Sunday, January 23, 2011

Mahasiswa

MAHASISWA dari kota tanah-air
bangunlah!
angkat mata-mu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajak-mu
bersama ke tengah jalan-raya kota.

Lihat berapa teman-mu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani.

Lepaskan tangan halus kekaseh di tasek
atau bersamanya berjalan ke Parlimen
kerana tenaga-mu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

- Petaling Jaya, September 1961.

Sajak Mahasiswa, dipetik dari himpunan sajak terpilih Usman Awang,
Duri dan Api. Penerbitan Abbas Bandong, Melaka.

Friday, January 21, 2011

Sedih

Jika kesedihan ada saiz,
Aku akan terjaga setiap hari dengan segunung kesedihan.
Jika kerinduan ada bahasa dan irama,
Kau akan mendengarkan sebuah simfoni.
Aku tak tahu mana-mana geografi melainkan yang membawa ke selatan.
Dari puncak gunung penglihatan-ku amat jelas
sama seperti Zarqa al-Yamama,
dan ia menjalar menembusi gerbang Baghdad
terus ke jendela-mu.
Utara bertanyakan kepada Selatan tentang-mu.
Puncak gunung bertanyakan bangunan-bangunan Baghdad tentang-mu.
Pohon badam bertanyakan pohon sawit tentang-mu.
Tetapi tak pernah ada jawapan.
Aku meliputi jarak.
Aku merentas gunung-ganang mencari hanya satu kata.
Tetapi kata-kata menghilang dan
jarak itu membunuh-ku.
Katakan kepada-ku bagaimana untuk sampai kepada jalan menuju hati-mu,
beri aku petunjuk dan aku akan tiba di sana.
Aku bersiap untuk perjalanan kepada-mu, cuma berikan aku petunjuk,
dan aku akan datang kepada-mu.

Dari buku Cinta di Tanah Terpisah.

Thursday, January 20, 2011

Cinta

Sekiranya saya diizinkan untuk menyatakan di sini, pengalaman paling bermakna sepanjang 20 tahun ini terbit daripada rasa cinta yang mendalam yang diterima daripada isteri saya, Liu Xia. Dia tidak dapat hadir di mahkamah ini hari ini, tetapi saya tetap ingin mengucapkan kepada-mu, sayang-ku, bahawa saya percaya dengan seluruh isi jiwa ini yang cinta kamu kepada saya akan kekal sama seperti sebelumnya. Sepanjang tahun-tahun ketika saya dipisahkan daripada kebebasan, cinta kami penuh dengan kepahitan yang dipaksakan ke atas kami oleh situasi dari luar perhubungan, tetapi saya tetap menikmati rasa itu, dan cinta kekal bertaut. Saya menjalani hukuman saya di dalam penjara, dan kamu tetap setia menunggu dipenjara hati-mu. Cinta-mu adalah sinar mentari yang mencar, melepasi tembok penjara dan menembusi jeriji besi di mana saya sebagai penghuninya, menghampar di setiap permukaan kulit saya, menghangatkan setiap sel dalam tubuh ini, membolehkan saya untuk kekal tenang, terbuka dan menerangkan hati saya dan memenuhi setiap detik waktu yang ada di penjara dengan penuh erti. Cinta saya kepada-mu pula, disebelah yang lain, penuh dengan rasa bersalah dan penyesalan yang pada masa-masa tertentu menyebabkan saya terketar memikul bebannya. Saya umpama sebuah batu di keliaran, dipukul oleh angin garang dan hujan ganas, begitu sejuk sehingga tak ada orang yang berani memegangnya. Tetapi, cinta saya padat dan tajam, berkemampuan untuk menoreh lepas setiap hadangan. Dan jika saya dihenyak menjadi debu, saya tetap akan mengunakan abu saya untuk merangkul-mu.

- Petikan kenyataan umum terakhir Liu Xiaobo, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010, dua hari sebelum dia dihukum penjara 11 tahun pada 25 Disember 2009.

Sunday, January 16, 2011

Minda

'Cerita-cerita mencabar minda.'

Saya tak faham pernyataan (atau peringatan) seperti itu, apa lagi kalau itu yang ditampilkan di muka-muka awal sesebuah buku. Lagi-lagi kalau ayat sama terpampang di kulit depan. Ini, bagi saya, memberi isyarat yang salah. Semakin ditenung-tenung, ia boleh saja menjadi sebuah pernyataan poyo.

Agaknya, yang cuba ditonjolkan hanya satu; "buku ini tidak sama dengan buku-buku lain yang diterbitkan. Buku ini ada hikmah tersendiri, hidup imajinansi, ada jalan falsafah yang sudah lama direntangi oleh penulisnya dan membantu dalam proses membangunkan cerita-cerita ini."

Tetapi, bila saya mula membaca - dimulakan dengan cerita-cerita yang katanya ada teknikaliti tertentu dan aplikasi teori yang aneh - saya masih gagal menemui nada-nada atau pelajaran yang lunak tentang fiksyen. Banyak khutbah yang diulang-ulang (walaupun sang pengarang cuba untuk tidak mengakui), disorok dengan sedikit latar yang langsung tidak 'mencabar', memetik bacaan-bacaan yang ditemui dalam proses penulisan itu - misalnya jalan-jalan sejarah - kemudian di bancuh dengan yang namanya kepengarangan dan siap; sebuah cerita yang kononnya dibangun daripada landas ilmu yang membawa kebaikan, dan, sudah tentu, memancar sama kebenaran.

Tetapi, yang ada, menurut mata saya tanpa prejudis, tak banyak yang baru. Masih di situ-situ juga. Masih ingin memberitahu bahawa yang menulis itu ilmunya lebih tinggi dari yang menghadap tulisan, tetapi bukan dengan tulisan atau cerita-cerita itu sendiri melainkan ayat-ayat peringatan awal di muka depan.

Pengalih tumpuan. Semacam ingin menggerunkan pembaca, tetapi nil. Yang tercetus hanyalah satu jurang, sebelum si pembaca sempat menelaah dan membangunkan pandangan bahawa cerita-cerita sebegini perlu diambil serius. Tetapi, bagi saya, gayanya lerai. Penyataan yang diletakkan agar yang membaca merasa tidak berada di tahap sama seperti si pencerita. Tembok yang awal-awal dipasang itu untuk mengalih dan mengepung tumpuan pembaca ke satu sudut, untuk percaya. Tetapi, bila kita berani untuk berdepan dengan tembok berkenaan, ia rupa-rupanya bukan simen atau batu. Ia air yang meruap dan meninggalkan perkara-perkara nyata sebaliknya.

Penulis-penulis tempatan ada yang sukakan pernyataan seperti ini. Misalnya, Uthaya Sankar SB melalui Rudra Avatara ada menyelit frasa sama. Faisal Tehrani di dalam Tiga Kali Seminggu juga menyatakan.

Agak menghairankan, mengapa frasa sebegitu jadi tanda aras untuk membangunkan pandangan awal terhadap sesebuah hasil tulisan yang dicanangkan, lebih daripada kekuatan tulisan itu sendiri. Mengapa mengingatkan? Khuatir pembaca akan terkejut dengan kepetahan dan kemurnian gaya berbahasa yang digunakan?

Cerita-cerita fiksyen yang baik (kualiti, bukan moral) akan terus pernafas, akan ditangkap pembaca untuk dinikmati. Tak perlu peringatan daripada sang penulis, seolah-olah dia sendiri yang sedang menilai tulisannya - dan mengatakan ia berada ditingkat yang lain - ketika orang belum pun membaca.

Saya tak ingat mana-mana penulis luar, dengan nama, perjalanan hidup atau mungkin pandangan falsafah yang sudah benar-benar teruji (walaupun kebanyakkannya meninggalkan legasi untuk dianjakkan lagi), yang mengingatkan pembacanya bahawa tulisan yang akan dihadap itu bakal mencabar minda.

Sudah tentu kerja menulis, dan sebuah hasil tulisan itu prosesnya memerlukan otak. Lain kalau di negara ini orangnya lebih suka bermalas-malasan merenung dan membangun keyakinan dengan otak sendiri.

'Cerita-cerita mencabar minda.'

Apa itu, kawan?

Tuesday, January 11, 2011

Mao


Kredit foto: Google.

“Revolusi bukan pesta makan malam,” isytihar Mao Zedong. Tetapi, seperti yang diperjelaskannya pada tahun 1927, ia adalah ”sebuah kebangkitan, sebuah aksi keganasan.” Dia mungkin sedang menegaskan bahawa membangun sebuah negara bukan sebuah perkelahan. Mao terjulang ke tampuk supremasi di dalam Parti Komunis China (CCP), melalui beberapa pembersihan berdarah golongan ’pembaharuan’ dan ’kanan’. Selepas tahun-tahun yang panjang sebagai pemimpin petani pinggiran, dia akhirnya membawa revolusinya ke seluruh China, sekaligus memaksa pesaing dekatnya, Chiang Kai-shek melarikan diri ke Taiwan (ketika itu dikenali dengan nama Formosa). Mengasaskan Republik Rakyat China pada 1949, Mao melaungkan, ”masyarakat China, meliputi se-perempat umat manusia, kini bangun.” Dia kemudiannya menjatuhkan mereka, menolak kepada proses luar biasa modernisasi berperingkat China melalui revolusi berterusan.
Saya menterjemahkan esei Pankaj Mishra - Staying Power: Mao and Maoist - dari laman sesawang The New Yorker untuk JalanTelawi.com. Baca lanjut di sana.


Saturday, January 08, 2011

Kepada-mu Kee

I.

Kadang-kadang, waktu datang dan memasung kita untuk sibuk mengurus kekalutan-kekalutan kecil dalam kehidupan, nikmatnya lain macam. Tak datang bersama gemuruh. Tak datang bersama kecoh. Yang kerap terjelma adalah ketidaksiapan sebuah sistem yang entah macam mana menyeludup masuk dan mempengaruhi keadaan.

Permulaan awal tahun yang sedikit melelahkan emosi. Teknologi betul-betul menduga. Kebergantungan kepadanya sampai ketahap mampu menggugah kelangsungan untuk beraktiviti dalam satu period kehidupan yang sudah terlampau selesa. Dua-tiga hari tanpa komputer menenangkan, membawa perhatian kembali semula kepada hal-hal asas yang lebih mengghairahkan. Muka surat kertas kuning berhabuk waktu inilah bangun dengan angkuh dan menunjukkan ketegaran ego luar biasa.

Perkataan-perkataan dari dalam buku mengumpul tenaga yang indah-indah. Waktu-waktu sunyi selepas tengah malam merancakkan khayal yang bermacam. Tak dapat menaip, tak dapat menekan papan kekunci, cara lama sebenarnya lebih mengesankan. Sebatang pen mata celup Lamy, lembar kertas Moleskine kecil, kata-kata jatuh dari atas dan melekat.

Semalam, mematikan enjin kereta ketika hampir membayar tol. Asap putih mencemar udara dengan penuh kekotoran. Menolak kereta yang tak lagi bernyawa, melepasi gadis tol sebelum dengan sengih yang buat-buat tak tahu, meminta RM1.60, walaupun dalam peluh yang mula merembes sedang menolak kereta melepasi palang tol. Ketololan pengurusuan insurans, hujan rintis, kepuasan wajah-wajah yang memandang dengan sinis dan kehabisan bateri telefon melengkap hari yang panjang. Terima kasih semua. Mujur Sarah McLaughlan meliuk-liuk melagukan nada lembut yang mengasyikkan dalam kepala. Analog dan manual adalah yang terbaik dikala kepunahan sistem kehidupan mula memakan sedikit-sedikit apa yang penah ia sediakan selama ini.


II.

Aku jarang berasa puas bila membaca mana-mana rencana, tentang penulis tempatan, yang ditulis oleh mana-mana wartawan tempatan, dalam bahasa Melayu, yang terbit di media-media Melayu. Banyak yang membuatkan kita terasa hambar dan diperolok, mengangkat dengan cara menulis yang dangkal. Wawancara tidak bersemangat, terkepung dan diselubung norma-norma yang melelahkan pembacaan. Puji-pujian yang artifisial, tanpa kefahaman yang dalam tentang subjek. Jika yang menulis rencana dimedia dengan pendekatan seperti ini, apa lagi manfaat kepada kita yang membaca yang boleh dipinjam? Rencana dan tulisan cetek seperti inilah agaknya yang membangunkan imej-imej tidak menarik kepada subjek yang dilemparkan kepada kita.

Tidak sehingga aku bertemu dengan nama Kee Thuan Chye. Dia mengajari kita, dengan kaedah yang paling merendah diri, bagaimana untuk menulis - sekurang-kurangnya dari sudut pandang dan latar seorang pemberita di Malaysia. Melalui tulisan-tulisannya, aku memahami apa yang selalu disebut sebagai gaya penulisan yang baik. Orang ini menulis dengan penuh gaya, dan tulisannya terpampang di dada akhbar utama New Straits Time di dekad-dekad 80an. Dia menulis profil seniman - daripada penulis, novelis kepada penyair, pelukis, penulis skrip dan sebagainya - dengan penuh kesedaran bahawa sesebuah tulisan itu tidak boleh dihina dengan menuliskannya dengan gaya yang menyedihkan.

Setiap tulisan, sama seperti subjek yang sedang dibukanya, perlu ada nilai tersendiri yang molek dan enak untuk dipersembagkan, bukan sekadar semata-mata sebuah tulisan yang hanya menghimpunkan kata dan huruf tanpa nyawa.

Ketika dia menuliskan tentang penulis Melayu ini, A. Samad Said, walaupun di dalam bahasa Inggeris, aku merasakan tulisan itu menghidupi subjeknya, memprojekkan dengan cara bijaksana setiap kata-kata yang keluar dari mulut Pak Samad di dalam wawancara antara mereka. Perkara ini tidak akan dapat kita nikmati lagi hari ini, tidak sekurang-kurangnya jika mengharapkan tulisan gaya banal di media-media utama yang katanya memelihara khazanah negeri ini.

Aku tak pernah terpesona dengan mana-mana tulisan sekitar sastera, misalnya tentang A. Samad Said, sebelum bertemu dengan tulisan Chye itu. Mengapa dia mampu membentuk pandangan dan imajinasi kita dengan begitu baik sekali – walaupaun dalam bahasa asing – ia terus melekat dan membuat percaya bahawa tulisan itu, subjeknya dan penulisnya benar-benar 'ada', dengan seluruh kefahaman dan energi, untuk membawakan kepada pembaca sebuah rencana yang walaupun ringkas, tetapi tetap mengesankan deria dan fikiran? Mengapa, kita di hari ini, tidak lagi mahu belajar daripada orang-orang seperti ini tentang bagaimana untuk mempersembahkan sesebuah tulisan, dalam apa juga bentuk, dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedikit rasa bangga sebagai seorang penulis yang terlebih dahulu menghormati dirinya sendiri?

Cuba dapatkan buku yang berjudul Kee Thuan Chye: Just in so many words (Views, reviews & other things; Heinemann Asia, 1992) . Duduk dan baca sendiri, sebelum dengan lekas kita akan menyedari perkara-perkara yang sebelum ini dilupakan. Apa lagi kalau namanya ingin menulis?

Monday, January 03, 2011

Januari

Selamat pergi.
Bulan tak lagi dipagar bintang.
Berlalu, tanpa rasa.