Followers

Thursday, March 31, 2011

SIR WA HAZAR - KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN?

Rasulullah SAW dalam sirahnya memperlihatkan dua bentuk gerakan dakwah dalam mengembangkan Islam kepada umat manusia keseluruhannya. Pertama, melalui gerakan berbentuk sir (kerahsiaan) dan kedua gerakan secara jahar (terang-terangan). Maka, gerakan Islam meletakkan selain gerakan secara jahar perlunya juga sir dalam menjaga manhaj perjuangan Islam. Permasalahannya di sini, kesilapan para penggerak Islam dalam memahami istilah sir dalam perjuangan menyebabkan sir yang sepatutnya menjadi senjata gerakan Islam bertukar menjadi kerahsiaan yang membantutkan perjuangan.

Dari sudut definisinya, sir bermaksud kerahsiaan manakala hazar pula bermaksud kewaspadaan. Malangnya, realiti hari ini memperlihatkan perkara yang disebutkan sir itu telah disalah tafsir oleh kebanyakkan penggerak Islam. Dan, itu jugalah yang berlaku dalam konteks Malaysia. Maka, berlakulah perbezaan dalam sir yang diamalkan Rasulullah saw dan yang difahami oleh umat Islam hari ini. Al-Fadhil Ustaz Azizan dalam mengulas isu ini pernah berkata "Sir yang diamalkan Rasulullah saw dalam perjuangan baginda merupakan strategi yang menguntungkan Islam sedang sir yang difahami dan diamalkan segelintir penggerak Islam pada hari ini adalah berasaskan ketakutan yang membantutkan perjuangan."

Ketika bertukar-tukar pandangan dengan seorang bekas pimpinan Mahasiswa beberapa minggu lalu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa masalah sir ini paling banyak berlaku di dalam kampus. Satu istilah yang agak familiar dalam kalangan penggerak manhaj Islam di kampus ialah "kampus lain, kawasan lain." Bahkan, beliau berkongsi pengalaman beliau terperosok ke dalam lingkungan sir yang melampau ketika di alam kampus.

Penggerak Islam di kampus pada waktu itu ditegah walaupun untuk menyebut perkataan-perkataan yang berbaur gerakan seperti perkataan bai'ah, tamrin, amir dan sebagainya. Hal ini telah menjadi satu fenomena yang tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini. Tidak sekadar itu, beliau juga ditegah dari dilihat kerap bersama atau berjalan seiring dengan ahli gerakan kampus dengan alasan untuk menjaga kerahsiaan walhal beliau merupakan Presiden gerakan mahasiswa ketika itu. 

Contoh lain yang diutarakan, sekiranya beliau mendengar ceramah tentang akidah dan perjuangan, atau mengenai jihad di jalan Islam, beliau telah diingatkan terlebih dahulu supaya fakta ceramah tersebut disimpan rapi kerana ia adalah satu kerahsiaan. Malah, sehingga ke hari ini masih ada ceramah yang mana pendengar dilarang mencatitnya atas faktor keselamatan. Yang perlu, cukuplah dengan mengingati isi-isinya sahaja.

Inilah yang dikatakan sir yang disalah tafsirkan. Sir bukan kerana strategi gerakan yang menguntungkan Islam sebaliknya sir yang wujud kerana ketakutan yang wujud. Dalam konteks gerakan kampus, ketakutan kepada pihak polis, penguasa dan pentadiran.

Dalam meneliti permasalahan ini berpandukan realiti yang diceritakan sahabat penulis tadi, penulis membuat beberapa rumusan dari sudut kesan sir yang melampau terhadap gerakan Islam.

1) Dakwah tidak dapat disebarkan secara meluas berikutan maklumat, fakta ceramah yang dirahsiakan dan ditutup serapat-rapatnya.
2) Lahir ahli yang penakut dan tidak berani. Perkara ini boleh dilihat apabila mahasiswa pulang ke kawasan masing-masing apabila mereka dilihat tidak aktif dalam jemaah walhal mereka bersama kita hanya kerana perjuangan di luar lebih bersifat terbuka.
3) Kefahaman tentang gerakan Islam tidak meluas sebaliknya gerakan Islam dilihat bersifat esklusif / untuk ahli sahaja.

Mungkin penggerak Islam perlu mula bertanya apa yang dirahsiakan sebenarnya? Maklumat atau hanya tanzim? Islam itu bukan bersifat esklusif untuk individu-individu tertentu sahaja. HAMAS yang perjuangannya berdepan dengan kematian pun berani menzahirkan gerakan mereka.

Artikel ini bukanlah untuk menyanggah peranan kerahsiaan dalam gerakan Islam. Malah, diakui banyak hadis Nabi SAW yang menyeru kepada sir dalam gerakan. Namun, perlu dilihat juga dari sudut kondisi hadis tersebut. Yang dimaksudkan bukanlah kerahsiaan yang terlalu rapat kesan dari ketakutan yang menyelubungi.

Dalam kerahsiaan dan kewaspadaan Rasulullah SAW, beliau masih mencabar Romawi secara terbuka. Mengutus surat kepada banyak kerajaan besar termasuk Hercules sehingga Baginda 'dipukul' habis-habisan. Di sini jelas Rasulullah SAW sedang menjelaskan kepada kita makna sir  dalam perjuangan.

Ketua Pemuda PAS Perak, Al-Fadhil Ustaz Zawawi dalam ucapannya ketika Konvensyen Pemuda Prihatin 2010 berpendapat gerakan Islam di Malaysia ini kekurangan 'promoter-promoter' berkesan dalam mempromosikan Islam kepada masyarakat. Dengan hakikat perjuangan semasa yang memerlukan kepada proksi perjuangan, penggerak Islam di kampus hari ini telah meninggalkan kewajiban mereka untuk mempromosikan Islam dan pergerakkan Islam kepada masyarakat atas sebab yang disebut dengan perkataan sir (kerahsiaan).

Kesimpulannya, kita perlu kembali mengkaji sejauh mana pengertian sir dalam perjuangan yang disaran oleh Rasulullah SAW. Yang jelas, kerahsiaan yang melampau sehingga kepada satu bentuk sir yang menyembunyikan intipati Islam berbentuk umum yang diperolehi melalui ceramah atau program gerakan adalah sesuatu yang tidak wujud kerelevanannya. Mungkin dari sudut program dan perkara-perkara tertentu perlu dirahsiakan namun kerahsiaan yang dibenihkan oleh biji-biji ketakutan perlu dinyahkan dari manhaj gerakan Islam khususnya di kampus.

Penulis akhiri artikel ini dengan satu konsep fiqh usul untuk difahami, "Islam, apabila ia sempit maka luaskanlah. Apabila ia luas maka sempitkanlah." Renung-renungkan...



- Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis. Komen, teguran atau pendapat lain dalam isu ini amat dialu-alukan...


No comments:

Post a Comment