Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Showing posts with label Pelajaran. Show all posts
Showing posts with label Pelajaran. Show all posts

Saturday, December 2, 2017

Dah contohi Parti Komunis China?

Pentadbir UM contohi Parti Komunis China?
MALAYSIA DATELINE  - December 2, 2017 8:49 am
Pemuda Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak Universiti Malaya yang memberi notis kepada ahli akademik serta mahasiswa agar tidak memberi komen negatif, atau mengkritik pihak Kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan UM ini adalah tidak berasas dan bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan yang menjamin hak bersuara mahupun undang-undang yang tidak melarang warga universiti membuat komen terhadap situasi politik dan pentadbiran negara, malah tidak menghalang pelajar menyertai aktiviti politik.

“Notis yang diberikan oleh UM jelas bertentangan dengan asas dan falsafah pendidikan sendiri yang menggalakkan keterbukaan dalam perbincangan dan pemerhatian apatah lagi oleh ahli akademik.

“Ahli akademik dan mahasiswa tentu perlu memberi komen tentang dasar dan pentadbiran negara dalam tugasan mereka.

“Mereka juga tidak patut disekat daripada bersuara, kerana mereka juga berhak memberi pandangan terutamanya apabila masa depan negara dipertaruhkan oleh pemimipin,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan semalam.

Adakah ini standard yang kita tetapkan terhadap Insititusi Pengajian Tinggi negara, terutamanya sebuah institusi yang begitu disegani seperti UM? soal beliau.

Menurutnya lagi, amalan sebegini adalah amalan biasa negara-negara autokrasi. Negara China yang ditadbir Parti Komunis misalnya sedang mengetatkan kawalan terhadap universiti-universiti mereka. Adakah UM mengikut contoh negara komunis itu?

“Kami akan terus menuntut hak kebebasan akademik setiap IPT di negara ini tidak kira fahaman politiknya dan kami menyarankan agar pihak UM menghentikan segala tindakan intimidasi terhadap para pendidik dan pelajar,” kata beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu.

Friday, December 1, 2017

Imej Mahathir di UUM pun berdepan tekanan

Institut bersempena Dr Mahathir di UUM berdepan tekanan

 | December 1, 2017
Pusat itu ditubuhkan pada 2003 sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir Mohamad yang kini mengepalai pembangkang.
Gelari Tun Dr Mahathir Mohamad di UUM tidak aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
PETALING JAYA: Lebih sedekad selepas ia ditubuhkan sebagai penghormatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, masa depan sebuah institut di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah kini terancam berikutan tekanan beberapa pihak, menurut sumber.
Ia berikutan spekulasi ada pihak tertentu mendesak Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) ditutup atas kaitannya dengan orang yang paling ke depan menentang kerajaan itu.
IPDM diumumkan pada 2003 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir yang bersara selepas 22 tahun memimpin kerajaan.
Sejak itu, institut itu menerbitkan pelbagai dokumen mengenai pemikiran Dr Mahathir, yang kini selaku pengerusi gabungan 4 parti pembangkang, Pakatan Harapan, secara terbuka mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tetapi pemeriksaan dengan kakitangan institut gagal menjernihkan spekulasi itu.
Sumber rapat dengan pihak universiti mengakui ada tekanan daripada pemimpin Umno setempat, tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Umno bakal mengadakan perhimpunan agung parti minggu depan, dan melihat kepada amalan sebelum ini, perwakilan Kedah, sekiranya benar tidak berpuas hati dengan IPDM, mungkin akan menggunakan peluang itu untuk mengutarakan isu.
FMT difahamkan kini wujud kempen senyap untuk menyelamatkan IPDM yang mendapat sokongan para pelajar dan kakitangan di UUM.
Rak kosong di galeri yang ditujukan buat Dr Mahathir Mohamad.
Universiti itu selama ini terkenal dengan pengurusannnya yang dilihat rapat dengan Umno dan sangat mengawal pandangan anti-kerajaan.
Baru-baru ini, muatnaik di Twitter memaparkan pelajar UUM membuat pembentangan sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir. Ia turut menerima reaksi bekas pemimpin itu.
“Terima kasih anakanda. Jasa saya kecil sahaja jika nak dibandnigkan dengan rakyat Malaysia yang bekerja pagi dan malam untuk menyara hidup keluarga, keluarga yang akhirnya berbakti kepada negara,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir dan Najib mula bermusuhan sejak 2015 susulan kontroversi 1MDB. Setahun selepas itu, Dr Mahathir menjalinkan semula ikatan dengan bekas seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menguatkan kerjasama melawan Barisan Nasional.
Sejak mereka mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, gabungan 4 parti itu termasuk parti baharu Dr Mahathir, PPBM, sedang dalam usaha bertanding pada pilihan raya umum akan datang di bawah satu simbol.
Sumber memberitahu FMT, tekanan untuk menutup IPDM itu hanya kerana namanya.
Universiti itu juga mempunyai galeri dinamakan sempena Dr Mahathir, tetapi tidak aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Tidak ada bahan dipamerkan di galeri itu. Saya pergi tengok dan dapati kosong,” kata sumber itu.
Ketua Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bagaimanapun tidak tahu menahu akan kempen oleh pemimpin partinya untuk menutup IPDM.
“Saya tidak ada maklumat tentang perkara itu. Ini pastinya bukan Pemuda Umno Kedah,” katanya.

Gam pelajar, kakitangan: Bekas naib canselor UM bersuara

Bekas naib canselor UM: Universiti tak patut gam pelajar, kakitangan

  | November 30, 2017
Ghauth Jasmon berkata, adalah salah untuk menghalang ahli akademik daripada menyuarakan pendapat mereka.
PETALING JAYA: Bekas naib canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata, universiti tidak patut menghalang pelajar dan kakitangannya menyuarakan pendapat mereka terhadap kerajaan dan institusi pendidikan itu sendiri.
“Arahan seperti ini tidak patut berada dalam mana-mana institusi pendidikan.
“Menyekat komuniti akademik tidak bijak dan tidak betul. Walaupun pada zaman Nabi Muhammad, ada kebebasan bersuara di mana beliau membenarkan orang bertanya sebarang soalan dan beliau akan menjawabnya,” katanya kepada FMT melalui pesanan teks.
Ghauth berkata, ini kali pertama beliau menyaksikan sebuah universiti menghalang kebebasan bersuara.
Beliau mengulas laporan FMT berhubung arahan UM kepada kakitangan dan pelajarnya supaya tidak mengkritik universiti itu atau kerajaan di khalayak ramai atau media.
Seorang kakitangan yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, beliau mendapat notis daripada pentadbiran UM minggu ini.
Aktivis pelajar termasuk Anis Syafiqah dan Tan Jia You mengkritik tindakan UM itu.
Ghauth yang merupakan naib canselor UM dari 2008 hingga 2013 berkata, komuniti akademik sepatutnya bebas menyuarakan pendapat mereka, khasnya isu yang menyentuh kesejahteraan masyarakat dan negara.
“Dengan arahan ini, kita sebenarnya mengehadkan kebebasan berkembang dan bersuara.”
Katanya, universiti bertanggungjawab melahirkan pemimpin dan graduan berfikiran wajar serta berkemahiran keusahawanan kerana pendapat diperlukan untuk membantu kemajuan negara.
Sementara itu, Persatuan Untuk Belia Baharu UM (Umany) mengkritik arahan itu melanggar kebebasan asasi pelajar.
“Tindakan UM untuk menutup mulut kami ialah cara memalukan untuk menyemai ketakutan di kalangan pelajar.”
Sementara itu, Timbalan Naib Canselot Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pelajar perlu dibenarkan mengkritik dasar kerajaan.
“Universiti sebahagian daripada masyarakat sivil dan mereka berperanan menyampaikan dan mendukung kebebasan berpengetahuan serta bersuara.
“Kita memerlukan semak dan seimbang dalam sistem, bukannya menutup mulut mereka,” katanya kepada FMT.

Tuesday, November 7, 2017

Cerdik ke.....dah tahu belum berkuasa dah dituduh omomg kosong?

Pendidikan percuma PH cuma ‘omong kosong’, kata BN Selangor

  | November 7, 2017
Adun Sungai Panjang berkata Selangor sepatutnya menjadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui IPT seliaannya.
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor berkata ketiadaan “pendidikan percuma” dalam Belanjawan Selangor 2018 menunjukkan cakap-cakap Pakatan Harapan (PH) melaksanakan pendidikan percuma di negara ini cuma omong kosong.
Adun Budiman Zohdi (BN-Sungai Panjang) berkata sekiranya PH benar-benar mahu melaksanakan cakap-cakap itu, Selangor patut jadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui institusi pengajian tinggi seliaan kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
“Saya mahu bertanya adakah bajet kali ini mempersoalkan apa yang berlaku kepada 2 institusi pendidikan kerajaan negeri sedia ada?” kata Budiman di sesi perbahasan Belanjawan selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
“Saya ingat pada 2013, mereka menguar-uarkan memberi pendidikan percuma namun selepas berjaya perintah negeri, satu pendidikan pencuma pun tidak diberikan.”
Adun Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) bangun mencelah mempertahankan kerajaan negeri dan berkata pendidikan percuma hanya akan dilaksanakan selepas gabungan pembangkang menawan Putrajaya.
“Adakah Yang Berhormat (Budiman) sedar pendidikan adalah (bawah kuasa persekutuan) dan negeri tidak ada kuasa penuh dalam pendidikan di Selangor.
“Kita dapat universiti itu hanya SCR negeri, dan kita boleh beri seandainya kita maju ke Putrajaya,” kata Yaakob.
Budiman bagaimanapun menjawab parti pemerintah untuk tidak menyebarkan dongeng pendidikan percuma jika tidak mampu melaksanakannya.
“Sebab itu saya sebut jangan banyak dongeng soal pendidikan pencuma dan saya memberi hujah yang mudah: Jika mereka mendapat sebuah negeri dan mempunyai 2 universiti, mengapa tidak universiti mereka berikan pendidikan pencuma sebelum dia memberi pembohongan dan janji manis itu untuk orang lain?
“Soal pendidikan pencuma ini jangan jadikan mainan politik, jangan jadikan pendidikan seperti janji politik. Kerana rakyat negeri ini dahagakan pendidikan percuma,” katanya.
Sementara itu Adun Mohd Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras) turut bengkit mencelah dan membidas Budiman kerana pentadbiran BN tidak menguruskan isu pendidikan dengan baik.
“Teori yang dibawa Sungai Panjang terlalu teori tapi saya rasa BN tidak ada rekod yang baik dalam pendidikan,” katanya.

Monday, October 23, 2017

Asrama Tahfiz terbakar lagi......

Asrama sekolah tahfiz terbakar, tiada kecederaan
Astro Awani |  Oktober 23, 2017 08:21 MYT
Asrama sekolah tahfiz terbakar, tiada kecederaan
Sebaik tiba, api sedang marak di sebuah bilik di tingkat dua blok asrama maahad tahfiz berkenaan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Sebuah maahad tahfiz di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, terlibat dalam satu kes kebakaran asrama malam tadi, sekitar jam 8.20 malam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, Balai Bomba Shah Alam menerima panggilan kecemasan kira kira jam 8.28 malam.

Sepasukan 14 anggota bersama dua jentera kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, api sedang marak di sebuah bilik di tingkat dua blok asrama maahad tahfiz berkenaan.

Bagaimanapun, ketika kejadian tiada penghuni di bilik asrama itu.

Api dapat dikawal beberapa minit kemudian.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tuesday, October 17, 2017

Perkara yang patut diambil perhatian oleh yang berkenaan........

Menjelang bajet, guru dan ibu bapa mengadu pelbagai kelemahan di sekolah

  | October 17, 2017
Beberapa warga pendidik menyatakan hasrat mereka untuk kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk sekolah dalam Bajet 2018 agar suasana pendidikan dapat ditambah baik.
PETALING JAYA: Guru sekolah terpaksa mengendalikan pembelajaran dengan peruntukan kewangan yang semakin mengecil sejak beberapa tahun belakangan ini, dan berharap Bajet 2018 akan membuat peruntukan untuk menambah baik suasana pengajaran dan pembelajaran.
Mereka mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang bakal membentangkan bajet tahunan itu di Dewan Rakyat pada 23 Oktober ini, menyampaikan berita baik supaya sekolah dapat dibekalkan alatan sewajarnya untuk kerja mereka dan untuk anak murid mendapat kemudahan yang diperlukan.
Internet
Seorang guru Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) di Tambunan, Sabah berkata guru terpaksa menggunakan wang sendiri untuk memperoleh bahan pendidikan dalam kelas akibat potongan bajet.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya memperuntukkan dana mencukupi untuk perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di sekolah.
“Walaupun kementerian meminta kita menggunakan ICT menerusi Frog VLE (Virtual Learning Environment), kita sukar melakukannya kerana mengambil masa yang sangat lama,” katanya, merujuk kepada platform atas talian yang dilaksanakan melalui projek 1BestariNet kerajaan.
“Guru di sekolah saya terpaksa berkongsi perkhidmatan Streamyx 1Mbps,” katanya sambil memberitahu kualiti kelajuan internet yang lemah.
“Kadangkala, perkhidmatan tidak berfungsi kerana terlalu banyak pengguna pada satu masa.”
Seorang guru Maktab Rendah Sains Mara, Shafina Nazri berkata sekolahnya terpaksa menyekat skop pelbagai kursus dan program kerana tidak mampu menyediakan kertas latihan dan bahan lain kepada pelajar.
Seorang lagi guru dari Sabah, Floriana, berkata Bajet 2018 patut memberi penyelesaian kepada keperluan mendapat dana mencukupi untuk sekolah menengah bagi memperoleh alatan mengajar dan memastikan bangunan dan aset lain dalam keadaan baik.
Beliau menyeru agar elaun untuk kakitangan sekolah dinaikkan untuk membantu mereka menghadapi kos hidup semakin tinggi, terutamanya di Sabah di mana harga barangan lebih tinggi daripada di Semenanjung Malaysia.
Beg sekolah
Bagi Sandy, seorang ibu kepada pasangan kembar di sebuah sekolah Cina, berkata berat beg yang dibawa murid sekolah membimbangkan.
Menurutnya, masalah itu boleh diatasi sekiranya kemudahan loker disediakan di sekolah supaya pelajar dapat menyimpan buku mereka, bukannya mengheret buku-buku tersebut antara rumah dan sekolah.
“Anak-anak saya mempunya beberapa buku teks setiap subjek dan mereka perlu membawanya dalam 2 beg berlainan,” katanya sambil menambah yang setiap anak akan mengheret beban sebanyak 10kg.
Datuk Dr Zakaria Kasa daripada Majlis Profesor Kebangsaan menyeru untuk penyelesaian kepada masalah guru yang dibebankan dengan kerja pentadbiran.
“Saya harap kerajaan akan mencadangkan penyelesaian untuk isu ini kerana guru perlu kendalikan ramai pelajar dan pada masa sama mereka ditugaskan dengan kerja pentadbiran,” katanya.
“Ini memberi kesan kepada prestasi mereka dalam pengajaran.”

Saturday, October 7, 2017

Kenapa: Wanita lebih cemerlang di dalam akademik namun merosot di dalam kerjaya

Wanita jauh lebih cemerlang dalam pendidikan berbanding lelaki, tetapi
Ahmad Khairol Shafizan JohariAstro Awani |  Oktober 06, 2017 19:16 MYT

ANTARA semua bidang, kehebatan wanita paling terserlah dari segi pencapaian akademik apabila kadar kemasukan wanita ke universiti melebihi lelaki.

Pada 2013 sahaja, lebih 86,798 wanita memasuki menara gading berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009.

Data yang diperoleh Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan bahawa wanita melebihi lelaki dalam tujuh daripada lapan bidang utama terutamanya pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

Wanita juga menyerlah dalam bidang sains, matematik dan pengkomputeran yang kebiasaannya didominasi lelaki di negara lain.

Lelaki hanya ke hadapan dalam bidang berkaitan kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan.

Bagaimanapun, penglibatan wanita dalam bidang berkenaan masih tinggi berbanding negara lain.

Sebagai contoh, 45 peratus pelajar kejuruteraan di Malaysia adalah wanita berbanding hanya 17 peratus di Amerika Syarikat.

Laporan UNICEF menyebut prestasi cemerlang wanita dalam bidang akademik mungkin disebabkan  kecermerlangan mereka sejak bangku sekolah lagi dan jurang kecemerlangan pendidikan antara dua jantina ini semakin menebal apabila mereka meningkat dewasa.

Sebagai contoh, Program Ujian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 yang mengkaji prestasi pelajar sekolah dalam sains dan matematik meletakkan Malaysia sebagai negara yang merekodkan prestasi pelajar perempuan yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki.

Malah trend berkenaan terserlah apabila empat sekolah yang semua pelajarnya perempuan berada dalam 10 sekolah terbaik SPM 2016 berbanding hanya satu sekolah lelaki.

Begitupun, kecermerlangan wanita tidak berterusan selepas bergelar graduan dan sebaik sahaja mereka memasuki pasaran pekerjaan kerana jumlah lelaki adalah lebih ramai dalam pasaran buruh dan memegang jawatan strategik.

Kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard yang memberi gambaran prestasi wanita berbanding lelaki dalam bidang kerjaya jauh ke belakang.
Perbezaan purata pendapatan mengikut jantina
Perbezaan purata pendapatan mengikut jantina

Berdasarkan kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard, skor yang melebihi 100 menunjukkan golongan wanita sangat cemerlang dalam bidang tersebut.

Jika skor 100 menunjukkan wujud kesamarataan antara jantina.

Berikut adalah skor kajian Indeks Kemajuan Wanita MasterCard:

Pendidikan Tinggi: 122.8

Penglibatan sektor pekerjaan: 57.7

Kepimpinan: 19.8

Pemilik Perniagaan: 17.9

Pemimpin Perniagaan: 28.5

Pemimpin politik: 15.3


(Sumber: Indeks Kemajuan Wanita MasterCard, 2016)

Malah, Malaysia pada 2016 merekodkan skor keseluruhan terendah dalam lima tahun.

Kajian Bank Pembangunan Asia (ADB) menyatakan rekod rendah itu adalah disebabkan mentaliti dan persepsi masyarakat yang memandang wanita kurang berkemahiran berbanding lelaki.

Wanita juga memperoleh gaji dan kualiti kerja yang lebih rendah berbanding lelaki.

Akan tetapi, kajian ADB juga menunjukkan, sekiranya keseimbangan jantina dalam sektor pekerjaan dapat dicapai ia diramal mampu meningkatkan pendapatan per kapita sebanyak 30 peratus.

Thursday, October 5, 2017

BN bankrap moral: Sekolah dijadikan gelanggang politik:

‘Majlis UMNO’ di sekolah, BN semakin bankrap moral
Pada 4 Oktober 2017
GELANG PATAH, 4 OKT: DAP menyifatkan tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengarahkan sekolah di Putrajaya untuk melaksanakan sambutan penutup Hari Kemerdekaan dengan tema UMNO sebagai gambaran nyata kebangkrapan moral gabungan itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia juga adalah petunjuk bahawa UMNO-BN semakin hilang kemampuan untuk membezakan antara tindakan yang betul dan salah.

Katanya lagi, lima perdana menteri sebelum Datuk Seri Najib Razak pasti tidak bersetuju dengan penganjuran majlis sebegitu di kawasan sekolah, malah tentu akan mengambil tindakan drastik memecat menteri yang mengeluarkan arahan tersebut.

“Namun dalam kes Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dia pasti disanjung-sanjung perdana menteri (Najib Razak) kerana mencapai ‘kejayaan’ besar dalam masa-masa genting yang sedang dilalui UMNO-BN,” ujarnya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Lagu UMNO berkumandang dan bendera parti itu dikibarkan di sekolah di Presint 14 dalam sambutan penutup Hari Kemerdekaan yang turut dihadiri Tengku Adnan, semalam.

Kementerian Wilayah Persekutuan turut mensyaratkan tema “UMNO dan Kemerdekaan” digunakan dalam pertandingan menghias bilik darjah yang kononnya bertujuan untuk memperingati perjuangan parti itu dalam memerdekakan negara.

Selain bendera kebangsaan, sekolah itu juga turut dihiasi dan dipenuhi dengan kibaran bendera UMNO. Murid-murid turut dipaksa untuk melaungkan slogan “Hidup UMNO”.

Sambutan ‘ala-UMNO’ di Sekolah itu, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, menyerlah dua perkara yang menjadikan majlis itu gagal.

“Pertama, sambutan itu mengagung-agungkan sumbangan UMNO terhadap pembentukan negara.

“Tetapi bagaimana pula dengan Gerakan, MIC, dan parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak dan pemimpin mereka atau adakah mereka tidak wujud atau tidak penting dalam rancangan sulit politik sebenar di Putrajaya?” soalnya.

Selain itu, katanya, UMNO dalam perjuangan awalnya tidak menagih simpati orang Melayu untuk menyertai parti itu, tidak sepertimana yang dilakukan Adnan di majlis tersebut apabila dilihat seolah-olah merayu para guru untuk menyokong mereka. - sumber

Monday, September 18, 2017

Kutip sikit manafaat bagi pengguna kereta: RON 95 vs RON 97- Mana lebih baik?

RON 95 vs RON 97, Yang Mana Lebih Bagus Untuk Kereta Anda
Oleh Mohd Farhan Alias   •  Automotif  •  September 18, 2017
RON adalah akronim merujuk kepada Research Octane Number atau keupayaan petrol untuk beroperasi pada tekanan dan suhu yang tinggi pada enjin sebelum dinyalakan oleh spark plug. Petrol jenis ini biasanya digunakan pada enjin berprestasi tinggi seperti BMW M, Suzuki Swift Sport atau Honda Type R.

Sebagai contoh Suzuki Swift biasa dengan enjin 1.4 dan compression ratio (CR) yang rendah hanya menghasilkan 94hp. Tapi Suzuki Swift Sport dengan enjin 1.6 dan CR 11.1:1 akan menghasilkan 136hp. Enjin ini memerlukan RON 97 untuk beroperasi pada keadaan optimum.

Memahami Compression Stroke dalam operasi enjin
Dalam enjin petrol, udara dan petrol akan dipadatkan semasa proses compression cycle dan secara tidak langsung suhu campuran tadi akan meningkat. Sekiranya suhu terlampau tinggi, campuran tadi akan auto-ignite tanpa pencucuhan dari spark plug.

Proses ini dinamakan knocking dan akan merosakkan komponen enjin. Pada keadaan ideal, combustion spark plug akan mengeluarkan percikan eletrik bagi memulakan pembakaran dan power stroke.

Enjin – enjin moden terkini mempunyai sensor yang mengesan knocking dan menghantar isyarat pada ECU enjin bagi mengubah parameter bagi menghalang knocking berlaku.

Perbezaan kuasa enjin berprestasi tinggi berbanding enjin biasa
Enjin prestasi tinggi seperti Suzuki Swift Sport biasanya akan menggunakan CR yang tinggi bagi meningkatkan kecekapan thermodynamic dan menghasilkan lebih kuasa berbanding enjin biasa.

Oleh itu RON 97 digunakan dalam enjin ini kerana RON 97 mengurangkan risiko knocking dan mampu beroperasi pada suhu yang tinggi dan menghasilkan kuasa berbanding RON95. Enjin ini mampu menghasilkan lebih kuasa disebabkan dua faktor:

1. Enjin yang mempunyai CR yang tinggi
2. Penggunaan petrol RON 97 yang tahan knocking

Minyak petrol manakah yang lebih bagus?
Seliter RON 95 mungkin akan mempunyai kandungan tenaga yang sama dengan seliter RON 97. Menggunakan RON 97 dalam enjin yang biasa tidak akan menambah power sesuatu enjin kerana kandungan hidrokarbon dalam kedua dua petrol adalah sama.

Tapi menggunakan RON 95 dalam enjin prestasi tinggi akan menyebabkan enjin mengalami masalah pengurangan kuasa dan kecekapan disebabkan masalah knocking tadi.

Sekiranya RON 95 digunakan dalam enjin prestasi tinggi, knocking akan berlaku. Knock sensor akan mengesan knocking dan menghantar signal pada ECU dan melambatkan pencucuhan dari palam pencucuh. Walaupun proses ini mengelakkan masalah knocking, pada masa yang sama ia mengurangkan kuasa dan kecekapan enjin.

Mengapa bila naik bukit, enjin terasa semput?
Apabila mendaki bukit dengan 5 penumpang dan barang penuh di dalam bonet seperti mendaki bukit ke Cameron Highland, biasanya kita akan memaksa enjin untuk beroperasi pada RPM yang tinggi.

Keadaan ini dipanggil high load operation. Sekiranya RON 95 digunakan, knocking mungkin akan terjadi. Enjin akan memberikan kuasa yang konsisten sekiranya RON 97 digunakan dan enjin tidak terasa semput.

Bagi saya, sekiranya perjalanan saya hanya melibatkan lebuh raya, saya akan isi RON 95. Sekiranya ada melibatkan pendakian seperti ke Cameron Highland, saya akan guna RON 97. Nak campur RON 95 dan 97 pun boleh, enjin tak akan meletup.

Baca lagi7 Mitos Kecekapan Minyak Kereta, Auta Atau Fakta

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohd Farhan Alias. Beliau merupakan seorang bekas pelajar jurutera otomotif serta pernah berkhidmat sebagai jurutera di perodua. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Sunday, September 17, 2017

Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Luahan pilu seorang jiran

'Maafkan saya tak mampu tolong'
WARTAWAN SINAR HARIAN  -  17 SEPTEMBER 2017
Norhayati Abdul Halim

KUALA LUMPUR - Seorang jiran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, yang terbakar Khamis lalu, berasa amat terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan pelajar yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Norhayati Abdul Halim, 46, meluahkan perasaan sedih itu ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

“Saya nak minta maaf kepada semua ibu bapa pelajar yang terkorban.

“Saya tidak mampu buat apa-apa melainkan menjerit meminta tolong kerana kejadian berlaku dengan begitu pantas.

"Saya juga gagal masuk ke tahfiz sebab api sedang marak di bahagian pintu,” katanya sebak.

Ibu enam anak itu mengakui masih terbayang lambaian tangan pelajar-pelajar di tingkat tiga pusat tahfiz tersebut meminta tolong.

“Bila berseorangan, saya teringat detik itu dan masih terngiang-ngiang jeritan kuat mereka minta tolong.

“Saya rasa bersalah pada diri sendiri, setiap masa saya menangis kerana teringat pada mereka,” katanya.

Norhayati yang menjalankan perniagaan dobi serta menjual pisang goreng bersama salah seorang anaknya di hadapan rumah berkata, pelajar-pelajar tahfiz itu sememangnya rapat dengannya dan anak-anak.

“Mereka selalu beli pisang goreng dan keropok lekor dengan saya. Ada antara mereka panggil saya mama, ibu.

“Mereka suka bergurau dan sakat saya selain kerap pinjam telefon untuk hubungi keluarga. Mereka umpama anak sendiri,” katanya.

Petang sebelum kejadian, katanya, tiga daripada pelajar terkorban tiba-tiba meminta untuk mengait mangga jiran sebelah rumahnya.

“Saya pelik sebab mangga tu muda, tapi mereka kata teringin sangat nak makan dengan nasi. Jadi kami kait mangga bersama-sama selepas mereka selesai beriadah di taman berdekatan.

“Saya tak dapat dengar lagi suara mereka mengaji dan berzikir beramai-ramai setiap pagi dan malam.

“Malah anak, Mohd Ikhwan Muslim, 7, dan cucu, Muhamad Erfan Budi Arman, 9, juga hilang sahabat ajar mereka mengaji,” katanya.

* Aktiviti Terakhir Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (video dari YouTube)

'Sesudah selut di kakiku kering...'

 Anne Muhammad      16 Sep 2017, 9:57 malam      Hari ini, 3:21 pagi
Untuk dua tiga hari ini ada wartawan yang tidak mendapat tidur yang biasa. Mereka - seperti aku - ditakdirkan membuat laporan mengenai kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu mengorbankan 23 orang, dan sejumlah yang lain cedera.

Letih dan lesu sebu menjadi satu.

Semuanya bermula pada pagi Khamis lalu. Aku sepatutnya ke pejabat pada hari seperti selalu. Tidak ada tugasan khusus pada pagi itu.

Tapi, awal pagi itu tidurku dikejutkan dengan panggilan daripada editor yang meminta aku pergi ke pusat tahfiz tersebut.

“Siap-siap jurugambar, ramai yang mati,” katanya.

Pesanan itu membawa aku bingkas bangun, bersiap seadanya dan segera ke tempat kejadian.

Jarak antara rumah dan tempat kejadian hanya 16 kilometer tapi disebabkan keadaan trafik pagi, aku terpaksa mengambil masa lebih 40 minit untuk tiba.
Jenazah sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Apa yang tinggal ketika aku sampai di situ hanya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang membuat penyiasatan, polis yang mengawal keadaan dan ahli keluarga mangsa.

Aku terpaku melihat bangunan tiga tingkat itu. Paling atas kelihatan rosak teruk dimakan api. Mataku berkaca, hatiku marah. Bagaimana ia boleh berlaku?

Aku masuk ke surau bersebelahan pusat tahfiz bagi mencari keluarga mangsa. Pandanganku tertumpu ke arah seorang seorang wanita berbaju oren, bertudung kelabu di sudut paling hujung.

Dia menangis sendirian.

Tanpa berfikir panjang, aku menghampiri dan menyapanya.

Wanita itu, Norhayati Karim, bercerita anak lelakinya Amiel Ashraf Abd Rasid adalah salah seorang pelajar yang maut pagi itu.

Suara hati anak

Tapi yang paling terkesan baginya ialah, Amiel Ashraf mengirimkan pesanan kepadanya kurang 12 jam sebelum itu. Maka jadilah ia nota terakhir daripada Amiel Ashraf untuk ibunya.

Antara kandungan nota itu, Amiel meluahkan rasa sayangnya kepada kedua ibu bapa, serta tujuan dia masuk ke tahfiz adalah membantu mereka ke syurga.
“Ibu ayah, Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah, Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.

"Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu, hanya ini sahaja yang Amiel mampu (iaitu) masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga firdaus,” kata Amiel.

Tulisan anak berusia 11 tahun ini bukan sahaja membuatku runtun, mataku juga tak dapat ditahan daripada berkaca.

Aku juga sempat menemu ramah beberapa mangsa yang terselamat termasuk pengetua pusat tahfiz itu, Muhammad Zahid Mahmod, menyifatkan kesemua pelajarnya yang maut dalam kebakaran berkenaan sebagai mati syahid.

Sedang aku leka menulis hampir empat berita mengenai kejadian itu, aku sempat menjeling ke arah tingkat tiga pusat tahfiz itu. Kelihatan anggota bomba sedang membawa dua anjing pengesan ke arah dua tong gas masak berwarna kuning.

“Eh, tong gas datang dari mana?” soalku kepada rakan-rakan wartawan lain yang sedang leka menulis berita.

Kami semua terpaku. Ya kami akan tanya bomba selepas ini mengenai kemunculan dua tong gas itu.

Pondok Pak Ya

Bomba mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas serta mengesahkan mengenai penemuan dua tong gas.

Hujan mulai turun. Aku menghabiskan sisa-sisa akhir tulisan pada hari itu dan pada jam 6 petang, aku pulang dengan rasa lesu.
Malam itu, aku caj sehingga penuh segala kelengkapan elektronik kerana esok adalah hari panjang dan kes ini nampaknya masih lama.

Jam 1.30 pagi. Biasanya aku sudah masuk ke mimpi yang kedua, namun malam itu tidurku tidak lena kerana masih terkenangkan kejadian yang menimpa anak-anak yang tidak berdosa.

Jumaat, 15 September: Pagi itu, seawal jam 9 tugasanku bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pulapol, Kuala Lumpur dalam acara Transformasi Nasional 50 (TN50).

Seperti biasa, dalam sidang media dipenuhi dengan ramai pengamal media dari merata agensi yang ingin bertanyakan mengenai kejadian di pusat tahfiz itu.

Zahid menjadi tumpuan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengadakan lawatan di AS.

Kata Zahid kerajaan persekutuan tidak boleh mengambil alih sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat  kerana ia di bawah bidang kuasa negeri dan ia dihormati.
Selain itu Zahid berkata laporan dan syor yang pernah dikemukakan kepada kerajaan mengenai kebakaran di Yan, Kedah 28 tahun lalu boleh dijadikan panduan untuk mengelak lebih banyak tragedi menimpa pusat tahfiz

Pada 22 September 1989, sebuah bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api dan mengorbankan 27 pelajar.

Selesai menemui Zahid, aku memandu ke tahfiz itu semula bagi melihat keadaan. Ternyata pada hari kedua keadaannya masih sama – dikunjungi orang ramai, pihak keselamatan dan pengamal media.

Dan tentu sedihnya tetap ada di mana-mana.

Aku fikir, tidak ada banyak berita yang aku akan dapat lalu aku mengambil keputusan untuk ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda, di ibu negara.


Aku dimaklumkan, kesemua jenazah sudah dikenal pasti dan 11 daripadanya akan dikebumikan di situ.

Hujan mulai turun, namun tanah perkuburan itu tetap dikunjungi ahli keluarga, orang awam serta pengamal media.

Pada jam 6.25 petang, jenazah Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri adalah yang pertama tiba, tidak lama kemudian jenazah-jenazah yang lain tiba.

Azan Maghrib pun berkumandang, urusan pengebumian tetap dijalankan dan semuanya tamat pada jam 8.04 malam.

Hari itu, kasutku penuh dengan selut dari tanah perkuburan, melekat pada seluar dan pakaianku.

Tapi itu bukanlah perkara besar buatku apabila melihat banyak hati yang hiba dan menangis sayu mengenangkan insan tersayang pergi sekelip mata.

Seorang lelaki turut kelihatan memeluk erat batu nisan, manakala disatu sudut seorang ibu curi-curi mengelap air matanya. Sungguh, hatiku tersentuh.

Dalam diam aku berdoa mereka kekal tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Hujan terus turun - di luar dan di dalam. Yang diluar membasahkan bumi, dan di dalam menenggelamkan hati.

Saturday, September 16, 2017

Penyiasat Bukit Aman lawat premis sekolah tahfiz terbakar

Muzliza Mustafa
Diterbitkan pada 16 Sep 2017 5:26PM
Sepasukan pengawai polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur dilihat di premis pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

SEPASUKAN pegawai dari ibu pejabat polis Persekutuan di Bukit Aman melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut berhubung tragedi pada Khamis yang mengorbankan 23 nyawa.

Siasatan awal sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur sebagaimana dimaklumkan ketuanya Khirudin Drahman sebelum ini mengatakan kebakaran itu mungkin disebabkan oleh perbuatan khianat, berdasarkan kemarakan api dan kecepatan ia merebak.

Tengah hari tadi, pasukan dari Bukit Aman tiba di sekolah yang terletak di Jalan Datuk Keramat dan mengambil masa memeriksa bangunan dan persekitarannya, termasuk bahagian belakang pusat itu.

Beberapa pegawai dilihat mengambil gambar bangunan dan juga tasik yang terletak di belakangnya.

Polis Kuala Lumpur dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai siasatan esok.

Sementara itu, pelawat yang berada di kawasan itu menghalang jalan raya apabila ada yang menghentikan kenderaan untuk mengambil gambar bangunan tahfiz.

"Saya hanya datang ke sini untuk melihat sekolah. Hanya mahu melihat lebih dekat apa yang ada," kata seorang pelawat.

Beberapa wakil pihak sekolah dilihat berada di depan bangunan, bercakap dengan orang awam yang berhenti untuk melihat tempat terjadinya tragedi tersebut.

"Mereka ingin tahu. Bertanya banyak soalan. Banyak maklumat salah tersebar mengenai kejadian ini," kata seorang wakil sekolah yang enggan memberikan namanya.

"Ramai juga menawarkan menawarkan sumbangan wang tunai walaupun pihak pusat tidak berniat untuk meminta derma."

Kebakaran berlaku awal pagi Khamis dan melibatkan tingkat dua di mana asrama pusat terletak.

Beberapa saksi memberitahu penyiasat para pelajar terperangkap kerana mereka tidak dapat membuka jeriji tingkap dan boleh didengar berteriak untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa adalah 21 murid berusia 11 hingga 17 tahun dan dua orang guru.

Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun berkata, semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan kebakaran itu akan disoal.

"Bukan sahaja pemilik, tetapi guru, pelajar yang selamat daripada kebakaran, termasuk 38 orang yang berada di hospital, kami akan menyiasat mereka semua," katanya sebelum mengesahkan seorang lelaki ditahan untuk disoal siasat berkaitan kes itu.

Sehingga kini, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian secara tiba-tiba. – 16 September, 2017.