Assalamualaikum
dan selamat sejahtera, khususnya kepada rakan-rakan mahasiswa pendidik yang
dikasihi sekalian.
Saya selaku Yang
Dipertua Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas dengan ini menyatakan rasa bersyukur dan
bertuah, kerana kita semua masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk
meneruskan pengajian ke tahun 2013 ini.
Rakan-rakan
mahasiswa pendidik yang budiman sekalian,
Tidaklah kita
semua berada di sini pada hari ini melainkan untuk dibentuk dan dibina untuk
menjadi seorang pendidik yang akan melakar dan mencorak landskap bukan sahaja
dalam pendidikan, malah peranan pendidik itu perlu dilihat dalam skop yang
lebih luas, mewarnai kehidupan masyarakat dengan budi dan jasa, kerana seorang
pendidik itu tanggungjawabnya lebih dari sekadar memegang pen, memeriksa buku
latihan dan mengajar di sekolah sahaja.
Kejayaan dan
kesulitan yang kita semua hadapi pada tahun lepas adalah rencah dalam kehidupan
sebagai seorang mahasiswa. Adalah perlu bagi kita untuk memulakan tahun baharu
ini dengan membuat sedikit penilaian dan serterusnya membuat draf perancangan
akan matlamat yang ingin dicapai, strategi pelaksanaan langkah demi langkah
kemudian memastikan usaha pelaksanaan itu dijalankan mengikut apa yang telah
dirancang, agar matlamat yang dirancang itu dapat dicapai.
Tahun ini
menjanjikan banyak perkara dan pengalaman baru untuk kita semua hadapi bagi
memantapkan lagi kredibiliti kita sebagai ikon kepada masyarakat apabila
menjadi pendidik nanti. Oleh yang demikian, pelbagai program yang dirancang
khusus untuk kita dalam membina dan membangunkan citra pendidik dalam diri
kita. Pada tahun ini, ada di kalangan kita yang akan mula menjalani praktikum,
Pengalaman Berasaskan Sekolah, Bina Insan Guru dan program umum yang lain
seperti ko-kurikulum, sukan dan banyak lagi aktiviti yang memerlukan
penglibatan kita dan pastinya, segala yang telah dirancang itu banyak
kebaikannya untuk kita.
Dalam kesibukan
menjalani kehidupan kampus yang mencabar, kita harus bijak menguruskan banyak
perkara, kerana tugas kita semasa menuntut ini bukan hanya untuk mendapatkan
keputusan akademik yang cemerlang, tetapi kita hanya mula dikenali oleh
masyarakat ketika menjadi guru nanti. Suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu
digalas oleh mahasiswa pendidik adalah untuk memperkenalkan Institut Pendidikan
Guru (IPG) kepada masyarakat dan membawa nama IPG ke peringkat nasional dan
antarabangsa.
Hal ini bukan
sahaja mampu mengangkat martabat dan menjulang nama IPG di tempat yang lebih
tinggi, tetapi juga menjadi penanda aras kepada pencapaian mahasiswa pendidik
IPG yang memiliki kemampuan dan daya saing yang tinggi dan mampu berdiri sama
tinggi dengan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi yang lain, walaupun
komuniti kampus di setiap IPG lebih kecil.
Di samping itu,
pada tahun ini, kita perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia
untuk mengundi dalam Pilihanraya Umum ke 13. Bagi yang sudah layak untuk
mengundi, tunaikanlah kewajipan kita untuk memilih dengan baik, kerana pada
usia sebegini kita sudah mampu untuk menilai baik buruk sesuatu perkara.
Kepada kepimpinan
kampus yang baru nanti, teruskan usaha untuk memastikan kebajikan dan
kesejahteraan kita semua dapat dinikmati. Memimpinlah dengan baik dan jadilah
ikon yang baik kepada rakan-rakan yang lain.
Khas buat
rakan-rakan semua, saya kongsikan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud;
“Allah tidak
membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya” 2:286
Semoga, segala
yang diamanahkan, kita mampu untuk melakukannya walaupun sukar, kerana jika ada
usaha, semuanya tidak mustahil untuk kita menemui jalan penyelesaian yang akan
membawa kita kepada kejayaan!
Sekian, terima
kasih.
“BERSAMA KE ARAH
KESEJAHTERAAN KAMPUS”