Pages

Showing posts with label Pemikiran kritis. Show all posts
Showing posts with label Pemikiran kritis. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Evolusi Tauhid





Pertembungan hari ini ialah pertembungan antara sistem Barat yang mengenepikan agama dengan sistem Islam yang menjadikan kalimah Allah sebagai yang tertinggi.

Mengingkari dan menolak hegemoni sistem Barat yang tidak bertuhan adalah

langkah pertama dalam proses evolusi tauhid


-Ucapan dasar AGM ISMA ke-12 oleh Ust Abdullah Zaik-

Monday, December 20, 2010

Mencari Keserasian


Malam ni aku menemui dua situasi, isunya sama, isi dan persepsinya berbeza.

Lepas Isya, sempat bertemu dengan seorang muslimah yang ingin berbincang soal jodoh. Hadir bersama jauzah dan anak-anakku. Banyak aspek dibicarakan, tapi semuanya berkisar soal calon yang terbaik untuknya membina rumahtangga. Banyak aspek yang dibicarakan…soal fikrah, soal tarbiah dan kemampuan si putera memimpin rumahtangga dan menentukan halatuju perjuangan rumahtangga di masa hadapan. Ini kerana wanita tersebut inginkan lelaki yang menghormati fikrah dan perjuangannya. Bahkan kalau boleh mampu memimpin dia dan anak-anak dalam menunaikan tugas membawa risalah Islam. Tidak banyak yang dibincangkan yang membabitkan soal harta dan keduniaan walaupun semua orang tahu aspek itu juga penting dalam hubungan berumahtangga.


Balik rumah, sambil berehat sekejap, aku sempat mengikuti rancangan di TV yang berkaitan dengan program memilih jodoh. Tak silap aku nama rancangan tu Perfect Match. Aku tak faham sangat keseluruhan program tersebut. Disampaikan dalam bahasa mandarin. Kalau tak silap aku rancangan tersebut dianjurkan di negara China. Aku bergantung pada subtitle untuk memahaminya. Formatnya seorang lelaki akan memilih calon isteri dari puluhan wanita yang mendaftar dan terlibat dalam rancangan tersebut. Rata-rata perbincangan, persoalan dan bentuk pilihan wanita-wanita dan lelaki tersebut berorientasikan metarial, pekerjaan, kewangan, perlancongan dan keseronokan…kalaupun ada aspek moral yang dibincangkan tapi bukanlah menjadi perbincangan pokok. Tidak mengapalah, mungkin budaya mereka memang begitu. Mereka memahami hidup ini dan alam rumahtangga sekadar untuk menyempurnakan keperluan fizikal, biological dan metarial. Lagipun sudah jadi lumrah, pasangan serasi itu apabila impian dan kemahuan mereka juga serasi. Tukang Masak pasti akan mencari dapur, periuk dan belanga dan keperluan memasak…jurubina akan mencari batu, pasir dan simen….perfect match…sekufu. Tukang masak akan masuk kedai yang menjual alat-alat memasak, jurubina akan masuk kedai hardware…dekat situ mereka akan temui pasangan impian mereka.

Sayangnya, kebanyakan pemuda pemudi Islam masa kini hampir sama cara memilih mereka seperti rancangan TV tersebut. Syarat dan kriteria lebih menitikberatkan aspek yang nampak berbanding yang tersembunyi. Metarial dan fizikal lebih utama dari aspek spritual dan mental. Mereka mungkin memahami hidup ini sekadar untuk meraih keseronokan, kelazatan dan kesenangan. Perjuangan mereka dalam rumahtangga ialah menghimpun wang dan kekayaan. Akhirnya rumahtangga yang terbina sangat rapuh. Akarnya dari awal lagi telah buruk dimakan anai-anai kejahilan. Andainya berbuah, buah-buahnya tidak mampu dimanfaatkan. Kalaupun tidak beracun dan mampu membunuh orang yang memakannya, ia menambahkan kolestrol dan menakung bakteria berbahaya. Begitulah rumahtangga yang dibina oleh kebanyakan pemuda Islam zaman moden. Anak-anak yang lahir mewarisi budaya dan cara berfikir ibubapanya. Hidup tanpa risalah yang besar dalam hidup mereka.

Bagi pemuda-pemudi yang memahami hakikat kehidupan dan kematian mereka. Memahami nilai diri dan usia yang Allah kurniakan…mereka miliki impian besar dalam hidup. Impian besar dalam berumahtangga. Bagi mereka rumahtangga medah tarbiah…medan jihad…medan dakwah. Keluarganya bakal menjadi pengerak masyarakat. Bakal berkembang menjadi mujtama’ , daulah dan khilafah. Mereka berumahtangga bukan sekadar memenuhi tuntutan fitra dan biologi semata-mata, tapi medan jihad dan pengorbanan. Rumahtangga merupakan madrasah yang mampu melahirkan anak-anak yang mampu menyambung risalah perjuangan ibubapanya. Lantaran itu mereka patrikan akad nikah mereka dengan baiah jihad dan tadhiyyah. Impian mereka sangat tinggi, setinggi firdausi. Cinta mereka sangat suci, hingga ke syurga yang kekal abadi.

Sayangnya, tidak ramai pemuda dan pemudi berfikiran begitu di masa kini. Perkahwinan mereka cuma diikat oleh cinta yang terhasil dari kekaguman fizikal dan metarial. Impian mereka juga berfokuskan fizikal dan metarial. Lantaran itu bila dunia gempa, luntur dan berguguran mahligai cinta mereka.

Kepada ikhwah dan akhawwatku yang dalam pencarian, ingatlah…kalian memegang amanah untuk memastikan yang anda perolehi itu adalah terbaik. Jangan kerana kesilapan anda, kubu perjuangan kita diserang dari sudut anda berada kerana mereka tahu kalian sangat rapuh. Banyakkan berdoa…dan teruskan mencari di lorong-lorong tarbiah, di warung-warung halaqah dan usrah…mahalkan diri anda kerana nilai usia sangat berharga untuk perjuangan yang anda fahami dan pikul.

Abu Syifa
www.saripadul.com
YDP ISMA Sabah

Tuesday, February 17, 2009

Aku Tak Pedulisme

Tak TAU n TAK nak TAU

Begitulah sikap sebahagian besar kita pada hari ini. Kita hanya akan ambil tahu mengenai sesuatu isu apabila ia memberi kesan secara langsung kepada diri kita. Kalau tepat memaku pada diri kita, baru kita peduli. Selebihnya, "usah dijaga tepi kain orang".... Betapa manusia sebegini pentingkan diri semata-mata, sedangkan banyak perkara di luar sana yang mewajibkan kita ambil tahu, dan buat sesuatu, tetapi disebabkan keberjayaan sistem hidup yang kita lalui kini mengasingkan perkara tersebut daripada diri kita, kita tidak terasa kesannya pada diri kita. Sedangkan kita dikurnia akal untuk menilai, tetapi kita hadkan penggunaan otak hanya pada perkara-perkara yang kita rasa menjaga kepentingan kita. Kalau boleh, otak itu tak ingin diperah langsung, lagi baik kot. Hidup tak huru-hara, jiwa pun tak kacau. Tapi hakikatnya jika hidup sebegitu yang kita inginkan, tanpa masalah atau tekanan, baik pergi mati la. Jika mati, apa yang tinggal hanyalah sekujur jasad, yang tidak mampu bergerak, apa lagi membawa sebarang kesan kepada dunia ini. Orang yang hanya sekadar WUJUD tetapi tidak HIDUP, macam MAYAT la kot..(Hakikatnya jika mati, lebih banyak masalah yang dipikul) Aku tak reti nak timbulkan kesedaran macam mana terhadap sikap tak peduli sebegini, cuma pesananku, akal ada, Lu Pikirla Sendiri.. Last sekali, aku tinggalkan kalian dengan keratan artikel daripada saifulislam.com/p=1359 untuk difikirkan bersama. *Artikel ini lebih menumpukan pada ketidak pedulian golongan muda terhadap politik, tapi aku rasa ok la sebagai satu contoh. Selamat membaca.

"....Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana. Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti. Anak muda bukan ada masa untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh dari pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg. Isunya lebih dari itu. Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya. Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan kahwin (atau tidak berkahwin tetapi hidup macam orang kahwin).

Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apa falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?..."