Jumaat, 8 Julai 2011

JUMAAT "REVOLUSI YANG UTAMA" DI SELURUH MESIR SEMALAM


Himpunan aman seluruh Mesir Jumaat, 8 Julai menyaksikan jutaan rakyat keluar di bandar-bandar utama dengan dinamakan Jumaat "Revolusi Yang Utama" dan sesetengahnya menamakan sebagai Jumaat "Desakan". Tujuan utama himpunan hari ini dianjurkan bagi mendesak kerajaan dan Majlis Tentera menyegerakan perbicaraan terhadap Mubarak dan mengenakan hukuman bunuh balas (qisas) kepada mereka yang membunuh penunjuk perasaan sepanjang revolusi Januari lepas.
Banner tertulis "Rakyat Mahu Mubarak Dibicarakan"

Dengan melaungkan slogan "Rakyat Mahukan Mubarak Dibicarakan" menggantikan "Rakyat Mahukan Presiden Diguling" sebelum 25 Januari, rakyat mahu kementerian dan agensi kerajaan 'dibersihkan' dari anasir-anasir yang pro-Mubarak dan kerajaan sebelum ini. Tuntutan mereka khas buat Kementerian Dalam Negeri Mesir yang dilihat masih dikuasai pegawai tinggi yang dilantik Mubarak ketika diterajui bekas menteri, Habib 'Adli. Bagi mereka yang menamakan sebagai Jumaat "Revolusi Yang Utama" sebagai mencari jalan penyelesaian kepada rakyat sebelum ini, sebahagiannya mahukan pilihanraya Parlimen didahulukan dan satu pihak lagi mahukan Perlembagaan digubal terlebih dahulu sebelum diadakan pilihanraya. Bagi menyelesaikan pertikaian tersebut, rakyat menamakan hari ini sebagai "Revolusi Yang Utama" iaitu memelihara dan melaksanakan tuntutan revolusi adalah yang utama dari kedua-dua tuntutan yang hangat dibincangkan.
Al-Azhar turut berperanan mencetuskan kebangkitan rakyat

Di dataran Tahrir, hampir 100 ribu rakyat berkumpul di dataran bersejarah itu sejak awal pagi hingga ke malam ini dan ada sebahagian mereka yang akan berkampung dengan khemah-khemah yang didirikan di sekitar dataran tersebut hingga kerajaan dan Majlis Tentera memenuhi tuntutan mereka. 25 buah pertubuhan dan parti politik termasuk pertubuhan pemuda dan gerakan pembaharuan selain Ikhwan Muslimin dan Parti Nur yang diasakan oleh golongan Salafi menyertai himpunan hari ini. Buat pertama kalinya, anggota polis dan tentera tidak berkawal himpunan tersebut kecuali penganjur menempatkan puluhan pemuda sebagai petugas sukarelawan yang berkawal sepanjang himpunan. Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan juga menempatkan sebanyak 44 buah ambulans, puluhan doktor dan 10 buah klinik bergerak bagi langkah jika berlaku kes kecemasan terhadap peserta himpunan. Ramai memuji langkah kerajaan tersebut sebagai menunjukkan kerjasama mereka dalam menjayakan himpunan aman tersebut. Lebih menarik, pemuda Ikhwan Muslimin mendirikan pentas khas di dataran tersebut dan mengundang beberapa orang paderi memberikan ucapan setengah jam sebelum bermulanya solat Jumaat.

Himpunan sama juga berlaku di wilayah-wilayah lain seperti 'Arish, Tanta, Iskandariah, Matruh, Buhaira, ElMinia, Asyut, Qina dan Aswan.

Di Suwes, himpunan yang berlangsung di dataran 40, pusat bandar dimasuki seorang perusuh yang ingin mencetuskan kekacauan dengan melepaskan tembakan ke udara. Lelaki tersebut kemudiannya dicekup dan dipukul mereka yang menyertai himpunan sebelum diserahkan kepada pihak tentera.
Gambar Mubarak dibakar di Sharm El-Sheikh

Himpunan turut berlaku di bandar Sharm El-Sheikh apabila puluhan rakyat berkumpul di hadapan Hospital Antrabangsa Sharm El-Sheikh selepas solat Jumaat menuntut Mubarak dibicarakan. Mubarak kini dilaporkan berada dalam hospital berkenaan kerana menerima rawatan selepas digulingkan. Mereka menuntut Mubarak keluar dari Sharm El-Sheikh sambil melaungkan slogan "Mubarak!Mubarak! Keluar dari Sharm El-Sheikh".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan