Friday, December 7, 2012

JANGAN GADAI AGAMA DAN BANGSA


KULAIJAYA - Rakyat khususnya orang Melayu digesa tidak menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara hanya kerana mahu mencapai cita-cita serta kemahuan peribadi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki berkata, rakyat perlu bangkit daripada kesedaran tersebut bagi mengelak terus terperangkap mainan politik pembangkang yang bakal memusnah masa depan negara.


Katanya, kesilapan dalam membuat percaturan dalam menentukan pihak mana yang perlu disokong pada hari ini akan membawa mudarat kepada masa depan generasi akan datang.

"Tidak salah untuk mempunyai cita-cita tetapi ia hendaklah dicapai dengan cara betul dan bukannya menerusi perbuatan yang boleh menyebabkan negara ini tergadai.

"Pandang dan renunglah dari mana asal kita, jangan lupa atau alpa sehingga terjebak dengan pelbagai perkara dan janji-janji manis yang boleh mengakibatkan negara kita tergadai," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Bayaran Insentif Khas Penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) Fasa 3 di Dewan Bersama Felda Penggeli Timur, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Kampung Felda Penggeli Timur, Hambari Abd. Rahman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Abd. Halim Abd. Jalil.

Seramai 460 generasi kedua Felda menerima cek durian runtuh dengan jumlah keseluruhan RM2.3 juta dan kegembiraan jelas terpampang di wajah masing-masing dalam majlis yang turut dihadiri peneroka generasi pertama.

Baderi berkata, pembayaran insentif khas ini membuktikan kerajaan menunaikan janji untuk memberikan durian runtuh bukan sahaja kepada ketua keluarga peneroka Felda dan isteri malah generasi kedua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...