Friday, July 31, 2009

Bahagian 2: Ilmu Ikhlas

Niat yang baik itupun tidak akan terlepas dari dicampuri oleh sesuatu yang jahat seperti Ujub, Riya, Kasih akan dunia, takabbur serta lain-lain daripada maksiat yang di dalam hati. Sifat-sifat Mazmumah ini adalah berasal dari nafsu syahwat dan sifat-sifat basyariah(kemanusiaan)dan Kejahilan. Dalam banyak keadaan dan masa kita manusia banyak dipengaruhi oleh sifat-sifat basyariah yang memang cenderung kepada nafsu dan syahwat walaupun dalam beribadat. Ia boleh menjelma dalam berbagai-bagai wajah yang baik berupa ibadat, taat, kebajikan pada lahirnya tetapi mengandungi tujuan yang jahat dan dusta dan kadang-kadang menjijikkan. Adat kata, tanpa rahmat dan pertolongan Allah seseorang itu tidak akan terlepas dari najis riya dan syirik. Ilmu yang ada kadang-kadang malah seringkali akan tunduk pada kemahuannya. Akal pula selalu saja tewas. Inilah kenyataan yang ada pada kita manusia. Sentiasa bergelumang dengan dosa maksiat dan penderhakaan kepada Allah.

Begitu rumit, tersangat payah dan betapa halusnya soal pembersihan(ikhlas) ini. Persoalanya adalah berkisar pada hati atau jiwa kita. Benarlah kata Imam Ghazali;

"dan tidak bisa selamat dari tenggelamnya di lautan ini kecuali dengan Penglihatan dan TaufikNya dan Inayat daripadaNya."

Ini adalah kerana Ikhlas itu adalah persoalan hati kita atau jiwa kita atau ruh kita. Bagaimana halus dan samarnya pengetahuan kita tentang ruh kita begitulah juga halus dan samar ikhlas ini. Hanya mereka yang hidup cahaya mata hatinya sahaja yang mampu melihat dan menyaksikannya. Hanya mereka yang hidup ruhnya sahaja yang akan mengenali makna sebenar hakikat ikhlas ini. Hanya mereka yang memiliki Ilmu Yang Haq(Adab Tasauf)sahaja yang dapat mengkholiskan(membersih/ikhlas)amalannya. Ini adalah tujuan mereka adalah untuk membersihkan(ikhlas) hati(diri) supaya bersih Tauhid mereka.

ERTI IKHLAS

Murni, bersih, jenis dia sahaja, tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung, sebab apabila sudah bercampur dengan benda lain, sudah tidak khalis lagi (tidak pure).

Begitulah dalam beramal, solat, zakat, baca Quran,mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar, semata-mata kerana Allah:

1. kerana suruhanNya
2. kerana keredhoaanNya
3. kerana arahanNya
4. kerana mentaatiNya
5. kerana patuh padaNya

Jadi perkara di atas adalah dari sebab atau kerananya yang satu, tujuan satu , dan didorong oleh yang satu iaitu ALLAH. Abdikan diri kerana Allah, tidak dicampur atau bercampur selain Allah - itulah ikhlas - dorongannya satu.

Apa yang nak berlaku atau nak jadi atau tidak jadi, tidak timbul sama sekali sebab niat semata-mata kerana Allah.

Sekiranya niat, dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain dari Allah seperti kerana riak, megah, glamor, pangkat, orang minta, takut orang tidak suka, mental exercise, boring tinggal di rumah, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka ia tidak khalis atau ikhlas telah ternoda.

Dengan itu boleh jatuh syirik khafi. Di akhirat nanti Allah menyuruh dia meminta pada orang yang dia niat kerananya. Allah tidak balas kebaikan itu kerana ia mempunyai "kerana-kerana" yang selain dari "kerana Allah".

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti: berdakwah, mengajar, gotong-royong, baca Al-Quran di depan orang, forum, upacara memberi hadiah - lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar. Jarang diambil kira, selalunya ramai yang terjebak.

Khususul Nafs - kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.

No comments:

Post a Comment