Pages

Showing posts with label Coretan perjalanan. Show all posts
Showing posts with label Coretan perjalanan. Show all posts

Monday, December 5, 2011

Ragam Manusia

Saya kembali menulis setelah hampir beberapa bulan tangan ini tidak berdaya untuk menulis.Hati ini tidak bersemangat untuk menulis.Bukan kerana tiada idea.Tapi mungkin kerana tidak adanya kemauan.
Saya suka untuk berceloteh sedikit ragam pesakit yang ditemukan di hospital ini.Tiada kena mengena dengan yang hidup ataupu yang sudah meninggal.Cuma sebuah pengalaman.

Situasi 1
Saya temukan pelawat ini di pertengahan jalan ketika hendak ke poliklinik.
Pelawat: Selamat pagi doc.
Saya : Selamat pagi,ibu.
Pelawat: Saya nak minta tolong sket ni.Saya nak pergi melawat saudara yang sakit kat hospital ni.
Saya : Ya, kat wad mana tu ibu?
Pelawat:(Sambil menggaru-garu kepala)Haa,,tu la yang saya tidak tahu.Keluarga kami bagitau dia dirawat di hospital ni.Tapi lupa saya nak tanyakan di wad mana.
Saya : Aduh, macam mana ni.Ermm, dia sakit apa?(Mungkin boleh trace wad mana dia dirawat)
Pelawat: (Lama dia berfikir...Sambil tersengih-sengih.)ermm, saya pun tak tanya pula dia sakit apa.
Saya : (Pening nak fikirkan.Jadi saya minta dia hubungi lagi keluarganya untuk menanyakan lebih detail lagi).

Pengalaman ini sering saya temukan di tempat saya belajar.Hospital.Tempat lain juga pasti ada.

Apabila kita datang ke suatu tempat tanpa ada tujuan yang jelas, ke mana hendak dituju, dengan siapa hendak berjalan dan bagaimana hendak mencapai tujuan tersebut pasti akan berakibat 2 hal.Pertama, mungkin boleh sampai ke destinasi tapi sangat lambat dan berpusing-pusing beberapa kali.Kedua, tersesat dan tidak jadi sampai ke tujuan.

Oleh itu, setiap hambaAllah sewajarnya mempunyai visi dan misi hidup yang jelas supaya perjalanan yang akan kita tempuhi akan menjadi lebih terang dan andainya ada halangan yang ditempuhi membuatkan kita bersabar.

Thursday, July 21, 2011

Jaulah Qudama'


Setelah hampir setahun menjalani masa clinical, sedar tak sedar dah hampir ke bulan Ogos dah.Bermakna tempoh clinical cuma tinggal tak sampai 6 bulan lagi.Sebentar lagi masuk bulan Ramadhan.Posting clinical untuk department yang berat-berat dah hampir habis.Cuma yang tinggal department Obstetric & Gynecology (O&G) je lagi.Setelah itu departmen Mata & ENT

Beberapa minggu yang lalu, awal Julai aku berkesempatan mencuri masa untuk balik ke Malaysia.Seminggu juga berada di sana.Alhamdulillah...
Tujuan kepulangan ke Malaysia ada beberapa misi.
1. Jaulah Qudama'
2. Buat visa B
3. Menjenguk anak saudara yang baru lahir.

Namun, kalau disusun berdasarkan keutamaannya aku lebih mengutamakan kesempatan berjumpa orang tua.Sempat juga aku ditegur oleh emak saudara sewaktu berpeluang menziarahinya.Katanya, orang yang dah terbiasa berjauhan dengan orang tua ni terutama yang sering belajar jauh-jauh biasanya sedikit renggang hubungan dengan orang tua.Itu berdasarkan hasil bacaannya di majalah.Tapi bagiku, justeru orang yang berjauhanlah yang semakin dekat dengan orang tuanya.Semakin jauh, semakin sayang.

Tujuan post ni ditulis adalah untuk menceritakan pengalaman sewaktu melakukan Jaulah Qudama' tempoh hari.Pengalaman yang sangat menarik.Berjumpa dengan orang-orang lama dalam tarbiyah ni.Berkongsi pengalaman dengan mereka.Yang bestnya, asyik dapat makan free je selama jaulah ni.

2 Julai 2011

Aku sampai di LCCT dalam pukul 1.00 pagi.Dijemput oleh ikhwah dari Bangi.Kebetulan mereka sedang Mabit di surau Bandar Baru Bangi.Dapat juga berkenalan dengan ikhwah-ikhwah kampus yang belajar di area Hulu Langat ni.

Paginya sempat juga merasa roti canai mamak dengan kopi radix.Hilang rindu kat roti canai ni.Kemudian kami bergerak ke tempat untuk berkumpul iaitu di KL Central dengan menaiki train.Selepas semuanya berkumpul baru kami start berjaulah, bukan berjalan kaki.Tapi dengan ALZA.Alhamdulillah, ada yang sponsor.

Destinasi pertama kami adalah ziarah ke rumah ikhwah.Kebetulan masa tu kami ke rumah akh Najib dekat Sri Petaling.Di sana kami ke kedai ayahnya yang memang membuka kedai makan dekat kawasan tersebut.

Kemudian setelah hampir sejam di sana kami melanjutkan perjalanan lagi menuju pejabat ISMA DHL.Dalam perjalanan kami jemput seorang ikhwah lagi.Dia kebetulah hilang hpnya sehari sebelum tu.Jadi kami tak dapat untuk menghubunginya.Mujur Allah menghubungkan kami melalui FB.

Sewaktu kami di Pejabat ISMA DHL mereka ketika itu sedang mengadakan EGM untuk menggantikan YDP yang baru.Kemudian setelah zuhur dan makan tengah hari dengan nasi beriani kami melanjutkan perjalanan ke Pejabat ISMA Pusat yang tidak jauh dari situ.Di sana kami bertemu dengan Ust. Fauzi Asmuni, Timb Pres. II ISMA.Selama hampir 2 jam kami saling berkongsi pengalaman dan mendapat penjelasan dari UFA mengenai beberapa perkara.Terutama mengenai gagasan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" dan mengenai isu BERSIH 2.0 yang sedang hangat pada masa itu.


Bersama Ust Fauzi

Setelah habis asar kami melanjutkan Jaulah lagi dengan menziarahi rumah Ust. Wan Hisyam yang tinggal berdekatan situ.Aku memang sudah kenal lama dengan Ust. Wan ni.Dia memang sering ke Medan untuk menguruskan rumah anak yatim yang dibina dengan kerjasama ISMA dan PKPU.Kebetulan sama negeri, orang Terengganu.Di rumahnya kami sekali lagi dihidangkan dengan berbagai hidangan.Ust. Wan ni baru balik dari Terengganu sebelumnya.Oleh kerana isterinya sedang bermesyuarat, jadi dia sendiri yang memasakkan bubur lambuk dengan keropok lekor dari Terengganu.Belum sampai Terengganu dah dapat merasa keropok lekor.Alhamdulillah...

Kami menghabiskan masa dalam 2 jam juga di rumah Ust Wan sambil bercerita-cerita mengenai hal masing-masing.Setelah itu, kami meneruskan lagi agenda Jaulah.Kali ini sesi riadah.Cuma riadah ini tak mengeluarkan peluh.Main Bowling di Mines.Hehe.Walaupun kami ni bukannya kaki bangku, tapi tangan ni masih bangku juga.Beberapa kali strike, maksudnya masuk longkang.Secara keseluruhan, akh Sani yang menang dengan jumlah markah yang tertinggi.


Tengah merencanakan strategi ni....


Hasil akhir pertandingan


Bergambar sebelum pulang.Jangan bawa pulang bola tu udah le...

Seusai habis maghrib, kami langsung menuju ke Kajang.Setelah penat membaling-baling bola, dengan ada yang lenguh-lenguh sendi lengan, perut mulai mengeluarkan tanda-tanda yang meminta diisi.Aneh juga, semakin banyak kami makan, semakin cepat pula lapar.Jadi kami menuju ke Kajang untuk menyentap sate kajang Hj. Samori.Setelah itu, kami kembali ke Pejabat ISMA DHL kerana dijanjikan ada pengisian pada malam itu.


Hidangan depan mata


Sate Ayam dan lembu

Pada malam itu, dengan segala keletihan fizik kami menggagahkan mata untuk menahan mengantuk untuk sebuah pengisian ruhiyah.Dengan tajuk "Tarbiyah Kita" telah disampaikan oleh Akh Ajib, YDP ISMA DHL yang baru dilantik petang itu.Alhamdulillah pengisian berjalan dengan baik.Beliau banyak menjelaskan mengenai prinsip dakwah IM dan dikaitkan dengan perjalanan tarbiah di Malaysia.Sekitar pukul 11 malam selesai.Kerana keletihan, beberapa orang dari kami langsung tidur setelah pengisian tersebut.

3 Julai

Keesokan paginya, kami bangun tahajjud dan solat subuh dan melanjutkan dengan zikir mathurat.Setelah itu, ada tazkirah dan perkongsian sesama kami.

Pagi itu, aku ditemani ikhwah yang lain menuju ke Kedutaan Besar Indonesia.Kami sarapan di sana.Dan aku melanjutkan proses membuat Visa B sementara yang lain meneruskan agenda ziarah ke Pejabat Aman Palestin.Di sana mereka diberi penjelasan mengenai peranan AP dan agenda yang akan dijalankan oleh Ust Awang.

Sekitar pukul 12.00 urusan aku di Kedutaan baru selesai.Ni merupakan pengalaman pertama kali berurusan dengan pihak kedutaan setelah hampir 5 tahun belajar di Indonesia.Suasananya memang seperti di Indonesia, dengan orang yang ingin berurusannya sangat ramai dan padat.Rasa-rasa dlm 300-400 orang juga.Visanya langsung siap dalam masa sehari.Cuma siapnya pukul 4 petang.

Setelah itu, kami langsung bergerak menuju Seremban dari KL.Tujuannya adalah untuk menziarahi Prof. Dr. Zainnurashid.Dia sememangnya sangat padat jadual kerjanya.Sebelum ini, dia mengantar sms memberitahu tak dapat untuk bersama kami pada hari itu, tapi paginya di sms ulang bahawa dia punya masa selama sejam je dan dapat untuk berjumpa dengan kami.Jadi kami memecut menuju Seremban dan sampai di sana dalam pukul 2.00 ptg.Alhamdulillah, sampai saja kami di tol masuk ke Seremban Dr Z dah pun menunggu kami.Kami disambut dengan senyuman dan pelukan yang hangat.Kemudian kami diajak menuju ke sebuah Restoran berdekatan untuk makan tengah hari sambil berbincang-bincang.Beliau merupakan salah satu insan yang luarbiasa bagiku kerana hampir seluruh masanya penuh dengan program-program yang sangat bermanfaat.Kalau tidak dengan urusan hospital sebagai Ketua Jabatan O&G merangkap konsultan, beliau dengan urusan sebagai Timb. Dekan Fak. Perubatan IMU.Kalau tidak dengan program Aman Palestin sebagai Perunding, beliau sibuk dengan program I-Medik dengan mahasiswa.Kalau tidakpun dengan program ISMA Seremban.
Bulan ini saja, jadual dia hampir penuh setiap malam untuk mengisi ceramah di seluruh negara.

Sesudah makan, beliau membawa kami melawat Pejabat ISMA Seremban yang baru.Kemudian setelah itu, beliau mengatakan ada meeting pada pukul 3.00 petang tersebut dan meminta izin dari kami untuk kembali ke hospital.Kamipun sudah beransur-ansur untuk bertolak balik ke Bangi kembali.


Semangat orang muda

Sampainya kami di Bangi menandakan perjalanan untuk Jaulah kali ini sudah berakhir.Jadi ini merupakan tempat terakhir kami sebelum masing-masing kembali ke rumah masing-masing.

Berlatarkan restoran Wong Solo



Jaulah ini kami akhiri dengan sedikit tazkirah dan disusuli dengan doa rabithah.Malamnya, aku menaiki bas untuk balik ke Terengganu.




"Ukhuwah itu adalah tali yang mengikat hati-hati para du'at, sekiranya ia tidak dikenali dan terputus, maka akan bercerailah hati-hati tersebut dan itulah bahana yang paling buruk dalam dakwah ini.Nilai ukhuwah ini tidak dapat ditukar dengan apa sekalipun, kerana kesannya pada hati membekas buat selamanya sekali ia berpaut"- Nukilan dari website www.emirabukhalil.com

Thursday, April 21, 2011

Sebuah Dialog

Pada suatu petang, aku sedang berborak-borak dengan seorang adik junior.Dia seorang yang baru berkecimpung sebagai aktivis kampus.Salah seorang ahli dalam sebuah badan kerohanian.

Junior: Abang, saya tengok abang sangat aktif dengan program-program di kampus?
Aku : Hmmm, tak banyak mana pun.Sikit-sikit la.Kenapa?
Junior: Tak de la.Saya ni masih baru dalam organisasi ni.Cuma saya tengok abang banyak masa untuk ikut program-program ni.Tak terganggun ke mase study abang?
Aku : Hehehe...biase la.Bagus jugak pertanyaan ni.Abang dulu pun pernah berfikir seperti tu jugak.
Junior: Jadi macam mana tu?
Aku : Macam mana lagi.Dah memang tanggungjawab kita kan.
Junior: Ye la.Tapi saya kadang-kadang terasa berat juga nak join banyak-banyak program ni.
Aku : Ok la.Sebenarnya pengalaman juga sedikit sebanyak memberi kita panduan untuk bergerak ni.Dan yang paling penting adalah kefahaman kita.Kenapa kita terlibat dengan program-program islamik ni.
Junior: Ok.Terus....
Aku : Masa yang kita ada masing-masing 24 jam.Tapi kenapa ada yang mampu mengerjakan banyak sekali tugasan dan program manakala sebahagian yang lain tidak?Abang teringat dengan sebuah pesanan daripada pendahulu kita, Imam Hasan Al-Banna.Kewajipan yang kita ada melebihi waktu kita.
Junior: Ooo...
Aku : Kita beruntung kerana Allah telah memilih kita untuk memikul tanggungjawab ini.Bukan semua orang yang dipilih.Abang tau bahawa tugas sebagai pelajar PERUBATAN ni memang berat.Tapi di suatu sisi, ia menuntut kita untuk lebih bijak mengatur masa.Ada masa untuk belajar, berorganisasi, beriadhah dan lain-lain lagi.Yang penting bagaimana kita mengatur masa sebaik yang mungkin.
Junior: Tu yang sedikit berat kan..
Aku : Betul, memang abang akui.Untuk mengatur masa tu memang sulit.Tapi harus kita lakukan.Orang Melatu kate, alah bisa tegal biasa.
Junior: Hmm...
Aku : Pengorbanan dengan masa, tenaga, fikiran dan juga peluh ni yang akan menambahkan lagi perasa dalam hidup ni.Kadang terasa pahit.Kadang pula terasa masam manis.Dan akhirnya kita akan mengecapi kemanisan liku-liku perjalanan ini.Macam mana?
Junior: Ok, baru saya faham.Nanti, kalau ada masa kita borak-borak lagi ye.Saya ada lab lepas ni.Terima kasih atas nasihat abang tu.InsyaAllah saya cuba aplikasikan
Aku : Alhamdulillah..InsyaAllah abang boleh bantu setakat yang mampu.Abang pun bukanlah bagus sangat.Tapi, kita sentiasa berusaha menjadi yang terbaik la kan.
Junior: InsyaAllah.Ok, jumpa lagi nanti.Assalamualaikum
Aku : Waalaikumussalam

Begitulah sebuah dialog pada suatu petang berhampiran cafeteria fakulti.3 tahun yang lalu.Masih segar dalam ingatan ini.Junior ini pun telah kembali ke Malaysia untuk menyambung clinical di sana.Dan aku meneruskan lagi sisa-sisa waktu yang ada sebelum menamatkan tempoh pendidikan selama 5 tahun setengah.Memang lama.Namun, aku merasakan waktu itu sangat cepat berlalu.Justeru kerana masa yang ada kita isi dengan pelbagai program yang bermanfaat.Di sini ada baksos(bakti sosial), program-program dari fakulti, memegang usrah, membawa usrah, daurah dan sebagainya lagi.Sehingga aku merasakan setiap 1 semester itu begitu cepat berlalu.Hampir setiap hujung minggu ada program luar dari akademik.

Teringat dengan lirik lagu Raihan

Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Hari-hari sekarang ini, di tahun akhir pengajian aku terasa begitu berat beban-beban yang ditanggung.Waktu luang benar-benar mencemburui.Hospital menjadi rumah kedua.Memang begitu teruji.Waktu dengan murabbi.Waktu dengan mutarabbi.Waktu dengan ikhwah dan rakan-rakan.Dan yang paling penting waktu dengan Allah.

Semoga Allah mengurniakan aku keikhlasan dalam beramal sehingga ia menjadi penguat untuk aku tsabat pada jalan ini.

Tuesday, February 8, 2011

DITLATSAR BSMI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang..

(Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).(QS 62:9)

Beberapa pengalaman telah aku lalui beberapa minggu yang lalu.


Bermula dengan Pelatihan dan pendidikan Bulan Sabit Merah Indonesia(DITLATSAR BSMI) pada akhir januari yang lalu bertemakan 'Breaking The Limits'.Program tersebut berlangsung di Bukit Lawang.Kawasan yang terkenal dengan pelancongan kerana terdapatnya Taman Negara Leuser dan juga pemeliharaan orang utan.Juga terkenal di kalangan orang yang suka dengan aktiviti meredah jeram kerana arus sungainya yang deras.
Sungai yang hampir meragut 2 nyawa sahabatku di sana ketika mereka terbawa arus.Namun Allah berkehendak nyawa mereka masih panjang supaya mereka akan terus beramal untuk ummah.Salah satu daripada mereka adalah doktor gigi, dan seorang lagi akan tamat beberapa bulan lagi.

Program ini berlangsung selama 3 hari, mulai hari jumaat sampai petang sabtu.Kami berempat sampai ke kawasan perkhemahan sedikit lambat dari peserta yang lain.Sekitar pukul 9 malam baru sampai ke pekan ini.Makan malam dan solat jamak.Mengingatkan hari dah malam serta ada penduduk yang mengatakan bahawa paras sungai yang naik hampir membantutkan harapan kami untuk ke camp site.Entah kenapa tiba-tiba ada semacam keberanian yang hadir dalam diri kami.Akhirnya kami memutuskan untuk meredah perjalanan malam itu juga.Yang pasti Allah selalu bersama kami.

Hampir 3 jam perjalanan kami.Akhirnya tiba di camp site.Semua peserta sudah tidur.Menyiapkan tenaga untuk hari seterusnya.Alhamdulillah....

Selama 3 hari ini, banyak peristiwa yang mengajar kami akan erti sifat dan kehidupan seorang yang bergelar relawan.Kerjasama, kesiapan, keterampilan dll.Dan yang penting, dalam satu tazkirah pada subuh yang begitu hening.Suasana kami dalam kegelapan.Suhu sekeliling yang sejuk, seorang peserta memberikan perkongsian mengenai karakter yang harus ada pada seorang relawan.

Katanya, "Seorang penolong itu harus mendekatkan diri dengan Sang Penolong(Allah).Bagaimana untuk menolong orang jika kita jauh dengan Yang Maha Memberi Pertolongan".Suatu penyampaian yang jelas dizahirkan dari hati.Amat berkesan di hati ini.

Pengalaman yang paling kami tidak dapat lupakan adalah pada hari terakhir.Meredah arus jeram dengan menggunakan perahu.Perahu yang dibuat dengan mengikat 5 tiub tayar lori.Boleh bayangkan tak?
Perjalanan awalnya biasa-biasa.Menghampiri separuh perjalanan, arus menjadi semakin deras.Batu-batu semakin banyak.Kami hilang keseimbangan akibat barang yang menumpuk di tengah.Barang-barang yang berisi laptop, kamera, handphone dan ubat-ubatan.Namun telah dimasukkan ke dalam plastik.
Tiba-tiba perahu yang kami tunggangi melanggar tebing, akibat pemandunya yang sedikit cuai.Akhirnya semua kami tenggelam.Adrenaline terpicu.Jantung berdetak lebih 120bpm.Masing-masing berpegang pada perahu.Sempat juga ada yang tenggelam, namun sempat ditarik.Perahunya pula berputar-putar di situ.Akhirnya setelah beberapa minit, keadaan menjadi terkawal.Kami semua naik lagi ke perahu untuk melanjutkan perjalanan pulang.

Pengalaman itu pasti tidak akan kami lupakan.Menjadi memori indah kami bersama.Mungkin ada kisah untuk diceritakan.Paling tidak pada anak sebelum mereka tidur.

Setelah itu, kami bergegas menyiapkan diri untuk program yang terakhir.Baksos(Bakti Sosial) atau khidmat masyarakat.Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai bagaimana BSMI ini mendekati masyarakat.Dan merupakan aktiviti rutin yang sering dijalankan oleh BSMI.Sekitar pukul 4 petang semua peserta bertolak pulang dengan bas yang disediakan.Mereka namakan bas tersebut dengan nama 'Bas Wali'.Kenapa?Kerana sepanjang perjalanan, lagu wali band yang diputarkan.Perjalanan pulang mengambil masa sekitar 3 jam untuk sampai ke Medan lagi.

Alhamdulillah, jiwa seorang relawan sekali lagi dilatih.Bagi penulis, pengalaman ini memang luar biasa.Sebuah tarbiah jasadiah.Di samping keterampilan sebagai tenaga medik.Kalaulah diikutkan waktu pasti masa yang ada akan kuhabiskan dengan belajar, memeriksa pesakit dsb.Tiap-tiap hari pergi hospital.Petangnya pulang ke rumah.Malamnya belajar lagi.
Namun di mana indahnya kehidupan ini jika tidak kita warnainya dengan pengalaman-pengalaman seperti ini.Bila lagi kita akan punya masa untuk berinteraksi dengan masyarakat, orang awam serta sahabat-sahabat lain yang berlainan profesi.
Setiap hari membaca buku-buku perubatan, istilah perubatan, video-video perubatan.Berbincang pun pasal perubatan.Bagiku itu bukan ciri muslim yang sejati.Bukan sifat muslim negarawan.Bukan ciri-ciri generasi harapan.Tugas kita bukan hanya mengejar ijazah.Bukan CGPA, bukan juga mendapat pujian-pujian dari manusia yang tidak ikhlas mengucapkannya dari hati.
Kerana tugas kita juga sebagai penyampai risalah yang telah dibawa oleh junjungan besar kita.Apa itu IJAZAH?Dan apa itu RISALAH?InsyaAllah post yang seterusnya akan disampaikan.Antara IJAZAH dan RISALAH.


Monday, January 24, 2011

On-Call lagi...

Assalamualaikum...

Tadi habis je solat manghrib, datang rakan group ko-ass untuk mengajak aku ke Hospital.Katanya ada kes kemalangan.
Sebelumnya lupa nak bagitau, sekarang aku di Dept. Forensik.Jadi kami tunggu on-call je la.Ada kes, terus datang hospital.Banyak kes-kes yang aku dapat sepanjang beberapa minggu ni.Ada kes pembunuhan, bunuh diri, mati lemas, kemalangan dsbnya lagi.Dari yang biasa sampai yang luar biasa ngerinya.Dari yang jelas gambarannya sampai yang tidak tergambarkan lagi.Dan biasanya kalau berbicara mengenai forensik pastilah ramai yang beranggapan pastinya mengenai orang mati.Tapi sebenarnya bukan.Ada juga kes yang masih hidup, dan mereka ni biasanya ke bahagian ni kerana diminta pihak polis untuk kes-kes yang memerlukan kepakaran ahli forensik dalam masalah jenayah.Seperti kes pukul, pemerkosaan dan kemalangan.

Berbalik kepada cerita tadi....Jadi setelah solat aku langsung berangkat ke hospital.Sampai di sana dah ramai yang datang.Dan pemeriksaan sedang dilakukan.

Mangsa kemalangan jalan raya.Seorang ibu dengan anak.2 tubuh yang telah terbujur kaku.Ngeri keadaan mayatnya.Anaknya masih kecil sekitar 1-2 tahun.Menurut cerita dari petugas, mereka digilis dengan lori.Kepala si ibu terburai, leher putus, kaki putus dan paha hampir putus.Manakala anaknya kepala juga pecah, dan patah tulang pahanya.Sayu hati melihat keadaan mereka.Di belakang badan ibunya, kelihatan bekas tayar lori tersebut.
Inna lillahi wa inna ilaihi raajiun...

Kami seperti biasa melakukan pemeriksaan luar sebagai tugas rutin untuk dilaporkan kepada doktor pembimbing nanti.Ada yang jadi fotographer, pencatat, pemeriksa tak kurang juga pemerhati tetap.Ada juga yang pucat wajahnya.Mungkin baru pertama kali kot.

Dalam pukul 8.30 malam semuanya selesai.Kami dibolehkan pulang.Aku solat isyak dulu bersama rakanku ini.Mengejar pahala berjemaah.Lebih afdhal daripada sendiri kan...Jadi, dalam perjalanan ke masjid, rakanku ini berbicara.Kata-katanya membuat aku berfikir.Katanya,

" Ngeri betul melihatkan mangsa kemalangan tadi, wajah hampir tak kelihatan.Padahal semasa hidup wajah kita ni bukan main cantiknya lagi.Takut betul aku mengingatkan akan wajah kematian kita nanti.Adakah masih sempurna, ataupun bagaimana?"

Kata-katanya masih berlegar-legar di benak ni.Ada benarnya.Kita tidak tahu bila ajal akan tiba, dan bagaimana keadaan saat ajal menjemput nanti...
Seringkali kita menghabiskan waktu, tenaga dan duit untuk memperelok wajah dan penampilan, walaupun tidak dinafikan itu juga penting.Namun, kita seringkali terlupa untuk memperelok hati, memperbaiki amal ibadah, mempersiapkan bekalan untuk masa depan nanti.
Rasulullah mengajarkan kita sebuah doa:

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”

Amalkan selalu doa ini setiap kali habis solat, insyaAllah.
Aku amat bersyukur sekali, kerana Allah memberi banyak peluang untuk lebih memahami hidup ini dengan sering berhadapan dengan kematian.Semakin banyak kita mengingat kematian, semakin bagus persiapan kita menghadapi kehidupan.
Semoga jenazah kedua beranak itu mendapat keampunan Allah s.w.t dan matinya dalam keadaan husnul khatimah..Amin.

Sebuah artikel dari Ust Pahrol Juoi:

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.

Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah.Lanjutkan membaca di sini SAAT BERPISAH..



Saturday, January 1, 2011

2011


Bismillahirrahmanirrahim.

2010 kini meninggalkan kita buat selama-lamanya. Segala catatan suka dan duka sepanjang tahun kini menjadi sejarah yang terpahat kukuh dalam lipatan memori. Menjadi pengajaran untuk menginjak ke 2011

2011 kini menjengah kita. Menjanjikan sebuah plot cerita yang baru yang pastinya menguji kita sebagai hamba. Masa hadapan yang dipandu berdasarkan pengalaman lalu.

2010 nyata sebuah tahun yang istimewa. Di dalamnya tercatat pelbagai peristiwa bersejarah. Baik sejarah buat diri mahupun sejarah organisasi. Moga tahun yang berjaya dilalui ini menjadi bekalan untuk mengemudi kapal kehidupan di kemudian hari.

Mungkinkah 2011 bakal mengulangi sejarah pencapaian yang sama ataupun lebih hebat lagi? Sama-sama nantikan apakah plotnya lebih menarik ataupun sama seperti tahun sebelumnya.

Moga 2011 menjadi tahun yang cemerlang.

Selamat tinggal 2010, ahlan wasahlan 2011



Membina Generasi Harapan

Melayu Sepakat Islam Berdaulat

Thursday, July 22, 2010

Hmmmm....

Sebelum kami semua memasuki zaman clinical ini, banyak kisah-kisah yang sangat manis bercucuran dari mulut-mulut abang koass.Ada menceritakan kisah-kisah lucu mereka, tidak lupa juga pengalaman menarik sepanjang perjalanan koass sekitar setahun enam bulan itu.

Namun, setelah saya memasuki zaman 'keemasan' ini baru diketahui segala kenangan manis alam koass ini.Seperti biasa sebelumnya semua dalam keadaan yang tidak sabar-sabar.Kalau dalam bahasa psikiatri mood yang meluap-luap(expansive mood).Boleh jadi sampai ke ecstasy mood.Hehe..

Akan tetapi apabila sudah berada di alam koass ni fikiran lain yang muncul pula.Seringkali pertanyaan muncul di alam fikiran bawah sedar, "Bila la nak tamat koass ni?".Memang tu adalah lumrah manusia.

Baru-baru ni saya baru sahaja melepasi bahagian pediatrik.Berbagai rumors mengenai bahagian tu.Hari pertama masuk ada senor minggu menyambut kami dengan ucapan, 'Welcome to the jungle'.Pertamanya kami sudah tahu mengenai kisah-kisah yang menakutkan dengan bahagian pediatrik ni.Berbekal semangat juang anak muda kami mencipta sebuah slogan iaitu, "Mainkan saja la".Tidak perlu takut-takut.Kerana takut itu akan melunturkan semangat ingin belajar kami.Akhirnya setelah berhempas pulas 8 minggu, aku melangkah menghadapi post test dengan yakin...

"Dik, penguji kamu berat ni, maka belajar biar betul-betul ya!!".Itu ungkapan yang saya dapat sewaktu kami diberitahu siapa supervisor penguji kami.Dan memang betul-betul berat sewaktu ujiannya.Sebelum itu, saya sememangnya sudah pasrah dengan siapapun penguji.Alhamdulillah, post test dilalui dengan biasa.Walaupun hasilnya saya belum tahu biasa atau luar biasa.Yang penting kita melaluinya dengan yakin setelah belajar.Kerana Allah tidak melihat kepada hasilnya, namun Dia melihat akan usaha-usaha yang kita berikan...
InsyaAllah, lulus koq!!

Dan hal-hal yang 'menarik' ini akan terus berlanjut sehinggalah akhir tahun 2011 nanti.Nantikanlah kisah-kisah kami seterusnya.

Di sebalik itu, saya tetiba teringat akan kisah perang Badar.Kisah di mana ketika umat Islam yang dipimpin oleh rasulullah seramai 313 orang menghadapi tentera musyrikin sekitar 1000 orang.Perang ini terjadi tanpa dirancang-rancang.Sebelum perang terjadi, rasulullah melantunkan sebuah doa yang amat syahdu...

“Ya Allah, sempurnakanlah kepadaku segala apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.
Ya Allah, berikanlah apa-apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.Ya Allah, jika Engkau membinasakan pasukan Islam, tentulah Engkau tidak akan lagi
disembah di muka bumi ini."
(HR Muslim)



Sunday, May 9, 2010

Sebuah Komunikasi

'Duhai Pemilik hati, wahai Pembolak balik jiwa, teguhkanlah hati dan jiwa kami untuk senantiasa berpegang teguh pada agama-Mu dan ketaatan di jalan-Mu'...

Sesungguhnya perjalanan ini terasa amat berat jika kita memang berfikir sedemikian.Teringat aku sebuah lirik nasyid Maidani,"Allah bergantung pada, prasangka hambanya".Jika itu yang difikirkan, maka itu yang akan dirasakan.Kerana kita akan sentiasa diuji oleh-Nya sebagai penyaring keimanan kita kepada-Nya.Alhamdulillah kuucapkan di atas nikmat keimanan dan keislaman yang dikurniakanNya sehingga tetap istiqamah memperjuangkan kebenaran walaupun hakikatnya pahit perjalanan.

Seminggu yang lalu berakhir sudah posting aku di departmen Paru.Sebulan di sana banyak memberikan sebuah hikmah kehidupan di dalam hidup ini.Manakan tidak, di sana pesakit yang datang mempunyai beberapa kesimpulan.Sembuh dan dapat pulang.Sembuh, namun pulang kepada Tuhannya.Kerana kematian itu juga adalah sebuah penyembuhan daripada kematian.Kalau dalam istilah medik di sini ada P.A.P.S(pulang atas permintaan sendiri) dan P.A.P.I(pulang atas permintaan Ilahi).

Sebulan di ruangan tersebut juga banyak memberikan pengalaman baru bagiku mengenai betapa pentingnya sebuah komunikasi.Komunikasi antara doktor dan pesakit, antara rakan sejawat, dan petugas medis lainnya.Kerana apabila gagalnya sebuah komunikasi, maka gagalkan pemindahan infirmasi dan boleh berakibat buruk nantinya.Pengalaman peribadi sewaktu di wad tersebut juga mengajar aku untuk sentiasa memperbaiki cara berkomunikasi.Maka tidak rugi jika kita sering-sering membaca buku mengenai personaliti, motivasi dll.Di samping menambah ilmu, juga dapat dijadikan modal untuk memulakan komunikasi.Pernah suatu ketika semasa di wad, aku diminta untuk menganamnesa(history taking) seorang pesakit.Di depan aku sebelumnya, di pernah memarahi seorang doktor PPDS.Gara-gara kecuaian doktor itu juga.Memang kecut juga awalnya.Dengan badannya penuh dengan tatoo.Dan dia didiagnosa dengan batuk berdarah disebabkan oleh TB Paru.Ditambah lagi dia akan aku jadikan sebagai kes untuk post-test.Bingung juga otak ini memikirkan bagaimana untuk berbicara dengannya.Sepetang aku memikirkan pemecahan masalah ini.Hampir diri ini berputus asa dan menukar dengan kes yang lain.Namun aku cuba untuk kembali berfikir secara positif dan berserah kepada Allah.Kerana daripadanya semua masalah itu diberikan.Maka seharusnya solusinya pun kita minta daripada-Nya juga.Berusaha dahulu kemudian bertawakallah.

Alhamdulillah, malamnya itu aku cuba untuk mendekatinya pesakit ini.Mulakan dengan 3S(salam, sapa dan senyum).Walaupun hati masih bergetar, aku cuba untuk memulai perbualan.Awalnya memang dingin respon darinya.Tiba-tiba dia bertanya mengenai bola sepak.Champion League.Keputusan perlawanan malam tadi antara Bayern Munich vs Lyon.Sejujurnya aku sudah tidak meng'update' perihal bola ini, sejak posting awal tahun ini.Namun aku cuba melayan perbicaraannya.Kami bercerita mengenai pasukan yang disokong masing-masing.Hampir 15 minit ber'diskusi'.Hari dah menjelang malam.Dan aku perlu menyiapkan hasil laporan anamnesis, pemeriksaan fizik dan beberapa hal lainnya.Pak L(bukan nama sebenar) masih ingin berbual.Terpaksa aku menghentikan perbualan dan menjelaskan kepadanya hal yang sebenar yang ingin aku lakukan.Dan ternyata responnya baik.Dia bersedia untuk memberikan kerjasama.Bersyukur sekali.Tidak sia-sia aku melayan kerenahnya sampai malam.

Keesokannya hari, respon dari Pak L ini semakin baik.Diajaknya berbual-bual.Sambil aku cuba menggali beberapa maklumat penting perihal penyakitnya.Dan alhamdulillah berjaya aku menyiapkan laporan kes untuk post test itu.Keesokan harinya aku mendapat tahu bahawa pesakit itu sudah boleh pulang kerana keadaan batuk berdarahnya mulai membaik.

Begitulah betapa pentingnya sebuah komunikasi@interaksi.Ada lagi beberapa pengalaman yang menarik.Ini mengenai seorang nenek tua dengan diagnosa TB Paru dengan masalah sesak nafas.Dimasukkan ke hospital sudah hampir seminggu.Dan selama seminggu itu, aku diminta untuk memantau keadaan kesihatannya, pemeriksaan vital sign setiap pagi, dan melakukan tindakan medis yang ringan terhadapnya.Sebelum melakukan apa-apa tindakan, aku mulai dengan menyapa, bertanya akan keadaannya hari itu serta berbicara mengenai keluarganya.Masuk ke minggu kedua, aku diganti oleh junior minggu satu.Beberapa hari setelah itu, dia mengeluh kepada doktor PPDS yang in-charge-nya.Dia mahukan doktor muda yang minggu lalu.Doktor PPDS itu sambil ketawa menjelaskan keluhan nenek tua itu.Aku cuba mengamati permasalahan yang terjadi.Rupa-rupanya junior itu kurang memperhatikan nenek tua itu.Dia datang dekat pesakit itu.Memeriksanya.Kemudian setelah selesai tugasnya, berlalu dia.Aku baru memahami masalahnya di mana.Setelah itu aku cuba mendatangi kembali nenek itu walaupun sudah tidak sekerap yang dulu.Kerana kami diberi tugasan yang berlainan setiap peralihan satu minggu.Aku datang sambil berbicara dengannya, walaupun tidak memeriksanya.Beberapa hari setelah itu, nenek itu dibenarkan pulang.Alhamdulillah..

Walaupun diri ini masih banyak kekurangan, namun aku cuba untuk memperbaikinya setiap masa.Masalah komunikasi ini sering dianggap remeh oleh bakal calon-calon doktor.Kami memang diajari bagaimana untuk menggali maklumat sebanyaknya daripada pesakit-pesakit ini.Dari hasil penelitian medik, komunikasi yang baik dapat menegakkan 80% daripada setiap penyakit itu, seterusnya 20% lagi melalui pemeriksaan fizik, laboratorium dan penunjang.Namun jika menurut pandangan peribadi, alangkah bagusnya jika calon doktor ini menguasai cara berkomunikasi yang tidak hanya untuk mencari penyebab penyakit dan mengubatinya.Namun juga dapat menguasai cara untuk menguasai hati para pesakitnya.Tidak hanya mengubati penyakit fizikal, namun juga mampu mengubati penyakit spiritualnya.Tidak hanya mampu berbicara masalah-masalah seputar isu perubatan, namun juga luas wawasan dan pengetahuan serta pandai mengambil hati pesakitnya maupun orang yang sihat lainnya.

Mungkin setakat ini dulu perkongsian atas pengalaman yang tidak seberapa ini.Kesibukan masih lagi melanda.Semoga Allah menguatkan lagi langkahan iman, amal dan keikhlasan berbuat kebaikan ini adalah kerana-Nya.
"Menulis bukan untuk memberitahu, namun untuk mencari tahu juga"

Sunday, April 18, 2010

Cabaran itu baru bermula


menapaki langkah langkah berduri
menyusuri rawa lembah dan hutan
berjalan di antara tebing curam
semua dilalui demi perjuangan


Letih tubuh di dalam perjalanan
Saat hujan dan badai merasuki badan
Namun jiwa harus terus bertahan
Karena perjalanan masih panjang

(Mars Korsad-Izzatul Islam)

Hati ini sangat terkesan apabila mendengarkan bait-bait dari lirik lagu ini.Sangat memberi inspirasi tatkala jiwa ini terasa lemah dek ujian dan cubaan yang dialami.Mengembalikan kekuatan saat diri ini longlai.Menyegarkan fikiran ketika syaitan cuba merasuk supaya futur dari perjalanan yang panjang ini.Diri ini teringat sebuah ucapan yang disampaikan oleh sahabatku, perjalanan yang kita lalui ini tersangatlah panjang sehinggakan kita tidak tahu bila akan mendapat kemenangan.Namun inilah jalan yang paling cepat.Dapat difahami ataupun tidak?

Tatkala perjalanan menuju ke fasa yang seterusnya, tidak mungkin untuk aku berpatah balik.Kerana perjalanan ini harus dihadapi untuk menggapai cita-cita impianku.Sebelum ini aku melalui fasa posting yang agak ringan kerana jadualnya tidak terlalu padat.Datang ke hospital dari pukul 8 pagi.Balik cuma dalam pukul 2 pm.Masih ada waktu untuk aktiviti-aktiviti sampingan yang lain…

Sejak beberapa minggu yang lalu, aku memasuki bahagian yang betul-betul menguji keupayaan fizikal, mental dan ruhiyah.Sebenarnya aku tidak terlalu terbeban dengan masalah keletihan sewaktu WH(wajib hadir), kerana itu adalah sebahagian latihan buat diri ini untuk menghadapi keletihan yang lebih besar pada suatu saat nanti.Tidak pula aku bermasalah dengan pelajaran yang kadang-kadang dapat memicu adrenaline saat berhadapan dengan supervisor sewaktu post-test.Sememangnya itu adalah lumrah kehidupan bagi seorang yang ingin memakai gelaran doktor perubatan nantinya.Berani memilih bidang perubatan, berani juga menghadapi tantangannya, kan?High risk, high benefit!!

Medan Ujian

Kadang memang betul apa yang diungkapkan oleh banyak ulamak bahawa medan amal ini memerlukan mujahadah yang cukup tinggi berbanding medan bicara.Ramai yang mampu berbicara mengenai sesuatu kebaikan, namum tidak ramai yang mampu beramal dengan apa yang mereka ucapkan.Teringat aku akan firman Allah yang mengingatkan kita akan setiap tindakan ini:

“(1)Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.(61:2-3)

Ketika aku posting di bahagian Paru ini, memang terasa akan perihnya untuk tetap kuat.Kami di bahagian ini ada yang kena jaga siang dan malam.Kerana syifnya bermula dari pukul 3 petang sampai pukul 6 pagi besoknya, dan disambung dengan wajib hadir dari pukul 7 pagi sampai 3 petang.36 jam!!Tapi itu memang akan menjadi kegiatan rutin sewaktu memasuki alam housemanship nantinya.Tapi yang bermasalahnya, kami cuma disediakan satu bilik sahaja untuk tidur.Bayangkan dengan jumlah yang jaga malamnya kira-kira 10 orang dengan lelaki dan perempuan bercampur baur.Semuanya keletihan sewaktu jam jaganya.Tanpa memikirkan apa-apa, langsung masuk ke bilik dan tidur.Pernah juga hati ini berfikir, tak mengapa kalau tidur pun asalkan masing-masing pandai menjaga diri.Namun cepat-cepat hati ini beristighfar.Agar syaitan tidak merasuk dengan lebih parah lagi.Senior-senior pernah bertanya kenapa kami tidak pernah tidur di dalam bilik itu, padahal tempat tidur telah diasingkan.Dengan lelaki tidur beralaskan tilam di atas lantai dan perempuannya tidur atas katil 2 tingkat.Kami hanya senyum sambil mengatakan bilik itu agak panas kerana ACnya tidak berfungsi dengan baik.Kemudian kami susun kerusi di ruangan lain dan tidur di atas susunan kerusi itu. Kadang-kadang mereka hairan melihat kami rela tidur di tempat yang tidak selesa padahal masih ada tilam yang lebih empuk di bilik student tu.Namun itu adalah lebih baik…

Alhamdulillah juga kerana masih ada teman seperjuangan yang sering menasihati diri ini.Beliau mengatakan,”Kita sering menasihati orang lain untuk berbuat kebaikan dan bersabar atas ujiannya.Kalau ujian sekecil ini pun tak dapat nak hadapi macam mana nak berhadapan dengan ujian yang lebih besar nanti.Ingatlah bahawa saudara di Palestin jauh lebih besar ujiannya, namum mereka lebih tabah menghadapinya”.Aku cukup bersyukur kepada-Mu kerana telah menghadirkan dalam hidupku ini teman-teman seperjuangan yang sefikrah dan sentiasa menasihati diri ini.

Beberapa hal yang dapat dikongsikan untuk menjadi pedoman bersama:

1. Carilah sahabat@ group clinical(koass) yang benar-benar mampu membangun peribadi kita dari sudut ruhiyah maupun akademik.Dalam hal ini akan sangat indah perjalanan yang dilalui jika kita bersama golongan jiwanya yang dekat dengan Allah, namum tetap professional dalam pekerjaannya.Kalau saya mengatakannya sebagai PROFESIONAL RABBANI

. Sentiasalah saling menasihati antara satu sama lain dalam semua aspek hidup

3. Berpenat-penatlah dahulu semasa belajar ni, kerana masa depan kita belum tahu sesulit apakah itu nantinya.Jadi kita sudah bersiap sedia dari sekarang.

4. Didiklah diri dengan akhlak yang mulia.Tetap kukuh walau di mana ditempatkan nantinya.

5. Persiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi bebatuan perjalanan ini.

6. Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.Tingkatkan tilawah al-Quran, zikir-zikir, tahajud, ibadah-ibadah nawafil yang lainya.

7. Tuliskan target-target yang ingin dicapai dan tulis diatas kertas dan tampal di depan meja belajar.Supaya diri ini sentiasa termotivasi!!

8. Banyakkan membaca buku-buku yang bermanfaat.Bukan hanya buku spesialisasi kita sahaja.Mentang-mentang student medic, isu sekitar itu je yang kita tahu.Luaskan wawasan anda.Buka seluas-luasnya fikiran..

Mulainya kerana Allah, berjalan bersama Allah, kembali kepada Allah

Monday, January 11, 2010

Suatu Malam

Bismillahirrohmannirrohim...

Entah mengapa sejak akhir-akhir ini jadual harian saya tidak dapat teratur dengan sempurna.Kadang-kala hidup terasa sangat kosong dan bosan.Dan pada waktu itulah timbul bermacam-macam idea-idea yang 'pelik'.Namun ada hari-hari tertentu aktiviti terasa amat meletihkan.Sampaikan tiada kesempatan untuk ber'facebook'.Hehe..

Cuti semester 7 kali ini menghadirkan berbagai memori yang indah dan juga pahit.Kenangan yang manis juga pahit.Cuti yang kadang-kala penuh dengan hambar.Iman yang juga naik namun kerap kali turun.Hati yang sering kali lemah terhadap godaan, namun kuat di kala bersama sahabat-sahabat seperjuangan.Namun saya perlu mengakui itulah namanya KEHIDUPAN.Saya teringat serangkap kata-kata yang saya baca dalam sebuah buku:
Tidaklah seorang itu dikatakan bertakwa apabila dia tidak pernah melakukan kesalahan.Namun seseorang yang bertakwa itu adalah apabila dia melakukan kesalahan dan dia bertaubat kembali dari kesalahan tersebut serta berusaha untuk menjauhinya.
Walau sehebat manapun ujian/ cubaaan/ dugaan saya harus kembali semula ke landasan.Sesekali tergelincir itu normal.Namun kalau selalu tergelincir dan sudah memasuki landasan lain itu yang parah.Agak susah untuk mengembalikannya kedalam landasan kembali.Sering-seringlah beristighfar...

Malam tadi saya keluar makan malam di sebuah gerai makan di tepi jalan setelah pulang dari hospital.Saya ke sana selepas solat isyak.Setelah makan, sempat berborak-borak dengan rakan-rakan yang lain.Kemudian datang 2 orang pelanggan gerai tu(usia mereka mungkibn sebaya dengan datuk dan nenek saya kot).Setelah itu mereka duduk semeja dengan kami sebab meja tu panjang kot.Sambil-sambil berborak, saya bergurau dengan rakan saya bahawa masih ada lagi pasangan yang 'evergreen' seperti itu makan-makan dengan romantik.Nasib baik takde lilin kat tengah.Hihi

Namun tak disangka, gurauan yang saya keluarkan benar-benar terjadi.Pasangan itu benar-benar makan sepinggan.Berkongsi makan.Yang lelaki tu memakai kopiah.Saya memandangnya.Dan dia memandang kami kembali sambil tersenyum.Sungguh kagum saya melihat situasi tersebut.Pemandangan yang jarang dilihat.Mungkin terlalu sering melihat pasangan-pasangan yang sering makan berduaan di kalangan remaja atau muda-mudi kot!!Tapi itulah hakikat.

Mereka telah melepasi fasa-fasa perkahwinan yang sulit mengikut ilmu family medicine'family in later life'.Bukan senang untuk sampai ke tahap sebegitu kan??Kita sendiri ini yang masih mencari-cari pun belum tentu akan mendapatkannya.Sedangkan yang sudah ada pun saya lihat seringkali bertukar-tukar pasangan.Sekejap dengan orang ni.Skejap dengan yang di sana.Bermacam-macam ragam keranah manusia ni.Semoga kita dikurniakan pasangan yang sesuai dengan doa yang diajarkan oleh Al-Quran;
Wahai Robb kami, karuniakanlah pada kami dan keturunan kami serta istri-istri kami penyejuk mata kami. Jadikanlah pula kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa" (QS. Al Furqon:74)

Tapi kuncinya seperti iklan ubat gigi HalalGel, "Mencari yang halal itu adalah kewajipan untuk semua orang muslim".

Thursday, December 31, 2009

HIDUP HARUS MEMILIH

Dari jauh nampak seorang lelaki bersama anaknya menunggang kuda. Di tengah jalan mereka berjumpa dengan serombongan pedagang. Pedagang ini mengejek Sang Ayah,
”Wah...tak berperikemanusiaan betul orang ni, kuda yang kecil begini pun ditunggangi 2 orang.” Maka turunlah si ayah dan anaknya . Mereka akhirnya berjalan sambil menuntun kuda.
Lalu serombongan orang lainnya yang ditemuinya di jalan berbisik-bisik,
”Bodoh betul orang ni, ada kuda tapi tak ditunggangi.”Mendengar bisikan tersebut, si ayah lalu menaikkan anaknya ke kuda sedangkan dia menuntunnya.
Ditengah perjalanan muncullah tanggapan orang yang berjumpa dengan mereka berdua,
”Sungguh keterlaluan... anak yang tak mengenang budi, sanggup dia membiarkan ayahnya berjalan kaki.” Lalu si ayah jadi bingung. Disuruhnya anaknya turun dan sebaliknya dia yang menunggangi kuda.
Namum komentar berikutnya yang diterima dari orang yang berpapasan di jalan tidak berhenti-henti.
” Ayah yang kejam, sanggup dia membiarkan anaknya kepanasan berjalan sementara dia selesa dengan menunggangi kuda. ”

Begitulah fenomena manusia yang tidak memiliki prinsip. Manusia yang tidak memiliki prinsip hidup terseksa dengan komentar-komentar orang lain. Bahkan dia tidak dapat memutuskan sesuatu yang sangat mudah baginya. Dia juga tidak dapat memutuskan apa yang ada dalam kehendaknya.

Tidak semua komentar adalah sesuai dengan keadaan peribadi atau organisasi. Orang hanya menilai dari apa yang dia lihat dari luar. Sementara diri sendiri atau organisasi memiliki karakteristiknya sendiri. Menunggu komentar untuk berbuat sama saja dia tidak punya misi dan visi. Dia akan hidup berdasarkan trend, mood atau keinginan orang lain. Sama halnya dengan organisasi, ia hanya hidup dari agenda pihak luar.

Maka manusia harus memutuskan apa pun bentuknya meskipun akhirnya terjadi kesalahan di kemudian hari. Memutuskan sesuatu meskipun salah lebih baik daripada tidak memutuskan apa-apa. Mengambil keputusan yang salah masih akan mendapat kebaikan berupa pelajaran-pelajaran hidup yang akan merubah diri. Tentu saja keputusan terbaik berasal dari berbagai pertimbangan mendalam atau berdasarkan hasil musyawarah.

Apabila Anda sudah memutuskan, dan bertekad, maka serahkanlah semuanya pada-Nya.

Credited to and edited from:

siddikthoha@yahoo.com

Cukup indah dan menarik apa yang diperkatakan oleh penulis di atas.Dalam kehidupan ini kita akan dihadapkan dengan pilihan setiap saat.Bermula dari memilih perkara-perkara kecil hinggalah dalam memilih kerajaan.Hatta dalam memilih pasangan hidup pun cukup penting.Semuanya diberi pilihan oleh Allah.Cuma tinggal kita sahaja bagaimana menerapkan corak pilihan itu sendiri.Adakah kita membuat pilihan sesuai dengan kehendak Allah ataupun berlandaskan nafsu semata-mata.

Sempena tahun baru masihi 2010 ini, sekali lagi kita membuat pilihan dalam menentukan azam baru kedepannya ataupun untuk meneruskan azam yang lama yang masih belum terpenuhi.Namum hati-hatilah dalam membuat pilihan.Dan buatlah pilihan yang paling sesuai menurut Allah.

InsyaAllah...

Faidza ‘azamta fatawakkal ‘alaAllah[Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah].

SELAMAT TAHUN BARU MASEHI 2010