Memaparkan catatan dengan label Bid'ah dan Khurafat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bid'ah dan Khurafat. Papar semua catatan

Isnin, 18 Februari 2013

Buang perangai takut hantu!

Seram tengok gambar ini? Bermakna anda salah seorang yang takutkan hantu
Soalan:

Adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup.

Jawapan: 

Hantu dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah 'roh kembali' terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama mereka.

Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.

Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”.

Bagaimana Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?

Walaupun, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia

Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal. 19.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka”. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).

Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang sihir daripada kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu”.  Diriwayatkan oleh Muslim (14/217 dengan Syarh al-Nawawi).

Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir. Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan mereka.

Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa ghuula), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.

Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

Perlukah takut kepada hantu?

Seperkara yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.

Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak kembali lagi setelah kejadian itu”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Mujahid berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di antara kalian. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga akan menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian kepadanya, nescaya ia akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi”. Aakaam al-Marjaan, hal. 166.

Menerusi riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian mukmin.    

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara ghaib. Oleh itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahu a’lam.  

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)  

Read more >>

Jumaat, 12 Oktober 2012

Produk yang memperdagangkan al-Qur'an

Penulis melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.

Ini kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.  

Dalam hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :

وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208

"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)

Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.

Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan perubatan moden.

Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang  menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan".

Read more >>

Selasa, 27 Mac 2012

Kisah gelap Ghulam Ahmad Qadiani

Saat itu, pada tahun 1888, Mirza Ghulam Ahmad, pengasas Qadianiyah/Ahmadiyah, berkeinginan menikah lagi. Calon yang dipilih, gadis bernama Muhammadi Begum, anak dari Al-Mirza Ahmad Bek, yang merupakan putera dari emak saudaranya. Namun tidak seperti selayaknya lelaki yang hendak meminang, Mirza mendatangi keluarga si gadis dengan memberi ancaman sekaligus janji. Jika pihak keluarga si gadis menerima pinangannya, maka hal itu akan memberikan keberkatan yang besar, namun jika ditolak maka sesuatu yang buruk akan terjadi kepada si gadis. Jika dinikahkan dengan pemuda lain, maka suaminya itu akan mati setelah dua setengah tahun. 


Mirza juga mengatakan, ”Allah telah memberi khabar kepadaku, ‘gadis Al-Mirza Ahmad Bek yang paling sulung (Muhammadi Begum) akan menjadi isterimu dan keluarganya akan memusuhimu. Dan mereka melarangmu dan berusaha keras untuk menggagalkan hal itu (pernikahan). Akan tetapi Allah akan melaksanakan janjinya dan memberikan kepadamu sama ada dalam keadaan gadis mahupun janda dan hilanglah penghalang dan hal ini terlaksana. Tidak ada yang mampu menolak terhadap apa-apa yang ditetapkan Allah.”


Walau Mirza berkali-kali menyatakan bahawa semua itu bersumber dari wahyu, pihak perempuan tetap dengan pendiriannya, tidak mahu menikahkan si gadis dengan Mirza. Malahan gadis itu dinikahkan dengan seorang pemuda lain bernama Al-Mirza Sulthan Muhammad pada tanggal 7 April 1892. 


Isteri anaknya Mirza, Fadhlu Ahmad, juga tidak setuju akan hal itu, hingga Mirza memerintahkan anaknya agar menceraikan isterinya. Para pengikut Ahmadiyah akhirnya berdoa di masjid-masjid agar ancaman yang disebarkan Mirza sebagai wahyu dan janji Allah itu benar-benar terjadi. Namun, apa yang terjadi?


Ternyata setelah keduanya menikah, tidak terjadi apa-apa terhadap wanita tersebut. Dan setelah waktu berlalu dua setengah tahun, suami gadis itu, Al-Mirza Sulthan Muhammad, juga baik-baik sahaja. Bahkan, Mirza meninggal terlebih dahulu pada tahun 1908, sedangkan Sulthan Muhammad masih hidup bersama isterinya hingga perang dunia pertama. 


Sebelumnya, Mirza pertama kali menikah tahun 1852 atau 1853. Dari pernikahan ini, dia memperoleh dua anak. Kemudian pada tahun 1884 ia menikah lagi di Delhi. Namun, pada tahun 1891 terjadi perceraian, antara Mirza dengan isteri pertamanya. Isteri kedua ini dipanggil oleh para pengikut Ahmadiyah dengan penggilan “ummul mukminin”. (Sirah Al-Mahdi, 1/53)


Tak Salatkan Anak kerana Menolak Bergabung


Putera sulung Mirza dari isteri pertama yang bernama Fadhlu Ahmad enggan mengikuti seruan ayahnya itu. Hingga ketika meninggal dia pun tidak disalati oleh Mirza, walaupun dalam urusan duniawi dia taat kepadanya. (lihat, Anwar Khilafat, hal. 91)


Gaya Hidup Mewah Keluarga Mirza 


Mengenai gaya hidup keluarga Mirza, Khawajah Kamaluddin pernah mengeluh sama ada kepada Muhammad Ali, pemimpin Ahmadiyah Lahore mahupun Syaikh Surur Syah yang juga pengikut Ahmadiyah. Anak-anak perempuan dan isteri Syaikh Surur Syah mulai menentang pengiriman wang ke Qadian, setelah mereka pergi ke tempat itu dan tinggal sesaat. Anak-anak dan isterinya mengatakan, ”Kami telah menyaksikan kehidupan nabi, para sahabatnya dan isteri-isterinya di Qadian. Sesungguhnya mereka hidup dalam kenikmatan.” Mereka merasa ditipu, dan setelah itu mereka tidak mahu menyumbangkan wang ke tempat itu lagi. (lihat, Kasyfu Al-Ikhtilaf, hal. 13)


Khawajah Kamaluddin juga pernah mengatakan kepada Muhammad Ali, ”Sesungguhnya Hadzrat Mirza telah memerintahkan kita berinfaq untuk dakwah, sedangkan dia sendiri hidup dalam kebanggaan dan kenikmatan.”


Muhammad Ali menjawab, ”Sesungguhnya saya tidak boleh memungkiri hal ini, namun kita tidak diharuskan untuk mengikuti nabi dalam sifat manusiawinya.” (Haqiqah Al- Ikhtilaf, hal. 50)


Sebenarnya, pada awalnya, Mirza hanya seorang pegawai rendah, namun lama-kelamaan taraf hidupnya mulai meningkat. Hingga ia terbiasa dengan makanan yang bergizi dan minyak misk. Terkadang juga dia mengambil minuman penguat yang memabukan alias tonic wine. (Majmu’ Ar Rasail, hal. 5)


Di masa remajanya, Mirza pernah memiliki masalah dengan psikologinya, kerana menderita hysteria. Ketika penyakit ini berlaku dia mungkin pengsan dan menjerit-jerit. (Sirah Al-Mahdi, 1/67)


Keluarganya termasuk pihak yang amat setia terhadap pemerintahan Inggeris. Bahkan ayahnyalah yang membantu Inggeris dengan 50 ekor kuda untuk kepentingan revolusi tahun 1807. (Kitab Al-Bariyah, hal. 3-5)


Meninggal Pasca Mubahalah


Pada tahun 1907, setelah memiliki ramai pengikut, Mirza mengadakan mubahalah dengan Maulana Tsanaullah Amritsari, dengan risiko barang siapa berbohong salah seorang di antara keduanya, maka ia akan mati. (Tabligh Ar Risalan, 10/120)


Pada Mei tahun 1908 Mirza dijangkiti penyakit kolera parah dan akhirnya meninggal. Ia dimakamkan di pemakaman yang dinamakan sebagai pemakaman syurga (Bahesti) di Qadian. Sedangkan Maulana Tsanaullah Amritsari sendiri baru wafat pada tahun 1948.

Read more >>

Jumaat, 19 Ogos 2011

Pendirian Liqa' Asatizah berkenaan pembedahan batin


Selepas meneliti unsur-unsur yang terdapat dalam pembedahan batin yang diamalkan sesetengah perawat seperti membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, pengubatan jarak jauh dan seumpamanya, dapat disimpulkan seperti berikut :

1) Pembedahan batin adalah suatu hakikat yang kabur kerana tidak boleh dibuktikan dengan naql, aql dan sains. 

2) Pembedahan batin tidak mempunyai sandaran hukum daripada Kitab dan Sunnah Nabi SAW mahupun amalan salafussoleh. 

3) Hujah mengaitkan pembedahan batin dgn pembelahan dada Nabi SAW sebelum diangkat menjadi nabi dan Isra' adalah batil kerana perkara tersebut adalah irhas/mu'jizat yg tidak boleh dikiaskan kepada bukan nabi.

4) Pembedahan batin telah diamalkan dalam agama lain dengan begitu berleluasa seperti Kristian atas nama spiritual healing, psychic surgery @ operation, jirahah gharbiyyah atau jirahah ruhaniyyah. Ini menunjukkan, Islam, iman dan taqwa bukanlah syarat utama pembedahan batin boleh dilakukan seperti dakwaan sesetengah pihak.

5) Tokoh-tokoh awal perubatan alopati Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam (bukan sahaja al-tibb al-nabawi) sekaligus menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat.

6) Pembedahan batin diyakini menggunakan khidmat jin @ qarin yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik berdasarkan nas-nas al-Qur'an dalam surah al-Jin ayat 6 dan surah al-Zukhruf ayat 36.

7) Pembedahan batin termasuk perkara mencarik adat yang mampu dipelajari dan boleh dilakukan secara berterusan, ini menunjukkan ia bukan karamah atau ma'unah sebaliknya lebih dekat kepada unsur-unsur sihir dan sya'wazah.

8) Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin dan kembali kepada al-tibb al-nabawi spt menggunakan ayat-ayat syifa', doa ma'thur dll atau kembali kepada perubatan alopati (moden) yang tidak bercanggah dengan hukum syara'.

21 Julai 2011

Ahli liqa':

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi/ Moderator)
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, (Tidak Hadir)
Ustaz Ramadhan Fitri Elias, (Tidak hadir)
Ustaz Dr. Maszlee Malik,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman

Disahkan dalam liqa' pada 18 Ramadhan 1432
Read more >>

Selasa, 14 Jun 2011

Hati-hati dengan karpet sejadah tertentu

 
Gambar Hiasan

Sudah menjadi trend pada hari ini, sesetengah surau dan masjid menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan warna. Cumanya timbul kebimbangan corak-corak karpet sejadah tertentu seperti yang berpetak gerbang masjid. Perkara ini dibimbangi kerana menyebabkan segelintir jemaah menganggap bahawa setiap petak untuk setiap seorang (lihat seperti gambar di atas). Hal ini sudah tentu bertentangan dengan hadith-hadith Baginda SAW yang mengarahkan kita melurus dan merapatkan saf-saf solat. Antaranya seperti hadith-hadith berikut :

وعن أنس قال‏:‏ ‏(‏كان رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم يقبل علينا وجهه قبل أن يكبر فيقول‏:‏ تراصوا واعتدلوا‏)‏‏.‏ متفق عليهما‏

Daripada Anas, ia berkata: Rasulullah SAW biasa menghadapkan wajahnya kepada kami, sebelum ia bertakbir, lalu bersabda : “Rapatkanlah dan luruskanlah”. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

ولأحمد وأبي داود في رواية قال‏:‏ ‏(‏فرأيت الرجل يلزق كعبه بكعب صاحبه وركبته بركبته ومنكبه بمنكبه‏)‏‏.

Dan bagi Ahmad dan Abu Dawud, dalam satu riwayat – dikatakan – (An-Nu’man bin Basyier) berkata: Lalu aku melihat orang-orang itu menyentuhkan mata kakinya pada mata kaki kawannya, dan lututnya pada lutut kawannya, serta bahunya pada bahu kawannya”.

وعن أبي أمامة قال‏:‏ ‏(‏قال رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم‏:‏ سووا صفوفكم وحاذوا بين مناكبكم ولينوا في أيدي إخوانكم وسدوا الخلل فإن الشيطان يدخل فيما بينكم بمنزلة الحذف يعني أولاد الضأن الصغار‏)‏‏.‏ رواه أحمد‏.‏

Dan daripada Abu Umamah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Luruskanlah saf-saf kamu, dan jajarkanlah antara bahu-bahu kamu, dan berlemah-lembutlah dalam (menyentuh) tangan-tangan saudara kamu,dan tutuplah celah-celah, kerana sesungguhnya syaitan akan masuk dalam (celah-celah) di antara kamu itu bagaikan anak kambing. Yakni, anak-anak kambing yang masih kecil”. (HR Ahmad).

وعن جابر بن سمرة قال‏:‏ ‏(‏خرج علينا رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم فقال‏:‏ ألا تصفون كما تصف الملائكة عند ربها فقلنا‏:‏ يا رسول اللَّه كيف تصف الملائكة عند ربها قال‏:‏ يتمون الصف الأول ويتراصون في الصف‏)‏‏.‏ رواه الجماعة إلا البخاري والترمذي‏.‏

Dan daripada Jabir bin Samurah, ia berkata: Rasulullah SAW pernah keluar kepada kami, lalu bersabda: “Apakah kamu tidak berbaris seperti barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya?” Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya itu? Ia menjawab:”Iaitu mereka menyempurnakan saf pertama, dan mereka berbaris dengan rapat dalam saf itu.” (HR Jamaah, kecuali Bukhari dan al-Tirmizi)


Karpet begini lebih baik, ringkas dan tidak merosakkan saf

Oleh itu, penulis cadangkan supaya pihak berkuasa agama atau para mufti menasihatkan pihak surau atau masjid berhati-hati dalam menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan bentuk. Malah terdapat dalam keadaan tertentu, sejadah berasingan pula dihamparkan di atas karpet sedia ada untuk tujuan 'reserved'. Apa yang dibimbangi penulis, perkara-perkara seperti ini akhirnya mencetuskan "bid'ah" di dalam pembentukan saf solat. Kadang-kadang timbul juga persoalan, siapa yang reka karpet sebegini? Ada agendakah di sebaliknya?

Wallahu a'lam.   

Read more >>

Jumaat, 10 Jun 2011

Hapuskan bid'ah hingga ke akar umbi

Penulis hairan mengapa setiap kali kumpulan ini mengeluarkan kenyataan atau melancarkan kelab tertentu seperti Kelab Taat Suami dan sebelumnya Kelab Poligami Ikhwan, para pendakwah, cendekiawan dan tokoh itu dan ini sibuk memberikan komentar. Penulis tegaskan ini bukan cara yang betul dalam kita berhadapan dengan kumpulan bid'ah seperti bekas pengikut al-Arqam. Semua sedia maklum bahkan telah banyak kali Jakim membuat kenyataan bahawa antara ajaran sesat tegar yang masih aktif adalah bekas pengikut al-Arqam yang ketika ini berselindung di sebalik nama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB). Bahkan dalam mesyuarat terkini Jawatankuasa Pemandu Membanteras Ajaran Sesat Kebangsaan (JAPAS) yang dihadiri pengarah-pengarah jabatan agama negeri seluruh Malaysia sepakat mengatakan bekas pengikut al-Arqam masih aktif dan sekarang ini diterajui oleh isteri arwah Asaari Muhammad, Ummu Jah.

Bagi penulis, cara yang betul adalah kumpulan bid'ah dan sesat seperti ini mesti dibanteras hingga ke akar umbi. Apa jua unsur-unsur yang menjadi kekuatan pergerakan mereka perlu dilumpuhkan sama sekali. Dalam al-Arqam, yang kemudiannya menjadi Syarikat Rufaqa' dan kemudiannya GISB, dua senjata utama mereka adalah perkahwinan dan ekonomi. Dengan perkahwinan ia berjaya mengikat ahli-ahli mereka daripada keluar dan meneruskan kelangsungan pergerakan ini dari satu generasi ke satu generasi. Kedua, kegiatan ekonomi yang bertujuan meneruskan kehidupan dalam kelompok mereka. Kedua-dua instrumen ini dieksplotasikan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi bekas al-Arqam untuk terus bertakhta dengan memerah keringat pengikut-pengikut bawahan mereka. Lihat sahaja, Ummu Jah yang ketika ini sedang enak beradu di mahligainya di Arab Saudi sambil memberi arahan jarak jauh. Siapa lagi yang menyalurkan dana kalau bukan para pengikutnya yang bekerja siang dan malam?

Kenyataan terbaru GISB yang mengatakan isteri ibarat pelacur kelas pertama, jelas menunjukkan betapa ghairahnya eksploitasi wanita sebagai simbol seks dalam pertubuhan ini. Malah penulis sendiri pernah mengadakan tinjauan ke markaz utama mereka di Bandar Country Homes, Rawang dan mendapati ramai wanita berdahi licin yang 'amat' muda remaja telah disunting oleh lelaki-lelaki mereka yang tidak diketahui entah isteri nombor ke berapa. Hingga kadang-kadang penulis menjadi 'confuse' adakah wanita ini sedang mendukung adiknya atau anaknya? Bila ditanya, oh…anaknya rupa-rupanya. Tercetus pula di fikiran penulis, berdaftarkah perkahwinan mereka ini? Wallahu a'lam.

Dalam hal ini penulis tegaskan, kumpulan bid'ah seperti ini perlu dihapuskan hingga ke akar umbi. Seperti kata Imam al-Ghazali di dalam Ihya', segala pintu bid'ah wajib disekat dan wajib mengingkari kumpulan bid'ah tersebut walaupun mereka menyangka mereka di pihak yang benar. Malah Imam Ibn al-Qayyim menegaskan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah, hisbah ke atas kumpulan bid'ah lebih utama dan penting berbanding semua kemungkaran-kemungkaran yang lain. Oleh itu, jika kita mahu kumpulan ini benar-benar lenyap, penulis syorkan supaya pendaftaran syarikat kumpulan ini dibatalkan dan diharamkan menjalankan apa-apa kegiatan ekonomi. Kedua, semua perkahwinan kumpulan ini yang diadakan secara poligami perlu disiasat untuk dinilai kesahihannya. Ketiga, pihak berkuasa perlu menyiasat status kanak-kanak mereka yang kelihatannya ramai berkeliaran pada waktu-waktu persekolahan di markaz-markaz mereka.     

Hakikatnya, membanteras ajaran sesat hanya akan berjaya jika semua agensi kerajaan sama ada yang berlabel agama atau tidak serta masyarakat awam memberikan kerjasama penuh. Jika jabatan agama sahaja bertindak tetapi pihak yang mendaftarkan syarikat tidak, maka tiada gunanya. Begitu juga jika jabatan agama bertindak tetapi masyarakat masih simpati dan melanggan di kedai-kedai mereka, bermakna usaha untuk membanteras hanya akan jadi sia-sia. Lebih sedih lagi, jika setiap kali kumpulan ini memanggil wartawan untuk buat pelancaran itu dan ini, maka sibuklah akhbar-akhbar melaporkan kenyataan mereka, maka jadilah usaha membanteras ajaran sesat sesuatu yang sia-sia dan mustahil berlaku. Alangkah indah jika 'siyasah syar'iyyah' benar-benar dilaksanakan sepenuhnya, ketika itu semua kementerian adalah kementerian agama dan semua jabatan adalah jabatan agama…Wallahu a'lam.

Read more >>

Sabtu, 9 April 2011

Panel Kajian Aqidah : Isu Titian Sirath

Berdasarkan aduan yang banyak diterima oleh orang ramai, Panel Kajian Aqidah (PKA) Jakim telah membincangkan isu 'Kedudukan Titian Sirath Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah' dalam mesyuarat PKA kali ke-42/2011. Mesyuarat memutuskan antara lain: 



  •  Tiada khilaf di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah tentang kefahaman terhadap “Titian Sirath”, sebaliknya khilaf hanya berlaku di kalangan mereka yang diluar Ahli Sunnah seperti pandangan Mufti Oman yang bermazhab Ibadhi (Khawarij) yang boleh dianggap pandangan yang syaz. Oleh itu, kewujudan “Titian Sirath” adalah perkara ijma’ menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  •  “Titian Sirath” adalah perkara sam’iyyat yang sepatutnya hanya terbatas dengan apa yang terkandung di dalam nas al-Qur’an dan al-Sunnah.
  • Membuat kiasan perkara ghaibiyyat dengan perkara hissiyyat adalah salah.
  • Perkara sam’iyyat adalah tauqifi dan bukan perkara ijtihadi.



Mesyuarat akhirnya menyimpulkan  “Titian Sirath” adalah wujud sebagaimana yang disifatkan oleh nas-nas syara’ pada hakikatnya berdasarkan al-Qur’an, hadith dan ijma’ ulama. 


Lihat artikel penulis sebelum ini :


................


Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirath di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti apa yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan, ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan bahawa titian sirath itu hanyalah satu simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya. Bagi penulis dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam'iyyat) seharusnya kita tawaqquf (berhenti) sekadar apa yang didapati melalui nas-nas syara' di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, untuk berijtihad dan meletakkan pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah diperjelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu, maka penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan bersikap seperti itu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri penulis dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah berkenaan kedudukan titian sirath.

Pandangan Imam al-Ghazali (wafat 505H)

وأما الصراط فهو أيضاً حق ، والتصديق به واجب ، لأنه ممكن . فإنه عبارة عن جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة ، فإذا توافوا عليه قيل للملائكة ' وقفوهم إنهم مسؤولون ' فإن قيل : كيف يمكن ذلك وفيما روى أدق من الشعر وأحد من السيف ، فكيف يمكن المرور عليه ؟ قلنا هذا إن صدر ممن ينكر قدرة الله تعالى ، فالكلام معه في إثبات عموم قدرته وقد فرغنا عنها . وإن صدر من معترف بالقدرة فليس المشي على هذا بأعجب من المشي في الهواء ، والرب تعالى قادر على خلق قدرة عليه ، ومعناه أن يخلق له قدرة المشي على الهواء ولا يخلق في ذاته هوياً إلى أسفل ، ولا في الهواء انحراف ، فإذا أمكن هذا في الهواء فالصراط أثبت من الهواء بكل حال .

"Adapun titian sirath ia juga adalah benar, mengimaninya adalah wajib kerana ianya mungkin. Ia adalah ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam dilalui oleh seluruh makhluk, apabila mereka sampai di atas, dikatakan kepada malaikat, hentikan mereka sesungguhnya mereka akan disoal. Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian itu dan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin lalu di atasnya? Kita menjawab: Jika ini terbit daripada sesiapa yang memungkiri qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya dalam menetapkan umum qudrat-Nya telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas ini tidak lebih hairan daripada berjalan di udara, Allah SWT mampu menciptakan kuasa ke atasnya, maknanya Dia mampu menciptakan baginya berjalan di atas udara, tidak menciptakan pada zatnya jatuh ke bawah dan tidak tersasar di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirath itu lebih tetap daripada udara dalam apa jua keadaan". (Ghazali, Abu hamid, al-(1993), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hal. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

وأن يؤمن بأن الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أحد من السيف وأدق من الشعرة تزل عليه أقدام الكافرين بحكم الله سبحانه فتهوى بهم إلى النار وتثبت عليه أقدام المؤمنين بفضل الله فيساقون إلى دار القرار.

"Dan hendaklah beriman bahawa titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut, ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka, manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga".( Ghazali, Abu Hamid, al-(1985), Qawa’id al-‘Aqaid, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hal. 66 dan Imam Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi(1404H), Tabyin Kazib al-Muftari fi ma nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy’ari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal. 305

Pandangan al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H):

الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أدق من الشعر وأحد من السيف يورد الناس جميعا على الصراط وورودهم قيامهم حول النار ثم يمرون على الصراط بقدر أعمالهم

"Titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, seluruh manusia lalu di atas titian sirath, laluan mereka adalah berdiri mereka di sekitar neraka kemudian lalu di atas titian sirath mengikut kadar amal perbuatan mereka". (Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad(1998), Kitab Usul al-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hal. 238-239)

Pandangan al-Taftazani (wafat 791H):

ومنها الصراط وهو جسر ممدود على متن جهنم يرده الأولون والآخرون أدق من الشعر وأحد من السيف على ما ورد في الحديث الصحيح ويشبه أن يكون المرور عليه هو المراد بورود كل أحد النار على ما قال تعالى ) وإن منكم إلا واردها ( وأنكره القاضي عبدالجبار وكثير من المعتزلة زعما منهم أنه لا يمكن الحظور عليه ولو أمكن ففيه تعذيب ولا عذاب على المؤمنين والصلحاء يوم القيامة... والجواب أن إمكان العبور ظاهر كالمشي على الماء والطيران في الهواء غايته مخالفة العادة ثم الله تعالى يسهل الطريق على من أراد كما جاء في الحديث إن منهم من يمر كالبرق الخاطف ومنهم من يمر كالريح الهابة ومنهم من يمر كالجواد...

"Dan antaranya titian sirath, ia adalah jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam, ia dilalui oleh golongan terdahulu dan terkemudian, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadith sahih…ia dimungkiri oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai di kalangan Mu'tazilah dengan dakwaan mereka bahawa ianya tidak mungkin diseberangi , jika mampu sekalipun padanya satu penyeksaan sedangkan tiada azab terhadap golongan mukmin dan orang soleh pada hari Qiyamah…(pandangan Mu'tazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi adalah jelas seperti berjalan di atas air dan terbang di udara yang tujuannya menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana di dalam hadith, bahawa sebahagian mereka golongan yang menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya yang berjalan seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…". ( Taftazani, Sa’d al-Din Mas’ud bin ‘Umar(1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma’arif al-Nu’maniyyah, j.2, hal. 223)

Pandangan Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق...

"Dan titian sirath itu terbentang di atas perut neraka Jahannam, ia adalah jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka, sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…". (Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim(1412H), al-'Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta', hal. 33)

Wallahu a'lam.
Read more >>

Khamis, 31 Mac 2011

Kenapa poco-poco haram?


IPOH, 30 Mac: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senama poco-poco diharamkan. Ia dibuat atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. "Mesyuarat mengambil keputusan bahawa pengharaman ini akan diwartakan," kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya. Surat fatwa Mufti Perak itu dihantar kepada Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB) Perak.

Ulasan penulis :

Sebenarnya, isu tarian poco-poco telah ditanya oleh ramai orang. Jakim sendiri melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah cuba menjalankan kajian the origin of poco-poco (philosophy dan epistemologinya), tetapi masih menemui jalan buntu. Tidak terdapat satu bukti literature mahupun praktikal yang menunjukkan poco-poco yang ditarikan oleh rakyat Malaysia sekarang berasal daripada agama Kristian samada di Indonesia, Filipina mahupun Jamaica. Memang tidak dinafikan sebelum kedatangan Kristian lagi setiap bangsa di atas telah pun memiliki budaya mereka sendiri terutamanya tarian-tarian yang mempunyai unsur-unsur pemujaan terhadap dewa (dinimisme dan animisme) seperti tarian-tarian kebudayaan kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Dalam fatwa yang dinyatakan oleh SS Mufti Perak di atas, beliau mengatakan poco-poco berasal daripada Jamaica. Ia berkemungkinan apabila beliau merujuk kepada kepercayaan golongan Pocomania (small madness) yang memeluk agama Kristian di sana. Sebenarnya pocomania adalah satu bentuk sinkretik antara amalan tradisional kuno Afrika yang kononnya dikuasai oleh roh nenek moyang mereka dalam upacara ritual yang dilakukan dalam bentuk tarian liar (dance wildly) sehingga tidak sedarkan diri (kerasukan). Apabila Kristian datang, sebagaimana biasa, dakyah Kristian hanya akan mengubah konsep dewa-dewi menjadi Father ,Son dan Holy Spirit. Kristian tidak seperti Islam yang apabila datang akan menghapuskan segala bentuk aqidah syirik dalam kepercayaan lama kerana Islam berpegang kepada konsep al-wala' dan al-bara'. Soalnya inikah asal-usul poco-poco yang ada di Malaysia ini?

Dalam hal ini, penulis berpendapat sukar untuk menyamakan pengharaman poco-poco dengan yoga kerana yoga adalah satu ritual agama Hindu yang establish di dalam kitab-kitab suci Hindu spt Veda dan Upanishad serta masih dilakukan oleh sami-sami Hindu. Malah falsafah Hindu di sebalik yoga asana itu masih kukuh tertanam. Manakala anggapan yang mengatakan pergerakan poco-poco sama dengan bentuk salib juga tidak boleh menjadi alasan yang kukuh kerana pergerakan depan belakang kiri kanan adalah pergerakan natural seorang manusia dan kembali kepada hukum harus. Malah tubuh manusia ketika mendepakan kedua tangannya juga (spt ketika streching) boleh dianggap haram kalau kaedah 'menyerupai salib' digunakan dalam gerakan tubuh.

Bagaimanapun, ulasan ini tidak bermakna penulis menentang fatwa yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perak kerana penulis hampir berpandangan sebegitu walaupun dengan alasan yang berlainan. Alasan penulis mudah, tarian poco-poco adalah suatu tarian yang meragukan kerana tidak diketahui siapakah pemilik budaya sebenar poco-poco. Ada yang mengatakan ianya tarian agama dan ada yang mengatakan ianya tarian budaya. Bagi penulis, peganglah kepada kaedah yang diajar oleh Nabi SAW. Pertama, tinggalkan perkara yang meragukan kepada yang tidak meragukan. Kedua, tinggalkan perkara yang syubuhat (tidak jelas halal dan haramnya) nescaya akan selamatlah maruah agama dan diri kita.

Wallahu 'alam.  
Read more >>

Jumaat, 4 Mac 2011

Kenapa Presiden SBY takut Ahmadiyah@Qadiyani?

Mirza Ghulam Ahmad, nabi kaum Ahmadiyah pernah memberi ancaman kepada orang-orang yang menentang dan tidak mengimaninya sebagai nabi, utusan Allah. Tahun 1993, Jemaah Ahmadiyah Cabang Bandung, menerbitkan sebuah buku berjudul " Memperbaiki Suatu Kesalahan "(Eik Ghalthi Ka Izalah), karya asli Mirza Ghulam Ahmad yang dialihbahasakan oleh HS Yahya Pontoh.

Di dalam buku ini, Mirza Ghulam Ahmad (MGA) menegaskan:

"Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang telah mengutusku - dan bersumpah dusta atas nama-Nya adalah suatu perbuatan yang terkutuk - bahawa Dia lah Yang telah menjadikan dan mengutus aku sebagai Masih Mau'ud. Sebagaimana aku yakin dan percaya kepada segala ayat Al-Quran Suci, begitu pulalah dengan tidak membezakan sedikit jua pun, aku yakin dan percaya kepada wahyu-wahyu Allah Taala yang terang-benderang yang telah diwahyukan kepadaku, yang cukup jelas kepadaku kebenarannya yang dengan perantaraan tanda-tanda-Nya yang mutawatir.

Dengan berdiri di sisi Baitullah aku bersumpah, bahawa wahyu-wahyu suci diturunkan kepadaku adalah semuanya firman Tuhan yang dahulu pernah menurunkan wahyu-wahyu-Nya kepada Nabi Musa as, Nabi Isa as dan kepada yang mulia Muhammad Musthafa saw. Bumi juga telah menjadi saksi bagiku, demikian pun langit. Bahkan langit mengatakan bahawa aku ini Khalifatullah, demikian juga bumi, tetapi sebagai telah dikatakan dalam khabar-khabar ghaib, aku tentu akan ditolak oleh manusia. Orang-orang yang hatinya tertutup tentu tidak akan menerima aku.

Tetapi aku tahu dan yakin, bahawa Allah Taala sesungguhnya akan menolong aku, sebagaimana dahulu kala Dia menolong Rasul-Rasul-Nya. Seorang pun tiada yang akan dapat melawan aku, sebab pertolongan Allah tiada bersama mereka. "(Hal. 13-14).

Semaklah kata-kata MGA yang begitu tegas: "Seorang pun tiada yang akan dapat melawan aku, sebab pertolongan Allah tiada bersama mereka."

Jadi, katanya, tidak yang akan dapat melawan Mirza Ghulam Ahmad! Orang yang menolak tuntutan "kenabiannya" dia katakan hanya kerana kebodohan saja. "Jika ada orang yang marah, kerana wahyu kepadaku ada yang menerangkan bahawa aku ini nabi dan Rasul, maka dalam hal ini menunjukkan kebodohannya sendiri." (Hal. 15).

Untuk meyakinkan orang lain, bahawa MGA adalah "nabi", kaum Ahmadiyah mahupun MGA sendiri, berulangkali menyebarkan ancaman, bahawa sesiapa yang tidak beriman kepada MGA, orang itu akan binasa, celaka, tidak selamat, dan sebagainya.

Tahun 1989, Yayasan Wisma Damai - sebuah penerbit buku Ahmadiyah-menterjemah buku berjudul Da'watul Amir: Surat Kepada Kebenaran, karya Hazrat Mirza Bashiruddin Mahmud Ahmad ra oleh pengikut Ahmadiyah, penulis buku ini diimani sebagai Khalifah Masih II / Imam Jemaat Ahmadiyah (1914 - 1965).

Buku ini juga mengancam sesiapa sahaja yang tidak mahu iman pada MGA dan memilih berada di luar Ahmadiyah:

"Kami sungguh mengharapkan kepada anda agar tidak menangguh-nangguh waktu lagi untuk menerima dengan baik utusan Allah Ta'ala yang datang bagi menzahirkan kebenaran Rasulullah saw. Sebab, menyambut baik kehendak Allah Taala dan beramal sesuai dengan rencana-Nya merupakan wahana untuk memperoleh banyak keberkatan. Sebaliknya, menentang kehendak-Nya sekali-kali tidak akan mendatangkan keberkatan. "(Hal. 372).

Juga ditegaskan: "Kami dengan bersungguh-sungguh mengatakan bahawa orang tidak dapat menjumpai Allah Ta'ala di luar Ahmadiyah." (Hal. 377).

Orang yang menolak kenabian MGA pun dicap sebagai musuh Islam: "Jadi, sesudah Masih Mau'ud turun, orang yang tidak beriman kepada beliau akan berada di luar lindungan Allah Ta'ala. Sesiapa yang menjadi penghalang di jalan Masih Mau'ud as, ia sebenarnya musuh Islam dan ia tidak menginginkan adanya Islam. "(Hal. 374).

Untuk menyokong tuntutan kenabiannya, MGA menggunakan pelbagai cara, termasuk mengaku menerima wahyu yang bunyi lafaznya sama persis dengan lafaz ayat-ayat tertentu dalam al-Quran. Contohnya, dalam buku Eik Ghalthi Ka Izalah, MGA mengaku mendapat wahyu yang bunyinya: " Muhammadur Rasuulullah, walladziina ma'ahuu asyiddaa'u 'alal kuffari ruhamaa'u bainahum. " ("Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mukmin .... ".)

Menurut MGA, ayat al-Quran itu didakwa sebagai wahyu yang juga diturunkan kepadanya. Beliau menulis, dalam buku yang ditulisnya tahun 1901 tersebut: "Dalam wahyu ini Allah swt menyebutkan namaku" Muhammad "dan" Rasul ". (Hal. 5).

Bahkan, MGA juga mengaku pernah mendapat wahyu yang bunyinya: " huwalladzii arsala Rasuulahuu bil-hudaa wa diinil haq liyudzhirahuu 'alad-diini kullihi. " Kumpulan wahyu ini dikumpulkan dalam buku Barahin Ahmadiyah. MGA menulis dalam buku tersebut: "Di dalam wahyu ini nyata benar, bahawa aku dipanggil dengan nama Rasul." (Hal. 4).

Dalam buku Da'watul Amir, Ahmadiyah menceritakan nasib beberapa tokoh termasuk Ketua Negara yang cuba menghalang-halangi dan menghancurkan Ahmadiyah. Kepada Ketua Negara, diseru untuk masuk ke Jamaat Ahmadiyah:

"Jadi, tinggal di luar jemaah yang ditubuhkan oleh Allah Ta'ala merupakan keadaan yang sangat menakutkan, maka teristimewa pula para raja yang kepada mereka dipikulkan dua macam tanggung jawab, yakni, pertama mengenai diri mereka sendiri, dan kedua mengenai rakyat mereka ... Oleh kerana itu, andaikata anda seorang pemimpin hendaklah anda meniadakan rintangan yang menjadi halangan untuk masyarakat menerima kebenaran, agar dosa mereka tidak ditimpakan kepada anda. "

Menurut Ahmadiyah, jika para pemimpin tidak mahu mengimani kenabian MGA, maka mereka akan berdosa dan menanggung dosa rakyatnya, sebagaimana isi surat Nabi Muhammad saw kepada Maharaja Rom: "Apabila anda menolak, maka dosa-dosa rakyat pun akan dipikulkan atas peribadi anda."

Membaca buku-buku dan tulisan-tulisan MGA serta pengikutnya, nampak jelas, bahawa yang dilakukan Ahmadiyah sebenarnya sudah memenuhi unsur penodaan agama sebagaimana terkandung dalam UU No. 1/PNPS/1965. Perkara 1 undang-undang ini menyatakan: "setiap orang dilarang dengan sengaja di muka umum, menceritakan, menganjurkan atau mengusahakan sokongan umum untuk melakukan penafsiran tentang suatu agama yang dianut di Indonesia atau melakukan kegiatan-kegiatan keagamaan yang menyerupai kegiatan-kegiatan keagamaan dari agama itu penafsiran dan kegiatan mana menyimpang dari pokok-pokok ajaran agama itu. "

Kita hanya menunggu ketegasan kerajaan untuk menegakkan undang-undang sebagaimana yang ditetapkan dalam Undang-Undang No 1/PNPS/1965. Lantaran muncul pertanyaan, jika kerajaan berani bertindak dengan tegas - sesuai undang-undang - nabi-nabi palsu dan pengikutnya seperti Lie Eden dan Ahmad Mosadeq, kenapa sikap dan dasar yang sama tidak digunakan untuk kumpulan pengikut Nabi asal India ini?

Dalam tulisannya di Jurnal Islamia-Republika, (17/2/2011), Dr. Anis Malik Thoha memaparkan sejarah konflik Islam-Ahmadiyah di India-Pakistan, sehingga akhirnya pada tahun 1974 Ahmadiyah ditetapkan sebagai kumpulan minoriti non-Muslim, sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan Pakistan: " non-Muslim "means a person who is not a Muslim and includes a person belonging to the Christian, Hindu, Sikh, Buddhist or Parsi community, a person of the Quadiani Group or the Lahori Group who call themselves 'Ahmadis' or by any other name or a Bahai, and a person belonging to any of the Scheduled Castes .

Ini paparan Dr. Anis tentang sejarah kelompok Ahmadiyah dan respon umat Islam di India dan Pakiatan:

Sejak Mirza Ghulam Ahmad (1840-1908) menyebarkan ajarannya di India, hubungan umat Islam dan pengikut Ahmadiyah selalu diwarnai ketegangan. Bahkan, beberapa kali berlaku pertumpahan darah. Ahmadiyah, ibarat duri dan "fitnah" yang seperti sengaja ditanamkan dan dipelihara oleh pihak-pihak tertentu.

Menyedari dahsyatnya "fitnah" ini, para pemimpin dan tokoh Islam India telah lama cuba sekuat tenaga, baik dengan pena mahupun lisan, untuk menentangnya. Di antara mereka adalah Syeikh Muhammad Husein al-Battalawi, Maulana Muhammad Ali al-Monkiri (pengasas Nadwatul Ulama India), Syeikh Thana'ullah al-Amritsari, Syeikh Anwar Shah al-Kashmiri, dan Seyyed Ata'ullah al-Bukhari al-Amritsari. Tidak ketinggalan juga ahli falsafah dan penyair Muhammad Iqbal.

Tahun 1916, para ulama sudah mengeluarkan fatwa tentang "kekafiran kaum Ahmadiyah / Qadiyaniyyah". Seluruh ulama, secara ijma 'dalam fatwa ini menyatakan bahawa pengikut Ahmadiyah / Qadiyaniyyah adalah kafir dan keluar dari agama Islam. Pada tahun 1926, pejabat Ahlul Hadits di Amritsar juga mengeluarkan fatwa serupa dengan judul "Batalnya Nikah Dua Orang Mirzais" yang ditandatangani oleh ulama aliran / mazhab / kelompok / markazIslam di seluruh anak benua India (lihat: Mawqif al-Ummah al-Islamiyyah min al -Qadiyaniyyah. Multan: Majlis Tahaffuz Khatm al-Nubuwwah. 76-7).

Adapun Muhammad Iqbal, melalui goresan penanya menyeru kerajaan penjajah Inggeris di India untuk segera menghentikan "fitnah" ini dengan mendengar dan mengabulkan tuntutan-tuntutan kaum Muslimin India dalam kaitannya dengan gerakan dan / atau ajaran Ahmadiyah. Dalam salah satu risalahnya yang dihantar ke akhbar harian berbahasa Inggeris yang terbesar di India, Statesman, edisi 10 Jun 1935, dia menyatakan: "Ahmadiyyah / Qadiyaniyyah adalah usaha sistematik untuk mendirikan golongan baru di atas dasar kenabian yang menandingi kenabian Muhammad (saw)."

Iqbal juga meminta kerajaan kolonial Inggeris bertanggungjawab atas kejadian "fitnah" ini seraya memberi amaran jika kerajaan tidak memperhatikan keadaan ini dan tidak menghargai perasaan kaum Muslimin dan dunia Islam, tapi malah membiarkan "fitnah" berleluasa, maka umat Islam yang merasa kesatuannya terancam mungkin akan terpaksa menggunakan kekuatan untuk membela diri (Mawqif, 88-9).

Namun sekali lagi, seruan para ulama itu diabaikan kerajaan Pakistan. Umat Islam pun tak pernah surut dalam menentang Ahmadiyah. Suasana panas mencapai kemuncaknya selepas sekumpulan pengikut Ahmadiyah menyerang pelajar sekolah negeri di atas kereta api yang melalui terminal Rabwah, kota suci kaum Ahmadiyyah, dalam perjalanan mereka untuk bercuti musim panas.

Peristiwa ini mengusik kesabaran umat Islam. Pada gilirannya umat Islam memaksa kerajaan untuk mengangkat masalah Ahmadiyah ini ke Majlis Nasional dan Dewan Perwakilan Rakyat. Maka dipanggillah Mirza Nasir Ahmad, pemegang pucuk pimpinan Ahmadiyah pada waktu itu (yang adalah cucu Mirza Ghulam Ahmad). Para ulama pun sudah berjaya menyusun dokumen yang menjelaskan sikap umat Islam terhadap Qadiyaniyah untuk diajukan ke persidangan Majlis Nasional, yang kemudian dibukukan dengan judul Mawqifal-Ummah al-Islamiyyah min al-Qadiyaniyyah (Sikap Umat Islam Terhadap Qadiyaniyyah).

Setelah mendengar keterangan dan sikap dari kedua-dua pihak, Majlis Nasional pada 7 September 1974 memutuskan secara bulat untuk menerima dan menyetujui tuntutan-tuntutan umat Islam berkaitan dengan Ahmadiyah. Keputusan ini disambut dengan suka-ria oleh umat Islam seluruh Pakistan. Tarikh 7 September 1974 dianggap sebagai hari kemenangan bersejarah bagi umat Islam. Umat Islam hanya menuntut hak-hak dasar mereka yang telah dirampas oleh pihak lain, dan tidak rela agama yang suci ini dikotori oleh sesiapa pun.

Demikian paparan Dr. Anis Malik Thoha, penyelidik INSISTS dan pakar perbandingan agama dari International Islamic University Malaysia .

Berkaca dari kes di Pakistan itu, sayogianya pemerintah Indonesia, khususnya Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dapat mengambil pelajaran. Bukan polisi yang bijak untuk membiarkan satu kelompok yang jelas-jelas menodai agama Islam tetap wujud secara organisasi di Indonesia. Tentu Pak SBY tidak rela jika ada orang yang mengaku-aku sebagai utusan Presiden RI berkeliaran menjalankan aktivitinya. Logik kita bertanya: Apakah Allah akan redha jika Pak SBY membiarkan orang-orang yang mengaku sebagai utusan Allah berlaku semena-mena melecehkan agama Allah?

Kita tentu tidak percaya bahawa Pak SBY yang seorang Muslim dan jeneral takut dengan gertakan sang nabi palsu Mirza Ghulam Ahmad!

Tulisan : Dr. Adian Husaini.
Read more >>