Showing posts with label Medicine. Show all posts
Showing posts with label Medicine. Show all posts

Thursday, December 4, 2008

Khatan : Terkini atau Konvensional?








Salam,

Ramai yang bertanya, mana satu kaedah yang paling baik untuk berkhatan? Jawapan saya - semuanya boleh belaka dan semuanya baik...

Biarlah saya cuba menceritakan kaedah2 yang saya tahu dan daripada pengalaman saya mengkhatankan mungkin sudah beratus kanak-kanak.

Seperti saya tulis di dalam artikel sebelum ini, berkhatan adalah satu prosedur kecil tetapi di dalam perubatan walaupun ia prosedur yang kecil ia boleh membawa kepada risiko. Sebagai contoh, hatta suntikan di bahu menggunakan jarum yang paling halus pun ada juga risikonya yang tertentu. Jadi mari kita sama-sama nilai kelebihan khatan berdasarkan kaedah-kaedahnya dan risiko-risikonya.

Anda perlu tahu risikonya kerana perubatan moden adalah satu yang transparent atau jelas. Ini adalah kerana akhirnya, keputusan yang dibuat adalah di tangan anda dan bukan di tangan doktor. Penjelasan yang dibuat kepada anda akan menentukan keputusan yang akan anda ambil. Oleh itu ia perlu jelas dan difahami.


KAEDAH KONVENSIONAL

Kaedah konvensional juga ada banyak jenis. Tetapi untuk lebih mudah difahami, ia adalah membuang kulit di hujung kemaluan dengan memotongnya kemudian memberhentikan darah secara manual dan menjahit baki kulit.

Kaedah konvensional ini mengalami sedikit evolusi dengan kehadiran satu alat dipanggil cautery. Cautery ini adalah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses khatan kurang dari segi pendarahannya.

Ada ibu bapa menyalah anggap dan memanggilnya sebagai "laser" walaupun ia bukanlah sejenis laser. Cautery elektrik pada pasaran semasa berharga antara RM 2500 - RM 5000 mengikut jenisnya. Oleh itu bukan semua klinik atau doktor yang mempunyai alat ini. (Saya pun pinjam dengan orang). Cautery menggunakan bateri daripada jenis yang baik dan tahan lama adalah di dalam lingkungan RM 2000.

Kaedah menggunakan gunting dan pisau (blade) masih juga digunakan oleh sebilangan doktor. Pakar bedah plastik yang mengajar saya berkhatan dahulu pun masih menggunakan kaedah ini. Pendarahan diberhentikan menggunakan teknik "Ligation" iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah secara ini adalah selamat kerana, saluran darah besar akan tertutup dengan pasti menggunakan benang berbanding membakar menggunakan cautery.

Walaubagaimanapun, cara ini agak lambat. Ia mengambil masa dari 20 minit sehingga 45 minit seorang pesakit. Bergantung kepada pendarahan dan sebagainya. Cara konvensional lebih memudahkan berlaku pendarahan kerana memotong menggunakan gunting atau pisau tidak memberhentikan darah berbanding cautery.

Oleh itu ramai doktor menggunakan kaedah konvensional tetapi memotong kulit dan memberhentikan salur darah menggunakan cautery dan menjahit kulit menggunakan benang "catgut". Ini mempercepatkan proses berkhatan dari 45 minit kepada 20 minit sahaja untuk seorang pesakit.


KAEDAH KLAMP

Kaedah klamp (tara klamp, smart klamp) adalah cara terikini untuk berkhatan. Ia adalah cara yang sangat cepat dan kurang pendarahan. Cuba bayangkan 80 orang boleh disunatkan di dalam masa 3-4 jam sahaja dengan 5 buah katil oleh 5 orang operator.

Jika tak silap saya salah satu klamp yang awal dihasilkan berasal daripada idea seorang doktor berketurunan sikh di Malaysia. Aneh kan? Seorang Doktor yang bukan Islam menghasilkan satu alat yang rata-ratanya orang Islam yang banyak menggunakannya.

Setelah kanak-kanak diberi bius, ukuran klamp dikenalpasti dan alat yang sesuai dengan saiz kemaluan akan dimasukkan. Setelah klamp diaplikasikan di tempatnya yang sesuai, kulit-kulit yang berlebihan akan dipotong (samada menggunakan cautery atau pisau). Pendarahan adalah kurang kerana segala salur darah telah ditekan menggunakan alat tersebut.

Kaedah ini tidak perlu jahitan. Oleh itu ia sangat cepat. Selepas 7 hari pesakit akan datang ke klinik semula untuk membuka klamp tersebut. Adakalanya ia akan jatuh sendiri dan ini memudahkan urusan.

Dari segi kos, kaedah klamp ini agak mahal. Rata-ratanya di klinik mengenakan bayaran daripada RM 200 hingga RM 350 untuk satu prosedur. Harganya mungkin lebih murah di dalam lingkungan RM 150- RM 180 sekiranya diadakan berkahatan beramai-ramai kerana dari segi bilangan peserta yang ramai akan mengurangkan kos.

Ada ramai doktor yang tidak beberapa menyukai kaedah klamp. Ini juga termasuk saya. Ada juga yang pada awalnya menggunakan klamp tetapi akhirnya bertukar kepada kaedah khatan konvensional.

Masalah yang berlaku kepada klamp ialah apabila untuk membuang klamp selepas satu minggu. Klamp akan melekat di kawasan kemaluan untuk menutup salur darah dibahagian kulit yang dipotong. Untuk membukanya kadang-kadang pesakit akan merasa sakit. Sakitnya adalah sebagaimana dia bersunat dahulu. Ada yang menangis kerana kesakitan selama beberapa hari selepas itu.

Sedangkan, kaedah konvensional hanya merana pada waktu bersunat sahaja selepas itu tidak ada lagi kesakitan kerana benang yang dijahit akan hilang sendiri dan tidak perlu dibuang.

Ada juga pendarahan berlaku selepas klamp dibuang. Ini kerana kulit yang diklamp tidak tertutup sepenuhnya kerana masalah jangkitan. Masalah jangkitan boleh berlaku pada teknik klamp dan mengakibatkan luka lambat sembuh. Berbanding dengan kaedah jahitan, luka mudah terbuka kerana tidak ada jahitan yang menyokongnya.

KESIMPULAN

Cara yang bagaimana anda pilih untuk mengkhatankan anak anda bergantung kepada pilihan masing-masing. Jika tidak mahu pendarahan, pantas dan mudah dijaga maka pilihlah klamp.

Sekiranya mahukan cara konvensional, ada jahitan dan kurang pendarahan, gunakan cara cautery yang masih mengekalkan tradisi lama.

Apapun pilihan anda, di dalam ibadat berkhatan, yang paling penting adalah kebersihan yang terhasil daripada proses tersebut. Ini kerana di dalam Islam, apabila kita berbincang tentang bab Feqah, perkara yang paling awal ialah Thaharah atau Penyucian. Maka kebersihan adalah matlamat utama ibadah ini.

Wallahu A'lam

Wednesday, December 3, 2008

Dendang Berkhatan!






Assalamualaikum,

Musim berkhatan tiba lagi. Ramai ibu-bapa yang mengambil peluang untuk bercuti apabila tiba musim khatan. Ada juga yang ingin mengkhatankan anak pada waktu Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan daripada mengambil cuti.

BAru-baru ini masuk dalam muka surat hadapan sebuah surat khabar berkenaan dengan seorang budak yang berkhatan menggunakan klamp yang menyebabkan anak tersebut dimasukkan ke dalam ICU. Saya tidak mengikuti cerita tersebut.

Saya dapat tahu daripada seorang kawan saya yang merupakan seorang doktor bius di sebuah hospital bahawa anak tersebut mengalami fournier's gangrene selepas dikhatankan.

Fournier's gangrene ialah keadaan dimana kawasan kulit dan bawah kulit mengalami gangrene (kematian sel) pada kawasan skrotum, sekeliling zakar dan kawasan kulit berhampiran punggung. Kematian sel ini adakalanya berlaku secara besar-besaran dan kuman merebak dan boleh masuk ke dalam salur darah atau sepsis. Apabila terlalu serius dan badan sudah tidak boleh bertahan, ini boleh membawa kepada kematian.

Ia merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan apabila satu prosedur kecil seperti berkhatan boleh menyebabkan seseorang dimasukkan ke dalam ICU.

Walaupun berkhatan adalah satu prosedur minor yang telah dijalankan sejak zaman-berzaman, tidak dinafikan bahawa risiko prosedur tersebut tetap ada. Risiko jangkitan sebagai contoh lebih dikenali sebagai "burut" oleh orang dulu-dulu merupakan satu contoh yang sering terjadi.

Belum lagi kalau tersilap potong, terlebih potong dan terkurang potong.

Baru-baru ini saya mengkhatankan seorang lelaki dewasa buat kali kedua kerana semasa kecil kemungkinan tok mudim tidak memotong kulit tersebut dengan sempurna. Mungkin ia sesuatu yang memalukan baginya kerana terpaksa menghadapinya buat kali kedua, tetapi jika difikirkan betapa beratnya tanggungjawab untuk menunaikan ibadah dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan kulit yang berlebihan seperti itu, sifat malu dan takut harus dipendam dan dipadam. Saya yakin beliau sekarang lebih gembira dan menghadapinya dengan redha setelah disunatkan buat kali kedua.

Pendarahan adalah salah satu contoh di mana berkhatan harus dilakukan dengan hati-hati. Semasa saya kecil, saya ada terdengar kisah-kisah ngeri kanak-kanak yang meninggal dunia akibat berkhatan disebabkan oleh pendarahan teruk yang tidak boleh diberhentikan. Apatah lagi, tok-tok mudim dahulu tidak mempunyai alat untuk memberhentikan pendarahan sebagaimana sekarang.

Pendarahan memang tidak dapat tidak, boleh berlaku ketika berkahatan. Kemungkinan sekiranya 100 orang yang bersunat, mungkin 5 orang boleh berlaku pendarahan. Walabagaimanapun, usah tunggu sehingga pendarahan mencapai ke hari ke 3 baru memohon bantuan. Sekiranya pendarahan berlaku, bawa segera ke hospital.

Adakalanya pendarahan tidak berlaku sebaik sahaja selepas bersunat. Ada yang berlaku selepas hari ke 2 atau ke 3. Kemungkinan kerana akiviti kanak-kanak tersebut yang terlalu aggresif, menggaru ke, atau bermain bola sepak contohnya.

Keloid pernah berlaku (rujuk artikel saya tentang keloid untuk mengetahui maknanya) di kawasan tempat bersunat. Keloid adalah perkara yang memalukan dan ia mungkin boleh terjadi walaupun jarang-jarang. Sekiranya berlaku ia amat susah untuk dirawat. Bagaimana ia terjadi di situ, saya pun tidak pasti.

Pada kebiasaannya, bersunat ambil masa 5-7 hari untuk pulih. Pulih bermaksud di sini luka sudah tutup dan sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Sekiranya ada jangkitan, ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Mungkin ada yang pernah berpengalaman terjadinya jangkitan sehingga terpaksa duduk berbaring sehingga 2-3 minggu.

Pada zaman dahulu, ada yang menghabiskan cuti sekolah di atas katil kerana luka khatan tidak sembuh-sembuh. Alhamdulillah dengan adanya teknik berkhatan yang lebih steril, ubat antibiotik dan ubat cuci yang lebih baik, luka jangkitan dapat disembuhkan dengan kadar yang lebih segera.

Walaupun berkhatan telah melalui proses beratus-ratus tahun lamanya di tanah melayu dan sehingga kini melalui prosedur ke tahap sakit yang paling minimum, namun sifat kanak-kanak yang takut, menangis dan lari daripada medan "perang" tetap diwarisi zaman berzaman. Adakalanya majlis bersunat tak ubah seperti tempat "penyembelihan" kanak-kanak. Jika silap hari, kita pula yang kena tendang. kung fu dan kena karate.

Pengalaman indah (dan mengerikan!) melalui zaman berkhatan dahulu tidak dapat dilupakan setiap daripada kita yang bergelar lelaki dan menjadi dendang sepanjang tahun kepada anak-anak lelaki kita hingga ke cucu dan cicit InsyaAllah.


Friday, November 7, 2008

Abah Tak Basuh Tangan....






Assalamualaikum,

Hari ini saya telah memberi ceramah kepada kanak-kanak berumur 5-6 tahun di Tabika Kemas, Taman Salak Jaya. Saya dijemput pada minggu lepas oleh Pengerusi Tabika Kemas, TSJ melalui telefon untuk menyampaikan 2 tajuk ceramah berselang seli.

Kebetulan anak saya Nur Fateha pergi ke Tabika tersebut (yang menang pertandingan bercerita tuuu...).

Pengerusi Kemas nak saya bagi ceramah pasal 1. keracunan makanan dan 2. Snek yang sihat. Dia kata itu tajuk wajib - tak bole nak tukar.

Saya terfikir tentang tajuk yang saya kira budak umur 5 tahun tak bosan dengar.

Saya tukar tajuk kepada "Membasuh Tangan". Bagi saya itu sangat praktikal kepada budak2 tabika dan juga kepada ibu bapa mereka. (Oh ye saya tukar juga tajuk, tak pedulik.... hehe)

"Membasuh tangan", walaupun nampak mudah tetapi satu perkara yang sangat penting untuk mengekang pelbagai jenis penyakit pada umur mereka ini. Ia menghindari bukan sahaja penyakit berjangkit seperti kuman yang menyebabkan keracunan makanan, tetapi juga kecacingan. Kanak-kanak perlu membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas bermain dan selepas keluar dari tandas.

Untuk tajuk kedua saya berceramah tentang Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). Kumpulan sasaran saya adalah daripada golongan dewasa. Satu penyakit yang sangat penting kepada ibu-bapa dan pengelola tabika untuk dihindari. HFMD pernah menjadi tajuk utama akhbar terutama apabila wabak ini telah membunuh berpuluh-puluh orang kanak-kanak di Malaysia.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kanak-kanak di situ begitu teruja melihat gambar-gambar seperti lipas, tikus dan cacing yang saya tunjukkan.

Apabila anak saya Fateha pulang dari Tabika, saya bersiap-siap untuk pergi kerja dan Solat Jumaat. Saya memberitahunya bahawa saya sakit perut dan ingin ke tandas. Dia pun menjawab dengan selambanya "Tulah, Abah tak basuh tangan"...

Saya tersengih.. nampaknya mesej dah sampai...

Wassalam.

Tuesday, November 4, 2008

Saya Sudah Berpindah ke Al-Islam Specialist Center






Assalamualaikum,

Saya baru sahaja meletakkan jawatan sebgai doktor di Klinik Idzham di Kota Damansara. Hmm.. tidak lah baru pun sebenarnya. Pada bulan Ramadhan yang baru sahaja lepas. Tetapi perletakan jawatan ini effektif pada 1/11/2008.

Sebelum ni saya pernah bercerita yang saya telah meletakkan jawatan di HKL pada bulan Ramadhan 2 tahun yang lalu. Jadi cerita ini berulang kembali. Kenapa saya pilih bulan Ramadhan? Mungkin secara kebetulan.

Saya sekarang ini bertugas sebagai seorang doktor di bahagian pesakit luar dan kecemasan di Al-Islam Specialist Center (dulu dikenali sebagai Kg Baru Medical Center) berhadapan dengan Masjid Jamek Kg Baru.

Selama berada dua tahun di Klinik Idzham, banyak perkara yang saya belajar dari segi pengurusan. Di antara banyak-banyak perkara, 1. Klinik merupakan satu bisnes yang boleh menjana duit dengan banyak. 2. Menggaji doktor sebagai pekerja anda adalah sesuatu yang boleh meningkatkan tekanan darah anda dan membuatkan anda tidak tidur malam. 3. Membuka klinik pada waktu sekarang boleh menjadikan anda hilang wang ataupun bankrap jika tidak kena caranya. 4. Anda masih boleh belajar walaupun umur anda mencecah 60 tahun.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Idzham yang merupakan Boss, ayah dan colleague saya selama saya bekerja di Klinik Idzham. Jasa Dr Idzham di dalam memberi ilmu dan pengalaman amat-amat saya hargai dan akan saya kenang sampai bila-bila.

Saya tahu Dr Idzham agak keberatan melepaskan saya pergi kerana saya seorang doktor yang diminati ramai patient perempuan di Kota Damansara termasuk makcik dan nenek (kua kua kuaaa..!), pakar cabut tulang (kua kua kua x1000...) dan seorang yang berbudi bahasa (uweekkkk..), tapi apakan daya Dr Idzham.. saya diperlukan di Al-Islam Specialist Center untuk banyak tujuan.

Kepada Kak Rudziah Hussin, penyelia di Klinik Idzham KD, semoga mendapat doktor baru yang boleh berkongsi masalah dan boleh menyelesaikan masalah. Team work kita memang best (sampai menang klinik kedua tercantik - dapat duit RM 4000.00 dari Dr Idzham walaupun sepatutnya dapat no 1). Juga kepada semua staf KD, bekerjalah baik-baik, jangan gaduh2. Kepada Pn Yuszalinda, Assistant No 1 Boss merangkap akauntan, semoga berjaya dengan study dan kerjaya.

Kepada Auntie Sujin, pesakit favourite saya yang berasal dari Thailand juga tuan punya restoran Siam62, Sawadeekaaaap... next time I will eat in your restaurant (after you get your halal certificate from JAKIM la).. I want to learn more from you in doing restaurant business. Dia ni ada banyak restoran kat Thailand. Tak reti cakap omputeh sepatah habuk, tapi kaya masyaAllah. Tiap-tiap kali datang ada sorang translator ikut dia. Dia suka datang ke klinik jumpa saya sebab dia kata ubat saya berkesan.. hahaha.. padahal ubat sama je ngan klinik lain...

Apapun, kepada semua pembaca, doakan saya sukses di tempat yang baru ini. Baru berjinak-jinak dengan makanan di Kg Baru. Maklumlah... sebelum ni makan kat Damansara kan.. Kat Damansara, beli nasik lauk biasa kat makcik tepi jalan pun mahu kena RM 8.00. Kalau anda terjumpa saya kat Masjid Jamek tuh InsyaAllah tegur lah saya. Manalah tau, kalau ada duit lebih saya belanja popia basah kat sebelah Al-Islam Specialist Center tuh.... Insya Allah....

Wallahu A'lam

Salam.

Sunday, November 2, 2008

Perubatan Islam dan Perubatan Muslim - Bahagian 2






Sambungan....

PERUBATAN ISLAM HANYA BERASASKAN NILAI DAN MORAL SAHAJA?

Adakah hanya dengan menetapkan bahawa perubatan moden yang menjaga etika, nilai yang tinggi dan moral sudah menjadikan perubatan itu dipanggil perubatan Islam.

Ini tentulah agak sukar kerana perubatan berdasarkan hanya nilai dan moral sangat subjektif dan sangat sukar untuk didefinisikan. Walaupun begitu, etika dan nilai moral yang tinggi adalah salah satu ciri perubatan Islam tetapi tidak hanya behenti di setakat itu sahaja.

PERUBATAN TRADISIONAL MUSLIM

Pada waktu ini, pengamalan perubatan tradisional orang Islam menggunakan ramuan tradisional pada zaman dahulu digelar perubatan Islam.

Mengapa pengamal perubatan tradisional Islam mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun perubatan semakin moden?

Ada beberapa sebab. Pertama, kegagalan perubatan moden mencapai ke dalam kawasan-kawasan ceruk dan pendalaman. Sebagai contoh-contoh di kawasan kampung yang sukar dari segi akses, maka pengamal perubatan tradisional Islam akan mendapat tempat.

Kedua, adakalanya perubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Islam memang ada keberkesanannya. Ubat tradisional adakalanya telah diuji selama beberapa dekad dan generasi. Sekiranya ia tidak mujarab maka ia sudah lama berkubur, tetapi oleh kerana ia mujarab, ia terus digunakan sentiasa. Contohnya gamat yang boleh menyembuhkan luka telah digunakan selama beratus tahun.

Ketiga, Sikap segelintir orang Islam yang cuba menjauhi daripada perubatan yang ada kena mengenai dengan dunia barat.

Keempat, pengamal perubatan tradisional Islam lebih memandang manusia secara menyeluruh (bukan sekadar penghidap penyakit), mempunyai lebih banyak masa untuk mendengar masalah pesakit dan tidak menggunakan teknologi yang kadang-kadang tidak disenangi oleh segelintir pesakit. Sedangkan di hospital, kebanyakan doktor terpaksa melayan beratus pesakit sehari menjadikan masa bukan berada di pihak mereka.

Malah, kewujudan lebih banyak perubatan tradisional turun temurun yang diamalkan oleh orang Islam sebenarnya bukan satu fenomena lokaliti tetapi menyeluruh ke banyak tempat disebabkan oleh kegagalan perubatan moden untuk menangani isu yang disebutkan di atas.

Walaubagaimanapun, Islam melarang umatnya yang mengamalkan perubatan tradisional menggunakan sihir, menilik nasib dan tangkal. Ada juga yang menggunakan jin atau mengaku mempunyai kuasa mengawal jin. Perbuatan-perbuatan ini telah jelas di dalam Quran dan sunnah adalah syirik dan menghampiri syirik. Ini adalah antara sebab ada perubatan tradisional tidak lagi popular di kalangan umat Islam secara majoriti.


DEFINISI BARU PERUBATAN ISLAM

Cadangan oleh Prof Omar Kasule untuk mendefinisikan Perubatan Islam sebagai amalan perubatan di mana dasar paradigma dan konsep, nilai dan prosedurnya sesuai dan tidak bercanggahan dengan al-Qur'an dan Sunnah. Ia tidak bergantung kepada prosedur dan ubat-ubatan tertentu yang menjadikan ia sebagai perubatan Islam tetapi perubatan Islam itu meluas, mencakupi kesemua dan fleksibel, dan melalui proses perkembangan termasuk cara berubat dan pemeriksaan penyakit.


ADAKAH PERUBATAN ISLAM HANYA UNTUK ORANG ISLAM?

Saya tertarik dengan persoalan ini. Adakah Perubatan Islam hanya untuk orang Islam, atau adakah ia adalah universal dan mencakupi ke seluruh dunia tanpa mengira agama, negara dan warna kulit?

Bila persoalan ini diungkapkan, perubatan Islam tentulah perlu berada pada aras cemerlang atau lebih cemerlang daripada perubatan barat yang ada sekarang.


PERUBATAN BERASASKAN BUKTI CIRI-CIRI PERUBATAN ISLAM

Perubatan empirikal atau perubatan berasaskan bukti (Evidence Based Medicine) adalah satu pembuktian secara saintifik yang telah diamalkan beratus-ratus tahun sejak zaman yunani dan greek dan diteruskan dan didokong oleh saintis Islam pada zaman kegemilangannya kemudian diteruskan oleh saintis barat dan Islam sehingga kini.

Ia adalah prioriti dan dianggap piawai kepada kecemerlangan ilmu saintifik. Malah perubatan berasaskan bukti adalah selari dengan Islam. Walaubagaimanapun, terdapat kelemahan-kelemahan perubatan empirikal yang diamalkan barat seperti "biased", kelemahan dari sudut pemerhatian dan sbg, ia boleh ditambah baik di dalam perubatan Islam.


MENG"ISLAM"KAN BIDANG PERUBATAN

Islamisasi di dalam sistem perubatan adalah perlu kerana sistem perubatan itu sendiri bukanlah hak barat sahaja malah ia adalah satu perkara yang universal. Malah ramai doktor dan saintis Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan bidang perubatan ini.

Perubatan Barat tidak melihat moral dan isu sosial sebagai perkara penting di dalam masalah pesakit. Apabila pesakit datang kerana masalah hati atau liver chirrosis, maka doktor tidak menyentuh tentang keburukan alkohol dan kenapa pesakit perlu berhenti daipada meminum arak. Mereka hanya mahu merawat masalah dan lupa kepada akar masalah tersebut yang bertitik tolak daripada nilai dan moral pesakit.

Begitu juga amalan kapitalis yang menjadikan perubatan hanya untuk mengaut keuntungan dan kekayaan. Ini menjadikan masalah penipuan dan "malpractice" di dalam perubatan adalah tinggi.

Sumber Ilmu di dalam Islam terbahagi kepada 2 iaitu sumber wahyu dan "kawn" atau dunia eksperimen. "Aqal" atau intelektual adalah alat yang diberi kepada manusia untuk menta'kul dan berfikir dan menguruskan 2 sumber ilmu tadi iaitu "wahyu" dan "kawn".

Pemikiran Barat tidak menerima "wahyu" sebagai sumber ilmu. Mereka bersifat materialistik, tidak mempercayai agama dan adalakalanya anti agama. Oleh itu "ghaib" iaitu satu entiti yang tidak dapat dilihat tidak dimasukkan sekali.

Oleh itu mereka bertindak berdasarkan sistem moraliti yang vakum. Tidak ada sistem moral yang berdiri. Oleh itu mereka cuba menyelesaikan masalah perubatan disebabkan oleh moral tadi dengan menggunakan hanya sistem kecanggihan teknologi sahaja. Ini yang menyebabkan kegagalan sistem perubatan barat berbanding Islam.

KESIMPULAN

Keadaan kita sekarang telah diterangkan oleh Imam Shafiie seribu tahun yang lalu yang ditulis oleh Jalaludin as Sayuti di dalam bukunya Tibb an Nabawi.

"Selepas sains yang membezakan di antara halal dan haram, saya tidak mengetahui satu pun ilmu sains yang lebih tinggi daripada ilmu perubatan... benarlah, Ahli Kitab telah mengalahkan kita dan meninggalkan kita jauh dari dalam bidang ini..."

Semoga proses Islamisasi di dalam bidang perubatan dapat meningkatkan lagi kemampuan intelektual dan motivasi kita secara prakikal untuk bekerja keras di dalam bidang penyelidikan perubatan agar Islam dapat kembali lagi sebagai pemimpin di dalam bidang ini.

Wallahu A'lam.



Wednesday, October 29, 2008

Perubatan Islam atau Perubatan Muslim? - bahagian 1






Assalamualaikum,

Konsep perubatan Islam difahami dengan pelbagai sudut oleh pelbagai pihak. Perbezaan ini lebih dikelirukan dengan pendapat-pendapat daripada mereka yang tidak berbelakangkan bidang perubatan. Terma perubatan Islam dan perubatan Muslim digunakan secara wewenang seolah ia adalah perkataan yang sama dan membawa maksud yang sama.

Prof Dr Omar Hassan Kasule, pensyarah dari Universiti Brunei telah mengupas maksud derihal terma ini. Beliau seorang pakar epidemiology lulusan Harvard yang merupakan seorang lulusan doktor perubatan. Berasal dari Uganda, mahir di dalam 6 bahasa termasuk bahasa Arab, beliau pernah menjadi professor saya di UIAM di dalam bidang Islamic Reveal Knowledge dan Epidemiology. Beliau adalah di antara yang awal membentangkan kertas kerja tentang perubatan Islam moden di banyak negara termasuk Malaysia. Beliau memperkatakan masalah ini dari sudut yang lebih meluas termasuk perubatan Islam dengan menggunakan al-Qur'an dan Tibb Nabawi.

KENAPA TOPIK INI PENTING?
Ramai yang silap faham atau atau sekadar memahami bahawa perubatan Islam itu hanyalah doa, jampi dan amalan herba dan makanan yang disebut Rasulullah atau yang disebut di dalam al-Qur'an sahaja. Atau ada yang menganggap perubatan Islam itu adalah ketika "melawan JIN" atau "makhluk halus". Ada yang memahami perubatan Islam sebagai bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an sahaja.
Topik ini sangat penting kerana, apabila masyarakat Islam ingin mengadakan sebuah institusi seperti Hospital Islam, kita harus kembali kepada persoalan tuntas. Perubatan yang bagaimana harus dilaksanakan dan dipraktikkan? Tentulah Hospital tersebut perlu melaksanakan perubatan yang bercirikan Islam. Jadi definisi dan terma Perubatan Islam itu sendiri perlu jelas. Pada dasarnya apakah itu Perubatan Islam?

Bagaimana pula Universiti Islam yang ingin mengajar perubatan Islam di Universitinya? Perubatan Islam yang bagaimanakah perlu diajar? Apakah pendekatannya? Perubatan Islam yang sebagaimana?

Oleh itu artikel saya ini sedikit sebanyak akan mengupas isu apa itu perubatan Islam yang diamalkan oleh Hospital-hospital yang berteraskan Islam. Ia harus meluas, fleksibel di dalam kepungannya yang unik dan tersendiri, di mana batas dan ruangannya dan sebagainya.

PERUBATAN BERSUMBERKAN AL-QUR'AN - TIBB QUR'ANI
Ada yang berpendapat bahawa Perubatan Islam itu adalah perubatan yang disebut di dalam al-Qur'an. Al-Qur'an banyak menyentuh tentang penyakit spiritual dan penyakit fizikal di dalam ayat-ayatnya. Al-Quran menegaskan bahawa penyembuh segala penyakit adalah dari Allah SWT kerana DIA adalah Maha Penyembuh.

Al-Quran juga menyentuh tentang halal dan haram makanan yang boleh membawa kepada penyakit, makan berlebihan, dan panduan tentang ubat-ubat yang datang daripada madu lebah. Qur'an juga ada menyentuh tentang kejadian manusia, penyakit berjangkit, keburukan alkohol, kejadian manusia dan kebaikan berpuasa.

Hakikatnya al-Qur'an adalah buku panduan untuk kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Ia adalah dalil kewujudan Allah dan membuktikan bahawa Allah adalah Maha Bijaksana dan Maha Pencipta. Ia bukanlah satu buku teks perubatan khusus. Ia tidak menetapkan ubat yang khusus untuk penyakit yang khusus. Ia menyuruh manusia supaya berfikir, berusaha dan menambah ilmu untuk kebaikan manusia yang lain. Sesiapa yang menyelamatkan seorang manusia seolah-oleh dia menyelamatkan seluruh Umat. Pendekata al-Quran membawa pengertian lebih besar dan luas daripada hanya khusus kepada masalah kecil di dalam perubatan.

Prof Omar Kasule tidak pula menerangkan tentang aspek sesetengah golongan orang Islam mengkomersialkan ayat-ayat al-Qur'an sebagai air-air jampi yang dibotolkan dan dijual untuk meraih keuntungan di atas nama perubatan. (Saya pun tak bertanya pula). Adakah wajar mengambil keuntungan sebegitu dengan menjanjikan sesuatu penawar kepada penyakit yang adakalanya tidak ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan pada masa ini.

PERUBATAN CARA RASULULLAH SAW - TIBB NABAWI
Selain daripada al-Qur'an, sumber perubatan Islam boleh diperolehi daripada Tibb an-Nabawi.

Tibb An-Nabawi - atau perubatan berasaskan perkataan dan perlakuan Rasulullah juga telah didefinisikan sebagai perubatan Islam. Sahih Bukhari telah meriwayatkan 129 hadis Rasulullah yang berkaitan dengan perubatan Islam. Habbatus Sawda' dicadangkan oleh Rasulullah sebagai ubat secara umum dan telah dibuat kajian secara intensif oleh ramai Professor Islam dan menunjukkan peningkatan sistem imuniti melaluinya.

Banyak juga Tibb an-Nabawi yang menyentuh tentang masalah spiritual. Di dalam perubatan nabi inilah maka sistem asas perubatan Islam diperkenalkan iaitu setiap penyakit itu ada ubatnya. Ini sepatutnya menyedarkan ramai Saintis Islam tentang pencarian ubat-ubatan kepada penawar penyakit yang masih belum dijumpai melalui eksperimen secara piawai mengikut tahap yang diterima dunia.

Penyataan bahawa semua penyakit itu ada ubatnya, pada pendapat saya harus berada di dalam satu konotasi yang betul. Adakah wajar apabila seseorang yang mengatakan di dalam Islam, semua penyakit ada ubatnya, lalu mengambil segenggam daun yang entah dapat dari mana, lepas tuh meletakkan namanya dengan nama "Misai Harimau" dan mempromosikan inilah ubat untuk kanser hati, kanser itu dan kanser ini. Walhal, tiada satu pembuktian pun telah dibuat melalui eksperimen yang diterima pakai oleh ahli bijak pandai? Bolehkan ini diselarikan dengan 'semua penyakit ada ubatnya'?.

Apa-apa yang Rasulullah sebut adalah sentiasa benar dan boleh dipraktikkan. Doktor Islam tidak sewajarnya mempertikaikan tentang perubatan Rasulullah SAW kerana ia sangat berkesan pada zamannya dan juga sebahagiannya kini. Tibb Nabawi banyak mengajar tentang Penjagaan Kesihatan secara "Primary" iaitu rawatan pencegahan. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat oleh itu ia adalah aspek yang sangat penting sehingga kini.

Cara Rasulullah menjaga adab makan sebagai contoh boleh mengelakkan segala macam penyakit yang timbul akibat masalah nutrisi masa kini. Kesihatan mental, kebersihan seksual (membersihkan diri, mandi, berkhitan), menjaga persekitaran dan kebersihan dan menjaga penyakit berjangkit sangat berkesan dan diamalkan setiap hari oleh semua umat Islam. Malah penyakit psikosomatik - penyakit fizikal yang berasal daripada masalah mental - banyak disembuhkan melalui cara-cara spiritual seperti ibadah dan amalan doa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Cuma keterbatasan dari sudut penyakit dan diagnosis pada ketika itu, sumber ubat-ubatan, penyakit-penyakit baru yang timbul dan pelbagai kemajuan dari aspek perubatan menjadikan ilmu-ilmu pada masa itu tidak mencukupi untuk menampung perkembangan ilmu-ilmu perubatan kini yang semakin pesat. Amat sukar untuk memastikan rawatan apa untuk penyakit yang bagaimana pada waktu ini kerana perbezaan penyakit yang ada pada waktu itu dan kini.

Apa itu perubatan Muslim?

Sambung ke Bahagian 2

Friday, October 24, 2008

Seminar Antarabangsa Anjuran KHIM di Putrajaya


InsyaAllah Sabtu dan Ahad ini (25 dan 26 November 2008) saya akan menyertai satu seminar antarabangsa dan bengkel yang bertemakan Dilema In Medical Practice : Islam and Conventional yang dianjurkan oleh Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM) di Auditorium Perbadanan Putrajaya.

Seminar antarabangsa ini akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekaligus akan membentangkan juga satu kertas kerja di sana.

Di antara penceramah yang turut membentangkan kertas kerja ialah Dr H.M. Hidayat Nur Wahid dari Indonesia, Prof Dr Ali Mishal dari Jordan, Prof Dr Omar Hassan Kasule dari Brunei, Prof Dr M. Iqbal Khan dari Pakistan, Prof Dato' Dr Mohd Tahir Azhar dari Malaysia (Dekan saya dulu di UIAM), Dr Ishak Mas'ud dari Malaysia (Pengarah Al-Islam Specialist Center - dulu KBMC - merangkap presiden KHIM), Prof Dr Siddiq Fadzil dari Malaysia (Prof UM/ WADAH) dan beberapa nama-nama lain.

Di samping itu pada hari Ahad akan diadakan 3 bengkel secara selari termasuk khusus kepada kumpulan jururawat.

Yuran kepada doktor yang berminat ialah RM 450 seorang. Bagi pelajar perubatan ialah RM 80.00 seorang.

Sila lawat laman sesawang KHIM di sini.

Salam.

Tuesday, October 14, 2008

Sudah Sampai Ajal..




Assalamualaikum,

Apakah yang lebih menyedihkan daripada melihat sahabat karib yang makan dan tidur serumah mati tercampak keluar dari kereta di hadapan mata sendiri.

Itulah yang berlaku kepada salah seorang pesakit lelaki saya hari ini. Beliau menangis sejak dua hari lepas sehingga berjumpa saya tidak berhenti-henti.

Beliau dan rakan-rakan serumah dalam perjalanan ke Shah Alam melalui jalan Puncak Alam dari Sungai Buloh untuk beraya 2 hari lepas. Mereka bergerak dengan dua kereta dengan beliau memandu di kereta belakang dan kawannya di hadapan.

Mengikut cerita ibu pesakit, waktu itu agak gelap (dalam maghrib), sedang menyusur jalan yang kurang keretanya itu, tiba-tiba kereta kawannya di hadapan mengelak lopak air besar menjadikan kereta hilang kawalan, berpusing dan melanggar tiang elektrik di sebelah sana jalan.

Pemandu kereta hadapan (mungkin tidak memakai tali pinggang) tercampak keluar dan maut serta merta. Seorang lagi rakannya selamat tanpa kecederaan manakala seorang lagi kawan di tempat duduk belakang mengalami kecederaan kepala tetapi sudah pulih.

Yang begitu menyedihkan pesakit ini ialah beliau menyalahkan kematian kawannya di atas dirinya. Beliau berkata bahawa disebabkan olehnya, mereka terpaksa bertolak lambat kerana beliau tidak tahu jalan ke rumah kawannya. Beliau merasakan sekiranya mereka bertolak lebih awal (waktu cerah), perkara ini sudah tentu dapat dielakkan.

Saya kasihan melihatnya dan cuba menasihati beliau apa yang termampu. Ajal itu sudah ketentuan Allah. Apa yang berlaku cuma sekadar menjadi sebabnya sahaja.

Saya kira hanya MASA sahaja dapat menyembuhkan hati beliau yang terluka akibat kehilangan teman tersayang.

Wallahu Alam.

Thursday, September 11, 2008

Apa Itu Testimonial ??



Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin menulis tentang testimonial di dalam konteks penjualan produk kesihatan. Testimonial merupakan satu penyataan yang dikeluarkan oleh pelanggan-pelanggan berkenaan keberkesanan sesuatu produk.

Contoh paling mudah ialah produk A mengeluarkan makalah tentang beberapa penyataan pelanggan mereka tentang setelah mereka makan produk A ini, penyakit kencing manis telah pulih sehingga mereka tidak perlu memakan lagi ubat-ubatan konvensional di hospital.

Oleh kerana saya pernai menyertai MLM dahulu, testimonial dianggap satu alat terpenting di dalam marketing MLM. Malah ia adalah "tools" utama di dalam para penjual barangan MLM untuk menjual produk mereka. Bukan sahaja MLM, malah pelbagai jenis perniagaan menjadikan testimonial sebagai satu cara pemasaran yang berkesan.

Saudara, saudari, tuan dan puan,

Walaupun apa pun yang diberitahu berkenaan sesuatu produk kesihatan, testimonial tidak boleh dianggap sebagai satu bahan bukti keberkesanan sesuatu produk. Ia bukan satu keputusan hasil daripada kajian perubatan yang sah. Ia sangat tertakluk kepada "biased" dan mungkin fakta yang ditokok tambah.

Anda sudah pasti melihat tentang satu produk B yang tertulis, menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit-sakit badan, lenguh, bisa, gout, sakit kepala, kembung perut, penyakit bongkok, jangkitan kencing, disengat lebah, darah kotor.. dan senarai ini berterusan kepada 1000 penyakit.

Kemudian diselitkan pula dengan sehelai kertas depan belakang dengan gambar beberapa orang dengan kenyataan-kenyataan seperti - " setelah saya makan ubat ini beberapa bulan, saya sudah boleh berjalan setelah terkena lumpuh selama beberapa minggu.."

Selepas itu diletakkan pula ayat yang terakhir dengan satu hadis Rasulullah - "Semua penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati". Bukankan ini satu permainan psikologi yang hebat?

Ubat tersebut mungkin berkesan untuk satu penyakit. Tetapi satu ubat berkesan untuk semua penyakit? apatah lagi kerana diletakkan di labelnya "ramuan herba terpilih?". Pernahkah anda terjumpa kesan sampingan daripada ubat-ubat dari herba terpilih itu? Saya pernah menulis dahulu tentang kesan sampingan pada ubat tidak kira ia ramuan herba ataupun tidak.

Pernahkah anda terjumpa satu ubat di hospital atau klinik yang tertulis : ATENOLOL - Ubat ini boleh menyembuhkan 1000 penyakit. Bukan sahaja darah tinggi, tetapi ia boleh meningkat daya seksual anda, menghindarkan dari penyakit kencing manis, gout, asthma, batuk malam, berak berdarah, kanser payudara, Aids... etc etc etc?

Tentulah tiada. Ubat itu sangat spesifik penggunaannya. Malah apa yang tertulis, kesan sampingan ubat itu pula. Ada muntah, sakit perut, cirit, alahan... Bukankah ini akan menakutkan pengguna? Jadi kenapa letak di situ?

Ini menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini telah melalui proses kajian yang sangat ketat sehinggakan kajian itu boleh mengetahui apabila ubat itu masuk ke dalam perut, berapa peratuskan yang akan diserap di dalam badan dan berapa peratuskan yang tidak akan diserap. Berapa peratus yang akan menjadi bahan aktif ataupun dikumuh keluar dari badan. Di mana ia akan dikumuh.. samada di hati atau buah pinggang dan berapa peratuskah yang akan keluar melalui air kencing atau najis. Penelitian seperti ini hanya berlaku melalui kajian yang sangat mendalam dan mengambil masa yang lama.

Intipati daripada artikel ini ialah, anda boleh membaca testimonial sesuatu produk yang hangat dijual di pasaran. Syarikat pengeluar akan meletakkan pelbagai jenis penyakit yang mampu disembuhkan sehingga keseribu penyakit. Ada yang menggunakan teknik hadis Rasulullah untuk menguatkan cerita mereka. Kemudian ditambah pula dengan cerita-cerita bahawa ramai yang telah sembuh dengan ubat mereka.

Tetapi dengan pemahaman anda tentang artikel ini, saya mengharapkan anda patut kenal apa makna testimonial itu. Ia sekadar satu cerita daripada pesakit. Bukan hasil kajian berdasarkan cara yang saintifik. Oleh itu, jika ia satu cerita, maka anggaplah ia sebagai satu cerita.

Wallahu A'lam.

Monday, August 4, 2008

Gout dan Perawatannya





Assalamualaikum,

Kesian pula dengar cerita abahfateh terkena gout.

Ni ada beberapa pantang yang tak boleh dimakan ketika gout. Ia adalah terdiri daripada makanan yang mempunyai kandungan protein tinggi.

1. Daging merah

2. Organ dalaman - hati, limpa, paru-paru, pedal, perut

3. Telur - Telur ayam, telur itik, telur puyuh, telur ikan

4. Makanan laut - udang, ketam, sotong, ikan bilis (ikan biasa terkecuali)

5. Kacang-kacang - kacang tanah, kacang panjang, kacang dhal, kacang buncis.

6. Minuman Beralkohol

Kandungan protein yang tinggi di dalam makanan yang saya senaraikan di atas ditukarkan ke satu bahan di dalam badan dipanggil "Purine" dan kemudiannya ditukarkan ke sejenis bahan dipanggil Uric Acid. Uric Acid yang tinggi kemudiannya membentuk kristal dan melekat di kawasan sendi-sendi dan menyebabkan kesakitan.

Kesakitan akibat gout terjadi disebabkan oleh 1. lekatan uric acid itu sendiri di sendi2 yang terlibat dan 2. Inflamasi atau radang di sekeliling kawasan yang terlibat yang menyebabkan kemerah-merahan, bengkak dan sedikit panas.

Kesakitan akibat gout sangat teruk sehinggakan sehelai kertas tisu sekiranya diletakkan di atas kaki yang terkena gout menyebabkan pesakit menjerit kesakitan. Lebih daripada 70% pesakit gout menghidapinya di kawasan berhampiran ibu jari pada kali pertama, tetapi gout boleh berlaku di mana mana kawasan sendi seperti lutut, siku dan tumit.

Gout yang teruk boleh menyebabkan masalah sendi dan ketumbuhan sejenis bahan keras seperti tulang dipanggil "tophi" - (sebutan tofai). Bonjolan ini boleh tumbuh dimana mana termasuk siku dan telinga.

Uric acid yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah batu karang dan kerosakan buah pinggang yang akhirnya menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

Cara yang terbaik di dalam merawat gout adalah menjaga diet kita sehari-harian. Menjaga makanan yang tinggi kandungan purine adalah penting. Selain daripada itu mengurangkan berat badan boleh membantu mengurangkan insiden gout. Selain daripada itu minum air dengan banyak dapat mengurangkan risiko batu karang.

Dari segi ubat-ubatan, ubat tahan sakit seperti ibuprofen atau voltaren (Diclofenac) boleh mengurangkan kadar kesakitan dan mengurangkan inflamasi. Ia biasanya diambil bersama colchicine.

Colchicine perlu diambil setiap 3 jam sehingga sakit berkurang atau pesakit timbul rasa cirit birit. Ketika itu baru kesannya dapat dilihat.

Allopurinol (zyloric) adalah sejenis ubat untuk mengurangkan kadar uric acid di dalam badan. Ia mengurangkan kadar penukaran purine kepada uric acid dan seklaigus mengurangkan risiko untuk terkena gout. Walaubagaimanapun, Allopurinol tidak boleh diambil ketika mengalami serangan gout. Sekiranya diambil ketika serangan maka kesakitan boleh menjadi bertambah teruk.

Sekiranya anda terkena serangan gout, maka makan ubat tahan sakit dan colchicine, selepas tidak lagi sakit, maka anda boleh memulakan semula ubat allopurinol. Anda juga dinasihatkan membuat pemeriksaan darah untuk uric acid dan juga buah pinggang.

Friday, August 1, 2008

Lelaki Valium






Assalamualaikum,

Huh.. Geram betul... geram.....

Ada seorang lelaki melayu ni datang pukul 2 pagi untuk buat dressing luka yang sebesar 3 cm di tengah-tengah belakang. Kita pun buat dressing. Tak ada masalah. Walaupun lelaki ini berbadan besar tetapi dari segi pain threshold memang rendah. Memang jenis tak tahan sakit. Kena air sikit kat luka dah menjerit-jerit.

Setelah selesai dressing, dia meminta ubat tidur sebab tak boleh tidur. Ok lah tak per. Saya bagi 3 biji valium 10 mg untuk 3 malam. (Nama generik Valium = Diazepam)

Dia mula tarik muka. Dia kata 3 biji valium mana cukup. Dia nak 20 biji!

Saya bagitahu kat dia, mana boleh bagi valium sampai 20 biji. Ini ubat kawalan dan bahaya. Saya berkeras tak nak bagi. Saya bagitahu dia, kalau nak ambil banyak2 kena jumpa pakar psikiatri. Saya boleh tolong referkan. Saya tak ada kemampuan untuk prescribe valium sampai 20 biji.

Dia mula angkat suara. Dia kata selama ini dia dapat 10 biji valium daripada doktor seorang lagi. Dia mula kata saya tak faham betapa sakitnya belakang dia. Dia kata luka dia bentan lah dan sebagainya. Saya ni doktor dia, patutnya saya kena bagi valium tu pada dia.

Saya tahu keadaan luka dia. Saya pernah kerja kat plastik surgery. Macam saya ni baru 3 bulan jadi doktor kan.. Tapi lukanya kecil. Saya cuma diamkan diri mendengar dengusan marahnya.

Saya yang cuba nak memahami apa yang berlaku bertanya semula. Kenapa dia nak ambil ubat valium banyak-banyak.

Dia kata dia dalam keadaan yang sakit sangat dan tak boleh tidur. Sekali lagi dia kata saya tak memahami kesakitan yang ditanggungnya (macam dialog cerita hindustan lah pulak!).

Untuk meredakan keadaan, saya cuba nasihatkan dia, ubat tidur ni bukan gunanya untuk menahan sakit. Kalau nak tahan sakit, kenalah makan ubat tahan sakit. Kita ada banyak jenis ubat tahan sakit. Daripada yang sederhana kepada yang kuat. Kalau tak boleh satu, kita tambah jadi dua jenis. 3 jenis pun boleh. Asalkan sakit tuh boleh dikurangkan.

Sekali lagi dia tak mahu dengar nasihat saya. Dia berkeras hendakkan 20 biji valium. Dia kata apa masalahnya... dia yang bayar! (yelah, awak guna panel).. Dia kata dia nak beli ubat tu, bukannya dia ambik free. Dia kata dia perlukan 2-3 biji valium untuk tidur satu malam.

Saya berkeras. Saya kata valium ni bukan panadol, main beli-beli sahaja. Saya bagitahu dia, awak ni dah ketagih valium. Sampai 3 biji sekali makan!. Saya akhirnya toned down dan bersetuju untuk beri dia 5 biji valium. Kira negotiate lah nih.

Dia nih saya rasa dah develop tolerance. Tolerance ni macam dulu kalau makan 1 biji dah dapat kesan rileks. Tapi lama kelamaan ambil 2 biji baru dapat kesan yang sama... lama-lama kena makan 3 biji, baru dapat kesan yang sama macam 1 biji dulu.

Huh.. sombong lak dia ni. Dia kata kalau tak dapat 20 biji... dia tak nak ambik ubat valium 5 biji ni. Dicampaknya valium tu atas kaunter. Lepas tu dia nak tahu nama saya... konon nak report kat Boss. (macam lah saya takut kan).. Saya pun bagi nama saya. Buatlah apa nak buat. Bukannya kita salah. Mujur pukul 3 pagi patient tak ada.

Ubat tidur bukan boleh buat main-main. Nanti silap makan... jadi cam Heathe Ledger, pelakon Joker dalam The Dark Knight... mati overdose ubat tidur. Tak pasal-pasal lak saya masuk front page Sinar Harian lagi kan.. dan seluruh media masa... Taraf-taraf Dr Osman dari Pusrawi lah nih... glamer lak skali lagi. heheh.

Dia keluar dari klinik ngan anak perempuan dia. Mujur anak perempuan dia ni sensible sikit. Nampak cool dan pujuk bapak dia balik. Rupa-rupanya, anak dia slow talk ngan saya, dia bagitahu ayah dia ada minum alkohol tadi. Cuba bayangkan alkohol campur valium jadi apa?

Lepas dia keluar daripada klinik saya pun masuk bilik nak tidur. Lepas 5 minit dia masuk balik kedalam klinik. Dia nak jumpa saya balik. Lepas jumpa saya proses yang sama berulang semula. Dia mintak 20 biji valium, dan saya tetap tak nak bagi.

Dia keluar semual dengan marah dan saya pun yang tengah stress ni masuk balik dalam bilik. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Saya tak boleh nak tidur sebab tengah geram dengan dia. Tahniah pada dia sebab sekarang bukan saja dia tak boleh tidur, sekarang saya pun sama tak boleh nak tidur cam dia. Cuma saya tak nak telan valium jer....

Pukul 4 pagi, telefon berdering. Dia ni lagi call! Dia berkeras nak valium jugak.. kali ni nak 10 biji pulak. Saya dah cool down sedikit, pun menasihatkan dengan cara yang lebih baik (sebab dah cool kan). Saya kata kat dia saya dah offer 5 biji tadi, dan itu tawaran saya yang terakhir.

Lepas 15 minit dia datang dan mengambil semula valium yang dicampak awal-awal tadi dari kaunter.

Rupa-rupanya dia memang mempunyai masalah besar dengan keluarganya. Dia bercerai dengan isterinya kerana panas baran dan mempunyai masalah alkohol. Isterinya juga pernah menelan valium sehingga berbuih mulut dan dimasukkan ke hospital kerana terlalu stress. Sekarang bekas isterinya sudah keluar dengan lelaki lain.

Pada pendapat saya, valium itu bukan untuk mengubat sakit di belakangnya tetapi sakit di hatinya. Dia mempunyai masalah psikologi yang serius dan patut mendapat rawatan kerohanian daripada pakar agama. Dalam masa yang sama dia juga perlu dibantu dengan ubat-ubatan oleh pakar psikiatri untuk menenangkannya. Sekiranya masalah ini berterusan, tidak mustahil bahawa satu hari nanti perkara yang buruk boleh menimpanya.

Berapa banyak valium yang ditelan pun tidak akan dapat menawarkan hati yang telah luka.

Salam.


Monday, July 21, 2008

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Perawatannya




Assalamualaikum,

Baru-baru ini diumumkan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau HFMD telah menular di kawasan Taman Tun Dr Ismail. Saya sendiri di klinik Idzham, telah merawat beberapa orang kanak-kanak yang menghidapinya dan telah memberikan cuti yang lama dari sekolah.

Marilah kita sama-sama berkongsi pengetahuan tentang penyakit yang pernah menjadi endemik di Sarawak dan Johor sesuatu ketika dahulu dan menyebabkan lebih 30 kematian.

Artikel tentang HFMD ini adalah dirujuk daripada garispanduan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kes HFMD.



Definisi dan Penyebab

HMFD ialah jangkitan melalui sejenis virus dipanggil enterovirus, atau virus yang biasa terdapat di dalam usus. Contoh virus yang menjangkiti manusia ialah poliovirus, Coxsackie virus A dan B, echovirus dan enteroviruses 68-71.

HFMD boleh disebabkan oleh coxsackievirus A16, A5, A9, A10, B2, B5 and enterovirus 71. Coxsackievirus A16 (Cox A16) adalah penyebab paling biasa HFMD tetapi yang paling tidak bahaya.

HFMD disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah lebih merbahaya dan menyebabkan kematian. Ini adalah disebabkan oleh jangkitan selaput otak (meningitis), Jangkitan otak (encephalitis), masalah jantung (myocarditis) dan jangkitan paru-paru berair.


Cara jangkitan

HFMD mudah berjangkit. Jangkitan dapat merebak daripada manusia ke manusia melalui sentuhan melalui cairan hidung dan mulut, air liur, cecair daripada lepuh tangan dan kaki, dan najis mereka yang dijangkiti. Seseorang pesakit paling mudah menjangkiti orang lain dalam waktu seminggu terkena jangkitan.


Gejala Penyakit

HFMD datang dengan tumbuh ruam dan lepuh di tangan dan tapak tangan (macam berair atau ruam merah), penggelangan tangan, kaki dan juga kawasan mulut. Kebiasaannya, hampir kesemua kes mempunyai ruam di tangan, tetapi hanya 90% sahaja kes yang mempunyai ruam di dalam mulut. Adakalanya hanya ruam di tangan sahaja yang timbul jika dijangkiti HFMD tanpa ruam2 di kawasan yang lain.

Dalam masa yang sama, pesakit boleh mendapat demam, rasa lenguh-lenguh badan, sakit kepala, jangkitan mata, sakit perut dan kadang-kadang cirit birit.

Di antara banyak virus penyebab HFMD, virus yang disebabkan oleh enterovirus 71 (EV71) adalah paling merbahaya. Demamnya adalah lebih tinggi (39 darjah ke atas) dan lebih daripada 3 hari. EV71 adalah penyebab kematian 27 orang kanak-kanak di Sarawak daripada 34 kematian pada tahun 1997.

Perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya anak anda menghidap HFMD:-

. Demam Tinggi.
• Penat dan lemah.
• Tidak mahu makan dan kurang kencing.
• Bernafas kencang.
• Muntah-muntah.
• Nampak mengantuk, pening dan cepat marah dan menangis.
• Sawan


Perawatan HFMD.

HFMD biasanya tidak bahaya dan hilang sendiri. Kebanyakan kes tidak perlukan kemasukan ke hospital dan hanya perlu dirawat sebagai pesakit luar sahaja.

Perawatan simptomatik diperlukan oleh kebanyakan pesakit HFMD. Ini bermaksud menurunkan demam, mengurangkan kesakitan seperti sakit kepala dan sakit badan, Meningkat hidrasi pesakit dan perlukan rehat yang secukupnya. Gel kebas boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut.

ANTIBIOTIK tidak perlu digunakan di dalam kebanyakan kes.

Pesakit perlu diasingkan daripada kanak2 yang lain.

Bilakah pesakit perlu dimasukkan ke Hospital?
- Apabila pesakit tidak boleh makan dan minum dan perlu dimasukkan air melalui salur darah
- Kelihatan lemah dan teruk, kelihatan toksik
- Jika demam tidak berkurang dan tinggi (38 dan 39 darjah sentiasa) lebih daripada 4 hari
- Bila doktor menjangka terdapat jangkitan kepada kawasan otak menyebabkan kanak-kanak meracau, serangan sawan, kepenatan melampau, tidak peka terhadap persekitaran.
- Bila terdapat masalah jantung seperti gangguan bunyi jantung, tekanan darah rendah.

Masih TIADA vaksinasi untuk penyakit ini pada waktu ini.


Elakkan Jangkitan!

Adalah penting untuk anda membasuh tangan dengan menggunakan sabun setiap kali anda menukar lampin anak-anak yang terkena HFMD.

Anda juga boleh menggunakan air dan sabun (ada yang cadangkan menggunakan Clorox) untuk membersihkan lantai, mainan, pakaian dan lampin yang terkena najis atau air liur mereka.

Jangan bawa anak anda ke tempat terbuka seperti kolam renang atau kompleks membeli belah. Sekolah dan nurseri juga perlu dielakkan untuk mengelakkan jangkitan merebak.


Jangan Panik

Sekiranya andak anda terkena jangkitan, usah panik. Kebanyak HFMD tidak merbahaya dan pulih sendiri. Apatah lagi sekiranya anak-anak anda tiada demam, selera makan adalah biasa dan nampak ceria sahaja walaupun terdapat ruam di mulut dan tangan.

Dapatkan nasihat doktor di klinik yang berhampiran dan elakkan jangkitan kepada anak-anak yang lain.

Wallahu A'lam.

Ditulis oleh Dr Azwan untuk http://www.drazwan.blogspot.com/

Friday, July 18, 2008

Program Kesihatan Bersama Golongan Asnaf di Bangi





Assalamualaikum,

Pada 12 hb Julai yang lepas, satu program pemeriksaan kesihatan untuk golongan Asnaf telah dijalankan oleh Biro Kesihatan ABIM dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM (IOA). Progran pemeriksaan kesihatan ini diadakan di rumah anak-anak yatim ar-Rukaiah yang terletak di depan Institut Perguruan Islam (nama lama MPI), Bangi.

Rumah anak yatim ini adalah hasil usaha Islamic Outreach ABIM yang ditubuhkan pada tahun 2006 untuk membantu golongan anak-anak yatim yang kurang berkemampuan. Terdapat 30 orang anak-anak yatim yang tinggal di sini. Kebanyakannya adalah adik beradik.

Program Pemeriksaan Kesihatan ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya menjaga kesihatan kepada golongan anak-anak di dalam umur 8 tahun sehingga 14 tahun ini.

Program dimulakan dengan ceramah kesihatan oleh Dr Maryati dengan tajuknya "Membasuh Tangan". Dr Maryati adalah seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Ampang dan mempunyai banyak pengalaman sebagai doktor di Jabatan Peadiatrik. Beliau menjadi aktivis Biro Kesihatan ABIM sejak tahun 2006. Ternyata, ceramah tersebut mendapat perhatian yang sepenuhnya daripada para pendengar "kecil" ditambah pula dengan praktikal membasuh tangan secara betul.

Setelah itu, program diteruskan dengan pemeriksaan kesihatan kepada semua anak-anak oleh tiga orang doktor iaitu Dr Maryati, Dr Azlina dan saya. Dr Azlina adalah Pegawai Perubatan yang merupakan Sarjana tahun akhir (Master) di dalam bidang Anaesthesia, HUKM. Pemerhatian ditumpukan kepada jangkitan kutu kepala, penyakit kudis buta, penyakit-penyakit kulit yang lain dan kecacingan. Ubat diberi kepada mereka yang terjangkit.

Penyakit kutu kepala atau pediculous capitis tidak boleh dielakkan sekiranya mereka tinggal beramai-ramai di kawasan yang sempit dan penjagaan kebersihan diri yang tidak optimum. Ini kerana fakta bahawa kutu kepala mudah merebak dan berjangkit sekiranya tinggal bersama. Begitu juga dengan kudis buta dan penyakit jangkitan kulit seperti impetigo.

Kita juga bertuah kerana dua orang adik pelajar perubatan tahun dua iaitu Saudari Siti Hajar (tiada dalam gambar) dari Universiti Sumatera Utara (USU) sudi bersama-sama sebagai sukarelawan untuk menguruskan ubat-ubatan dan menguruskan timbang berat peserta.

Sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru iaitu Cik Nida yang bertugas sebagai pegawai di Nestle banyak membantu memberi nasihat kepada adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh. Beliau juga menguruskan perjalanan program agar berjalan lancar. Tanpa beliau tentu program menjadi kelam kabut.

Saudara Nor Azam (tiada dalam gambar) yang merupakan pegawai kewangan di sebuah syarikat swasta juga sebagai sukarelawan Biro Kesihatan ABIM yang baru, bertindak menguruskan fotografi. Beliau dengan kapasitinya menderma beberapa kampit beras dan makanan untuk anak-anak yatim kita.



Dr Maryati sedang menunjukkan cara membasuh tangan yang betul kepada adik-adik. Semua pening... Maklumlah selama ni cara mereka membasuh tangan tidak mencapai piawai yang telah ditetapkan oleh Dr Maryati.


Dr Azlina, Saya dan Dr Maryati sedang sibuk melayan kerenah anak-anak. Budak-budak lelaki lebih suka mengerumuni saya. Mungkin sebab terlalu macho... ehem..


Semua kanak-kanak yang sedang asyik mendengar ceramah Dr Maryati... kecuali seorang budak pakai tudung hitam tu..

Ya. Teringat waktu kita kecik-kecik dulu kan. Diorang ni tak ada mak ayah yang nak tolong carikan kutu dan telur kutu di atas kepala diorang. Ini jelah yang termampu nak buat.


Antara ubat-ubat yang disediakan untuk anak-anak ini. Antaranya adalah ubat cacing, ubat demam, batuk dan selsema, serta multivitamin.



Tidak putus dengan senyuman dan harapan walaupun tanpa ayah dan ibu.

Saudari Nida bertudung biru di sebelah Dr Azlina dan anaknya sedang berehat setelah melaksanakan tugas.


Program ini Alhamdulillah sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua termasuk anak-anak yatim kita. Saya selaku pengarah program ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat termasuk Saudara Khaidir dan Saudara Helmi dari Islamic Outreach ABIM yang memastikan bahawa program ini mencapai sasarannya.

Kepada sesiapa yang ingin bersedekah dan beramal jari'ah terutama ketika bulan Ramadhan semakin menghampiri anda bolehlah menghubungi IOA Bangi 03-89267176 atau Saudara Helmi sendiri 012-5774873 untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim yang memerlukan.

Salam.

Thursday, July 10, 2008

Kerosakan Gigi di kalangan Kanak-Kanak



Assalamualaikum,

Saya banyak terjumpa anak-anak yang mengalami kerosakan gigi yang teruk akibat dental caries. Ada yang rosak gigi sikit-sikit jer. Ada yang terlalu teruk sehingga semua gigi tu tiada seperti dimakan ulat. Bukan seorang anak sahaja yang mengalami kerosakan gigi, tetapi hampir semua adik beradik mempunyai masalah yang serupa.

Walaupun saya bukanlah doktor gigi, tetapi kebersihan mulut ataupun oral hygiene adalah perkara yang perlu bagi seorang kanak-kanak. Saya percaya bukan doktor gigi juga mahukan kebersihan mulut yang terbaik untuk anak-anak anda.

Saya berasa sedikit sedih bila ibu-bapa mempersalahakan anak-anak akibat gigi anak-anak yang rosak.

"Itulah, malas nak gosok gigi".

"Mana tak rosak doktor, hari-hari dia makan gula-gula. Dah larang dah... bukannya nak dengar!".

Kenapa salahkan anak anda sekiranya gigi mereka rosak? Bukankah kesalahan itu sepatutnya di atas bahu anda?

Untuk peringatan anda, anak itu baru berumur 3 atau 4 tahun. Mustahil anda tidak dapat mengawal perilaku anak anda yang berumur baru berumur 3 tahun! Kalau umur 3 tahun pun dah tak boleh kawal dan tidak ada disiplin, bagaimana bila berumur 15 tahun nanti? Bukankah lebih susah untuk mengawal mereka.

Kanak-kanak memang secara semulajadinya suka makan gula-gula. Gula-gula adalah makanan pemberi tenaga dan mereka pula dalam keadaan sangat-sangat aktif. Adakah anda akan menyalahkan anak anda sekiranya mereka suka makan gula-gula atau coklat. Anda juga pernah jadi kanak-kanak dahulu, dan rasa bagaimana seronoknya kalau ibu ayah kita membelikan kita aiskrim dan gula-gula. Mana ada anak-anak yang tak suka gula-gula?

Sekiranya mereka diterapkan dengan amalan menggosok gigi pada setiap hari, saya yakin InsyaAllah tiada masalah untuk menjaga gigi anak-anak ini. Walaupun ada di antara mereka akan menangis dan mengganggu sedikit ketenteraman anda, itu adalah salah satu "side effect" menjadi ibu bapa, bukan?

Memang betul, adalah penting untuk mengawal pengambilan gula. Bukan sahaja kepada kanak-kanak kecil tetapi kepada ibu-bapa mereka juga. Ini anak-anak makan gula-gula bukan main marah sekali kita tetapi kita pula sedap-sedap sahaja menogok air coke 2-3 tin sehari. Sekiranya kita ingin mengawal penggunaan gula kepada anak-anak pastikan kita juga mengawal penggunaan gula kepada diri kita sendiri.

Jadi tabiat yang baik ini kita boleh beri contoh kepada anak-anak. Sedikit-sedikit kita akan beritahu kepada mereka akibat buruk mengambil gula secara berlebihan di dalam makanan. Dengan contoh daripada anda sendiri InsyaAllah akan ada kesannya.

Tabiat yang buruk ketika mempunyai gigi susu boleh terbawa-bawa kepada gigi kekal. Jangan nanti bila dia sudah berakal, dia akan salahkan anda pula kerana anda tidak pandai menjaga giginya semasa dia kecil.
Wallahu A'lam.

Thursday, June 26, 2008

Tatu (Tattoo) - Masalah dan Perawatannya




Assalamualaikum,

Semalam saya didatangi oleh 2 orang wartawan surat khabar sinar yang ingin menemuramah saya tentang tatu dan bertindik badan untuk diterbitkan di dalam akhbar mereka. Mereka membawa isu tatu dan bertindik badan ini kerana ini adalah gejala kurang sihat yang semakin merebak di kalangan anak muda kita.

Tidak dinafikan budaya bertatu dan bertindik badan di kalangan remaja muda Islam kita semakin meningkat. Saya rasa kita kena sama-sama menegur sesama kita terutama ahli keluarga kita sendiri.

Oleh kerana saya pernah bekerja di HKL di dalam bidang plastik surgeri dan mempunyai sedikit pengalaman perihal tatu, izinkan saya untuk berkongsi dengan anda berkenaan hal tersebut.


DEFINISI TATU

Untuk pengetahuan anda, tatu adalah satu perkataan yang berasal dari samoa iaitu "tatau" yang bermaksud untuk menanda atau untuk mencacah dua kali. Makna ini berkait rapat dengan cara orang Samoa membuat tatu di badan mereka. Tetapi ini tidak menunjukkan bahawa bangsa polynesia yang mempelopori tatu. Secara sejarahnya, tatu telah diamalkan hampir 5000 tahun sebelum masehi.

Dari sudut sains, tatu adalah proses di mana pigmen warna dicacah ke dalam lapisan kulit yang dalam dipanggil dermis. Lapisan di atas dermis iaitu epidermis adalah lapisan yang sering berganti-ganti, tetapi lapisan dermis adalah lebih tetap.

Dengan reaksi pencacahan tatu menggunakan jarum, maka tindak balas badan menyebabkan pigmen tersebut diperangkap oleh sel-sel dipanggil fibroblast (sel parut) di kawasan dermis dan menjadi stabil dengan warna kulit.


KENAPA BERTATU?

Agama dan Spiritual.
Tatu dibuat kerana beberapa sebab. Di antaranya adalah kerana hubungan spiritual dan agama seseorang. Pada sesetengah agama tatu boleh menghalau hantu dan syaitan. Di dalam cerita Ripley's Believe it or Not, seorang lelaki yang merasakan dirinya adalah jelmaan harimau, telah mentatu seluruh badannya dengan belang dan warna harimau.

Budaya
Kaum Iban di Sarawak mengamalkan tatu terutama di kalangan pahlawan mereka waktu dahulu. Ini menunjukkan semangat keberanian dan kepahlawanan mereka.

Identifikasi atau pengenalan
Kumpulan Yakuza iaitu satu kumpulan mafia Jepun dikenali kerana tatu mereka yang mereka pakai. Di Malaysia terdapat kumpulan kongsi gelap (biasanya cina) yang mencacah tatu di badan mereka sebagai tanda satu kumpulan. Ada juga tatu yang bersifat rank atau pangkat.

Jikalau tatu helang atau tatu harimau, maka pangkatnya adalah tinggi sedikit daripada tatu ular. Atau tatu naga yang paling tinggi pangkatnya di kalangan semua tatu contohnya. Tentera Nazi juga pernah menanda golongan yahudi dengan tatu dengan nombor semasa peristiwa holocaust dahulu sebagai tanda pengenalan.

Kosmetik
Ada orang yang mentatu kawasan kulit yang bermasalah untuk menutup kelemahannya. Walaupun tidak bagus sebenarnya mentatu kulit yang bermasalah, tetapi seorang wanita di barat telah mentatu separuh badannya kerana masalah kulit yang dihadapinya ketika terkena cahaya matahari.

Perubatan
Tatu mempunyai kurang indikasi di dalam perubatan. Seseorang yang menjalani pembedahan mastektomi iaitu buang payu dara kerana kanser, kemudian menjalani pembedahan semula untuk rekonstruktif payudara. Salah satu cara untuk membina puting susunya dengan cara mudah adalah melalui cara tatu.


RISIKO DAN MASALAH

Jangkitan
Jangkitan adalah masalah utama tatu. HIV dan Hepatitis adalah jangkitan virus yang boleh menyebabkan kematian. Ini disebabkan penggunaan jarum yang sama bagi pelanggan-pelanggan. Jangkitan kulat dan bakteria juga boleh berlaku dan mengakibatkan luka susah sembuh dan kadangkala bengkak dan bernanah.

Oleh itu mereka yang menerima tatu tidak dibenarkan menderma darah di Malaysia dan banyak negara di dunia selama 12 bulan selepas kali akhir ditatu.

Alahan
Alahan kepada bahan dakwat yang digunakan boleh terjadi. Ini boleh menyebabkan kegatalan. Ada sedikit insiden tatu menyebabkan alahan teruk seperti sesak nafas.


BAGAIMANA MEMBUANG TATU

Akhirnya sampai di tempat isi yang ingin saya sampaikan kepada pembaca.

Ada segelintir anak-anak muda melayu Islam kita yang belajar di luar negara yang pulang dengan hadiah tatu kepada ibu bapa mereka. Ada ibu bapa yang "cool" tidak beberapa mengendahkan sangat dan buat-buat suka. Ada ibu bapa yang terkejut "panda" dan beristighfar banyak-banyak. Tiada apa yang boleh dilakukan sangat ketika itu.

Titik pertukaran penting cuma berlaku iaitu ketika mereka ingin mendirikan rumah tangga. Masa tu ingin kembali ke jalan yang benar. Nak menjadi suami perlu sedikit ilmu di dada. Buka semula al-Quran. Buka semula kitab fekah. Baca rukun nikah.

Tiba-tiba terfikir tatu besar di lengan, macamana nak berdepan dengan kadi dan bakal mertua. Malu kalau ternampak. Mulalah di dalam kepada ligat berfikir. Bagaimana nak membuang tatu.

Terdapat pelbagai cara membuang tatu.

1. Cara yang paling berkesan adalah menggunakan laser. Terdapat 3 jenis laser yang kami gunakan dulu di plastik surgery iaitu Alexandrite, ND Yag dan Intense Pulse Light. Ini adalah cara yang paling berkesan kerana setiap laser mempunyai ciri unik dan jarak gelombang yang tertentu untuk membuang tatu.
Apa yang laser akan buat apabila dipancarkan, ia akan menguraikan pigmen warna di dalam dermis. Dan proses ini menyebabkan sel badan bertindak dengan "memakan" pigmen warna yang diuraikan itu.

Walaupun begitu, proses ini mengambil masa beberapa sesi (mungkin 5-6 sesi atau lebih) bergantung kepada jenis tatu dan besarnya. Ia juga agak sakit berbanding mencacah tatu itu sendiri walaupun krim bius digunakan. Jika dijalankan di klinik atau hospital swasta ia boleh melibatkan kos yang besar setiap sesi.

Parut yang ditinggalkan oleh rawatan laser boleh menjadi kekal dan tidak cantik. Ada sesetengah kulit yang sensitif terutama kulit gelap, parut yang ditinggalkan mungkin lebih gelap (hyperpigmentasi) atau lebih cerah (hypopigmentasi) daripada warna kulit asal.

Warna hijau, kuning, merah yang digunakan di dalam pencacah tatu professional adalah lebih sukar untuk dihilangkan menggunakan laser, mungkin kerana jarak gelombang warna yang berbeza atau jenis dakwat yang digunakan. Warnah hitam dan biru lebih mudah dihilangkan. Ini menyebabkan tatu tradisional yang biasanya menggunakan dakwat biasa atau nila lebih mudah dibuang.

2. Ada juga cara lain iaitu melalui pembedahan. Saya pernah melihat seorang budak perempuan berumur 17 tahun ingin membuang tatu di Hospital Kuantan dulu. Kulit tatu yang ingin dibuang akan "disiat" sehingga ke level dermis (tak sakit sebab ada bius). Lepas itu akan ditampal dengan kulit yang baru yang diambil dari anggota lain (sekarang ada 2 parut pula). Cara ini lebih pantas dan dilakukan di kawasan yang tiada perkhidmatan laser. Walaupun begitu parut yang ditinggalkan adalah hodoh.

3. Selain dari 2 cara ini saya tiada pengalaman. Tetapi saya ada terjumpa seorang askar yang menggunakan kapur simen yang panas tu untuk "membakar" tatunya. Kesannya mungkin hilang sedikit tetapi ia telah meninggalkan parut yang sangat hodoh.



NASIHAT SAYA

Pertama sekali mencacah tatu adalah satu dosa. Ini dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, "Daripada Ibnu Umar, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu."

Sekiranya, anda ingin bertatu, tolonglah baca artikel ini dan fikir 1000 kali. Ia adalah satu perbuatan mensabotaj diri sendiri. Malah sabotaj ini boleh dikategorikan hampir kekal. Sekiranya anda ingin membuangnya, ia akan meninggalkan parut yang boleh menghantui anda seumur hidup. Parut fizikal boleh ditutup dan dibuang, parut mental kekal ke akhir hayat.

Bukan itu sahaja ia juga melibatkan pembaziran wang yang besar. Dulu anda membuang wang untuk mencacahnya sekarang anda membuang wang untuk membuangnya.

Ingatkan Allah dan ibu bapa sebelum anda mentatu diri anda. Ramai di kalangan orang yang ditatu menyesal tidak sudah setelah ditatu dan terpaksa menerima hakikat hidup dengannya seumur hidup. Sebagai anak, anda sendiri tidak mahu sekiranya suatu waktu akan datang anak anda sendiri pula mentatu diri.

Pendekata ini adalah budaya barat ikut-ikutan yang terlalu mengagungkan hedonisme, tidak bermanfaat, menyakitkan, membazir dan menjatuhkan maruah. Janganlah gunakan tatu di atas alasan meningkatkan personaliti, kebebasan dan keremajaan kerana ini adalah cara hidup orang yang rosak akhlak di barat. Ia adalah cuma taktik komersial mereka untuk mengaut untung dan anda sendiri yang menerima padahnya.

Wallahu A'lam.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin untuk www.drazwan.blogspot.com.



Thursday, June 19, 2008

Indahnya Ciptaan Tuhan




Assalamualaikum,

Eyes do not see what the mind does not know.

Saya sambung artikel yang saya tulis 2 hari lepas tentang ayat di atas. Kemungkinan cerita di bawah lebih menerangkan tentang frasa tersebut.

Beberapa bulan lepas saya telah menonton satu dokumentari di dalam National Geographic. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki dewasa (umur mungkin dalam 40-an) telah kehilangan penglihatannya di dalam satu kemalangan ketika dia berumur 3 tahun. Dalam kata lain dia menjadi buta pada waktu masih kecil.

Dia meneruskan hidup seperti biasa dan setelah dewasa dia berkahwin dan mendapat beberapa orang anak.

Lebih 40 tahun selepas insiden itu dia mengunjungi pakar mata. Setelah diperiksa oleh pakar mata, dengan menggunakan teknologi terkini, pakar mata berpendapat bahawa matanya boleh dibedah dan penglihatannya boleh pulih.

Dia akhirnya dibedah dan semua orang menanti hasilnya dengan berdebar-debar. Pakar mata berpendapat, hasilnya mungkin menakjubkan dan yakin bahawa pesakit boleh melihat semula.

Apabila tiba masanya dan kain penutup matanya dibuka, lelaki tersebut dapati, apa yang dilihat cuma cahaya sahaja, dia masih tidak dapat melihat apa-apa. Dia tidak mengetahui apa yang dilihatnya itu dan penglihatannya hampir sama seperti dia buta.

Apa yang berlaku ialah lelaki tersebut telah hilang penglihatannya semasa berumur 3 tahun. Pada umur 3 tahun, dia masih di dalam keadaan "baru" belajar melihat. Pemahaman tentang objek, warna, rupa, bentuk, dimensi adalah sesuatu yang sangat baru. Pada umur 3 tahun, kanak-kanak tidak tahu apa itu warna hijau, apa itu telefon, apa itu jalan tar, apa itu eskalator dan macam -macam lagi. Oleh itu, apa yang dilihatnya sekarang adalah apa yang sepatutnya dia lihat ketika umurnya 3 tahun.

Mari kita kembali kepada asas fisiologi penglihatan. Apabila cahaya yang dipantulkan oleh satu objek masuk ke dalam mata dan membentuk imej terbalik di dalam retina. Imej ini akan dihantar dari retina ke otak melalui saraf optik. Di dalam otak lah imej ini akan ditafsir dan difahami.

Sekiranya otak tidak mengenali imej yang dihantar itu, otak tidak dapat menafsir imej tersebut. Dan pandangan tentang imej itu tidak boleh difahami.

Di dalam konteks cerita lelaki ini, tempoh masa 40 tahun yang dia tidak dapat melihat, apa yang didaftarkan ke dalam otaknya semasa umur 3 tahun juga adalah sesuatu yang kelam dan samar-samar. Oleh itu cahaya dan imej yang masuk ke dalam matanya tidak dapat ditafsir oleh otak dan akhirnya ia hanya difahami sebagai satu yang kelam dan gelap, serupa seperti keadaan dia buta dahulu.

Beliau perlu mengambil masa untuk belajar semula semua objek yang dilihatnya untuk mendaftarnya ke dalam bentuk ingatan dan pengalaman. Kemudian baru beliau dapat memahami apa yang dilihatnya.

Terdapat satu lagi fakta aneh yang tuhan jadikan tentang penglihatan dan otak. Dunia yang luas dan berwarna-warni, dihiasi dengan keindahan alam yang serba indah dan cahaya yang sangat terang, adalah imej yang dipantulkan kedalam mata dan akhirnya sampai ke otak.

Ironinya, otak itu sendiri yang mentafsir cahaya, keindahan, kecantikan dan keluasan alam ini berada di dalam satu ruangan yang sangat-sangat sempit iaitu di dalam tengkorak manusia dan juga berada di dalam keadaan amat-amat gelap kerana tiada cahaya. Indahnya ciptaan tuhan.

Tuesday, June 17, 2008

Di antara Dua Telinga.





Assalamualaikum,

Teringat saya masa saya belajar dahulu.

Ketika itu kami di dalam dewan syarahan. "Sakit apa ni ha?", tanya salah seorang dari kami apabila sejenis ruam yang menjangkiti orang asli di Malaysia ditunjukkan di dalam sebuah persembahan slide oleh pakar kulit di dewan.

"Molluscum Contangiosum!", kata si Rassem, seorang mamat Palestin yang duduk di antara kami yang tahu jawapannya.

"OOOOOOooooooo...", besar sungguh mulut kami ketika itu melopong. Ada juga yang terdiam seribu bahasa sebab tak pernah dengar diagnosis tu.

Professor saya yang pernah berkata di dalam kelas syarahannya.

"Eyes do not see, what the mind doesn't know". Ia bermaksud, mata tidak dapat melihat apa yang minda kita tidak ketahui.

Ia ditujukan untuk kami semua pelajar perubatan. Pada ketika kami melihat satu simptom, satu penyakit, satu ruam, satu kondisi maka, sekiranya otak ini tiada ilmu pengetahuan tentang penyakit itu maka apa yang dilihat itu sekadar satu pandangan kosong sahaja dan tiada ertinya. Tidak lebih dari itu. Kosong.

Teringat pula kisah Long Jaafar di Perak dengan bijih Timah sebagaimana yang Cikgu Kamal iaitu guru Fizik saya dulu pernah bercerita.

Dulu-dulu di Bukit Larut, Long Jaafar dan kawan-kawannya dibesarkan di tanah kelahirannya di Perak. Tiap-tiap hari beliau berjalan dan bermain-main. Satu hari kaki beliau terpijak sebuah batu aneh yang tajam dan melukakan kakinya... "Cis... kurang ajor ko ni batu!", kata si Long Jaafar sambil mencampak batu itu jauh-jauh.

Malah setiap orang kampung saban hari terpijak batu yang aneh itu dan ramai juga yang berdarah kakinya, tetapi mereka tidak peduli dan tidak pula hairan.

Sehinggalah satu hari, seorang lelaki berkulit putih bermata biru datang dan ternampak kawasan Bukit Larut. "Wow.... banyak sungguh bijih timah di sini!", kata mat salleh itu dengan slang orang putehnya. Baru diberitakan kepada semua orang bahawa benda yang selalu terpijak-terpijak tu adalah sejenis bahan yang berharga dan bernilai.

Maka sejak itulah Bukit Larut dan Long Jaafar menjadi sinonim dengan perlombongan bijih timah. Kalau tipu Cikgu Fizik saya, tipu lah saya :)
Sesuatu yang mungkin bernilai tidak akan nampak bernilai tanpa melalui penglihatan orang yang berilmu. Melalui orang yang berilmu dan berakal, sampah dan tin kosong boleh bertukar menjadi barang yang bernilai. Tanpa ilmu, bertan-bertan berlian mungkin dianggap sebagai batu biasa sahaja.

Cerita lain pula, semasa kami di belajar dahulu, terdapat seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami sakit jantung berlubang. Kami akan memeriksa dengan menggunakan stetoskop, sejenis alat yang diletakkan dekat telinga pada satu hujung dan ditekap di dada pada satu hujung lagi untuk mengesan bunyi abnormal pada jantung dan paru-paru.

Ada di antara kami yang tidak dapat menangkap bunyi deruan jantung tersebut untuk dikaitkan dengan abnormaliti jantung dan membuat diagnosis (saya juga tak terkecuali). Ada yang menyalahkan bahawa stetoskop itu yang kurang berkualiti. Malah ada yang tiba-tiba sahaja mengaku mempunyai masalah pendengaran.

Professor berkata, "It is not the ear, but what is between the ear". Ia bukanlah disebabkan oleh telinga, tetapi apa yang berada di antara dua telinga itu.

Yang berada di antara dua telinga tak lain dan tak bukan ialah otak atau akal.

Apa yang kita tahu tentang alam dan dunia ini adalah kerana kita pernah terjumpa dan belajar tentang perkara itu. Kita mengatakan bahawa buah oren itu berwarna jingga kerana kita pernah diberitahu bahawa buah oren itu berwarna jingga oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita.

Oleh itu pengalaman dan pengetahuan yang disimpan di dalam otak dan akal adalah bekalan untuk kita meneruskan hidup yang serba mencabar ini. Tetapi perlu kita ingat bahawa akal manusia adalah terbatas. Kita boleh membuat pola logik dan mantik tertentu berdasarkan satu isu atau masalah, tetapi penyelesaiannya boleh jadi sesuatu yang pelbagai.

Oleh itu, kita sama perlu ingat-mengingati. Jangan mendabik dada di atas kepandaian akal semata-mata kerana akal itu dibatasi dengan ruang lingkup apa yang pernah kita belajar dan lalui sahaja. Allah telah menurunkan panduannya di dalam kitabnya dan model kehidupan di dalam bentuk kehidupan para rasul. Maka, panduan seperti ini adalah ubat kepada akal-akal yang sesat dan liar.

Wallahu Alam

Monday, June 16, 2008

Vaksin PENTAXIM




Assalamualaikum,
Kepada sesiapa yang bertanya tentang Vaksin baru-baru ini, saya tak dapat kesan komen threading yang anda hantar.

Apa beza Pentaxim dan DPT+Polio.

Ia adalah benda yang sama.

Pentaxim adalah nama vaccine yang dikeluarkan oleh syarikat Sanofi Pasteur. PENTA bermaksud LIMA. Jadi ada 5 vaksin di dalam 1 vaksin.

5 Vaksin tersebut ialah vaksin untuk Diphteria, Pertussis dan Tetanus (DPT) + Polio + Hemophilus Influenza B (HiB) = PENTAXIM.

Tahun lepas semasa saya bertugas di klinik PUSRAWI, DPT + Polio datang dengan satu vaccine lain dan HiB vaccine datang dengan kotak yang lain pula.

Dengan PENTAXIM sebua ke lima-lima telah digabung menjadi satu vaksin.

Mudah...

Salam.

Tuesday, June 10, 2008

Kos Rawatan Pula Meningkat?




Assalamualaikum,

Klinik Idzham tempat saya bekerja mengumumkan beberapa langkah baru untuk mengurangkan perbelanjaan disebabkan oleh peningkatan harga minyak dan tarif elektrik.

Di antaranya ialah untuk menutup lampu-lampu di lapan cawangan klinik kecuali 2 cawangan baru. Menutup aircond-aircond yang tidak digunakan kecuali di kawasan dispensari ubat. Semua pengubahsuaian untuk mencantikkan klinik juga dibekukan buat sementara. Pengambilan staf baru juga terpaksa dibekukan buat masa ini.

Beberapa harga ubat-ubatan juga nampaknya akan dinilai semula. Yang terbaru ialah peningkatan harga vaksin meningococcal ACWY untuk Haji.

Yang baik juga ada. Gaji-gaji doktor lokum akan dinaikkan kepada RM 40 sejam berkuatkuasa minggu hadapan. Insentif setiap pesakit dikekalkan. Kemungkinan elaun COLA juga akan dinaikkan kepada para kakitangan klinik tetapi masih belum diputuskan.

Perubahan-perubahan ini tidak hanya terbatas di klinik tempat saya berkerja. Saya amat yakin, syarikat-syarikat lain secara umumnya sudah mula mengawal perbelanjaan mereka dengan lebih berhemah untuk menampan kenaikan minyak dan kadar tarif elektrik.

Kadar inflasi yang meningkat ekoran dari itu menyebabkan kuasa membeli menjadi kurang. Harga barangan akan meningkat sedangkan pendapatan tidak berubah. Rakyat terpaksa berjimat cermat dan menyimpan. Ekonomi akan menjadi perlahan dan lembab. Kemungkinan banyak syarikat akan merasa kesannya akibat jualan yang semakin berkurang. Ada kemungkinan syarikat boleh tutup dan akhirnya memberhentikan ramai pekerja kerana kelembapan ekonomi.

Kos perubatan tidak akan menurun malah akan terus meningkat terutama di Hospital Swasta. Jika dahulu, rakyat Malaysia akan memilih untuk melahirkan anak di Hospital Swasta walaupun terpaksa mengikat perut? Adakah itu tetap akan berlaku?

Saya pasti lebih ramai rakyat Malaysia akan berkunjung ke Hospital Kerajaan kerana Hospital Swasta bukan lagi satu pilihan. Warga asing pasti tetap akan membanjiri hospital kerajaan walaupun dengan kadar harga yang sedikit mahal dari warga tempatan. Ini lebih baik daripada dirawat oleh hospital swasta yang lebih mahal.

Syarikat-syarikat ubat juga akan menaikkan harga kerana kos pengeluaran mereka yang meningkat. Persoalannya sejauh mana Malaysia akan memberi subsidi kesihatan kepada orang ramai? Adakah insuran kesihatan boleh menampung peningkatan kos perubatan yang bakal mendadak naik tak lama lagi.

Adakah Malaysia akan mengikuti jejak langkah Indonesia dengan menjadikan farmasi (apotek) sebagai satu badan swasta. Setelah pesakit diperiksa secara percuma di hospital kerajaan, mereka boleh membeli ubat di mana-mana farmasi di luar dengan harga ubat di atas tanggungan sendiri oleh pesakit. Oleh itu kerajaan masih boleh mengekalkan bayaran subsidi RM 1.00 kerana tidak perlu lagi menanggung kos subsidi ubat untuk pesakit luar.

Atau pengasingan farmasi tidak berlaku tetapi pesakit mungkin terpaksa membayar harga kos ubat yang meningkat. RM 1 mungkin akan menjadi RM 25 tidak lama lagi?

Bagaimana dengan bayaran di wad-wad? Mungkin caj bayaran RM 3 sehari untuk wad kelas 3 akan dinaikkan kepada RM 30 sehari? ataupun bayaran-bayaran yang dahulu dimansuhkan untuk penyakit-penyakit tertentu seperti kanser dan warga emas terpaksa dikenakan secara minimum?

Ini merupakan kemungkinan yang ekstrim. Jikalau harga petrol mencecah RM 200 setong, nampaknya kerajaan terpaksa berbuat sesuatu untuk memikirkan apa lagi subsidi yang harus diberhentikan kepada rakyat ini. Dan salah satu subsidi yang besar ditanggung kerajaan ialah subsidi kesihatan.
Related Posts with Thumbnails