Memaparkan catatan dengan label Kisah Teladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Teladan. Papar semua catatan

Selasa, 10 Julai 2012

Kisah Cincin Nabi Sulaiman Dicuri Ifrit

Salah satu daripada mukjizat yang diberikan oleh Allah swt pada Nabi Sulaiman a.s. adalah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah swt. Adapun setiap sesuatu yang tertulis padanya nama para Nabi dan nama Allah tidak boleh dibawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang hina seumpama tandas, tempat-tempat maksiat dan seumpamanya juga tidak boleh dipakai ketika tidur dan ketika berhadas besar.






Kerajaan Nabi Sulaiman a.s. masyhur serta luas kekuasaannya sehingga anginpun tunduk atas segala perintahnya. Maka ini memudahkan Nabi Sulaiman a.s. untuk pergi ke suatu tempat yang dihajati dengan tidak perlu berkenderaan. Cukup sekadar memerintahkan angin membawanya terbang di atas permaidani sekiranya baginda yang diiringi oleh pembesar-pembesar kerajaannya mahu menziarahi daerah kekuasaan baginda yang luas itu.



Pada suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesar kerajaannya pergi menziarahi salah sebuah daerah kekuasaan baginda dengan berkenderaan permaidani yang diterbangkan angin sehingga baginda melalui sebuah perkampungan nelayan yang terletak di tepi laut. Ketika itu kelihatan penduduknya sedang menjemur ikan. Di antaranya terdapat gadis-gadis yang turut serta menjemur ikan. Dari kalangan para gadis itu, ada seorang gadis yang amat hitam rupanya dan tidak menarik perhatian kaum lelaki.



Apabila Nabi Sulaiman a.s. dan para pembesarnya melalui tempat itu, maka penduduk kampung menjadi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja cuaca menjadi redup. Lalu merekapun mendongak dan mendapati rombongan Nabi Sulaiman a.s. sedang melalui kawasan itu.



Sedang mereka dalam keadaan itu, berkatalah gadis yang hitam rupanya tadi: “Alangkah bahagianya aku sekiranya aku menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s.”



Apabila teman-temannya yang lain mendengar ucapan gadis itu, mereka lalu mentertawakannya dan mengejeknya dengan kata-kata menghiris hati: “Wahai gadis tidak tahu diri, sesungguhnya hasratmu sekadar impian. Rupamu yang hitam langsung tidak menarik perhatian. Inikan pula mahu bersuamikan Nabi Sulaiman yang hebat kedudukannya. Sedangkan kami yang mempunyai wajah menarik tidak bercita-cita untuk menjadi permaisuri baginda. Apakah engkau tidak sedar bahawa orang-orang lelaki di kampung kita inipun belum tentu mahu beristerikan engkau yang hitam legam lagi tidak menarik hati? Cukuplah engkau berangan-angan!” Riuh rendahlah suara mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.



Mendengarkan cemuhan dan hinaan mereka, merasa sayulah hati gadis yang malang itu. Dirinya ibarat pungguk merindukan bulan. Rupa yang buruk tidak dipinta. Akhlah yang baik lebih utama.



Setelah Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya selesai dari menjelajah ke daerah kekuasaan baginda, merekapun balik ke rumah masing-masing.



Setibanya Nabi Sulaiman a.s. di istananya, baginda berhajat untuk ke tandas. Sebelum itu, baginda melucutkan cincin yang bertuliskan nama Allah dan namanya, lalu diserahkan pada isterinya.



Pada masa itulah datang jin Ifrit menyerupakan dirinya sepertimana Nabi Sulaiman a.s, lalu menemui isteri baginda dan berkata: “Wahai isteriku, ambilkan cincinku tadi.” Tanpa merasa ragu, isteri baginda menyerahkan cincin itu pada Ifrif kerana menyangka dirinya Nabi Sulaiman a.s.



Apabila Nabi Sulaiman a.s. selesai melepaskan hajatnya, baginda meminta dikembalikan cincinnya tetapi isterinya berkata: “Sesungguhnya telah aku kembalikan sebentar tadi.” Nabi Sulaiman a.s. diam kehairanan. Kemudian baginda berkata: “Baru inilah aku meminta kembali cincin itu.” Tetapi isteri baginda tetap mengatakan bahawa ia telah diserahkan.



Nabi Sulaiman a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin itu telah dicuri oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana isterinya tidak mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya kepada sesiapapun jua.



Adapun Ifrit setelah ia mencuri cincin tersebut, iapun masuk ke dalam istana kerajaan dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat Nabi Sulaiman a.s. ke istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya duduk di atas singgahsana. Maka fahamlah baginda kedudukan perkara.



Lalu baginda berkata: “Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman, raja kamu yang sebenar.”



Jawab rakyatnya: “Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu bukan raja kami. Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di kerusi singgahsana. Kamu pendusta!”





Apabila rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun pergi meninggalkan istana, menuju dari sebuah perkampungan ke perkampungan yang lain dan menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman tetapi kesemua mereka menafikannya.



Akhirnya baginda pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di tepi laut, lalu baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai nelayan kepada seorang nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat baginda tanpa menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Raja Sulaiman.



Nabi Sulaiman a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan dengan baik dan baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpat mengenal jemu dan penat sehingga menghasilkan pendaptan yang lumayan dengan nelayan itu.



Pada suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari, baginda tertidur oleh sebab keletihan.



Tidak lama kemudian, datanglah anak gadis nelayan tersebut membawa makanan tengahari. Berkata si nelayan kepada anaknya: “Wahai anakku, panggillah Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita.”



Gadis tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur sambil dikipas oleh seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah terkejutnya gadis itu melihat keadaan yang luar biasa ini, lalu segera dikhabarkan kepada ayahnya. Apabila si nelayan menyaksikan sendiri perkara itu, ia pasti baginda bukan sebarangan orang tanpa mengesyaki baginda adalah raja Sulaiman. Mereka meninggalkan baginda sendirian sehingga akhirnya baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun menghadapi hidangan tengahari bersama-sama.



Setelah beberapa lama Nabi Sulaiman tinggal nelayan, maka nelayan itu bermaksud untuk mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman as tidak pula menolak kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman a.s. bersama gadis hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi isterinya suatu masa dahulu sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis itu menyedari bahawa Tuhan telah menjadikan impiannya suatu kenyataan.



Manakalah di istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar sebagai Nabi Sulaiman as memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia. Berpunca dari amarannya yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan cincin baginda yang dicurinya itu, kerana khianatnya cincin itu lalu dicampakkannya ke dalam laut yang kemudiannyaditelan oleh seekor ikan. Ifrit meninggalkan takhta kerajaan. Ketika itulah orang ramai baru menyedari kepalsuan orang yang selama ini mengaku dirinya Raja Sulaiman rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.



Segala sesuatu hanya Allah swt yang menentukan.



Sebagaimana biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman as keluar menangkap ikan sebagai memenuhi keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah ikan yang menelan cincin Nabi Sulaiman as ke dalam pukat mereka. Menjelang senja, kembalilah mereka ke rumah. Sebahagian daripada ikan yang ditangkap hari itu mereka jemur manakala sebahagian lagi dijadikan hidangan makan malam.



Tatkala isteri baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu, tiba-tiba ditemui dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan nama Nabi Sulaiman as dan nama Allah.



Segeralah isteri baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan cincin itu, baginda terus mengucap syukur sebanyak banyaknya kepada Tuhan kerana haknya telah dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa kasih terhadap isterinya semakin bertambah.



Setelah cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah sebenarnya Raja Sulaiman.



Nabi Sulaiman as bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat keadaan rakyat baginda yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga berhasrat untuk membawa isteri baginda bersama-sama tetapi merasa keberatan kerana ditakuti isterinya akan menjadi bahan ejekan berpunca dari kehitaman rupanya itu. Baginda lalu berdoa kepada Allah Taala supaya mengubah rupa isterinya yang hodoh itu menjadi cantik. Doa baginda dimakbulkan sehingga merasa cemburulah teman-teman yang pernah menghina dan mengejek isterinya dahulu.



Baginda beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata yang telah menyedari kesilapan meraka.



Kemudian pada suatu hari, dikumpulkanlah sekalian rakyatnya, baik dari golongan manusia, jin dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman ingin mengetahui siapakah yang telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan perbuatan durjana. Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut untuk bertemu dengan baginda.



Setelah sekalian rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir aalah jin Ifrit. Dengan ini, diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri cincin baginda. Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin terhadap Ifrit kerana telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai. Lalu Nabi Sulaiman as memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk menangkap Ifrit. Bangsa jin yang diperintah itu segera pergi mencari tempat persembunyian Ifrit.



Akhirnya ditemui Ifrit bersembunyi di batu karang di dasar lautan. Ifrit lalu dihadapkan kepada Nabi Sulaiman as dan baginda menghukum sesuai dengan kesalahannya.

Rabu, 2 November 2011

Kisah Para Wali - Ibrahim bin Adham part 2

Sang putera yang menyaksikan semua itu merasa iri hati. Ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Kemudian, dia merenung sejenak. Beberapa ketika kemudian, dia memerintahkan seorang pengawal supaya memanggil orang tersebut datang kepadanya. "Tetapi tunggu sehingga dia bangun dahulu, baru suruh dia ke mari!" titah sang putera.

Setelah si miskin itu berada dihadapannya, sang putera berkata, "Kulihat kamu makan roti dengan lahapnya. Adakah kamu merasa lapar ketika itu?"
"Benar, Putera!" jawabnya.
"Kemudian, kamu meneguk air dari kantung kulitmu. Adakah kamu merasa haus ketika itu?"
"Benar."
"Kemudian, kulihat kamu tertidur dengan nyenyaknya. Adakah kamu puas dengan semua itu?"
"Ya, benar."

Mendengar jawapan demikian, sang putera termenung. Dia berfikir, barangkali begitulah hidup yang sebenarnya, katanya dalam hati. Setelah merasa puas, kemudian sang putera menghadiahkan beberapa dirham kepadanya. Dengan mengucapkan terima kasih, si miskinpun beredar pergi.

"Bila nafsu manusia dapat merasakan kepuasan hanya dengan seperti itu, lalu apa ertinya kemewahan dunia ini bagiku?" rintih hati sang putera.

Pada suatu malam, ketika penghuni istana sedang terlelap tidur, putera itu meninggalkan istananya dengan menyamar sebagai seorang papa. Dia meninggalkan istananya yang menurutnya tidak mampu memberikan kebahagian hidup dan ketenangan jiwa. Baginya, kehidupan yang fana ini jika semakin diteguk akan menjadikannya semakin haus. Akhirnya, sang putera "meninggalkan" semuanya. Sejak hari itu, Abu Ishak mencurahkan hatinya dengan ibadah. Dia berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah dan memohon keredhaan-Nya.

Kisah Para Wali - Ibrahim bin Adham part 1

Dalam sejarah Islam, kita dapat melihat satu contoh seorang tokoh sufi terkenal yang bernama Ibrahim bin Adham. Nama lengkapnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham, lahir di Balkh dari keluarga bangsawan Arab. Beliau ialah seorang putera raja yang kaya raya lalu meninggalkan kerajaannya (sama dengan kisah Gautama Buddha) dan mengembara ke arah Barat untuk menjalani hidup bersendirian yang sempurna sambil mencari nafkah melalui kerja kasar yang halal hingga ia meninggal dunia di negeri Persia kira-kira tahun 165H/782M. Beberapa sumber mengatakan bahawa Ibrahim terbunuh ketika mengikuti angkatan laut yang menyerang Bizantium.


Putera adalah seorang yang taat beribadah dan sangat penyantun terhadap sesama manusia, lebih-lebih lagi pada orang miskin di negaranya. Setiap Jumaat dikumpulkan para fakir miskin di depan istananya dan "ditaburkannya" wang dirham ke halaman istana. Dia juga gemar memberi hadiah bagi orang yang dianggap berjasa, serta memberi zakat dan sedekah pada hari-hari tertentu.


Selama ini putera sering mengeluh kerana hatinya selalu diselubungi kegelisahan. Dia sendiri tidak tahu mengapa selalu merasa gelisah. Padahal, segala sesuatu telah banyak dimilikinya. Tidur tidak nyenyak, makanpun tidak sedap. Dia hidup bagai dibelengu rasa cemas yang dia sendiri tidak tahu dari mana puncanya.


Sering kali beliau menangis di atas sejadahnya pada malam hari, ketika semua penghuni istana terlelap. Dalam doanya dia meratap, "Ya Allah, bebaskanlah hambamu ini dari seksaan batin. Adakah ini semua kerana kesalahanku? Bukankah aku telah tunduk dan tawaduk kepada-Mu, Ya Allah..?"


Oleh kerana semalaman jarang dapat tidur, pagi harinya putera sering merasa letih dan mengantuk. Dia sering tertidur di atas kerusi empuknya yang diperbuat dari baldu buatan Persia. Namun baru sahaja terlena sejenak, beliau terbangun kembali, seolah-olah ada orang yang membangunkannya. Beliau termenung kemudian bangkit dari tempat duduknya dan berjalan mundar-mandir di serambi istana.


Pada ketika itulah, sang putera melihat di bawah bayangan istananya seorang fakir miskin sedang duduk dengan selesanya di atas tanah. Kelihatan orang itu baru sahaja melakukan satu perjalanan yang jauh kerana tubuhnya bermandikan keringat. Kemudian, dia membuka bungkusan comotnya dan mengeluarkan sepotong roti kering yang kusam dengan debu. Si miskin melahap roti itu dengan nikmatnya dan meneguk sebotol air dari kantungnya. Setelah roti dan minumannya habis, dia melunjurkan tubuhnya dan beberapa ketika kemudian dia sudah tidur dengan nyenyaknya.


Bersambung..

Ahad, 9 Oktober 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 3

Sambungan dari Kisah Ashabul Kahfi part 2

Saiyidina Ali a.s meneruskan ceritanya: "Raja itu bertakhta di atas singgahsana kekuasaannya selama 30 tahun. Selama dia berkuasa dalam kerajaannya, dia tidak pernah diserang penyakit sama ada penyakit ringan ataupun berat. Badannya sentiasa sihat. Ini yang menyebabkan raja itu tidak mahu bersyukur atas segala nikmat. Dia fikir dirinya kuat kerana tidak pernah terkena serangan sebarang penyakit seperti manusia lain. Dia menjadi raja yang sombong, derhaka dan zalim. Itu sebabnya dia sanggup mengaku sebagai Tuhan yang harus disembah.

Selang tidak lama kemudian, tepat pada hari ulang tahun Raja Diqyanus, tiba-tiba seorang hulubalang masuk dan  memberitahu tentera asing mahu menyerbu kerajaannya. Apabila mendengar berita itu, Raja Diqyanus menjadi gusar dan bingung sehingga menyebabkan mahkota yang dipakainya terjatuh ke lantai. Bukan sahaja mahkotanya yang jatuh, raja itu turut tergelincir dan jatuh daripada singgahsananya.

Kejadian itu mula membuka pemikiran pembantu setia raja yang cerdas bernama Tamlikha. Pada fikirannya tuhan tidak mungkin terjatuh, bingung dan sedih begitu. Dia merasakan sebagai tuhan, pasti semua itu tidak menimpa Diqyanus. Dia membuat kesimpulan, Diqyanus adalah manusia seperti orang lain. Dia tahu Diqyanus juga tidur, buang air kecil dan besar. Dia mengesahkan kepada dirinya sendiri yang rupa-rupanya Diqyanus hanya mengaku sebagai tuhan.

Akhirnya Tamlikha berjaya meyakinkan teman-temannya bahawa Diqyanus itu bukannya tuhan. Lalu mereka berenam mengambil keputusan untuk lari meninggalkan kota ke tempat yang jauh bagi menghindari raja yang durjana dan zalim itu. Mereka mahu mencari Tuhan pencipta langit dan bumi ini serta alam sekitarnya. Namun sebelum itu, Tamlikha menjual buah kurma dan mendapat wang sebanyak tiga dirham sebagai belanja dalam perjalanan. Lalu mereka berenam berangkat dengan menunggang kuda.

Setelah menunggang kuda sejauh hampir 3 batu, mereka berhenti lalu berjalan kaki. Setelah berjalan sejauh 7 farsakh (satu farsakh bersamaan 4.8 kilometer), mereka berhenti untuk berehat. Tidak lama kemudian, datang  seorang pengembala menghampiri mereka. Setelah pengembala tersebut megetahui bahawa mereka adalah golongan bangsawan yang lari dari raja yang zalim, pengembala tersebut ingin membantu mereka. Pengembala tersebut mempunyai seekor anjing yang bernama Qithmir.

Lalu pengembala tersebut membawa 6 orang bangsawan itu ke sebuah gua yang tidak jauh dari gunung. Anjing pengembala itu terus mengikuti kumpulan mereka dan dibiarkan sahaja oleh mereka. Akhirnya mereka sampai ke gua tersebut yang bernama Wahid atau Kheram manakala gunung tersebut pula bernama Naglus.

Setelah semua masuk ke dalam gua, tiba-tiba tumbuh pepohonan yang berbuah segar di hadapan gua itu dn terpancarlah mata air. Mereka makan buah-buahan dan minum air yang tersedia di tempat itu. Apabila tiba waktu malam, mereka masuk ke dalam gua kerana mencari tempat berlindung dan kemudian tidur. Anjing yang menyertai mereka juga mengikut masuk dan duduk serta berjaga-jaga di hadapan pintu gua.

Allah memerintahkan malaikat pencabut nyawa mengambil nyawa mereka. Kemudian, Allah memerintahkan matahari supaya mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kanan ketika terbit dan mencondongkan sinarnya ke dalam gua dari arah kiri ketika terbenam. Kemudian Allah memerintahkan dua malaikat membalik-balikkan tubuh mereka dari kanan ke kiri.

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2012/05/kisah-ashabul-kahfi-part-4.html

Jumaat, 7 Oktober 2011

Kisah Ashabul Kahfi part 2

Sambungan kisah lalu, 3 orang pendeta berjumpa dengan Khalifah Umar Al Khatab a.s lalu bertanyakan 7 soalan kepada khalifah. Khalifah Umar Al Khatab a.s tidak dapat menjawab soalan tersebut lalu meminta Saiyidina Ali a.s menjawabnya. Setelah Saiyidina Ali menjawab 4 dari 7 soalan tersebut, 2 orang pendeta tersebut memeluk agama Islam. Lalu pendeta yang ketiga meminta Saiyidina Ali a.s menceritakan kisah Ashabul Kahfi.

Lalu Saiyidina Ali a.s.pun bercerita kepada pendeta tersebut seperti berikut:

"Sejarah berkaitan kisah itu terjadi di negeri Romawi pada zaman dahulu iaitu di kota yang bernama Aphesus atau Ephesus. Namun selepas Islam datang, nama kota itu berubah dan diganti dengan nama Tarsus atau Tarse. Kini kota itu terletak di wilayah Turki.

Ketika itu penduduk negeri itu iaitu bangsa Aphesus mempunyai seorang raja yang baik. Masyarakatnya hidup aman dan sejahtera. Namun selepas raja yang baik itu meninggal dunia, Raja Persia yang bernama Diqyanus menyerbu negeri itu bersama pasukan yang besar dan kuat demi menguasainya. Dia seorang raja yang kafir, zalim dan bongkak. Tidak lama kemudian, akhirnya raja dan bala tenteranya berjaya mengusai Kota Aphesus. Dia telah merampas kota itu dan kemudian membina istana yang megah di situ."

Lalu pendeta ketiga tersebut meminta Saiyidina Ali a.s menceritakan perihal bentuk istana yang dibina oleh raja itu.

Saiyidina Ali a.s menyambung:

"Bangunan istana yang dibuat atas perintah raja itu berukuran 1 x 1 farsakh (satu farsakh berukuran 4.8 kilometer persegi, maka lebar istana itu lebih kurang 4.8 x 4.8 kilometer persegi). Tiang-tiang istana itu berjumlah 1000 buah dan semuanya diperbuat daripada emas. Begitu juga lampu-lampu istana berjumlah 1000 buah, semuanya dihasilkan daripada emas. Semua lampu itu tergantung pada rantai-rantai yang diperbuat daripada perak. Pada tiap-tiap malam, apinya dinyalakan dengan sejenis minyak yang mengeluarkan bau harum. Di sebelah timur serambi istana terdapat 100 buah lubang-lubang cahaya, demikian juga di sebelah baratnya. Hal ini bertujuan supaya matahari selalu menyinari ruangan itu.

Raja itu membuat sebuah singgahsana daripada emas. Singgahsana itu berukuran 80 x 40 hasta dan dilengkapi 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas. Di situlah orang bawahan kerajaan duduk dan bermesyuarat. Di sebelah kirinya juga disediakan 80 buah kerusi yang diperbuat daripada emas. Di situ tempat duduk para penguasa tinggi yang lain. Raja bersemayam di atas singgahsana dengan mengenakan mahkota kebesaran di atas kepalanya.

Mahkota raja itu diperbuat daripada kepingan-kepingan emas, mempunyai sembilan bucu, dan tiap-tiap bucunya bertaburan mutiara yang memantulkan cahaya laksana bintang-bintang menerangi kegelapan malam. Raja itu mempunyai 50 orang pelayan yang terdiri daripada anak-anak hulubalang. Semua hulubalang yang dipilih oleh raja memakai selempang dan baju sutera berwarna merah. Seluar mereka diperbuat daripada sutera yang berwarna hijau. Mereka dihiasi dengan gelang-gelang kaki yang indah begemerlapan. Setiap hulubalang memegang tongkat yang diperbuat daripada emas. Atas perintah raja, mereka berdiri di belakang raja selagi raja itu duduk di atas singgahsananya.

Selain hulubalang, raja juga melantik enam orang kepercayaannya sebagai menteri kerajaan. Mereka terdiri daripada anak-anak cendekiawan. Semua urusan kerajaan dipertanggungjawabkan kepada para menteri. Oleh itu, raja tidak membuat sebarang keputusan yang berkaitan peraturan kerajaan tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu. Maka, enam orang kepercayaan raja itu selalu berada di kiri dan kanan raja. Tiga orang berdiri di sebelah kanan dan tiga orang lagi berdiri di sebelah kiri raja.

Mereka yang berdiri di sebelah kanan raja ialah Tamlikha, Miksalmina dan Mikhaslamina. Manakala yang berdiri di sebelah kiri bernama Martelius, Casitius dan Sidemius.

bersambung: https://lautan-biru.blogspot.com/2011/10/kisah-ashabul-kahfi-part-3.html

Selasa, 9 Ogos 2011

Kisah Nabi Idris v.s. Iblis

Sahabat yang dirahmati Allah,

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

LATARBELAKANG

Disini adalah sedikit cerita mengenai latarbelakang Nabi Idris a.s. Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.Nabi Idris as menurut sesetengah riwayat, baginda bermukim di Mesir di mana beliau berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia.

Menurut buku berjudul The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris adalah sebutan atau nama Arab bagi Enoch, nenek moyang Nabi Nuh. Nama Nabi Idris as. yang sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT. Beliau dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia pilihan Allah sehingga Dia mengangkatnya ke langit. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahwa Nabi Idris wafat saat beliau sedang berada di langit keempat ditemani oleh malaikat Izrail. Beliau hidup sampai usia 82 tahun.

Nabi Idris as diutus oleh Allah Swt. untuk mengingatkan umat keturunan Kabil yang telah bersikap derhaka. Di kalangan bangsa Ibrani, beliau dikenal dengan nama Khunuh. Nabi Idris as belajar agama sejak kecil dari Nabi Syith as, putra Nabi Adam as. Nabi Idris as berdakwah kepada kaumnya dengan gigih, sehingga mendapat sebutan Asad al-usud, yang berarti "singanya singa". Ketika Nabi Muhammad Saw. melakukan Isra' Mikraj, beliau berjumpa dengan Nabi Idris as di langit keenam. Ketika itu Nabi Idris as memberi salam kepada Nabi Muhammad Saw. Kisah Nabi Idris tidak banyak diceritakan dalam Al-Quran. Namanya hanya disebut dalam surah Maryam ayat 56-57 dan surah al-Anbiya' ayat 85-86.


SAHIFAH
Nabi Idris as dikurnia oleh Allah Swt beberapa kepandaian. Beliau menguasai ilmu hisab, ilmu kaji bintang, menunggang kuda, dan menjahit pakaian. Selain itu, Nabi Idris as juga sangat tekun. Beliau belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Nabi Idris as telah pandai membaca Sahifah (lembaran tertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits as. Nabi Idris as menerima wahyu dari Allah Swt melalui malaikat Jibril sebanyak 30 Sahifah (Maryam 19:56-57). Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada umatnya.

Iblis akan datang menggoda dan menghasut anak Adam dalam semua peringkat. Tetapi Iblis amat sukar untuk menggoda para rasul dan para nabi yang bersifat maksum dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah swt seperti Nabi Idris as.

Walau Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Idris a.s, ternyata usaha-usahanya gagal kerana kedatangan Iblis sudah diketahui oleh Nabi Idris a.s. terlebih dahulu.

KISAH NABI IDRIS VS IBLIS

Pada suatu hari Nabi Idris a.s. didatangi seorang lelaki yang membawa sebiji telur. Ketika itu Nabi Idris a.s. sedang menjahit bajunya. Tanpa ucapan salam, lelaki itu terus menegur Nabi Idris, “Wahai Idris, bolehkah Tuhan kamu memasukkan dunia ke dalam telur yang sedang aku pegang ini?”

Dengan izin Allah SWT, Nabi Idris as tahu dengan siapa dia sedang berhadapan. Lalu berkata Nabi Idris as, “Datanglah dekat denganku dan tanyalah apa yang engkau hendak tanya.” Lelaki itu pun mendekati Nabi Idris as yang masih sedang menjahit.

“Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?” Lelaki asing itu mengulangi pertanyaannya.

“Tuhanku boleh memasukkan dunia ke mana sahaja, jangankan ke dalam telur yang engkau pegang itu, bahkan Dia boleh masukkan dunia ke dalam lubang jarum yang aku pegang ini.” kata Nabi Idris a.s.

Kemudian dengan pantas sekali baginda bingkas mencucuk mata lelaki itu dengan jarum yang ada di tangannya. Terperanjat lelaki asing itu dan dia tidak sempat berbuat apa-apa. Kelam-kabut dia melarikan diri meninggalkan Nabi Idris a.s. yang telah membutakan matanya.

Lelaki yang menganggu Nabi Idris a.s adalah Iblis laknatullah.

Pengajarannya :
1. Iblis akan datang untuk menggoda anak Adam, samaada terdiri daripada para Nabi atau manusia biasa dengan berbagai helah dan tipu daya. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dengan tipu muslihat Iblis.

2. Tips yang diajarkan oleh ulama untuk menghindari hasutan Iblis ini iaitu apabila ada keraguan atau was-was dalam hati cepat-cepat tinggalkan was-was tersebut dan terus ambil tindakan yang pasti. Contoh jika kita terlupa bilangan rakaat dalam solat samaada rakaat ke3 atau ke 4, ambil sebagai rakaat ke3 dan tambah satu lagi rakaat dan diakhiri dengan sujud sahwi.

3. Apabila berhajat untuk bersedekah atau ingin membuat sesuatu amal soleh, terus dilaksanakan. Jangan di tangguh-tangguh lagi kerana yang cuba melengah-lengahkannya adalah dari bisikan Iblis.

4. Senjata yang dapat menghancurkan Iblis :

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :”Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?”

Berkata Iblis, “Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Qur’an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku”.


Isnin, 8 Ogos 2011

Nabi Sulaiman Dengan Kubah Ajaib

Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang. 

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai- ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari, baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam kedalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga ke dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman. 

Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk kedalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas. 

Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajah kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada disitu. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakah mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa kehairanan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya. 

Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah redha diatas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah.



Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah redha diatas khidmat yang diberkan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan. 

Doa kedua-dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Alllah. Pada sutau hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuanya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkah Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini. 

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada didalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiada muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ketempat asalnya. 

Setelah kubah tersebut diletakkan ketempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa siksanya orang yang menderhakan kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ketempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

Khamis, 21 Julai 2011

KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Is mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya heran, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih heran lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagi manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.
Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu."
"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang saja."
"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.

"Akan saya teruskan!"
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semnejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus."
Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.
"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.
Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.
"Berhenti, jangan lanjutkan."
"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang."
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh heran, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"
Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahwa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan . Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."
Hadith Riwayat Muslim


Sumber: http://yudhim.blogspot.com/2008/07/kisah-perlawanan-antara-seorang-lelaki.html