Friday, February 18, 2011

K.

Tahun-tahun yang merenggangkan kita daripada sebuah kematian. Semalam telah hilang, dan kita bertemu kembali antara tanah, air dan api. Kali terakhir kau memeluk-ku, tubuh ini berlumpur dan berselut. Kain putih ini masih sama seperti dulu. Tak akan berubah. Kau tak akan mengingatkan sesiapa tentang ini. Kerana kita sama-sama belum mengetahui jalannya. Harum-harum yang tak ada tara, menyusup dengan tak ada rasa. Nyawa aneh. Kita terkenangkan tubuh-tubuh – kau dan aku, barangkali – yang belum pernah kaku. Kita jadi sunyi. Bunyi-bunyi hilang. Kesepian dan hening menyelimuti setiap inci raut wajah-mu yang mula terdiam. Ini tempat yang mengingatkan kita tentang kekosongan. Keseorangan. Esak-esak kecil saja yang sudi menemani di sini. Tangis orang-orang yang dulunya besar-besar.

- 18 Februari 2011.

Monday, February 14, 2011

127 Hours


Foto kredit: Google


Saya tak boleh tidur. Dari Kuala Lumpur ke Dubai sudah cukup memenatkan dan dipenuhi dengan lena panjang yang tak bermimpi. Mungkin kerana di atas awan, dan dekat dengan lapis-lapis langit yang selalu menghantar deja-vu.

Untuk Dubai, dan ketika melimpasi di ruang udara negara Mesir (agaknya), saya membayangkan sebuah kebangkitan. Tanah susur galur darah Arab – yang dimulai oleh negara utara benua Afrika, Tunisia – dalam beberapa bulan ini mencipta nama-nama indah sebuah revolusi. 'Revolusi Jasmine', kata mereka. Harum, kata dunia. Revolusi Arab kata penentang di Mesir, terlampau kuat goncangannya kita rasakan.

Jam biologi dalam tubuh sudah kacau bilau. Dan saya memerlukan sebuah kebangkitan dalam kesegaran agar tidak layu. Tiga filem yang menjadi peneman jam-jam terlarut itu mujur hadir sama dengan ketegangan yang menghambat keletihan.

Saya menonton pertama, 127 Hours arahan Danny Boyle. Trainspotting dan Slumdog Millionaires mungkin akan mengingatkan kita kepada orang ini. Untuk kerja terbaru ini, dia sekali lagi berganding dengan pengarah muzik kesukaannya, AR Rahman.

Kerana filem ini bertolak daripada sebuah biografi, yang watak-wataknya tidak perlu diimajinasikan dari awal, tetapi perlu dikembangkan untuk menghidupkan filem, Danny Boyle faham benar keperluan sokongan susunan muzik yang menghidupi. Dan, AR Rahman memang orang yang punyai faham luar biasa tentang peri penting muzik di dalam filem.

Ini kisah tentang semangat gigih, tentang keinginan untuk berdepan dengan keliaran alam. James Franco – yang juga penulis himpunan cerita pendek Palo Alto – menjadi protagonis utama, mewakili imej Aron Ralston, watak dunia sebenar yang mengharungi gunung-ganang Utah, Amerika. Dengan keghairahan itu jugalah dia terhumban ke bawah celahan tebing batu – atau canyon – dengan tangannya tersangkut dan tanpa dapat melepaskan diri untuk beberapa hari.

Semangat ini yang dibayangkan pengarahnya. Semangat ini yang yang digarap pengarah muziknya dan semangat ini juga yang dihidupi oleh protagonisnya. Keinginan untuk mendapatkan sesuatu – dalam hal ini keinginan untuk menyelongkar keindahan – yang menjurus kepada malapetaka. Jika ada orang yang boleh bercakap tentang 'berpantang maut sebelum ajal', Aron adalah seorang daripadanya.

Filem ini diangkat daripada buku memoir dari malapetaka berkenaan. Sepanjang cemas di dalam filem ini, walaupun dipamer begitu minimal, muzik AR Rahman tak bernah terarah kepada kesedihan, atau kehampaan, putus harap. Dari padanan bunyi ketika babak James Franco menunggang dengan energi muda yang sarat, sehingga dia bertemu dua gadis muda yang dibawanya terjun ke tasik bawah tanah dipergunungan itu (yang kemudiannya video seorang daripada gadis itu dijadikan 'modal' untuk beronani ketika dia dihujung nyawa), kepada aksi meminum kending yang begitu mengesankan sehingga akhir sekali, memotong tangan yang tersepit itu, AR Rahman menyampaikan mesej antara hidup dan maut dengan selok yang indah.

Kerana, keazaman yang ditunjukkan Aron juga luar biasa. Kerana dia, walaupun cemas dan tanpa pertolongan, masih menunjukkan imej manusia yang tenang, berfikir dan berusaha – walaupun banyak kali dalam ketika itu dia gagal.

Danny Boyle lari dari keselesaan Slumdog melalui 127 Hours ini. Dia tak lagi mengulang sisi-sisi yang megah di dalam filem terdahulu melalui pengalaman dan pengamatan visual. Tetapi dia mengekalkan suntik semangat yang sama – orang yang tak mahu kalah, walaupun sudah jatuh terduduk. Watak-wataknya bangkit dari segala sial, melawan takdir mungkin, dan diakhirnya menang.

127 Hours adalah cerita tentang keazaman untuk terus hidup. Dan, selepas bangkit dari 'fragmen kematian', seperti yang ditunjukkan oleh Aron, manusia perlu jadi lebih teguh, dan melakukan hal-hal yang diinginkan dalam hidup tanpa ragu. Patah semangat bukan satu pilihan.

Kita juga akan mengingati filem Into The Wild, arahan Sean Penn. Ia menyarat aroma sama.



*127 Hours mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 17 Februari 2011.



Saturday, February 05, 2011

diam-diam

Bermula Januari 2011, bil Astro kamu dikenakan cukai kerajaan enam peratus; dalam diam-diam, tak ada notis atau dimaklumkan, kecuali terus diselit dalam penyata.

Memang ada paten baru agaknya - naik harga atau cukai barang diam-diam.

Yeah. Jangan tak tahu.

Tuesday, February 01, 2011