Thursday, March 25, 2010

Bukan soalan biasa

Sudah 22 tahun kami hidup, 22 tahun kami sama meranduk pelbagai acara. Organisernya Allah dan participantsnya ialah sekelian manusia, yang kami kenal kami panggil sahabat, keluarga pula adalah yang sedarah dengan kami. Dan sekelian participants lainnya kami cuma sapa biasa-biasa sahaja.

22 tahun kami bersama berinteraksi, setiap acara yang disertai pasti memerlukan kerjasama yang rapat. Jadi boleh kata kami ni amatlah akrab, tidak dapat berpisah. Tapi pepatah kata sedangkan lidah lagikan tergigit, begitu jugalah kami, bahkan selalunya begitulah kami...

Kami adalah dua unsur, hati yang sahabat dan keluarga kami tak nampak, dan yang mereka nampak pula, mereka panggil badan. Jadi kami adalah hati dan badan. Kami akrab, begitulah kami, bahkan setiap masa begitulah kami. Akrab.

Jadi setelah 22 tahun, badan masih lagi dungu. Kadang-kadang apa yang sudah berulang-ulang kali dikata tak boleh buat tapi dibuat jugak. Badan degil, badan suka ikut nafsu. Nafsu tu dari kecil lagi kami tahu dia suka cari pasal. Dia selalu olok-olokkan badan, tipu, perdayakan, goda, badan pula memang fitrahnya mahukan semua benda yang disogokkan tu, maka nanti walaupun kami akrab, akan tetap jualah berbalah. Itulah sebabnya kami guna pepatah sedangkan lidah lagikan tergigit tu. Akrab tapi selalu berbalah. Nafsu puncanya.

Setelah 22 tahun ni, kami sudah banyak faham pelbagai benda. Kami mula faham pelbagai tuntutan dan tanggungjawab. Jadi selepas 22 tahun bergelut, kami rasa untuk baki waktu yang seterusnya, yang kami langsung tak pasti tu, kami nak supaya sudah tiada perbalahan lagi. Rugi nanti asyik berbalah, takut tak sempat bermaafan dan berdamai. Jadi setelah 22 tahun ni, kami teringat balik kepada konsep dosa dan pahala, redha Allah dan murka Allah. Kata kunci antonim-antonim ini ialah takut. Minggu lepas kami pergi ceramah, takut tu lebih sesuai dirujuk sebagai taqwa.

Kami mahu tahu, sampai bila mahu takut? Sampai bila mahu bertaqwa? Selalunya selepas bergaduh, kami akan berdamai sekejap, masa tu perintah Allah kami buat dgn elok, tapi selepas tu mula la, kadang-kadang badan tengah solat, hati entah pergi main apa dekat tempat lain, bukannya nak fokus. Lepas tu ada masa hati meronta-ronta marah dekat badan jangan buat benda jahat, badan tetap degil jugak. Yang buat kami berdamai tu ialah rasa takut, lebih tepat penceramah tu kata taqwa kepada Allah.

Jadi kami buat kesimpulan, kalau kami dapat jaga taqwa tu, kami akan sentiasa damai. Tapikan, selepas kami dah solat, cukup syarat, lepas tu jemaah pula. Kami akan rasa tenang. Seminggu dua lepas tu kami dah tak rasa takut dah, kami tenang. Tapi kami keliru... Tak boleh ke kami nak rasa tenang lama sikit? Sebab nanti bila kami dah macam betul-betul tenang, dah tak takut, mula lah salah satu dari kami buat hal. Jadi selama 22 tahun ni kami hidup dalam kitaran yang sama. Kami dah betul-betul rasa putus asa, rasa lemah, tak berdaya, jemu dan meluat dengan keadaan kami ni.

Lalu kami terfikir, rupanya jangan rasa tenanglah, biarlah tenang tu ada ke tak ada pun, kalau Allah nak bagi, maka tu hak Dia, tapi yang utama kami kena rasa takut setiap masa. Dah solat dengan baik pun, kami kena rasa takut, sebab esok lusa mungkin kami ingkar lagi. Dah sedekah pun, kami kena takut juga, sebab takut nanti esok lusa kami jadi bakhil lagi. Dah puasa pun, esok lusa mesti kami akan diuji lagi.

Dari 22 tahun yang lalu lagi sepatutnya kami tahu hal ni. Kami tak boleh hilangkan rasa takut tu. Sebab bila hilang, Allah tahu kami dah rasa yakin sangat dengan diri kami sendiri, dah rasa cukup tenang dah, lalu Allah akan murka sebab kami sombong. Tapi betullah penceramah tu kata, bukan senang nak sedar walaupun perkara yang nampak ringkas, 22 tahun sudah. 22 tahun merana. 22 tahun dalam dosa. 22 tahun dalam nista...

Kami takut,
kepada pengakhiran kami...

Rupanya kami kena takut sampai ke mati.

Yazid & Villma




Assalamualaikum wbt.


Sudah hampir seminggu lebih lagi IGK dimaklumkan tentang perancangan kawan kita ni, tapi tak sempat nak pos, dan kalau tak ada gambar tak seronok juga kan? Jadi alang2 IGK tunggu gambar-gambar dari saudara Yazid. Kepada saudara yazid dan kawan-kawan yang lainnya, harap maaflah kerana kelewatan yang berlaku. IGK juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan atas usahasama saudara Yazid yang sangat proaktif.

Yazid kalau pada sesiapa yang tak kenal adalah orang Pulau Pinang, masa dekat KISAS dulu beliau adalah pelajar kelas 404 dan 504, juga menjadi ahli BADAR. Selepas SPM, Yazid sambung belajar di Nilam Puri,Kelantan kemudian ke Asasi UM sebelum menyambung Ijazah.

Sempat juga IGK temuramah Yazid secara live, dan pernah melawat rumahnya di Taman Guar Perahu tu, kesimpulannya dari apa yang kami bincangkan, memang IGK dapat tengok si Yazid ni ada rentak dan pendirian sendiri. Outspoken person dan untunglah dia masuk KISAS, nanti bila dah grad boleh la sumbang tenaga ye Yazid? Jadi langkah fasa yang beliau sudah alami ni, adalah langkah permulaan lah orang kata, sebelum terbentuknya famili muslim dan kemudian generasi-generasi akan datang yang bakal berkhidmat kepada agama khususnya.

Mohd Yazid bin Mohd Noor telah bersahabat dan berkenalan dengan Villma Nabiha binti Md. Affindi hampir 4 tahun. Tunang beliau merupakan pelajar Ijazah Bioteknologi di UM, dan untungnya mereka ni berkongsi pengajian, umur, batch, dan kolej. Yazid orang jati Pulau Pinang dan menetap di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama keluarga tercinta. Merupakan anak ketiga dalam keluarganya. Pasangannya pula merupakan orang Johor dan kini bermastautin di Putrajaya.

Majlis pertunangan telah diadakan secara sederhana di rumah beliau dan dihadiri oleh saudara mara serta beberapa sahabat dari UM (nak tolong jadi buruh kasar katanya). Majlis bermula pukul 2 petang.

Sedikit perkongsian dari Yazid dengan memetik Firman Allah dari surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian antara kamu, dan dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mampukan mereka dengan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui.”

IGK mendoakan supaya ikatan diberkati Allah dan semoga dimurahkan rezeki dan kelak dipersatukan sebagai suami isteri pula dalam masa terdekat. Semoga dengan pertemuan dan ikatan ini, Yazid dan Villma akan lebih tenteram hati dan lebih fokus dalam melaksanakan agenda kehidupan. Semoga kalian diberkahi Allah!

Sekian sahaja dari IGK! Jangan lupa kepada yang dekat luar sana, kalau sudah sampai seru, jangan lupa sebarkan seruannya ya.

Wassalam...