Sedih mendengar berita yang seorang penonton bolasepak, Ahmad Jazimin Jalaludin yang kehilangan penglihatan secara kekal setelah terkena bedilan mercun semasa hadir menonton perlawanan antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai 2011. Saya mengikuti berita tersebut melalui radio Era semasa dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak ke sekolah.
Mungkin itu takdir kerana Allah boleh menarik balik nikmat pemberianNya pada bila-bila masa sebagai satu ujian kepada hamba-hambaNya. Sebagai seorang Islam kita harus menerima takdir itu kerana mungkin ada rahmatNya di sebalik ujian tersebut. Namun sebagai seorang manusia sememangnya kita tidak mahu kemalangan itu berlaku apa lagi bukan oleh diri sendiri tetapi kerana kelalaian orang lain.
Ahmad Jazimin telah terkena mercun yang dibaling oleh penonton lain yang kerana keghairahannya menonton bola telah membakar dan membaling mercun itu tanpa niat mencederakan sesiapa tetapi perbuatannya menyeludup masuk bahan itu sendiri jelas di larang dan menjadi kesalahan. Oleh itu jika pembakar mercun itu berkata bukan niatnya untuk mencederakan sesiapa bukanlah satu alasan kerana beliau sendiri telah melakukan satu kesalahan. Sehubungan itu beliau adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemalangan yang menimpa Mohd Jazimin.
Semasa siaran itu pengacara Riuh Pagi Era, Aznil Nawawi berinteraksi dengan pendengar dan ada seorang pendengar mempertikaikan bagaimana mercun boleh dibawa masuk ke stadium sedangkan pemeriksaan dilakukan di pintu masuk oleh pihak berkuasa. Memanglah benar, pemeriksaan dilakukan tetapi itu HANYA di pintu masuk. Bagiamana di kawasan lain?
Sebenarnya kawasan pagar Stadium Nasional itu sendiri bukanlah satu kawasan yang selamat dan bebas dari penyeludupan. Jika kita lihat, melalui pagar yang jarang itu bom dan sebarang senjata pun boleh dibawa masuk, jika ada yang berniat jahat. Biasanya sekitar kawasan pagar yang jarang itu, ada diletakkan pita menghalang sesiapa dari menghampiri pagar tetapi sejauh manakah ianya berkesan. Walaupun ada pita keselamatan hampir dengan pagar itu, tanpa kawalan ketat pihak berkuasa, orang ramai masih boleh menghampiri pagar.
Setiap kali ada perlawanan bolasepak dimana terdapat ramai penonton, kita akan lihat penjaja-penjaja “tidak sah” akan bertengek di tepi pagar untuk menjual minuman, makanan dan sebagainya kepada penonton yang sudah masuk ke dalam stadium. Jadi apa gunanya merampas air minuman botol (salah satu bahan larangan) di pintu masuk, jika penonton boleh membelinya melalui pagar.
Satu lagi sikap sambil lewa pemeriksaan oleh pihak keselamatan juga harus dipertanggungjawab. Misalnya saya petik laporan Berita Harian, “Rakannya, Mohd Azhari Ariffin, 29, berkata beliau kesal kerana aspek keselamatan tidak dititikberatkan pada perlawanan itu memandangkan ketika masuk ke dalam stadium, anggota keselamatan yang mengawal pintu masuk tidak membuat pemeriksaan rapi, sebaliknya hanya bertanya sama ada beliau membawa pemetik api”.
Sebaliknya kita patut akui bahawa pihak keselamatan tidak mampu untuk mengawal jumlah penonton yang begitu ramai. Sebab itu setiap kali ada perlawanan bolasepak, pasti bahan-bahan terlarang terlepas masuk. Buktinya setiap kali perlawanan, ada bahan terlarang terlepas masuk seperti mercun, bunga api dan lain-lain. Mutakhir ialah laser pointer seperti yang dipancarkan pada penjaga gol Indonesia semasa perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki dan juga terhadap penjaga gol Singapura semasa satu tendangan percuma diberikan kepada Malaysia. Mungkin jika tanpa gangguan pancaran laser oleh penonton tidak bertanggungjawab itu membolehkan Malaysia menghasilkan gol. Tetapi pancaran itu menyebabkan pengadil memberhentikan sekejap perlawanan dan pemain hilang momenton.
Bagi saya pagar Stadium Nasional itu sendiri perlu diberikan perhatian sebagai alat keselamatan. Pagar berbesi jarang seperti yang ada sekarang tidak sesuai dari segi keselamatan. Pihak bertanggungjawab harus bertindak melakukan sesuatu seperti membina tembok atau mengadakan satu lagi lapisan pagar dengan jarak buffer zon yang sesuai antara orang ramai di luar dan penonton di dalam. Yakinlah kita tidak akan dapat mengubah sikap penonton. Oleh itu kita harus melakukan sesuatu untuk mengawal sikap tersebut dan mencegah sikapnya itu dari menimbulkan ketidak selesaan kepada orang lain.
My Sukan berharap Sdr Ahmad Jazimin tabah menerima dugaan itu kerana Innalillahi Wa Inna Lillahi Rojiun.