Showing posts with label TEKS1M. Show all posts
Showing posts with label TEKS1M. Show all posts

Wednesday, August 17, 2016

INDUSTRI TEKSI DIBERI NAFAS BARU DAN KABINET LULUS CADANGAN SPAD


Akhirnya satu pendekatan yang telah dicadangkan pihak SPAD bagi penyelesaian isu-isu yang dihadapi di dalam industri teksi di negara telah mendapat kelulusan kabinet. 2 perkara yang perlu diberi perhatian di dalam Program Transformasi Industri Teksi (TITP atau Taxi  Industry  Transformation Programme) yang diperkenalkan iaitu hala tuju masa depan industri teksi dan juga mandat yang diberikan kepada pihak SPAD sebagai pengawalselia perlaksanaannya.

Yang pasti, kepentingan pemandu, pengendali dan juga pengguna dititikberatkan supaya lebih adil dan menyeluruh di samping industri teksi di negara akan terus mampan dan lebih responsif kepada permintaan kuasa pasaran terkini dan akan datang.

4 prinsip utama TITP di dalam 11 program TITP berdasarkan;
a. Memanfaatkan penggunaan teknologi
b. Pendapatan dan kebajikan pemandu teksi ditingkatkan
c. Mutu Perkhidmatan pemandu teksi diperbaiki
d. Kadar tambang teksi disemak semula


Didalam melancarkan program TITP ini, pihak SPAD akan memulakan langkah dengan;

a. Bekerjasama dengan pihak JPJ didalam memperkemas dan mengawalselia pengeluaran kad pemandu tunggal serta menentukan langkah-langkah yang perlu diambil nanti.

b. Pembekuan pengeluaran lesen teksi bagi kelas teksi bermeter dan kereta sewa akan ditarik balik.

c. Memastikan perlindungan insurans dan keselamatan dipatuhi oleh syarikat-syarikat dan pemandu 'e-hailing'.

Satu khabar baik untuk membantu pemandu-pemandu teksi yang ingin keluar dari sistem sewa pajak dan seterusnya memiliki lesen teksi individu sendiri, kerajaan telah meluluskan geran tunai sebanyak RM5,000.

Oleh itu secara terperincinya, butiran 11 program TITP yang telah diluluskan oleh Kerajaan yang perlu diberi perhatian;

1. Mengawal selia aplikasi e-hailing sebagai perkhidmatan perantara di bawah 
    Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD)  
 
Ini akan memerlukan pindaan kepada APAD. Setelah pindaan itu diluluskan di Parlimen syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan e-hailing wajib diperbadankan di Malaysia dan semua pemandu e-hailing mesti mempunyai Kad Pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD.
 
Kenderaan yang menyediakan perkhidmatan e-hailing juga akan diwajibkan menjalani pemeriksaan kebolehpercayaan jalan. Dalam fasa peralihan, semua
syarikat dan pemandu e-hailing akan dikehendaki berdaftar dengan SPAD. 

2. Pengeluaran Lesen Individu dan Geran Wang Tunai Kerajaan bagi pemandu yang 
    keluar daripada Sistem Pajak 

Bagi pemohon yang layak dan berwarganegara Malaysia, SPAD akan mengeluarkan lesen teksi individu di bawah kelas teksi bermeter dan kereta sewa. Pendaftaran akan bermula pada 1 September 2016 tertakluk kepada kriteria kelayakan termasuk bersih daripada rekod jenayah dan kesalahan di bawah SPAD dan JPJ. 

Pemandu teksi yang mahu keluar dari sistem sewa pajak (di bawah kelas teksi bermeter dan kereta sewa), juga akan menerima geran wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Kerajaan sebagai subsidi kos membeli kenderaan baru. 

3. Membuka Pilihan Model Bagi Kegunaan Teksi 

Model-model pilihan kenderaan bagi teksi akan dibebaskan bagi memberikan pilihan yang lebih luas bagi pemegang lesen teksi. Di bawah langkah ini, semua jenama kenderaan dan model yang mencapai penarafan keselamatan 3-bintang di bawah Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (NCAP) akan diluluskan. Ini akan membantu mempercepatkan penggantian kenderaan yang lama dan lebih penting lagi, akan mengurangkan struktur kos bagi pemandu teksi dan pengusaha. 

4. Piawaian Kontrak Sewa Teksi Dengan Terma-terma Kontrak Di Bawah Undang-undang  

Pindaan kepada APAD diperlukan bagi membolehkan pengawal seliaan syarat-syarat kontrak yang akan dikenakan ke atas Pengendali. Di antara cadangan-cadangan yang akan dikenakan adalah termasuk hari percuma dari sewa bagi pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans pihak pertama bagi kenderaan dan bayaran balik deposit pada akhir kontrak. 

SPAD akan mengawal selia kontrak sewaan baharu dan akan menyeragamkan serta menguatkuasakan pematuhan syarat-syarat wajib dengan memasukkan terma-terma ke dalam Syarat-syarat Lesen Pengendali.
  
5. KPI Wajib Bagi Pengendali Teksi  

Untuk melindungi kepentingan dan kebajikan pemandu teksi, SPAD akan mengenakan KPI wajib ke atas Pengendali teksi. Ini termasuk pengwajiban Flit teksi untuk disambungkan dengan sistem ‘dispatch’ (selain daripada tempahan melalui telefon, membenarkan tempahan melalui aplikasi mudah alih, tempahan melalui laman sesawang ataupun tempahan radio) bagi mengembangkan dan meningkatkan akses perkhidmatan teksi dan pada masa yang sama meningkatan pendapatan pemandu. Di samping itu operator akan dipertanggungjawabkan di atas kelakuan dan mutu pemandu dan kenderaan.  

6. Mengenakan proses saringan yang ketat  

SPAD akan meningkatkan mutu pemandu teksi dan melaksanakan satu proses saringan baru yang ketat dan menyeluruh terhadap teksi dan pemandu e-hailing. Ini termasuk pemeriksaan rekod jenayah dan kesalahan trafik dan pelanggaran syaratsyarat Lesen Pengendali. 
 
7. Meningkatkan Piawaian Perkhidmatan menggunakan sistem ‘merit’ dan ‘demerit’  SPAD akan bekerjasama dengan JPJ bagi menyediakan senarai penuh kesalahan pemandu teksi di bawah sistem demerit Kejara yang baharu. 

8. Menyelaraskan struktur tambang bermeter  

Struktur tambang TEKS1M akan disusun semula bagi melaksanakan struktur tambang teksi bajet semasa. Pemandu dan pengendali yang sudah berada di bawah TEKS1M, mempunyai pilihan untuk mengekekalkan struktur tambang yang sedia ada, sehingga habis had usia kenderaan. 


9. Menyelaraskan kadar tambang berdasarkan zon  

Kadar tambang teksi berdasarkan zon, akan digantikan dengan pengiraan berdasarkan jarak perjalanan. Contoh adalah seperti di bawah: 


10. Membenarkan kadar tambang dinamik bagi teksi bermeter yang menggunakan 
      aplikasi e-hailing  
Pemandu teksi bermeter akan mempunyai pilihan untuk mengambil penumpang di bahu jalan dan melalui tempahan e-hailing. Mereka diberikan pilihan untuk menggunakan struktur tambang dinamik yang membolehkan mereka mengenakan tambang berdasarkan aplikasi e-hailing.   

11. Memperkenalkan program bagi memingkatkan prestasi pemandu teksi   

Bagi menerapkan budaya perkhidmatan yang baik, satu program Akreditasi Pemandu Teksi akan diadakan dan merangkumi empat (4) modul termasuk program-program bagi: orientasi pemandu teksi, membangkitkan semangat keusahawanan di kalangan pemandu teksi, cara-cara melayan penumpang dan juga mengenai Keselamatan dan Penyelenggaraan. Latihan ini akan dijalankan oleh pelatih yang dilantik oleh SPAD.

Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat pembaharuan apatah lagi untuk menerima dan melaksanakannya walaupun pihak SPAD telah membuat kajian demi kajian serta rundingan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan beberapa tahun lalu. 

Pihak SPAD juga bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabarang di dalam melaksanakan TTIP, asalkan matlamat utamanya bagi memastikan pembaharuan ini dapat mewujudkan industri teksi negara yang sentiasa berdaya maju dan dapat menepati kehendak penumpang yang lebih mesra pengguna tercapai dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Monday, July 25, 2016

SPAD JELASKAN KENAPA TEKS1M TIDAK GAGAL DAN LAPORAN BH PERLU ADIL


Adalah menjadi tanggungjawab pemberita dan pihak-pihak media memelihara integriti dan kesahihan berita yang mereka laporankan dan bukan sekadar ingin menjadikan tajuk berita sebagai sesuatu yang sensasi untuk melariskan jualan akhbar mereka semata-mata.

Pada 20 Julai 2016, satu laporan dari Berita Harian (BH) yang bertajuk ‘TEKS1M gagal jadi ikon negara' pasti akan dijadikan maklumat sensasi kerana BH merupakan salah satu media perdana yang dikatakan pro-kerajaan dan 'TEKS1M pula adalah projek cetusan dari ide Perdana Menteri Najib Razak sendiri yang telah diamanahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perkataan 'gagal' ada terlalu negatif untuk menghukum projek 'TEKS1M' sedangkan penjelasan di pihak yang dipertanggungjawabkan belum dan tidak diambilkira. Sebagai media arus perdana yang menyokong kerajaan, adalah lebih tepat jika tajuk beritanya lebih kepada membuat persoalan dan bukan dijadikan kenyataan.

Oleh itu, sebagai suruhanjaya yang telah dipertanggungjawabkan kerajaan di bawah kepimpinan PM Najib Razak, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi penjelasan bagi menjawab setiap persoalan dan keraguan seperti maklumbalas rasmi di bawah;


Seharusnya penjelasan dari pihak SPAD didahulukan dan bukannya rencana-rencana dari pihak yang tidak berpengetahun dijadikan bahan berita. Walaupun ia mungkin dianggap sebagai strategi untuk menarik minat pembaca, namun jika berita yang ingin disampaikan adalah maklumat yang tidak tepat, pasti integriti sesebuah akhbar itu akan terjejas.

Diharap pihak editor Berita Harian tidak mengikut jejak langkah MalaysiaKini yang sering sarat dengan putar belit beritanya sehingga rakyat Malaysia telah melabelkan ia sebagai portal berita anti-kerajaan dan penyebar berita-berita palsu. Dunia hari ini, maklumat berada di hujung jari dan jika dibaca artikel yang dikeluarkan BH tanpa disiarkan penjelasan dari pihak SPAD, apakah persepsi pembaca mampu diubah agar menerima penjelasan yang betul?

Kita bernasib baik apabila SPAD pantas menjawab dan menerangkan segala kekeliruan agar kita mendapat gambaran yang jelas dan benar. Andaikata ini berlaku di zaman segalanya terpaksa bergantung kepada laporan akhbar seperti Berita Harian, yang pasti rakyat akan melihat kerajaan kepimpinan PM Najib gagal membela nasib pemandu teksi justeru seorang pemimpin yang sangat lemah.

Adalah menjadi harapan agar setiap laporan berita lebih menunjukkan integriti sebagai laporan yang benar dan tepat daripada memilih untuk menjadi popular yang sarat dengan berita-berita yang tidak adil dan tidak benar. Rakyat telah bijak menilai dan jangan sehingga kepercayaan rakyat terhapus kerana memilih berita-berita palsu. 

 

Monday, September 21, 2015

JENAMA 'TEKS1M' SEPENUHNYA DI JALANRAYA MENJELANG 2019



Rakyat Malaysia pasti akan berbangga apabila di jalanraya terutama di bandar-bandaraya apabila tiada lagi teksi-teksi lama yang fizikalnya seperti besi buruk dan keadaan teksi yang tidak stabil untuk dipandu dan tidak selesa untuk naiki.

Adalah menjadi hasrat pihak SPAD untuk melihat menjelang 2019, kesemua teksi di negara ini membawa jenama 'TEKS1M' dengan berwajah fizikal yang menarik dan mantap serta dilengkapi dengan alat-alat teknologi canggih dan aplikasi muat-turun telefon pintar. Tetapi kesemua itu tidak memadai untuk mencapai taraf teksi setanding di negara-negara maju.

Di Semenanjung Malaysia terdapat lebih kurang 60,000 teksi dan di sekitar Lembah Kelang sahaja sebanyak 37,000 teksi berada di jalanraya. SPAD juga telah mensasarkan 10,000 teksi untuk ditukarkan ke jenama TEKS1M. Setakat ini, sebanyak 2,000 teksi lama telah ditukarkan ke model TEKS1M sejak diperkenalkan pada tahun 2013.

Namun, memandangkan had 10 tahun bagi setiap permit teksi bajet, teksi-teksi lama ini akan sepenuhnya diganti menjelang akhir tahun 2024.

TEKS1M bukan sekadar jenama dengan fizikal kereta yang lebih menarik, malahan setiap pemandu yang membawa jenama ini telah menjalani kursus latihan pemanduan berhemah dan sistem operasi teksi juga telah ditingkatkan mutunya.

Bagi Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, walaupun SPAD mensasarkan menjelang 2019, teksi-teksi yang berusia lebih dari 10 tahun tidak akan lagi dibenarkan beroperasi, namun yang lebih penting adalah sikap pemandu-pemandu teksi itu sendiri. Mereka seharusnya mementingkan displin dan mengutamakan kehendak pelanggan dan beriltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Itulah transformasi industri teksi sebenar yang dikehendaki SPAD bagi setiap pemilik jenama TEKS1M.

Setakat ini hanya Toyota Innova dan Proton Exora sahaja telah dibenarkan membawa jenama TEKS1M di mana kedua-duanya merupakan kenderaan pelbagai guna yang memenuhi kriterianya terutama keluasan fizikal yang mampu memenuhi kehendak pelancong-pelancong dari luar negara seperti negara Arab dan Eropah yang berbadan besar dengan bagasi yang banyak.

Pihak SPAD juga tidak menolak untuk menimbangkan 2 perkara bagi mencapai sasaran 2019 di mana model kereta lain juga akan digunakan untuk TEKS1M serta model kereta sedan yang lebih kecil. Ia akan mampu menarik lebih pemandu teksi membeli dengan harga yang lebih murah daripada Innova dan Exora. Di antara kereta yang disebut-sebut adalah Proton Persona dan Proton Saga.

Lebih banyak model kereta di bawah TEKS1M akan dilancarkan bagi mempercepatkan migrasi teksi lama ke teksi baru dan di dalam masa terdekat, pihak SPAD akan melancarkan beberapa model-model kereta yang pasti ia dari jenama kereta tempatan.

Thursday, May 21, 2015

SAMADA TOYOTA ATAU NISSAN BAKAL GANTI TEKS1M PROTON EXORA



Target SPAD pada hujung tahun ini untuk memastikan 7,500 kenderaan TEKS1M mungkin tidak akan kesampaian apabila pihak Proton didapati terlalu lembap membuat pengeluaran Exora.

Sejak pelancaran TEKS1M pada 2013 dan mula beroperasi selepas 6 enam bulan, hanya 1,000 teksi Exora sahaja yang dikeluarkan untuk Lembah Kelang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dan sehingga kini, penambahan unit masih lagi dinantikan.

TEKS1M adalah kelas perkhidmatan baru yang diperkenalkan oleh SPAD dalam melaksanakan agenda transformasi industri teksi di negara ini. Walaupun lebih cantik dan canggih serba-serbi, TEKS1M masih mengenakan tambang teksi bajet.

SPAD sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab ke atas migrasi 42,642 teksi bajet dan teksi eksekutif ke TEKS1M, terpaksa mencari sumber lain bagi memastikan perancangan lima tahun akan datang tercapai.

Kini pihak SPAD sedang berbincang dengan pihak Toyota dan Nissan untuk mengatasi kelembapan pengeluaran Proton Exora. Perbincangan juga telah diadakan dengan pihak MTEN pada awal tahun ini dan dikatakan segala maklumat telah dibentangkan untuk dibuat kajian dan seterusnya dibuat keputusan.

Di antara kenderaan keluaran Toyota yang telah dikenalpasti paling sesuai ialah Innova 2.0 yang berharga RM73,228 untuk kenderaan manual dan RM76,011 untuk kenderaan otomatik. Walaubagaimanpun, pihak Toyota menjangkakan pengeluaran akan siap dalam tempoh 3 bulan.

Pengeluaran TEKS1M oleh Toyota akan dilengkapi dengan alat pengesan untuk CTSS (Centralised Taxi Service System), tangki gas NGV, mesin kredit dan beberapa kriteria yang telah ditetapkan pihak SPAD.

SPAD juga sedang berunding dengan pihak Toyota agar harga yang ditawarkan untuk model Innova adalah berpatutan dan jimat untuk jangka masa panjang bagi syarikat pengusaha teksi dan pemilik lesen individu.

Friday, June 27, 2014

TAN SRI SYED HAMID DISALAHERTI SEBAGAI 'SALESMAN PROTON'

Proton Exora adalah keputusan kerajaan
Apabila kita kurang membaca dan sekadar ingin mencari kesalahan dan kelemahan, maka kesalahan dan kelemahan juga yang diperolehi.

Seseorang yang telah diberi kepercayaan bertanggungjawab melaksana dasar-dasar kerajaan, beliau bukan melakukan di atas kapasiti peribadi untuk kepentingan diri mahupun mencari populariti.

Tan Sri Syed Hamid Albar telah disambung kontraknya sebagai Pengerusi SPAD di atas kapasiti dan pengalaman beliau sebagai seorang Pengerusi yang dedikasi, mampu menyelesaikan masalah, mampu bekerjasama dengan semua pihak dan yang terpenting setia meneruskan dasar-dasar kerajaan.

Di dalam artikel yang disiarkan dalam sisipan Cars, Bikes & Trucks di akhbar NST ataupun online.. DI SINI, mesej utama yang telah ditulis adalah;
  • Pengerusi SPAD telah mengarahkan tanpa kebenaran kerajaan agar mengguna Proton Exora bagi semua jenis teksi.
  • Adalah menjadi satu kegagalan apabila Tan Sri dilihat ingin mempertahankan syairkat kereta nasional.
  • Tindakan menyarankan mengguna Proton Exora adalah  paling anti-kompetitif.

Ini pula jawapan Tan Sri Syed Hamid;
Merujuk kepada artikel bertajuk ‘SPAD’s Chairman is also Proton’s Salesman,’ Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ('SPAD') ingin menjelaskan.

Keputusan untuk mengguna Proton Exora telah dibuat oleh kerajaan dan ia adalah selaras dengan Dasar Automotif Negara. Ia tidak termasuk dalam bidang kuasa Pengerusi SPAD.

Sebagai sebuah agensi kerajaan yang melaksanakan transformasi industri teksi, SPAD adalah terikat untuk mematuhinya. Keputusan itu berdasarkan kepada pelbagai pertimbangan termasuk spesifikasi teknikal, ruang bagasi, ruangan untuk kaki dan kepala. Dari segi 'value for money' pula, persoalan kemampuan untuk pemandu teksi juga telah dipertimbangkan. Proton Exora adalah model yang paling mampu untuk dimiliki di dalam kelasnya tersendiri. Cadangan nilai juga termasuk pilihan dwi-bahan api (petrol dan NGV); dengan potensi masa depan untuk diesel atau versi hibrid.

Dari segi skala ekonomi, bahagian-bahagian Proton Exora mudah diperolehi. Oleh itu ia adalah lebih menjimatkan bagi pemandu teksi untuk menyelenggara kenderaan mereka. Proton juga lebih responsif kepada apa-apa permintaan untuk perubahan spesifikasi kenderaan dan ia satu kelebihan.
Industri teksi di Malaysia adalah pelbagai. Keseragaman dan kesamaan seperti yang dilihat di London, New York dan Dubai adalah satu kemestian
untuk kemampanan industri. Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang baru ini adalah bertujuan untuk menyediakan satu model operasi yang selaras dan cekap. Ini termasuk spesifikasi yang minima dengan penekanan terhadap keselamatan, keselesaan dan jangka had penggunaan yang lebih pendek ke 7 tahun . Ia juga akan menyediakan saluran ke pusat tempahan dan sistem penghantaran untuk rangkaian operasi yang lebih luas. SPAD akan selaras stuktur tambang bagi memastikan kemampanan industri.

Berikut adalah ciri-ciri TEKS1M yang telah dipersetujui pihak kerajaan;
  • 1,000 penerima lesen individu diwajibkan membeli dan menggunapakai kereta Proton Exora.
  • Melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia, setiap pemandu teksi yang akan membeli Proton Exora akan mendapat bantuan RM5,000.
  • Harga kenderaan dikecualikan dari  cukai jualan dan cukai kastam.
  • Tiada wang pendahuluan.
  • Kadar pinjaman 2% dari BSN.
  • Pakej penyelenggaraan kenderaan di bawah harga pasaran.
  • Kos insuran komprehensif motor satu parti.
  • Insuran komprehensif perlindungan diri untuk tahun pertama.
Bagi mengetahui mengapa Exora dipilih sebagai teksi TEKS1M, sila baca ... DI SINI dan juga DI SINI

Thursday, May 01, 2014

PENANTIAN RAKYAT UNTUK MIGRASI TEKSI BANDAR BERMULA


SPAD telah mengumumkan teksi-teksi yang mencapai had usia 10 tahun wajib ditukarkan kepada TEKS1M berkuatkuasa pada 1 Mei 2014. Ini melibatkan kesemua teksi dan di antaranya termasuk teksi bajet dan eksekutif.

Teksi-teksi ini juga diberi pilihan samada diguna hingga tempoh selama 6 bulan yang berakhir 31 Oktober 2014 atau menukar kepada TEKS1M dengan serta merta. Ini bermakna selepas 31 Oktober 2014, semua teksi bajet dan eksekutif wajib ditukarkan kepada TEKS1M sebaik sahaja mencapai had usia.

Mengikut statistik SPAD, sebanyak 2,604 teksi bajet dan eksekutif daripada 39,531 teksi bajet dan 3,111 teksi eksekutif yang kini beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang sedang menghampiri had umur 10 tahun. Oleh itu, di dalam perkiraan SPAD, di dalam tempuh 5 tahun akan datang, hampir 50% dari keseluruhan teksi bajet dan eksekutif akan mencapai had umur dan perlulah ditukar.

Kita sering dengar kutukan yang taraf teksi Malaysia di tahap yang sangat kritikal dan memalukan. Kutukan ini pernah disiarkan di media tempatan dan juga di media antarabangsa yang telah meletakkan kedudukan teksi Malaysia di tahap yang terburuk. Kini tiba masanya, kerajaan mengambil langkah migrasi teksi bandar sedia ada
kepada TEKS1M.

Tujuan migrasi ini adalah semata-mata untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan setaraf dengan perkhidmatan teksi seperti di London, New York, Tokyo dan Dubai.

Apabila satu model operasi teksi bandar diseragam dan lebih efisyen dapat dilaksanakan, yang pasti SPAD akan memperkenalkan dasar-dasar baru untuk penambahbaikan seperti;
  • Penetapan spesifikasi minimum kenderaan dan had usia lebih singkat, iaitu 7 tahun.
  • Ciri-ciri kenderaan yang lebih selamat (ABS, beg udara) dan selesa (ruang kaki & bagasi).
  • Penggunaan sistem tempahan dan penghantaran teksi yang berdaftar.
  • Insurans perlindungan kenderaan dan penumpang.
  • Pemandu menghadiri kursus latihan anjuran S.P.A.D.
  • Membenarkan penghantaran penumpang ke luar kawasan operasi berdasarkan permintaan.
  • Kadar tambang berdasarkan kos yang lebih seragam dan berpatutan.
  • Tanggungjawab pengendali dan pemandu yang lebih jelas.

Inisiatif tambahan pula adalah;
  • Penguatkuasaan (berterusan) – Peningkatan usaha-usaha dalam memastikan pemandu dan pengendali teksi mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
  • Kursus Latihan Pemandu Teksi (sedang dijalankan) – Menekankan aspek kemajuan budaya dan minda pemandu agar dapat menyumbang ke arah transformasi kerjaya pemandu & industri teksi
  • Driver Information System (sedang dimuktamadkan) - Pangkalan data berpusat untuk maklumat pemandu
  • Rasionalisasi kadar tambang (sedang dimuktamadkan) – Pendekatan sistematik dan konsultatif bagi penentuan kadar tambang teksi yang memberi fokus kepada aspek kualiti perkhidmatan dan kelestarian industri teksi
  • Centralised Taxi Service System (akan datang) – Infrastruktur teknologi yang membolehkan pemantauan prestasi perkhidmatan teksi dan mengintegrasikan sistem tempahan dan penghantaran teksi sedia ada.

Dengan ini, apabila pelan migrasi teksi dilaksanakan nanti, diharap tiada lagi rungutan dan kritikan malahan kita pasti dapat berbangga dengan peningkatan taraf teksi yang akan kita naik nanti.

Bukan itu saja, taraf pemandu-pemandu teksi juga akan dapat ditingkatkan dan secara langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka dan kerjaya sebagai pemandu teksi akan lebih dihargai.

Kebanyakan dari kita sebagai penumpang akan rasa lebih selamat apabila maklumat pemandu dipantau pihak SPAD dan yang paling utama, SPAD akan mewajibkan mereka menghadiri kursus latihan pemandu teksi.

Rasanya tidak sabar untuk melihat perubahan di atas inisiatif kerajaan melalui SPAD dan dalam tempuh 6 bulan dari sekarang, pasti pemandu teksi gembira, rakyat selesa dan maruah negara pun terbela di mata dunia.

Friday, March 14, 2014

LATIHAN KHAS SPAD SEBAGAI SYARAT PEMANDU TEKS1M


Pada bulan April 2013, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Program Perdana Teksi 1Malaysia dengan pemberian 1000 unit TEKS1M kepada pemandu-pemandu teksi yang layak.

Oleh itu, 1000 unit TEKS1M ini merupakan  permulaan kepada pengenalan kelas perkhidmatan baru dan merupakan sebahagian daripada agenda transformasi industrii teksi.

Sebagai keperluan di dalam dasar dan syarat operasi untuk menjadi seorang pemandu TEKS1M, pihak SPAD telah menganjurkan program latihan 2 hari kepada pemandu-pemandu TEKS1M. Di samping dijadikan sebagai syarat dan dasar, program ini juga adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara kita.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar telah hadir untuk menyampaikan sijil kepada  56 pemandu TEKS1M yang menjalani latihan ini, bertempat di ibu pejabat SPAD, KL Sentral, Kuala Lumpur.



Kursus dua hari ini menitikberatkan kemahiran dan pengetahuan yang berikut;

Hari Pertama
Peningkatan kesedaran diri, pembangunan minda dan menyuntik semangat bangga menjadi pemandu teksi

Hari Kedua
Perkhidmatan pelanggan, komunikasi dan tanggungjawab pemandu

Pemandu-pemandu TEKS1M akhirnya dapat manfaatkan latihan ini dengan menggunakan teknik berkomunikasi yang berkesan dengan penumpang. Di samping itu, secara langsung mereka  telah menjayakan diri dengan menjaga imej, nama baik dan kerjaya.

Mereka juga diajar teknik meningkatkan pendapatan  dan syarat  serta peraturan operasi. Akhirnya mereka berupaya memahami aspirasi, perancangan dan harapan SPAD.

2 orang pemandu telah diberi sijil penghargaan yang telah menunjukkan sifat terpuji semasa menjalankan tugas sebagai pemandu teksi. Mereka adalah;


En Muhammad Muhaimnin bin Abdullah telah menjumpai dan memulangkan  dompet yang mengandungi wang tunai, kad pengenalan, kad ATM bank dan kad kredit seorang Pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.

En See Meng Koe pula diberi penghargaan kerana telah memulangkan  semula kamera yang bernilai RM20,000 kepada seorang jurutera yang baru pulang berbulan madu di Langkawi.

SPAD berharap agar pemandu-pemandu teksi sebagai 'benchmark' kepada sistem pengangkutan awam yang lain.

Malaysia juga ingin mempamerkan kepada dunia, bahawa pemandu-pemandu teksi di negara ini terutamanya di sekitar Lembah Kelang adalah profesional dan berhemah. Ini dapat memberi keyakinan terutama pelancong-pelancong dari luar negara merasa selamat  dan selesa untuk mengguna perkhidmatan teksi. 

Rakyat dialu-alukan untuk mengingati yang berikut;

SPAD Aduan Hotline (1-800-88-7723), melalui email (aduan@spad.gov.my), via Twitter @aduanSPAD atau  Facebook rasmi SPAD.

Thursday, September 19, 2013

SPAD BERPUAS HATI DENGAN PUSPAKOM

Pada 24 Ogos 2011, SPAD telah menandatangani satu memorandum persefahaman bersama Puspakom Sdn Bhd (“PUSPAKOM”), bertujuan untuk bekerjasama bagi memastikan keadaan kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan adalah sah dan selamat.

Melalui memorandum persefahaman ini juga, kedua-dua pihak berhasrat untuk berkongsi maklumat dalam aspek mengesan, merekod dan mengambil tindakan susulan terhadap kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan yang gagal hadir untuk pemeriksaan mandatori di PUSPAKOM dan akan menyalurkan maklumat berkaitan kepada SPAD untuk tindakan lanjut.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pemberian 1,000 permit teksi individu di bawah program Teks1M dalam usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam selain meningkatkan pendapatan pemandu teksi di negara ini.

Semalam, satu lawatan kerja oleh SPAD ke Puspakom yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar bersama-sama
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD,  Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Dato' Paduka Che Hasni Che Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Hisham Othman dan Ketua Pegawai eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail.
 



Tan Sri sangat berpuas hati dengan proses kelulusan untuk batch pertama Teksi 1Malaysia (TEKS!M) di mana sistem pemeriksaan yang setaraf dengan peringkat antarabangsa. Setiap pemeriksaan adalah terperinci
meliputi chasis, nombor enjin dan ditentukan sistem itu sendiri dan setiap proses akan diberikan kelulusan. Setiap kenderaan yang telah melalui proses pemeriksaan ini akan diberi sijil kelulusan.






Pesanan Tan Sri agar memberi kepercayaan kepada PUSPAKOM dan jangan bergantung kepada andaian sendiri di mana sumbernya mungkin salah.

Tan Sri juga berharap agar TEKS1M pertama boleh dikeluarkan secepat mungkin dan akan menjadi penanda aras bagi kualiti perkhidmatan teksi di negara ini setelah melalui pemeriksaan PUSPAKOM.

1,000 Teksi 1Malaysia (Teks1M) ini akan dikecualikan daripada membayar fi pemeriksaan awal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bernilai RM70 seperti yang telah diumumkan SPAD pada 29 Julai 2013.

MEMPERKENALKAN TEKS1M

 
TEKS1M adalah inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama antara SPAD dan Proton di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) dan berikut adalah kelebihannya;
  • Lebih lapang & luas untuk keselesaan & simpanan beg
  • ABS, airbag & ciri-ciri keselamatan terkini
  • Kerusi kemasan kulit
  • Saluran penyaman udara khusus bagi penumpang
  • Sistem tempahan & dipatch (navigasi GPS)
  • Kemudahan kad kredit/debit
  • NGV pasang siap di kilang & meter

Friday, July 19, 2013

SPAD : TEKS1M EXORA... MODEL BARU PERKHIDMATAN TEKSI UNTUK RAKYAT MALAYSIA BANGGAKAN

Jika London terkenal dengan "London Cab" dan New York dengan "yellow cab", maka hari ini rakyat Malaysia mampu berbangga dengan TEKS1M Exora apabila pada hari ini kerajaan telah sempurnakan penyerahan lesen teksi individu kepada 1,000 pemandu teksi dalam satu majlis "Janji di Tepati Siri ke 2" oleh YAB Perdana Menteri.




Sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto BN di pilihanraya ke13 lalu, 500 lagi lesen teksi individu diserahkan pada hari ini. Terdahulu, pada 23 Mac 2013, di PICC sebanyak 200 lesen telah diserahkan dan pihak SPAD pula telah menyerahkan 300 pada April 2013 dan pada hari ini 500 lagi diserahkan. Apa yang dijanji dalam manifesto Barisan Nasional, tetap akan ditunaikan.

 
Adalah menjadi harapan PM agar TEKS1M Exora menjadi terkenal di seluruh dunia. Selaras dengan agenda transformasi negara, SPAD telah memperkenalkan Teksi 1Malaysia atau TEKS1M untuk memberi imej baru dan menjadikan teksi ini sebagai penanda aras atau benchmark.

CIRI-CIRI PAKEJ TEKS1M
  • 1,000 penerima lesen individu diwajibkan membeli dan menggunapakai kereta Proton Exora.
  • Melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia, setiap pemandu teksi yang akan membeli Proton Exora akan mendapat bantuan RM5,000.
  • Harga kenderaan dikecualikan dari  cukai jualan dan cukai kastam.
  • Tiada wang pendahuluan.
  • Kadar pinjaman 2% dari BSN.
  • Pakej penyelenggaraan kenderaan di bawah harga pasaran.
  • Kos insuran komprehensif motor satu parti.
  • Insuran komprehensif perlindungan diri untuk tahun pertama.

Disamping memperagakan model teksi yang mampu dibanggakan, Perdana Menteri juga menyarankan agar tingkah laku dan kesopanan seseorang pemandu teksi dipertingkatkan dan diberi perhatian. Dengan ini, pihak SPAD telah menyediakan satu program akraditasi yang diwajibkan kepada pemandu-pemandu TEKS1M untuk memastikan standard kualiti perkhidmatan teksi yg diberikan mengikut standard yg ditetapkan.

PERKHIDMATAN TEKS1M YANG TERBAIK

Pihak SPAD memperkenalkan sistem perkhidmatan teksi setempat di mana ia akan membantu pemandu teksi meningkatkan pendapatan melalui kemudahan yang mengintegrasikan semua sistem tempahan yang sedia ada dan memusatkan permintaan perkhidmatan teksi sebelum menghantar tugasan kepada pemandu teksi yang berada hampir dengan kawasan permintaan tersebut. SPAD juga sedang semak kadar tambang teksi setelah mengambil kira peningkatan kos operasi.

DS Najib juga ingin mengingatkan bahawa tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia. Pemandu-pemandu TEKS1M disarankan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk kepuasan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi kepada pelancung-pelancung luar negara.

Semoga model baharu perkhidmatan TEKS1M di Malaysia ini dapat memberikan satu taraf hidup dan kualiti hidup yang sangat bermakna kepada pemandu-pemandu teksi.

Kini telah tiba masanya rakyat Malaysia berbangga dengan TEKS1M yang akan menjalar di seluruh negara pada awal September ini.