10 Mei 2011

Waspada Jemaah Haji: Jangan Terbeli Air Zamzam Palsu

Makkah: Sejumlah besar pendatang haram dan sesetengah warga Arab Saudi menjadikan kerjaya menjual air Zamzam palsu kerana mampu meraih keuntungan lumayan.

Gambar: RAMAI pendatang asing dan warga Arab Saudi sendiri didakwa menjual air Zamzam palsu di Makkah.

Mereka mencampurkan air suci itu dengan air biasa dan menjual campuran terbabit sebagai air Zamzam asli.

Penjual air Zamzam palsu berleluasa di sepanjang lebuh raya, di sekitar jalan keluar dan masuk ke Makkah dan berhampiran masjid suci. Mereka terus menjalankan perniagaan haram tanpa mengendahkan pihak berkuasa yang sentiasa memburu mereka.

Arab News membuat tinjauan ke tempat di mana air Zamzam palsu dijual. Kunjungan bermula berhampiran Masjidil Haram di kawasan Al-Ghazzah, di mana ramai orang dari kalangan masyarakat Afrika melakukan kerja haram itu.

Mereka membeli tong kosong baru dalam pelbagai warna, meletakkan kuantiti sedikit air Zamzam di dalamnya dan memenuhkan bakinya dengan air biasa.

Mereka melakukan campuran air di tempat tersembunyi dan kemudian membawa produk palsu berkenaan ke kawasan Al-Ghazzah yang penuh dengan jemaah dan pelawat.

Operasi penjualan berterusan 24 jam sehari, namun mereka akan melarikan diri dan bersembunyi apabila dikesan pasukan keselamatan.

Di kawasan Kudai, yang mempunyai stesen pengepam air Zamzam, sejumlah warga Afrika, Myanmar dan Bangladesh, memenuhkan tong dengan air Zamzam.

Mereka mengosongkan bahagian air dalam bekas lain, memenuhkannya dengan air biasa dan menjual campuran itu kepada jurujual di sekitar Lebuh Raya Jeddah-Makkah.


Mereka melakukan kegiatan haram itu jauh daripada pandangan polis. Sepanjang lebuh raya, terutama berhampiran stesen minyak di sekitar tempat keluar Makkah ada sekumpulan orang menjual air palsu tanpa henti.

Mereka memuatkan bekas air dalam trak kecil yang diletakkan di sana dan kemudian menutupnya dengan kain.

Mereka balik ke rumah pada waktu malam dan kemudian kembali pada hari berikutnya untuk meneruskan kegiatan. Air yang dijual itu yang mungkin terdedah kepada cahaya matahari dan habuk, menjadikan produk palsu itu tidak bersih.

Penjual air Zamzam palsu mungkin mengaut keuntungan lebih SR400 (RM318.91) sehari dan meningkat sehingga SR600 (RM478.36) ketika hujung minggu dan cuti sekolah musim panas. Segelen besar air campuran itu dijual dengan harga SR15 (RM11.96), sederhana pada harga SR10 (RM7.97) dan kecil pada harga SR5 (RM3.98). Mereka membeli air Zamzam di stesen pengepam pada harga SR2 (RM1.59) segelen. – Agensi

[Video] Ada Cubaan Untuk Membunuh Anwar

Pemandu peribadi Ketua Umum PKR hari ini, membuat laporan polis mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga.

Abdullah Sani bin Said (gambar) yang berkhidmat dengan Anwar selama 28 tahun membuat laporan polis pada pukul 4.00 petang di Balai Polis di Merchant Square, Damansara. Beliau di iringi peguam Murnie Hidayah binti Anuar dan Afiq Mohd Noor.

Menurut Abdullah Sani, pada 19 April lalu, beliau memandu kereta jenis Mercedes Benz S350, membawa Ketua PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ke Perak.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Chemor dengan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sekitar jam 1 pagi, secara tiba-tiba sebuah lori memasuki lorong kanan dan Abdullah terpaksa tekan pedal brek secara mendadak.

“Saya terasa kereta yang dipandunya bergegar kuat tidak seperti biasa.

Tayar kanan bahagian belakang terkunci dan tersekat,” katanya.

Apabila berjaya menghentikan kereta dibahu jalanraya, Abdullah melihat serpihan brek disc brake di atas jalan.

Setelah menghantar kereta ke bengkel untuk membaikinya mekanik bengkel tersebut memberitahu bahawa brek disc belakang hilang satu caliper guide pin bolt.

“Saya terkejut kerana dalam pengalaman saya tidak mungkin pin bolt boleh tanggal sendiri atau jatuh. Saya percaya ini adalah satu muslihat oleh pihak tertentu untuk membuat sesuatu terhadap Anwar dan keluarganya,” tambahnya.

Beliau mengambil masa satu bulan untuk membuat laporan polis kerana menunggu laporan bertulis daripada bengkel kereta.

Menurut laporan bertulis Azman Hassan, ketua mekanik bengkel RCY Benz Auto Service Sdn Bhd, agak mustahil ‘pin bolt’ yang mengikat ‘brake caliper’ boleh tercabut dengan sendiri.

Sementara itu, peguam Murnie Hidayah berkata pihaknya tiada mengesyaki sesiapa dalam hal ini dan menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.-FMT


Pemandu dakwa kesan usaha mahu bunuh Anwar, brek kereta diusik

PETALING JAYA, 10 Mei — Pemandu Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya mengesan usaha untuk membunuh majikannya dengan cuba merosakkan sistem brek kereta Mercedes Benz dipandunya, bulan lalu.

Laporan polis dibuat di balai polis Tropicana di sini petang ini oleh pemandu Anwar, Abdullah Sani Said.

Balai polis itu terletak beberapa pintu dari ibu pejabat PKR di sini.

Abdullah Sani, 51, yang merupakan pemandu bagi Anwar sejak 28 tahun lalu mengesan usaha itu pada 19 April lalu selepas satu insiden ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari Perak, memandu Mercedes Benz S350 bernombor KCD 77.

Katanya, kereta itu dipinjamkan kepada Anwar oleh rakan beliau.

Ketika kejadian kata Abdullah Sani, dia dan seorang pembantu Anwar iaitu Mohd Nurol Sayah baru sahaja mengambil isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dari satu majlis PKR di Chemor dekat Ipoh.

“Ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan kira-kira 1 tengah hari, sebelum susur keluar Sungkai dekat KM353, sebuah lori secara tiba-tiba memotong ke arah laluan kanan dan memaksa saya menekan brek kereta,” katanya dalam laporan polis dibuat hari ini.

Abdullah Sani berkata, ketika dia cuba menekan brek keretanya, Mercedes S350 dipandunya mula menggetar dengan kasar.

“Saya dengar bunyi seolah-olah ada yang bunyi kasar dari bahagian belakang.

“Secara tiba-tiba tayar belakang seolah-solah terkunci dan tersekat, memaksa saya sedaya upaya memandu kereta ke arah bahu jalan,” katanya.
Kata Abdullah Sani, pemeriksaannya mendapati ada serpihan cakera brek kereta yang telah berpecah di atas jalan.

Katanya, dia dengan segera menghubungi kereta tunda di Slim River dan kereta itu dibawa ke bengkel RCY Benz di Glenmarie, Shah Alam untuk pemeriksaan.

Di bengkel, kata Abdullah Sani, dia dimaklumkan oleh mekanik bahawa cakera brek bahagian belakang kehilangan satu ‘pin bolt’, yang lazimnya berperanan sebagai penyokong kaliper brek.

“Saya dimaklumkan mustahil bagi ‘bolt’ terkeluar tanpa diusik,” katanya.

Kata Abdullah Sani, berdasarkan penjelasan mekanik, adalah jelas bahawa “ada pihak” yang telah cuba untuk mengusik kereta dengan matlamat mahu “menyebabkan kecederaan atau membunuh” ketua pembangkang atau anggota keluarganya.

“Dan, atas nasihat mekanik, ini menunjukkan bahawa ada elemen sabotaj, dengan melihat kenderaan ini selalu digunakan oleh Anwar,” katanya lagi.

Kata Abdullah Sani, dia khuatir tentang keselamatan dirinya dan ketuanya, oleh itu berharap polis akan menjalankan siasatan dengan segera.

Aduan Abdullah Sani disusuli dengan laporan daripada mekanik bengkel, Azman Hassan.

Dalam deklarasinya, Azman mengesahkan “mustahil bagi ‘pin bolt’ untuk terkeluar dengan sendirinya tanpa diusik oleh mana-mana pihak.

“Saya mendapati punca insiden disebabkan oleh kehilangan satu ‘pin bolt’ pada kaliper brek.

“Untuk pengetahuan anda, perlu ada dua ‘pin bolt’. Kehilangan salah satunya yang menyebabkan keseluruhan sistem brek sebelah kanan di bahagian belakang kereta rosak,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, kata Azman, yang sudah 10 tahun bekerja sebagai mekanik dan pakar dalam kerja-kerja menyelenggara kereta Mercedes Benz selama tujuh tahun, mustahil bagi ‘pin bolt’ terkeluar dengan sendirinya.

Di luar balai polis, wakil Lawyers for Liberty Murni Hidayah Anuar yang menemai Abdullah Sani berkata, dia membuat laporan kira-kira sebulan selepas kejadian kerana mereka menunggu laporan siasatan mekanik.

Abdullah Sani berkata, dia pernah memeriksa sistem brek kereta itu Oktober lalu dan tidak mengesan sebarang kekurangan pada kenderaan itu. -TMI




Video Seks, Kristian & Kini "Pandi Kutty"

Pandi Kutty - Anwar dakwa difitnah lagi

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi didakwa difitnah apabila dituduh menggunakan perkataan kesat “pandi kutty' terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu ceramah di Klang Sabtu lalu.

TV Selangor yang merakamkan ceramah penuh itu dalam laporannya hari ini berkata pita mereka langsung tidak menunjukkan Anwar menghamburkan perkataan kesat itu terhadap Najib.

Sebaliknya, pada ceramah itu Anwar membidas Najib dan taktik kotor politik yang digunakan Umno untuk menjatuhkan beliau.

Katanya, Umno-BN sebagai parti terdesak yang menggunakan video lucah untuk mengaibkannya.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutti."

Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” kata Anwar pada ceramah itu..

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan muka depan komen juak-juak Umno yang membidas Anwar, kerana kononnya menggunakan ungkapan pandi kutty terhadap Perdana Menteri .

Malah, akhbar milik Umno itu mencetak reaksi lucah seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami “sindrom pra-haid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya.”

Hamidzun seperti pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk Khairy Jamaluddin, Ibrahim Ali dan Mohammad Ezam Mohd Noor membidas Anwar hanya berasaskan laporan Utusan, tanpa mengesahkan kesahihan komen Anwar itu.

Utusan Malaysia sebelum ini diselar pelbagai pihak kerana kerap menyiarkan berita fitnah termasuk isu video lucah untuk mengaibkan Anwar.

Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.

Mengulas isu yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kata-kata kesat yang dilemparkan itu tidak menjejaskan waktu tidur beliau.

"Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya," katanya.

Bernama juga melaporkan Najib berkata ketua umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar. -mk


Pemimpin UMNO, NGO selar gelaran 'pandikutti' diberi kepada PM

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO dan badan bukan kerajaan menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pandikutti' dalam bahasa Tamil bermaksud anak babi sebagai tindakan tidak bertamadun dan menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang tidak cukup matang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mungkin merasakan bahawa dia cukup sempurna kerana sanggup melemparkan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri.

“Saya pun hairan kenapa digunakan perkataan yang sedemikian rupa.. kalau kita boleh panggil apa nak panggil (kepada seseorang) kita kena tengok diri kita ini dulu baik atau tidak baik.

“Yang jadi masalahnya, dia (Anwar) tak pernah tengok diri dia dalam cermin... dia tak sedar yang dia sebenarnya ‘pandikutti’ bukan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebuah portal berita Ahad lalu melaporkan Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 masyarakat India pada perhimpunan Malaysian Indian Voice (MI-V) di Dewan Hamzah, Klang Sabtu lalu menggelarkan Najib sebagai `pandikutti’.

Tengku Adnan berkata, kenyataan atau cercaan yang keluar dari mulut Anwar bukan perkara baru kerana sebelum ini beliau juga dilaporkan sering menuding jari menyalahkan orang lain dan menganggap dia langsung tidak pernah melakukan kesalahan.

“Saya harap dia akan lebih bertamadun dan berharap perkataan seperti itu tidak patut lagi digunakan kerana kami lebih mengenali siapa Anwar,” katanya.

Ditanya sama ada Anwar perlu memohon maaf atas kenyataannya itu, Tengku Adnan berkata, tidak ada gunanya meminta orang yang mengeluarkan kenyataan seperti itu meminta maaf, apa yang penting Anwar perlu bertindak seperti orang matang bukan bersifat keanak-anakan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan mendesak Anwar menarik balik cercaan terhadap PM yang disifatkan sebagai biadap dan kurang ajar.

"Cercaan Anwar yang melabel Perdana Menteri sebagai `pandikutti’ sebagaimana yang dilapor Free Malaysia Today pada 8 Mei lalu, adalah suatu tindakan biadab dan sangat kurang ajar.

“Ia menampakkan kejelekan serta kedudukan beliau yang kini amat terperosok dan tertekan dengan permasalahan peribadi serta perbalahan yang meledak sesama anggota pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata kenapa Anwar perlu menjelajah seluruh negara dan memaki hamun Perdana Menteri berhubung isu rakaman video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang itu. -BH


Ulasan GB

Yang nyata, Anwar tak sebut perkataan "pandi kutty" itu terkhusus untuk Najib. Tapi puak UMNO "terasa macam begitu".

Kalau tak silap GB ada satu pepatah Inggeris menyatakan begini: "Whatever you think - you're right."

Isu Kristian: Hishamuddin Dan Rais Perlu Dipertanggungjawabkan

Kristian: Konspirasi Umno-Utusan?

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman mahu Menteri Dalam Negeri disiasat ekoran tindakannya membiarkan penjawat awam di bawahnya serta media khususnya Utusan membuat laporan fitnah dan provokasi perkauman.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi hari ini beliau berkata, Datuk Seri Hishammuddin telah gagal menunaikan tanggungjawab sehingga Utusan sepanjang Mac, April dan Mei tanpa sebarang sekatan mengeluarkan berita fitnah dan lucah khususnya isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut memberi contoh tindakan terbaru akhbar Umno itu yang meletakkan laporan muka depan bertajuk “Kristian agama rasmi?' yang disiar 7 Mei lalu.

Hishammuddin juga jelasnya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap seorang pegawai kanan polis Bukit Aman, yang mendakwa Anwar individu dalam video seks tersebut, sewaktu berceramah kepada guru di sebuah sekolah di Kelantan.

"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ini satu agenda yang di belakangnya Umno, sengaja untuk meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa isu tersebut adalah termasuk dalam perancangan Umno menjelang PRU-13 iaitu untuk melihat orang Melayu jauh dari PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya begitu hairan bagaimana begitu banyak akta-akta, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, tiba-tiba semacam ada satu konspirasi.

"Sekarang ini waktu untuk ambil tindakan, bukan untuk merai semua pandangan," katanya.

Beliau juga mendakwa trend yang berlaku hari ini sama seperti apa yang berlaku tahun 1987 apabila ketegangan kaum dimainkan sehingga membawa kepada Operasi Lalang ketika itu.

Dalam operasi itu, sekurang-kurangnya 106 terutama pemimpin pembangkang ditahan.

"Seperti ada kecenderungan ke arah itu," katanya. -HD


PAS gesa Hisham, Rais minta maaf berhubung laporan Utusan

KUALA LUMPUR, 10 Mei — PAS menuntut dua anggota Kabinet pentadbiran Najib memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana bersikap lepas tangan terhadap Utusan Malaysia, yang menyiarkan laporan didakwa cuba menimbulkan ketegangan antara agama.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sikap diambil Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dilihat cuba melindungi Utusan Malaysia walaupun akhbar itu mengeluarkan laporan yang berunsur fitnah dan salah.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Dua menteri ini kena memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesengajaan mereka memberikan respons yang tidak sewajarnya dengan niat menjadikan keadaan ini semakin gawat.

“Sepatutnya Hishammuddin (gambar) menggantung Utusan Malaysia sebagai tanda kita serius kepada perkara-perkara yang mengundang kepada keadaan yang tidak harmoni ini, Utusan Malaysia harus diberikan pengajaran kerana perbuatan Utusan Malaysia ini sudah melampau dan kalau dibiarkan akan berlaku huru-hara dalam negara,” kata Mahfuz pada sidang media di sini.

Tambah beliau, Hishamuddin juga harus menggantung permit Utusan Malaysia bagi “melegakan” rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara.

“Saya minta Hishamuddin hentikan provokasi perkauman, tunjukkan sifat sayangi Malaysia dan bukan sifat sayangi kerusi empuk singgahsana mereka

“Kalau Hishammuddin enggan hentikan saya bersedia untuk berdebat dengan beliau supaya masing-masing boleh bentangkan sama ada betul atau tidak Melayu diancam, biar rakyat adili dan kita akan buktikan Umno adalah pengkhianat yang sebenar,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, laporan Utusan Malaysia itu telah menimbulkan keadaan tidak kondusif dalam negara selain berniat membangkitkan lagi api perkauman dan keagamaan.

“Laporan Utusan Malaysia telah menimbulkan keadaan yang tidak kondusif dalam negara dan jadikan rakyat tidak tenang kerana dirasuk oleh berita yang bersifat jahat, saya kira laporan itu menambahkan api perkauman dan keagamaan sempit yang sering dimainkan media Umno-BN.

“Kita tidak boleh biarkan perkara sebegini dibiarkan, tindakan harus diambil segera,” katanya.

Selepas pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia, Rais berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.

Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.

Sementara itu, Hishammuddin pula menyifatkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, jika benar, adalah sesuatu yang serius.

Katanya, apa juga tindakan dari satu agama akan mengundang reaksi dari penganut agama lain.

Tegas Mahfuz, laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia itu memperlihatkan Umno kini berada dalam keadaan semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

“Laporan seperti ini memperlihatkan politik Umno kini berdepan dengan keadaan sesak nafas yang menyebabkan saluran pernafasan politik Umno semakin sempit sehingga terpaksa gunakan pendekatan yang tidak bermoral, saya anggap apa yang dilaporkan itu menggambarkan Umno-BN sudah menyimpang dari landasan... iaitu sudah bawa negara keluar dari landasan demokrasi yang kita amalkan.

“Oleh itu saya nasihatkan Umno-BN jangan sampai menagih simpati pengundi Melayu dengan merosakkan seluruh struktur negara yang telah kita bina, pemimpin Umno tidak harus ambil pendekatan seperti penagih dadah yang tegar yang sanggup buat apa sahaja termasuk sanggup bunuh ibu sendiri untuk dapatkan dadah,” katanya.’

Malah kata Mahfuz, “jangan sebab nak dapatkan sokongan sanggup rosakkan negara, tidak wajar Utusan Malaysia mengeluarkan laporan yang tidak tepat, laporan itu sangat serius dan Hishammuddin dan Rais perlu ambil tindakan,” katanya. -TMI


Cuaca Panas Luarbiasa - Disebabkan Ribut Tropika Aere

Kuala Lumpur: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

“Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.
Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya. -BH

Isu Kristian Agama Rasmi: Helah Untuk Gunakan ISA?

Agama Rasmi : Jangan Provokasi, Kemudian ISA

KUALA TERENGGANU 10 MEI : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan ketegangan kaum di negara ini berhubung isu ‘Kristian agama rasmi’.

Menurutnya, tindakan seumpama itu tidak demokratik yang sengaja cuba dicetuskan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya, lapor Harakahdaily.

“Saya melihat isu sehari dua ini lebih bersifat kepada satu permainan politik pilihan raya.

“Saya harap jangan provokasikan di saat hampir pilihan raya macam masa-masa lalu. Kemudian ambil tindakan ISA di kalangan orang tertentu. Ini suatu tindakan yang tidak demokratik dan tidak betul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12, di sini semalam.

Katanya, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat semua parti menerima apa yang sudah diasaskan dalam Perlembagaan.

Menurutnya, Islam agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja yang termaktub dalam Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, sebarang isu yang berkaitan dengan polisi dan dasar akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.

“Dengan sebab itu, saya tidak risau dengan isu ini. Sebab, saya melihat isu ini lebih ke arah isu mainan politik pilihan raya. Ini satu benda yang tidak betul di kalangan pihak tertentu,” ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahu semua pihak supaya menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Beliau juga menyarankan agar diadakan siri perbincangan dan dialog dari semasa ke semasa mengenai perkara itu sebagaimana isu kalimah Allah sebelum ini.

“Dan kerajaan pernah menganjur melalui IKIM, dalam isu kalimah Allah dulu, saya hadir sendiri dan melibatkan kalangan akademik, kita bincang. Itu lebih baik. Cara berilmu dan bukan lepas tangan begitu sahaja,” ujarnya.

Perasmian Sidang Dun Terengganu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja.



Ulasan GB

Di dalam senario politik Malaysia, yang sering berlaku ialah orang lain makan nangka orang lain kena getah.

Jika masih ingat kes Rahim Tambi Chik dahulu, Lim Guan Eng yang dipenjarakan.

Kemudian di dalam kes ADUN Sri Muda, UMNO yang menghina Raja, YB Shuhaimi yang dibicarakan.


Pandatang Disorok Dalam But kereta

Pendatang dalam but

KANGAR: Sekumpulan pendatang warga Myanmar dikesan sanggup berhimpit dalam sebuah kereta termasuk berasak-asak dalam but bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Gambar: KOMANDER Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman (kanan) menunjukkan cara sembilan pendatang tanpa izin warga Myanmar berasak dalam PROTON Wira ketika cuba memasuki negara ini secara haram dengan bantuan seorang tekong warga Malaysia . - Foto Eizairi Shamsudin

Mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 dan 21 tahun itu dicekup Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis di dalam sebuah kereta bersama seorang tekong warga tempatan berusia 30 tahun kira-kira jam 4 pagi semalam.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan, Zakaria Abdul Rahman, berkata Pati berkenaan sanggup bersesak-sesak di dalam sebuah kereta Proton Wira termasuk di dalam but belakang hampir dua jam selepas berjaya membolosi pagar sempadan.

Menurutnya, mereka yang diekori pihak UPP sebaik saja meninggalkan sempadan Padang Besar itu bertindak memecut untuk melarikan diri sebaik tiba di Jalan Raja Muda, di sini, selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Tekong yang juga pemandu kereta berkenaan memecut masuk ke dalam kawasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sebelum mendapati pagar belakang hospital berkenaan ditutup menyebabkan enam warga asing berkenaan berjaya ditahan.

“Namun, lelaki itu termasuk tiga warga Myanmar lain bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar berkenaan tetapi gagal sebelum berjaya ditahan UPP. Tekong itu turut mengalami kecederaan akibat terjatuh ke dalam longkang berdekatan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Zakaria, lelaki berkenaan kemudian dihantar ke HTF sejurus ditahan dan terpaksa menerima 16 jahitan di kepalanya yang koyak akibat terjatuh.

Katanya, sembilan Pati berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan ‘lubang tikus’ yang dibina di pagar sempadan Padang Besar-Thailand berdekatan sebuah tanah perkuburan Cina, dekat sini, sebelum dijemput tekong. -BH

[Bergambar] Musim Orang-orang Kuat UMNO Sertai PAS

Berita 1

Bekas Orang Kuat Umno Ketereh sertai PAS

KOTA BHARU, 9.Mei - Kekalutan dan kecelaruan dalam Umno masa kini serta pemerhatian serius perkembangan PAS di Kelantan menyebabkan bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh yang juga merupakan orang kanan kepada Tan Sri Annuar Musa sanggup keluar dari Umno dan menyertai PAS hari ini.

Penyerahan borang keahlian PAS Haji Sabri Shafie telah diterima sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini di pejabat beliau.

Tuan Guru ketika ditemui berkata kemasukan orang kuat umno ini adalah satu kehendak Allah sendiri dan ini membuktikan PAS yang mentadbir Kelantan lebih 21 tahun ini bukan sahaja diteliti masyarakat umum malah oleh orang kanan parti umno sendiri.

“ Kita lihat walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan oleh pihak lawan terhadap PAS masa kini, namun ia tidak boleh menafikan kebenaran yang ada dan kemasukkan orang kuat umno Ketereh ini adalah salah satu langkah terbaik dan diharap dapat menyedarkan rakan-rakan beliau yang masih ada dalam umno untuk kembali ke dalam PAS”ujar beliau.

Nik Aziz juga berkata pelbagai pembohongan yang dilakukan oleh pihak lawan jelas tidak dapat memikat hati mereka yang benar-benar ikhlas untuk bersama dalam perjuangan PAS untuk menegakkan Islam dan di saat ini ia boleh menguatkan lagi perjuangan PAS di kawasan Ketereh khususnya.

Sementara itu menurut Haji Sabri, kemasukkan beliau ke dalam PAS adalah kerana menyedari suasana politik masa kini memerlukan masyarakat melayu bergabung dalam satu parti dan PAS adalah merupakan sebuah parti yang tepat untuk menyatukan masyarakat melayu yang umumnya beragama Islam.

Beliau yang merupakan ahli umno selama 38 tahun, sebelum ini adalah merupakan bekas ketua pemuda umno dan pernah menjadi calon umno di Dun Kadok telah meninggalkan parti tersebut pada awal November tahun lepas dan kini menyertai PAS berharap orang melayu di negara ini khususnya di Kelantan beralih arah ke parti PAS bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Islam dan mengekalkan Kelantan di bawah pimpinan ulamak.

“Saya amat terharu kerana hari ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sanggup menerima kehadiran saya bersama rakan-rakan ke pejabatnya dan menyerah sendiri borang keahlian PAS seumur hidup dan berjanji akan membantu jentera PAS dalam menangkis segala tohmahan dan fitnah parti umno demi perjuangan Islam”katanya lagi.

Turut hadir di pertemuan tersebut Senator Haji Rosli Ibrahim dan Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff. -gegarkelantan






Berita 2

Bekas Pembantu Khas (PA) Exco kerajaan Negeri Sembilan Sertai PAS
Anuar [dua dari kanan] ketika bercakap kepada media selepas umumkan sertai PAS

Bekas Pembantu Khas (PA) Exco kerajaan Negeri Sembilan, Yunus Rahmat iaitu Anuar Hashim meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS itu kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefli Mohd Omar.

Anuar berkata, beliau meninggalkan Umno kerana parti itu sudah membelakangi perjuangan asalnya dan menyalahgunakan Islam.

"Umno telah mengambil pendekatan fitnah dalam politiknya dan ia sudah tidak selari dengan kehendak Islam," kata beliau dalam satu sidang media bersama Pesuhjaya PAS Negeri Sembilan itu.

"Saya menyertai PAS kerana perjuangannya sentiasa konsistem dengan Islam sejak dahulu hingga kini," kata Anuar. -HD

Negeri state exco’s PA quits Umno

Anuar Hashim decides to throw his lot behind PAS, saying Umno has strayed from its orginal struggle and indulging in slanderous politics

JELEBU: Negeri Sembilan state exco Yunus Rahmat’s personal assistant Anuar Hashim has quit Umno saying that he is fed up of the party’s ‘slanderous politics’.

An Umno stalwart for 35 years, Anuar, the personal assistant to the state agricultural, entrepreneur development and cooperative exco has decided to throw in his lot behind PAS.

He declared this at a press conference arranged by Jelebu PAS chief Kateran Marman over the weekend. Anuar said Umno has strayed from its original struggle and was abusing Islamic principles and teachings.

“Umno is indulging in slanderous politics and the actions of the party at the moment is not aligned with Islamic teachings.

“There are bigger and pressing issues that need to be addressed, like lack of job opportunities for graduates. Intead it’s abusing its power with slanderous politics.

“I decided to join PAS as it has been consistent in its struggle based on Islamic values and principles,” said Anuar.

“I have seven children who are all graduates, yet none of them are able to secure a government job.”

Felda mismanagement

On another matter, Anuar, who has served Felda or the Federal Land Development Authority for 23 years as an administrator, also criticised Umno for mismanagement of the scheme.

“When former Prime Minister Tun Abdul Razak launched the Felda scheme, it was to help the poor manage their own land and improve their lot.

“Now because of mismanagement by Umno-BN, the poor settlers are not fully benifitting from the scheme introduced by Razak,” said Anuar.

Felda’s cash reserve was around RM4.5 billion in 2004, but the amount has since declined to RM200 million.

Anuar pledged to convince many of his Umno colleagues to join PAS and work to help Jelebu PAS put up a good showing in the impending 13th general election.

State PAS commissioner Zulkefly Mohamad Omar welcomed Anuar into PAS, saying it will be a morale booster for the party in Jelebu, one of Umno’s fortresses in Negeri Sembilan. -FMT




Menteri BN Kata Tiada Masalah Jika PM Beragama Kristian

Apa salah Kristian jadi PM, kata Bernard Dompok

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) itu menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.

“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.

“Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.

“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,” kata Dompok.

Tambah beliau, kedudukan Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diterima semua pihak.

“Semua orang bukan Islam menerima Islam dalam Perlembagaan dan di Malaysia kita bebas untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun tegas Dompok, laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” tanpa mengesahkan kesahihannya akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara.

“Bagaimana sebuah akhbar boleh menyiarkan laporan dengan memetik daripada penulis blog? Ia tidak bertanggungjawab. Saya telah beberapa kali ke gereja dan selama ini mereka berdoa yang baik mengenai negara, pemimpin dalam kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya doa yang dibuat itu adalah untuk kesejahteraan negara dan pemimpin-pemimpin,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.

Bagi pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Apabila timbul isu Kristian, maka bergendanglah Utusan dan sekalian puak songkok tinggi dengan sekalian NGO Melayu membuat laporan polis kononnya ia konspirasi sekalian padri dan parti DAP untuk mengubah ugama rasmi negara kepada ugama Kristian.

Ia sebenarnya berhasrat untuk menakut-nakutkan orang Melayu/Islam disamping cuba menyemarakkan kebencian rakyat terhadap ugama Kristian, dalamasa yang sama menolak Pakatan Rakyat lantaran DAP adalah sekutu PR.

KINI, menteri dari BN sendiri mengucapkan bahawa tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.

Apa pasal Utusan dan sekalian blogger pencacai UMNO berserta NGO berdiam diri?

Itu kebenaran yang terbentang nyata, bahawa senario yang berlaku di sebalik isu Kristian hanyalah sandiwara pihak pro-nasionalis untuk menimbulkan kekacauan dan perpecahan masyarakat berbilang kaum dengan menjadikan agenda perkauman sempit dan agama sebagai modal politik. Ia hanya fitnah nyata sepertimana isu video seks yang gagal itu untuk mendiskreditkan Pakatan Rakyat.

Doktor Muda Bersama Jururawat Mati Lemas.

Kuching: Seorang doktor muda sempat mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada ibunya kelmarin, sebelum lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakan yang turut lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika mandi bersama dua rakan lain di air terjun Kampung Giam, Padawan, dekat sini, semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Dr Mohd Azri Dollah, 27, dari Semariang, seorang pakar kardiologi Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak (HUS) Samarahan dan jururawat di Hospital Memorial Rajah Brooke, Norfazillah Abdul Kadir, 23, berasal dari Kampung Baru, Samarahan.

Mereka bersama dua lagi rakan yang juga jururawat, pergi berkelah di air terjun yang terletak kira-kira 35 km dari sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 11.30 pagi, apabila Norfazillah yang mandi di tepi air terjun dilihat terkapai-kapai meminta bantuan dan apabila menyedari mangsa tidak pandai berenang, Dr Mohd Azri terus terjun dan cuba menyelamatkannya.

Namun, beliau dipercayai menghadapi kesukaran berikutan arus kuat serta badannya yang ditarik Norfazillah yang panik sehingga kedua-dua mangsa lemas dan hilang di tempat kejadian.

Dua rakan mangsa yang menyaksikan kejadian kemudian meminta pertolongan penduduk kampung yang mengambil masa kira-kira 20 minit mencari mayat mangsa yang tenggelam ke lubuk sungai.

Ibu Dr Mohd Azri, Sharifah Mordiah Wan Abu Bakar, 53, berkata anaknya itu menyatakan hasrat membawanya keluar makan malam sempena Hari Ibu semalam selepas tidak dapat berbuat demikian malam kelmarin.

“Dia sempat memeluk dan mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ kepada saya dan berjanji membawa kami sekeluarga menikmati makan malam hari ini (semalam) selepas mahu menanti semua adik beradik berkumpul bersama meraikan Hari Ibu,” katanya.

Sementara itu, ibu Norfazillah, Latifah Led, 47, berkata anaknya itu mula berubah apabila dia memakai baju kurung dan tudung putih ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara mereka di Samarahan, kelmarin.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika Norfazillah memakai pakaian serba putih ketika menghadiri majlis perkahwinan saudara kami, malah dia kelihatan cukup ceria sepanjang kenduri, termasuk sempat bergurau bersama ahli keluarga yang lain,” katanya. -BH

Ulasan GB

Salam takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa.

Kepada yang lain jadikan ini satu pengajaran. Apa pengajarannya?

Beberapa kes mati lemas berlaku kebelakangan ini melibatkan pasangan yang belum ada apa-apa ikatan pernikahan bermandi-manda berendam sesama di dalam air (di pantai atau air terjun).

Tanpa bersangka buruk, namun bagi umat Islam perbuatan tersebut melanggar pagar syariat.

Sama seperti kes tragedi Ulu Bendul. Dilaporkan :

Perkelahan empat sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak perempuan berusia dua hingga lima tahun bersama kenalan wanita bapa mereka, berakhir tragedi apabila tiga kanak-kanak itu dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras di hutan lipur berkenaan.


Ada moral yang perlu digarap di sebalik semua kejadian berkenaan.

Rahsia SPRM Pecah Lagi: Ketua Pendakwa Ajar Saksi Jawab Soalan

RCI: Ketua pendakwa bimbing saksi jawab soalan?

Ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Razak Musa (gambar) hari ini dituduh membimbing para saksi bagaimana hendak menjawab soalan dari suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Pegawai kanan penguatkuasa Azian Umar, yang dipanggil semula oleh Majlis Peguam untuk memberi keterangan dalam siasatan hari ini berkata, Abdul Razak telah mengarahkannya untuk hanya menjawab bila ditanyakan dan jangan jawab jika tidak ditanya".

Perkara itu dibangkit ketika peguam Majlis Peguam, Cheow Wee (kiri) menyoal Azian mengenai SMS antara beliau dengan pegawai atasannya, Hairul Ilham Hamzah.

Kandungan SMS itu menjadi perhatian.

Azian pada 17 Julai 2009 - sehari selepas kematian Teoh - nampaknya merayu kepada Hairul supaya tidak mengarahkan para pegawai bawahannya "membuat kenyataan palsu".

Cheow bertanya kepada Azian - yang sebelum ini telah memberi keterangan kepada RCI pada 28 Februari - mengapa dia tidak memaklumkan maklumat mengenai SMS tersebut.

Selepas berhenti seketika, dia berkata: "Ia bukan satu isu (dan) saya tidak mahu menjadikannya satu isu."

Jawapannya berhubung peranan Abdul Razak'menyebabkan pengerusi RCI, Datuk James Foong bertanya kepada peguam SPRM Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau sedar tentang arahan tersebut.

Ulasan GB

Hal ini serius. Bagaimana kebenaran dan keadilan boleh ditegakkan jika saksi-saksi tidak bebas untuk menjawab jika mereka sebenarnya telah diajar untuk menjawab oleh Pendakwa?

GB dari awal meragui prosiding Suruhanjaya dan amat mengesyaki bahawa saksi-saksi ini telah dibimbing untuk menjawab. Maka lantaran itu di satu ketika pak guard SPRM membawa skrip ketika menjawab prosiding, tetapi tiada tindakan diambil. Seolah-olah ada konspirasi untuk menyembunyikan sesuatu "rahsia besar" di kalangan pegawai SPRM.

Satu siasatan dalam siasatan perlu dilakukan supaya Suruhanjaya tidak dikatonkan oleh pendakwa yang bedebah itu. Integriti Suruhanjaya dipersoalkan jika berdiam diri terhadap salah-laku pendakwa yang begitu ketara.

Ulasan GB sebelum ini di SINI. Petikan:


Pak guard SPRM rupa-rupanya telah diajar bagaimana untuk menjawab di depan Suruhanjaya Siasatan Teoh.

Dan GB yakin skrip-skrip ini juga disediakan untuk semua mereka yang dipanggil untuk siasatan.

Sudah ada komplot peringkat tertinggi bagi "menipu" Suruhanjaya Siasatan, dan kita YAKIN, penipuan ini berlaku semenjak sebelum inkues diadakan.


Pakatan Rakyat perlu membela keluarga Teoh dengan membuat laporan polis terhadap Ketua Pendakwa SPRM ini supaya semua rahsia ini dibongkar habis dan Ketua Pendakwa itu ditangkap dan disiasat.

PR perlu ada jawatankuasa khusus untuk isu-isu semasa sebegini. Janganlah tidur dan janganlah asyik berceramah. Ceramah pun kadangkala tak fokus. Buran semacam jer. Nak menang ke nak kalah?

Bapa Rayu Anaknya Yang Dilarikan Teman Lelakinya Dikembalikan

Kuala Lumpur: Seorang peniaga, Rahman Abdul Razak, 46, merayu anaknya, Nur Illyana, 23, dikembalikan selepas didakwa dilarikan teman lelakinya sejak Februari lalu.

“Semuanya boleh dibawa berbincang. Jangan lakukan anak saya sedemikian, jika betul mahu menikahi Nur Illyana ikutlah cara adat Melayu kita.

“Malah, saya juga berharap keluarga lelaki terbabit sedar dan insaf dengan tindakan mahu mengahwinkan Nur Illyana di Siam (Thailand) dan dapat menghubungi saya jika tahu di mana kedudukan mereka,” katanya dihubungi, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kehilangan pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Illyana dipercayai dilarikan teman lelakinya berusia 26 tahun yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan selepas Rahman menghantarnya ke kelas pada 28 Februari lalu.

Menurut Rahman, selepas akhbar ini menyiarkan kisah anaknya Sabtu lalu, ramai yang bersimpati dan berharap teman lelakinya sedar dan menghantar pulang anaknya.

“Abah tidak putus asa berdoa Along (panggilan Nur Illyana) segera pulang. Ibu dan adik-adik amat rindukan Along.

“Saya tidak tahu di mana lelaki itu menyembunyikan Nur Illyana. Kami sekeluarga cukup bimbang keselamatannya kerana semua rakan-rakannya juga tidak mengetahui kedudukannya,” katanya.

Rahman berkata, nalurinya kuat menyatakan perasaan dan hati Nur Illyana ketika ini meronta mahu pulang, tetapi dihalang lelaki terbabit yang banyak mengawal tingkah laku Nur Illyana melalui pelbagai ugutan.

Menurut Rahman, dia mendakwa Nur Illyana mungkin menjadi mangsa ubat guna-guna lelaki itu kerana anak sulungnya itu berubah dan berani meninggikan suara selepas mengenali suspek.

Rahman berharap orang ramai yang melihat Nur Illyana menghubunginya talian 014-2692912/012-6191701 atau isterinya, Kartini Ismail, 43 (013-3147538) atau balai polis berdekatan. -hm

Tiada Sebab Suruhanjaya Siasatan Tidak Boleh Dikritik

Adik Teoh diberi amaran tidak keluar kenyataan salah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memberi amaran kepada adik perempuan Teoh supaya tidak mengeluarkan kenyataan salah berhubung prosiding siasatan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya Teoh Lee Lan berbuat demikian.

"Kami telah bertugas hingga larut malam dan lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami tersinggung dengan tuduhan sedemikian. Malah peguam Majlis Peguam Christopher Leong sendiri telah menyatakan secara terbuka tidak ada yang dapat menyokong perkara (dakwaan) sedemikian. Kami tidak akan biarkan ini mengganggu dan merosakkan prosiding ini," katanya.

Arahan Foong itu timbul setelah sebuah laman web menyiarkan artikel yang memetik kata-kata Lee Lan dalam satu sidang media pada 28 April lalu bertajuk "RCI sekongkol dengan SPRM".

Lee Lan yang disoal Foong berhubung artikel tersebut pada awalnya kelihatan tercengang dan menyatakan tidak tahu apa yang ditulis sehinggalah ditunjukkan artikel itu.

Bagaimanapun beliau tidak memberi jawapan (selepas membaca artikel) sama ada ada menyebutnya (dakwaan tentang prosiding) atau tidak.

Sementara itu, Lee Lan yang memberi keterangan dalam bahasa Kantonis yang diterjemah oleh seorang jurubahasa berkata beliau amat rapat dengan Teoh tetapi tidak dapat mengcam tulisan tangan abangnya bagi memastikan kesahihan nota "selamat tinggal" yang dijumpa dalam beg Teoh.

Katanya, Teoh bukan seorang yang kuat agama dan hanya sekali ke kuil iaitu pada Tahun Baru Cina.

Ketika prosiding, Lee Lan gagal menjawab soalan dengan tepat dan kelihatan sebak apabila menceritakan karektor Teoh.

Selain Lee Lan, abang Teoh iaitu Meng Kee, tunang Teoh Soh Cher Wei dan bapa Teoh, Leong Hwee turut dipanggil memberi keterangan hari ini.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

Ulasan GB

Sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tan Sri James Foong Cheng Yuen tidak sepatutnya MENGUGUT sesiapa pun kerana ia bukan di bidang kuasa sesebuah Suruhanjaya.

Perkataan "memberi amaran kepada adik perempuan Teoh" jelas satu ugutan, sedang apa yang dinyatakan oleh adik perempuan Teoh itu berkemungkinan ada kebenaran dan perlukan satu pembetulan di pihak Suruhanjaya supaya ia bukan sahaja bersikap adil dan saksama tetapi perlu dilihat adil dan saksama.

Apa yang berlaku di sepanjang prosiding, melahirkan persepsi negatif di kalangan rakyat dimana seolah-olah Suruhanjaya tidak berlaku adil.

Ini kerana beberapa pegawai SPRM yang tidak menjawab dan tidak memberi kerjasama sewaktu siasataan dilakukan, tidak diambil apa-apa tindakan
.

Maka tidak salah untuk sesiapa juga untuk berpersepsi bahawa Suruhanjaya bersekongkol dengan SPRM berdasarkan kepada senario yang berlaku di sepanjang prosiding siasatan.

Pengerusi Suruhanjaya juga tidak sepatutnya merungut dan mengeluarkan perkataan "Kami telah bertugas hingga larut malam dan lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami tersinggung dengan tuduhan sedemikian."

Itu sudah menjadi tugas dan tanggungjawab anggota Suruhanjaya mencari dan menetapkan kebenaran. Ia adalah satu tugas besar dan perlantikan kamu adalah juga amanah dari rakyat. Walaupun terpaksa berenang di aluatan, atau mendaki gunung berapi, jika kebanaran di sana. Kamu dibayar untuknya, bukan bekerja sukarela. Dan tidak sepatutnya sesiapa pun dari mana-mana anggota Suruhanjaya merungut terpaksa bekerja sampai malam, atau tersinggung dengan mana-mana kenyataan dari rakyat samada berupa kritikan ataupun bidasan.

Kritikan terhadap Suruhanjaya Siasatan sepatutnya diambil perhatian supaya Suruhanjaya sentiasa peka dengan tugas dan tangungjawabnya mencari kebenaran dan menegakkan keadilan.

Jika tidak sanggup dengannya maka, letak jawatan supaya digantikan dengan orang lain. Bukan tugas Suruhanjaya untuk mengugut sesiapa dan merungut apa-apa.

Rakyat berhak mempersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk memecat kamu-kamu jika kami melihat kamu-kamu sudah tidak layak dan tidak berlaku adil dan saksama di dalam menjalankan tugas.

Sedangkan kamu-kamu tahu seluruh rakyat negara ini sedang memberikan perhatian paling teliti terhadap perjalanan prosiding yang sedang berjalan sekarang ini.