Friday, February 8, 2013

Usah Terburu-Buru Jadi Calon PRU


Golongan mahasiswa tidak perlu tergesa-gesa menceburi bidang politik dengan menawarkan diri bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) walaupun pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mereka berbuat demikian.
 
Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda UMNO, Syahrin Md. Jamaludin berkata, mahasiswa perlu mengambil kira kemampuan diri kerana kebanyakan masa perlu diperuntukkan dalam bidang pengajian berbanding menjadi ahli politik sepenuh masa.

"Mereka masih berpeluang melibatkan diri menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mematangkan diri kelak. Mahasiswa tidak perlu terburu-buru menjadi wakil rakyat kerana peluang itu terbuka luas pada masa depan.

"Kita bimbang sekiranya mereka menjadi calon akan menjejaskan tumpuan dalam bidang pengajian yang boleh menyebabkan ibu bapa mereka kecewa," katanya.

Syahrin berkata, walaupun terdapat kira-kira 200,000 mahasiswa layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang namun mahasiswa yang menjadi calon wakil rakyat belum tentu berjaya menarik minat golongan berkenaan.

"Namun menerusi NGO yang ditubuhkan di IPT, mahasiswa boleh mendalami lebih dekat soal pilihan raya dan memahami hala tuju sebenar kepimpinan negara daripada terikut-ikut rentak pihak tertentu.

"Saya harap golongan mahasiswa tidak mudah diperalatkan pihak tertentu menjelang pilihan raya umum kerana tumpuan mereka sepatutnya adalah membangunkan diri menerusi pengajian, bukannya untuk menjadi 'Yang Berhormat'," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...