Memaparkan catatan dengan label Dr.Lim Poh Hin. Papar semua catatan

Selidiki Polisi Insurans


Kemudahan insuran sangat membantu di kala mengalami masalah kesihatan jadi kita memilih menimbang satu antara syarikat yang banyak tiba-tiba apa yang kita dapat tak seindah khabar yang di bawa. Silap kita sebab tidak membelek detail segala yang diterangkan, agen insuran lepas tangan dengan alasan itu adalah polisi yang telah kita ambil. Kita terpaksa tanggung bayaran klausa tertentu yang tidak termaktub di dalam polisi. Jadi apa guna kita mengambil perlindungan insuran? Lebih baik apabila berlaku kecemasan kita terus sahaja ke hospital kerajaan yang walaupun perkhidmatan yang diwar-warkan tidak sebaik mana namun berbaloilah dengan bayaran yang dikenakan.


Saya biasanya hanya menggunakan insuran yang disediakan pihak syarikat, ini kali pertama menggunakan kad di hospital melalui kaunter bahagian Kemalangan & Kecemasan sebelum ini saya bawa suami ke bahagian Kemalangan & Kecemasan dengan surat rujukan dari klinik biasa tetapi tidak timbul sebarang masalah dan segalanya ditanggung pihak insuran. Kali ini kecemasan berlaku di rumah bila anak saya kejang terus di bawa anak ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan KPJ Kajang. Di takdirkan Pakar Neurologi bercuti panjang jadi terpaksa dirujuk ke KPJ Ampang Puteri. Pembayaran rawatan kecemasan yang di kategori sebagai 'pesakit luar' adalah secara 'pay and claim' di mana saya bayar kemudian buat tuntutan dengan syarikat insuran.


Jumlah pembayaran yang perlu di buat Rm661.75 untuk rawatan pesakit luar yang diberi termasuk ujian darah, tambah air, ECG dan bayaran pegawai perubatan. Selepas tiga minggu menghantar tuntutan bayaran saya telefon pihak ketiga yang menguruskan hal tersebut iaitu MediExpress. Dari jumlah keseluruhan saya hanya di bayar Rm347.50 sebab ini kali pertama saya agak terkejut dan meminta perincian yang tidak di bayar.

Rm   6.35        - Farmasi
Rm 137.00      - Nursing
Rm   98.00      - Medical Equipment
Rm   35.00      - Medical Officer 


Kebanyakan insuran memang mengenakan syarat yang hampir sama kerana seorang kawan pengsan di pejabat dan kemudian dirujuk ke Prince Court tetapi tidak dapat masuk wad kerana hospital penuh juga mengalami nasib yang sama lebih malang dia langsung tidak dapat membuat apa-apa tuntutan sama ada menggunakan insuran pejabat mahupun insuran peribadi. Ikut logik kalau ke hospital mestilah nurse yang buat kerja, perlu peralatan-peralatan seperti jarum dan sebagainya, doktor hanya pantau dan kita juga tidak pasti yang melayan kita itu doktor atau 'medical officer'. Bila berlaku kecemasan kita tidak memikir lagi sekeliling kecuali orang yang kita sayang selamat. Perlukah lagi surat rujukan dari klinik biasa untuk dibawa ke hospital?


Saya tidak kisah mengeluarkan duit demi kebaikan orang yang saya sayang tetapi bagi saya terlalu banyak janji manis yang diberi oleh agen-agen insuran yang akhirnya pengguna merasa seperti tertipu. Kami diberi taklimat oleh pihak insuran di akhiri dengan soal jawab dan bagi saya masih juga tidak jelas dengan kalusa-kalusa tertentu dalam polisi contohnya seperti di atas. Bila membuat tuntutan ada pulak pelbagai perkara yang kita tidak boleh tuntut dan kita tidak diberitahu. Saya lebih senang dengan insuran syarikat lama walapun perlu membayar deposit kemasukan ke hospital sebanyak Rm500 serta di kenakan 'co payment' sebanyak 10% tetapi semua itu kakitangan boleh tuntut kembali dengan syarikat melaui bayaran perubatan sebanyak Rm3000 setahun. Bila berjumpa dengan pakar tidak perlu surat rujukan hanya 'walk in' dan akan dibayar selagi bil dikeluarkan oleh klinik mahupun hospital. Barang yang lepas jangan di kenang.


Insuran baru ini berkuat-kuasa pada bulan Febuari 2015, saya masih menunggu bayaran tuntutan perubatan. Tidak banyak yang mampu kakitangan buat kecuali bersabar sehingga polisi ini tamat tahun hadapan. Bagi saya syarikat perlu lebih perihatin dengan kebajikan kakitangan kerana kemudahan insuran adalah untuk menyenangkan bukan menyusahkan. Ditakdirkan saya tida duit sebanyak itu untuk membayar apa akan jadi?




Sakitnya Tu Di Sini Epilepsy


Hampir dua minggu berlalu 11hb Mac jam 6.45am tetapi setiap kali teringatkan detik-detik dia rebah, menggelupur, kejang, mulut berbuih dan terus terkulai diam hati bergetar dan berdebar-debar. Ketika itu terasa seolah-olah dia akan pergi meninggalkan saya. Cepat-cepat beristighfar membaca apa yang terlintas di kepala kemudian berdoa agar perkara tersebut tidak akan berulang lagi. Sebagai ibu hati menjadi terlalu rapuh bila berhadapan situasi anak-anak yang sedang menaggung derita.


Saya tidak bersedia untuk menghadapi situasi tersebut, semasa dia berumur 10 tahun sekali dia pernah mengalaminya tetapi dalam keadaan sedar. Kali ini agak berlainan bila dia kejang seluruh badan, rebah tidak sedarkan diri, Jiran yang kebetulan hendak pergi kerja sampai dulu, kemudian jiran sebelah rumah berlari membawa ais dan tuala yang dilap kebadan Iqbal Hadi. Adik dan suami datang memberi bantuan apa yang patut dan saya hanya kaku memandang dengan dada yang bergetar namun tiada setitik air mata yang jatuh pun di pagi tersebut. 


Pada mulanya saya menghubungi ambulans kemudian saya membantalkannya dan membuat keputusan untuk membawa sendiri ke hospital setelah dia separuh sedar. Mendapat rawatan awal di KPJ Kajang Specialist dan kemudian di pindahkan ke KPJ Ampang Puteri kerana Neuro Specialist sedang bercuti panjang kerana patah kaki. Kemudian saya memandu pula ke Ampang walaupun hati sangat gusar mulut saya tidak henti berzikir dan berdoa agar tiada apa-apa yang serius.



Rawatan awal di KPJ Kajang Specialist. Separuh sedar tambah air, ambil darah dan ECG. Alhamdulillah semuanya normal tetapi perlu berehat di hospital untuk pengawasan 24 jam. Hati ibu tetap resah walaupun dia sudah mampu bercakap.



Sampai di KPJ Ampang puteri terus di rujuk ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan daftar untuk masuk wad sekali dan dibawa ke bilik rawatan untuk berehat sementara menunggu katil kosong kemudian menjalani brain MRI. Masa ini saya sedikit lega bila dia mula bercakap, minta minum dan makan. Nasib baik sebelum itu saya sempat singgah membeli nasi lemak semasa balik mengambil barang di rumah. Kakak ponteng sekolah tolong jagakan abang sementara mama bawak kereta, dua-dua tak ambil peperiksaan. Sistem sekolah sekarang sekiranya tidak hadir semasa hari peperiksaan tiada ulangan peperiksaan boleh diambil kecuali murid tersebut mewakili sekolah dalam acara tertentu.



Doktor Lim Poh Hin Neuro Specialist sedang membuat ujian fizikal. Ujian keseimbangan berjalan, ujian mata, ujian tindakan reflect bagi kedua belah badan kiri dan kanan, ujian kekuatan tangan dan kaki untuk mencari andai ada kelainan bagi kedua belah badan tersebut. Alhamdulillah segalanya normal. Sebenarnya doktor pakar ini bertugas di Hospital Serdang.


Kami bermalam di hospital saya hanya merebahkan diri di atas sejadah disebelah katil dan Kakak Hayani pula tidur di atas sofa di lounge untuk bilik 4 katil tersebut. Adik Hikram tinggal bersama Umi dan Ayah. Hari ke dua kami berkampung di KPJ Ampang Puteri dia menjalani EEG iaitu mengambil brain reading activity. Alhamdulillah juga normal dan dibenarkan pulang bila tiada kes berulang dalam masa 2 hari tersebut. Punca mungkin stress sebab minggu peperiksaan, cuaca panas dengan aktiviti bola dan futsal kemungkinan kekurangan air, tak cukup tidur atau rehat. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga aktiviti dia dikawal sepenuhnya buat masa sekarang.


Langkah awal yang saya ambil adalah dengan membaca lebih banyak maklumat berkenaan epilepsy atau sawan dalam bahasa. Langkah berjaga-jaga serta pencegahan juga langkah yang perlu di ambil apabila kes seperti itu berlaku lagi kelak. Saya juga harus belajar mengawal keadaan dan tidak panik. Pasti ada hikmah yang tersembunyi apabila saya dan dia diduga sebegini. Mungkin kebelakangan ini saya dan dia semakin menjauh jadi Allah dekatkan kami semua dengan memberi sakit kepada dia. Doa tak pernah putus moga dia dan saya tidak akan diuji sebegini lagi.