Terasa diri kecil-sekecilnya, terasa tak berguna, tak berdaya perasaan ingin menangis bertalu-talu menghentak hati. Terasa diri seolah-olah gagal menjadi ibu yang baik buat dia sehinggakan mengabaikan apa yang sepatutnya menjadi hak dia.
Mama adik tak nak sekolah esok.
Kenapa? Kerja sekolah tak siap eh?
Tak... Ustazah suruh baca surah ni ayat 1-4 tapi adik tak tahu nak baca. Adikkan baru baca Iqra 2.
Terasa ada batu yang menghempas kepala, berat sehinggakan pandangan menjadi gelap. Mendidik dia memerlukan kekutan mental serta kesabaran yang tinggi. Sebelum ini dia telah menghabiskan sehinnga Iqra 6 dan kemudian ustazah pula berpindah, untuk menghatar dia mengaji juga memerlukan masa yang lama untuk serasikan dia dengan ustazah. Selepas itu dia enggan ke mana-mana ustaz atau ustazah lagi. Kesibukan dengan rutin harian membuatkan saya alpa dengan tanggungjawab yang satu ini sehinggalah akhir-akhir ini saya seolah-olah dikejutkan dari lena yang panjang. Mengambil inisiatif untuk mengajar dia sendiri, mungkin itu yang terbaik buat dia. Kami sama-sama mengaji setiap lepas solat magrib, saya membaca Al-Quran dan dia mengulang kembali dari Iqra 1. Alhamdulillah dia masih lancar di Iqrak 1 dan 2 tetapi saya ulang-ulangkan banyak kali agar lebih melekat dihati.
Siapa yang tak ingin anak cemerlang di dalam pelajaran, cemerlang di dalam hidup. Mendapat nombor terbaik di dalam kelas mahupun mendapat pujian dari guru-guru, itu impian semua ibu-bapa. Rezeki Allah s.w.t telah tentukan anak bungsu saya sedikit kekurangan berbanding abang dan kakanya. Saya redha dengan ketentuan Ilahi pasti ada hikmah di sebaliknya kenapa Allah s.w.t kurniakan saya anak 'slow leaner' seistimewa dia.
Kisah kelakar. Suatu hari saya minta dia masukkan tupperware ikan ke dalam peti sejuk sedangkan saya enak berbaring di depan televisyen.
Mama tupperware ikan kucing ke (kucing kat rumah makan ikan tupperware memang diasingkan)?
Ya. Masukkan kat bawah.
Bila bangun saya lihat tupperware yang dipenuhi ikan masih di atas kabinet dapur laju saya buka peti ais. Ya-Allah anak kenapalah letak tupperware kosong ni? Rupanya tupperware yang ada kat luar tu bukanlah yang biasa saya gunakan untuk letakkan ikan untuk makanan kucing. Memberi arahan dengan jelas sehingga dia faham adalah perlu. Sebab itu kadang-kadang sekiranya ada pesanan atau arahan dari guru jarang dia dapat sampaikan secara sempurna.
Saya perlu bangun saya perlu bangun dari kesakitan ini, membetulkan diri sendiri supaya dapat membantu dia, Menyembunyikan kesedihan agar saya dapat memberi kebahagiaan pada masa hadapannya.
Nukilan hati seorang ibu.
Siapa kita untuk menolak ketentuan Allah, perjalanan hidup atas kehendakNya. Sebagai hamba redhalah ubat hati yang terbaik.
Hati saya bersalut duka bila mengenangkan anak bungsu manakan tidak sehingga Tahun 3 barulah dia mampu membaca, itu pun tidak selancar mana. Sekarang di Tahun 4 tidaklah sangat saya mengharap untuk dia menjadi pandai dapat membaca juga mengira itu sudah baik buat saya.
Sebagai ibu yang berkerja memang memasa menjadi penghalang untuk saya terus duduk tekun bersama dia, selagi ada masa saya akan mencuba. Sedikit sahaja perubahan positif pada diri dia seribu kegembiraan terukir di hati saya. Tak terucap bila dia mampu membaca bait-bait tulisan di televisyen. Bagi orang lain mungkin itu biasa tetapi bagi anak bungsu saya itu adalah luar biasa.
Tahun ini saya berada di syarikat baru yang sedikit menjadi penyebab untuk bapa mengambil rekod pelajaran anak. Sistem band yang sememangnya berbeza dari sistem persekolahan di tahun 70an banyak mengelirukan si bapa. Saya tahu dia sangat kecewa dengan keputusan Hikram tetapi hanya itulah yang terbaik dapat Hikram beri. Juga itulah yang saya hadapi sejak bertahun-tahun dulu tetapi saya tidak menunjukkan kepada mereka apa yang tersirat dihati.
Penerimaan guru juga sangat penting bagi anak-anak slow learner ini. Saya pernah berbincang dengan guru kelas Hikram yang merupakan guru baru di sekolah tersebut dan dia mengakui dapat menjejak kekurangan Hikram pada hari ketiga dia mula mengajar. Cikgu Syarifah Mahfuzah memang seorang yang sangat perihatin. Ada juga antara guru yang mengajar tidak dapat mengesan kekurangan ini malahan apabila ada pertemuan antara ibu-bapa dan guru keluar juga perkataan-perkataan kurang enak di telinga. Saya pernah rasa terhina, terhiris dengan kata-kata sinis seorang guru. Sebagai ibu adakah harus saya berdiam diri?
Tidak ada ibu bapa yang meminta anak mereka dilahirkan dengan kekurangan.
'Lemah! Lemah! Lemah!. Semuanya lemah!'
'Sejarah. Band 1. Paling lemah.'
'Kerja sekolah rekacipta tak berhantar'
'Tak guna belikan iPad sekiranya begini keputusan periksanya'
Saya tahu dia kecewa sangat kecewa. Selama ini saya cuba membantu Hikram, bukan tidak. Saya cuba menjadi ibu terbaik dalam mendidik dia. Cuma Hikram kategori 'slow learner'. Saya faham dia sukar menerima kekurangan itu. Menolak untuk menerima sebenarnya. Pendedahan yang kurang mungkin.
Saya tetap bersyukur kerana punya keluarga yang positif, emak, adik-adik, kakak dan abang yang saling menyokong kekurangan Hikram. Sentiasa memberi semangat ketika saya lelah dan ingin mengaku kalah. Kejayaan bukan sahaja bergantung kepada bijak anak di sekolah kejayaan juga akan datang bila kita pandai mencari peluang. Itulah yang saya pegang tika ini untuk membantu Hikram.
Suatu hari moga kejayaan akan bersama Hikram. Doa ibu akan sentiasa bersama anak-anak. Pesanan buat ibu-bapa juga janganlah di bandingkan antara satu anak dengan anak yang lain. Selagi mampu bantu, bantulah mereka.
Umurnya sudah 10 tahun pada 2hb Januari 2014. Bagi kita senang tapi bagi dia susah, inilah sifat anak-anak 'slow leaner'. Bayangkan nak kapur kasut pun sangat susah bagi dia. Dulu saya minta abang yang kapurkan kasut dia tetapi mulai tahun ini saya minta dia buat sendiri.
Saya sedih bila saya nampak sangat kepayahannya untuk siap kapurkan sebelah kasut pun sudah memakan masa. Terkial-kial memusing kasut kejap-kejap memusing kapur, nasib baik kapur dalam botol bertutup. Saya biarkan dia lakukan perlahan-lahan tanpa memaksa. Akhirnya dia berjaya buat walaupun tidak sekemas abang yang lakukan.
Mulai tahun ini saya mesti pastikan dia boleh berdikari menguruskan benda-benda kecil sendiri. Demi kebaikan dia.
Persediaan bagi ibubapa yang ada anak lelaki yang sedang membesar, bakal melalui alam remaja. Malam tadi hampir pengsan mama yang sedang baring-baring tengok
7th Grade Civil Servant. Terus terduduk. Soalan yang buat mama berdebar. Saya rasa seperti dia masih kecil untuk bertanya soalan sebegitu.
Hikram sedang memilih buku mengikut jadual hari ini di dalam bilik. Tiba-tiba dia bertanya. "Mama air mani tu apa?." Saya yang sedang baring terus bangun. Pandang abah yang sedang baca surat khabar. Entah kat mana pula lah yang ditengoknya tu, tiba-tiba saya teringat mungkin buku teks agama. "Cuba adik bawa buku tu bagi mama". Dia keluar menghulurkan buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 4 dengan tajuk yang dibacanya Alam Remaja. Lega.
Saya minta abah terangkan, dia kata mama sahajalah. Haisshhh...ini cerita lelakilah macam mana pula nak pusing ayat. Saya baca apa yang di tulis di buku. Saya buat kesimpulan paling mudah dengan tahap pemikiran Hikram.
"Air mani tu akan keluar dari situ (saya tunjukkan anu dia)"
"Itu air kencinglah mama"
"Bukan. Selain air kencing akan ada air mani juga tetapi dalam keadaan tertentu sahaja iaitu bila adik dah baligh"
"Baligh tu apa?"
Di dalam buku dia bercerita berkenaan mimpi budak lelaki.
"Baligh itu cukup umur. Kalau adik sudah ada air mani bermakna adik sudah dewasa. Tak boleh tinggal solat, tak boleh tinggal puasa sesuka hati (saya bagi contoh mudah). Suara adik akan berubah jadi macam suara abang dan suara abah jadi garau macam jantan...ahahhaaa..."
"Ehhh...tak naklah adik. Pelik ja."
"Lepas tu bila besar sikit akan tumbuh bulu-bulu di anu, di ketiak dan misai."
"Macam abang ye mama?"
"Bila adik dah besar adik akan jadi macam abanglah dan nanti boleh ada girlfriend (saya usik dia)."
Girlfriend tu menyusahkanlah mama"
Sebab dia pernah tengok baju sekolah kakak terkena darah haid masa pertama kali kakak melaluinya saya terangkan juga tentang itu. Saya terangkan bagi perempuan baligh bila datangnya darah haid dan bagi lelaki bila datang mimpi (keluar air mani).
Saya lega bila dia tak tanya banyak-banyak dan bagi soalan-soalan pelik yang lain lagi lepas tu.Ibubapa yang ada anak-anak yang bakal menempuhi alam remaja perlu bersedia dengan jawapan atau mungkin kita boleh terangkan sebagai ilmu kepada mereka walaupun tidak ditanya. Bagi Hikram penerangan secara khusus adalah perlu supaya dia faham.
Kejut pagi-pagi untuk ke sekolah dan kebiasaannya tak ada masalah. Dia memang jenis cepat bangun kalau dikejut walaupun waktu sahur pada bulan puasa. Bila dia duduk saya berlutut di belakang dia saya bacakan Surah Al-Fatihah, selawat dan doa penerang hati dengan kuat dan jelas sambil mengusap ubun-ubun kepala dia. Habis bacaan saya tiup ke ubun-ubun dan telinga dia. Kemudian dia bangun dan pergi mandi serta bersiap ke sekolah.
Pagi ini Hikram mula buat perangai. Mengantuk mama...mengantuk mama... Dua tahun bersekolah petang tahun ini memulakan semula sesi pagi mungkin kadang-kadang dia agak letih. Saya tetap buat rutin bila kejut dia bangun. Pujuk pelan-pelan. Peluk dan cium dia. Saya janji cuti sekolah bawa dia jalan-jalan ke Legoland. Walaupun masih merengek dia tetap bangun sebab takut abah bising.
Masa sarapan saya masih memujuk Hikram. Saya bagitau ke sekolah tu seronok, dapat jumpa kawan dan main dengan mereka. Dapat jumpa cikgu yang akan ajar benda baru. Boleh tambah ilmu. Waktu rehat boleh ke kantin dan beli makanan kegemaran dia.
Lepas sarapan minuman coklat dan cornflake Hikram semakin ceria. Walaupun masih ada wajah tak puas hati tetapi saya buat-buat tak faham sahaja. Sebagai ibu saya memang kesian dengan keadaan dia. Saya juga didik hati sendiri supaya lebih sabar.
Rasanya kebelakangan ini saya pasti akan banyak update entri berkenaan Hikram. Cabaran buat dia apabila memasuki Darjah 4 dan cabaran buat saya sebagai ibu juga untuk mengajar dia.
Saya sekarang sedang berusaha untuk belajar mendidik anak yang megalami masalah pembelajaran dan lebih mudahnya 'slow learner'. Mencari ilmu untuk diri sendiri supaya dapat mendidik anak supaya dapat menerima pelajaran dengan lebih berkesan selain dari apa yang cikgu ajar di sekolah. Mencari laman web dan buku-buku untuk menambah ilmu.
Sejak masuk ke Darjah 4 pelajaran agak mencabar bagi dia jadi dia agak tertekan dengan pelajaran di sekolah juga dengan cikgu-cikgu yang mengajar. Katanya cikgu garang, selalu marah-marah. Saya pujuk dengan mengatakan kalau tak buat salah mesti cikgu tak marah. Dia jawab kawan adik tak buat salah pun kena marah. Saya cakap lagi tak mungkin cikgu saja-saja nak marah mungkin adik tak nampak dia buat salah.
Saya banyak menggunakan kaedah memujuk untuk mendekatkan dia dengan buku. Melayan semua kehendak dan permintaan dia supaya dia tidak merajuk sebabnya bila dia mula merajuk memang tak mudah di pujuk dan akhirnya buku entah ke mana dia pula entah ke mana. Saya perlu banyak bersabar.
Membaca setakat ini tiada masalh cumanya saya sedang mencari kaedah untuk memberi pemahaman kepada setiap bacaannya. Memahami setiap apa yang di baca dengan baik termasuk memahami ayat yang di beri mahupun penjelasan bagi setiap perkara yang berlaku. Saya jadi pening bila menyentuh matapelajaran Sains sebab dia akan banyak bertanya kadang-kadang membuatkan saya sendiri tidak mampu menjawab (kadang-kadang macam soalan merapu tapi itulah sifat anak-anak 'slow learner').
Insyaallah saya sambung lagi sebagai kenangan buat saya dan adik. Buat kami sekeluarga.