02 February 2012

Nugget Ayam


Salam semua. Alhamdulillah dah masuk bulan Februari. Cepat sungguh masa beredar moga masa yang berlalu membuatkan kita makin dekat padaNYA dan melakukan kebaikan serta sentiasa memperbaiki diri.Bila cerita tentang masa ita suka dengan jadual masa ita sekarang, walaupun agak sibuk sejak ita membuka Page Simple Homemade Cake tapi bagi ita masa lebih terisi dengan sesuatu yang bermanfaat dan yang penting setiap hari ita tidak melakukan perkara yang sama. Terkadang terkejar-kejar juga, hanya sekarang untuk berblog masa ita agak terbatas. Bukan tak boleh curi masa tapi jika ita buka saja komputer mesti berebut dengan anak-anak jadinya kena la mamanya beralah. Untuk itu ita tak berkesempatan nak berblog siang-siang, hanya Fb je sempat ita tengok sekali sekala sebab senang menggunakan iphone.



Jangan berkecil hati ye kawan-kawan ita rindu sangat nak menaip dan mencuba resepi baru sambil ambil gambar dan menjenguk blog kawan-kawan yang lain tapi memang tidak berkesempatan. InsyaAllah moga ita lebih bijak menguruskan masa dan dapat berblog seperti biasa. Hari ini ita nak kongsikan resepi nugget yang ita buat untuk anak-anak. Anak-anak ita suka nugget, makan sambil tengok TV je. Biasa la musim sejuk begini perut cepat saja laparnya. Jadi biasanya ita frozenkan nugget ni dan bila diorang nak je selalunya waktu petang ita akan gorengkan. Bila dicucuk dengan mencucuk yang berbentuk-bentuk seperti didalam gambar tu berebut-rebut dioarang makan.. Alhamdulillah moga anak-anak terus sihat dan bijak, rasa satu kepuasan bila mereka makan dari hasil tangan mamanya..:)

Resepi ini adalah dari kak yani myresepi. tapi cara membuat tu ita ubah sedikit cara ita. Ita suka dengan resepi ini anak-anak pun suka. Fathnin kata macam makan nugget KFC...:) Kembang kempis sekejap hidung mamanya.. Terima kasih kak yani. bagi yang ingin membuat nugget sendiri boleh la mencuba resepi ini.


Nugget Ayam

Bahan-bahan

* 400g isi ayam
* 4 sudu besar mayonis
* 1 sudu kecil serbuk lada sulah
* 1/2 sudu kecil garam
* 100g okara/breadcrumbs
* 2 sudu besar tepung gandum

* Jika suka boleh letak 2 sudu kecil baking powder.

untuk kulitnya ita guna sebiji telur dan breadcrumb

Cara-cara

1. Masukkan isi ayam ke dalam pengisar.
2.Kisar sampai hancur. Kemudian masukkan bahan-bahan lain.
3.Kalau rasa kering boleh tambah mayonis.
4. Buat bentuk yang dikehendaki, adunan ni agak lembik sedikit , jadi caranya golekkan didalam tepung atau cara ita golekkan didalam bread crumb dan bentukkan.kemudian celup dalam telur dan salut dengan breadcrumb lagi sekali.
5.Kemudian goreng dengan minyak penuh.


18 September 2011

Ayam Panggang Tomato



Salam semua. Hampir 4 hari tak update blog mana pergi tuan rumah .. sakit perut sampai lupa blog.. Alhamdulillah perut dah baik walaupun belum la sepenuhnya mana taknya dah tahu memang jenis tak boleh kalau tak jumpa nasi jadinya cuba untuk menjauhkan nasi tambahan minggu lepas hubby agak busy dia tak makan dirumah, kalau masak nasi tentunya berlebih banyak sebab anak-anak ita memang kurang makan nasi, suka makan mee je jadinya ita tak masak nasi.. tu yang perut agak meragam masuk angin.. mood nak berblog dan main masak-masak pun hilang...:(Terima kasih bagi yang mendoakan agar ita cepat sembuh ye..:)



Hari ini ita nak share resepi ayam panggang tomato yang ita buat tengahari tadi. Hari ini tak kemana-mana mengahabiskan masa dirumah je. Ita masak ayam panggang tomato ni menggunakan resepi ita sendiri. Ita makan dengan nasi aswan dan dalca daging bersama sayur. Untuk resepi boleh tekan di link yang diberi. Alhamdulillah jadi la menu untuk makan tengahari dan makan malam kami. Bagi yang ingin mencuba boleh la cuba. Ayam panggang tomato ni rasa ala-ala ayam masak merah sikit hanya ita ada tambah beberapa bahan lain untuk bagi rasa yang lebih sesuai dan cara memasak secara pangang.

Untuk ayam ini ita guna ayam yang kecil sahaja iaitu 800g beratnya lebih kurang. bagi yang menggunakan ayam yang besar boleh tambah bahan-bahannya tu.




Ayam Panggang Tomato


Bahan-bahan

Bahan untuk kuahnya
seekor ayam bersaiz 800g
1/2 labu bawang merah sederhana dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
3 inci halia dikisar
1 biji cili hijau dikisar
sedikit kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang
4 sudu besar tomato dalam tin( atau tomato biasa 2 buji besar)
1 sudu kecil serbuk cili
1/2 sudu kecil cajun
sedikit rosmary
1 sudu besar madu
sedikit garam
1 sudu besar marjerin
bijan hitam untuk hiasan

Bahan perapan
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
sedikit kunyit
sedikit garam



Cara-cara

  1. Bersihkan ayam dan lumurkan dengan bahan perapan.
  2. Sementara itu kisar semua bahan yang perlu dikisar
  3. masukkan mentega didalam periuk setelah cair dan panas masukkan bahan kisar dan kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang. tumis sebentar.
  4. masukkan serbuk cili yang telah dibancuh sedikit air, masak sebentar
  5. masukkan serbuk cajun, rosemary, tomato.
  6. setelah itu masukkan madu dan masukkan garam. ingat garam pun ada pada ayam yang diperap jadi hati2 dengan rasanya.
  7. setelah itu tutup api dan lumur pada ayam yang diperap tadi. taburkan bijan hitam.
  8. bakar dalam oven 180 selama 20 minit . Kemudian terbalikkan ayam dan letakkan kuah ayam tadi diatas ayam supaya ayam tidak kering.
  9. bakar lagi 30 minit dengan api 170. jika masih belum perang dan masak boleh tambah masa mengikut oven masing2. siap untuk dihidang.


24 August 2011



Salam semua. Syawal semakin menghampiri dan Ramadhan bakal berlalu. Moga kita sama-sama dapat bertemu kembali Ramadhan yang bakal dirindui ini tahun hadapan. InsyaAllah..

Hari ini ita nak share resepi Easy Parmesan- garlic Chicken @ Ayam Bawang putih bersama keju Parmesan yang ita ambil dari buku "busy Family Recipes" oleh kraftfood. Ita baru beli sebenarnya buku ni. Nampak menarik semua menu-menu didalamnya. Ita buat menu ni pada hari Ahad baru-baru ni. Kisahnya ita keluar beli barang dapur balik lagi 1 jam 30 minit je masa nak berbuka. Solat asar sekejap terus bersilat didapur dalam fikiran tak sempat nak masak menu nasi terus fikr masak pasta carbonara, Ayam Bawang putih bersama keju Parmesan ni dan salad dan kuih karipap yang difrozenkan.. alhamdulillah semuanya cepat masak dan jadila menu berbuka kami pada hari tu..:)



Bagi yang ingin mencuba resepi ni bolehla mencubanya. Ia sedap jika dimakan bersama salad dan sos cili bagi yang inginkan pedas. Resepi dari Busy Family Recipes.



Ayam Bawang Putih bersama Keju Parmesan


Bahan-bahan

3-4 ketul ayam ( bahagian dada)
3 sudu keju Parmesan ( Lebih pun tak pe bagi yang suka)
1/2 sudu serbuk bawang putih ( boleh gantikan dengan bawang putih cincang)
sedikit oregano
sedikit basil
sedikit cayanne ( jika inginkan pedas)
sedikit lada sulah
secubit garam

Cara-cara.

  1. Panaskan oven 180 c
  2. Potong ayam bagi nipis dan memanjang.
  3. Lumurkan semua bahan-bahan diatas ayam tersebut dan perap seketika.
  4. Setelah itu bakar di dalam oven selama 25-30 minit sehingga masak.


01 August 2011



Salam semua. Alhamdulillah sampai juga ke bulan Ramadhan yang mulia ini. Moga kita diberi kekuatan untuk menjalani ibadah ini dengan baik dan sempurna InsyaAllah. Dikesempatan ini juga ita ingin memohon ampun dan maaf diatas ke terlanjuran jika selama berblog ada terbuat kesilapan tanpa disedari kepada kawan-kawan di alam maya ini. Moga puasa kita diterima disisi Allah hendaknya.

Dua hari sebelum ini agak padat jadual hingga tak sempat nak online untuk menerima kad maya dan ucapan selamat berpuasa dari kawan-kawan. Ada program sebenarnya sebelum menyambut puasa hari ini tetapi tetiba program terpaksa ditukar disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan. Apa-apa pun cuti dimanfaatkan dengan kunjungan kerumah kawan dan semestinya membeli belah barang-barang keperluan menyambut ramadhan.



Sekadar berkongsi menu yang ita cuba minggu lepas. Bulan puasa pun asyik tayang menu je yek. Bukan apa sekadar memberi idea dan semangat untuk masak yang sedap-sedap buat keluarga buat juadah berbuka. Ita memang suka juga blogwalking kerumah kawan-kawan untuk mendapatkan mood memasak dan memberi idea apa menu yang akan dimasak buat makan berbuka. Bukan makanan yang enak yang menjadi sasaran tetapi merasakan tidak salah menjamu keluarga dengan makanan yang berkhasiat dan istimewa moga semakin erat kasih sayang antara kami.

okla mari kita lihat resepi Nasi oren yang dikongsi bersama oleh kak Amie. Sedap-sedap kalau pergi rumah kak amie ni masakannya buat kita bersemangat nak masak. Untung family kak amie sebab kak amie rajin ke dapur. Terima kasih kak atas perkongsian resepi ni. Kata kak amie resepi asal dari Majalah rasa. Ita buat juga seperti kak amie iaitu Ayam Lemon Madu untuk digandingkan dengan nasi oren ini.





Nasi Oren

500gm beras basmathi
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
50gm mentega
2 sudu makan jus oren - perah jus sebiji limau Sunkist pun boleh
3 sudu makan stok ayam - dicampur
bersama dengan air (jadikan 4 cawan)
1 biji buah oren - dihiris nipis
Garam secukup rasa
Lada sulah secukupnya
1 helai daun pandan
Sedikit pewarna kuning
* kak Amie tambah hirisan halia dan 1/2 cawan kismis

Cara memasak:
1. Basuh beras sehingga bersih.
2. Panaskan periuk dan masukkan butter, kemudian tumiskan bawang merah dan putih yang telah dikisar serta daun pandan sehingga naik bau.
3. Setelah itu, masukkan beras yang telah dibasuh tadi dan kacau sehingga sebati.
4. Kemudian masukkan stok ayam dan jus oren ke dalam tumisan tadi.
5. Selepas itu masukkan garam dan lada sulah secukup rasa. Kacau sebati.
6. Tutup periuk dan tanak sehingga masak.
7. Setelah nasi siap di masak titikkan pewarna kuning dalam 2-3 titik untuk menambah warna pada nasi tadi.
8. Sedia dihidangkan.


Ayam Lemon Madu

Bahan-bahan:
1/2 kg ayam - dipotong kecil
3 sudu besar kicap
2 sudu besar sos cili
2 biji lemon - ambil jusnya
1 1/2 sudu besar madu
1 sudu besar minyak sayuran
3 cm halia - mayang halus
3 ulas bawang putih - cincang
1/2 cawan susu cair
1/2 kiub ayam
1 sudu besar tepung jagung
1 1/4 cawan mentega
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara Menyediakan:
1. Bersihkan ayam dan gaulkan dengan kicap, jus lemon, sedikit minyak sayuran serta madu. Perap selama 1/2 jam.
2. Goreng ayam yang telah diperap tadi hingga garing.
3.Tinggalkan sedikit minyak goreng ayam di dalam kuali tadi dan tambahkan mentega. Tumis halia, bawang putih hingga naik baunya.
4. Kemudian masukkan sos cili dan susu sejat. Biarkan mereneh dan masukkan garam secukup rasa.
5. Masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air. Apabila agak pekat sedikit, masukkan ayam yang telah digoreng.
6. Kacau agar sama rata dan kuah sebati dengan ayam.
7. Angkat dan hidangkan.

Alhamdulillah sempat juga sempat juga mengakut kad-kad ucapan untuk digantung disini. Terima kasih buat kak nor, Noorsha, Kak ummi, izah dan Along Roz. Selamat berpuasa..:)



Kad dari Along Roz


Kak Ummi


kak Nor secubit garam


Noorsha..


Izah

21 July 2011

Nasi Ayam Hainan




Salam semua. Sudah hari khamis hari ni. Bagi yang berpuasa sunat hari ni semoga kebaikan dan keberkatan akan dikecapi InsyaAllah. Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Ramadan al-Mubarak moga tahun ni kita akan sama-sama mengecapi kemanisan dan keindahan dibulan yang mulia ini.

Semalam ita cuba resepi Nasi Ayam Hainan. Selalu buat nasi ayam madu je hari ini cuba versi yang lebih sihat iaitu ayam yang tidak perlu digoreng. Anak-anak ita nasi ayam memang suka jadi nak bagi makan banyak buat nasi ayam. Tentu berselera makan belum nasi masak lagi dah lapar minta nak makan sebab bau harum nasi ayam tu membangkitkan selera. ..:) Banyak juga resepi yang ita cuba cari dan ita tertarik dengan resepi dari blog resepi raidah ni. alhamdulillah memenuhi citarasa kami.


Okla bagi yang inginkan resepi nasi ayam dan ingin mencuba versi ayam yang tidak digoreng boleh cuba resepi ini. Terima kasih pada tuan punya resepi.. Saya kongsi disini ye..



Nasi Ayam Hainan


Bahan-bahan:
Bahan untuk rebus ayam:
1 ekor ayam
Air ~ mesti cukup untuk tenggelamkan ayam
Garam
Serbuk pati ayam ~ kalau suka
2 inci halia ~ diketuk

Cara penyediaan:

  1. Sediakan periuk, letak air, garam, dan halia yang diketuk.
  2. Didihkan.Masukkan ayam . Masak anggaran 30- 40 minit. Angkat dan toskan.

*
~ Cucuk peha ayam untuk tahu jika sudah masak. Ayam tidak boleh direbus terlalu lama takut dagingnya tidak sedap jadi, pandai2 untuk agak. Jika tidak berdarah,bolehlah angkat ayam dan toskan airnya. Biarkan ayam betul-betul sejuk baru dipotong kalau tidak takut dagingnya hancur.
~ Resepi asal, ayam yg telah direbus perlu direndam di dalam air ais selama lebih kurang 10-15 minit. tetapi saya tidak merendam ayam tersebut.- ita pun sama

Untuk nasi:
3 cawan beras
5 cawan air rebusan ayam - jika beras lembut kurangkan airnya bergantung kpd jenis beras yg digunakan
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
Garam
1 sudu besar majerin
1 sudu besar minyak masak
ita tambah kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan ketumbar dan ditumis bersama bahan tumbuk.

Cara penyediaan:
1. Beras dibersihkan kemudian ditoskan.
2. Panaskan majerin dan minyak, masukkan bahan-bahan tumbuk kemudian goreng hingga wangi.
3. Masukkan beras, goreng beras sebentar baru masukkan air rebusan ayam dan garam.
4. Tanak hingga masak.

*Resepi yg sebenarnya menggunakan lemak/kulit ayam tapi saya tidak menggunakannya.

Untuk sup:
Air rebusan ayam
Daun sup ~ dihiris
ita tumis sekali bahan tumis nasi dan sup kemudian asingkan untuk buat sup dan nasi.ita letak juga kentang dan lobak merah. ita tambah juga 1 sudu kecil serbuk lada putih.

Cara penyediaan:
~ bahan tumisan dicampur dengan air rebusan ayam tadi dididihkan.masukkan lobak merah dan kentang. Letaklah garam secukup rasa. Hidangkan bersama hirisan daun sup.

Untuk sos cili:
10 biji cili merah
1 inci halia
2 ulas bawang putih
1 sudu besar gula
Garam
2 sudu besar jus limau nipis
1/2 botol sos thai

Cara penyediaan:
1. Kisar cili merah, halia. bawang putih dan jus limau.
2. Masakkan dalam periuk. Masukkan gula, garam dan sos thai.

Untuk sos kicap:
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar kicap manis
5 sudu besar air rebusan ayam
1 sudu besar gula

Cara penyediaan:
Campurkan semua bahan dan masak di atas dapur sehingga mendidih.

Bahan sampingan:
1 batang timun ~ dihiris
2 biji buah tomato ~ dihiris
Salad ~ dihiris
Bawang goreng ~ ditabur di atas nasi dan di dalam sup
Minyak bijan ~ taburkan ke atas ayam yg telah dipotong.

28 June 2011



Salam semua. Terima kasih bagi yang sudi jenguk dan singgah di blog ita ni. Bagi ita blog ita adalah terapi yang terbaik buat masa ini untuk Ita sebab dengan nya blog ini ita curahkan apa yang ita ingin pertingkatkan kemahiran dalam diri ita, kemahiran memasak, kemahiran mengambil gambar, kemahiran menulis walaupun terkadang ayat macam lawak je bila baca balik.. tapi ia mengajar ita kreatif untuk melakukan sesuatu tambah bila masak, mengambil gambar Ita ingin menyampaikan sesuatu itu dalam keadaan terbaik bagi kemampuan ita. Ita amat gembira dengan apa yang ita lakukan setelah seharian dirumah melayan anak-anak dan duduk saja dirumah bila pandang je blog ita ni dan kawan-kawan yang datang rasa happy tak terasa kosong tanpa aktiviti.

Terkadang ia juga mengajar ita untuk lebih bijak menguruskan masa agar tidak lengah sebab bukan senang nak ada komitmen dengan blog ni dengan nak masukkan entry dan melawat hasil kerja kawan-kawan blog yang lain. Seperti yang ita bagitahu sebelum ini melawat blog kawan-kawan dengan membalas setiap komen diblog mereka adalah tanda terima kasih kerana sama-sama berkongsi kegembiraan dan kesukaan yang sama...:)Walaupun kadang ada juga suara-suara yang kurang sedap didengari namun blog ini adalah terapi buat ita jadi ita biarkan saja suara-suara yang kurang sedap didengar tu..:)



Nasi kebuli adalah menu berbuka puasa semalam. Seperti yang pernah ita katakan sebelum ni ita memang suka masak nasi berperisa ni. Seisi keluarga memang mengemarinya. nak masak pun mudah.. ita buat sikit je untuk makan sekali je waktu berbuka. Sedap nasi ini. Suami ita pun kata sedap. .. Alhamdulillah suka bila masakan yang dimasak disukai oleh suami dan anak-anak.

Untuk gandingan dengan nasi kebuli ita gandingkan dengan ayam goreng tandoori, dalca daging dan acar mentah. Okla jom kita lihat resepi nasi kebuli yang ita ambil dirumah kak ummi dan resepi asal dari tulip.



NASI KEBULI

Untuk membuat mengikut bilangan isi rumah perlu la diubahsuai sendiri..

Bahan-bahan:-

  • 900 g beras -basuh dan toskan
  • 2 biji kelapa parut
  • 5 sm halia
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun limau purut
  • 2 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • minyak ghee utk menumis/ ita guna minyak canola

Untuk Hiasan:-

  • 2 biji telur (didadar) - ita tak buat pun
  • kismis
  • bawang goreng (untuk hiasan)

Bahan giling:

  • 2 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 2 sudu teh serbuk kunyit
  • Sedikit garam
  • setengah labu bawang merah, 3 ulas bawang putih, sedikit halia- yang ini ita tambah sendiri

Cara Memasak :

  1. Kelapa diperah ambil santan secukupnya untuk masak nasi.
  2. Panaskan minyak ghee,masukkan rempah-rempah, daun limau purut, halia, serai serta bahan giling dan masak hingga naik bau.
  3. Masukkan santan & garam tunggu mendidih.
  4. Masukkan beras dan masaklah hingga tanak nasinya.
  5. Taburkan telur dadar, kismis & bawang goreng diatasnya bila menghidang.




AYAM TANDOORI GORENG

Resepi asal :Chef hanieliza

Bahan
1 ekor ayam [potong kecil dan bersihkan]
1 paket rempah tandoori
3 s/b cili mesin
1 s/b serbuk kunyit
5 s/b tepung goreng ayam
3 ulas bawang merah ]
2 ulas bawang putih ] mesin halus
2 inci halia ]
garam

Cara
1. Gaulkan semua bahan dan perapkan selama 1/2 jam
2. Gorengkan dalam minyak yg banyak sehingga garing.

21 June 2011




Salam semua. Semalam ita dah share resepi Nasi Arab yang sedap dan memang dicadangkan untuk dicuba bagi yang belum mencubanya. Nasi Arab tersebut Ita padankan dengan Ayam Panggang Lada hitam dan resepi ini amat mudah dan menyelerakan. Suami ita memang suka ayam yang dipanggang sebegini jadinya ita cuba mencari pelbagai resepi ayam panggang untuk dicuba. Lagipun senang nak makan anak-anak pun menggemarinya.

Resepi ini ita ambil dari dapur kak hana. Ia amat mudah dan menyelerakan. Ita kongsikan disini ye kak..



Ayam Panggang Lada Hitam


Bahan-bahan

* 1/2 ekor ayam size kecil
* *1/2 labu bawang putih- parut
* *2 inci halia - parut
* 1 sudu besar lada hitam - tumbuk kasar
* 2 sudu besar kicap manis/pekat
* 1 sudu besar sos tiram
* 2 sudu besar madu
* garam sedikit
* minyak zaitun

Cara-cara

* Gaul ayam dgn halia,bwg putih, kicap, lada hitam, sos tiram, madu, dan sedikit garam. Masukkan dalam mangkuk tahan panas/loyang. Perap sekurang2nya 2-3jam atau semalaman.
* Panaskan oven. Curahkan minyak zaitun ke atas ayam (boleh tukar butter) dan bakar suhu 180 selama 1jam atau sehingga ayam masak. Setiap 20min jirus2kan air ayam yg keluar ke atas ayam supaya permukaan atas tidak terlalu kering.



Untuk sayur bagi dipadankan dengan ayam panggang lada hitam ini ita padankan dengan taugeh celur. Resepi yang simple tapi memang menyelerakan. Resepi dari Che iza my resepi.


Taugeh Celur


Bahan-bahan
  • 150 gm taugeh
  • * 2 sb air panas
  • * 1/2 sk serbuk pati ayam
  • 1/2 sk kicap pekat
  • 1 sb kicap manis
  • 1 1/2 sb sos tiram
  • 1 sk minyak bijan / minyak bawang putih
  • sedikit lada sulah
  • secubit garam (sekiranya sos tiram yg digunakan tak masin)
  • seranting daun kesum- ita tambah
Cara-cara
  1. Celur taugeh, jgn lama takat 1 min jer. Toskan airnya dan ketepikan
  2. Satukan bahan bertanda *. Sekiranya buat nasi ayam lg sedap gunakan kuah sup. Ambil 2sb sebagai ganti air panas.
  3. Satukan bahan bertanda * dan bahan yg lain, siap sos. Tuang sos keatas taugeh celur tadi.
  4. Sebelum dihidang taburlah dgn hirisan daun bawang, lada merah dan bawang goreng.

31 May 2011

Menu ala KFC


Salam semua.. ini penangan orang berpuasa semalam tetiba teringin nak makan ayam KFC dan setnya. Nak beli disini almaklum la tak boleh nak makan jadi isteri juga kena googlekan mencari resepi. nasib baik senang nak cari resepi dihujung jari je.. ngehngeh.. Alhamdulillah dapat juga pujian dari yang mengidam nak makan KFC sebab resepi ni memang sedap.. Untuk rasa seperti makan di restoren KFC kena ada la side dishesnya.. buat juga nasi ayam, coleslaw, kentang putar bersama sosnya.. Kekadang rasa bagus juga ada rasa-rasa nak makan sesuatu yang baru ni sebab dapat juga ita belajar masak menu2 yang lain-lain sikit. Tak la asyik menu yang sama jekan... Sebab duduk dijepun ni nak kena fikirkan menu dari breakfast sampai la dinner.. kalau dimalaysia kadang senang je nak skip sebab mana2 ada jual makanan halal.. syoknya... resepi ayam ni ita ambil disini tapi ita ada tambah sikit2.. mengikut kesesuaian...


sumber: Myresipi
resepi ini telah diubah suai mengikut kesesuaian ita.. untuk resepi asal klik dilink atas.

Bahan-bahan ( 6 ketul )

Perap
  • 6 ketul ayam
  • 2 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 1 sudu kecil rempah kurma -ita tambah
  • sedikit basil - ita tambah
  • sedikit oregano - ita tambah
  • 1/4 sudu kecil serbuk bawang putih(optional)
Untuk disalut
  • 1 biji telur
  • 1/2 cawan susu(fresh milk)
untuk disalut selepas telur
  • 1/2 cawan Tepung jagung
  • 1/2 cawan Tepung gandum
  • 1 sudu serbuk cili

Cara-cara

  1. Bersihkan ayam. Buang kulit kalau tak suka. Sejatkan airnya.
  2. Gaul ayam dengan bahan perapan selama beberapa jam.
  3. Ita masak sedikit ayam didalam microwave supaya bahagian ayam masak. Ita masak dalam 10 minit.
  4. Campurkan susu dengan telur dan pukul sehingga sebati. Kemudian panaskan minyak.
  5. Ambik 2~3 ketul ayam. Masukkan ke dalam bahan salutan tepung tadi. Goncang-goncangkan beg plastik.. biarkan ayam bersalut dengan tepung. Kemudian keluarkan ayam tadi. Celup pula ke dalam sebatian telur dan susu. Masuk semula ayam ke dalam beg plastik. Goncang-goncangkan. Kemudian goreng dengan minyak penuh sehingga perang atau garing.
  6. Angkat dah letakkan di atas bekas yang berlapik dengan kitchen paper supaya minyak meresap pada paper.
  7. Ulang langkah ke 5 sehingga ayam habis. Hidangkan ketika panas-panas



Kentang putar dan sos

5 biji kentang sederhana besar
4 sudu susu segar
sedikit garam
sedikit lada hitam

Cara-cara

1. Kupas kentang dan rebus hingga empuk. Lenyekkan sewaktu masih panas dan masukkan susu, garam dan lada hitam. ketepikan.

Sos kentang putar

sumber : myResipi
bahan-bahan

  • 650 ml air
  • 5 sudu besar stok ayam (sy guna brand Maggi)
  • 1 biji bawang besar - cincang
  • 1 batang saderi - cincang
  • 40 gm mentega
  • 20 gm tepung gandum
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • sedikit serbuk lada hitam
  • kicap pekat
  • garam

Cara-cara

  1. Masak air dengan stok ayam,saderi dan bawang besar hingga mendidih.Renihkan dalam 10 minit.Tapis ke dalam mangkuk.
  2. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum.Kacau atas api kecil hingga tak melekat pada tepi periuk.
  3. Tuang air rebusan sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya tak bergentel.
  4. Masukkan sos tomato dan sos tiram, juga beberapa titik kicap pekat (kicap utk bagi warna).Masukkan juga serbuk lada hitam dan garam.
  5. Masaklah ikut pekat mana yg disukai.
  6. NOTE: rasa dulu baru letak garam sbb stok ayam dan sos tiram dah masin.


10 May 2011


Disebabkan Fathnin dan Fateh suka makan nasi Mandhi kelmarin jadi semalam cari lagi resepi nasi-nasi berperisa begini. Tengah diorang ada mood nak makan nasi-nasi gini layan kan je tekaknya.. sambil mamanya boleh juga belajar masak2 menu-menu yang best macam ni..:P nasi lobak merah ni saya pun rasa sedap .. ( semuanya sedap mana tak badan naik.. huhuuhu). Warnanya original tak payah guna perwarna sebab warna oren lobak merah tu turun pada nasi tu. cantik nampaknya.. berselera jadinya ( lagi ayat bahaya). Dalam resepi tu kena parut lobak merah tu tapi saya takde pemarut jadi potong kecil2 dan masuk air sikit jangan banyak lepas tu blender hingga halus. Masak pun mudah hanya kena pastikan air kena mengikut sukatan yang betul supaya nasi nampak cantik dan peroi. Untuk menu ni saya cari didapur kak ummi yang pandai dan rajin masak tu.. kagum saya wanita berkerja pun boleh masak macam2 untuk suami dan anak2 dan update blog.. untuk padanan kali ni saya padankan nasi lobak merah ni dengan ayam bistik, daging tumis bersama sayur kangkung, kerabu mangga dan popadam. Tapi popadam lupa nak interprem plak waktu amik gambo ni.. jadi layan la gambo nasi ni diselitkan gambar anak2 yang nak masuk sekali waktu mama diorang tgh sibuk2 nak ambil gambar nasi..


NASI LOBAK MERAH
Sumber : Ayu Curlybabe's Satisfaction
diambil di : home sweet home

Ingredients:-

  • 1kg beras beriani-(1kg basmathi rice)
  • 6 biji lada hijau dipecah2-(6 green chillies bruised)
  • 1 sudu teh jintan halus-ditumbuk kasar2-(saya gunakan serbuk aje)-(1 tsp cumin, grounded coarsely, I just used powdered ones)
  • 1 cawan minyak kacang-(1 cup cooking oil)
  • 1 sudu besar minyak sapi-(1 tbsp ghee oil)
  • 3 batang lobak diparut -(3 carrots shredded)
  • 300g buah tomato dipotong halus-(300g tomatoes sliced thinly)
  • *6 biji bawang putih ditumbuk halus-(6 garlics minced)
  • *2cm halia ditumbuk halus-(2cm ginger minced)
  • 2 biji bawang besar dihirs-(2 large onions sliced)
  • 4cm kayu manis-(4cm cinammon bark)
  • 3 biji buah pelaga-(3 cloves)
  • 3 biji bunga cengkeh-(3 cardamons)
  • garam-(salt)
Method:-
  1. Sukat air 1,100ml lalu ketepikan dulu.
  2. Beras dicuci lalu toskan, gaul dengan lobak parut. Panaskan minyak sapi dan minyak kacang.
  3. Tumiskan bawang besar, bahan2 tumbuk*, lada hijau dan jintan. Kacau sampai garing.
  4. Lalu masukkan tomato, buah pelaga, kayu manis, bunga cengkeh dan air.
  5. Bila mendidih, masukkan beras dan garam, masaklah hingga tanak-(saya masukkan kedalam rice cooker dan masak seperti biasa).

AYAM BISTIK
Sumber: Dayangjack

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ayam sederhana (dipotong dan digoreng biasa hingga 3/4 masak)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 50 g rempah beriani + 2 sudu makan serbuk cili (dibancuh dgn air)
  • 100 g puri tomato
  • 2 biji tomato (dibelah 4)
  • sedikit hirisan daun pudina dan daun sup
  • rempah 4 sekawan (kayu manis, pelaga, cengkih, bunga lawang)
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • 2-3 sudu makan kicap manis
  • 3 sudu makan sos cili
  • garam
  • kacang peas - jika suka
Bahan-bahan mesin :
  • 7 biji bawang merah
  • 2 labu bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci halia
Cara-cara :
  1. Tumis rempah 4 sekawan, serai dan bahan-bahan mesin hingga terbit bau. Kemudian masukkan bancuhan rempah beriani. Kacau dan biarkan hingga pecah minyak.
  2. Masukkan puri tomato, sos cili dan kicap. Kacau lagi.
  3. Setelah itu, masukkan ayam yg sudah digoreng tadi bersama daun pudina dan daun sup. Gaulkan sebati hingga masak. Masukkan tomato dan kacang peas.
  4. Hidangkan.


Kerabu mangga ni nak buat juga sebab jumpa mangga dikedai sayur tempohari. Nak makan begitu je macam masam je. jadi buat la kerabu ni sedap jadinya.



Kerabu mangga

2 biji mangga kecil
3 biji cili api ( mengikut kepedasan masing2)merah dan hijau
2 ulas bawang kecil
segenggam kacang goreng dan ditumbuk
1 sudu udang kering
sedikit garam
sedikit gula
2 sudu sos ikan
4 helai daun limau purut

caranya
1. Potongkan mangga memanjang. Dan hiris semua bahan2 lain
2. masukkan ke dalam bekas yang sesuai dan gaulkan setelah diperasakan dengan gula dan garam.

09 May 2011


Salam hari isnin.. dah puas tengok gambar daging burger tu..:P hari ni kita tukar menu plak ye.. ini menu minggu lepas juga tapi weekend memang tak sempat nak jenguk blog ni sebab sabtu macam biasa acara lepak2 bersama suami dan anak2 tercinta dan petangnya pergi main badminton. Bila balik masak dinner sekejap pastu lepak2 sekejap dan uruskan apa yang perlu sebelum masuk tidur.. hajat dihati nak makan nasi mandhi sebab memang pernah makan nasi ni waktu kat Mekah dulu waktu buat umrah sedap sungguh nasi ni. jadi cari resepi nya.. Siapkan semua bahan untuk masak nasi ni dan mula la acara memasaknya.. tapi tula tak baca lagi caranya sampai habis baru perasan yang nasi ni perlukan arang.. tapi didapur saya tak de arang jadi teruskan juga masak nasi ni.. hanya mungkin tak de bau-bau arang je la kot.. ihiks.. tapi sedap tau nasi ni.. fathnin dan Fateh pun suka.. tambahan di padankan dengan ayam tandoori, pajeri nenas dan salad.. untuk masak ayam tandoori tu amat mudah saya gunakan rempah tandoori dari india yang dibeli dikedai halal disini, tinggal masukkan yougurt, garam, perahan lemon dan saya blender bawang merah, putih dan sedikit halia.. perap semua sekejap dan bakar.. ok jom kita tgk resepi nasi mandhi.


Nasi Mandhi
sumber :Resepiraidah


4 cawan/pot beras basmathi ~ rendam 20 minit dan toskan
3 camca besar minyak sapi
4 1/2 cawan air atau secukupnya
1 biji bawang besar ~ hiris halus
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inci halia ~ hiris halus btg mancis
1/3 cwn kismis
Rempah tumis ~ 1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 5 kuntum bunga cengkih
Sedikit pewarna kuning
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan nasi:

1. Panaskan minyak tumis rempah tumis, bawang putih, bawang besar dan halia hingga harum dan bawang layu. Masukkan kismis, goreng sebentar dan masukkan pula air, biar mendidih.
2. Bila mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan garam secukup rasa, kacau rata dan masak seperti biasa.
3. Bila nasi kering, buat lubang ditgh nasi dan letakkan foil. Masukkan 1 sudu minyak dan seketul arang yang telah dibakar. Tutup tudung periuk selama 2minit supaya aroma asap arang tadi meresap ke dalam nasi.
4. Buka semula tudung periuk dan keluarkan foil bersama arang tadi.
5. Titiskan 2-3 titik pewarna kuning, kacau/gembur nasi dan masak nasi sehingga masak.

02 May 2011


Salam .. lama tuan rumah menyepi sampai ada yang tanya kenapa tak update blog..jadi hari ni buat entry masak-masak.. sebenarnya selalu juga masak menu yang baru2 tapi mood nak bergambo itu hilang... tempohari ada buat ayam panggang ala kenny rogers ni .. dan sebenarnya dah 2 -3 kali juga buat sedap ayam ni... memang puas hati.. jadi nak letak resepi ni kat sini supaya senang dirujuk untuk masa akan datang...:)

Resipi Ayam Panggang Ala Kenny Rogers

Sumber: Kak Hamidah

  • 1 ekor ayam (bersihkan dan tidak perlu dipotong kecil)
  • Bahan-2 untuk make up ayam :
  • 3 biji bawang besar
  • 4 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 atau 3 sudu besar sos lada hitam –
  • 2 sudu besar madu
  • 1 ketul kiub ayam Knorr
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 2 sudu besar herba campuran-ganti dengan oregano dan basil kering
  • 1 1/2 sudu teh garam halus
  • Sedikit air untuk mengisar kesemua bahan make-up.
  • Sedikit mentega
  1. Campur kesemua bahan make-up dengan sedikit air dan kisar.
  2. Lumurkan keseluruhan bahan tadi diluar dan dalam ayam yang telah dibersihkan.
  3. Perap selama 1 1/2 jam..
  4. Sapu sedikit mentega keseluruhan ayam dan bakar/panggang. Bakar selama 1 1/2 jam atau sehingga ayam masak. Semasa membakar, selepas 1/2 jam pertama, sapukan ayam dengan minyak n campuran rempah yang menitis. Ini supaya ayam tidak terlalu kering.
  5. Hidangkan bersama kentang goreng, coleslaw dan kentang putar.

26 November 2010

Kebab Ayam


Kebab ayam.. antara makanan yang senang nak makan dan senang juga nak buat. Di japan ni banyak kali juga dah beli kebab yang dijual di kedai2 halal.. tapi di Yokohama ni tak pernah beli selalu beli jika ke Tokyo atau hari tu di Osaka. Jadi sebab tengah beli barang2 dapur online di kedai halal haritu nampak Roti pita ni, terus je order. Sebenarnya boleh buat sendiri ye.. nak resepi tengok sini tapi saja penyakit M datang plak jadi beli je la tinggal nak masukkan inti je.. yang paling seronoknya order untuk 5 keping tapi dia bagi 10 keping lepas tu harga sama untuk 5 keping.. seronok sangat..Alhamdulillah.. thanks baticrom moga perniagaan akan terus maju..

jadi nak buat inti kebab ni biasanya ita buat cara ita la.. papa suka je cara ita ni.. kalau sesiapa yang berminat nak cuba boleh cuba ye... Tapi kalau tak sedap jangan marah.. hihihhihi..

bahan-bahan ( untuk 5 biji kebab)

bahan ayam perap dan goreng
4 keping daging ayam tanpa tulang
1 sudu jintan putih
1 sudu jintan manis
sedikit kunyit dan garam
setelah digoreng di potong kecil2

bahan tumis
1/4 biji bawang besar- dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sudu kecil cili serbuk/cili kisar
sedikit lada putih
sedikit lada hitam
2 sudu sos tomato
2 sudu sos cili.
sedikit lobak merah
sedikit kobis

bahan lain
kobis
salad
bawang besar dihiris
timun
tomato hiris
sos tomato/cili
mayonis atau apa2 salad dressing

Cara-cara
1. Tumis bahan tumis di dalam kuali. Kemudnia masukkan sos tomato dan sos cili.. kemudian masukkan ayam yang telah digoreng dan di potong kecil2 tadi.
2. setelah itu masukkan kobis dan lobak merah. setelah masak perasakan dengan garam. ketepikan
3. potong bahan2 lain dan masukkan kedalam roti pita. masukkan inti kebab tadi dan letakkan sos dan dreesing yang digemari.
4. siap..

26 August 2010

Ayam percik Pasar malam


Dah beberapa hari tak update blog .. mana taknya kalau hujung minggu je sibuk memenuhi jemputan berbuka jadi masak yang simple2 je untuk bersahur..dan dua tiga hari lepas masak makanan yang dah ada dalam senarai resepi iaitu nasi jagung, laksa penang.. so semalam sempat mencuba resepi ayam percik ni.. makan dengan nasi goreng dan kangkung goreng. Berselera je papa makan.. kuih ita buat paratha puff berinti ayam tengok kat umah kak nor ganu dan sagu gula melaka memang kegemaran ni sebenarnya. jadi untuk resepi ayam percik copy dari rumah kak ummi .. resepi asal dari sajiemas, Myr.. sekarang ni fathnin dah mula bersekolah.. Ponat juga mama sebab bangun awal nak buatkan bentou...


AYAM PERCIK PASAR MALAM (Sajiemas,MyR)


Bahan:-

  • 2 ekor ayam
  • 500 gm bawang besar
  • 50 gm halia - diblender
  • 50 gm lengkuas - diblender
  • 50 gm bawang putih - diblender
  • 5 batang serai - diblender
  • 2 cawan gula
  • 3 sudu stok ayam serbuk
  • 5 senduk cili mesin
  • 5 senduk cili sos
  • 1/2 kg santan

Cara-Cara:-

  1. Campurkan semua bahan dan dimasak sampai mendidih.
  2. Apabila sudah mendidih, masukkan ayam hingga separuh masak.
  3. Asingkan ayam dan siap untuk dibakar, kuah yang lebih disimpan untuk dicurahkan di atas ayam nanti.
  4. Bakar dan siap untuk menjamu selera.



Paratha puff berinti ayam nak menayangkan diri.. sagu gula melaka tak sempat posing.. hihihihi

19 August 2010



Bulan puasa ni bersemangat masak nasi yang berperisa ni.. Sebab kalau bulan tak puasa ada juga buat tapi dengan busy urusan rumahtangga kadang selesai masak tak sempat nak ambil gambar... tujuannya bukan nak menunjuk-nunjuk tapi senang nak rujuk masa akan datang tak la mencari2.. nak letak resepi tanpa gambar tak best pula tak ingat plak nanti rupa macam mana.. hihihiihi.. berblog pun bukan apa untuk seronok2 dan kepuasan sendiri... ok jangan melalut... Nasi Aswan ni bagi ita amat sedap.. rasa ala2 nasi tomato ayam.. so siapa yang belum cuba boleh cuba amat berbaloi..resepi dari sini. Hari ni ita gandingkan bersama kerabu taugeh bonda kak ummi, kurma daging dan Ayam Goreng berempah serai dari Love2cook


Nasi Aswan
Bahan-bahan

  • 1 kilo beras Basmati (cuci bersih dan rendam selama 10 minit)
  • Air mengikut paras beras
  • 1 ekor ayam - potong ikut suka
  • 5 biji bawang besar - potong dadu
  • 8 ulas bwg putih - dicincang
  • 2 jari halia muda - dihiris
  • 10 biji tomato segar - dipotong dadu
  • 1 tin kecil tomato puree
  • 10 biji buah pelaga -dipecahkan
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 5 cm kayu manis
  • 1 sudu teh serbuk lada putih
  • 1 cawan minyak conola -
  • 1/2 cawan hirisan daun ketumbar
  • 1/2 caw daun pudina
  • garam secukup rasa

Bahan hiasan untuk ditabur:

  • 1/2 cawan bawang goreng
  • 1/2 caw hirisan badam goreng
  • 1/2 caw gajus goreng

Cara-Cara:-

  1. Dalam periuk (bukan rice cooker), panaskan minyak/butter, tumiskan cengkih, pelaga dan kulit kayu manis hingga naik aromanya.
  2. Masukkan bahan2 dadu dan masaklah selama 5 - 10 minit.3.
  3. Kemudian masukkan ayam, tomato puree, garam, lada putih , daun ketumbar dan daun pudina. ( letak daun ketumbar dan daun pudina, selepas ayam betul2 masak)
  4. Gaul rata hingga ayamnya 3/4 masak.
  5. Keluarkan sosnya dan ketepikan untuk dimasukkan semula dalam nasi nanti.
  6. Tinggalkan sedikit dan masak lagi ayam hingga empuk.
  7. Tuangkan beras ke dalam periuk eletrik (rice cooker).
  8. Tuangkan air ikut sukatan, masukkan sekali sos yg dikeluarkan tadi dan kacau rata.
  9. Masukkan garam dan tanak nasi sehingga masak.




Ayam Goreng berempah serai

Bahan2 yang diperlukan :-
  • 1 ekor ayam (dibersihkan dan dipotong sederhana)
Bahan dikisar bersama;
  • 6 ulas bawang putih
  • 7 ulas bawang merah
  • 2 inci halia
  • 3~4 batang serai
----------------------------
  • 3 sb cili kering kisar/ cili boh (lebih/ kurang ikut citarasa)
  • 2 sb serbuk kari daging
  • 1/2 sk serbuk jintan putih
  • 1/2 sk serbuk jintan manis
  • 1/2 sk serbuk ketumbar
  • 1/2 sk rempah 5 spices (takde pun takpe)
  • garam dan aji secukupnye
  • 3 tangkai daun kari
  • Minyak yang menggoreng

Cara2 memasaknye :-
  1. Campurkan semua bahan di atas bersama ngan ayam kecuali daun kari dan minyak. Gaul sebati dan biarkan perap selama 1 jam.
  2. Panaskan minyak dlm kuali. Pastikan minyak berlebihan supaya ayam tenggelam ketika digoreng.
  3. Masukkan ayam satu per satu dan goreng hingga masak. Taburkan daun kari bila dah 1/2 masak.
  4. Dah okey, angkat dan toskan minyak berlebihan.


Kerabu Taugeh Bonda
  • 300 gm taugeh - basuh dan celur sekejap dgn air panas dan toskan
  • 1/2 kg kerang - direbus dan diambil isinya
  • sedikit daun pegaga - dihiris halus2
  • 4 tangkai daun kesum - dihiris halus2
  • 1/3 cawan beras - digoreng tanpa minyak hingga garing sedikit - dikisar halus
  • 4 tangkai cili kering - direndam air panas dan tumbuk lumat
  • 4 - 5 biji bawang merah - hiris halus
  • 1/3 cawan santan pekat
  • 1/4 cawan kerisik
  • sedikit air asam jawa
  • garam secukup rasa
Cara Membuat:-
  1. Campurkan semua bahan kecuali beras goreng, garam, santan, air asam jawa dan kerisik. Gaul rata dulu.
  2. Setelah rata baru dicampurkan beras goreng, air asam jawa, santan, kerisik dan garam. Gaul mesra dan seimbangkan rasa.

13 August 2010

Nasi dan Ayam Beriani


Hari ni berbuka dengan nasi beriani dan lauknnya ayam beriani dan salad kobis. Berselera suami makan dan hati rasa happy je... Fathnin pun suka.. makan bertambah. Tapi cerita kelakarnya harini jiran ita, adnin pun masakk nasi beriani. Jadi kami ni alhammdulilah setakat ni hari2 mesti tukar lauk, tetiba bila fathhnin hantar lauk kerumah Adnin dengar adnin gelak ingatkan apa rupanya termasak menu sama... nasib lauk ada beza sikit adnin masak ayam kurma ita masak ayam beriani dan sayurnya pun lain juga.. Adnin kalau bagi lauk pada ita mesti banyak jadi bulan puasa ni untuk elak pembaziran ita masak sikit2 je kuantitinya.. takut berlebih plak.. sayang nanti... Thanks Adnin rajin bagi lauk walaupun mengandung... Jom kita tengok resepi nasi beriani dari belakanng pek rempah beriani adabi. ita suka resepi ayam beriani ni sedap..


Bahan A:- (akak buat 1/3 dari resepi asal ni)

  • 5 gelas beras basmathi (dibasuh dan ditoskan)
  • 5 gelas air
  • 10 g rempah beriani (dibancuh dgn sedikit air)
  • 3 biji bawang merah di mayang
  • 10cm halia dikisar
  • 4 cm kulit kayu manis
  • 100 gm daun pudina (dipotong kasar)
  • 100 gm daun ketumbar
  • 4 sb. minyak sapi
  • 1/2 cawan kismis
  • 1/2 cawan kacang gajus - dibakar/digoreng tanpa minyak- ita tak de stok
  • garam secukup rasa
  • 1 sb. pewarna kuning (dibancuh dgn sedikit air)

Cara-Cara:-

  1. Panaskan minyak sapi di dalam kuali. Tumiskan bahan tumis hingga wangi.
  2. Masukkan rempah yang telah dibancuh dan kacau rata. Masakkan hingga naik minyak.
  3. Masukkan air dan susu cair. Biarkan mendidih sebentar.
  4. Masukkan bahan tumis tadi ke dalam periuk nasi yang tersedia beras dan masakkan seperti biasa.
  5. Apabila nasi sudah kering, titiskan pewarna kuning dan biarkan nasi masak sepenuhnya.
  6. Gemburkan nasi perlahan2 supaya beras tidak patah.
  7. Hidangkan nasi dengan taburan gajus.



Ayam beriani
sumber : pek rempah adabi

  • 90 gm rempah beriani
  • 1 ekor ayam
  • 5 cawan air
  • 5 sudu minyak untuk tumis
  • 3 sudu minyak sapi
bahan A di kisar halus
  • 10 ulas bawang merah - ita guna bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 6 cm halia
  • 5 biji cili hijau- ita guna capsicum hijau
bahan B

  • 4 tangkai daun sup
  • 4 tangkai daun bawang
  • 4 tangkai daun ketumbar
  • secekak daun pudina
bahan C
  • 1/2 tin susu segar
  • 3 sudu tomato puree
  • 3 sudu makan madu
cara- cara

  1. Ayam di gorreng 3/4 masak
  2. Bancuh rempah adabi bersama bahan A
  3. Tumis bahan rempah dengan minyak masak dan minyakk sapi hingga naik bau.
  4. Masukan 5 cawan air masak hingga pekat
  5. Masuk bahan c biar hingga pekat.
  6. Masuk bahan B dan tunggu lagi hingga mesra bahan.
  7. Masuk ayam dann gaul rata.
  8. Masukkan bawang goreng, gajus dan kismis
  9. Setelah namapk pekat padamkan api.

31 March 2010

Garlic Chicken Parmesan


Menu untuk pagi ni cuba resepi dari dapur kak ummi dan resepi asal dari kak ayu kuwait (aymy).. makan dengan sup ayam jagung dan nasi goreng.. sedap.. lagi satu ia adalah menu sihat sebab tak goreng ayam ni .. bakar cara memasaknya...


Bahan:-

  • 4 keping dada ayam saiz sederhana - bersihkan
  • 2 sb air perahan lemon
  • 1 ulas bawang putih - diparut
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • garam secukup rasa
  • 2 sb daun parsley - dicincang
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan serbuk roti (breadcrumbs)
  • 1 biji telor - pukul sikit
  • 1/2 cawan parutan parmesan cheese
  • 1 sb minyak zaitun
Cara Memasak:-
  1. Gaulkan ayam dengan sebahagian (1 sb.) daun parsley, bawang putih, minyak zaitun, serbuk lada hitam, garam dan air perahan lemon. Perap selama 30 minit - 1 jam
  2. Dalam bekas lain, gaul rata breadcrumbs, baki 1 sudu besar daun parsley dan parmesan cheese. Ketepikan.
  3. Toskan ayam. Gaul dengan tepung gandum.
  4. Celup dalam telor dan golekkan rata ayam tadi dalam campuran serbuk roti. Buat hingga ayam habis semua disalut.
  5. Susun dalam loyang yang telah dilenser dengan sedikit minyak zaitun.
  6. Bakar pada suhu 180 C selama 20 minit (x perlu diterbalikkan/dialihkan semasa membakar). Biar masak.( ita bakar 200 c mengikut oven ita selama 30 minit)
  7. Hidangkan dengan sos cili atau sos lada hitam.

;;

About this blog

821602_296729d757ea84k5ins587.JPG


822702_052345cc77ea843wlurk88.JPG