Sunday, February 21, 2010

GRADUAN SULUNG MTQI 2010

Assalamu'alaikum wrt. wbt.

Salam hormat untuk semua pengunjung,

Ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang sentiasa dan tidak jemu-jemu memberi sokongan secara tidak langsung melalui cara mengunjung laman teratak maya kami ini. Moga usaha ini diberkati Allah hendakNya.

Pada penutup tirai Januari yang lalu, MTQI disinari dengan cahaya indah majlis yang penuh gemilang kerana meraikan kelahiran graduan sulung pada tahun 2010 ini iaitu adik Muhammad Hafiz b. Abdur Rahman.

Anak didik Us. Yunoos al-Hafiz ini telah memulakan pengajian tahfiz di sini semenjak tahun 2006 lagi dan akhirnya dengan berkat kesabaran dan usaha gigih yang ditunjukkan telah membuahkan kejayaan yang dinanti-nantikan jua dengan mengkhatamkan hafazan secara keseluruhan pada 2009.

Sesi semakan ujian 30 juzu dimulakan pada tarikh 15 Januari 2010 pada jam 8.26 pagi bertempat di Surau Al-Islah dengan semakan dari dua guru yang tidak asing lagi iaitu Us. Jalaludin al-Hafiz dan Us. Suhaimi al-Hafiz.

Semakan ujian ini berlangsung selama enam hari dengan jadual yang agak memberi ruang lega
kepada beliau agar dapat memberi persembahan yang terbaik dalam ujian tersebut.

Atas kesyukuran yang tidak terhingga, 2 ekor kambing telah ditumbangkan dengan sumbangan ikhlas dari ayahandanya sendiri pada tarikh 28 Januari 2010 bermula selepas Isyak.

Pihak MTQI dengan rasa hormatnya telah mengadakan sedikit tentatif bagi menghiasi malam yang penuh bermakna itu, dengan mengadakan bacaan hafazan oleh beliau dan beberapa pelajar yang terlibat.


Pelajar-pelajar yang terlibat pada malam itu untuk membuat persembahan adalah bekas graduan MTQI dan beberapa pelajar yang dapat dijadikan contoh pada adik-adik lain kerana ada yang berumur di bawah umur tadika sudah menghafal 3 juzu, ada yang sedang menunggu untuk ujian yang sama dan ada juga yang hampir habis menghafal al-Quran dengan masa yang diambil hanya setahun lebih sahaja.

Semua ini kurniaan Allah, Allah punya kuasa untuk memberi anugerah ini kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Pada tarikh esoknya adik-adik MTQI diberi cuti selama 3 hari untuk pulang ke rumah buat kali pertama dalam tahun ini setelah sebulan sesi pengajian bermula. Jadi atas dasar itu, ibu bapa semuanya telah dijemput pada malam itu untuk memeriahkan lagi majlis tersebut sekaligus mengambil anak masing-masing pulang ke rumah.


Maka majlis ini bertambah serinya dengan senyuman lebar oleh adik-adik di sini, lebih-lebih lagi adik-adik yang baru, yang sentiasa menunggu-nunggu tarikh keramat buat meraka ini.

Majlis di akhiri dengan penyampaian sijil syahadah, cenderamata, al-Quran dan duit kepada semua pelajar tersebut. Semoga ia memberi semangat baru kepada adik-adik yang lain.

Jamuan ialah nasi beriyani Burma berlaukkan daging di dalamnya yang dimasak oleh ibu Us. Yunoos yang sememangnya berasal dari tanah air hidangan special tersebut.

Demikianlah serba sedikit coretan pada kali ini yang dapat dikongsikan bersama, agar ianya ada sesuatu kebaikan yang terbit dari hati semua. Ameen..

Kita jumpa lagi...

Wsalam...... ,")

No comments: