Wanita Islam Pembentuk Ummah


Dalam menghayati gaya hidup Islam, kita perlu kembali kepada proses awal Tarbiah Islamiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di bawah petunjuk Allah Ta'ala. Proses tarbiah ini perlu diikuti dalam membentuk sesebuah Ummah Islamiah. Asas bagi membentuk ummah ialah dengan pembinaan keluarga, maka permulaan untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah dengan memperbaiki wanita.

Wanita disebut sebagai pendidik yang pertama dalam memainkan peranan untuk mendidik sesuatu generasi. Wanita yang mana tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya mampu menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa :

“Wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.”

Sebagai pendidik, setiap wanita Islam perlu melalui proses Tarbiah Islamiah dan jika tidak terlaksana proses ini maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan dari wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan Islam yang sempurna.

TUGAS WANITA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH

Sekiranya seorang wanita Islam ingin mengetahui tentang kedudukannya di dalam Islam, maka dia perlu mengetahui tanggungjawabnya di dalam kehidupan yang telah diciptakan oleh Allah SWT, dan dia perlulah berusaha untuk memperlengkapkan dirinya dengan beberapa perkara asas :

>>Memperlengkapkan diri dengan thaqafah

Adalah wajib bagi seseorang wanita Islam untuk memperlengkapkan dirinya dengan dua jenis thaqafah iaitu :

I. Thaqafah Syar’iah
Iaitu yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' terutama yang menyentuh fardhu 'ain yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang bergelar wanita Islam.

II. Thaqafah Mu’asoroh
Iaitu yang berkaitan dengan pengetahuan semasa mengikut realiti yang berlaku dari semasa ke semasa di negara kita dan juga di luar.

>>Memperlengkapkan diri dengan akhlak yang mulia agar menjadi seorang yang bersyakhsiah tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk diri, keluarga, masyarakat demi mencapai keredhaan Allah SWT.

TANGGUNGJAWAB UTAMA MUSLIMAH

>>Tanggungjawab terhadap addeen (agama Islam)

Maksud tanggungjawab terhadap deen ialah :

(1)Wanita Islam hendaklah beriman dengan Allah SWT dengan sepenuh keimanan sehingga sampai ke peringkat yakin, yang mana keyakinan tersebut dapat mengambil tempat di dalam jiwa mereka serta menjadi panduan rohani bagi mengatur fikiran dan amalannya.

Keyakinan yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan yang membawa seseorang hamba merasai setiap urusan di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Begitu juga keyakinannya terhadap hari akhirat. Dia mesti merasakan bahawa itulah matlamat akhir bagi kehidupannya sebagai seorang muslimah. Justeru itu, aspek kerohanian seorang wanita itu mestilah diproses dengan acuan tarbiyah yang betul supaya ia benar-benar berfungsi untuk menerima hakikat kepercayaan pada hari akhirat. Ada pepatah Arab yang bermaksud :

"Tidak ada kampung selepas mati ini untuk seseorang itu tinggal di dalamnya melainkan apa yang dibina dengan amalan-amalan-nya."

(2)Seorang wanita Islam mestilah meneliti perintah Allah SWT dengan penelitian yang jitu dari segi suruhan mahupun tegahanNya. Tetapi di dalam kehidupan masyarakat hari ini, adakah mereka benar-benar meneliti segala suruhan dan tegahan Allah S.W.T?? Sekiranya mereka meneliti dengan penelitian Islam tentulah tidak wujud kehidupan jahiliah yang bertebaran di mana-mana sahaja dewasa ini. Penelitian yang bersungguh-sungguh memerlukan suatu kefahaman dan kesedaran yang betul di dalam jiwa umat Islam. Jika tidak wujud kesedaran dan kefahaman yang betul, bagaimana umat Islam hendak mengenal perbezaan antara jahiliah dan Islam. Maka, akan wujudlah kehidupan yang mencampur adukkan antara Islam dan jahiliah. Pada hari ini, kita menerima Islam melalui adat dan warisan. Kita tidak menerima Islam melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Tetapi kita seharusnya menerima Islam menerusi keyakinan kepada Allah SWT dan junjungan Muhammad SAW yang membawa agama ini.

Segala jenis ilmu yang digariskan di dalam Islam mestilah diketahui oleh para wanita, kerana bukan lelaki sahaja yang perlu melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut, malahan wanita merupakan sebahagian daripada pengeraknya. Setiap wanita yang hendak melaksanakan Islam, dirinya akan diukur dengan kemampuan ilmu yang ada pada dirinya. Sebagai contoh Saidatina Aisyah RA, beliau mengetahui satu persatu tentang realiti dan syara'. Apabila para sahabat bertanyakan kepadanya tentang hukum, beliau mampu memberikan fatwa. Sekiranya beliau hanya mengetahui syara’ sahaja tanpa realiti, fatwa yang dikeluarkannya tidak betul. Oleh itu amatlah perlu bagi seorang wanita Islam membaca suratkhabar, majalah islamik dan bahan bacaan yang seumpama dengannya. Semua ini sangat berguna dan berfaedah. la dipanggil thaqafah istibanah.

Thaqafah Istibanah terbahagi kepada dua bahagian iaitu SYARA' dan REALITI. Membaca merupakan ilmu untuk mengetahui tentang realiti. Kalau realiti tidak diketahui maka sukar untuk menghukum. Misalnya Asma binti Abu Bakar, beliau seorang yang faham tentang realiti. Manakala, Fatimah binti al-Khattab, seorang yang aktif dalam kegiatan Islam. Beliau bukan sahaja faham secara terperinci berkaitan realiti, malah siasah harakah yang baru diwujudkan oleh Rasulullah SAW juga difahaminya. Jika hendak dibandingkan dengan wanita hari ini dari segi kefahamannya, ternyata jauh bezanya.

>>Tanggungjawab terhadap rumahtangga dan keluarga.

Hendaklah rumahtangga itu diasaskan di atas dasar taqwa kepada Allah SWT sejak hari pertama lagi diwujudkan rumahtangga tersebut ataupun dalam usaha untuk mewujudkannya. Tidak boleh diwujudkan rumahtangga berasaskan adat, nafsu ataupun nilai-nilai masyarakat.

Tetapi hari ini adakah kita seumpama itu?? Hari ini ternyata rumahtangga itu ditegakkan di atas asas lain. Di atas asas keinginan untuk berumahtangga misalnya, bukan atas asas taqwa kepada Allah SWT. Rumahtangga seseorang Muslim hendakah dipenuhi dengan roh yang diredhai oleh Allah SWT. Hendaklah segala tindakan dan tuntutan sesebuah rumahtangga itu berada dalam batas syar’iah. Mestilah seimbang, tidak lebih dan tidak pula kurang. Pertimbangkan dengan cara yang cukup sederhana.

"Sebaik-baik urusan ialah kesederhanaan."

Saidina Osman misalnya, kudanya lebih baik dan lebih cantik daripada kuda Rasulullah SAW, rumahnya lebih baik dan lebih cantik, begitu juga hamparannya. Ini kerana kemampuan yang ada padanya, beliau mempergunakan nikmat Allah SWT berdasarkan kepada keimanan bukan berdasarkan hawa nafsu. Sekiranya kita melaksanakannya berdasarkan hawa nafsu, akan lahirlah sifat seperti menunjuk-nunjuk. Tetapi berbeza pula jika ia berdasarkan keimanan, sesuatu yang dilakukannya itu di dalam rangka mensyukuri nikmat Allah SWT.

>>Tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sekiranya seorang wanita Islam itu tidak ada perhubungan dengan masyarakat atau berpisah daripada masyarakat, maka akan lahirlah masyarakat yang tidak mempunyai unsur-unsur Islam. Oleh itu, dalam hal ini kita mesti bersama-sama dengan masyarakat dalam melahirkan tindakan berpandukan ajaran Islam agar masyarakat itu lahir dengan amalan Islam. Justeru itu, kita perlu berjuang bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran Allah SWT dan tidak takut kepada ugutan dan gangguan dalam menegakkan kebenaran agama Allah SWT.

Bagi mereka yang mengaku hendak melakukan kebaikan kepada manusia, maka akan terbentang di hadapan mereka pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan, kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut:2-3)

Dalam memahami fikrah yang sebenar untuk menyampaikan Islam kepada orang lain, dan di samping bertindak melaksanakannya wanita itu mestilah bergiat di dalam gerakan Islam dengan bersungguh-sungguh, yang memerlukan perjuangan dan pengorbanan wanita yang sangat besar.

Walaupun begitu, wanita yang tidak ada thaqafah islamiah sangat ramai bilangannya. Hal ini amat memerlukan tenaga yang besar dari mereka yang sedar akan kepentingannya bagi menyampaikan ilmu yang betul dan tidak takut serta tidak gentar kepada ugutan, pandangan dan tindakan negatif orang lain. Hati yang dididik oleh iman, tidak takut dengan kekejaman manusia, tidak gelisah dengan sindiran manusia bahkan merasa cukup Allah SWT sebagai tempat mengadunya.

Lihatlah bagaimana hubungan terus dengan Allah SWT yang tercerna dalam diri para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW dan lihatlah bagaimana tekad bulatnya penyerahan diri Zainab Al-Ghazali kepada Allah SWT, yang tidak putus hubungannya dengan Allah SWT, walaupun beliau di dalam keadaan genting sekali pun. Beliau meletakkan keyakinan bahawa Allah akan menolong mereka yang memperjuangkan ajaranNya, sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Oleh itu, setiap daripada kita yang bergelar wanita Islam hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari kita yang mana ia menjadi perkara asas untuk memperbaiki keluarga serta masyarakat dengan Fikrah Islam.

"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah ke atas kami ketenangan, dan tetapkanlah pendirian kami bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati kami dengan mengingati Mu, dan kurniakanlah akan kami keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai."

Risalah أيتها الفتيات (Bil : 2)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011