Showing posts with label Politics. Show all posts
Showing posts with label Politics. Show all posts

Tuesday, April 15, 2008

7,000 atau 10,000 atau 40,000?



Assalamualaikum,

Ini adalah berita tentang peristiwa perhimpunan Black 14 yang dihadiri oleh DSAI malam tadi di Kelab Sultan Sulaiman.

Berita dari Yahoo (AP) menulis:-

KUALA LUMPUR, Malaysia - Police cracked down on a rally Monday aimed at celebrating opposition leader Anwar Ibrahim's formal return to politics, halting him midway through a speech to an estimated 40,000 supporters.

Anwar was making his first public speech since last month's general elections to jubilant opposition members who had gathered for a countdown until midnight, when a legal ban that prevents Anwar from holding political office expires.

The celebration came to an abrupt halt when about a dozen policemen interrupted Anwar after he had addressed the rally for nearly half an hour and forced him to stop.

Di dalam Utusan Malaysia juga ada menceritakan tentang perhimpunan tersebut:-

Anwar, 57, yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan rasuah pada 2004 dilarang aktif semula dan menyertai mana-mana parti politik sehingga tempoh berakhir esok.

Walaupun tidak diberi permit oleh polis, kira-kira 10,000 penyokong Anwar membanjiri Kelab Sultan Sulaiman.

Bagaimanapun, perhimpunan itu bersurai secara aman setelah diarah oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman pada pukul 10.30 malam.


Ada perbezaan sebanyak 400% bilangan penyokong DSAI yang hadir daripada 2 sumber pemberitaan yang berbeza. Satu dari sumber luar dan satu lagi dari sumber arus perdana.

Di Radio 24 radio BERNAMA pagi ini, pembaca berita menyebut penyokong DSAI yang hadir seramai hanya 7000 orang sahaja iaitu perbezaan hampir 570% daripada berita AP.

Anda tentu ingin tahu mana satu yang betul. Cuba lihat gambar ini yang saya ambil dari sini.


Mungkin tak seramai 40,000... mungkin lebih daripada 10,000? Tetapi sah lebih dari 7000....

P.s. Bukan bilangan penyokong yang DSAI semalam yang menarik perhatian saya. Cuma sumber pemberitaan media negara kita ini sangat jauh jurangnya - 400% !!

Wallahu A'lam

Sunday, April 13, 2008

Blog Wordpress Ketua Menteri Melaka Ditutup






Assalamualaikum,

Sedang mencari-cari di alam siber ini terjumpa dengan blog Ketua Menteri Melaka iaitu Dato' Seri Mohd Ali Mohd Rustam. KM Melaka ini adalah salah seorang pemimpin UMNO yang menjadi blogger selain daripada menteri dan bekas menteri yang lain. Beliau mempunyai 2 blog iaitu blogspot dan wordpress yang salah satunya adalah pautan.

Dato' Seri Ali Rustam pernah keluar di TV1 sebagai berkata beliau telah memantau 240 blog yang menjadi blog pembangkang. Malah beliau telah menyiapkan cybertroopers di kalangan blogger dari Melaka untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

Artikel terkini beliau ialah kritikan beliau terhadap Kerajaan Negeri Selangor tentang perlaksanaan penternakan babi moden. Beliau mengkritik dasar kerajan negeri selangor kerana membenarkan penternakan itu dilaksanakan.

Usaha kerajaan Selangor membina ladang ternakan babi di Sepang itu boleh dianggap sebagai satu lagi projek mega di negeri itu setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Litar F1 kedua-duanya juga di Sepang. Kedua-dua projek mega tersebut berjaya memberikan keuntungan berjuta-juta ringgit kepada kerajaan Selangor sebelum ini, maka selepas ini keuntungan juga boleh diraih melalui hasil ternakan babi.

Biar apa sekalipun, babi adalah binatang yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah) kepada orang Islam dan ia haram bagi orang Islam untuk menyentuh apalagi untuk memakannya. Oleh sebab itu, langkah untuk membina ladang babi itu perlu dilihat dari aspek kesannya kepada umat Islam yang tinggal di kawasan berkenaan. Keadaan ini juga dirasai oleh penduduk-penduduk di Kuala Sungai Baru di Melaka. Oleh seba itu, kerajaan Melaka telah berusaha untuk mengurangkan jumlahnya bagi mengatasi masalah itu.




Saya berpendapat ini adalah kerana yang berkata-kata (atau berblogging) itu adalah Dato' Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang terkenal dengan isu penternakan babinya, maka responnya tentulah agak hangat dari biasa. Jikalau yang berkata-kata itu Dato' Seri Hishamuddin, mungkin responnya tidak luar biasa seperti ini. Bak kata Karam Singh Walia - tindakan beliau itu mungkin dianggap sebagai "lebih sudu dari kuah" atau lebih tepat "membuka pekung di dada".

Pada pandangan saya juga, keseluruhan artikel beliau agak cetek dari sudut perbahasan tentang penjagaan dari sudut alam sekitar yang ingin dicanangkan oleh Kerajaan Selangor apabila pusat penternakan babi moden ini akan menghapuskan cara konvensional yang menyebabkan banyak pengaliran sungai tercemar. Apabila kritikan semberono ini tidak disertakan dengan fakta, jalan-jalan alternatif dan hanya dibuai sentimen politik sahaja ini yang akan berlaku. Apatah lagi yang menulis itu adalah Ketua Menteri yang sepatutnya mempunyai level yang sedikit tinggi untuk mengemukakan hujjah berbanding blogger biasa seperti anda dan saya.

Hampir 99% daripada pelawat blog beliau telah mengkritik artikel ini. Malah saat terakhir saya melawat blog ini, komen negatif telah mencecah ke hampir 200 komen.

TSUNAMI komen kepada laman wordpress Ketua Menteri Melaka telah melenyapkan salah satu blog beliau. Masih tinggal satu blog beliau sahaja yang masih lagi nyawa-nyawa ikan.

Dikhuatiri bukan hanya blog beliau sahaja yang ditutup malah pejabat kerajaan pimpinan beliau juga mempunyai risiko untuk ditutup menjelang pihanraya ke 13 akibat tsunami ini.

P.s. Anda juga boleh baca "Benarkah tiada babi Malaysia dieksport ke Singapura?"

Wallahu A'lam.

Tuesday, March 25, 2008

RUKUNEGARA MALAYSIA


KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Monday, March 24, 2008

Dato' Zuraidah Atan & Dato' Salleh Majid Berkata :-






Assalamualaikum,

Saya tertarik untuk berkongsi dengan anda tentang perbincangan dengan 2 orang ahli ekonomi di dalam rancangan biz wrap radio 24 iaitu Dato' Zuraida Atan dan Dato' Salleh Majid pada Jumaat malam yang lepas. Saya memang meminati Dato' Zuraidah Atan sebagai moderator biz wrap setiap minggu kerana english yang accent ala-ala orang UK tu, mukanya yang ala-ala chinese dan wataknya yang sentiasa ceria. Bestlah Dato' Zuraidah - Boleh tak buat kakak angkat dan mintak autograf?.. boleh ker Dato'?

Ok Ok.. kembali ke topik. Tersasar pulak.

Jadi topik yang dibincangkan pada segmen Jumaat lepas ialah berkenaan krisis sub prima di US dan credit crunch. Adakah ia akan memudaratkan ekonomi di malaysia. Ceritanya tentulah panjang, cuma saya ingin tuliskan beberapa isu yang dari kacamata saya yang saya nampak menarik.

Maaflah, saya bukan ahli ekonomi, jadi mungkin pandangan saya agak tersasar. Saya ingin berkongsi pandangan. Oleh itu, para pembaca boleh memberi komen.

Salah satu perkara yang menarik yang dibawa oleh Dato' salleh Majid adalah keadaan ekonomi USA yang sedang mengalami recession. Menurut Dato' Salleh, krisis ekonomi yang melanda USA sekarang adalah hampir sama dengan masalah krisis ekonomi di ASIA dan khususnya Malaysia pada tahun 1998. Ketika itu, pakar ekonomi di IMF dan USA telah mencadangkan kepada ASIA agar negara masing-masing meningkatkan BLR ataupun Base Lending Rate. Ini menyebabkan Bank Negara menaikkan BLR sehingga ke 12% ke atas yang menyaksikan banyak syarikat gulung tikar.

Secara ironinya, pada masa ini krisis ekonomi yang sama berlaku kepada USA pula. Tetapi Dato' Salleh Majid merasa hairan, kenapa pakar-pakar ekonomi di USA mencadangkan potongan kadar interest. Ini telah berlaku di mana kadar interest telah dipotong dengan banyaknya daripada 6% ke 2.5% sekarang. Kenapa di dalam keadaan ekonomi yang sama pada waktu itu di ASIA dan sekarang di USA, 2 dasar polisi ekonomi yang berbeza diamalkan?

Dato' Zuraidah dan Dato' Salleh juga ada mengucapkan tahniah kepada Dato' Shahrir Samad yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Mengikut Dato' Salleh Majid, Dato' Shahrir akan menghadapi masalah yang besar untuk mengawal harga barangan pada tahun ini.

Peningkatan harga minyak dunia pada tahun ini adalah disebabkan oleh nilai matawang USD yang semakin rendah dan juga disebabkan oleh permintaan minyak yang tinggi yang datangnya daripada negara besar seperti China dan India sedangkan pengeluaran minyak berada di dalam keadaan tidak berubah. Ini sikit berbeza dengan krisis minyak pada awal 90-an di mana pengeluaran minyak berkurang akibat perang USA-Iraq tetapi permintaan kepada keperluan minyak tidak berubah.

Bagaimana masalah harga minyak dunia ini boleh menggugat ekonomi Malaysia? Saya tidak berapa ingat samada beliau ada menyebut tentang kenaikan harga minyak di pasaran negara. Tetapi, mengikut Dato' Salleh, peningkatan harga minyak boleh menekan Tenaga Nasional Berhad atau TNB untuk menaikkan tarif elektriknya.

Ini adalah kerana TNB mendapat bekalan elektrik daripada Independent Power Plant atau IPP yang beroperasi di seluruh negara. Untuk pengetahuan tuan-puan, IPP adalah sebuah tapak yang menghasilkan kuasa elektrik dan dipunyai oleh syarikat-syarikat tertentu. Pada dasarnya mereka memperolehi untung dengan membekalkan kuasa elektrik kepada TNB melalui satu perjanjian (?berat sebelah) di mana TNB perlu membayar IPP ini setiap 2 minggu tanpa gagal. Di dalam menghasilkan tenaga elektrik untuk disalurkan kepada TNB, maka tentulah minyak akan digunakan. Dan mengikut perjanjian tersebut, TNB "terpaksa" membeli semua tenaga yang dibekalkan walaupun ia tidak diperlukan negara.

Peningkatan harga minyak akan menyebabkan kos penghasilan elektrik akan meningkat dan akan melibatkan TNB sebagai pembayar. Menurut Dato' Salleh Majid, perkara ini akan menyebabkan TNB terpaksa "mengagihkan" kos elektrik ini kepada rakyat. Maka sekiranya harga minyak meningkat, kemungkinan tarif elektrik juga akan dinaikkan oleh TNB dan yang akan menjadi mangsa adalah akhirnya rakyat kerana, peningkatan tarif elektrik akan membawa kepada inflasi yang lebih besar dan peningkatan harga barangan tempatan. Di sinilah peranan Dato' Shahrir Samad akan dilihat.

Penyelesaian yang boleh dicadangkan ialah pengusaha IPP menjual elektrik kepada TNB dengan menelan peningkatan kos. Tetapi kemungkinan besar itu tidak mungkin belaku kerana tentulah pengusaha IPP tidak mahu rugi (atau kurang untung) sedangkan di dalam perjanjian hak mereka telah dijaga. Dato' Salleh Majid berpendapat kenaikan ini nampaknya tidak boleh dielakkan sekiranya harga minyak dunia melonjak lagi kerana TNB tidak akan menanggung kerugian.

Jelas, daripada borak-borak pakar ekonomi kita, dapat dilihat sekiranya harga minyak dunia terus meningkat, kehidupan kita akan menjadi agak "gelap"... bukan sahaja kerana kita terpaksa kurangkan penggunaan lampu untuk berjimat elektrik tetapi mengurangkan juga perbelanjaan harian yang semakin tidak tertanggung.

Wallahu A'lam.


Thursday, March 20, 2008

Dr Azwan Sebagai Menteri Kesihatan!






Alhamdulillah...

Saya dengan segala sukacitanya ingin memaklumkan bahawa YAB Tun Sebol, telah melantik saya sebagai Menteri Kesihatan di dalam Kabinet Beras Padu beliau (Klik Sini). Ini adalah satu penghormatan yang tidak terhingga kepada saya yang selama ini telah pun banyak berjasa kepada rakyat.

Saya percaya perlantikan saya adalah kerana saya mempunyai track rekod yang bersih daripada skandal-skandal yang pernah dilalui oleh pemimpin yang menerajui kementerian kesihatan sebelum ini.

Maruah Kementerian Kesihatan selama ini telah banyak dimomok-momokkan oleh pelbagai pihak. Malah kementerian yang akan saya terajui ini telah mengalami kemerosotan maruah ke tahap yang paling rendah di dalam sejarah penubuhannya.

Terdapat beberapa kerat manusia di dalam kementerian ini cuba mencari populariti dengan menangguk di air yang keruh. Kes yang melibatkan seorang doktor muslim yang baik dan berakhlak yang telah dipenjarakan hanya disebabkan oleh tidak menjelaskan lesen klinik masih lagi kita ingat. Memenjarakan doktor tersebut dan di dalam masa yang sama tiada tindakan dikenakan kepada doktor yang membedah isteri seorang ahli parlimen sehingga menyebabkan koma walhal tidak mempunyai kredential untuk pembedahan tersebut menunjukkan dasar double standard kementerian. Ini akan saya hapuskan.

Saya juga berjanji :-

1. Akan menaikkan elaun kritikal sebanyak 10% kepada kakitangan yang layak di Kementerian Kesihatan sebaik sahaja saya mengangkat sumpah dan memasuki pejabat rasmi.
2. Akan memberi elaun kritikal kepada Medical Assistance (MA) yang bertugas menggantikan doktor-doktor di pendalaman.
3. Mengadakan 20 pusat-pusat dialysis kerajaan di seluruh negara untuk mereka yang tidak berkemampuan lengkap dengan kakitangan yang efisyen dan kemudahan-kemudahan seperti suntikan erythropoetin dengan kos yang mampu diperolehi.
4. Mengadakan tempat letak kereta bertingkat di Hosp Kuala Lumpur tanpa sebarang bayaran dikenakan.
5. Meningkatkan taraf kesihatan untuk penduduk di kawasan pendalaman, kampung dan orang asli yang sering terpinggir tidak kira kaum dan pemikiran politik.
6. Menambah baik proses bantuan kewangan/ peralatan sokongan kepada pesakit yang tidak berkempuan agar tidak perlu menunggu lebih lama dan penuh dengan birokrasi.
7. Memulihkan kepercayaan rakyat kepada hospital kerajaan dengan mengadakan rebranding, meningkatkan moral kakitangan dan juga doktor dan meningkatkan standard piawai ke peringkat antarabangsa.
8. Menimbang semula kadar bayaran perkhidmatan kepada pesakit Bukan warganegara Malaysia agar caj yang lebih sesuai dikenakan.
9. Meningkat kesedaran tak nak merokok, bahaya dadah dan juga kempen menentang HIV melalui kempen dan program pendidikan kepada kanak-kanak di sekolah rendah dan menengah secara lebih serius, kerap dan tersusun.
10.Mengawal caj-caj rawatan di hospital swasta yang tidak masuk akal termasuk caj ubat-ubatan, perundingan dan pembedahan, mengurangkan pemeriksaan makmal yang tidak perlu, termasuk caj melalui insurans.

ok ok... lepas ni kita bincang pasal tender pulak yer... huh.. buat hospital baru... beli equipment baru... huh... kontrak juta-juta nih... kayo..kayo..

keke.. :)

Wednesday, March 12, 2008

Menyokong Kepimpinan Pak Lah

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pak Lah telah mengangkat sumpah di Istana Negara untuk memegang tampuk kepimpinan Malaysia sebagai perdana menteri bagi penggal keduanya. Walaupun desakan demi desakan daripada ramai orang termasuk Tun Dr Mahathir dan penyokong-penyokong beliau akibat kekalahan teruk BN pada pilihanraya baru2 ini tetapi saya merasakan kepimpinan Pak Lah masih diperlukan. Kenapa saya berkata begitu?

Yang pertama, pada pendapat saya, Pak Lah merupakan pejuang agenda melayu dan Islam di dalam Barisan Nasional. Sebagai seorang yang memimpin sebuah negara, rakyat tentulah mahu seorang pemimpin yang bersopan santun, mempunyai pegangan agama yang baik dan berlatar belakangkan keluarga yang beragama. Ini adalah perlu untuk memastikan agenda Islam itu terus berada di atas paksinya. Walaupun, Islam Hadhari dikatakan oleh Barisan Rakyat adalah bermotifkan politik - namun, apa yang digariskan oleh Islam Hadhari itu ada juga positifnya. Malah, sekurang-kurangnya ada juga agenda Islam yang diketengahkan contohnya seperti memperkasakan ilmu sains di dalam pengajian Islam dan peningkatan kekuatan ketenteraan dsbg. Berbanding di zaman Tun Dr. Mahathir, pendekatan Pak Lah adalah lebih Islamik. Ini tidak boleh dinafikan.

Tentulah ada ramai berpendapat beliau mempunyai dasar-dasar yang lemah di dalam kerajaan tetapi saya merasakan agak sukar untuk diukur kemampuan beliau berdasarkan prestasi satu penggal sahaja. Prestasi Tun Dr. Mahathir tidak diukur di dalam satu penggal. Unsur nepotisme di dalam kepimpinannya boleh menjatuhkan beliau tetapi di dalam Islam ada disebut di dalam kaedah Usul Fiqh - Jika datang kepada kamu dua mudharat, pilih lah mudharat kecil daripada mudharat yang lebih besar.

Jadi apakah mudharat yang lebih besar? Ada pendapat yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu melihat negara diperintah oleh seseorang yang tidak beberapa jelas pendiriannya terhadap Islam dan diragui akhlaknya. Orang no 2 di dalam BN (maaf nak kata) juga bagus tetapi telah dikaitkan dengan pelbagai isu seperti isu Altantuya, isu pembelian beberapa peralatan perang dan pernah dikaitkan dengan masalah rumahtangga sebelum ini. Walaupun di "backing" oleh Tun Dr. Mahathir, Dato' Hishamuddin (pemuda harapan orang no 2) dan barisan penyokong Pahang yang kuat, saya merasakan personaliti beliau boleh diragui berbanding personaliti PM.

Mungkin ada ramai penyokong no 2 berpendapat isu itu tidak adil kerana isu itu belum/tidak dibuktikan dan beliau mempunyai track record yang baik. Well, sebagaimana rakyat melihat isu-isu BN yang tidak selesai ini boleh menjatuhkan BN sendiri, kemungkinan isu No 2 akan lebih teruk dimainkan dan menyebabkan kegagalan jentera BN sendiri secara total sekiranya No 2 dinaikkan menjadi PM. Malah pihak barisan rakyat sekarang boleh memainkan isu moral untuk menjatuhkan PM sekiranya no 2 dilantik menjadi PM.

Kata Dato' Shahrir Samad, dia melihat ada kemungkinan BN boleh bergabung dengan PAS suatu hari nanti - kerana jika DAP yang ada islamiphobia itu pun boleh percaya dengan PAS, maka kenapa tidak UMNO? Itu adalah pendapat paling bernas sekali yang datang dari pemimpin BN (Kenapa Shahrir ni tak diangkat jadi No 2 ye? beliau selalu ada idea yang sangat bernas). Ini adalah kerana - apa pun perjuangan parti politik melayu dan Islam yang berbeza pendapat - perlu ada satu common ground atau hadaf atau matlamat yang sama iaitu menaikkan Agama Islam dan bangsa melayu.

Oleh itu, saya menyokong kempimpinan Pak Lah selaku PM yang baru dan saya menyokong semua MB yang baru dilantik di kalangan Barisan Nasional dan Barisan Rakyat. Semoga kedua-dua barisan ini walaupun berbeza pendapat tetapi boleh duduk semeja untuk membangunkan umat.

p.s. Setelah kemenangan besar Barisan Rakyat - dan kekalahan teruk BN - adakah harga minyak akan terus disubsidi atau akan tetap naik? nantikan bulan April ini....


Wallahu A'lam.

Tuesday, March 11, 2008

HIKMAH PILIHANRAYA KE 12





Assalamualaikum para pembaca,

Alhamdulillah PRU 12 telah berjalan dengan baiknya dan keputusan telah dibuat oleh rakyat Malaysia.

Izinkan saya untuk mengucapkan tahniah kepada kemenangan Barisan Nasional yang telah berjaya menyapu 140 buah kerusi. itu adalah 65% daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan. Malah ia adalah 13% lebih daripada majoriti mudah. Tahniah sekali diucapkan kepada kepimpinan Pak Lah. Walaupun tidak berjaya mendapat 2/3 majoriti, saya rasa ia adalah satu petanda BN masih releven dan mendapat sokongan umum.

Barisan Alternatif atau sekarang lebih dikenali sebagai Barisan Rakyat juga telah mengejutkan semua dengan memenangi 5 daripada 13 negeri yang bertanding. Ini menunjukkan kebangkitan suara masyarakat bernilang kaum negara di atas beberapa isu yang tidak mendapat sambutan daripada pihak pemerintah sebelum ini.

Sebenarnya kemenangan tidak memberi apa-apa pengajaran. Yang kita banyak belajar adalah daripada kekalahan. Daripada kekalahan, kita lihat PM kita mula serius di dalam cuba mendalami masalah yang berlaku. Daripada kekalahan kita melihat semula siapa lawan kita dan siapa kawan kita yang sebenar. Dengan kekalahan ramai individu pejuang bangun dan menjadi pemenang. Malah saya kira PKR dan PAS juga bangkit dari sekian banyak kekalahan-kekalahan mereka walaupun mereka digelar tidak releven di dalam pentas politik Malaysia suatu waktu dahulu.


Semua perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya melihat beberapa hikmah di dalam pilihanraya yang telah berlangsung.

1. Barisan Nasional sendiri tidak mampu menyingkir beberapa pemimpin yang sudah hilang kalibernya di dalam parti seperti Samy Vellu, Zainuddin Maidin, Aziz Samsudin dan beberapa orang lagi. Oleh itu rakyat telah membantu di dalam proses penapisan ini ini. Pak Lah cuma perlu mengucapkan terima kasih...

2. Barisan Nasional dapat mengundur selangkah untuk melihat kembali kelemahan organisasi dan manifestonya kepada rakyat. Ini adalah satu langkah yang sangat baik kepada Negara. Segala kelemahan ini jika dapat dibaiki maka mereka pasti akan mendapat peluang untuk mengambil semula negeri yang terlepas kepada barisan rakyat.

3. Selama ini masyarakat di luar negara memandang Malaysia tidak mengamalkan demokrasi. Malah ada sebilangan rakyat Malaysia berpandangan sebegitu. Dengan pilihanraya ke 12 ini, semua pandangan negatif ini telah terjawab. SPR dapat membersihkan nama mereka. Malaysia boleh memberitahu dunia bahawa mereka mengamalkan demokrasi yang boleh dijadikan contoh kepada dunia. Malaysia Boleh!

4. Rakyat mendapat keuntungan daripada suara pembangkang yang lebih besar di dalam dewan negara dan dewan rakyat. Dengan ini bil-bil yang biasanya diluluskan dalam masa 2 jam dapat lebih dibincangkan dengan lebih mendalam pro dan kontranya.

5. Kerajaan daripada pihak Barisan Nasional dan Barisan Rakyat akan berada di dalam keadaan bersedia terutama dari sudut perbelanjaan kewangan, pembahagiaan kekayaan yang tidak sama adil, gejala rasuah, nepotisme, peningkatan penyampaian perkhidmatan awam dsbg.

6. Yang Berhormat akan selalu turun padang dan mengambil berat masalah anak buahnya tidak kira kaum dan parti. Ini perlu sekiranya mereka ingin terus duduk di kerusi DUN mereka untuk tempoh yang lama. Bukan PM yang menentukan samada mereka layak atau tidak tetapi rakyat sendiri. Oleh itu mereka tidak boleh tunjuk lagak dan sombong.

7. Pihak Barisan Rakyat selalu menyatakan bahawa mereka tidak mendapat layanan yang adil jadi mereka mahukan satu peluang. Oleh itu rakyat telah memberikan mereka satu peluang. Sekiranya mereka tidak mampu melaksanakannya maka peluang mungkin tidak akan diberi untuk 40 tahun lagi. Oleh itu, tunjukkan yang terbaik dan anda mungkin akan terus kekal di kerusi anda. Recep Tayyip Erdogan, PM Turki telah berjaya di Turki dengan kempen menentang rasuah. Maka, Barisan Rakyat mungkin juga boleh berjaya.

8. Agama Islam masih lagi menjadi isu releven terhadap perjuangan parti-parti bertanding.


Saya ada terdengar desas desus tentang bagaimana Malaysia telah jatuh ke tangan kaum lain dengan apa yang ditunjukkan daripada pilihanraya ini. Malah ada yang cuba menyamakan pilihanraya ini dengan cerita bagaimana Singapura keluar dari Malaysia.

Apa yang saya nampak, Malaysia tidak pun jatuh ke tangan kaum lain. Ia cuma berpindah tangan, iaitu dari UMNO ke PAS/PKR, Gerakan/MCA pula ke DAP/PKR dan MIC ke DAP/PKR. Kaum melayu tetap menyerahkan ke kerusi kaum melayu. Kaum India tetap menyerahkan kerusinya ke kaum India dan Kaum Cina menyerahkan kerusinya ke kaum Cina. Malah di Parlimen Kuantan, Pn Fuziah Salleh menang kerusi tersebut dari MCA, Di Kota Raja PAS menang kerusi daripada MIC. UMNO tetap menang banyak kerusi melayu di Pulau Pinang. Menteri Besar Perak tetap melayu.
Tapi itu cuma pemerhatian saya sahaja. Pemerhatian saudara bagaimana pula?

Apapun, blog ini InsyaLAllah akan melarikan dirinya daripada isu politik di dalam masa beberapa hari lagi. :)

Kepada anda yang sudah muak, bosan dan benci dengan tulisan politik skala kecil saya ini, amatlah saya memohon maaf. Saya masih di sini dan dukacitanya - anda tidak boleh mengundi saya keluar dari blog ini :)

Wallahu Alam

Thursday, March 6, 2008

Apa Erti Merdeka 50 Tahun ?

Assalamualaikum semua pembaca budiman,

Malaysia telah merdeka 50 tahun. Ini bermakna penduduk di Malaysia sudah pun agak matang jika diukur di dalam kiraan umur kematangan manusia. 50 tahun bukan angka kecil walaupun ada ramai yang cuba memperkecilkannya. Apalah 50 tahun ini jika nak dibandingkan dengan usia kemerdekaan Amerika Syarikat yang mencapai ke tahap 233 tahun?

Sepatutnya kita merasa berbangga kerana kita tidak berapa jauh daripada Indonesia ataupun India yang telah merdeka di dalam lingkungan 60 tahun. Hanya lebih kurang 10 tahun sahaja bezanya dengan Malaysia.

Menurut beberapa pemimpin negara kita, 50 tahun pertama negara Malaysia ditubuhkan adalah untuk menyediakan fasiliti dan kemudahan survival rakyat Malaysia. Menyediakan kawasan untuk tempat tinggal, menyediakan air dan sumber elektrik kepada penduduk, menyediakan jalan raya yang lengkap (sepatutnya tanpa tol macam negara lain seperti Russia), menyediakan sistem perparitan dan longkang dan segala macam perkara yang perlu untuk kemudahan rakyat. Pendapatan negara digunakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendidikan.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan baik walaupun adakalanya ada masalah-masalah timbul seperti kenaikan harga tol, kenaikan harga minyak petrol (walaupun Malaysia negara pengeluar minyak), tahap pemikiran pelajar universiti yang beku dan kenaikan harga barangan akibat inflasi dan permainan golongan tertentu. Secara umumnya kredit seharusnya diberi kepada kerajaan yang memerintah di atas segala perlaksanaan2 yang baik.

50 tahun selepas merdeka, setelah segalanya telah ada dan siap. Maka Pilihanraya kali ke 12 ini mendambakan pemikiran rakyat yang berubah. Perubahan yang bagaimana anda bertanya. Jawapannya ialah perubahan dari sudut yang lebih positif.

Jikalau 50 tahun dulu, kita memilih calon untuk mewakili kita agar jalan di depan rumah kita diturapkan. Kita pilih calon wakil rakyat supaya ada elektrik yang menerangi depan rumah, atau kita nak ada longkang atau parit yang selalu tersumbat dapat dibersihkan, sampah dapat diangkat tepat pada waktunya. Kita pilih calon wakil rakyat yang boleh bagi kita sebuah padang permainan yang lengkap dengan kotak gol supaya anak dapat bermain bola pada waktu petang. Kita pilih wakil rakyat yang tolong bina jambatan yang lebih besar kerana jambatan yang ada sudah tidak boleh menampung kereta yang semakin banyak di kawasan rumah. Tapi adakah itu "priority" atau keutamaan kita pada waktu ini?

Sesetengah kata anda ialah ya! Saya mungkin boleh bersetuju. Cuba lihat sekarang, masih ada kampung yang masih tiada bekalan air dan api. Masih ada jalan yang belum berturap. Masih ada orang kampung yang berpendapatan seperti orang Bangladesh yang tinggal di Bangladesh. Kesihan. Sudah 50 tahun negara merdeka.... dan ada yang masih bergelap dan dapur tidak berasap. Mungkin itu benar di kawasan kampung-kampung. Mereka memilih calon wakil rakyat yang pandai berjanji dengan janji-janji manis tetapi akhirnya menikam mereka dari belakang.

Yang tinggal di bandar-bandar pula telah mengalami perubahan minda yang berbeza. Tahniah dengan segala pendidikan yang disediakan oleh kerajaan yang menjadikan lebih ramai anak muda mempunyai diploma dan ijazah, maka keutamaan untuk memilih calon wakil rakyat telah berubah. Janji-janji seperti - buat jalan yang ada u-turn supaya penduduk kampung di Taman Medan tak perlu membayar tol seperti sekarang contohnya mungkin hanya menjadi isu trivial atau kecil. Nak janjikan pembangunan, nampaknya semuanya telah kelihatan tersedia.

Jadi apakah yang diharapkan oleh mereka yang semakin berpendidikan ini yang tinggal di kawasan bandar2?

Pada pendapat saya, pengundi yang bijak tidak sahaja mengundi di atas isu lokaliti atau setempat tetapi juga mengundi di atas isu nasional atau negara. Mereka mahukan ahli-ahli parlimen yang lebih bertanggungjawab dan bersih. Mereka mahukan ahli perlimen yang bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Mereka gembira jikalau ahli parlimen kita jika berbahas di Parlimen menggunakan bijak akal dan minda dan bukan berbahas seperti budak sekolah menengah tingkatan 3 atau menunjukkan level pemikiran budak tadika.

Mereka membenci ahli parlimen yang rasuah. Mereka tidak mahukan agama Islam dibobrokkan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Di samping itu kaum lain bebas melaksanakan ritual mereka di dalam batas-batas yang dibenarkan. Mereka mahukan keikhlasan kerajaan di dalam menangani isu kenaikan harga barang. Mereka mahu tahu, ke mana pendapatan negara kita dihabiskan secara telus. Kenapa masih ada pihak membeli sekotak skru dengan harga RM 100?

Apa yang kami dapat dengan mengundi anda wahai wakil rakyat semua. Adakah dengan mengundi anda, kami terpaksa menahan satu lagi kenaikan harga minyak sehingga RM 0.60 sen? Di mana suara wakil rakyat yang kami pilih 5 tahun dulu ketika isu ini diketengahkan. Mana? Mana?

Segala simpati saya kepada mereka yang tidak mahukan perubahan. Walaupun saya terpaksa juga bersimpati di atas diri saya sendiri kerana apa pun yang saya lakukan dan usahakan, harga minyak negara akan tetap naik.. harap ia akan naik sekadar RM 0.60 sahaja kerana sekiranya ia naik sehingga RM 0.80 atau RM 1, saya amat yakin, tidak ada ahli parlimen di sana yang akan berani bersuara.

Wallahu A'lam.

Wednesday, March 5, 2008

Indelible Ink Cancellation? - A Mockery of Malaysian Election




Assalamualaikum Para Pembaca yang Dihormati,

Di kala calon parti Demokratik US, Obama Barrack tewas di tangan Hillary Clinton di OHIO dan TEXAS dalam persaingan merebut perwakilan Demokratik untuk menentang Mc Cain calon Republik yang disahkan pencalonannya, Malaysia sekali dikejutkan dengan cerita pembatalan calitan dakwat kekal di jari oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia semalam.

Di kala Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia ingin menunjukkan kepada dunia tentang keadilan pilihanraya di Malaysia yang mendapat reaksi yang buruk oleh media antarabangsa. Sekali lagi, pembatalan saat-saat akhir ini menunjukkan tanda-tanda "fishy" atau sesuatu yang meragukan berlaku oleh pengadil liga tempatan kita. Seperti yang saya tulis sebelum ini, SPR bukan sahaja perlu adil tetapi harus nampak dan kelihatan adil.


Perkara ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah bersikap sangat-sangat kurang bijak. Malah ketika dan saat ini, pengerusi SPR iaitu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kelihatan seperti seorang boneka atau badut di kalangan rakyat. Jikalau benar bagai dikata, ada pembeli yang membeli dakwat hitam untuk tujuan tersebut sebagaimana PDRM katakan, tentulah rakyat kita yang bijak pandai mahukan isu itu diketengahkan di dalam berita perdana.


Tunjukkan dakwat yang dirampas dan keluarkan kepada umum siapa yang melakukan hal tersebut dan dalangnya. Jikalau PDRM boleh merampas passport palsu, wang berjuta-juta, kereta curi dan dsbgnya dan memaparkan di berita perdana pada hari dan masa yang sama beserta si tertuduh yang melakukannya, kenapa di dalam masa yang sama ia tidak berlaku di dalam situasi ini.

Kita juga ingin tahu di mana si tertuduh membeli dakwat itu, di kedai mana dan negara mana. Sekiranya dakwat yang dibeli itu wujud, berapa harganya? Kenapa SPR perlu beli dakwat sebanyak 48,000 botol itu sehingga ke India yang melibatkan kos lojing yang tinggi sekiranya ia begitu mudah untuk dibeli di negara seperti Thailand dan Filipina contohnya? SPR tak tahukan bahawa dakwat itu ada dijual di negara yang berhampiran?

Untuk informasi pihak anda, adakah anda tahu bahawa pembelian dakwat itu melibatkan wang negara sebanyak RM 2.4 juta dan RM 1 juta lagi untuk diimplementasi. Bermakna SPR baru sahaja membazirkan wang sebanyak RM 3.4 juta!

Saya sebenarnya berpendapat bahawa, alasan SPR bahawa ada penipuan di dalam penggunaan dakwat ini adalah satu alasan yang lemah. Datuk Wan Ahmad Wan Omar sendiri selaku Naib Pengerusi SPR Malaysia pernah membuat satu kenyataan akhbar di dalam the STAR:-

Besides India, Wan Ahmad said the Philippines, Indonesia and many developing countries – especially those in Africa – also used indelible ink to prevent election fraud.

“The Election Commission in India has been using this same indelible ink for many elections. Indonesia used it for their last election in Aceh. In Mali, the ink is applied to the fingernail,” he said. Wan Ahmad said he went to India to see what the ink looked like and bought a sample of it.


Nampaknya, negara India yang banyak kali menggunakan kaedah ini, malah negara jiran kita seperti Filipina dan Indonesia juga yang menggunakan kaedah ini "terlepas" daripada penipuan pilihanraya sekiranya mesej itulah yang SPR cuba sampaikan dengan membatalkan penggunaan dakwat ini.


Sebaik-baiknya BN harus bersama-sama menghalang pembatalan penggunaan dakwat ini dan bukannya mempertahankan SPR. Ini untuk mengelakkan daripada Parti itu dilihat terdesak untuk menang sebagaimana yang telah berlaku sekarang dan kelihatan bersekongkol dengan keputusan SPR yang berat sebelah ini. Apa kata Pak Lah cuba pujuk Pengerusi SPR untuk membatalkan keputusan SPR menggunakan dakwat tersebut. Jikalau ini berlaku maka, keadilan kepada semua dapat dilaksanakan.
Psssttt .. Baca cerita Siti Nurhaliza dan Kempennya


Wallahu A'lam.

Cerita Pilihanraya 2008




Assalamualaikum..

Bahang pilihanraya umum 2008 kini semakin rancak dan panas. Lihat saja di kotak TV sekarang ini. Macam-macam ada....
Saya ada juga berborak-borak dengan pemerhati politik di Malaysia ini yang pakar dan juga bukan pakar. Apa pun saya ada pendapat saya yang tersendiri.

Anda tidak perlu bersetuju dengan pendapat saya kerana ini adalah pendapat saya sahaja. Sekiranya anda adalah penyokong BN atau Pembangkang yang tidak bersetuju, awal-awal lagi saya minta ampun dan maaf. Dan sekiranya anda bersetuju dengan pendapat saya, maka boleh beri sokongan anda di ruangan komen.

Pada pemerhatian saya, nampak lebih ramai kaum India tahun ini kelihatan "incline" kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding tahun-tahun terdahulu. Ini juga dipersetujui oleh kawan-kawan saya yang pergi ke ceramah PKR. Lebih ramai warga keturunan India hadir ke ceramah pembangkang. Lori-lori dan van yang membawa bendera PKR saya dapati pemandunya adalah golongan India. Saya juga pernah ke Rawang untuk satu urusan, tiba-tiba satu kumpulan bermotor yang terdiri daripada kaum India membawa bendera pembangkang dan menekan hon. Ini merupakan satu senario yang menarik. Mungkin ada "swing" daripada undi kaum India tahun ini sorotan tidak kepuasan hati mereka tentang beberapa isu.

Pihak PAS sebagai pembangkang nampak lebih rasional dan professional tahun ini. Muka-muka baru yang fresh dan professional menaikkan parti itu sebagai satu alternatif. Ada pendapat yang mengatakan, kehadiran lebih ramai professional dan anak-anak muda di dalam PAS meneutralkan banyak perkara di dalam parti itu yang dahulu pernah dilabel oleh BN sebagai parti kafir-mengkafir. Malah calon India wanita di Johor juga mengejutkan banyak pihak. Kenyataan akhbar daripada pemimpin mereka juga nampak lebih lembut dan bijak.

Saya pernah menjadi sukarelawan pemerhati untuk mengira undi suatu waktu dahulu. Saya bersama-sama kawan2 buat untuk seronok2 sahaja. Jikalau dilihat parlimen Kuantan dan Parlimen Pekan di Pahang, bagi saya itu sudah menjadi kubu kukuh Barisan Nasional. Bukan sebab apa. Pada ketika pembangkang hampir menyaingi undi BN, tiba-tiba datang berkotak-kotak undi pos yang dikatakan daripada tentera. Beribu-ribu undi pos itu HANYA mempunyai undi BN sahaja. Ulang suara - HANYA mempunyai undi BN sahaja. Saya tahu kerana, saya berada di situ sebagai pemerhati.

Pada pendapat saya, selagi undi pos diteruskan seperti sekarang, ketelusan itu nampaknya boleh dipertikai. Kalau satu mekanisme boleh dilaksanakan oleh SPR untuk meminda sistem undi pos kepada satu sistem yang lebih telus, maka ia adalah amat dialu-alukan.

Secara keseluruhannya, Barisan Nasional akan menang pada pilihanraya ini. Itu sesuatu pandangan yang realistik. Malah mereka wajar menang untuk meneruskan beberapa agenda Islam dan melayu. Cuma, saya merasakan bahawa adalah lebih baik Barisan Nasional tidak mendapat undi 2/3 majoriti di dalam pilihanraya ini.

Walaupun nampak menyusahkan kerajaan, tapi bagi rakyat, keputusan kerajaan yang adakalanya sewenang-wenangnya memutuskan sesuatu yang boleh menyusahkan rakyat dapat di timbang tara oleh suara pembangkang. Contohnya, sekurang-kurangnya, keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak selepas pilihanraya akan mendapat tentangan daripada pembangkang. Oleh itu, saya amat berharap pihak pembangkang dapat menafikan undi 2/3 majoriti. Namun, secara realistiknya tampuk kekuasaan masih kepada Barisan Nasional.

Kepada pihak pembangkang, menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional adalah satu kemenangan sebenarnya. Ramai yang mahu melihat ini termasuk saya sendiri. Kelantan mungkin masih dipegang oleh PAS walaupun ramai saya dengar anak-anak muda di KL yang ingin melakukan perubahan demi janji-janji pembangkang (BN). PKR juga mungkin boleh memenangi lebih banyak kerusi tahun ini.

Tetapi secara personal, saya sangat-sangat mahu melihat jawatan Ketua Pembangkang di serahkan oleh Lim Kit Siang DAP kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pada pendapat saya, jika DSAI menjadi ketua pembangkang, suara pembangkang akan menjadi sangat kuat. Pasti sesuatu yang menarik sekiranya Pak Menteri BN terpaksa mempertahankan sesuatu usul yang dibentangkan kepada Ex Boss mereka sendiri yang pernah memegang jawatan kedua tertinggi di BN dan Kerajaan.

Apa sahaja hujah yang tak konkrit, mengarut dan merugikan rakyat dapat dicerna dan dihadam oleh kedua-dua pihak dengan sama adil dan sama kuat. Jawapan tak beberapa bijak Sami Vellu seperti "kalau tak mau bayar tol, baik naik kereta lembu lah" mungkin akan kurang kedengaran. Dan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
(Macamana DSAI nak masuk parlimen tuh, satu misteri yang belum terungkap dan mungkin juga tak akan berlaku).

Perang saraf sekarang semakin menjadi-jadi. Tinggal lagi 3 hari, media memainkan peranan yang sangat besar untuk menaikkan mood pengundi silent majority. BN mahukan pengundi senyap ini ke kotak undi kerana mereka ini biasanya memberi undi yang memihak kepada BN. Mereka ini mungkin ibu atau suri rumah atau mereka yang hanya mendapat berita daripada arus perdana seperti TV, radio dan surat khabar. Kepada mereka yang berlebih-lebih letak iklan pilihanraya kat TV dan radio, saya ibaratkan macam pakai make-up lah - kalau pakai secara sederhana memang cantik... tapi kalau sapu bedak sampai seinci dan eye shadow berlebih-lebih sangat, orang jadi menyampah pula.

Apa pun selamat mengundi semua rakyat Malaysia 2008.

Wallahu A'lam.

Monday, March 3, 2008

Bolasepak Liga Tempatan






Assalamualaikum,

Sebenarnya, kawan ni tak beberapa lah gemar tengok bola... kalau duduk kat kedai mamak pun sekadar tengok sekejap sementara roti canai nak habis jer. Kalau masa student universiti dulu, time rakan2 kawan bersengkang mata tengok Ronaldo, kawan bersengkang mata main game Diablo 2 kat bilik. Pendekata, kalau kawan tak dibayar RM 150 tengok bola (ada setengah tenpat RM 100), jangan harap ler kawan nak tengok bola.

Tapi sejak beberapa hari lepas, kawan jadi bengang pun ada. Iklan liga tempatan makin kerap keluar kat TV. Kawan nak tengok kartun dan Mari bertarannum kat TV 9 ngan anak kawan pun susoh. kejap-kejap iklan liga tempatan. Kejap melayu, kejap India, kejap Cina. Ada pulok pemain bola, nama Zaidi Che Man... (pekat loghat Kelate) mintak para pemain bola professional kembali ke Kelate main bola...

Kawan tengok kalu Liga perdana Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Itali, Liga Belanda dan Liga Perancis agak berbeza sikit. Cuba tengok Liga Bola US sekarang. Padangnya sama tinggi, sama cantik. Penonton boleh bawa kain rentang pasukan masing-masing. Kalau lawan dua pasukan, dua-dua boleh masuk TV. Yelah Ketua pasukan nak tunjuk pasukan mana yang hebat. Pengadil pulak nampak adil ke kedua-dua pasukan. Mana-mana pengadil yang makan rasuah atau tak kelihatan adil akan ditukar.

Ada pulak pegawai FAM cakap - ala.. itu kan liga orang puteh, bola jer bulat tapi cara liga dia lain... Benua pun berbeza jauh... Mana boleh sama kan dengan kita.

Peminat bola fanatik nih - ada jugak yang belajar kat universiti. Dia pun balas semula - tapi yang jiran kita macam Indonesia dan Thailand nih, liga bola sepak dia nampak sama jugak macam Liga Perdana Inggeris. Kedua-dua pasukan bertanding boleh masuk TV dan surat khabar. Pengadil pun adil. Kenapa liga bola kita tak boleh sama macam kat liga bola Thailand dan Indonesia? Kan kita dalam satu benua?

Pegawai FAM cakap - Hmmmmm.... (lama terdiam) Ehh ko diamlah... ko budak Universiti lagi.. apa tau. Kita kan ada wawasan 2020. Kita kena buat liga ni mengikut acuan kita sendiri.

Jadi nampaknya, liga bola tempatan masih lagi berada di tampuk yang sama.

Walaupun ada dua pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana Malaysia tetapi secara hakikatnya satu pasukan lagi kakinya hampir diikat. Dah lah padangnya tak sama rata, penonton lawan tak boleh bawa sepanduk dan bersorak. Sekiranya, penonton pasukan lawan pasang sepanduk dan bersorak, mereka akan dituduh menggangu perlawanan dan akan dirampas sepanduk mereka dan dihalau.

Bila ditanya semula kepada FAM kenapa dan Mengapa?

Ini perlawanan saya sudah tetapkan. Saya yang pilih padang dan saya yang tetapkan peraturan dan awak kena ikut peraturan.

Saya juga yang pilih pengadil. Kalau pengadil buat-buat tak nampak atau terbagi kad kuning saya tak boleh buat apa-apa kerana itu urusan peribadi pengadil di padang itu. Kita kena teruskan permainan yang berat sebelah ini, lepas habis main dan awak tak puas hati awak boleh bawak perkara nih ke Mahkamah.

Kalau awak nak shoot goal dan ada orang alihkan kotak gol itu ke tempat lain. Saya tak boleh buat apa-apa. Ini kan adat permainan. Orang yang alihkan goal tuh yang bayar gaji saya!

Nampaknya yang nampak sama-sama adil di dalam liga perdana tempatan ni cuma bolanya sahaja yang bulat. Tetapi resmi bulat - adakalanya kita di atas - adakalanya kita di bawah.

Ramai penonton yang melihat perlawanan bola ini. Takkan tidak ada orang yang merasa sakit hati dan inginkan sedikit perubahan? Kalau tak banyak...sedikit. Kawan yakin, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Wallahu A'lam.

Wednesday, December 5, 2007

Kok... Kita Kan Serumpun Pak!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Segelintir pemimpin negara Indonesia kadangkala suka menunjukkan ciri-ciri kurang rasional mereka apabila mempertikaikan sesuatu isu. Perbalahan kadangkala bertitik punca dari perkara remeh yang dicanang seolah-olah ia sesuatu yang sangat besar.

Sekiranya timbul sesuatu isu besar untuk dibincangkan, pemimpin mereka akan cepat melenting. Beberapa tahun 2005, Indonesia telah menghantar kapal perang dan kapal selam mereka ke perairan Malaysia. Bukan perkara kecil tuan dan puan, siap hantar pasukan tentera dan kapal perang. Apa yang mereka cuba sampaikan dengan menghantar kapal perang? Jangan main-main dengan kami? Kalaul kami bosan dengan kamu, kami akan serang?

Isunya boleh diselesaikan di meja rundingan. Petronas memberikan konsesi minyak kepada Shell bagi kawasan yang dipertikaikan pemiliknya iaitu Pulau Ambalat. Bukan itu sahaja, sudah banyak kali bendera Malaysia dibakar dengan teriakan "Ganyang Malaysia". Malahan ada yang sudah mengisytiharkan perang kepada Malaysia. Ini tindakan yang terdesak.

Isu berkenaan budaya pula ialah nyanyian Rasa Sayang yang dipertikaikan kerana digunakan Malaysia sebagai lagu promosi Malaysia Truly Asia. Menurut salah seorang pemimpin di sana, lagu Rasa Sayang berasal dari Maluku Indonesia. Ada yang mahu pampasan diberikan dan ada yang mahu izin kerajaan di Indonesia untuk menggunakan lagu tersebut.

Masalahnya sekarang negara Indonesia sendiri tidak dapat menunjukkan bukti hakcipta lagu tersebut kerana ia adalah lagu rakyat yang digunakan oleh kedua-dua buah negara sejak turun temurun. Ada ketika apabila orang Filipina juga pernah menyanyikan lagu tersebut di majlis kebudayaan di luar negara!

Yang terbaru ialah berkenaan dengan tarian Endang dan Barongan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara setelah dipersembahkan di sebuah persembahan kebudayaan di Osaka Jepun. Buat masa ini, tarian tersebut telah dihentikan untuk memberi laluan kepada perbincangan dua hala Malaysia Indonesia berkenaan isu ini.

Kita mungkin faham sekiranya terdapat rasa tak puas hati Indonesia tentang beberapa isu kebelakangan ini melibatkan warganegara mereka yang behijrah di Malaysia (kes juri karate dipukul). Juga mungkin tentang persepsi mereka tentang layanan buruk sesetengah majikan di Malaysia. Itu hanya kes-kes yang terpencil di bandingkan dengan kebanjiran warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, sehingga kini bilangan mereka melebihi seluruh warga negeri Perlis!

Jikalau mereka sibuk mempertikai sumbangan warga kerja Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia, adakah mereka hendak menafikan sumbangan Malaysia juga terhadap ekonomi Indonesia? Berjuta-juta wang Malaysia di bawa keluar ke Indonesia setiap hari! Apa yang mereka ingin nafikan?

Cuba lihat kumpulan penyanyi dari Indonesia, sebut sahaja kumpulan yang mana pasti ada lagunya berkumandang di radio di Malaysia. Malahan yang tidak popular di negara sendiri datang ke sini untuk menjadi popular. Beberapa minggu lagi, Konsert Kumpulan Dewa di bandar-bandar utama di Malaysia akan berlangsung. Tiket-tiket percuma sedang diedarkan di Radio ERA.

Tuan- puan, Indonesia sedang meng"ganyang" kita di sana. Kita pula sedang menyusukan kera di hutan, sedangkan anak kita kelaparan! (Saya pernah terbaca tulisan seorang penulis blog di Indonesia - tulisannya 10x lebih celupar daripada tulisan saya).

Berbalik dengan perbezaaan pendapat, saya pernah berada di Indonesia dan melihat cara mereka memilih pengerusi untuk MPR (Majlis Perwakilan Rakyat) yang disiarkan secara langsung waktu itu. Pemilihan itu sahaja berlangsung begitu lama, dengan perdebatan demi perdebatan demi perdebatan. Begitu agrresif. Untuk memilih seorang yang duduk di kerusi itu sahaja, dah cukup letih kita melihatnya. Mereka memang mempunyai begitu banyak masa untuk tujuan itu.

Walaupun begitu, hakikat kelahiran negara Indonesia patut kita fahami. Negara Indonesia lahir daripada pelbagai perjuangan menentang imperialis Belanda secara peperangan. Sebelum itu mereka telah dijajah oleh Inggeris dan Portugis. Kemudian menentang tentera Jepun secara peperangan juga. Telah ramai terkorban, darah banyak tumpah.
Tidak seperti Malaysia yang lebih bersikap demokrasi (dengan pilihanraya-nya), toleransi dan bertukar-tukar perjanjian dengan penjajah. Kita banyak menggunakan akal dan budi bicara sehingga termeterai kemerdekaan dengan pihak Inggeris. Tidak hairan, rakyat Malaysia kaya dengan tolak ansur. (Ramai di Indonesia anggap Malaysia mengkhianati Indonesia termasuk Bung Karno kerana bersekongkol dengan British)

Tata budaya kita walaupun kelihatan sama dengan negara seberang tetapi sebenarnya mempunyai watak yang banyak bezanya. Walaupun kita dikatakan serumpun oleh kerana asal nenek moyang yang sama, tetapi sikap kita yang suka bertolak ansur, lemah lembut dan bersopan menjadi jatidiri kita amat berbeza. Ini yang menjadikan orang melayu Malaysia lebih disukai di negara Arab berbanding melayu Indonesia. Tak percaya? Tanya mana-mana warga Arab di Al-Azhar Mesir.

Apabila, melihat semula semua ini, saya terfikir, konotasi "kita serumpun" sudah tidak lagi sesuai untuk memanifestasikan budaya kita yang pada asalnya sama. Ini adalah kerana sekiranya Indonesia mula mempertikai dan menghalang lagu "Rasa Sayang" dan beberapa tarian lagi dipersembahkan untuk memperkenalkan Malaysia yang "kononnya" serumpun dengan Indonesia dengan alasan yang remeh -temeh, menunjukkan kita bukan lagi serumpun. Ya, mungkin kita "sebaja" tapi bukan "serumpun".


Wallahu A'lam.

Thursday, November 29, 2007

Ke Arah Melahirkan Wakil Rakyat Malaysia yang "Witty"

Assalamualaikum Warahmatullah...

Terima kasih di atas sokongan dan kehadiran anda ke dalam blog saya yang tak seberapa ini. Alhamdulilllah, di dalam minggu ini kehadiran pembaca telah mencapai ke angka 420 orang. Paling tinggi di dalam sejarah semenjak blog ini ditulis. Mungkin ada beberapa artikel yang menarik minat anda.

Saya mendapat sedikit inspirasi untuk meletakkan video klip ini dari blog Sdr. blalang iaitu http://www.isuhangat.blogspot.com/. Blog isuhangat ini juga sangat menarik dan penuh dengan informasi, silalah jemput ke sana. Setelah mencari-cari video klip yang panas ini di dalam youtube maka akhirnya terjumpa lah juga saya.

Video klip ini adalah tentang rakaman salah seorang DUN Kelantan yang hilang sabar setelah diprovokasi dan menendang seorang DUN Kelantan yang lain. Dengar ceritanya, beliau telah pun di rehatkan selama 6 bulan. Mungkin para pembaca tidak beberapa mendengar kisah ini daripada arus perdana kerana DUN tersebut merupakan ahli pembangkang di Kelantan. Mujur juga ada youtube...



Pertama-tama sekali apabila kita melihat perwatakan ahli politik DUN Kelantan ni rasa berdebar-debar juga. Maklumlah, bukan sahaja serangan mulut dilancarkan tetapi siap ada serangan fizikal lagi. Tapi bila dah banyak kali tengok, jadi tersengih pulak. Segan pun ada... Apa tak disegankan, inilah level politik kita sebenarnya.

Tapi biasalah dalam politik... Sedangkan Perhimpunan Agung MIC pun ada yang berdarah-darah kepala kan. Samseng politik nih mana-mana kumpulan ada. Itulah politik namanya.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, di dalam bidang politik, ia tidak lari dengan provokasi terutama ketika berbahas di Dewan Rakyat kan. Bergantung dengan kemahiran seseorang wakil rakyat untuk mengembalikan "paku buah keras" dengan sebuah lagi "paku buah keras". Jikalau ditengok Dato' Samy Vellu menjawab soalan Lim Kit Siang.. selama dekk dia jer. Tak simpan dalam hati pun.. lepas keluar dewan sama sama minum kopi, hisap curut macam tak de apa-apa je sebelum tu..

Mungkin sebab lain-lain bangsa agaknya. Mungkin jika sama-sama melayu atau sama-sama India, sensitiviti dia mungkin lebih daripada biasa. Mungkin kemarahan yang lebih membara bila diorang ingat melayu ni nak tikam melayu atau india pulak tikam india apabila berbahas. Ada pulak saya dengar orang kata tentang kes kandang babi kat Melaka, DAP ngan MCA senyum-senyum je depan suratkhabar. Tak gaduh pun. Haa.. cina ngan cina mungkin tak macam bangsa kita. Watawa Sau bil Haqq!

Kalau rasa-rasa nak serang DUN lain dengan "tendangan padu maut" sebab diprovokasi, melenting tak tentu pasal dan bermasalah untuk mengawal marah susah juga. Sebab politik memang penuh warna-warni. Kalau semua orang kena provoke jadi macam DUN kita sorang ni tiba-tiba kena sawan saja, tak jadi cerita lah politik Malaysia. Macam parlimen Taiwan la.. baling-balik kerusi - campak-campak meja. Akhirnya jadi bahan cerita di dalam "Ripley's Believe it Or Not!"

Apapun, kalau dilihat parlimen Britain, ahli parlimennya mempunyai kelas yang tersendiri. Intelektual dan "witty"... Apa yer "witty" nih.. nak kata bijak menjawab cam Dato' Samy Vellu melebih-lebih pulak kan. Ramai pulak yang tak setuju kang, terutama Mr Nallakarupan. Semasa Tony Blair memerintah di Parlimen Britain, anda patut lihat bagaimana cara dia menjawab apabila di soal.. Biarpun dihentam teruk dengan isu "berkhalwat" dengan Presiden Bush... perghh... tepat, cantik dan "full of wit".

Bilakah kita akan kita mampu melahirkan golongan ahli parlimen yang lebih bersopan, bijak, "witty" dan beretika ketika membahas di Dewan Parlimen atau Dewan Rakyat. Mungkin 20 tahun lagi? Marilah kita sama-sama berdoa.. Insya Allah.

Tuesday, November 13, 2007

Di sebalik Perhimpunan BERSIH - Sekadar Pandangan

Assalamualaikum Warahmatullah...

Baru-baru ini kita digegarkan dengar perhimpunan BERSIH. Betul-betul menggegarkan. Pendekata walaupun jalan banyak yang ditutup polis, bilangan yang menyertai perhimpunan ini masih lagi menggegarkan.
Bagaimana pandangan saya sebagai seorang rakyat Malaysia tentang suasana politik di Malaysia ketika ini? Pandangan daripada orang yang tak penting seperti saya.. natijahnya adalah komen yang tidak dipedulikan. Tiada impak. Ramai sangat yang membicarakan perihal politik di Malaysia. Tak semena-mena pakcik-pakcik yang duduk di kedai kopi pun mula cakap-cakap pasal politik mengalahkan wakil rakyat dan ahli parlimen. Ada yang bersungguh-sungguh sampai menepuk-nepuk meja dan ada yang terangkat misai menandakan betapa bersemangatnya mereka menegakkan parti dan ideologi masing-masing. Begitu hebatnya penangan politik di Malaysia.

Apapun, saya insan tersangat kerdil didalam senario politik Malaysia jadi biar saya berdiam diri sahaja tanpa mengulas apa-apa buat masa ini. Namun ada perkara yang ingin saya utarakan berkenaan dengan politik juga tetapi di pentas dan arena yang berbeza. Gatal pula tangan ini nak menulis sesuatu mengenai politik tetapi pada skala yang lebih kecil. Pilihanraya sudah mula terasa bahangnya.... teringat waktu zaman belajar dahulu.

Suatu waktu dahulu, saya pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahasiswa Perubatan selama 2 penggal ketika menuntut di Kulliyyah Perubatan UIAM, Pahang. Di dalam kesempatan itu, saya juga pernah dilantik sebagai wakil Mahasiswa Perubatan ke Persatuan Mahasiswa Kampus Induk UIAM selama beberapa penggal. Oleh itu, suasana politik kampus tidak beberapa janggal bagi saya dan saya lebih selesa untuk membicarakannya.

Walaupun senarionya sangat berbeza dengan suasana politik yang sebenarnya tapi ia adalah pembuka mata. Sahabat-sahabat dan senior di dalam organisasi ketika itu termasuk Sdr Samsul Iskandar (abang Sam) yang kini orang Ketua Pemuda Keadilan, Sdr Irmohizam (Org kuat Hishamuddin), Dr Asyraf Wajdi Hj Ahmad Dusuki , Sdr Fadzli Yusof, Sdr Harith dan ramai lagi. Politik kampus sudah diwarnai dengan pelbagai macam dugaan dan cabaran sebelum politik sebenar dicanang secara di atas pentas realiti.

Masih segar di dalam ingatan, untuk mencari undi, ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mengedarkan surat layang untuk memburuk-burukkan calon lawan. Ya... ketika itu memang ada parti. Ada pro-pembangkang (ramai) dan ada pro-kerajaan (ketika itu belum lagi dipanggil pro-aspirasi).

Secara umumnya, kebanyakan mahasiswa perubatan tidak beberapa menggemari senario politik yang berlaku. Mereka lebih bersikap tidak ambil peduli dan tidak wujud politik berpartian sehingga beberapa lama. (tak pasti sekarang). Pilihanraya adalah sekadar untuk meletakkan calon untuk mewakili mereka. Itu sahaja. Tak perlulah membuang masa merentang poster atau berceramah sana-sini. Nuu minggu depan ada exam. Silap-silap ada yang fail kalau tak baca buku. Lagi bagus kalau pilihanraya calon menang tanpa bertanding. Tak payah buang masa pergi mengundi.... Itulah sebab kebanyakan doktor yang buat hal sendiri dan tak nak layan politik. Itu sebab ada doktor yang jadi menteri... cakap pun slow motion... dengar tak dengar. Takder yang cakap berdegang-degang cam ahli Parlimen Bung Raden atau Mat Sabu...

Berbeza dengan di kampus induk UIAM, terdapat "ceramah-ceramah politik" untuk calon-calon pilihanraya menyampaikan mesej-mesej dan aspirasi mereka kepada umum. Segala janji-janji pilihanraya dibentangkan dan diedarkan kepada semua. Tidak ada sekatan untuk berhimpun dan tidak perlu ada permit. Kepanasan pilihanraya dapat dirasai. Semua pelajar yang menyokong berusaha untuk membantu calon menang tanpa rasa penat dan mengharapkan apa-apa projek dan wang. Politik wang diganti dengan upah makan atau beberapa kotak rokok. Seperti biasa, pro-pembangkang menang undi dengan majoriti yang tinggi.

Yang pentingnya, di tempat saya.. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, suasana politik hangat seperti itu memang dirasai. Wujud di dalam diri mahasiswa akan kepentingan pergi mengundi calon masing-masing. Wujud ideologi tersendiri di dalam fikiran masing-masing walau apa pun ideologi tersebut tetapi ia tetap ada. Ketika itu tidak ada "tangan-tangan" pemerintah yang cuba menggagalkan usaha untuk menaikkan atau menjatuhkan calon-calon tertentu.

Agak menyedihkan sekarang, senario politik kampus di atas mungkin sudah tidak wujud lagi di Universiti di negara kita ketika ini. Pilihanraya kampus di kebanyakan Universiti sudah tidak lagi telus. Terlalu banyak percaturan oleh orang atasan sehinggakan ?pihak pemerintah pun sudah mula "gatal tangan" meraba sana dan sini. Pilihanraya kampus sudah menjadi hiasan akhbar dan mula dipolitikkan. Seantero dunia sudah tahu akan hakikat sebuah Universiti di Utara, Naib Canselornya sendiri yang memilih wakil mahasiswa. Pilihanraya sekadar cukup syarat. Di ibu negeri Selangor pun begitu juga. Mana-mana calon yang dirasakan mempunyai ideologi yang berbeza akan disekat.

Jadi lahirlah Mahasiswa lesu yang tidak berideologi ataupun ideologi ikut-ikutan. Tidak ada yang berfikiran kritikal. Yalah, belajar di Universiti pun sekadar mahu tamatkan pengajian. Dapatkan sijil, lepas tu bekerja dengan kerajaan. Berkomunikasi tidak beberapa mahir, keyakinan tiada, pengalaman untuk memimpin... kosong. Kita melahirkan mahasiswa melayu yang lemah. Nak bersaing dengan golongan bukan bumiputera pun tidak boleh? Tidak wujud sikap nak bersaing pun... Nak jadi Kiasu bak kata Prof Ungku Aziz? huh... lupakan lah...

Pada pendapat saya, ia adalah sesuatu yang positif sebenarnya sekiranya ahli politik turun bersama-sama mahasiswa berjuang untuk menegakkan parti masing-masing di pilihanraya kampus di dalam satu suasana yang terkawal. Saya rasa ia adalah satu gejala sihat kerana pilihanraya kampus sewajarnya mencerminkan pilihanraya sebenar. Namun begitu, tidak wajar ada pihak-pihak tertentu yang campurtangan secara langsung di dalam pemilihan calon tanpa membenarkan yang lain bertanding kerana berlainan ideologi? Ini sudah kes buli.

Inikah mesej yang cuba ditunjukkan oleh pihak pemerintah Universiti? Sudahlah pilihanraya Nasional yang sebenar dituduh tidak bersih... Di kampus pun sudah wujud elemen tidak bersih. Tak hairan ramai mahasiswa universiti bersama-sama memenuhi perhimpunan BERSIH tempohari. Di kotak pemikiran mereka, pilihanraya kampus pun sudah tidak lagi boleh dipercayai... Inikan pula pilihanraya yang sebenar...

Blog ini sekadar berkongsi isi saya sahaja sebagai bekas pemimpin universiti. Tidak bertujuan menyokong mana-mana parti politik. Melihat kepincangan politik kampus sekarang agak menyedihkan. Saya melihat Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya dan beberapa buah universiti lain sahaja yang masih mengekalkan bentuk pilihanraya sezaman dengan saya. Yang lain nampaknya sudah karat dan lesu.
Kepada pemimpin di atas sana, inikah mahasiswa yang ingin lahirkan? Bersihkan pilihanraya kampus...

Wallahu A'lam...

Thursday, August 30, 2007

SAYA ANAK PASCA MERDEKA

Saya lahir tahun 1977 iaitu 20 tahun selepas Merdeka. Saya adalah anak pasca merdeka. Saya dan kebanyakan anda-anda pembaca semua pasti tidak merasai jerit perih sebelum merdeka, ketika kemerdekaan dilaungkan dan sejarah komunis yang bermaharajalela selepas merdeka.


Sedar-sedar sahaja saya sudah hidup dengan aman dan sejahtera, ibu dan ayah mendapat pekerjaan dengan kerajaan dan boleh menampung kehidupan kami seadanya. Sedar-sedar juga, saya dapat belajar dengan baik, masuk ke sekolah menengah dan MRSM seterusnya ke menara gading. Sedar-sedar juga saya tamat belajar dan mendapat pekerjaan yang baik sehingga sekarang. Sedar-sedar sahaja kehidupan saya juga sebaik kehidupan ibu dan bapa saya.

Tapi itu tidak bermakna, saya selaku generasi ?ketiga pasca merdeka tidak memahami erti kemerdekaan. Hidup bebas tanpa dijajah adalah impian mana-mana manusia, mana-mana negara. Lihat di Acheh, negeri yang kaya dengan minyak itu cuba untuk mencapai kemerdekaan sebegitu lama daripada republik Indonesia. Ramai yang sudah terkorban. Tidak kurang juga harta yang musnah. Lihat di Kashmir, juga ingin mencapai kemerdekaan dari India. Bukan ribuan malah puluh ribu sudah terkorban. Yang mati tidak kira mangsa. Yang Islam dan yang Hindu.... Lihat di Palestin. Cerita yang tak kunjung selesai...

Ya, anak pasca merdeka juga faham erti kemerdekaan. Cuma di Malaysia, 50 tahun selepas merdeka, senarionya berbeza. Kita tiada kekurangan material. Kita hidup rukun aman. Kalau betul caranya kita tiada masalah menimbunkan harta. Kata chef Li di dalam trilogi bukunya Menjejaki Jutawan Senyap... "Anda patut menjadi Kaya. Anda tidak berhak menjadi miskin. Hidup di Malaysia tetapi tidak Kaya adalah Malang." Mungkin betul kata Chef Li. Jadi tak hairan, saudara-saudara kita yang datang jauh seberang laut boleh bina rumah lagi besar daripada rumah saya di tanah bertuah ini. Mereka boleh beli 2-3 buah kereta. Itu salah satu buktinya. Malaysia memang sumber rezeki.

Ada juga bangsa-bangsa lain yang berkongsi negara dengan saya berkokok. Kerajaan tak adil!! Kerajaan berat sebelah!! Kerajaan lebihkan bangsa saya!! Dasar Ekonomi Baru menjadi perdebatan. Bangsa saya dilihat sering mendapat kelebihan. Tak cukup dengan itu, orang puteh dari negara luar yang tak tahu apa erti kemerdekaan di Malaysia juga campur tangan memberi komen yang menyakitkan hati (entah-entah ada percaturan).

Tetapi di Malaysia... Bangsa mana yang pendapatan isi rumahnya lebih tinggi? Bangsa mana yang paling banyak beli volvo dan mercedez? Bangsa mana yang bilangan rumah di Bangsar dan Mont Kiara paling banyak? Bangsa mana yang pagi-pagi tak payah bangun pagi macam kaum saya beratur bersesak-sesak di jalan raya untuk ke pejabat-pejabat mencai rezeki dengan makan gaji? Bangsa yang berkokok itu lah. Hairan juga.. rumah dah penuh padi.. masih menjerit-jerit kenapa dia juga tak dapat subsidi beras...

50 tahun selepas merdeka, pemikiran kita masih belum sepenuhnya merdeka. Kita dijajah secara ekonomi dan budaya. Lihat sahaja stesen radio kita. Saya rimas mendengar lagu yang bukan wajah kita. Di TV Malaysia, juga penuh dengan cerita-cerita yang bukan wajah kita. Filem-filem kita kalah dengan filem-filem seberang. Pengarah filem Malaysia tiada rasa bersalah menghidangkan cerita lawak picisan yang tiada kelas.

Tuan dan Puan, biar saya cerita tentang pengalaman saya ke negara Indonesia semasa saya belajar selama sebulan di sana untuk tuntutan elektif. Sebulan di sana, saya mendalami budaya di sana yang cantik dan menarik. Ketika itu di di Indonesia tengah popular Kumpulan Sheila on 7 dan Padi.

Saya dapati siaran TV dan radio di Indonesia, jarang-jarang atau hampir tiada langsung menyiarkan drama-drama Malaysia. Filem2 Malaysia pun tiada. Lagu Malaysia ada satu dua video klip yang ditayangkan bukan pada waktu puncak. Itupun lagu2 dari kumpulan rock yang saya dan 5 orang kawan saya tidak kenali!! Bayanglah, kumpulan rock kat Malaysia ni punya banyak yang famous2 tapi dia siarkan kumpulan rock yang saya tak pernah dengar! Lagunya tok sah ceritalah betapa lelehnya... Rasanya macam malu jer nak bagitahu orang Indonesia.. itulah rupa wajah kumpulan rock Malaysia dengan lagunya cam tuh... Ketika itu Raihan dan Siti Nurhaliza tengah gah kat Malaysia, tapi takde satu pun klip video nya disiarkan. Di dalam radio pun tak disiarkan lagu2 Malaysia.

Tapi hairan kalau di Malaysia kini.. sebut saja... semua kumpulan dari seberang tak kira famous atau tidak.. semua masuk dalam radio kita. Kumpulan dari Malaysia hanya dibakul sampahkan. Ya.. memang itu adalah kehendak peminat di Malaysia kata mereka. Itulah kalau kita terlalu mengikut jejak kapitalisme dan Laizzes Faire ("Let it be" dalam french)... tak ada tangungjawab sosial. Dalam pasaran ekonomi terbuka, permintaan yang tinggi akan menjadi raja, yang selebihnya terpaksalah menempuh segala kesukaran, walaupun di negara sendiri.

Pagi di ERA dah tak seronok seperti dulu.. Mungkin telinga saya atau apa, saya tak tahu. Saya stress mendengar perbincangan yang diadakan. Tajuk yang dibincangkan pada waktu pagi di ERA terlalu remeh. Sekarang saya dah tukar dengar IKIM pada waktu pagi. Lebih informatif. Seronok juga dengan Ustaz Zamri berceloteh pada waktu pagi, walaupun kadang2 saya tukar juga ke ERA sebab rindu....

Akhir sekali.. saya sebak mendengar sajak Tun Dr. Mahathir yang dideklamasi oleh warga IKIM.. terasa terhina bangsa melayu di bumi sendiri, terasa kita patut bangun untuk berbuat sesuatu... Perjuangan Yang Belum Selesai... Dengarkanlah..

Wednesday, August 22, 2007

TOL DI MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullah...

Apabila saya ditugaskan ke tempat baru di Kota Damansara, saya gembira kerana ia mengambil masa kurang dari 25 minit untuk sampai ke Kota Damansara daripada rumah saya. Dari Salak Selatan, saya akan masuk ke Lebuhraya Persekutuan dan naik ke Kerinchi Link. Kemudian saya akan melalui Penchala Link dan masuk ke flyover Mutiara Damansara sebelum keluar ke Kota Damansara.

Cuma yang menjadi keresahan hati saya ialah belanja tol yang meningkat. Naik ke Kerinchi Link tol ialah RM 1.50. Di Tol Bukit Kiara pula, bayaran yang dikenakan ialah RM 2.00. Jumlahnya ialah RM 3.50 satu perjalanan atau RM7.00 pergi dan balik. Mujur saya tak ditugaskan di Damansara Damai. Jikalau tidak saya dikenakan bayaran tambahan lagi sebanyak RM 1.60 di Tol ke Sungai Buloh yang akhirnya menjadi RM 5.10. Kalau 2 perjalanan iaitu pergi dan balik, ia akan menjadi RM 10.20 sehari atau RM 255 sebulan!

Itulah cabaran hidup di Kuala Lumpur, Malaysia. Belanja tol sebulan untuk ke tempat kerja ialah RM 7.00 sehari atau RM 170 sebulan. Isteri saya menggunakan tol dengan membayar RM 1 sehari iaitu RM 25 sebulan. Jadi jumlah tol kami berdua bayar menghampiri RM 200/bulan. Kalau sesiapa yang menggunakan 2 kereta seperti saya, duit minyak menjadi masalah utama di dalam perbelanjaan bulanan. Belanja minyak saya menghampiri RM 600 sebulan utk 2 kereta atau mungkin lebih kalau ada perjalanan jauh. Inilah di antara sebab saya berhenti buat MLM. Tak larat bayar duit minyak kereta sedangkan untungnya tak seberapa.

Saya bukan penyokong parti pembangkang dan bukan simpatisan. Saya cuma suara rakyat yang mungkin tidak didengari oleh pihak yang duduk di atas sana. Saya cuma sedikit terganggu kerana jalan raya di Malaysia ini dipenuhi tol. Baru-baru ini saya ke Nilai melalui highway Seremban. Saya dikenakan RM 5 (Actually RM4.70) bila keluar di exit Nilai. Tetapi, sebelum nak masuk ke Higway Seremban tuh ada 2 lagi tol yang terpaksa saya lalui. Dua-dua tol berjumlah RM 2.60... Padahal beza tol itu tak sampai beberapa kilometer nak dibandingkan dengan perjalanan saya ke Nilai yang berkilo-kilo meter.

Mungkin ada yang berkata... "Tak payah lah ikut lebuhraya yang bertol... ikut yang tak ada tol...". Ok.. itu adalah salah satu cadangan. Saya ada seorang kawan yang berasal dari Klang. Kami pernah berborak berkaitan tol... Dia pernah bertanya pada saya... "Cuba beri saya satu alternatif jalan ke Klang yang saya tak perlu lalu tol...?".. Ada ke??

Saya tak mahu pertikaikan kenapa kerajaan tidak mahu buat jalan yang tidak bertol. Mungkin ada sebab-sebab kukuh seperti kos penyelenggaraan yang tinggi, kos membuat jalan yang meningkat, kerajaan tak cukup wang kerana wang dah habis membina sekolah dan hospital dsbg. Cuma harapan saya, kalau boleh janganlah naikkan harga tol lagi. Dah terasa tak mahu bayar je dah tol nih. Penat... Tension gak bila tengok PLUS umumkan, keuntungan suku pertama kita tahun ni naik 8%... Suku kedua untung meningkat 5 %... keuntungan tahunan meningkat 30%... lepas tuh umumkan, PLUS tidak cukup wang untuk kos peningkatan bahan penyelenggaraan jalan raya... entah apa apa...

Bila ada orang tanya Menteri kita yang seorang ni... apasal harga tol naik banyak.. apasal banyak sangat tol... Menteri kita nih jawab.. kalu lu tak mau bayar tol, naik kereta lembu laa... kua kua... Menteri yang disayangi yang telah lama menyumbangkan khidmat kepada negara ini saya ucapkan selamat maju jaya. Tuan bertuah kerana tuan jadi menteri di Malaysia dan rata-rata orang Malaysia ni pemaaf. Kalau Tuan di United Kingdom atau Jepun, nasib Tuan mungkin tidak akan baik seperti ini...

Walaubagaimanapun, saya menghargai usaha kerajaan membina lebuhraya seperti MRR2 yang tidak perlu bayar tol. Jika dibina lebuhraya seperti ini, saya yakin kerajaan telah menggunakan wang rakyat dengan sebaik-baiknya. Jalanraya yang baik mencerminkan kerajaan yang juga baik. Di harapkan lebih banyak lagi lebuhraya seperti MRR2 dibina agar lebih memudahkan lagi urusan rakyat jelata.

Sekali lagi saya ingin memohon maaf sekiranya isu tol yang dibangkitkan ini sensitif, menyentuh isu-isu politik yang tidak sepatutnya disentuh terutama dengan pilihanraya yang semakin menjelma. Saya harap saya tidak akan dituduh pro pembangkang kerana saya bukan pembangkang. Saya juga harap agar "pembesar-pembesar" melayu kita tidak melabel blogger seperti saya sebagai "goblok, pengecut atau pondan". Isu ini adalah isu rakyat. Saya cuma menyuarakan isi hati saya dengan ikhlas... Semoga pilihanraya kali ini menjanjikan hari-hari yang lebih baik di Malaysia...

Wallahu A'lam.

Related Posts with Thumbnails