Berikut
adalah panduan dan tip daripada Pak Utih, khas untuk Gen Y yang telah
berkahwin, apabila bertandang ke rumah mertua masing-masing.
Panduan Suami Gen Y melayani Ayah Mertua
Panduan
menghormati dan melayani Ayah Mertua generasi “Baby boomer”. Isteri
Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau budaya ayahnya
(ayah mertua kepada suaminya) seharian kepada suaminya.
Contoh: Kebiasaan
ayah bangun sebelum subuh dan pergi ke masjid dengan kereta. Selepas
subuh Ayah singgah kedai kuih untuk dibawa balik ke rumah. Sambil
menunggu Mak sediakan minuman, ayah baca al-Quran di sofanya. Sekitar
jam 7 pagi, Ayah dan Mak sarapan bersama. Kemudian Ayah ke kebun di
belakang rumah. Waktu dhuha, Ayah naik ke rumah dan terus ke pekan
membeli ikan dan sayuran untuk di masak oleh Mak. Mereka makan tengahari
selepas Ayah solat Zohor di masjid. Petang-petang Ayah dan Mak berkebun
bunga dan atau menyapu laman rumah. Maghrib, Ayah ke masjid hinggalah
ke Isyak. Pulang dari masjid, barulah makan malam bersama-sama. Mak dan
Ayah bersembang panjang selepas makan malam dan kekadang mereka menonton
TV bersama. Masuk tidur jam 11 malam.
Suami Gen Y mesti memahami dan mengikuti budaya seharian ayah mertuanya ini. Ini terdapat dalam Al-Qasas: 27, hubungan Nabi Musa AS dengan ayah mertuanya:
“Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan
syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada
itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu
adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak
bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari
orang-orang yang baik layanannya”.
Berdasarkan maklumat budaya ayah mertua ini, jika Suami Gen Y ini bertandang di rumah ayah mertuanya:
1. Wajib dia bangun awal dan tunggu Ayah Mertuanya di tepi kereta untuk bersama-sama solat subuh di masjid. Ayah Mertua tidak sampai hati untuk mengetuk pintu bilik menantu ajak ke masjid.
2. Sekembali dari masjid, Suami Gen Y belikan sendiri kuih untuk sarapan pagi. Paling afdhal ialah tiga hari pertama berada di rumah ayah mertua itu, melainkan Ayah Mertua bertegas dia yang belikan.
3.
Sarapan bersama-sama dan duduk di kerusi atau bersila atas lantai
awal-awal sebelum ayah mertua datang. Jangan benarkan Ayah Mertua
menunggu anak menantu untuk memulakan sarapan. Ini adalah satu adab menghormati orang tua di meja sarapan.
4. Suami Gen Y meminta kebenaran untuk bangun atau tunggu ayah mertua bangun daripada kerusinya selepas makan. Juga salah satu adab menghormati orang tua di meja makan.
5.
Suami Gen Y menawarkan diri untuk ke pasar membeli sendiri barangan
memasak untuk makan tengahari. Terutama sekali pada tiga hari pertama.
6.
Setiap kali masuk waktu solat ke masjid, tunggu Ayah Mertua di
keretanya. Melainkan kereta anda memang bersih dan harum, maka pelawalah
Ayah Mertua menaiki kereta anda. Tunggu dia di kereta, bukan Ayah
Mertua yang tunggu anda di keretanya. Pendekkan wirid kerana ini lebih afdhal.
7.
Bersedialah dengan kisah-kisah diri sendiri dan soalan-soalan untuk
dijawab atau diceritakan oleh Ayah Mertua semasa sesi bersembang selepas
makan malam itu. Waktu ini HARAM (dilarang) membelek tab, smartphone, iPad dan sewaktu dengannya.
8.
Amatlah digalakkan Suami Gen Y pergi melihat Ayah Mertua di kebun
bertanyakan mengenai hal ehwal kebun dan bungaannya pada hari pertama.
Pada hari berikutnya, digalakkan membantu dia menyapu, menyangkul,
merumput dan sebagainya untuk mengeratkan lagi talian Gen Y dengan "Baby
boomer".
Panduan Isteri Gen Y melayani Ibu Mertua
Panduan
ISTERI Gen Y menghormati dan melayani IBU mertua generasi “Baby
boomer”. Suami Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau
budaya ibunya (ibu mertua kepada isterinya) seharian kepada Isterinya.
Contoh: Kebiasaan
ibu bangun sebelum subuh, solat dan ke dapur menyiapkan sarapan pagi.
Sekitar jam 7 pagi, Ayah dan Mak sarapan bersama. Kemudian Ibu membasuh
kain baju. Sementara tunggu Ayah kembali dari pekan, ibu mengemas dalam
rumah, menyapu sampah hingga ke halaman. Sekitar jam sebelas pagi, ibu
mula memasak untuk makan tengahari. Mereka makan tengahari selepas ayah
solat Zohor di masjid. Petang-petang Ayah dan Mak berkebun bunga dan
atau menyapu laman rumah. Ibu menyediakan minum petang dan sedikit
kudapan selepas mereka berkebun. Biasanya menikmati juadah petang di
beranda rumah menghadap ke kebun. Ayah pulang dari masjid barulah makan
malam bersama-sama. Mak dan Ayah bersembang panjang selepas makan malam
dan kekadang mereka menonton TV bersama. Sebelum masuk tidur, ibu
membasuh semua pinggan mangkuk, kuali, periuk, belanga dan dapurnya
bersih sebersihnya.
Isteri Gen Y mesti memahami dan mengikuti
budaya seharian IBU mertuanya ini. Berdasarkan aktiviti ibu mertuanya
ini, maka berikut adalah tip untuk menghormati ibu mertuanya. Jika
Isteri Gen Y ini duduk di rumah Ibu mertuanya:
1.
Wajib dia bangun awal dan dengar isyarat atau bunyi yang ibu mertuanya
telah ada di dapur. Terus ke dapur bersama ibu mertuanya. Tawarkan diri
untuk membantu ibu mertua menyediakan sarapan pagi.
2.
Waktu yang sama, perhati dan ingatkan kedudukan semua bahan-bahan
masakan yang disimpan oleh ibu mertua. Ini memudahkan isteri
mengambilnya jika dia memerlukan bahan-bahan itu.
3.
Jika Isteri Gen Y tadi dapati ada bahan-bahan masakan yang telah habis,
bolehlah bisikkan kepada suaminya untuk membeli bahan-bahan itu.
4. Perhatikan cara Ibu Mertua menghidangkan sarapan dan tiru cara itu pada hari-hari berikutnya.
5.
Jika Isteri Gen Y dapati cara bancuhan makanan atau minuman oleh Ibu
Mertuanya itu dia tidak pernah lihat, maka jangan berat mulut untuk
meminta ibu mertua mengajarnya. Pelajarilah hingga mahir seperti mana
bancuhan ibu mertua itu. Tujuannya agar masakan isteri Gen Y nanti serupa dengan ibunya.
6.
Selesai sarapan, Isteri Gen Y lah yang membasuh pinggan mangkuk dan
kemaskan meja makan itu. Melainkan dilarang oleh ibu mertua. Sambil ibu
mertua membasuh pinggan mangkuk, isteri Gen Y kembali ke bilik tidurnya,
kemas dengan rapi, dan terus ke ruang utama (tetamu) dan kemaskan serta
sapu sampah hingga ke halaman. Perhatikan cara ibu mertua mengemas pada
hari pertama sahaja. Hari-hari yang berikutnya, isteri Gen Y lah yang
membuatkannya.
7. Bantu juga ibu mertua menyediakan makanan untuk makan tengahari di dapur.
8. Isteri Gen Y menyediakan minum dan kudapan petang untuk Ayah dan Ibu mertuanya.
9. Duduk bersembang bersama keluarga selepas makan malam hinggalah ayah dan ibu mertua minta diri untuk berehat.
10. Pastikan Isteri Gen Y yang basuh semua pinggan mangkuk dan mengemas dapur setiap malam.
11. Masa yang sesuai untuk baca e-mel atau pesanan di smartphone, tab atau laptop
ialah semasa ibu dan ayah mertua di dalam bilik tidur masing-masing.
HARAM (dilarang) menggunakannya semasa sarapan pagi, makan tengahari dan
semasa sesi bersembang.
Selamat Mencuba.
Pak Utih terima kasih atas perkongsian ini
Nota 1: Bagi perempuan, setelah berkahwin ketaatan untuk suami adalah yang utama dan menggantikan ibu dan ayah kita, diikuti ibu dan ayah suami dan barulah ibu bapa kita. Buat kawan-kawan yang sudah mendirikan baitul muslim atau dalam perancangan ke arah itu, moga entry kali ini berguna untuk kalian.
Nota 2: Bagi lelaki, jangan anda abaikan ibu bapa anda setelah berkahwin kerana mereka masih tanggungjawab anda.
No comments:
Post a Comment