut kalau Imani lambat kahwin, nanti
Imani lambat dapat anak. Itupun kalau lambat kahwin. Kalau tak kahwin sampai
bila-bila, lagilah ibu dengan ayah risau. Tak tau dah nak cakap apa,’ kata ibu Imani dengan
bersungguh-sungguh. Imani yang mendengar sekadar menundukkan kepala. Tak
sanggup dilihat raut kehampaan yang entah kali keberapa jelas terpamer di wajah
ibunya itu.
Ingin sahaja Imani jelaskan
kepada ibunya betapa dia teringin untuk merasai kasih sayang dan cinta yang
dicurahkan oleh seorang insan yang bernama suami. Bagaimana cemburunya dia
apabila menghadiri kenduri kahwin rakan-rakannya, dan melihat sendiri sinar
kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka. Bagaimana dia teringin untuk
merasai nikmat mengandung dan melahirkan seorang zuriat yang comel daripada
rahim sendiri. Bagaimana dia teringin untuk menjalani kehidupan dan kewajipan
sebagai seorang isteri dan ibu, dengan memasak, mengemas rumah, menguruskan
anak dan menjaga keperluan suami. Bagaimana Imani ingin sekali agar ibu dan
ayahnya tahu bahawa dia sudah lama mengimpikan semua itu, cuma Allah masih lagi
belum mengizinkan dia untuk bertemu dengan jodohnya.
‘Kalau ayah carikan calon suami untuk Imani, nak tak?’ ayahnya yang
sedari tadi mendiamkan diri dan sekadar menjadi pendengar, memberikan cadangan.
Melihatkan betapa canggungnya Imani apabila membincangkan topik berkaitan
kahwin, dia yakin bahawa hati anak gadisnya itu masih belum dimiliki sesiapa.
Imani masih diam membisu. Tidak
mengiyakan mahupun menolak cadangan bapanya itu. Namun Imani sedar, jauh di
sudut hati, dia sebenarnya keberatan untuk menerima cadangan ayahnya itu.
Kerana hakikatnya, hatinya
sudahpun dicuri. Dicuri tanpa diketahui oleh si pencuri hati itu sendiri.
‘Ayah buatlah apa-apa yang ayah rasakan terbaik untuk Imani. Imani nak
keluar sekejap, nak pergi kedai beli barang,’ lantas Imani bangun lalu
meninggalkan kedua-dua ibu bapanya yang masih belum berhajat untuk menghentikan
topik perbualan sebentar tadi. Selepas mengenakan tudung dan mengambil kunci
kereta, Imani berlalu meninggalkan rumah.
‘Tengok tu bang, asal bukak topik ni mesti Imani nak lari. Macam mana
kita nak capai kata sepakat?’ rungut ibu Imani sambil tangannya meneruskan kerja
melipat kain.
***
Imani kembali melontarkan
pandangan kearah tasik dihadapan matanya itu. Dia dapat merasakan bayu petang itu
menampar wajahnya dengan lembut. Perlahan-lahan dipejamkan matanya, menikmati
ciptaan Allah yang menenangkan itu. Hilang sebentar kekusutan yang bersarang di
hati dan fikirannya.
Pada saat itu, tanpa diminta,
muncul wajah seorang lelaki di fikirannya. Wajah seorang lelaki yang tidak
pernah sekalipun luput dari ingatannya.
Muhammad Adham.
Lelaki pertama yang dikaguminya
senyap-senyap sejak pertama kali mereka berjumpa, enam tahun yang lalu. Lelaki
yang mampu mencairkan imannya, walaupun hanya sekadar dengan sebuah senyuman
ikhlas yang tidak dibuat-buat. Lelaki yang masih lagi bertahta di hatinya,
meskipun sudah hampir dua tahun mereka terpisah tanpa berhubung antara satu
sama lain.
Imani sedar, dia hanya bertepuk
sebelah tangan. Tidak pernah sekalipun Adham menyedari isi hatinya yang sudah
terlalu lama disembunyikan itu. Lelaki yang hampir sempurna seperti Adham,
sudah pasti digilai ramai gadis. Imani juga sedar, dengan terus-terusan
mencintai lelaki itu, dia hanya menutup pintu hatinya daripada menerima lelaki
lain dalam hidupnya. Oleh sebab itulah dia masih belum mampu untuk mencintai
lelaki lain, kerana Adham masih mendapat tempat yang utuh dalam hatinya. Enam
tahun Imani mencintai Adham dalam diam, dan sudah pasti tidak mudah untuk dia melupakan
lelaki itu dalam sekelip mata.
Imani membuka kembali matanya.
Tanpa disedarinya, ada air mata bertakung di situ, dan perlahan-lahan ia jatuh
dan mengalir. Sungguh Imani sangat rindu kepada Adham. Sudah dua tahun lamanya
mereka terpisah. Kali terakhir Imani melihat wajah Adham, adalah pada majlis
konvokesyen universiti pada dua tahun yang lepas. Pada saat itu, dicelah-celah
orang ramai, Imani melihat Adham melambai tangan kepadanya sambil tersenyum,
sebelum masing-masing terpisah di antara ribuan manusia yang turut membanjiri
dewan konvokesyen tersebut.
Hari pertama selepas tamatnya
majlis konvokesyen, Imani terpaksa memujuk hatinya sendiri yang terus-terusan
mengingati dan merindui Adham. Imani memujuk dirinya untuk menerima hakikat
bahawa mereka kini sudah terpisah membawa haluan masing-masing. Buat pertama
kali dalam hidupnya, Imani merasa betapa peritnya merindui seorang lelaki, yang
tidak pernah sekalipun menyedari rasa rindu itu yang wujud dalam hatinya.
Seringkali apabila hati Imani
resah gelisah, dia mendirikan solat dan membaca Al-Quran untuk melupakan Adham
buat seketika. Imani tahu betapa besarnya dosa apabila dia mencintai seorang
lelaki yang bukan muhrimnya, yang tidak halal untuknya, melebihi rasa cinta
terhadap Allah SWT. Malangnya Imani tidak mampu. Dirinya tidak kuat untuk melawan
kata hatinya.
Apabila Imani keseorangan, wajah
Adham seringkali terbayang di fikiran tanpa diminta. Apabila Imani tidur,
kadangkala Adham muncul dalam mimpinya. Apabila rindunya terhadap Adham dirasakan
tidak tertanggung, Imani melayari Facebook Adham. Malangnya Facebook Adham
langsung tidak aktif selepas mereka tamat belajar. Itulah yang dilakukan Imani
sepanjang enam tahun dia memendam rasa cinta dan rindunya kepada seorang lelaki
bernama Muhammad Adham.
Sudah terlalu banyak kali Imani
cuba melakukan sesuatu untuk membuang Adham daripada terus bersarang dalam hati
dan fikirannya, namun ia tetap tidak berjaya. Imani letih melawan perasaannya
sendiri, sehingga sampai satu saat Imani sedar bahawa dia sudah tidak mampu
lagi untuk mencuba. Akhirnya Imani membuat keputusan, biarlah dia terus mencintai
Adham secara rahsia. Imani yakin, jika Adham bukan jodohnya, pada suatu hari
nanti Allah akan membuang rasa sayang dan rindu dalam hatinya untuk lelaki itu.
Tapi buat masa ini, biarlah dia tetap setia mencintai lelaki itu.
Imani membuka dompetnya. Terdapat
sekeping gambar Adham bersama rakan-rakannya yang lain dicelah-celah ruang dalam dompet itu. Gambar Adham yang
diambil ketika mereka bersama-sama bekerja di bawah satu kumpulan untuk satu
tugasan dalam kelas. Gambar itu pernah sekali cuba dibuang oleh Imani, demi
usahanya untuk melupakan lelaki itu. Namun hatinya tidak betah, dikutipnya
semula gambar itu daripada tong sampah dan disimpan kembali dalam dompetnya.
Sehingga hari ini, tidak pernah sekalipun Imani mengeluarkan gambar itu lagi.
Sebagaimana tersematnya gambar Adham dengan kemas dalam dompet Imani, seperti
itulah tersematnya diri Adham kemas dalam hati Imani, sejak enam tahun yang
lalu.
***
JULAI 2006
Imani melilau seorang diri
mencari-cari dewan kuliahnya di bangunan fakulti kejuruteraan yang tersergam
indah itu. Sudah hampir sepuluh minit dia berseorangan, sambil matanya tidak
berhenti membaca setiap papan tanda yang ada. Sudah beberapa orang pelajar
diajukan soalan, namun jawapan yang diberikan tetap tidak membawa kepada tempat
yang dituju.
‘Mana DKG ni? Sorang kata kat sana, sorang kata kat sini, pening dah
kepala ni’ rungut Imani seorang diri. Peluh mula membasahi dahinya. Beg
yang tersandang dibahunya mula dirasakan berat. Matanya yang sedari tadi
membaca papan tanda mencari arah tuju, sudah semakin kabur pandangannya. Dan
Imani semakin lesu kerana dia masih belum sempat bersarapan pada pagi itu.
Pada saat itulah, ketika Imani
berjalan perlahan-lahan menaiki sebuah anak tangga, seorang lelaki tiba-tiba
menegurnya dari belakang.
‘Cik, cik. Cik pakai tudung biru, tunggu sekejap,’ jerit lelaki yang
berada tidak jauh di belakang Imani. Imani yang menyedari tudung yang
dipakainya itu berwarna biru, segera menoleh kebelakang. Dilihatnya seorang
lelaki bercermin mata, bersama seorang lagi rakannya sedang berjalan menuju
kearahnya.
‘Er, awak cakap dengan saya?’ Imani bertanya bagi mendapatkan
kepastian. Malu pula rasanya jika bukan dia gadis yang dipanggil oleh lelaki
itu sebentar tadi.
‘Yalah cik. Kan awak sorang je yang pakai tudung biru kat sini,’
kata rakan kepada lelaki yang memanggilnya sebentar tadi sambil ketawa. Imani
segera memasamkan muka. Pertanyaan yang ditanya diketawakan pula. Lelaki yang
bercermin mata dihadapannya segera menyiku rakannya apabila menyedari raut
wajah Imani mula berubah.
‘Maaf cik. Tadi saya nampak kad matriks cik jatuh. Ni saya tolong
kutipkan,’ kata lelaki itu sambil menghulurkan kad matriksnya dengan tangan
kanan. Serentak dengan itu, Imani mengerling tudungnya. Kad matriks yang
biasanya tergantung disitu sudah tiada.
‘Oh haahla. Tak perasan pulak tercicir tadi. Terima kasih banyak-banyak
ye,’ Imani cuba mengambil kad matriksnya daripada tangan lelaki itu. Lelaki
itu segera memegang hujung kad tersebut, cuba untuk tidak bersentuhan tangan
dengan Imani. Imani yang memahami, segera menadah tangannya dan lelaki itu
menjatuhkan kad matriks kepunyaannya diatas tangannya. Imani lantas tersenyum sendirian
secara senyap-senyap. Perlakuan lelaki itu sungguh menarik perhatiannya.
‘Sebenarnya, dari tadi saya perasan cik asyik berulang alik kat bangunan
ni. Cik tersesat ke? Nak cari tempat mana?’ lelaki itu yang sedari tadi
menyedari kelibat Imani cuba bertanya, kalau-kalau boleh menghulurkan bantuan.
‘Saya cari Dewan Kuliah G. Saya ada kelas dalam 5 minit lagi, tapi dari
tadi saya cari tak jumpa-jumpa. Penat dah ni,’ Imani bercerita sambil cuba
mengesat peluh di dahi menggunakan belakang tapak tangannya.
‘Eh la. Kitorang pun nak pergi DKG tu. Ni student electrical engineering
la kan? EE221?’ kata rakan lelaki bercermin mata itu dengan semangatnya.
Serta merta riak wajah Imani berubah gembira. Akhirnya dia bertemu dengan insan
yang boleh diharapkan untuk memandunya menuju ke tempat yang betul.
‘Haah, saya student EE221. Syukurlah akhirnya jumpa jugak dengan student
satu course. Saya baru sampai pagi ni, tak sempat nak cari awal2 dewan kuliah
kat mana,’ Imani berkata sambil senyuman terukir di bibir. Terasa macam
hilang satu beban yang sedang digalasnya.
‘Kalau macam tu, jomlah kita pergi kelas sekali. Lagi lima minit kelas
dah nak mula,’ lelaki bercermin mata itu tersenyum sambil mempelawa. Imani
mengangguk dan menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka.
Perlahan-lahan Imani melangkah
mengikuti dua orang lelaki di hadapannya itu. Sempat Imani memandang sekilas
dua orang lelaki yang bakal menjadi rakan sekelasnya itu. Seorang bercermin
mata, perwatakannya sopan. Seorang lagi berkemeja ringkas dan berperwatakan
selamba.
‘Eh, kita belum berkenalan lagi la. Kita dah nak jadi rakan sekelas kan?
Nama saya Ahmad Fahim. Boleh panggil Fahim,’ kata lelaki berkemeja sambil
tersenyum, setelah menyedari Imani sekadar membatukan diri di belakang mereka.
‘Saya Nurul Imani. Boleh panggil Imani,’ Imani memperkenalkan diri
sambil tersenyum. Kemudian mata Imani beralih arah daripada Fahim kepada lelaki
di sebelahnya itu. Lelaki itu yang ketika itu memandang kebelakang dan menyedari
sorotan mata Imani, segera tersenyum.
Senyuman itulah yang tiba-tiba menimbulkan
rasa getar seketika dalam hati Imani. Pada saat itu juga.
‘Saya Adham. Muhammad Adham,’ katanya lagi dengan senyuman yang
masih tidak lekang dari bibir. Senyuman dari sebuah wajah yang bersih yang
sungguh menenangkan hati.
‘Muhammad Adham,’ gumam Imani perlahan seorang diri. Dia tidak tahu,
nama itulah yang bakal tersemat dalam hatinya sekian lama, bermula pada saat
itu sehingga enam tahun yang akan datang...
***
Pertemuan pertama itu akhirnya
memutikkan sebuah persahabatan yang ikhlas antara Imani, Adham dan Fahim. Pada
hari pertama di kelas, Imani mengambil tempat di belakang Adham dan Fahim.
Sementara menanti pensyarah yang lambat masuk, mereka berbual seketika sambil
meneruskan sesi perkenalan. Pelbagai perkara yang mereka bualkan bersama, bermula
dari topik tempat tinggal, sekolah lama, kisah keluarga masing-masing dan
keputusan SPM, semua mereka kongsikan bersama. Imani begitu selesa bersahabat
dengan mereka berdua pada hari pertama pembelajaran pada hari itu.
Dan pada hari itu juga, Imani
berkenalan dengan dua orang pelajar perempuan yang duduk sebaris dengannya di
dalam kelas. Sofia dan Musliha. Sofia seorang gadis yang berperwatakan kasar,
manakala Musliha gadis yang bersifat lemah lembut dan sopan santun. Imani
gembira kerana mendapat ramai rakan baru pada hari pertama di kelas. Ternyata
mereka juga teruja dan bersemangat untuk menempuh kelas pertama pada hari
pertama semester baru, sama seperti dirinya.
Tidak lama kemudian, Encik
Shahril, pensyarah yang ditunggu-tunggu pada kelas pertama pada hari itu
akhirnya tiba. Sebaik sahaja mengucapkan selamat pagi dan memperkenalkan diri,
beliau bersuara dihadapan 130 orang pelajarnya.
‘Sebelum kita memulakan sesi pada hari ini, saya nak seorang pelajar
lelaki pergi ke hadapan kelas dan bacakan doa untuk kita semua. Ada sesiapa
yang sudi?’ kata Encik Shahril sambil memandang seisi kelas.
Serentak dengan itu, para pelajar
lelaki yang mendominasi bahagian belakang dan hadapan dewan mula memandang sesama sendiri. Ada diantara mereka yang saling menolak dan
menuding jari antara satu sama lain. Imani sekadar memerhati sahaja gelagat
pelajar-pelajar lelaki tersebut. Dia yakin tidak akan ada sesiapa yang sudi
menawarkan diri.
Serentak dengan itu, Adham yang
duduk dihadapannya tiba-tiba bangun. Imani terkejut seketika. Perlahan-lahan
Adham berjalan untuk menuju ke hadapan kelas. Sebaik sahaja tiba di meja
hadapan, dia tersenyum kepada Encik Shahril, lalu mengambil mikrofon.
‘Al Fatihah.....’ Adham bersuara sebelum memulakan bacaan doanya.
Kemudian dia menadah tangannya dan membaca doa sambil menundukkan kepala dan
memejamkan matanya. Seisi kelas mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh
Adham.
Tamat membaca doa, Adham kembali
ke tempat duduknya. Mata Imani tidak lekang memerhatikan Adham sehingga dia
duduk kembali. Adham yang menyedari Imani sedang memandangnya, sekadar
memberikan senyuman ringkas. Imani membalas senyumannya. Saat Adham sudah duduk
dan memandang ke depan, Imani masih belum berhenti memandangnya. Pada saat itu,
Imani sedar, ada sesuatu yang luar biasa tentang Adham yang menimbulkan rasa
aneh dalam hatinya. Sesuatu yang sukar diungkapkan bagaimana rasanya, berkaitan
dengan lelaki yang sedang duduk di hadapannya ini. Yang pasti, Imani mula
merasakan jantungnya berdegup kencang. Lebih-lebih lagi apabila melihat
senyuman ikhlas yang diberikan Adham sebentar tadi.
Pada saat itu, Imani tidak sedar,
Musliha yang duduk di sebelah kanannya, juga tidak lepas matanya memerhatikan Adham sedari tadi...
***
Bermula pada hari itu, segala apa
yang dilakukan oleh Adham, meskipun kecil, akan mendapat perhatian Imani.
Bagaimana lembut dan sopannya tutur kata Adham terhadap Fahim dan rakan-rakannya
yang lain, bagaimana khusyuknya Adham menuturkan doa di hadapan kelas,
bagaimana Adham menjaga pergaulannya dengan para pelajar perempuan, bagaimana
Adham senyap menumpukan perhatian terhadap apa yang diajarkan di hadapan kelas
diasaat rakan-rakannya asyik bersembang, semuanya diperhatikan Imani secara
rahsia. Hari demi hari, Adham menjadi seorang lelaki yang semakin istimewa di
mata Imani. Sehinggakan nampak kelibat Adham di kelas sahaja pun, Imani sudah
berasa gembira dan bersemangat pada hari itu. Dan Imani akan sentiasa
memastikan tidak ada seorang pun dikalangan rakannya yang mengetahui rahsianya
yang dipegang utuh itu.
Pada suatu petang, disaat Imani,
Sofia dan Musliha sedang bersembang-sembang sambil menikmati minuman di sebuah
gerai, tiba-tiba sahaja Sofia membuka topik perbincangan yang sangat-sangat
menarik perhatian Imani. Topik yang berkaitan Muhammad Adham.
‘Aku tengok kan, Adham tu, lelaki yang paling perfect la dalam kelas
kita. Dengan baiknya, sopannya, hensemnya. Aku yang susah gila nak sangkut
dengan mana-mana mamat pun boleh cair woo,’ Sofia bersuara sambil memandang
kedua-dua sahabat baiknya itu.
‘Aih, tiba-tiba bukak topik pasal Adham. Ni sah-sah dah jatuh hati kat
Adham betul-betul ni kan?’ Imani bertanya sambil berseloroh untuk cuba
memancing isi hati sahabatnya itu. Sungguh saat itu dia ingin mengetahui isi
hati Sofia. Apakah Sofia juga merasakan sama dengan apa yang dia rasa selama
ini?
‘Haha takdelah Imani. Aku
yang kasar plus lasak ni, manalah padan dengan Adham tu. Orang macam Adham tu,
padan dengan gadis-gadis solehah dan ayu macam Musliha kita ni,’ Sofia
berkata sambil tertawa kemudian dia mengerling Musliha yang duduk di sebelah
kirinya itu.
‘Ey awak ni kan Sofia. Pandai-pandai je tau,’ Musliha berkata
perlahan sambil cuba memukul lengan Sofia. Namun Imani dapat melihat dengan
jelas, pipi Musliha mula bertukar warna menjadi rona kemerahan.
‘Alah Musliha ni malu-malu pulak. Kan ke Adham tu pun nampak macam suka
kat awak je? Mengaku je la, hehe,’ selamba sahaja Sofia mengusik Musliha.
Musliha pula terus membulatkan mata sambil betul-betul memukul lengan Sofia.
Mendengarkan usikan Sofia itu, Imani merasakan jantungnya bagai direntap.
Apakah benar apa yang baru sahaja didengarinya sebentar tadi? Adham menyukai
Musliha?
‘Eh, Adham suka Musliha ke Sofia? Biar betul? Kenapa aku tak tahu?’
Imani cuba untuk mengorek lagi rahsia yang mungkin selama ini tersimpan rapi
daripada pengetahuannya. Aku perlu tahu perkara yang sebenar, getusnya di dalam
hati.
‘Hari tu kan Imani, aku nampak Adham tersenyum kat Musliha bila mereka
bertembung. Lepas tu ada sekali tu aku nampak Adham pass sesuatu kat Musliha.
Bila aku tanya apa dia, Musliha cakap tak ada apa-apa,’ Sofia menyambung
cerita sambil cuba menepis pukulan daripada Musliha. Imani mengerling matanya
ke arah Sofia. Dia dapat melihat wajah Musliha yang putih gebu itu sudah
bertukar menjadi merah padam.
‘Memang tak ada apa-apalah, sebab tu saya tak cerita,’ Musliha
berkata sambil cuba untuk bangun dan berlalu. Sofia sekadar ketawa sambil menarik
tangan Musliha untuk menyuruhnya duduk kembali.
Pada ketika itu, Imani dapat
merasakan perasaannya bercampur baur. Perasaan kecewa, cemburu, luluh, pilu, sakit
hati, semuanya kini bercampur menjadi satu. Melihatkan betapa merahnya wajah
Musliha menahan rasa malu, Imani yakin bahawa Musliha juga meminati Adham
secara senyap-senyap, sama seperti dirinya. Dan melihatkan betapa secocoknya Musliha
yang berwajah ayu, solehah dan bersopan santun itu dengan Adham, Imani yakin
bahawa Adham juga sebenarnya menaruh hati terhadap sahabat baiknya itu. Disaat
Sofia ketawa terbahak-bahak mengusik Musliha yang masih lagi malu-malu, Imani sekadar
tersenyum palsu sambil memerhatikan gelagat sahabat-sahabatnya. Sedangkan
hatinya yang sebenarnya menangis hiba
pada waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu.
***
Selepas sahaja mendengarkan
cerita yang disampaikan Sofia semalam, Imani langsung tidak betah untuk melihat
wajah Adham pada hari hari seterusnya. Setiap kali melihat kelibat Adham di
fakulti, hati Imani terasa sakit yang luar biasa. Malah dia cuba untuk mengelak
apabila menyedari Adham berada berhampiran dengannya. Mengenangkan senyuman
manis Adham itu mungkin sudah menjadi milik Musliha, Imani sedaya upaya menahan
pandangannya daripada terus memerhatikan Adham. Kerana dia tahu apabila
melihatkan senyuman Adham, hatinya akan terasa seperti hendak menangis lagi.
Saat Imani menolak pintu untuk
keluar daripada perpustakaan, dia bertembung dengan Adham dan Fahim yang ketika
itu sedang berjalan untuk memasuki perpustakaan. Mata Imani terbuntang
seketika, lebih-lebih lagi apabila Adham berdiri betul-betul dihadapannya.
Adham juga kelihatan terperanjat melihat Imani yang tiba-tiba muncul di
hadapannya itu.
‘Eh, hai Imani. Lamanya tak tegur kan,’ Fahim yang berada di
belakang Adham berkata riang lalu memecah kesunyian yang tiba-tiba sahaja
terjadi di hadapan pintu masuk perpustakaan itu. Imani sekadar memandang Fahim
yang sedang tersenyum ceria, kemudian matanya dihalakan kearah Adham yang
berada dihadapannya. Serentak dengan itu, Adham yang tidak pernah lekang dengan
senyuman, terus sahaja tersenyum kepada Imani. Senyuman membunuh yang sering
dikenang-kenang oleh Imani.
Imani tidak menjawab sapaan
Fahim. Dia sekadar tersenyum kelat kepada kedua-dua lelaki itu sebelum berlalu.
Imani sedaya upaya menahan dirinya
daripada memandang kembali Adham dan Fahim di belakangnya. Dia tidak mahu
perasaannya terhadap Adham kembali mekar, lebih-lebih lagi setelah melihat
kembali senyuman Adham yang begitu dirinduinya.
Fahim mengangkat kening melihat
reaksi Imani yang tidak disangka-sangka itu. Adham turut terperanjat. Selama
ini Imani yang mereka kenali sebagai seorang gadis yang murah senyuman dan
mesra, tiba-tiba sahaja berubah watak dihadapan mereka pada saat itu.
‘Eh, kenapa dengan Imani? Kita ada buat silap apa-apa ke?’ tanya
Adham kepada Fahim sambil matanya terus memerhatikan kelibat Imani yang semakin
menjauh.
‘Entahlah. Tak tahu. Agaknya dia tengah dalam mood PMS kut. Takpelah,
jom masuk. Kita nak kena cepat ni,’ kata Fahim yang turut memerhatikan
Imani. Kemudian dia menolak pintu dan terus masuk ke dalam perpustakaan.
Adham sekadar mendiamkan diri.
Dia tidak menturuti Fahim masuk ke dalam perpustakaan. Sebaliknya, dia
menjeling kebelakang melihat kelibat Imani sehingga Imani hilang dari pandangan
matanya. Kemudian baru dia menolak pintu perpustakaan lalu masuk ke dalam.
***
‘Saya nak semua student buat kumpulan, dalam lima orang. Kelas kali ni
saya nak semua orang buat presentation tentang apa yang kita belajar pada kelas
yang lepas. Okey, semua boleh bergerak sekarang,’ kata Encik Shahril kepada
seisi kelas. Pada saat itu juga para pelajar segera bangun dan bergerak mencari
ahli kumpulan masing-masing.
‘Musliha, Sofia, kita stick satu kumpulan macam biasa ye. Eh siapa lagi
dua orang yang kita nak cari ni?’ tanya Imani sambil matanya melilau-lilau
mencari pelajar yang masih tidak mempunyai kumpulan.
‘Oh dan lagi satu. Saya nak kumpulan bercampur lelaki dan perempuan.
Saya taknak satu group tu semua perempuan atau lelaki je. Saya nak tengok macam
mana student lelaki dan perempuan bekerjasama berkongsi idea dan bertukar
pendapat,’ suara Encik Shahril sekali lagi memecah suasana riuh rendah
dalam dewan kuliah itu. Imani, Musliha dan Sofia lalu memandang sesama sendiri.
Pada saat itu juga, Imani
terdengar suara Adham berada betul-betul di belakangnya.
‘Imani, Sofia, Musliha, group awak dah penuh ke? Kalau ada kosong lagi,
saya dan Fahim nak masuk boleh?’ kata Adham dan serentak dengan itu Imani
menoleh kebelakang. Dia melihat Adham dan Fahim kedua-duanya sudah tercegat
sambil memegang buku dan beg. Imani terkedu seketika apabila melihat kelibat
Adham yang masih lagi menanti jawapan daripada mulutnya.
‘Err.. err... tapi...’ Imani sedang merangka-rangka ayat untuk cuba
menolak Adham dan Fahim daripada menyertai kumpulannya. Dia tahu jika Adham
menyertai kumpulannya bersama Musliha dan Sofia, dia tidak boleh menumpukan
perhatian. Imani masih gagal dalam mengawal perasaannya terhadap Adham. Sambil
itu Imani menjeling Musliha di sebelahnya. Musliha sudah mula tersipu-sipu
sambil cuba mengelak daripada memerhatikan Adham yang berdiri di hadapannya.
‘Ha, boleh boleh. Kitorang memang tak cukup lagi dua orang ni. Ok gak
Adham ngan Fahim kalau korang masuk. Korang dua-dua smart kut,’ Sofia
tiba-tiba tolong menjawab soalan bagi pihak Imani. Imani kematian kata-kata.
Fahim terus berseri-seri mukanya lalu terus mengambil tempat di hadapan Imani.
Adham pula mengambil tempat di sebelah Sofia. Musliha pula semakin jelas rona
kemerahan di mukanya, mungkin kerana Adham mengambil tempat betul-betul
dihadapannya.
Perbincangan berkumpulan lalu
dimulakan. Setelah mendapat beberapa soalan berkaitan topik pembelajaran mereka
pada kelas yang lepas, terus sahaja semua pelajar memulakan perbincangan bagi
menyelesaikan masalah yang diberi. Imani yang pada mulanya agak resah, hilang
terus perasaan itu sebaik sahaja dia melihat soalan-soalan di atas kertas.
Begitu juga dengan Musliha yang pada mulanya malu-malu, bertukar menjadi
bersemangat. Kini, soalan- soalan tersebut adalah lebih penting dan mereka
perlu menyelesaikannya dalam tempoh yang ditetapkan.
Ternyata perbincangan berkumpulan
ini berjaya menghilangkan rasa janggal dalam diri Imani. Rancak sungguh dia
memberikan pendapat. Fahim yang tidak kurang bijaknya, memberikan jalan
penyelesaian yang agak berbeza. Adham pula muncul dengan cadangan yang lebih
jelas dan mudah difahami. Sofia dan Musliha, membuat sedikit penambahbaikan
kepada penyelesaian-penyeselaian yang dicadangkan. Dan akhirnya kelima-lima
pelajar itu berbincang dalam suasana yang menyenangkan dan Fahim sempat
berjenaka bagi memeriahkan suasana.
Imani ketawa terbahak-bahak
mendengarkan jenaka Fahim. Fahim kelihatan gembira kerana berjaya menceriakan
suasana perbincangan tersebut. Disaat Imani masih lagi cuba menghabiskan sisa
tawanya, Fahim yang berada di hadapan Imani tersenyum gembira.
‘Ha, kan bagus Imani, kalau selalu gembira macam ni. Ni tak, selalu
senyum tak ikhlas je,’ kata Fahim perlahan tanpa disedari oleh Sofia dan
Musliha, namun disedari oleh Adham. Imani terdiam seketika mendengarkan
kata-kata Fahim. Adham yang mendengar, tersenyum sambil mengangguk tanda
bersetuju dengan Fahim. Imani tiba-tiba berasa mukanya bertukar merah akibat malu
lalu dia kembali memandang kertas soalannya. Namun tidak lama kemudian, dia
tersenyum juga, tanpa menyedari bahawa Adham sedang memerhatikannya secara
senyap.
‘Eh korang, alang-alang dah habis bincang ni, jom ambik gambar sekali
nak? Bukan selalu kita kumpul berbincang macam ni,’ kata Sofia sambil
berdiri. Serentak dengan itu Imani, Musliha, Adham dan Fahim memandang
kearahnya.
‘Er, nak pakai kamera siapa? Handphone aku takde kamera,’ kata Fahim
sambil menunjukkan telefon bimbitnya.
‘Rasa-rasanya kamera handphone Imani lawa,’ kata Musliha sambil
memandang Imani. Imani mengangguk lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dan
bersedia untuk mengambil gambar.
‘Okey semua, senyum,’ kata Imani, bersedia untuk mengambil gambar.
Serentak dengan itu, Musliha, Sofia, Adham dan Fahim mengukir senyuman. Dan
disaat Imani memandang wajah Adham dalam kamera telefon bimbitnya yang sedang
tersenyum, hati kecilnya bergetar lagi.
***
Imani merenung jauh kearah tasik
Shah Alam yang terbentang luas di hadapan matanya itu. Jiwanya kini terasa
tenang, setenang tasik itu yang begitu mendamaikan pandangan mata. Begitulah
yang sering dilakukan oleh Imani setiap kali hatinya berasa resah gelisah. Dia
akan pergi ke sebuah tempat yang menenangkan, termenung bersendirian sambil
membuai perasaan sendiri, berseorangan tanpa ditemani sesiapa. Dan pada petang
itu, Imani sedar hatinya berasa gundah gulana, lalu dia membuat keputusan untuk
duduk di sebuah bangku di bawah pokok yang menghadap tasik tersebut. Sambil itu
dia menyedut udara segar sedalam-dalamnya, lalu menghembuskan nafasnya dengan
kuat. Sungguh, pada saat itu, jiwanya berasa sungguh tenang.
Telefon bimbit yang disimpan di
dalam poket seluarnya, dikeluarkan lalu dibelek. Perlahan-lahan Imani melihat
satu persatu gambar yang ditangkap dan disimpan di dalam galeri telefon
bimbitnya. Satu persatu gambarnya dilihat. Gambar keluarganya, gambar Musliha
dan Sofia, gambar kerja projeknya, dan akhirnya Imani terhenti di sebuah gambar
yang seringkali diperhatikannya secara senyap-senyap. Gambar Adham, Fahim,
Sofia dan Musliha bersama. Meskipun dia tiada dalam gambar tersebut, itulah
satu-satunya gambar Adham yang berada dalam simpanannya.
Imani merenung wajah Adham yang
tersenyum mesra dalam gambar tersebut.
Fahim yang turut tersenyum ceria disisinya, serta Sofia dan Musliha yang
juga tersenyum lebar, seolah-olah tidak wujud dalam gambar tersebut, kerana
matanya tetap tertumpu kepada Adham seorang. Sudah hampir setahun berlalu sejak
gambar itu diambil, dan dalam setahun itulah rahsia hatinya terhadap Adham
tetap tersimpan rapi daripada pengetahuan sahabatnya. Dan dalam setahun itulah
perasaannya terhadap Adham tidak pernah pudar walau sekali. Kerana Imani
merasakan Adhamlah lelaki yang paling sempurna yang pernah ditemui dalam
hidupnya.
‘Ya Allah, aku tahu perasaan aku terhadapnya ini salah. Aku tahu aku
tidak sepatutnya menyayangi lelaki ini yang tidak halal bagiku. Jika Kau tidak
pernah menciptakan lelaki ini untukku, Kau buangkanlah perasaan ini daripada
terus bersarang dalam hatiku. Bantulah aku Ya Allah, sesungguhnya aku tidak
terdaya,’ luah Imani perlahan. Itulah doa yang sering diungkapkannya
bila-bila masa dia merindui Adham. Kerana Imani mula merasai betapa terseksanya
rasa apabila memendam perasaan sendiri yang tidak pernah sekalipun mahu luput
dari hatinya.
Pada saat Imani masih merenung
gambar Adham, tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur
lima tahun berlari kearahnya. Imani terkejut seketika, lalu memandang wajah kanak-kanak
itu. Kanak-kanak yang sungguh comel wajahnya itu, sedang menangis teresak-esak.
Wajahnya basah dengan air mata dan di tangan kanan kanak-kanak itu tergenggam
kemas sebuah anak patung yang comel.
‘Eh adik, adik, kenapa nangis sorang-sorang kat sini? Ibu ayah mana?’
tanya Imani yang semakin panik apabila kanak-kanak itu tidak berhenti menangis.
‘Ibu.. ibu ilang....’ kata kanak-kanak itu sambil tangannya mengesat
air mata yang laju mengalir. Imani segera memimpin tangan kanak-kanak itu, lalu
memujuknya dengan lembut.
‘Adik jangan nangis ye. Akak tolong adik cari ibu ye. Jom kita cari ibu
sama-sama,’ Imani berkata dengan lembut sambil tersenyum. Melihatkan wajah
Imani yang mesra itu, kanak-kanak itu perlahan-lahan berhenti menangis. Imani
lalu memegang tangan kanak-kanak itu lalu membawanya ke kawasan taman permainan
yang dikerumuni ramai orang. Mungkin ada ibunya sedang mencari-cari di situ.
Hampir lima belas minit Imani
berpusing-pusing disitu, cuba mencari ibu yang sedang mencari anak kecilnya,
namun tidak berjumpa. Imani dapat melihat kanak-kanak itu sudah mula kepenatan.
Imani yang kasihan terhadap anak kecil itu, segera mendukungnya dan membawanya
ke gerai berhampiran.
‘Adik haus ye? Kita rehat sekejap ye. Ni akak beli air untuk adik. Adik
nak aiskrim tak?’ tanya Imani sambil menunjukkan peti aiskrim dihadapannya.
Kanak-kanak itu mengangguk laju sambil tersenyum. Jauh disudut hati Imani, dia
berasa lega kerana anak kecil itu tidak lagi meragam seperti sebelumnya,
walalupun ibunya masih lagi belum ditemui.
Setelah membeli minuman dan
aiskrim, Imani meneruskan perjalanan mencari ibu kepada anak kecil itu, sambil
kanak-kanak itu berjalan perlahan disisinya sambil menikmati aiskrim. Setelah
hampir sepuluh minit Imani dan kanak-kanak itu berjalan bersama di laluan
pejalan kaki di tepi tasik, tiba-tiba langkah anak kecil itu terhenti.
‘Ibuuuuuuuu!!!,’ jeritnya sambil terus berlari ke arah seorang
wanita yang tidak jauh dari mereka. Imani segera memandang terhadap wanita yang
dimaksudkan. Ternyata wajah wanita itu amat panik. Mungkin kerana dia juga
sudah terlalu lama mencari kelibat anak kecilnya yang hilang itu.
‘Farah.. Farah. Ya Allah syukurlah Farah tak apa-apa!’ Imani
terdengar wanita itu separa menjerit dari jauh, lalu dia segera memeluk anak
kecil itu kepangkuannya. Perlahan-lahan Imani berjalan menuju ke arah mereka.
‘Anak yang tolong jaga Farah masa dia hilang tadi?’ tanya wanita itu
apabila melihat Imani berjalan kearah mereka sambil membawa anak patung milik
anaknya itu. Imani sekadar mengangguk sambil tersenyum. Sungguh pada saat itu
Imani berasa lega kerana kanak-kanak itu akhirnya berjaya menemui ibunya
semula.
‘Ya Allah, syukurlah anak ni yang jumpa Farah tadi. Kalau penculik yang
nampak Farah dulu, tak taula makcik apa akan jadi. Terima kasih banyak-banyak
ye nak,’ kata wanita itu sambil cuba memeluk Imani. Imani sekadar tersenyum
lalu membalas pelukan wanita itu. Farah juga memeluk Imani sambil mengucapkan
terima kasih setelah diajar ibunya. Akhirnya Imani melihat kedua ibu dan anak
itu berlalu pergi, sebelum keduanya hilang dari pandangan.
Kemudian dia tersenyum lagi.
Imani tidak sedar, bahawa
gelagatnya sedang asyik diperhatikan dari jauh oleh Adham dan Fahim yang
kebetulan sedang beriadah di taman tasik tersebut pada petang itu. Adham yang
sudahpun menyedari kelibat Imani berseorangan di bawah pokok sejak dari awal,
sekadar memerhati secara senyap bermula pada saat Imani sedang membelek telefon
bimbitnya, sehinggalah pada saat Imani bertemu dengan ibu kepada anak kecil
itu. Dalam hatinya terselit perasaan kagum melihat perlakuan Imani sebentar
tadi. Dan Fahim yang turut menjadi pemerhati seperti Adham, tidak terkecuali.
***
Pada hari lahir Imani yang ke-23,
Imani duduk bersendirian di dalam biliknya setelah seharian keluar bersama
Musliha dan Sofia untuk meraikan hari lahirnya. Awal-awal pagi, dua orang
sahabatnya membelanja Imani bersarapan di warung kegemarannya. Selepas itu
mereka keluar ke Sunway Pyramid untuk menonton wayang dan bermain ice-skating.
Musliha dan Sofia turut membelikannya sebiji kek harijadi dan menghadiahkan jam
tangan dan dompet sebagai hadiah. Sungguh, Imani berasa sungguh bertuah dan dia
bersyukur kerana dikurniakan dua orang sahabat sebaik mereka.
‘Imani, tahun ni awak dapat hadiah misteri lagi tak?’ tanya Musliha
kepada Imani saat mereka sedang menikmati makanan tengahari di sebuah restoran.
Musliha sempat tersenyum nakal saat bertanyakan soalan itu. Imani lantas
menghentikan suapan makanannya. Dia teringat, pada hari lahirnya pada tahun-tahun yang lepas, dia ada menerima pelbagai hadiah harijadi antaranya coklat, teddy
bear, dan gelang tangan. Sehingga ke
hari ini, Imani tidak pernah tahu siapa gerangan pemberi hadiah itu, kerana si
pemberi hadiah tidak pernah mendedahkan siapa dirinya. Namun Imani tetap
menerima hadiah tersebut dengan rasa gembira dan dengan tangan terbuka.
‘Eh haahlah Musliha. Lupa pulak tiap-tiap tahun Imani mesti ada dapat
satu hadiah birthday special daripada seorang insan misteri. Mesti harini jugak
hadiah Imani sampai kan?’ Sofia yang baru teringat akan hal itu berkata
dengan semangatnya. Imani sekadar membuat wajah acuh tak acuh.
‘Hm, takdelah korang. Rasa-rasanya tahun ni dia tak bagi dah kut.
Boringla dia kalau bagi tiap-tiap tahun, tapi sekali pun aku tak pernah cakap
terima kasih kat dia,’ Imani berkata sambil menyedut minumannya.
‘Itu salah dia la sebab jadi insan rahsia. Bukan salah kau Imani. Eh
tapi rasa-rasa korang kan, siapa yang bagi? Mestilah lelaki kan?’ Sofia
bertanya sambil matanya tidak lekang memandang wajah Musliha dan Imani.
‘Hehe awak ni Sofia. Confirmlah lelaki. Tapi siapa ye pelajar lelaki
kelas kita yang minat Imani senyap-senyap? Saya tak pernah perasan,’
Musliha berkata sambil menyuap makanan ke dalam mulutnya.
‘Kenapa aku rasa kan Imani, lelaki yang bagi hadiah kat kau tu Adham?’
tiba-tiba sahaja Sofia menyatakan pendapatnya, lalu pada saat itu juga Imani
tersedak. Imani yang cuba mengurut dada segera menoleh kearah Musliha. Dia
menyedari reaksi wajah Musliha juga berubah, namun tidak ketara seperti
dirinya.
‘Adham??? Tak mungkinlah. Kan korang cakap dulu Adham minat ngan
Musliha?’ Imani mengambil tisu sambil mengesat mulutnya.
‘Ey, kan saya dah cakap saya dengan dia tak ada apa-apa. Awak semua ni
kan....’ Musliha mula mengerutkan wajahnya. Terhenti terus kunyahan makanannya
sebentar tadi.
‘Haha rileksla korang ni. Aku
main agak-agak aje. Tapi kalau betul pun Adham, tak mustahil kan?’ Sofia
berkata sambil tersenyum meleret kepada Imani dan Musliha. Musliha sekadar
mendiamkan diri manakala Imani memandang Sofia sekilas sebelum kembali
menumpukan perhatian terhadap makanannya.
‘Adham bagi? Tak mungkin.......,’ Imani bermonolog sendirian.
***
‘TOKKK TOKKKK’ Imani tersentak apabila mendengar pintu biliknya
diketuk. Segera dia bangun lalu menuju ke arah pintu. Sangkanya Musliha dan
Sofia sudah pulang, namun apabila pintu dibuka, tiada sesiapa yang berdiri di
hadapan pintu biliknya. Imani mengerutkan muka, kehairanan.
Lalu mata Imani tertumpu terhadap
‘sesuatu’ yang berada betul-betul di hadapan pintunya. Imani melihat kebawah,
dan betul-betul di hadapan kakinya terletak sebuah kotak hadiah berbalut
cantik. Imani mengangkat kotak tersebut, dan tertera nama ‘Nurul Imani’ di atas
pembalut hadiah itu. Imani sempat menjeling ke kiri dan ke kanan, sebelum dia
mengangkat kotak itu lalu membawanya masuk ke biliknya.
Imani membawa kotak itu ke sisi
katilnya. Perlahan-lahan dia membuka pembalut hadiah itu, untuk melihat isi di
dalamnya. Dan setelah kotak itu dibuka, Imani terlopong seketika apabila
melihat sebuah kotak muzik berwarna ungu berada di dalamnya. Segera Imani
mengeluarkan kotak muzik itu, membeleknya dengan rasa kagum, sebelum membuka penutup
kotak muzik itu.
Sebaik sahaja kotak muzik itu
terbuka, beralunlah sebuah lagu lembut yang akan menjadi halwa telinga bagi
sesiapa yang mendengarnya. Dan serentak dengan itu, Imani terlihat sehelai
kertas kecil di dalam kotak itu. Segera dia mengambil kertas itu dan membaca
tulisan yang tertera di atasnya.
‘Ini mungkin hadiah birthday
terakhir saya untuk awak. Lepas ni mungkin saya dah tak berpeluang nak bagi
lagi macam dulu. Selamat hari lahir ke-23 Imani. Semoga Allah memanjangkan umur
& memurahkan rezeki awak :)’
Tanpa disedari, air mata Imani
bergenang sebaik sahaja dia membaca isi kandungan kertas tersebut. Pada saat
itu hatinya terasa sungguh sebak dan terharu. Tak disangka selama ini rupanya
ada insan lain yang ambil tahu tentang hari lahirnya, malah mendoakan kesejahteraannya
walaupun sekadar dari jauh. Imani menyeka air matanya sebelum tersenyum kembali
sambil membelek kotak muzik itu.
Dan apabila Musliha dan Sofia
pulang dan separa menjerit setelah mengetahui ketibaan hadiah harijadi Imani
daripada insan misteri itu, Imani masih lagi termangu sendirian sambil membaca
kembali isi kandungan kertas itu berulang-ulang kali.
‘Insan misteri, siapa kau sebenarnya?’ persoalan inilah yang tidak
henti-henti bermain di mindanya.
‘Aku harap suatu hari nanti, Allah akan membuka pintu hatimu untuk kau
datang sendiri kepadaku dan memperkenalkan dirimu,’ luah Imani perlahan
sebelum dia menyimpan elok-elok kertas kecil itu di dalam buku notanya.
***
‘Imani, Imani, tunggu sekejap,’ Imani terdengar Adham memanggilnya
dari belakang. Serta merta hati Imani berdebar-debar. Itulah yang dirasakannya
setiap kali dia mendengar suara Adham memanggilnya seperti saat itu, atau
apabila dirinya bertembung dengan Adham walaupun di mana jua.
‘Musliha, Sofia, korang pergi dulu boleh? Nanti aku menyusul,’ Imani
bersuara perlahan kepada Musliha dan Sofia disebelahnya. Mereka sekadar
mengangguk dan terus berlalu. Musliha kerap kali menoleh kebelakang memandang
Imani yang menunggu Adham datang kepadanya. Hal ini disedari Imani, namun dia
sekadar berpura-pura tidak mengetahui.
‘Ya Adham, ada apa?’ Imani cuba tersenyum sambil memerhatikan Adham
berjalan menuju ke arahnya. Resah dalam hatinya pada waktu itu, hanya Allah
sahaja yang tahu.
‘Ni untuk awak. Ikhlas dari saya. Selamat hari lahir,’ ucap Adham ringkas
sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Imani dan menghulurkan sebuah hadiah
berbalut kemas ke tangannya. Imani terkedu seketika. Namun tangannya tetap mengambil
hadiah yang dihulurkan oleh Adham.
‘Tahun ni kan tahun terakhir study kita. Mungkin ini hadiah pertama dan
terakhir dari saya untuk awak, sebab lepas ni kita dah habis belajar dah
mungkin takkan jumpa lagi. Harap awak sudi terima,’ kata Adham tersenyum
sebelum sempat Imani membuka mulut untuk berkata sesuatu. Tanpa menanti lama,
Adham segera menoleh untuk berlalu, walaupun pada ketika itu Imani masih
mendiamkan diri kerana masih lagi dalam keadaan terkejut.
‘Adham! Tunggu dulu!’ Imani segera memanggil setelah melihat Adham
bergerak beberapa langkah darinya.
Adham terhenti lalu menoleh
kembali ke belakang menghadap Imani.
‘Terima.. terima kasih. Ta..tapi awak kata ini hadiah awak yang pertama
dan terakhir?’ Imani berkata sambil tergagap-gagap. Masih menyusun
kata-kata yang sesuai di dalam kepalanya.
‘Ya,’ Adham berkata sambil menganggukkan kepalanya. Dan dia kembali
tersenyum.
‘Jadi bukan awak yang bagi saya hadiah harijadi pada tahun-tahun yang
lepas?’ Imani memberanikan diri untuk bertanya satu soalan yang sudah
terlalu lama dipendam dalam benak fikirannya.
‘Tahun-tahun lepas?’ Adham terdiam sambil berfikir seketika. Namun
tidak lama selepas itu, dia tersenyum lebar.
‘Awak rasa siapa?’ Adham bertanya sambil masih lagi tersenyum. Tanpa
sempat menanti tekaan jawapan yang masih lagi bermain-main dalam minda Imani,
dia menoleh sambil meneruskan langkahnya. Meninggalkan Imani yang masih
terpinga-pinga sendirian di situ.
***
HARI KONVOKESYEN
SEPTEMBER 2011
Sedar tak sedar, sudah empat
tahun berlalu sejak kali pertama Imani menjejakkan kaki ke universiti untuk
menyambung pembelajarannya. Pada hari bersejarah ini, Imani menyarung jubah dan
memakai mortar di kepala, dan disaat itu dia sedang duduk menanti gilirannya
untuk menaiki pentas untuk mengambil skrol ijazah daripada Naib Cansellor.
‘Muhammad Adham bin Abdul Rahim,’ pengacara majlis menyebut nama penuh
Adham dan Imani segera mendongak untuk melihat Adham di atas pentas. Adham yang
berada di hujung pentas, berjalan sopan ke tengah, menundukkan kepalanya kepada
Naib Cansellor dan menerima scroll ijazahnya beserta ucapan terima kasih. Adham
yang menjadi antara pelajar terbaik fakultinya, tersenyum sendirian dia atas
pentas. Mungkin disebabkan rasa syukur atau bangga dengan pencapaiannya sepanjang
semester-semester yang lepas.
Fahim yang juga menjadi antara
pelajar yang mendapat CGPA tertinggi dalam kelasnya menyusuli Adham menaiki
pentas. Sungguh pada saat itu Imani berasa bangga dengan pencapaian kedua orang
rakannya itu. Imani sendiri tidak menyangka, dua orang lelaki pertama yang
ditemuinya pada hari pertama di fakulti, rupa-rupanya antara pelajar yang terbaik
dalam kelasnya. Imani tersenyum sendiri melihat Fahim juga menerima scroll
daripada Naib Cansellor.
‘Nurul Imani binti Mazlan,’ sebaik sahaja Imani mendengar namanya
diumumkan, dia melangkah perlahan menuju kearah Naib Cansellor yang menantinya
di tengah pentas. Imani tersenyum walaupun dia tidaklah mendapat keputusan yang
cemerlang seperti Adham dan Fahim. Namun Alhamdulillah, Imani tidak pernah
gagal dalam subjeknya dan dia mendapat CGPA yang boleh dianggap baik.
Tamat majlis konvokesyen, ribuan
pelajar yang terdiri daripada pelbagai fakulti mula memenuhi bahagian luar
dewan, menyebabkan Imani menghadapi kesukaran untuk mencari ahli keluarganya
dan juga rakan-rakannya. Mujurlah Imani akhirnya bertemu dengan ibu dan ayah
serta adiknya, dan setelah mereka bergambar satu keluarga di hadapan dewan,
Imani bergerak mencari sahabat-sahabatnya, Musliha dan Sofia.
‘Imani! Imani! Sini..sini!’ jerit Sofia sebaik sahaja melihat Imani
yang masih melilau-lilau mencari kedua orang sahabatnya itu. Musliha sudah
berada di sisi Sofia beserta sejambak bunga di tangan. Imani yang mendengar
jeritan Sofia terus sahaja menuju kearah mereka sambil tersenyum.
‘Ha, jumpa pun Imani. Jom sama-sama ambil gambar,’ Musliha berkata
lalu tanpa membuang masa, ketiga-tiga mereka menyusun posisi untuk bergambar
dengan kamera masing-masing. Sofia dan Musliha yang turut menerima sejambak
bunga daripada keluarga masing-masing, tersenyum gembira sambil menunjukkan
skroll ijazah yang dimiliki.
Tamat bergambar, Imani yang masih
lagi rancak bersembang dengan Sofia dan Musliha, didatangi oleh ibunya.
‘Imani, ibu rasa kita dah
kena balik sekarang. Ayah sakit kepala. Kami tunggu dalam kereta ya,’ kata
ibu Imani. Selepas bersalam dengan Musliha dan Sofia, ibu Imani berlalu pergi
meninggalkan mereka bertiga.
‘Well, aku rasa ini lah kali terakhir kita berjumpa sebelum kita
masing-masing start kerja kan?’ kata Sofia sambil memandang wajah Imani dan
Musliha.
‘Nampak gayanya macam tu lah kan,’ Musliha bersuara perlahan. Riak
wajahnya mula berubah menjadi sedih.
‘Alah korang ni jangan la sedih-sedih. Lepas ni kita boleh jumpa lagi
kan? Nanti kita buat reunion sendiri, korang mesti datang tau,’ kata Imani
lalu dia segera memeluk Musliha dan Sofia dengan erat. Berat pula rasanya untuk
berpisah menuju haluan masing-masing selepas ini, setelah empat tahun bersama
menyokong satu sama lain.
‘Oklah Sofia, Musliha, aku dah nak kena balik. Kasihan ayah aku tengah
sakit tu. Apa-apa kita contact kat facebook ye. Aku tak sempat nak jumpa Adham
dengan Fahim. Kalau jumpa diorang cakap aku kirim salam ye,’ Imani berkata
sambil tersenyum, lalu dia melambai kedua sahabatnya sebelum berlalu. Musliha
dan Sofia membalas lambaiannya sambil tersenyum kembali.
Imani pantas berlalu menuju ke
keretanya di tempat parkir kereta yang agak jauh. Disebabkan luar dewan masih
agak sesak, agak sukar untuk dia berjalan dengan laju, kerana terpaksa
mengelakkan diri daripada orang ramai yang masih berpusu-pusu mengambil gambar
di luar dewan. Sambil itu Imani melihat-lihat sekeliling. Di hati kecil, dia sangat
berharap untuk melihat Adham sekali untuk kali terakhir sebelum dia pulang.
Dapat melihat kelibatnya dari jauh pun cukuplah, luah Imani sendirian.
Pada saat itulah, disaat Imani
sedang berjalan dengan laju, Imani terlihat kelibat Adham yang agak jauh
daripadanya sedang memandangnya. Imani melihat Adham tersenyum sambil
mengangkat tangan dan melambainya.
Imani terasa bahagia. Akhirnya
permintaannya untuk bertemu dengan Adham buat kali terakhir dimakbulkan. Imani
membalas lambaian Adham sambil tersenyum lebar. Pada saat itu matanya bergenang
tanpa disedari. Samada itu air mata kegembiraan atau air mata kesedihan, Imani
tidak pasti.
Imani tiba-tiba teringat ayahnya
yang sakit. Segera dia menjeling jam tangannya. Sudah hampir 15 minit dia
berada di situ. Imani tahu dia harus pergi. Sambil memandang Adham dari jauh
dan mengesat air matanya, dia melambai buat kali terakhir sebelum segera
berlalu. Imani tidak betah menanti lama di situ. Dia tahu, jika dia berjumpa
dengan Adham pada saat itu, hatinya akan menjadi lebih berat untuk meninggalkan
Adham.
Adham bersusah payah melalui
celah orang ramai untuk bertemu dengan Imani yang baru sebentar tadi
dilambainya. Malangnya apabila dia tiba di tempat Imani berdiri sebentar tadi,
Imani sudahpun hilang dari pandangan. Adham memerhati sekeliling, namun kelibat
Imani tidak dijumpai. Adham terlihat Sofia dan Musliha yang tidak jauh
berdekatan, lalu dia menuju ke arah mereka.
‘Sofia, Musliha, ada nampak Imani? Tadi saya nampak dia kat sini, tapi
lepas tu dia hilang,’ Adham bercerita sambil matanya tidak lekang memerhati
sekeliling.
‘Tadi ada, tapi Imani kena balik cepat, sebab ayah dia tak sihat,’
Sofia bercerita membuatkan Adham terdiam seketika.
‘Imani ada pesan kat kami, dia kirim salam kalau nampak awak atau Fahim,’
kata Musliha pula. Jauh di sudut hati, Adham berasa kecewa kerana tidak sempat
bertemu dengan Imani untuk kali terakhir mereka berada di universiti itu.
Selepas selesai bergambar dan
berbual dengan Sofia dan Musliha, Adham berjalan seorang diri lalu dia bertemu
dengan Fahim.
‘Ha, jumpa pun kau kat sini Adham. Lama aku cari kau. Eh, ada nampak
Imani tak?,’ Fahim yang masih berjubah, berpeluh dahinya dan Adham dapat
melihat dua jambak bunga di tangan sahabat baiknya itu.
‘Imani ada hal tadi, dia dah balik,’ ringkas sahaja dia menjawab
pertanyaan Fahim. Serta merta riak wajah Fahim berubah kecewa.
‘Oh...’ luah
Fahim perlahan sambil memandang salah satu daripada dua jambak bunga yang
berada di tangannya. Adham yang mengerti perasaan sahabatnya itu, sekadar mendiamkan
diri.
***
‘PLOPPPP!!!’ bunyi kocakan air yang tiba-tiba sahaja kedengaran
mengejutkan Imani dari lamunan panjangnya. Imani segera memerhati kearah tasik.
Terdapat kanak-kanak yang membaling batu kedalam tasik tersebut. Imani
memerhati sekeliling lantas mengerling jam tangannya. Sudah hampir satu jam
dia duduk bersendirian mengelamun di situ. Imani bingkas, lalu bergerak laju menuju
ke keretanya.
Imani memandu pulang ke rumahnya.
Sambil memandu dia tersenyum sendirian, mengenangkan empat orang rakan yang
mendapat tempat yang sangat penting dalam kisah hidupnya. Musliha, Sofia,
Fahim, dan yang terakhir, Adham, merekalah empat orang insan yang mewarnai
kisah hidupnya di universiti. Imani sangat berharap pada suatu hari nanti dia
akan dipertemukan kembali dengan mereka berempat. Tidak kisahlah bila-bila,
asalkan dapat berjumpa walaupun hanya seketika sudah cukup memadai baginya.
Pada malam itu, Imani menonton
televisyen bersama bapanya di ruang tamu, manakala ibu dan adiknya berada di
dapur. Ketika Imani sedang khusyuk memandang kaca tv, tiba-tiba ayahnya membuka
mulut dan bersuara.
‘Imani, tadi masa Imani tengah keluar, ayah dapat satu call daripada
kawan lama ayah’ ayah Imani bercerita dengan perlahan. Imani yang masih
belum menangkap apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya, cuba menumpukan sepenuh
perhatian. Dia duduk menghadap ayahnya. Rancangan televisyen yang menarik
dilupakannya sebentar.
‘Kami berbual lama. Dan akhirnya kami bersembang tentang anak-anak.
Kawan ayah tu cerita, anak lelaki dia masih bujang. Dan yang buat ayah
terkejut, anak lelaki kawan ayah tu ada bagitau yang dia ada hajat untuk
memperisterikan Imani’ sambung ayah Imani lagi.
Serta merta mata Imani membulat.
Denyutan jantungnya dirasakan bagai terhenti. Apakah benar apa yang baru didengarinya
ini? Ada lelaki di luar sana yang berhajat untuk menjadi suaminya??
‘Ta..tapi ayah, siapa dia? Imani kenal dia ke? Dia kenal Imani?’
Imani yang masih sukar percaya akan apa yang didengarinya bertubi-tubi
bertanyakan soalan kepada ayahnya.
‘Kawan ayah tu cakap anak dia kenal Imani. Lama dah, sejak zaman
universiti lagi. Mungkin salah sorang dari kawan Imani agaknya, tapi Imani tak
tahu sebab kawan Imani tu tak pernah cerita yang ayah dia kawan dengan ayah,’
terang ayah Imani. Imani sekadar membatukan diri, sambil kepalanya sarat dengan
seribu satu persoalan tentang lelaki misteri itu.
Serta merta memori Imani terimbas
kembali tentang kenangan-kenangannya sewaktu di universiti dua tahun yang
lepas. Dia teringat akan hadiah yang diterima daripada insan misteri pada hari
lahirnya selama empat tahun. Apakah insan misteri itu dan lelaki misteri yang
berhajat untuk memperisterikannya itu, adalah orang yang sama?
‘Ayah, siapa nama dia?’ Imani bertanya lagi.
‘Maaf Imani, ayah tak ingat sangat nama anak kawan ayah tu. Tapi ayah
ingat nama dia ada M kat belakang. Ayah dah
share hal ni dengan ibu. Esok kawan ayah cakap, anak lelaki dia nak datang
sini, nak jumpa dengan ayah dan ibu sekali. Ayah harap Imani dapat
pertimbangkan hal ni dengan baik,’ nasihat ayah Imani. Imani masih lagi
terdiam membisu.
Sebelum melelapkan mata pada
malam itu, Imani dapat merasakan hatinya resah gelisah. Jantungnya dirasakan
berdegup amat kencang. Esok dia mungkin akan bertemu dengan bakal suaminya untuk
pertama kali. Imani berfikir sendirian.
Siapakah lelaki itu? Yang begitu ‘gentleman’, terus sahaja berjumpa
dengan ibu bapanya, dan menggunakan bapanya sendiri sebagai orang tengah untuk
menyatakan hajat memperisterikannya? Masih ada lagi rupanya lelaki seperti ini
dalam dunia, bisik hati kecil Imani.
Tanpa diminta, wajah Muhammad
Adham muncul di fikiran. Hanya Adham sahaja lelaki yang dikenalinya, yang
mungkin bersifat ‘gentleman’ seperti itu. Apakah benar Adham sebenarnya lelaki
yang diceritakan oleh ayahnya? Mungkinkah selama ini ayah Adham dan ayahnya
berkawan baik, cuma perkara ini tidak pernah diketahui sendiri oleh Imani dan
Adham?
Tiba-tiba Imani teringat kembali
kata-kata ayahnya sebentar tadi.
‘Tapi ayah ingat nama dia ada M kat belakang’ terngiang-ngiang
suara ayahnya di telinga Imani.
‘M? Mungkin Adham??’ getus hati kecil Imani.
‘Kalau benarlah lelaki itu Adham ya Allah, akulah hambaMu yang paling
bertuah dalam dunia ni,’ monolog Imani sendirian sebelum dia melelapkan
matanya.
***
Imani sudah siap bertudung dan
berbaju kurung. Menurut ayah Imani, rakannya dan anak lelakinya akan datang
berkunjung selepas asar. Imani membantu ibunya menyiapkan juadah minum petang,
namun hanya Allah yang tahu betapa kuatnya debaran di hatinya, lebih-lebih lagi
memikirkan jika lelaki yang bakal berkunjung di rumahnya nanti mungkin adalah
Adham.
‘Assalamualaikum!’ Imani terdengar suara lelaki di luar rumah memberi
salam. Imani menarik nafas panjang. Insan yang ditunggu-tunggu sudahpun berada
di luar rumah, hanya menunggu untuk dipelawa masuk.
‘Ha, Fadzil, masuk masuk. Jemput duduk’ kali ini Imani terdengar
suara ayahnya menjemput tetamu di luar rumahnya untuk masuk.
‘Imani, ibu pergi jumpa tetamu, nanti pergi depan bawak air ye,’ ibu
Imani berpesan kepada anak gadisnya sebelum dia menyusul belakang suaminya
untuk berjumpa dengan para tetamu. Imani sekadar mengangguk.
Imani lalu membancuh air. Sambil
itu, dia mengurut dadanya kerana pada saat itu dia dapat merasakan jantungnya
berdegup terlalu kencang. Imani langsung tidak berani menjeling ke ruang tamu
untuk melihat siapakah lelaki yang dimaksudkan ayahnya semalam, sedangkan ruang
dapur dan ruang tamu di rumahnya tidaklah jauh mana. Selepas selesai membancuh
air, Imani menyusun cawan di dalam dulang, dan perlahan-lahan menatang dulang
tersebut dan membawanya ke ruang tamu.
Imani sekadar menunduk ketika
berjalan ke ruang tamu. Dia langsung tidak berani mengangkat kepalanya untuk
melihat wajah tetamu yang sedang duduk, kerana dia yakin wajahnya sedang merah
menahan malu. Imani yakin semua mata di ruang tamu itu sedang memandangnya yang
sedang menuang air ke dalam gelas.
‘Imani, ni kawan ayah, nama Fadzil,’ Imani terdengar ayahnya
bersuara dan dia terus mengangkat muka melihat empunya nama yang dimaksudkan.
Imani memandang wajah rakan ayahnya sambil tersenyum. Kemudian matanya
dilarikan kepada seorang lelaki muda yang sedang duduk bersebelahan rakan
ayahnya itu.
‘Fahim???!!!’ serta merta nama itu terpacul daripada mulut Imani
sebaik sahaja dia melihat wajah itu. Wajah yang amat dikenalinya suatu ketika
dulu. Wajah yang sudah dua tahun tidak ditemui. Mata Imani membulat, menandakan
betapa terperanjatnya dia apabila melihat wajah itu.
Fahim sekadar tersenyum sambil
mengangkat tangannya sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut oleh Imani.
Fahim yang kini agak berlainan wajahnya kerana sudah berkumis nipis, masih lagi
dapat dicam oleh Imani. Selesai menuangkan air dan menghidangkan juadah, Imani
berlalu ke dapur semula.
Saat keluarganya bersama keluarga
Fahim sedang asyik berbincang sambil menikmati juadah, sekalipun Imani tidak
pergi ke ruang tamu untuk turut serta. Dia merasakan kehadirannya tidak
diperlukan dalam perbincangan keluarga itu. Perlahan-lahan Imani bergerak ke
luar rumah, lalu dia duduk di buaian, cuba menghilangkan keresahan yang masih
bersarang dalam hatinya.
‘Assalamualaikum Imani,’ Imani terdengar suatu suara memberi salam
di belakangnya. Suara milikFahim.
‘Waalaikumussalam,’ jawab Imani lalu dia segera menoleh kebelakang.
Melihatkan Fahim sedang berdiri di belakangnya, Imani segera bangun.
‘Eh, tak apa, duduklah Imani,’ kata Fahim perlahan. Imani yang masih
teragak-agak, menurut sahaja kata Fahim. Lalu dia duduk kembali.
‘Awak masih terkejut ye?
Masih tak percaya saya datang ke sini untuk berjumpa ibu bapa awak?’ Fahim
berkata tenang sambil tersenyum. Imani yang pada mulanya tidak berani untuk
bertentang mata dengan Fahim, cuba mencari kekuatan itu lalu dia memandang
wajah Fahim yang sedang berdiri di hadapannya.
‘Awak serius nak jadikan saya sebagai isteri awak, Fahim?’ tanya
Imani. Dia seakan tidak percaya bahawa rakan sekelasnya dulu kini sedang berada
di hadapannya, namun bukan lagi sebagai rakan sekelas, tetapi sebagai seorang bakal
suaminya, bakal teman hidupnya.
‘Saya serius Imani. Saya tak pernah seserius ini. Sudah terlalu lama saya
memendam perasaan terhadap awak. Sejak zaman kita belajar dulu. Sudah sampai masanya saya perlu biar awak
tahu,’ Fahim berkata dengan lembut. Imani sekadar membatukan diri mendengar
kata-kata Fahim.
‘Masa kita belajar dulu, saya tak tahu yang ayah kita berkawan. Saya
baru je dapat tahu baru-baru ni. Dan bila saya rasa sudah tiba masanya untuk
saya mempunyai seorang isteri, saya terus sahaja menyatakan hajat saya untuk memperisterikan awak kepada
ayah. Kemudian ayah saya terus hubungi ayah awak,’ terang Fahim lagi. Tidak
lepas menatap wajah Imani yang begitu dirinduinya sejak dua tahun yang lalu.
‘Tapi, kenapa saya, Fahim? Kenapa selepas dua tahun kita terpisah?’
tanya Imani. Dia seakan tidak percaya bahawa rupa-rupanya Fahim sudah lama
menaruh perasaan terhadapnya, sama seperti dia memendam perasaan kepada Adham sejak dulu.
‘Saya tak tahu Imani. Cinta itu boleh datang tiba-tiba tanpa sebab. Tapi
saya sedar saya dah sukakan awak sejak tahun pertama lagi kita kat universiti. Saya
ambil masa dua tahun untuk cuba menyempurnakan hidup saya sebagai seorang bakal
suami. Bila saya yakin saya sudah bersedia, baru saya cari awak. Dan saya rasa
bertuah saya tak perlu bersusah payah mencari awak semula selepas dua tahun,’
sambung Fahim lagi. Imani sekadar mendengar tanpa berkata apa-apa.
‘Awak ingat lagi hadiah yang saya bagi masa hari lahir awak Imani?
Sepanjang empat tahun kita kat universiti?’ tanya Fahim lagi. Dia tersenyum
kembali. Serta merta wajah Imani berubah. Dia kelihatan sangat terkejut.
‘Awak.. awak yang bagi rupanya Fahim?’ Imani bertanya dengan wajah
yang seakan tidak percaya. Fahim mengangguk. Senyuman di wajahnya semakin
melebar. Ternyata usahanya untuk membuat kejutan kepada Imani selama ini
rupa-rupanya berhasil.
‘Saya harap awak suka hadiah-hadiah tu Imani. Maaf sebab selama ni saya
berahsia daripada awak,’ Fahim berkata lembut. Kemudian dia dan Imani
terdiam seketika. Kedua-duanya masih mencari ayat yang sesuai untuk dibicarakan.
‘Maaf Fahim. Maaf sebab selama ni saya tak pernah sedar akan perasaan
awak pada saya. Kalaulah saya sedar lebih awal...’ Imani berkata perlahan
sambil menunduk.
Fahim yang sedari tadi berdiri
tiba-tiba melutut di hadapan Imani. Menyebabkan Imani yang mennunduk segera
mengangkat kepalanya. Mata dia dan Fahim bertentang. Serta merta lidah Imani
menjadi kelu. Debaran di dadanya dirasakan kembali.
‘Tak apa, Imani. Saya yang buat keputusan untuk menjadikan ia rahsia,
kerana masa tu saya tahu, saya dan awak sama-sama tak bersedia. Namun pada kali
ini, saya benar-benar sudah bersedia, dan saya harap awak sudi terima saya
untuk menjadi teman hidup awak,’ lembut dan perlahan sahaja tutur kata
Fahim, menyebabkan Imani terasa begitu terharu. Tak pernah dia menyedari Fahim
yang dikenalinya semasa di universiti dulu, rupa-rupanya seorang lelaki ‘gentleman’
yang tidak pernah dia sedari selama ini.
‘Saya tak akan memaksa awak Imani. Saya berharap awak boleh
mempertimbangkan hajat saya. Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan,
saya akan sentiasa berada di sini menanti jawapan awak,’ Fahim yang sedar
Imani masih mendiamkan diri cuba menenangkan hati gadis itu. Kemudian dia
bangun lalu masuk kembali kedalam rumah, meninggalkan Imani keseorangan di
buaian tersebut.
***
‘Assalamualaikum Warahmatullah,’ Imani memberi salam ke kanan,
kemudian ke kiri. Selepas itu, dia meraup wajahnya dengan kedua belah
tangannya.
Pada jam 3.00 pagi itu, disaat
seisi keluarganya senang enak diulit mimpi, Imani bangun bagi mendirikan solat
istikharah. Imani menadah tangannya, lalu berdoa dengan suara yang perlahan dan
hanya sayup-sayup kedengaran di telinganya sendiri.
‘Ya Allah, andai selama ini Kau memang menciptakan Fahim untuk menjadi
teman hidupku, Kau berikanlah aku petunjuk Ya Allah. Kau bukakanlah pintu
hatiku untuk menerima dia Ya Allah. Perasaan yang ksuimpan selama ini terhadap
Adham, Kau buangkanlah semuanya Ya Allah, supaya aku dapat memberi ruang dalam
hatiku hanya untuk Fahim. Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan yang Maha Mengetahui,
dan Kau tahu apa yang terbaik untukku. Amin amin ya Rabbal Alamin,’ Imani
meraup wajahnya. Kemudian dengan keadaan yang masih bertelekung, dia berbaring
di atas sejadah. Imani memejam matanya dan tanpa disedari, dia tertidur.
Pada pagi itu, Imani bermimpi.
Dia sedang berjalan keseorangan di sebuah tempat yang sunyi. Dia cuba berjalan
sejauh yang mungkin, mencari-ceri sesiapa yang dikenalinya di situ. Malangnya
tiada seorang pun manusia di situ melainkan dirinya. Lama kelamaan, Imani mula
berasa letih, lalu dia terduduk kepenatan.
Pada saat itulah, tiba-tiba
muncul seorang lelaki yang samar-samar wajahnya, berdiri di hadapannya. Imani
terperanjat bukan kepalang. Lelaki itu menghulurkan tangannya, meminta Imani
kembali bangkit. Imani teragak-agak, namun kerana terlalu penat, dia menyambut
huluran tangan lelaki itu.
Sebaik sahaja Imani bangkit,
wajahnya betul-betul menghadap wajah lelaki yang membantunya itu. Wajah lelaki
itu begitu dikenalinya. Wajah Fahim. Fahim tersenyum manis sebelum berjalan
berpimpinan tangan dengan Imani ke suatu tempat. Imani sekadar menuruti sahaja
langkah Fahim tanpa banyak kata.
Akhirnya mereka tiba di sebuah
tempat yang indah. Imani terkesima lalu memandang pemandangaan di situ dengan
penuh kagum. Tangan Imani dan Fahim masih lagi berpegangan. Tiba- tiba sahaja
Imani merasakan sebelah lagi tangannya dipegang oleh seseorang. Imani segera
menoleh ke kirinya. Adham berada di sebelahnya, sambil tersenyum juga.
Imani terperanjat, namun sekadar
membiarkan kedua belah tangannya dipegang oleh kedua orang lelaki tersebut.
Adham yang baru sahaja tiba, memandang wajah Imani dan Fahim bersilih ganti.
Fahim membalas kembali senyuman sahabatnya itu.
‘Allahuakbar.. Allahuakbar!!’ suara azan subuh berkumandang, segera
membangkitkan Imani dari lenanya. Imani segera duduk lalu cuba mengingati
kembali mimpinya. Dia teringat bahawa dia berpegangan tangan dengan Fahim,
kemudian disertai dengan Adham pula.
‘Astaghfirullahalazim... apa yang aku mimpi tadi Ya Allah?’ Imani
bermonolog sendirian sambil meraup wajahnya. Dia tidak mengerti apakah mimpi
itu merupakan petunjuk, atau mimpi itu hadir disebabkan rasa kelirunya terhadap
dua lelaki, iaitu Fahim dan Adham. Imani segera menanggalkan telekungnya, lalu
dia menuju ke tandas untuk mengambil wudhu’. Usai bersolat subuh, dia berdoa
kehadrat Ilahi sekali lagi.
***
Imani sedang duduk di mejanya,
membelek2 beberapa dokumen di pejabatnya pada waktu petang, disaat telefon bimbitnya
tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej masuk. Imani menghentikan kerjanya
seketika lalu membaca mesej yang dihantar kepadanya.
‘Salam Imani. Imani sihat? Dh sebulan lebih brlalu sjak kita jumpa dulu.
Awk dah ada jwapan? Kalau belum xpe, sy sudi tggu lagi :) – Fahim’
Imani terdiam seketika membaca
mesej itu. Pada saat itu juga Imani terkenang kembali mimpi-mimpi dalam
tidurnya. Tiga hari berturut Imani melakukan solat istikharah, dan tiga malam
itulah Imani bermimpi perkara yang sama. Fahim lelaki pertama yang memipin
tangannya, kemudian disusuli oleh Adham. Imani masih tidak mengerti. Apakah
maksud mimpinya yang dirasakan sungguh pelik itu? Bagaimana kedua-dua lelaki
boleh muncul dalam mimpi yang sama?
‘Aku mimpi kedua-duanya sekali. Fahim dan Adham. Yang mana patut aku
pilih Ya Allah?’ Imani gumam sendirian sambil menyandarkan kepalanya di
kerusi. Dia tidak terus membalas mesej Fahim. Imani berfikir sedalam-dalamnya
akan mimpinya yang ganjil itu.
‘Tapi Fahim yang pertama memimpin tanganku. Mungkin Adham muncul
kemudian kerana hati aku masih belum bersedia untuk melepaskan dia sepenuhnya,’
Imani membuat kesimpulan sendiri. Sambil itu dia membaca mesej Fahim berulang
kali.
Hampir setengah jam Imani
termenung memikirkan apakah jawapan yang paling sesuai untuk dimesejkan kepada
Fahim. Sudah sebulan Fahim menanti, dia tidak mahu mensia-siakan penantian
lelaki itu, yang nampaknya begitu ikhlas mencintai dirinya. Akhirnya Imani membuat keputusan terakhir.
Kali ini dia tekad.
‘Wasalam Fahim. Alhamdulillah sy sihat. Sy dah buat keputusan, sy terima
lamaran awk. Terima kasih krn sudi menanti sy begitu lama :)’ Imani menaip
di skrin telefon bimbitnya. Lama dia membaca mesej itu berulang kali. Jarinya
masih teragak-agak untuk menekan butang ’send’.
Dia tahu, jika dia telah menghantar mesej itu kepada Fahim, dia tidak boleh
berpatah balik.
‘Ya Allah, semoga keputusan yang aku buat ini betul. Semoga petunjuk
yang Kau berikan dalam mimpiku adalah benar,’ Imani berkata perlahan, dan
akhirnya Imani menekan butang ‘send’
itu.
‘Mungkin dah sampai masanya aku melupakan kau Adham, dan belajar
mencintai bakal suamiku ini. Selamat tinggal Adham,’ luah Imani lagi, sambil
melihat skrin telefon bimbitnya tertera perkataan ‘message sent’. Imani menanti jawapan Fahim dengan hati yang penuh
debaran.
Telefon bimbit Imani berbunyi
lagi. Imani segera membuka mesej yang diterima.
‘Terima kasih Imani, krn sudi terima sy. Hanya Allah yg tahu betapa
gembiranya sy skrg ni. Sy janji, sy takkan sia2kan awk selepas ini :)’
Imani membaca mesej daripada Fahim itu. Imani dapat merasakan Fahim begitu
gembira pada saat itu, walaupun dia sekadar membaca mesej tanpa melihat reaksi
Fahim.
Tanpa disedari oleh Imani
sendiri, bibirnya menguntum senyuman. Tersenyum kerana mungkin sinar bahagia
yang dicarinya selama ini sudah hampir ditemui dan dimiliki.
***
Selepas Imani membuat keputusan
untuk menerima lamaran Fahim, dia berkongsi berita ini dengan keluarganya.
Ternyata ibu dan bapanya sungguh gembira dengan keputusan Imani. Ibunya gembira
kerana dia bakal mempunyai seorang menantu, dan Imani tidak lagi bersendirian
selepas ini. Ayah Imani gembira kerana dirinya bakal berbesan dengan sahabat
lamanya sendiri. Melihatkan betapa gembiranya insan-insan yang disayanginya
menerima berita itu, Imani yakin, bahawa keputusan yang dibuatnya adalah betul.
Imani tidak boleh berhenti senyum.
Mendengarkan keputusan Imani yang
bersetuju untuk menjadi isterinya, tidak lama selepas itu, Fahim bersama seisi
keluarganya datang sekali lagi ke rumah Imani, beserta rombongan meminang.
Keluarga Imani menerima kehadiran rombongan itu dengan gembira sekali.
Kedua-dua belah pihak itu juga berbincang untuk mengadakan majlis pertunangan
dengan segera. Imani yang sekadar menjeling kelibat Fahim dari jauh, dapat
melihat sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah bakal suaminya itu. Fahim
yang akhirnya menyedari Imani sedang merenungnya dari jauh, tersenyum kembali
kepadanya. Imani yang malu sendirian apabila melihat Fahim yang tersenyum,
segera menundukkan muka menahan malu.
Pada suatu hari, Imani dan Fahim
menikmati makan tengahari bersama di sebuah restoran buat pertama kali. Mereka
juga berhajat untuk berbincang tentang majlis pertunangan yang bakal diadakan
dalam tempoh dua minggu lagi.
‘Fahim, kalau saya jemput Musliha dan Sofia, boleh kan? Sudah dua tahun
juga saya dah tak jumpa mereka,’ Imani berkata kepada Fahim yang sedang
menyedut minuman.
‘Sudah tentu boleh, Imani. Majlis pertunangan kecil-kecil macam kita nak
buat ni tak apa kalau jemput kawan-kawan rapat. Tapi kalau nak jemput satu
sekolah, satu universiti, yang tu kita tunggu masjlis perkahwinan kita nanti
ye. Yang tu kita buat grand punya,’ Fahim berkata ceria, membuatkan Imani
tertawa kecil. Masih ada sifat Fahim yang kelakar yang tidak pernah berubah,
luah Imani di hati kecilnya.
‘Oh ye Fahim. Awak tak jemput Adham, kawan baik awak dulu tu?’ Entah
mengapa, Imani mendapat kekuatan untuk bertanyakan kepada Fahim tentang insan
yang begitu lama dirinduinya itu. Imani dapat merasakan jantungnya berdegup
laju saat bibirnya menuturkan nama Adham, namun dia cuba menyembunyikan
perasaannya itu, dengan harapan Fahim tidak menyedarinya.
‘Kalau awak nak tahu Imani, lepas kita habis belajar dulu, sekalipun
saya tak dapat contact Adham. Last jumpa masa majlis konvo dulu la. Lepas tu
bila saya call dia, dia tak jawab. Hantar surat ikut alamat dalam yearbook kita
tu, tak berbalas. Mungkin dia tukar nombor dengan alamat. Dah ada kehidupan
baru agaknya,’ terang Fahim yang juga kelihatan merindui sahabat lamanya
itu. Imani terdiam. Nampaknya Fahim juga sudah terputus hubungan dengan Adham.
Buat apa dia perlu menanti lagi lelaki itu yang sudah begitu lama hilang? gumam
Imani dalam hati.
‘Imani, lepas kita bertunang nanti, saya ingat nak adakan majlis
perkahwinan secepat yang mungkin. Saya taknak bertunang lama-lama. Awak setuju
ke?’ Lembut sahaja Fahim menyatakan hajatnya.
‘Saya setuju. Memang tak elok kan bertunang lama-lama. Kita bertunang
sebulan je cukuplah’ Imani berkata sambil menyuap makanannya.
‘Kalau macamtu, apa kata tarikh nikah kita tetapkan 10 Oktober? Masa tu
hari lahir awak,’ Fahim berkata sambil tersenyum. Imani terdiam seketika.
Memang benar, lebih kurang sebulan selepas tarikh pertunangan mereka, adalah
hari lahirnya. Bagaimana dia boleh terlupa hal itu?
‘Awak ni Fahim. Tak pernah lupa hari lahir saya kan?’ Imani
tersenyum. Dia terharu dengan lelaki di hadapannya ini yang tidak pernah lupa
akan tarikh lahirnya.
‘Mana mungkin saya lupa. Dulu tiap-tiap tahun saya akan ingat tarikh tu.
Sehari sebelum tarikh tu saya dah siap-siap carikan hadiah birthday untuk awak,’
kata Fahim lagi, menyebabkan bibir Imani mengukir senyuman. Saat itu juga dia
dan Fahim mengenang kembali memori lama.
‘Saya tak pernah ucap terima kasih kan Fahim? Sebab saya tak pernah tahu
siapa insan misteri tu. Sekarang saya dah tahu awaklah orangnya, jadi saya nak
ucap terima kasih banyak-banyak, untuk hadiah sepanjang empat tahun tu,’
Imani mengucapkan terima kasih dengan senyuman yang tak lekang di bibir.
‘Sama-sama sayang,’ Fahim tersenyum nakal menyebabkan Imani terkedu
seketika mendengar perkataan terakhir yang diucapkan Fahim itu. Fahim yang
menyedari reaksi wajah Imani segera berubah, hanya ketawa kecil. Imani mula
merasakan wajahnya mula memerah menahan malu, namun bibirnya tetap mengukir
senyum untuk Fahim.
***
Sehari sebelum tibanya hari
pernikahan Imani dan Fahim, Imani dapat merasakan denyutan jantungnya kerap
kali tidak menentu. Kadangkala laju disebabkan gembira dan teruja, kadangkala
gementar mengenangkan bahawa dia bakal bergelar isteri orang pada hari esok.
Imani dan Fahim bakal disatukan di masjid berhampiran rumahnya pada esok hari,
dan pada pagi itu Imani agak sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis
pernikahannya, dibantu oleh ibu dan saudara-saudara terdekatnya.
‘Imani, ada posmen datang bawak bungkusan. Imani kena sign,’ laung
ayah Imani dari ruang tamu. Imani segera bangkit lalu memakai tudung dan menuju
ke pagar rumah.
‘Bungkusan dari Australia? Siapa yang bagi?’ gumam Imani sebaik
sahaja dia melihat alamat pengirim yang tertera di luar bungkusan itu. Selesai
menandatangani dokumen yang perlu, Imani membawa bungkusan kecil itu ke dalam
rumah.
‘Eh, cepatnya dapat hadiah kahwin ye,’ usik makcik Imani yang
terlihat Imani membawa bungkusan kecil itu kedalam rumah. Imani sekadar
tersenyum kecil lalu membawa bungkusan itu masuk ke dalam biliknya.
Imani lalu meletakkan bungkusan
itu di atas mejanya, lalu dia keluar semula untuk menyambung kerjanya yang
tertunda sebentar tadi.
Pada malam itu, lebih kurang jam
sepuluh malam, Imani yang sudah selesai menyiapkan persiapan terakhir, masuk ke
dalam biliknya untuk berehat. Ketika dia berbaring di atas katilnya, telefon
bimbitnya berbunyi. Imani segera mengambil telefonnya dan membaca mesej yang
baru masuk.
‘Imani dah nak tidur? Nervous?’ pendek sahaja mesej yang dikirim
Fahim. Imani segera tersenyum membaca mesej itu.
‘Nervous la juga sbnrnya. Hrp2 majlis esok berjln lancar,’ Imani
menaip lalu menekan ‘send’.
‘Takmau nervous2 ye. InsyaAllah esok smua ok. Gudnite dear. Jumpa esok
:)’ laju sahaja Fahim membalas mesejnya.
‘InsyaAllah. Slamat malam,’ balas Imani sebelum dia meletakkan
kembali telefon bimbitnya di sisi katilnya. Pada saat itulah matanya terus
tertumpu ke arah bungkusan yang lama terletak di atas mejanya sejak siang tadi.
Serta merta Imani menepuk dahi.
‘Ya Allah, macam mana aku boleh lupa?’ omel Imani lalu dia segera
mengambil bungkusan itu dan meletakkannya di birai katil.
Perlahan-lahan Imani mengoyak
pembalut bungkusan itu, dan di dalam bungkusan itu terdapat sebuah hadiah
berbalut cantik. Imani membuka pembalut hadiah itu dan terdapat sebuah kotak
lain di dalamnya. Imani mengangkat kening, tanda kehairanan.
Dan di dalam kotak itu, Imani
melihat terdapat sebuah kotak kecil, dan sehelai kertas yang dilipat kemas.
Keliru untuk mengambil yang mana satu, Imani memilih untuk mengambil kertas itu
terlebih dahulu. Imani lalu membuka lipatan kertas itu, dan mula membaca
ayat-ayat yang tertera di atasnya.
‘Khas buat Nurul Imani binti
Mazlan. Assalamualaikum WBT....
Imani apa khabar? Lama sungguh
kita tak mendengar khabar berita satu sama lain kan? Hampir dua tahun lamanya.
Maafkan saya sebab langsung tak contact awak lepas kita tamat belajar. Tamat
sahaja pengajian, saya terpaksa berhijrah ke Melbourne, Australia kerana
menemani keluarga saya ke sana. Bapa saya sakit dan mendapat rawatan susulan di
sana. Di samping itu, saya juga menyambung pelajaran saya di sana ke peringkat
Master.
Maaf juga atas kehadiran hadiah
yang datang tiba-tiba tanpa diundang ini. Saya tahu hari lahir awak esok hari,
tapi saya sengaja hantar hadiah hari jadi awak lebih awal. Nasib baik saya
masih simpan yearbook batch kita dulu, dapatlah saya kirim hadiah ini kepada
awak. Hadiah awak ada dalam kotak kecil sekali dalam bungkusan ni, nanti awak
buka ye. Saya harap awak suka :)
Pada hari lahir awak yang ke 25
ni Imani, saya rasa sudah sampai masanya saya berterus terang dengan awak
tentang rahsia yang sudah terlalu lama saya pendam selama ini. Saya sebenarnya
sangat menyayngi awak Imani, bermula dari hari pertama kita berjumpa di fakulti
pada enam tahun yang lepas. Sudah lama saya memendam perasaan ini dan menanti
masa yang sesuai untuk memberitahu awak, malangnya saya tak boleh berterus
terang dulu kerana saya akhirnya sedar, bahawa sahabat saya Fahim juga sukakan
awak. Dan saya tak mampu untuk melukakan hati sahabat saya itu.
Lagipun pada waktu itu kita
sedang sibuk belajar, dan ditambah lagi dengan penyakit ayah saya yang semakin
serius, saya melupakan seketika hajat saya untuk berterus terang dengan awak.
Namun sekalipun saya tak pernah buang perasaan dalam hati saya ini untuk awak
Imani, kerana jauh di sudut hati saya dapat merasaakan yang awak juga
berperasaan sama seperti saya. Saya dapat lihat melalui sinar mata awak. Betulkah
Imani?
Setelah berusaha selama dua tahun
mempersiapkan diri, saya kini yakin Imani, untuk berterus terang dengan awak
dan menyatakan impian saya untuk menyunting awak sebagai bakal isteri saya.
Andai awak sudahpun berpunya, beritahulah saya, dan saya akan mengundur diri. Tetapi
jika belum, berilah peluang kepada saya untuk memiliki awak secara sah.
Sungguh saya sangat berharap Imani, bahawa saya belum terlambat.
Saya masih lagi berada di
Australia, dan akan kembali ke Malaysia pada bulan depan. Dalam surat ini saya
sertakan alamat email saya, saya harap awak dapat memberikan jawapan melalui
email itu. Maaf sekali lagi Imani jika kehadiran surat dan hadiah ini
membuatkan awak terkejut, tapi saya nak awak tahu sepanjang enam tahun ini, tak
pernah sekalipun perasaan sayang saya terhadap awak berubah. Dan saya akan
setia di sini menanti jawapan awak.
Yang
menyayangimu,
Muhammad
Adham Abdul Rahim
Imani jatuh terjelepok ke lantai
sebaik sahaja tamat membaca surat itu. Air matanya jatuh mencurah-curah pada
saat itu juga, malah lebih deras setelah melihat nama Adham di akhir surat itu.
Kenapa Ya Allah, kenapa surat ini harus tiba pada malam pernikahannya? Kenapa tidak
setahun yang lepas? Imani terus-terusan menangis mengenangkan nasibnya.
Rupa-rupanya selama enam tahun
ini dia tidak bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanya selama ini Adham juga
menyimpan perasaan yang sama terhadap dirinya. Namun Allah telah mentakdirkan,
bahawa rahsia itu tersimpan kemas antara Imani dan Adham sendiri sehinggalah tiba hari
pernikahannya dengan Fahim. Imani menangis lagi sambil membuka kotak kecil yang
mengandungi hadiah hari lahirnya itu. Seutas rantai putih yang cantik berada di
dalam kotak kecil itu. Imani lalu mengeluarkannya dan meletakkannya rapat ke
hatinya.
‘Kenapa Adham? Kenapa baru sekarang?’ luah Imani yang masih tersedu
sedan dalam esak tangisnya. Pada saat itu juga, Imani bangkit lalu membuka komputer
ribanya. Dia perlu menjawab persoalan Adham melalui email pada malam itu juga.
Salam Adham,
Adham, saya sudah terima hadiah awak. Dan memang benar kata awak Adham,
saya memang sudah terlalu lama sukakan awak, sejak kali pertama kita berjumpa
dulu, sehinggalah pada saat ini, perasaan itu tidak pernah hilang. Tapi awak
dah terlambat Adham. Terlalu lambat. Saya akan bernikah dengan sahabat awak, Fahim
pada esok hari. Maafkan saya kerana tidak dapat memberikan jawapan yang awak
inginkan, walaupun jauh di sudut hati, saya ingin sangat berkata ‘ya’.
Semoga awak dapat berjumpa dengan pengganti saya yang lebih baik.
NURUL IMANI
Imani menangis teresak-esak lagi.
Hatinya berasa sedih, sakit, kecewa, marah. Sedih dan kecewa bukan kepalang
kerana impiannya selama ini untuk menyulam cinta dengan Adham tidak dapat
direalisasikan, hanya kerana kedua-duanya sudah terlambat. Sakit hati dan marah
dengan takdir yang selama ini menyembunyikan rahsia hati ini daripada
pengetahuannya dan Adham terlalu lama. Imani membelek rantai putih yang
diterimanya itu. Ingin sekali dikalungkan rantai itu ke lehernya tetapi dia
tidak betah. Hatinya menangis lagi.
Imani menjeling skrin komputer
ribanya. Matanya buntang setelah melihat ada satu email baru diterimanya. Imani
yakin Adham yang menghantar email itu. Imani segera duduk di mejanya dan
membaca email baru itu.
Wassalam Imani,
Sungguh Imani, hanya Allah yang tahu betapa ralatnya dan remuknya hati
saya rasa sekarang kerana terlambat berterus terang dengan awak tentang isi
hati saya. Disebabkan kelewatan ini, saya kehilangan awak kepada sahabat baik
saya sendiri. Kalaulah masa itu boleh diputarkan kembali Imani, saya pasti
berterus terang dengan awak lebih awal. Bukan pada waktu sehari sebelum hari
pernikahan awak.
Mungkin sudah tertulis Imani, Allah tidak menciptakan kita untuk satu
sama lain, walaupun hakikatnya kita sangat saling menyayangi sejak dulu lagi.
Allah itu Maha Mengetahui, pasti ada sebabnya kenapa kita tak ditakdirkan
bersama. Saya berharap awak gembira menjalani kehidupan baru bersama Fahim.
Anggaplah apa yang telah saya luahkan itu tak pernah berlaku.
Selamat pengantin baru Imani. Semoga bahagia hingga akhir hayat. Saya
akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak dan Fahim. InsyaAllah.
MUHAMMAD ADHAM
Imani menangis lagi. Dan dia
yakin Adham di sana turut sama menangis sepertinya.Tidak menyangka dua hati
yang selama ini menyayangi dan merindui satu sama lain terpaksa berpisah
disebabkan masa yang sudah terlalu lewat. Kalaulah.. kalaulah.. semua ini
tejadi lebih awal, berulang-ulang kali Imani menekankan ayat iu dalam lubuk
hatinya. Namun itu semua tak akan berlaku. Hakikatnya, pada esok hari, dia akan
sah menjadi seorang isteri kepada Ahmad Fahim Fadzil. Sebaik sahaja Fahim
selamat melafaz akad, dia akan menjadi milik mutlak Fahim, dan itu bermakna dia
sudahpun kehilangan Adham. Mungkin untuk selama-lamanya.
‘Imani, Imani okey ke? Kenapa ibu dengar Imani macam menangis?’
Imani terdengar suara ibunya di luar sambil mengetuk pintu biliknya. Imani
segera mengesat air matanya. Suaranya yang serak itu cuba dilindungi sebaik
mungkin.
‘Imani okey ibu. Dah nak tidur dah. Selamat malam. Assalamualaikum,’
ringkas Imani menjawab kemudian dia segera memadamkan lampu. Dalam kegelapan
malam itu, Imani tidur tersendu-sendu ditemani air mata yang tidak henti-henti
mengalir dari matanya, dan tangannya menggenggam erat surat dan rantai yang
dikirimkan oleh Adham. Hari pernikahannya esok sudah tidak lagi mendapat tempat
dalam hati dan fikirannya. Yang ada di hatinya, cuma Adham.
***
Pada pagi hari pernikahannya,
Imani bangkit dari tidur dengan mata yang bengkak dan merah. Keadaan matanya
itu disedari oleh ibunya dan sesiapa juga yang memandang. Apabila ditanya oleh
orang ramai, Imani sekadar menjawab ‘tidak dapat tidur malam tadi’, kemudian
Imani meneruskan persiapan saat-saat akhirnya seperti biasa seolah-olah tidak
ada apa-apa yang terjadi semalam. Sedangkan pada saat itu hanya Allah sahaja
yang tahu tentang hatinya yang dirundung hiba tanpa henti sejak malam tadi.
Surat dan hadiah yang dikirim oleh
Adham, disimpan Imani elok-elok diatas almarinya. Selepas berkahwin dengan
Fahim, Imani akan berhijrah ke tempat baru mengikut suaminya. Biarlah surat dan
hadiah itu bersemadi di situ, tanpa perlu dibawa ke tempat baru, fikir Imani.
Saat Imani melihat bilik tidurnya
sudah dihias dengan cadar dan birai yang cantik, hatinya kosong tanpa sebarang
perasaan. Saat dia mengenakan baju pernikahannya yang berwarna putih,
perasaannya hiba sekali lagi. Apabila wajahnya disolek Mak Andam, Imani
sedikitpun tidak tersenyum dan dia hanya menundukkan wajah hampir setiap masa.
Jenuh sudah Mak Andam meminta Imani mengangkat kepala. Dia cuba untuk
menyolekkan mata Imani dan menyembunyikan kesan bengkak itu, namun apabila
Imani mengangkat wajahnya untuk disolek, wajahnya dibiarkan sugul. Sepatah
ditanya, sepatah dijawab oleh Imani.
Di masjid, Imani duduk sahaja
mendiamkan diri disaat menanti ketibaan orang ramai yang hadir menyaksikan
majlis pernikahannya. Dia terlihat Musliha dan Sofia yang begitu gembira dan
teruja melambai kepadanya, namun Imani sekadar tersenyum kelat dan melambai
lemah. Saat pertama kali Imani bertentangan mata dengan Fahim pada hari itu,
Fahim tersenyum manis kepadanya, namun Imani membalasnya ringkas lalu menghala
pandangannya ke tempat lain.
‘Aku nikahkan dikau dengan anak gadisku Nurul Imani binti Mazlan dengan
mas kahwinnya seratus ringgit tunai,’ Imani segera tersedar dari lamunan
sebaik sahaja dia mendengar suara ayahnya bergema dalam seisi masjid melalui
mikrofon. Dengan penuh debaran, Imani menanti lafaz nikah yang bakal diucapkan
oleh Fahim sebentar lagi.
‘Aku terima nikahnya Nurul Imani binti Mazlan dengan mas kahwinnya seratus
ringgit, tunai,’ dengan jelas dan yakin Fahim mengucapkan lafaz akad nikah
itu dengan sekali lafaz. Dan setelah disambut dengan ‘sah’ oleh jemaah lain,
Fahim meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya, tanda bersyukur yang amat
sangat pada hari itu. Gadis yang begitu lama dicintainya, kini sudah sah
menjadi miliknya. Fahim segera menoleh kebelakang memandang Imani. Imani tersenyum
kembali kepadanya dengan deraian air mata. Sangka Fahim, Imani menangis
kegembiraan, namun pada Imani, dia menangis kesedihan kerana dia sudah sah
menjadi milik lelaki yang tidak pernah dicintainya.
Selesai majlis akad nikah dan
majlis pembatalan air sembahyang, Imani sedaya upaya cuba menyembunyikan
kesedihannya dengan mengukir senyuman palsu kepada Fahim dan seluruh hadirin
yang ada. Saat Fahim mengucup dahinya buat pertama kali, langsung tiada rasa bahagia dirasai di hatinya. Sekali sekala Imani menjeling wajah Fahim, suaminya kini yang begitu
gembira dan jelas terpancar sinar bahagia di wajah itu. Dan pada hari itu,
seluruh majlis berlangsung dengan baik dan meriah, meskipun Imani dapat merasakan fikirannya melayang, hatinya
kosong dan dia langsung tidak berasa gembira pada hari itu.
Pada malam itu, Imani awal-awal
sudah masuk ke dalam biliknya. Dia memakai baju tidur, dan rambutnya yang
panjang mengurai itu sudah tersikat rapi dan dibiarkan terlepas. Dia hanya
duduk di birai katil, menanti suaminya untuk masuk ke dalam bilik.
‘Assalamualaikum,’ lembut sahaja Fahim meberi salam. Lalu dia masuk
kedalam bilik dengan berbaju melayu sahaja. Samping dan tanjak yang
dipakainya siang tadi awal-awal sudah ditanggalkan.
‘Waalaikumussalam,’ jawab Imani ringkas. Dia sekadar memandang
suaminya itu dengan ekor matanya. Fahim sekadar tersenyum dan perlahan-lahan
dia duduk di sisi Imani dan menatap wajah isteri kesayangannya itu lama-lama.
Imani yang agak terkejut dengan tindakan Fahim secara tiba-tiba itu, menelan
air liur. Hatinya tiba-tiba berasa gementar.
‘Subhanallah. Cantik sungguh isteri abang ni. Bertuah abang ada isteri
secantik Imani,’ Fahim berkata, tersenyum sambil tangannya mebelai rambut
panjang Imani. Kemudian dia memegang pipi Imani lembut, meyebabkan Imani mula
berasa malu. Imani dapat merasakan darah sudah menyirap naik ke mukanya, lalu
dia sekadar menunduk.
‘Abang mandi dulu ye. Panaslah,’ kata Fahim lalu dia bangkit
mengambil tuala yang terlipat lalu menuju ke bilik air. Imani yang masih diam
membatu mengurut-ngurut dadanya. Dirasakan jantungnya berdegup kencang pada
waktu itu.
Usai Fahim mandi, dia keluar dari
bilik air. Dia melihat isterinya sudah terlena di sisi katil. Serta merta
timbul rasa kasihan dalam dirinya. Lalu Fahim duduk di sisi Imani. Direnung
sekali lagi wajah isterinya yang sedang terlena itu.
‘Kasihan Imani. Mesti dia penat sangat ni,’ bisik Fahim perlahan
sambil membelai rambut Imani lembut. Lalu Fahim mengambil selimut lalu dia
menyelimutkan Imani. Pada waktu itu, Imani lantas terjaga dari tidurnya, lalu
dia terus duduk menghadap Fahim.
‘A.. abang... maaf, Imani terlelap,’ kata Imani sambil
terpisat-pisat.
‘Tak apa sayang, sambunglah tidur. Abang pun nak tidur juga. Penat kan,’
Fahim berkata lembut sambil memerhatikan sahaja Imani menggosok-gosok matanya.
Comel sungguh Imani pada saat itu, bisik hati kecilnya.
‘Abang...Imani ada sesuatu nak cakap dengan abang,’ Imani yang sudah
segar kembali memandang wajah suaminya dengan serius. Melihatkan wajah Imani mula
bertukar nada, Fahim lalu duduk menghadap isterinya itu.
‘Imani, Imani nak minta maaf. Imani rasa perkahwinan kita ni terlalu
cepat. Imani minta abang berikan Imani sedikit masa untuk belajar menyesuaikan
diri untuk menjadi seorang isteri. Imani juga perlukan lebih masa untuk
mencintai abang sepenuh hati Imani,’ perlahan sahaja Imani bertutur, namun
dapat ditangkap oleh telinga Fahim. Fahim dengan cepat mengerti maksud Imani yang masih belum bersedia itu. Takut melihat reaksi suaminya itu, Imani
menundukkan kepalanya lagi.
‘Sebab tu la sejak siang tadi Imani risau ye? senyum pun terpaksa je
kan? Tak apa sayang, abang faham,’ Fahim berkata dengan lembut. Imani
mengangkat kepala perlahan-lahan dan memandang wajah suaminya.
‘Mana.. mana abang tahu tadi Imani senyum terpaksa?’ tanya Imani
lagi, ingin tahu.
‘Abang dah pernah tengok Imani senyum macam tu sejak zaman universiti
lagi. Lupa?’ Fahim berkata sambil tersenyum. Serta merta memori Imani
terimbas kembali saat Fahim menegurnya di hadapan perpustakaan. Dan bagaimana
Fahim berjenaka bagi membuatkan dia tersenyum kembali. Tanpa disedari,
perlahan-lahan bibir Imani mengukir senyum.
‘Ha, macam ni la baru senyum ikhlas. Tak apa, Imani ambillah seberapa
banyak masa yang Imani perlukan untuk menyesuaikan diri. Abang tak akan paksa,
abang faham. Apabila Imani dah bersetuju menjadi isteri abang, dah tak ada apa
lagi yang abang inginkan dalam hidup ni. Dapat menjadi suami yang sah untuk
Imani, pada abang itu sudah cukup memadai,’ lembut sahaja tutur kata Fahim,
menyebabkan Imani terasa ada air bergenang di kelopak matanya. Sungguh pada saat
itu Imani terasa bersalah yang amat sangat. Rasa bersalah disebabkan dirinya
gagal mencintai suaminya itu dan masih mencintai lelaki lain yang bukan
miliknya. Perlahan-lahan Imani menyeka air matanya itu tanpa disedari oleh
Fahim.
‘Terima kasih abang, kerana memahami Imani,’ Imani berkata perlahan
sambil memandang tepat wajah Fahim. Fahim tersenyum lagi.
‘Dah lambat ni. Jom tidur. Esok pagi nak buat sarapan untuk abang kan?’
kata Fahim lalu Imani segera mengangguk. Dia bangkit lalu memadamkan lampu.
Imani kemudian naik ke atas katil dan mengambil tempat di sebelah suaminya.
Pada malam itu, Imani dan Fahim
tidur menghadap satu sama lain. Fahim tidur sambil memegang tangan Imani. Imani
terkenang kembali mimpinya, dimana Fahim memegang tangannya, sama seperti malam
itu. Dan dalam kesamaran malam ditemani cahaya bulan, Imani dapat melihat Fahim
tersenyum dalam tidurnya. Tersenyum bahagia kerana setelah sekian lama menanti,
Imani akhirnya ditakdirkan menjadi miliknya.
‘Maafkan Imani, abang. Maaf kerana Imani masih mencintai lelaki lain,’
bisik Imani perlahan, lalu dia memejam mata dan turut terlena.
***
Sudah hampir sebulan Imani dan
Fahim menjalani hidup sebagai pasangan suami Isteri. Mereka juga sudah
berpindah ke sebuah rumah yang dibeli oleh Fahim di Kuala Lumpur. Meskipun
tiada rasa cinta dalam hati Imani untuk Fahim, namun dia tidak pernah
mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Pada setiap pagi, Imani
akan mengejutkan Fahim dari tidur, dan mereka akan bersolat subuh berjemaah.
Imani kemudian akan menyediakan sarapan pagi untuk suaminya, dan sebelum
masing-masing bergerak ke pejabat, Imani akan mencium tangan suaminya, manakala
Fahim akan mengucup dahi isterinya.
Saat Fahim mengucup dahi Imani
pada hari pertama mereka keluar bekerja, Imani merasakan suatu ketenangan dan
kebahagiaan luar biasa meresap masuk ke dalam dirinya. Mungkin inilah dia
nikmat kebahagiaan menjadi pasangan suami isteri, fikir Imani. Pada waktu
malam, apabila mereka menikmati juadah makan malam bersama, ada kalanya Fahim
begitu mesra menyuapkan nasi ke mulut Imani. Imani yang pada mulanya agak
janggal, menurut sahaja perlakuan suaminya itu. Dan pada waktu tidur,
kadangkala Imani tidur berpegangan tangan dengan Fahim. Atau Fahim akan menarik
Imani tidur dalam rangkulannya saat Imani sudah tertidur lena. Namun Fahim
tidak pernah menyentuh isterinya lebih daripada itu kerana dia tahu Imani belum
bersedia. Dan dia tak akan sekali-kali memaksa isteri kesayangannya itu
menuruti kemahuannya.
Di pejabat, kadangkala Imani
membuka emailnya. Cuba untuk melihat kalau-kalau ada email yang dikirim oleh
Adham. Hampir sebulan berlalu, dan Imani pasti Adham sudah bersiap-siap hendak
pulang ke Malaysia. Namun tiada langsung email yang dihantar oleh Adham.
Nampaknya Adham benar-benar berusaha untuk melupakan Imani. Walau bagaimanapun,
hati kecil Imani masih berharap, walaupun dia tahu adalah mustahil untuk Adham
menghubunginya semula selepas apa yang telah berlaku antara mereka berdua.
Ketika Imani sedang khusyuk
menatap skrin komuternya, pada saat itu telefon bimbitnya berdering, menandakan
ada panggilan masuk. Imani lalu melihat nama pemanggilnya. ‘Abang’. Tertera
perkataan itu di atas skrin telefonnya.
‘Assalamualaikum, abang,’ Imani memberi salam kepada suaminya.
‘Waalaikumussalam sayang. Tengah sibuk ke?’ tanya Fahim.
‘Tak abang, tengah belek-belek dokumen je. Kenapa bang?’ tanya Imani
lembut.
‘Imani tak payah masak ye malam ni. Abang terasa nak belanja Imani makan
malam kat luar la hari ni,’ Imani terdengar nada ceria di sebalik suara
suaminya itu.
‘Kalau macam tu oklah bang. Jumpa malam nanti ye,’ tutur Imani. Fahim
lalu memberi salam kemudian talian dimatikan. Imani menyimpan telefon bimbitnya
lalu menyelesaikan kerjanya yang tertangguh sedari tadi.
Pada malam itu, setelah selesai
bersolat maghrib berjemaah, Fahim memandang isterinya yang masih lagi
bertelekung.
‘Imani pakai lawa-lawa ye malam ni. Abang nak bawa Imani ke sebuah
tempat 'special',’ kata Fahim sambil tersenyum. Imani yang kehairanan,
sekadar mengangguk kepala.
Selesai bersolat maghrib, Fahim
dan Imani meninggalkan rumah dan Fahim memandu, membawa Imani ke sebuah tempat
yang diperkatakan. Berulang kali Imani bertanyakan kepada Fahim kemanakah suaminya itu
ingin membawanya, namun Fahim hanya tersenyum lebar, tanpa memberi sebarang jawapan.
Akhirnya mereka berhenti di
sebuah restoran mewah di tengah-tengah ibu kota. Imani yang pertama kali tiba
di restoran seperti itu, tergamam sebaik sahaja dia dan Fahim berdiri di
hadapannya. Fahim sekadar menjeling isterinya di sebelah, sebelum dia tiba-tiba
menghulurkan tangan kanannya. Imani yang terkejut dengan perlakuan suaminya
sekadar menyambut huluran tangan itu. Fahim memimpin tangan Imani lalu mereka
berjalan beriringan memasuki restoran tersebut.
Masuk sahaja ke restoran
tersebut, berkumandang lagu-lagu romantik yang membuai perasaan sesiapa sahaja
yang mendengarnya. Suasana lampu yang malap di dalam restoran juga membuatkan
Imani terasa terbuai sendiri. Fahim membawa Imani ke sebuah meja yang sudah
ditempah awal-awal, kemudian dia menarik kerusi Imani dan mempersilakan
isterinya itu duduk. Kemudian dia mengambil sejambak bunga mawar yang indah
dari kerusinya lalu diserahkan kepada Imani.
‘Abang.. untuk apa ni? Kenapa malam ni istimewa sangat?’ tanya Imani
yang masih lagi terperanjat dengan kejutan yang dibuat oleh suaminya.
‘Imani lupa? Malam ni dah genap sebulan kita bergelar suami isteri,’
berseri-seri wajah Fahim ketika dia menerangkan sebab disebalik kejutan yang
dilakukannya itu. Imani terdiam sendiri. Sedar tak sedar, sudah sebulan rupanya
dia bergelar isteri kepada Fahim.
‘Lagipun kita bernikah pada hari jadi Imani kan? Abang tak sempat nak
beri hadiah kat Imani haritu, sebab kita sibuk dengan persiapan perkahwinan.
Jadi malam ni abang ada beli hadiah hari jadi Imani. Happy belated birthday
sayang,’ lalu Fahim mengeluarkan sebuah kotak dari kocek seluarnya.
Kemudian dia mengeluarkan seutas rantai bertatah berlian dan berloketkan hati,
lalu disarungkan ke leher Imani yang bertudung. Imani tergamam tanpa kata.
Sungguh dia sangat terkejut pada waktu itu.
‘Ha, kan cantik ni. Nanti kat rumah pakai kat leher ye, jangan pakai kat
tudung,’ sempat Fahim bergurau, membuatkan Imani tergelak kecil.
‘Dan semoga hubungan kita akan berkekalan sampai ke syurga sayang, InsyaAllah,’
bisik Fahim perlahan ke telinga Imani lalu dia mencium pipi isterinya itu.
Imani terkedu lagi untuk kali yang entah keberapa.
Sungguh pada waktu itu hati Imani
berasa terharu yang amat sangat. Sejak zaman universiti lagi, Fahim sangat suka
melakukan kejutan yang membuatkan hati wanitanya benar-benar tersentuh.
Walaupun dia masih lagi belum menjadi isteri yang sempurna untuk Fahim, namun
Fahim melayannya umpama seorang puteri. Serta merta air mata Imani mengalir
sederas-derasnya.
‘Ya Allah, Kau telah mengurniakan seorang suami yang terbaik untuk aku. Kenapa
aku masih buta Ya Allah?’ bisik hati kecil Imani sambil dia terus-terusan
menangis. Tangisannya secara tiba-tiba itu telah menyebabkan kali ini giliran
Fahim pula yang terperanjat.
‘Eh Imani. Kenapa menangis ni? Jangan menangis sayang,’ wajah Fahim segera
bertukar risau lalu dia pergi kepada Imani dan melutut dihadapannya.
‘Maafkan abang kalau apa abang buat malam ni Imani tak suka,’ lembut
sahaja tutur kata Fahim. Sayu sungguh dia melihat isteri kesayangannya menangis
seperti itu. Lantas dia menyeka air mata Imani dengan jarinya. Imani memegang
kedua belah tangan suaminya dengan erat, menyebabkan Fahim terpana seketika.
‘Selama sebulan kita kahwin, Imani belum jadi isteri yang cukup sempurna
untuk abang. Ada lagi tanggungjawab sebagai isteri yang belum Imani tunaikan.
Maafkan Imani abang kerana mensia-siakan cinta abang selama ini. Imani buta
selama ni, maafkan Imani abang,’ lirih sahaja suara Imani memohon maaf
kepada Fahim menyebabkan hati Fahim juga terasa sebak. Dia memeluk isterinya
dengan erat dan mengucup dahi isterinya dengan lembut.
‘Jangan cakap macamtu sayang. Imani isteri abang yang terbaik, di dunia
dan akhirat. Abang terima Imani seadanya,’ mendengarkan suara lembut
suaminya memujuknya, semakin deras air mata Imani mengalir tanpa henti. Apabila
tangisannya sudah reda, barulah Fahim melepaskan Imani dari pelukannya.
Kemudian direnungnya wajah isterinya itu dengan lembut.
‘Jangan nangis lagi ye. Habis dah hilang comel,’ kata Fahim sambil
ketawa kecil, lalu Imani tersenyum. Kemudian barulah mereka sama-sama menikmati
juadah makan malam, dan mereka juga berbual panjang sehingga ke tengah malam.
Pada malam itu, ketika Fahim
sedang enak dibuai mimpi, Imani merenung wajah suaminya itu, lama. Tangannya
menjalar menyentuh setiap inci wajah suaminya itu dengan lembut, kemudian, dia
membelai pula rambut suaminya. Pada saat itu, hatinya terasa gementar yang luar
biasa. Rasa gementar yang dirasainya sama seperti saat dia melihat senyuman
Adham suatu ketika dulu. Cuma kali ini, rasa gementar itu dirasainya sekali
lagi apabila dia bersama dengan suaminya. Bersama dengan Fahim.
‘Ya Allah, apakah kali ini Kau mula membuka pintu hatiku untuk mencintai
suamiku ini?’ Imani tertanya sendirian, sambil matanya tidak lepas
memandang wajah suaminya. Kemudian perlahan- lahan dia merapatkan diri ke badan
Fahim dan merangkul erat tubuh suaminya itu. Dan Imani dapat merasakan suaminya
tersedar seketika lalu membalas pelukannya itu, sebelum kedua-duanya hanyut
dalam lena.
***
Sejak malam istimewa itu, ada
perasaan aneh mula menerjah hati Imani setiap kali dia menatap wajah suaminya
itu. Apabila Fahim mengucup dahinya atau pipinya dengan lembut, Imani
memejamkan matanya dan merasai kehangatan kucupan suaminya itu dengan debaran
di hati. Di pejabat, apabila keseorangan, fikirannya tidak lagi tertumpu kepada
Adham. Kali ini Fahim pula yang sering dirindui Imani. Diletakkan gambar kahwin
mereka berdua dia atas mejanya dan jika rasa rindu meyerang dirinya, dia akan
merenung gambar suaminya itu. Pernah sekali Imani begitu merindui suara
suaminya. Ingin sahaja dia menelefon Fahim tetapi dia malu. Beberapa saat
kemudian Fahim terus menelefonnya, seolah-olah mengerti perasaan Imani pada
saat itu, lalu membuatkan Imani tersenyum gembira dan bersemangat sepanjang
hari.
‘Terima kasih ya Allah, kerana akhirnya aku merasai erti bahagia setelah
Kau kurniakan rasa cinta dalam hatiku untuk suamiku sendiri,’ luah Imani
perlahan. Kemudian dia tersenyum sendirian.
Pada suatu malam, disaat Imani
dan Fahim sedang bersantai menonton televisyen bersama di ruang tamu, tiba-tiba
Imani menoleh memandang suaminya itu.
‘Abang, Imani tiba-tiba rasa rindu kat ibu dengan ayah. Kalau kita balik
kampung sekejap je hujung minggu ni, boleh?’ Imani meminta izin Fahim untuk
pulang ke kampung menjenguk kedua ibu bapanya.
‘Boleh je sayang. Sabtu pagi ni kita balik kampung ye,’ Fahim
berkata sambil tersenyum. Imani mengucapkan terima kasih lalu dia melentokkan
kepala ke bahu suaminya. Fahim memeluk erat bahu isterinya, sebelum
kedua-duanya menyambung aktiviti menonton televisyen sebentar tadi.
Pada hari sabtu seperti yang
dijanjikan, Fahim membawa Imani pulang ke kampung halamannya. Imani tersenyum
gembira setelah melihat wajah ibu dan ayahnya, setelah sebulan lebih wajah
mereka tidak dilihatnya. Ibu dan ayah Imani menyambut kepulangan anak gadis
serta menantu mereka dengan gembira.
Saat Fahim masuk ke dalam bilik, membawa
beg pakaiannya dan Imani, dia terlihat akan barang-barang di atas meja Imani.
Ada teddy bear, gelang tangan dan kotak muzik pemberiannya ketika zaman universiti dulu, masih
terletak kemas di situ. Fahim segera mengukir senyuman. Tidak menyangka Imani
masih menyimpan hadiah pemberiannya dengan elok.
‘Abang, Imani keluar pergi kedai dengan ibu kejap. Abang berehat dulu ye,’
Imani tiba-tiba masuk ke dalam biliknya, menyebabkan Fahim yang sedang
membelek-belek hadiah pemberiannya sendiri kepada Imani terkejut seketika.
Imani yang melihat suaminya terkejut lantas ketawa kecil.
‘Ok sayang, jaga diri,’ kata Fahim ringkas. Imani tersenyum lalu
keluar bilik. Saat Fahim sedang asyik membelek-belek barang-barang isterinya
dalam bilik itu, dia terlihat beg tangan Imani berada di atas lantai. Kemudian
dia teringat dia membawa sekali beg tangan Imani ketika membawa masuk beg
pakaian ke dalam bilik tadi.
‘Lah Imani ni, pergi kedai tak bawak handbag. Mesti dompet pun
tertinggal ni,’ omel Fahim sendirian lalu dia meletakkan beg tangan Imani
ke atas meja. Dia membuka beg tangan Imani, lalu mengeluarkan dompet Imani
daripada beg itu.
‘Ha, kan betul. Imani.. Imani,’ Fahim tertawa sendirian. Kemudian
dia terasa ingin membelek-belek barang kepunyaan isterinya itu. Selama sebulan
mereka berkahwin, masih ada barang-barang peribadi milik Imani yang masih belum
di’explore’ oleh dirinya.
Fahim lantas membuka dompet
Imani. Dibelek-beleknya kad pengenalan dan lesen memandu isterinya itu. Fahim
hampir tertawa melihat wajah Imani di kad pengenalan lama itu. Lain benar
dengan rupanya sekarang.
Mata Fahmi akhirnya tertumpu
kearah sekeping kertas yang terlipat rapi di celah-celah ruang kad dalam dompet
isterinya. Dengan rasa ingin tahu, Fahim terus sahaja mengeluarkan kertas itu,
yang sudah agak komot. Fahim membuka lipatan kertas itu dengan perlahan-lahan.
Kertas itu rupa-rupanya sekeping
gambar yang telah diprint daripada kamera telefon bimbit Imani suatu ketika
dulu. Ada Adham, dirinya, Musliha dan Sofia dalam gambar itu. Serta merta Fahim
teringat, itu gambar yang diambil Imani ketika mereka tamat sesi perbincangan
bersama pada tahun pertama pembelajaran mereka. Fahim tersenyum sendirian
melihat gambar lama penuh nostalgia itu.
Saat dia cuba melipat kembali
gambar itu untuk disimpan kembali dalam dompet isterinya, Fahim tersedar
rupa-rupanya disebalik gambar itu terdapat tulisan tangan milik Imani.
Disebabkan keadaan kertas itu yang sudah renyuk, Fahim tidak sedar wujudnya
tulisan itu ketika kali pertama dia melihatnya.
‘Muhammad
Adham bin Abdul Rahim.
Sentiasa
di hati. Dulu, kini, dan selamanya’
Berderau darah Fahim sebaik
sahaja dia membaca tulisan yang ditulis oleh isterinya itu di belakang gambar
tersebut. Matanya membulat serta merta. Berulang-ulang kali dibacanya ayat itu
dengan rasa tidak percaya. Rupa-rupanya selama ini Imani mencintai Adham dalam
diam? Sejak zaman universiti lagi?
Dengan rasa ingin tahu yang
semakin meluap-luap, Fahim membuka almari pakaian isterinya. Terlalu banyak
rahsia yang disimpan Imani daripada pengetahuannya selama ini. Satu persatu
pakaian Imani di dalam almari diselak. Mata Fahim meliar mencari-cari sesuatu
yang luar biasa disebalik pakaian-pakaian itu. Laci-laci almari serta meja
turut dibuka oleh Fahim. Namun benda yang cuba dicarinya tidak ditemui.
Kemudian Fahim terlihat bahagian
atas almari yang kosong di dalam bilik itu. Dia merasakan ada sesuatu yang
diletakkan di atas almari itu, sebab itu ia terbiar kosong. Fahim lantas
mengambil kerusi dan mula memanjat. Dan akhirnya, seperti yang dijangka, dia
terlihat sehelai kertas dan sebuah kotak kecil di situ. Dengan bersusah payah,
Fahim membawa kedua barang tersebut turun dari almari. Kemudian dia duduk di
birai katil, membuka helaian kertas itu, menepuk-nepuk habuk yang meliputinya, lalu
membaca setiap tulisan di atas kertas itu.
Selesai sahaja membaca, Fahim
meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Setelah sebulan lebih berkahwin,
baru kini dia menyedari bahawa dirinya telah menjadi batu penghalang antara cinta
Adham dan Imani yang sudah terpendam sekian lama. Fahim terasa bersalah kerana
disebabkan dirinya, Adham tidak dapat meluahkan perasaannya kepada Imani ketika
di universiti dulu. Kenapa dari dulu dia tidak pernah sedar?
‘Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Aku telah menghalang cinta dua
orang hambaMu yang begitu menyayangi satu sama lain, tanpa aku sedari. Ampunkan
aku Ya Allah,’ Fahim berkata lirih sambil matanya digenangi air. Hiba
membaca surat milik sahabatnya itu. Fahim menjeling tarikh pada surat itu.
Matanya luas terbuka. Tarikh pada surat itu adalah pada malam pernikahannya
dengan Imani.
Serta merta Fahim terkenang
kembali wajah Imani pada hari perkahwinan mereka. Dia melihat mata bengkak Imani
yang jelas kelihatan walaupun cuba dilitupi alat solek. Wajah sugul Imani
disaat mereka sedang duduk di atas pelamin. Wajah Imani yang tersenyum paksa
saat mereka berdua dikerumuni beratus orang hadirin. Semua itu jelas bermain di
minda Fahim. Cuma baru kini dia tahu apa sebabnya di sebalik semua itu.
‘Patutlah sehingga kini Imani belum bersedia untuk aku menyentuhnya.
Rupa-rupanya hatinya milik orang lain,’ Fahim bermonolog sendirian sambil
tangannya membuka kotak kecil itu. Seutas rantai putih diambil dari dalam kotak
itu. Rantai yang tidak dipakai oleh Imani setelah Imani bernikah dengannya.
Rantai yang tersimpan rapi di dalam kotak yang berhabuk itu semenjak sebulan
yang lalu.
Pada malam itu, ketika makan
malam, Imani tersenyum gembira sambil menikmati juadah yang dimasak oleh
ibunya. Fahim yang ketika itu bercampur baur perasaannya antara sedih,
bersalah, kecewa dan marah, cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan perasaannya
itu.
‘Dah sebulan lebih kahwin ni, tak ada tanda-tanda nak ada ‘isi’ ke Imani?’
tiba-tiba sahaja ibu Imani berbicara disaat mereka seisi keluarga sedang
khusyuk menikmati juadah. Imani yang sedang mengunyah nasi terus tersedak.
Fahim yang duduk di sebelah Imani segera mengurut-ngurut belakang isterinya dan
menghulurkan segelas air kepadanya.
‘Belum ada rezeki lagi mak. InsyaAllah tak lama lagi kalau ada rezeki,
adalah,’ Fahim tersenyum lemah memandang mentuanya sambil memandang wajah
isteri di sebelah dengan rasa risau. Ibu dan ayah Imani sekadar memerhati
gelagat anak dan menantunya itu sambil tersenyum.
***
Keesokan harinya, setelah
bersalam dengan ibu dan ayahnya, Imani menyusuli suaminya masuk ke dalam
kereta. Setelah melambai kedua-duanya, kereta Imani dan Fahim bergerak
menyusuri jalan raya, menuju ke ibu kota.
‘Em, abang, boleh Imani tanya sikit?’ Suara Imani tiba-tiba memecah
kesunyian di dalam kereta itu sedari tadi.
‘Apa dia Imani? Tanyalah,’ jawab Fahim sambil matanya tidak lekang
memandang hadapan.
‘Kenapa dari semalam, abang banyak diam?’ Imani memberanikan diri
untuk bertanyakan soalan itu kepada suaminya. Sebenarnya, sejak semalam lagi,
Imani perasan akan perubahan Fahim yang begitu mendadak setelah dia pulang dari
kedai bersama ibunya. Dia melihat Fahim di bilik berwajah sugul dan sedih.
Tanya sepatah dijawab sepatah. Seolah-olah perasaan yang pernah dirasainya dulu
kini telah berpindah kepada suaminya.
‘Tak ada apa Imani. Abang cuma tiba-tiba rindukan sahabat lama abang.
Adham,’ terang Fahim dengan wajah yang cuba disembunyi kesedihannya. Imani
yang tiba-tiba mendengar suaminya menyebut nama Adham, terasa jantungnya bagai
terhenti.
‘Adham? Tapi kenapa abang? Tiba-tiba...’ Imani tidak dapat
menyambung ayatnya. Masih terkejut dengan kata-kata yang terpacul dari mulut
Fahim.
‘Tak tahu kenapa, tiba-tiba semalam abang sangat rindukan Adham. Dah dua
tahun abang terpisah dengan sahabat baik abang tu. Abang teringin sangat nak
jumpa Adham sebelum abang tutup mata,’ tutur Fahim lagi. Ayat terakhir
Fahim menyebabkan Imani membulatkan mata.
‘Abang???’ Imani berkata dengan kuatnya. Dia seakan tidak percaya
dengan ayat yang dituturkan oleh suaminya sebentar tadi.
‘Tolong Imani, tolong temukan abang dengan Adham satu hari nanti. Abang
perlu minta maaf pada dia. Pada Imani juga,’ kata Fahim dengan perlahan
namun jelas didengari oleh Imani. Imani segera memegang lengan suaminya.
‘Abang! Kenapa.....’ pada saat itulah, belum sempat Imani
menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran suara hon yang sangat kuat datang
dari hadapan.
Imani dan Fahim segera memandang
ke hadapan. Sebuah lori yang entah dari mana datangnya, begitu laju, berada
betul-betul di hadapan mereka. Jantung Imani dan Fahim seakan terhenti.
‘Ya Allah....’ kata Imani perlahan sebelum dia memejamkan matanya.
Dan serentak dengan itu, suatu dentuman yang maha hebat kedengaran di tengah-tengah
jalan raya itu.
***
Imani tersedar dari pengsannya.
Bangkit sahaja, dia menyedari dirinya sudah berada di hospital. Dia memegang
wajahnya yang sudah calar balar dan kering lukanya. Tangan kirinya yang cuba
digerakkan terasa sakit sekali. Imani menjeling tangan kirinya yang sudah
bersimen. Dan di tangannya juga sudah tercucuk jarum yang mengalirkan darah ke
dalam badannya.
‘Doktor!! Nurse!!’’ laung Imani sebaik sahaja dia menyedari kelibat
suaminya tiada di hadapan matanya. Jururawat yang berada berhampiran segera
berlari ke arahnya. Ada juga diantara jururawat yang segera berlari mendapatkan
doktor.
‘Suami saya! Suami saya mana??!!’ tanya Imani kepada jururawat
tersebut. Jururawat tersebut meminta Imani bersabar. Serentak dengan itu seorang
doktor berjalan menuju ke katil Imani.
‘Doktor! Suami saya! Suami saya macam mana?’ Imani mengulang
pertanyaannya kepada doktor yang berada di hadapannya. Doktor tersebut memegang
bahu Imani dengan lembut.
‘Bersabarlah puan. Suami puan berada di ICU. Kami sedaya upaya cuba
menyelamatkannya,’ kata doktor lelaki itu dengan lembut. Saat itu Imani
terasa dirinya bagai dipanah halilintar. Suaminya rupa-rupanya sedang bertarung
nyawa di ICU. Air mata Imani jatuh berjurai-jurai.
‘InsyaAllah, kalau keadaan suami puan stabil, kami akan bawa puan untuk
berjumpa dengannya. Buat masa ni, saya harap puan boleh bersabar. Berdoalah
banyak-banyak,’ sambung doktor itu lagi, cuba menenangkan hati Imani. Imani
yang masih menangis, tak henti henti bibirnya berzikir dan berdoa memohon
pertolongan dari Allah, semoga suaminya selamat.
Beberapa jam kemudian, Imani
didatangi oleh ibu dan bapanya yang hampir menangis melihatkan keadaan Imani.
Ibu Imani hampir-hampir sahaja pengsan mendengarkan menantunya sedang bertarung
nyawa di ICU sejak tadi. Ketika Imani sedang menceritakan kembali detik-detik
kemalangan yang hampir meragut nyawanya tadi, seorang doktor tiba-tiba datang
kepadanya.
‘Puan Imani, suami puan dalam keadaan stabil. Tapi dia masih belum
sedar, kami tak boleh jamin keadaannya pada masa akan datang. Puan boleh
melawat dia sekarang, tapi hanya seorang satu masa,’ kata doktor Imani.
Imani mengucapkan Alhamdulillah tanpa henti. Perlahan-lahan Imani bangkit dari
katilnya, lalu menuju ke wad Fahim.
Imani menolak pintu wad dengan
perlahan menggunakan sebelah tangannya. Dia melihat Fahim berbaring di atas
katil. Berselirat wayar-wayar daripada mesin hospital disambungkan kepada
suaminya. Imani melihat leher dan dahi Fahim berbalut. Alat bantuan pernafasan
juga disambungkan kepada suaminya. Air mata Imani tumpah lagi. Hiba sungguh dia
melihat keadaan suaminya seperti itu. Dia duduk di sisi suaminya, tangannya
memegang tangan Fahim erat.
‘Abang... abang bangunlah,’ kata Imani teresak-esak. Fahim masih
belum terjaga. Imani melihat dada suaminya turun naik. Imani duduk di sebuah
kerusi di sisi katil Fahim, lalu mulutnya laju membaca surah-surah dan zikir
yang dihafalnya. Imani tidak putus-putus berdoa dalam hati supaya suaminya akan
segera sedar.
‘Imani.....’ Imani tiba-tiba terdengar suara Fahim memanggil lemah
namanya. Imani segera bangkit. Dia melihat Fahim membuka separa matanya. Imani
segera menyeka air mata di pipinya.
‘Abang.. abang.. Imani ada kat sini,’ kata Imani sambil mendekatkan
wajahnya ke wajah Fahim. Cuba untuk mendengar dengan jelas tutur kata Fahim
yang perlahan itu.
‘Imani... ok?’ suara Fahim perlahan sahaja namun dapat didengari
oleh Imani. Imani mengangguk laju sambil tersenyum. Tangannya erat menggenggam
tangan suaminya. Di sebalik topeng oksigen itu, Imani dapat melihat suaminya
juga tersenyum sepertinya.
‘Imani... abang.. nak.. jumpa.. Adham...’ dengan bersusah payah
Fahim menuturkan sepatah ayat itu. Imani kembali menangis mendengarkan
permintaan suaminya itu. Sungguh, pada saat itu Fahim benar-benar hendak
bertemu dengan Adham. Sehinggakan pada waktu begini pun, Fahim masih lagi
menyatakan hajatnya untuk bertemu dengan Adham.
Imani meletakkan tangan Fahim ke
wajahnya sambil mengangguk laju.
‘Baik abang.. Imani akan usahakan.. Imani akan cuba minta Adham jumpa
abang hari ni juga,’ kata Imani dengan wajahnya yang basah.
‘Abang tunggu sekejap ye,’ kata Imani lalu dia segera berlalu
meninggalkan suaminya. Pada saat itu, difikirannya hanya ada Adham. Dia perlu
menghubungi Adham pada saat itu juga, tanpa perlu membuang banyak masa.
***
‘Assalamualaikum...’ Imani terdengar suara seorang lelaki di luar
pintu memberi salam. Serentak dengan itu, pintu ditolak. Dan disitu, berdirinya
Adham, lelaki yang sudah terlalu lama dirindui Imani suatu ketika dulu.
Imani terkesima melihat Adham
berdiri di hadapannya, buat pertama kali setelah dua tahun mereka terpisah.
Imani segera bangkit dari tempat duduknya. Perlahan-lahan Adham melangkah
menghampiri Imani.
‘Awak okey Imani? Saya
bersimpati terhadap apa yang berlaku terhadap awak dan juga Fahim,’ kata
Adham dengan wajah sedih. Dia tidak menyangka, tragedi ngeri seperti itu akan
menimpa dua orang sahabat baiknya sendiri.
‘Alhamdulillah, saya okey. Cuma Fahim...’ Imani tidak dapat
menghabiskan ayatnya lalu dia menoleh kearah Fahim yang terbaring lemah di atas
katil.
‘Adham.. kau ke tu?’ Fahim bersuara lemah. Imani dan Adham segera
menuju ke katil Fahim. Fahim sudahpun membuka matanya.
‘Aku ada kat sini Fahim... maafkan aku kerana terlalu lama menyepi dari
kau,’ Adham berkata sambil memegang tangan sahabatnya itu dengan erat. Air
mata mula bergenang di matanya. Wajahnya dirapatkan ke wajah Fahim.
‘Aku... yang perlu minta maaf.... Adham... aku.. rampas.. Imani dari
kau... maafkan aku... aku.. tak sengaja...’ Fahim berkata dengan
terputus-putus namun jelas didengari oleh Adham dan juga Imani.
Jantung Adham dan Imani bagaikan
berhenti berdegup mendengar kata-kata Fahim. Rahsia yang selama ini tersimpan
rapi daripada Fahim, akhirnya terbongkar jua.
‘Fahim... kau.. kau tak pernah rampas Imani dari aku... memang sudah
ditakdirkan Allah, aku tiada jodoh dengan Imani,’ air mata yang bergenang
di mata Adham akhirnya tumpah. Sedih mengenangkan sahabatnya itu yang masih
gigih memohon maaf walaupun keadaan dirinya sebegitu rupa.
‘Abang...abang cakap apa ni? Abang tak pernah rampas Imani dari sesiapa.
Imani milik abang seorang,’ Imani bercakap sambil menangis teresak-esak. Imani menggenggam erat tangan suaminya,
seakan tidak mahu lepas. Betapa dia cuba meyakinkan suaminya itu, bahawa selama
ini dia bukanlah milik sesiapa, termasuklah Adham.
‘Kalau.. abang tahu.. Imani cintakan Adham... dari dulu... dan Adham
pun.. cintakan Imani.. abang tak akan.. masuk campur... maafkan abang,’
Fahim berkata perlahan sambil memandang sayu wajah isterinya yang masih belum
berhenti menangis. Adham yang turut mendengar, memandang kedua pasangan itu
dengan rasa hiba.
‘Itu dulu, abang.. dulu.. sekarang Imani cintakan abang. Abang suami
Imani dunia akhirat,’ Imani memegang wajah suaminya dengan lembut. Dia
melihat air mata Fahim juga mengalir deras.
‘Adham....’ kata Fahim lalu dia mengangkat sebelah tangannya. Adham
segera memegang tangan Adham, lalu merapatkan telinganya ke wajah Fahim.
‘Aku tahu... umur aku.. tak panjang... kalau aku tak ada... boleh kau
jaga.. Imani untuk aku?’ tanya Fahim dengan nafas yang turun naik. Adham
tersentak lalu memandang mata sahabatnya yang digenangi air itu. Penuh dengan harapan.
Hati Adham remuk mendengar permintaan sahabatnya itu. Adham dapat merasakan
Fahim menggenggam tangannya dengan kuat.
‘Abang.. jangan cakap lagi... abang.. berehatlah,’ Imani berkata
dalam sedu sedan. Tangan Imani juga dipegang erat oleh Fahim. Fahim cuba
membuka mulut untuk berkata sesuatu kepada Imani. Dengan pantas, Imani
merapatkan wajahnya kepada wajah suaminya, memandang tepat ke dalam anak mata Fahim.
‘Imani... tolong terima Adham... demi abang...’ kata Fahim
menyebabkan air mata Imani tumpah tanpa henti mendengarkan permintaan terakhir
suaminya. Tanpa banyak berfikir, Imani segera menganggukkan kepalanya, sambil
memegang pipi suaminya. Air mata suaminya membasahi tangan Imani.
Pada saat itu, dada Fahim mula turun
naik dengan pantas. Adham yang berada disisi Fahim, segera mengajar Fahim untuk
mengucap kalimah syahadah. Imani yang sungguh panik, cuba berlari untuk
mendapatkan doktor, namun tangannya ditarik kembali oleh Fahim.
‘Imani.. dah... tak sempat...’ tutur Fahim perlahan.
Lalu dia menggapai tangan Imani. Imani memegang tangan Fahim sekali lagi,
manakala sebelah lagi tangan Fahim dipegang oleh Adham. Adham masih tidak
berhenti mengajar Fahim mengucap kalimah syahadah.
‘Allah...’ kata Fahim lemah sebelum dia akhirnya memejamkan matanya buat
selama-lamanya. Setitis air matanya jatuh mengalir membasahi pipi. Mesin di
sebelah katil Fahim berbunyi bising, menandakan denyutan jantung Fahim sudahpun
terhenti. Pada malam itu, Fahim pergi diiringi oleh kedua orang insan tersayang,
yang merupakan isteri dan sahabatnya. Tangannya masih digenggam erat oleh Imani
dan Adham.
Imani menangis lagi, manakala
Adham menundukkan kepalanya. Doktor yang baru sahaja tiba, segera memeriksa
nadi Fahim. Cuba digunakan kuasa elektrik untuk menghidupkan kembali denyutan
jantung Fahim, namun tidak berjaya. Selimut putih yang menutupi badan Fahim
akhirnya dinaikkan menutupi seluruh tubuhnya. Dan serentak dengan itu ahli
keluarga Imani dan ahli keluarga Fahim masuk kedalam bilik itu, menatap wajah
yang terbujur kaku itu, untuk kali terakhir.
***
‘Sodaqallahula’zim.....’ Imani menutup Yassin yang berada
ditangannya lalu dijunjung. Adham mula membacakan doa, dan diaminkan oleh
Imani. Selesai menyiram air bunga mawar dan membersihkan pusara Fahim, Imani dan
Adham bangkit lalu bergerak beriringan menuju ke kereta.
Sudah lima bulan berlalu, sejak
pemergian Fahim di hospital akibat kemalangan ngeri yang berlaku dulu. Selepas
pemergian Fahim, begitulah rutin Imani dan Adham pada tiap-tiap minggu. Sekali
dalam seminggu, mereka akan melawat pusara Fahim dan menyedekahkan surah Yassin
untuknya.
Demi rasa kasih Imani terhadap arwah
suaminya dan rasa kasih Adham terhadap arwah sahabatnya, mereka bersetuju untuk
disatukan mengikut amanat terakhir arwah Fahim. Pada bulan lepas, Imani dan
Adham akhirnya disatukan dalam sebuah majlis kecil-kecilan. Selepas menanti
selama lebih enam tahun, akhirnya Allah mentakdirkan Adham untuk menjadi jodoh
Imani, walaupun Imani terpaksa kehilangan Fahim buat selama-lamanya.
‘Siapa sangka kan bang, kita tetap diciptakan antara satu sama lain,
cuma masa sahaja yang melambatkan penyatuan kita,’ kata Imani perlahan
sambil berdiri di balkoni rumahnya, menghirup angin malam.
‘Allah tu Maha Adil dan Maha Pengasih Imani. Dia tahu abang dan Fahim sama-sama
menyayangi Imani, jadi Dia menciptakan Imani sebagai jodoh untuk kami berdua.
Walaupun salah seorangnya terpaksa pergi dulu,’ Adham berkata dengan suara
bergetar. Dia kadangkala teringat akan sahabatnya itu, dan apabila teringat
hatinya serta merta terasa sebak.
‘Imani tak pernah berhenti berdoa, supaya arwah Fahim akan sentiasa
ditempatkan dikalangan orang-orang beriman,’ sambung Imani lagi. Adham
sudahpun memeluk erat pinggang isterinya itu.
‘Abang pun Imani. Arwah Fahim tak ada gantinya,’ kata Adham
perlahan. Lalu Imani melentokkan kepalanya kebahu Adham, sebelum kedua-duanya
merenung pemandangan malam yang indah itu bersama-sama.
Pada saat itu, Imani teringat
akan mimpi yang diperolehinya, pada malam dia mendirikan solat istikharah. Kini
dia mengerti maksud mimpi tersebut. Ternyata Allah itu Maha Mengetahui. Dia dciptakan
untuk menjadi pelengkap tulang rusuk untuk dua orang lelaki yang terbaik pernah
ditemui dalam hidupnya. Imani hanya mampu redha di atas takdir yang telah Allah tetapkan untuknya itu.
Imani mengeluarkan gambar yang terlalu lama disimpan di dalam dompetnya itu. Gambar Adham, Fahim, Musliha dan Sofia yang renyuk sedikit. Lantas Imani mengambil pen, lalu menconteng sesuatu di sebalik gambar itu. Dibawah tulisan lama mengenai Adham yang pernah ditulisnya dulu.
Ahmad Fahim bin Fadzil.
Sentiasa di hati, jiwa, dan minda. Dulu, kini, dan selamanya'
Imani mencium gambar itu lalu menyimpannya kembali kemas-kemas di dalam dompetnya. Dan bibirnya tidak pernah berhenti mengucapkan zikir sebagai hadiah untuk Fahim di alam sana.
***
TAMAT
8 comments:
Sesungguhnya Allah mengurniakan akal untuk umat-Nya dan kakak nadzwa telah menggunakannya dengan sempurna .. Tahniah ! Cerpen ini sgt baik ..
Sedihnya...fahim meninggal...:(
# ayu
Sedih yang amat ..huhu
sedihnya... hujan air mata.. kesiannya pd fahim
sedihnya
Ternyata Allah menghadiahkn pelangi bg cinta dlm diam
Best
Is this your true story ?
Post a Comment