|
Lukisan seorang pemalas, dengan gaya malas -_- |
Sekolah
Sekolah... tempat memproses komponen-komponen kecil yang akan
melengkapkan sebuah masyarakat.
Sekolah... umpama dunia kecil dengan organisasi tersusun.. nampak ringkas dan mudah namun
cukup kompleks bagi mereka yang cuba masuk ke dalamnya.
Di sini juga ada mikropolitik, perlumbaan merebut kuasa, mengejar nama
dan pangkat... umpama sebuah dunia sebenar. Cuma dengan skala yang lebih kecil.
Dunia kecil ini, bukan berdiri sendiri dengan kudrat sendiri. Ada
kuasa-kuasa lebih besar di atas yang kadang-kadang menghulur tali pertolongan,
tangki udara membantu pernafasan, dan kadang-kadang menghulur sebeban
tanggungjawab besar yang perlu digalas.
Pejabat
Tempat bermula segala aktiviti. Punch in sama ada awal atau terlewat... terkocoh-kocoh berlari mengejar masa yang
suntuk. Dan ada yang selamba biarpun loceng telah berbunyi J
Di sini tempat arahan diberi. Pusat pentadbiran dan pertemuan empat
mata dengan pegawai atasan mahupun ibu bapa.
Tunjang dan paksi yang menentukan keutuhan sebuah sekolah.
Tapak perhimpunan
Tempat berkumpul semua warga sekolah di waktu pagi. Pelbagai ragam dan
perangai murid dapat dilihat. Ada yang semangat ada yang lesu. Ada yang awal
dan ada yang lewat.
Tempat segala pendidikan bermula. Disiplin dan menepati waktu. Sama
ada sedar atau tidak, pembelajaran telah bermula sebaik sahaja melangkah masuk
ke pintu pagar sekolah.
Belajar bagaimana mahu hidup sebagai seorang manusia.
Bilik Guru
Tempat paling meriah dan pusat kehidupan di sekolah. Hampir 80 % drpd
jumlah guru berkumpul kat sini .
Pusat segala cerita dan gosip... terkadang ditokok tambah bertukar
fitnah. Cerita baik dan buruk paling senang tersebar di sini, dan menembusi
celah dedaunan pintu bilik ke dunia luar dari bilik guru, berjangkit dari bilik
ke bilik.
Aku, sedaya upaya menjadi neutral. Menapis segala cerita cukup
berhati-hati agar tidak menjadi bencana.
Mungkin kerana penghuninya ramai kaum perempuan, kecohnya kadang2 luar
biasa.
Ada kalanya bertukar menjadi pasar, umpama Year End Sale tempat
berjual beli pelbagai barang.
Atau pusat fesyen, memperagakan aksesori dan pelbagai gaya pemakaian.
Ada tikanya menjadi babak drama, bila plot sedih dan tragedi menusuk
kalbu.
Tapi kebiasaannya penuh senyum dan gelak tawa, ramah dan menyenangkan.
Di bilik guru ini, menjadi tempat melepaskan tekanan, dan juga
mendapat tekanan.
Aku, memilih untuk jauh dari kebingitan ini, mengasingkan diri di
ruang terpencil, bersama beberapa kerat kaum lelaki yang wujud.
Bilik Mesyuarat
Tempat segala program dan aktiviti dibincangkan.
Kadang2 berjalan lancar, kadang-kadang berubah tegang.
Ada yang menjadi ahli aktif menyumbangkan idea, dan ada yang hanya
menjadi pendengar setia. Pelbagai ragam mencatat butir perbincangan... atas
buku, atas kertas, smartphone, dan ada hanya dalam mimpi... terpejam mata
melangkaui batasan dimensi waktu.
Aku, setia mencatat atas helaian kertas, dalam bentuk abstrak yang
hanya mampu difahami aku.
Kelas
Tempat pertemuan paling kerap dan lama antara guru dan pelajarnya.
Menjadi medan persiapan bagi perjuangan, kehidupan dan peperiksaan.
Segala ilmu dicurah dan ditimba di sini. Biarpun kadang2 tiada yang
mahu mendengar.
Segala kesabaran, skil dan pengetahuan teruji di sini. Sama ada mampu bertahan
atau kerap kali jua berakhir dengan tangisan sang guru.
Anak-anak sekarang tak sama macam dulu-dulu, pintarnya memeningkan,
cerdiknya kadang-kadang menyusahkan.
Tapi ini tempat yang menyeronokkan, jika kena dengan caranya. Mudah
atau payah, bagaimanapun cabarannya, itu satu tanggungjawab.
Tempat ini, tempat seorang guru mengajar dan juga belajar.
Aku, kadang-kadang hilang kesabaran jua.
Bilik Kaunseling
Bagi aku ia bilik ajaib, tempat tumpuan pelajar yang hilang arah, yang
berkrisis dengan diri dan orang sekeliling. Masuknya membawa hati yang gundah,
namun keluar dengan rasa yang lebih lega dan senyuman.
Bilik ini, tempat mengadu segala masalah, atau sekadar peneman bicara.
Namun tak bermakna penunggu bilik ini sendiri bebas dari belenggu masalah. Adat
hidup, manisnya takkan terasa jika tanpa ada ujian menduga.
Aku, menjadi kagum dengan keajaiban bilik ini biarpun sampai sekarang
belum pernah menjejakkan kaki ke sana.
Bilik Peperiksaan
Bilik ini menjadi salah satu sumber pelajar menjadi stres. PEPERIKSAAN. Perkataan yang kurang disenangi sesetengah pelajar.
Segala data dan maklumat ujian atau peperiksaan disimpan di sini.
Terkadang penunggu bilik ini menjadi mangsa rungutan para guru dek kerumitan
sistem yang tak pernah menyenangkan.
Aku, menjadi penghuni setia di sini tiap kali peperiksaan menjelma.
Tandas Guru
Tempat melepaskan segala hasil pencernaan yang diproses sepanjang
hari. Membuktikan guru juga insan biasa, perlu membuang sama ada yang besar
mahupun kecil.. seperti orang lain.. haha
Aku, pun manusia jugak... :P
Inilah sekolah, yang penuh ragam dan pancarobanya yang tersendiri.
Selagi bekerja dengan manusia, karenahnya sentiasa ada.
Mungkin hari ini orang lain buat silap, tapi mana tahu satu hari nanti
giliran kita? Jadi sama sama terima seadanya.
Di sini , sama macam organisasi dan jabatan lain... ada karenah dan
masalahnya, sebab semuanya bertunjangkan manusia.
Budaya tikam menikam, menggunakan pisau halimunan namun tajamnya
menghiris dalam.
Ada yang kaki bodek, mahu tunjuk konon dia yang terbaik,
Ada yang kaki gosip, semua nak diadu domba, mengorek rahsia sehingga
dalam kain,
Ada yang nak tunjuk hebat, kerjanya tak seberapa, tapi kalau boleh
biar semua orang nampak.
Ada yang kerjanya memang hebat, sahsiahnya terpuji, namun dipandang
sebelah mata,
Ada yang kerjanya senyap-senyap... namun berkualiti...
Ada yang mengelat, semua kerja nak ditolak...
Ada yang nampak baik, tapi gunting dalam lipatan...
Ada yang tegas dan garang menegur, namun niat mahu mendidik...
Ada yang macam seorang ibu, pandangannya menyejukkan hati,
Ada yang biasa-biasa, kerjanya biasa dan kehidupannya biasa...
Ada yang buat hal sendiri, tak suka diganggu dan tak mengganggu...
Aku, hanya mampu berdoa agar tak tergolong dalam salah satu kategori
yang tidak disukai itu...
Hidup dalam dunia orang dewasa, tak sama macam hidup di alam remaja.
Baru aku tahu, inilah kedewasaan, bukan sekadar dimamah usia. Bukan
sekadar satu angka.
Hidup dalam dunia ini kena banyak bertoleransi, hormat menghormati...
sebagaimana kita mahu orang menghormati hak kita, sebegitu jugalah
kita perlu menghormati hak orang lain.
Kena terima hakikat, bahawa kita hanya seorang manusia .. tak
selalunya sempurna tiada cela.
Sekolah... bagi aku, sebuah tempat yang menarik dan menyeronokkan. Juga
memeningkan. Err...
Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)