5 Ogo 2010

Protes Saman Ekor Diteruskan Tanpa Pemuda UMNO

Parti Islam Semalaysia (PAS) sedang membuat persiapan untuk melaksanakan kempen anti saman ekor tanpa penglibatan pergerakan Pemuda Umno.

"Kita akan teruskan kempen tanpa Pemuda Umno kerana mereka lembab dan lambat bertindak dalam perkara ini," kata Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar ketika dihubungi FMT hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti-Saman Ekor (KASE).

Semalam Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa agar pelaksanaan saman ekor yang hanya membebankan pemilik kenderaan termasuk pengusaha bas serta teksi segera dihapuskan.

Khairy berkata, tindakan yang dilaksanakan kerajaan ini bukan hanya membebankan pengguna kenderaan persendirian, malah pengusaha syarikat teksi dan bas turut menghadapi risiko ‘gulung tikar’ jika sesebuah syarikat itu disenaraihitamkan dari memperbaharui cukai jalan.

Mahfuz dijadualkan menemui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha di Putrajaya pagi tadi dan mahu memintanya supaya kenderaan yang disenaraihitam digugurkan dari senarai itu.

Bagaimanapun, Kong membatalkan pertemuan itu pada saat akhir tetapi memorandum tetap diserahkan kepada pegawai kementerian berkenaan.

"Kalau menteri tidak ada, saya hendak jumpa timbalan tetapi malangnya tidak ada juga, jadi tiada perbincangan mengenai hal itu. Barangkali suara rakyat tidak penting kepada kementerian (Kementerian Pengangkutan)," kata Mahfuz.

"Saya mahukan penjelasan daripada Kong kenapakah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan polis dengan menyenarai-hitamkan pihak-pihak tertentu dari memperbaharui cukai jalan.

"Prosedur pemberian saman ekor sendiri boleh dipertikaikan kerana "tiada sebarang saman dikeluarkan" sebaliknya hanya notis pemberitahuan daripada pihak polis bagi mendapatkan maklumat," katanya. -FMT

Ulasan GB

Khairy sekalipun telah menyuarakan ketidak-setujuannya mengenai saman ekor, namun seperti lazimnya, keterikatannya kepada beberapa sebab menghalang Pemuda UMNO untuk menyuarakan kebenaran dan keadilan. Lantas, ia menjadi golongan yang dikembirikan peranannya di dalam UMNO.

Justeru itu, adalah tepat untuk PAS mengorak langkah tanpa menunggu mereka, dan sekalipun Menteri Pengangkutan enggan hadir untuk menerima memorandum yang diserahkan PAS, ia bererti kementerian itu enggan untuk menndengar suara rakyat. Itu lambang permulaan bagi satu kehancuran untuk kerajaan BN.

Saman Ekor: BN Hutang RM390,000 Kereta Exco

BN hutang RM390,000 saman ekor kereta Exco

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah kesal kerana terpaksa menjelaskan tunggakan saman ekor RM390,000 yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selagi tunggakan itu tidak dijelaskan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendaftarkan lima kereta rasmi kerajaan yang baru.

"Kita terpaksa gantikan kereta Proton Perdana V6 yang selama ini digunakan Exco Kerajaan Negeri kerana sering rosak. Kita beli lima kereta Toyota Camry tetapi kereta yang baru dibeli ini tidak boleh didaftarkan kerana ada masalah tunggakan saman ekor RM390,000 oleh kerajaan yang terdahulu. Ini satu pembaziran yang nyata," katanya.

Azizan berkata, lima kereta Toyota Camry itu dibeli untuk kegunaan Exco atas keperluan pentadbiran.

"Ini tidak membazirkan wang rakyat. Kereta Perdana V6 yang kita ambil alih daripada kerajaan terdahulu kini tidak lagi begitu elok, selalu rosak. Kos baiki akibat kerosakan yang kerap boleh jadi banyak kerana kereta semakin lama semakin teruk dan kosnya akan meningkat, manakala nilainya juga akan semakin jatuh.

"Kerana itu kita perlu tukar dan kereta ini sudah dibeli bulan lepas," katanya.

Azizan berkata, penggantian kereta rasmi ini akan dilakukan secara berperingkat, dan akan diserahkan kepada Exco berkenaan mengikut keutamaan keperluan.

“Saya bersyukur kerana setelah Pegawai Kewangan Negeri berunding dengan pihak berkenaan, segalanya dapat diselesaikan segera. Kereta - kereta itu kini dalam proses untuk didaftarkan dan kemungkinan dapat digunakan dalam bulan ini juga,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri agak terkilan kerana wang yang diperuntukkan mencecah ratusan ribu ringgit, walhal peruntukan itu dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, bagaimana pun pihaknya terpaksa akur dengan situasi kerana tidak mahu menanggung beban hutang. -SH

Pembinaan Sekolah Hamil - Kerja Gila Kerajaan UMNO BN

Cadangan sekolah hamil hina wanita

Saranan pembinaan sekolah hamil peringkat kebangsaan akan menyebabkan gejala zina dan pergaulan bebas semakin berleluasa, kata ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail.

Beliau berkata, idea atau cadangan itu tidak masuk akal dan menghina generasi muda khususnya wanita.

"Saya tidak menolak bahawa remaja-remaja ini harus diberi peluang kedua tetapi dalam bentuk pencegahan dan bukannya satu bentuk habuan yang akhirnya akan mengakibatkan ia menjadi semakin sukar dibendung.

"Kita mahukan satu generasi yang lebih baik kerana mereka merupakan generasi yang akan mewarisi masa depan, namun dengan keluarnya idea dan pendekatan ini saya merasakan ia sesuatu yang cukup dikesali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Ketua Puteri Umno Malaysia Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyarankan supaya kerajaan membina sekolah pelajar hamil peringkat kebangsaan yang sebelum ini diutarakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam.

Siti Aishah berkata, isunya ialah pembendungan dan pencegahan pergaulan bebas yang akan membawa kemudaratan.

Katanya, ia bukan memikirkan mahu menhabiskan wang rakyat untuk sesuatu yang tidak langsung membantu.

Menurutnya, jika benar kerajaan mahu membantu generasi ini maka pencegahan dan peranan institusi agama itu harus diperhebatkan bukan berdiam diri dan akhirnya ia tidak membawa apa-apa. Membina bangunan bertingkat dan juga prasarana seperti itu bukan jawapan yang tepat.

"Sudah berapa banyak rumah-rumah perlindungan diwujudkan dan badan-badan khas seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk menangani masalah ini namun masih menemui jalan buntu.

"Jadi saya rasakan bahawa pembinaan sekolah hamil bukan jawapannya melainkan gerak kerja dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh kerajaan sendiri," katanya.

Ulasan GB

Benar-benar gila. Allah memerintahkan mereka yang berzina direjam. UMNO mengubahnya, menggalakkan pula perzinaan dengan cara membinakan sekolah hamil untuk remaja yang telah berzina.

Kegagalan membendung gejala sosial hasil daripada budaya hedonisma yang disemarakkan oleh kerajaan UMNO BN disamping mengenepikan hukum Islam menjadikan pemimpin UMNO BN mendengar cadangan iblis supaya dibina sekolah hamil. Kesalahan di atas kesalahan. Ini akibat wujudnya pemimpin yang hanya Islam pada namanya tetapi ingkar pada amalan dan hakikatnya, yang tak membaca Al-Quran, yang jahil murakkab, yang tak pegang kepada nilai-nilai agama di dalam pemerintahan.

Dan ia alamat UMNO BN bakal menerima pukulan maut Allah s.w.t. tidak lama lagi. Percayalah!


Maaasihkah Kau Ingat....?

Hishammuddin Tidak Layak Pegang Portfolio KDN, Hanya Pandai Ampu Sepupu

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak layak memegang jawatan itu selepas beberapa insiden yang memalukan negara sehingga menyebabkan kredibilitinya kini tercalar begitu teruk sekali gus menunjukkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Insiden pendatang tanpa izin bolos untuk kali kedua di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Ahad lalu jelas menunjukkan ketidakupayaan sepupu Perdana Menteri itu memegang antara portfolio yang terpenting dalam Kabinet.

Ketika depot di bawah jagaan kementerian beliau gagal diawasi dengan cermat menyebabkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri, institusi kepolisian yang juga di bawah KDN disalahguna sepenuhnya terhadap peserta perhimpunan aman anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada hari yang sama.

Sebelum ini, pada 27 April lalu, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi Suara Keadilan berpendapat Hishammuddin tidak mempunyai pendirian yang tegas menerajui KDN selain hanya memberi sokongan sepenuhnya dalam cara apa pun kepada sepupunya, Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau mengikut penilaian NKRA, beliau sebenarnya telah gagal melaksanakan tugasnya. Banyak isu yang beliau tidak dapat selesaikan dan tergantung sehingga kini.

"Isu Kugan, isu Teoh Beng Hock, isu Aminulrasyid, semuanya tidak mampu beliau selesaikan tetapi apa yang dia tahu buat hanyalah menangkap peserta perhimpunan aman yang bersenjatakan sebatang lilin," tegas Khalid.

Khalid menganggap Hishammuddin sebagai Menteri yang 'cakap tak serupa bikin' kerana acap kali perkara yang sama diperkatakan sebelum ini namun cakap hanya tinggal cakap tanpa sebarang respons yang positif dari beliau mahu pun KDN.

"Tindakan beliau jelas menampakkan sikap 'double standard' kepada pendemo dalam kes kepala lembu di mana Hishammuddin berkata dengan nada yang songsang bahawa negara ini mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Tetapi muktahir ini kerajaan Umno-Barisan Nasional begitu terdesak dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap mereka lalu jalan terakhir adalah melalui kekerasan seperti yang kita melihat kezaliman terhadap perserta perhimpunan anti ISA
," kata beliau lagi. -SK

Ulasan GB

Kalau mengikut track record, beliau gagal dalam banyak perkara. Contoh jelas ialah semasa dia menerajui Menteri Pelajaran, bagaimana di dalam isu PPSMI beliau menipu ahli bahasa dan sasterawan. Kegagalannya lebih terserlah semasa memegang portfolio KDN.

Berlagak hero, sekadar mencium keris, sedangkan tangan sebelah lagi memegang tin arak. Masihkah kau ingat?


Kezaliman Polis : PDRM Dikutuk Sehingga Akhir Zaman

Suaram, GMI Kutuk Tindakan Ganas Polis Tahan Peserta Anti ISA

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas polis terhadap perhimpunan aman lampu lilin anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan serentak di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Suaram dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu bertujuan menunjukkan bantahan rakyat terhadap ISA yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 1960.

Sejumlah 38 peserta telah ditahan semasa perhimpunan termasuk Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Penyelaras Suaram, Nalini Elumalai, Ong Jing Cheng, Ahli Sekretariat, Kohila, Ahli Sekretariat Pulau Pinang, Choo Chon Kai dan Pengarah Suaram, S Arutchelvan.

Menurut Suaram dalam satu kenyataan Isnin lalu, walaupun jumlah ini jauh lebih rendah daripada jumlah tangkapan tahun lalu di mana 589 peserta termasuk remaja bawah umur ditangkap, tetapi penahanan kali ini tidak perlu langsung kerana ia adalah satu perhimpunan aman.

"Anggota polis di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kelantan jauh lebih angkuh dan ganas dibandingkan dengan negeri lain.

"Walaupun polis menunjukkan belang mereka di negeri lain, tetapi juaranya sudah tentu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Arjunaidi Mohamed. Beliau bukan sahaja angkuh tetapi amat tidak profesional mengendalikan orang ramai.

"Beliau tidak memberikan masa mencukupi untuk orang ramai bersurai, lebih tepat lagi beliau tidak tahu bagaimana untuk menyuraikan himpunan dengan aman. Tambahan pula, anggotanya bertindak kasar semasa membuat tangkapan. Tindakan polis amat jelas langsung tidak mempedulikan hak asasi manusia, walaupun dengan kehadiran ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Badan Peguam," tegas Suaram.

Menurut Suaram tangkapan itu adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh jentera kerajaan Umno-BN dan kegagalan melindungi dan menegakkan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami amat terkejut dan terganggu dengan pelanggaran undang-undang tanpa menghiraukan implikasinya.

"Kita mendesak polis menghormati kebebasan berhimpun yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Kami mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta maaf kepada peserta himpunan yang dikasari.

"KPN perlu bertanggungawab terhadap kesemua penahanan yang dibuat dan beliau patut berasa malu kerana mengubah institusi kepolisian negara kepada satu badan yang yang tiada integriti dan tidak profesional," ujar badan itu lagi.

Suaram berkata kewujudan ISA telah menjejaskan nama baik Malaysia di dalam dan luar negara dan ini menyebabkan kerajaan Umno-BN bercadang membuat kepada ISA.

Namun kerajaan tidak ada niat untuk memansuhkan senjata politik ini tetapi hanya mempropogandakan pindaan, bukannya pemansuhan.

Pindaan ini hanya berbentuk kosmetik dan tidak akan merubah apa-apa elemen penindasan yang ada sekarang tegas Suaram.

"Bagi meraikan 50 tahun penubuhan ISA, kami mencabar Perdana Menteri Najib Razak memansuhkan ISA serta-merta. Suaram dan GMI tidak akan bertolak ansur berkenaan isu penahanan tanpa bicara.

"Semua akta yang membenarkan atau menjurus kepada penindasan dan penyeksaan individu tidak patut berada di dalam statut dan patut dimansuhkan segera. Kita ingin mengingatkan kerajaan Umno-BN sekali lagi bahawa kita tidak akan berdiam diri selagi akta drakonian ISA dimansuhkan," kata kenyataan itu.

Suaram turut mendesak pemansuhan semua akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara yang mencabul hak asasi manusia.

Suaram juga mendesak kerajaan bertindak terhadap isu yang telah lama dibangkitkan termasuk:

1) Penubuhan satu badan untuk memantau tindakan polis seperti cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya DiRaja Polis.
2) Pemansuhan undang-undang seperti Seksyen 27 Akta Polis yang menafikan hak bersuasa, hak berekspresi dan hak untuk berhimpun. -SK

Ulasan GB

Polis akan membayar harga yang mahal dengan tindakan zalim dan kejam mereka ke atas rakyat.

Mereka bakal kehilangan kerajaan yang mereka dokong apabila rakyat akan menggantikan UMNO BN kepada pihak yang mampu merubah PDRM supaya beradab dan berkelakuan adil dan saksama tatkala menjalankan tugas.

Perlakuan buruk itu akan mengundang hal yang buruk juga dimana kezaliman mereka akan terus menjadi kutukan rakyat sehingga ke akhir zaman.