Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Hukum Meminta Orang Lain Berdoa Untuk Kita

Soalan:

Apakah hukum meminta orang lain berdoa untuk kita disebabkan orang tersebut dikenali sebagai seorang yang soleh, atau dia akan bertolak untuk menunaikan haji. Benarkah bahawa Rasulullah SAW pernah memuji seorang lelaki yang bernama Uwais al-Qarni, dan memberi dorongan kepada para sahabat untuk meminta beliau mendoakan mereka. Atau bagaimanakah huraian yang sebenarnya dalam permasalahan ini? Terima kasih Ustaz.


Jawapan:

Pada asasnya, meminta seseorang yang saleh, atau seseorang yang akan menunaikan haji untuk berdoa kepada kita dengan harapan doa tersebut dimakbulkan adalah suatu yang HARUS. Namun sekiranya permohonan doa tersebut dibimbangi dapat menimbulkan perkara yang terlarang seperti menjadikan kita hanya bergantung harap kepada doa dari orang lain sahaja, atau akan menimbulkan rasa kehebatan diri dari pihak orang yang diminta doa tersebut, maka perkara seperti ini termasuk dalam perkara yang DILARANG. Jika tiada kebimbangan ini maka ia kembali kepada hukum asalnya yang harus. Namun perlu diberi perhatian bahawa bukanlah termasuk di dalam kebiasaan para sahabat RA saling berpesan bertukar-tukar doa sesama mereka. Sebahagian orang ada yang beralasan dengan sebuah hadis yang menceritakan Nabi SAW pernah berpesan kepada ‘Omar al-Khattab RA untuk mendoakan baginda ketika beliau hendak pergi menunaikan haji dengan kata baginda:

لَا تَنْسَنَا يَا أَخِيْ مِنْ صَالِحِ دَعَائِكَ

Mafhumnya: “Jangan kamu lupakan kami (wahai ‘Omar) di dalam doa-doa kamu.” (HR Abu Daud bilangan 1498 dan Al-Tirmizi bilangan 3557. Namun  hadis ini Lemah (Dhoief) tidak Sahih dari Nabi SAW)

Tidak dinafikan terdapat riwayat yang menceritakan terdapat beberapa sahabat yang meminta dari Nabi Muhammad SAW untuk mendoakan mereka seperti yang dilakukan oleh ‘Ukkasyah bin Muhsan dan seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid ketika baginda sedang berkhutbah dan meminta baginda berdoa supaya diturunkan hujan, lalu baginda memenuhi kedua-dua permintaan mereka. Kedua-dua hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Keadaan ini sama sekali tidak boleh dikiaskan kepada orang lain. Hal ini kerana tiada sesiapapun di kalangan kita yang dapat mencapai kedudukan yang setaraf dengan Nabi Muhammad SAW.

Berkaitan pesanan Nabi SAW kepada para sahabat untuk meminta dari seorang lelaki bernama Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka, hal ini dikhususkan kepada Uwais. Hal ini demikian kerana jika diperhatikan dari sudut keutamaan, sudah tentu Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthaman, ‘Ali dan para sahabat yang lainnya adalah lebih utama berbanding Uwais al-Qarni, Uwais bukanlah seorang sahabat Nabi SAW. Sekalipun demikian baginda SAW tidak pernah menyuruh para sahabat lain meminta Abu Bakr, atau ‘Umar, atau ‘Uthman mahupun ‘Ali mendoakan untuk mereka. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh oleh al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin)

Monday, March 18, 2013

Betoi ker tak boleh tulis insyaallah, sebaliknya in syaa allah?

Soalan:

Salam ust. Saya jawab msg dari seorg kawan, dlm msg tersebut saya ada tulis INSYAALLAH. Kawan saya kata tak boleh tulis mcm tu sebaliknya kena tulis IN SYAA ALLAH (ditulis secara berasingan). Kerana INSYAALLAH membawa maksud menciptakan Allah, maknanya kita mendakwa kita yang menciptakan ALlah? sedangkan IN - SYAA - ALLAH maksudnya Jika Dikehendaki Allah? Mohon penjelasan dari ust.

Jawapan:

Tiada apa-apa kesalahan menulis إِنْ شَاءَ اللهُ dalam ejaan rumi dengan INSYAALLAH. Orang yang menulis INSYAALLAH sudah  tentu memaksudkan: “Jika Diizinkan Allah”. Tak boleh memberat-beratkan umat Islam, atau membimbangkan mereka dalam perkara-perkara remeh temeh seperti ini, apatah lagi kalimah itu ditulis dalam ejaan rumi yang tidak boleh dijadikan ukuran betul ataupun salah dalam bab seumpama ini. Tidak boleh sama-sekali mengatakan sesiapa yang menulis INSYAALLAH bermakna orang itu telah menyatakan dia yang menciptakan Allah, dakwaan ini amat-amat longgar. 
Ringkasnya, mana-mana kalimah atau ayat arab yang ditulis dalam ejaan rumi dikembalikan kepada maksud yang telah sedia difahami umum. Tidak perlu mengandaikan sesuatu yang tidak dimaksudkan atau amat jauh dari tujuan.

Wallahu a’lam.

Thursday, February 28, 2013

Perlukah Kita Berdoa Kepada Allah? Bukankah DIA Telah Sedia Mengetahui Keperluan dan Hajat Setiap Hambanya?

Soalan:

Ada yang mendakwa Nabi SAW pernah bersabda:

علمه بحالي يغني عن سؤالي

Maksudnya: “Pengetahuan Allah terhadap keadaanku sudah memadai untuk aku berdoa (kepadaNya)”

Dengan hadis ini, mereka menjadikan dalil kita tidak perlu berdoa lagi, kerana Allah SWT sememangnya telah mengetahui keperluan setiap manusia. Benarkan kenyataan ini? terima kasih.

Jawapan:

Kenyataan ini adalah satu kenyataan yang Batil. Hadis yang dinyatakan adalah hadis Batil dan tiada usul-asalnya seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. Al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan surah al-Anbiya mengisyaratkan lemahnya hadis ini, beliau menyebutnya dalam bentuk riwayat yang bermasalah dari Ubai bin Ka’ab yang kononnya menceritakan ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, datang malaikat Jibril dan bertanya kepada baginda: “Wahai Ibrahim, apakah kamu ada sesuatu haja (yang hendak diminta)?” Jawab Nabi Ibrahim: “Jika kepadamu, maka aku tiada apa-apa hajat.” Lalu Jibril berkata: “Mintalah (hajat) kepada Tuhanmu.” Jawab baginda:

حسبي من سؤالي علمه بحالي

Maksudnya: “Cukuplah bagiku dari meminta kepadaNya, dengan pengetahuanNya dengan keadaanku.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, Ma’aalim al-Tanzil 5/347)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH berkata tentang hadis ini:

وأما قوله : حسبي من سؤالي علمه بحالي فكلام باطل ، خلاف ما ذكره الله عن إبراهيم الخليل وغيره من الأنبياء ، من دعائهم لله ، ومسألتهم إياه ، وهو خلاف ما أمر الله به عباده من سؤالهم له صلاح الدنيا والآخرة

Maksudnya: “Adapun perkataan: “Cukuplah bagiku dari meminta kepadaNya, dengan pengetahuanNya dengan keadaanku.” Adalah perkataan yang batil, menyalahi sebutan Allah tentang Ibrahim al-Khalil dan para Nabi yang lain yang sentiasa berdoa dan memohon permintaan kepada Allah SWT. ia juga bertentangan dengan apa yang diarahkan oleh Allah kepada para hambaNya untuk berdoa kepadaNya agar dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.” (Majmu’ al-Fatawa 8/539)

Al-Syeikh al-Albani pula berkata tentang hadis ini:

لا أصل له ، أورده بعضهم من قول إبراهيم عليه الصلاة والسلام وهو من الإسرائيليات ، ولا أصل له في المرفوع 

Maksudnya: “Hadis ini tiada asal-usulnya, sebahagian ulama menyenarainya sebagai sebahagian dari perkataan Nabi Ibrahim AS, namun ia bersumberkan al-Israiliyyaat (sumber Yahudi), tiada asal-usulnya untuk dianggap datang dari Nabi SAW.” (Silsilah al-Ahadis al-Doiefah 1/29)

Wallahu a’lam.

Sunday, September 9, 2012

Jauhi Dari Memakan Daging Manusia


Tahukah anda... ada dua perkara yang boleh menjadi sebab kita susah di dalam kubur, diazab dan disiksa oleh Allah SWT...  jika kita berjaya bebas dari dua sebab ini, kita telah terlepas dari dua sebab popular seseorang dikenakan azab di dalam kubur... apakah dua perkara itu???

Pertama dinamakan sebagai al-Ghibah

Ramai di kalangan kita, saban hari melakukan ghibah, tetapi dia tidak menyedarinya... seseorang menyebut tentang seseorang lain, dalam perkara yang tidak disukai oleh orang itu dan diluar pengetahuannya. Jika dikatakan kepadanya: “Jangan suka mengata orang...” secara spontan dia akan menjawab: “Aku sebut benda betui apa...”  Dia tidak sedar, atau mungkin juga dia tiadk tahu bahawa sebenarnya dia telah melakukan ghibah kepada saudaranya.

Ketahuilah... yang dikatakan Ghibah itu... bukanlah bermakna anda mereka-reka cerita tentang seseorang. Sebaliknya ghibah ialah apabila anda menceritakan keaiban seseorang di belakangnya, dan perkara itu benar-benar ada pada orang tersebut.
Jika perkara yang anda ceritakan itu tidak ada pada orang yang menjadi tajuk cerita, perkara itu dinamakan sebagai Buhtan iaitulah cerita palsu atau dusta yang lebih dahsyat dan lebih besar dosanya berbandingi Ghibah. Kita sekarang tidak berbicara tentang Buhtan, sebaliknya bicara kita tentang Ghibah. Nabi SAW bersabda:

أتدرون ما الغيبة

Mafhumnya: “Apakah kamu semua tahu, apu itu Ghibah?”   Para Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui!” Baginda menjawab al-Ghibah adalah:

ذكرك أخاك بما يكره

Mafhumnya: “Cerita kamu tentang saudara kamu, apa yang tidak disukainya.”  Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang saya katakan itu sememangnya terdapat pada orang tersebut?” Baginda menjawab:

إن كان فيه ما تقول، فقد اغتبته، وإن لم يكن فيه ما تقول فقد بهته

Mafhumnya: “Jika pada saudara kamu itu sememangnya ada seperti apa yang kamu katakan, maka itulah kamu telah melakukan Ghibah kepadanya, jika perkara itu tidak ada, maka kamu telah melakukan Buhtan kepadanya.”  (HR Muslim)

Sebahagian daripada kita sanggup menghapiskan masa berjam-jam lamanya melakukan ghibah, cerita tentang orang itu dan orang ini, cerita tentang selebriti itu dan selebriti ini, cerita tentang pemimpin itu dan pemimpin ini, sehingga perut dia kenyang dengan memakan daging orang-orang tersebut... kemudia dia pulang ke rumah dengan rasa puas dan lega, merasakan dia akan selamat di dalam kubur kelak!? tidak... tidak... tidak semudah itu.

Baginda Nabi SAW pernah satu ketika melalui sebuah kubur yang penghuninya sedang di azab oleh Allah SWT, baginda bersabda:

إن هذا كان يأكل لحوم الناس

Mafhumnya: “Sesungguhnya penghuni kubur ini, dahulunya dia sering memakan daging orang ramai.” (HR al-Tabarani dengan Sanad yang Hasan)

Cuba fikirkan... apa faedah yang anda perolehi dengan menceritakan tentang orang itu dan orang ini, di belakang mereka dan di luar pengetahuan mereka? Bagaimana pula jika orang lain menceritakan tentang anda perkara yang anda tidak suka di belakang anda? Apa anda rasa? atau apakah anda merasakan anda seorang yang begitu sempurna?

Renungkan hadis ini sebelum anda berbicara tentang orang lain. Anas berkata, sabda Nabi SAW:
لما عرج بي مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم


Mafhumnya: “Ketikakama saya dimikrajkan, saya telah melalui satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu saya bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka ini wahai Jibril?” Jawab Jibril:


هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون في أعراضهم


Mafhumnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging orang lain, mereka (dahulunya) suka duduk dan menjatuhkan maruah orang lain.” (HR Abu Daud)

Justeru, fikirkanlah apakah faedah yang anda dapat dengan melakukan ghibah?


Tahukah anda, jika anda melakukan ghibah terhadap seseorang, ini bermakna anda telah memberi orang itu pahala yang ada pada anda, anda menghadiahkan kepadanya pahala anda sehingga jadilah anda seorang yang miskin pahala. Jika habis kesemua pahala anda, orang itu pula akan menghantar dosanya kepada anda. Kerana itu ketika seorang lelaki mengadu kepada al-Fudhail bin ‘Iyadh, ada orang melakukan ghibah terhadapnya. Kata al-Fudhail:


قد جلب لك خيرا جلبا


Maksudnya “Sesungguhnya orang itu telah membawa kepadamu, pahala yang banyak.” Seolah-olah al-Fudhail mengucapkan tahniah kepada orang yang dighibah itu. ‘Abdul Rahman al-Mahdi pula berkata:


لَوْلَا أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ يُعْصَى اللهُ لَتَمَنَّيْتُ أَنْ لَا يَبْقَى فِي هَذَا الْمِصْرِ أَحَدٌ إِلَّا وَقَعَ وَاغْتَابَنِي، وَأَيُّ شَيْءٍ أَهْنَأُ مِنْ حَسَنَةٍ يَجِدُهَا الرَّجُلُ فِي صَحِيفَتِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَمْ يَعْمَلْهَا وَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana aku tidak sukakan berlakunya maksiat, sudah pasti aku akan bercita-cita tidak ada seorangpun di Bandar ini melainkan dia melakukan Ghibah tentangku, apakah lagi yang lebih menggembirakan seseorang, jika dia mendapati tercatit pahala di dalam buku catitan amalannya pada hari kiamat, suatu yang tidak dilakukan dan diketahuinya?”  (Lihat Syu’ab al-ImanSiyar A’lam al-Nubalak, dan al-Taubikh wa al-Tanbih)

Aduhhh... alangkah hairan dan pelik, orang-orang yang sanggup duduk berjam-jam lamanya, sambil mengagih pahala mereka kepada orang lain. Pahala yang mereka himpun dan perolehinya dengan susah payah, diberi begitu sahaja kepada orang lain... sejak bermula bicara ghibahnya, dia agihkan kepada orang itu dan orang ini kesemua pahalanya, pahala solatnya, puasanya, sedekahnya, zikirnya dan semuanya. Dia amat pemurah mengagihkan pahalanya kepada orang lain. Al-Hasan al-Basri berkata:


Maksudnya: “Sekiranya aku melakukan ghibah tentang seseorang, lebih patut aku ghibah tentang bapaku dan emakku.”  Kerana kedua orang tua lebih berhak mendapat pahala yang telah kita lakukan bukan orang lain.

Demikian itulah Ghibah... berikutnya apakah pula perkara kedua yang menjadi sebab popular seseorang diazab di dalam kubur? Ia lebih bahaya dari al-Ghibah.

Perkara kedua itu dinamakan pula sebagai al-Namimah. Apakah al-Namimah?

Al-Namimah ialah memindahkan cerita dari seorang kepada seorang yang lain. Sebagai contoh, anda memberitahu kepada seseorang: “Orang itu bercerita tentang engkau demikian dan demikian.”  Atau: “Orang itu, mengata tentang engkau, demikian dan demikian.”  Atau kita memberitahu kepada seseorang:“Orang itu tak sukakan engkau.” bertujuan mewujudkan rasa marah dan permusuhan sesama mereka.

Oleh yang demikian perbezaan antara al-Ghibah dan al-Namimah ialah al-Ghibah anda menyebut tentang seseorang sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Manakala al-Namimah anda memindahkan percakapan seseorang tentang seseorang lain kepadanya.

Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu baginda bersabda:

إنهما ليعذبان وما يعذبان في كبير أما هذا فكان لا يستنزه من البول وأما هذا فكان يمشي بالنميمة  

Mafhumnya: “sesungguhnya kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab, tidaklah mereka diazab kerana perkara besar untuk dilakukan, iaitulah salah seorangnya tidak bersuci dari buang air kecil dan seorang lagi sering membawa al-Namimah.” (HR al-Bukhari)

Diringkaskan bicara... sesuatu Ghibah mahupun Namimah jika melibatkan seseorang, maka ia berlegar diantara tiga watak di bawah ini:

Sama ada dia merupakan orang yang melakukan ghibah, atau... mangsa yang kena ghibah, atau... orang yang mendengar ghibah orang lain.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk golongan yang pertama. Jika kita termasuk dalam golongan kedua yang menjadi mangsa ghibah, maka ketahuilah kita adalah orang yang paling beruntung, kerana kita akan memperolehi pahala orang lain tanpa perlu berusah-payah. Manakala jika kita termasuk golongan ketika, maka ketahuilah di hadapan kita ada tugas besar yang perlu dilaksanakan. Jika kita berjaya, maka ia merupakan benteng antara kita dan api neraka di akhirat kelak.

Yang penting kita semestinya berusaha membela saudara kita dari terkena ghibah. Apa salahnya jika kita katakan kepada orang yang hendak melakukan ghibah:“Maaf, orang yang hendak anda bercerita tentangnya itu, tidak ada sekarang, saya tidak mahu bercerita tentang seseorang yang lain.”  alangkah indah... Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ رَدَّ اللَّهُ عَنْ وَجْهِهِ النَّارَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Mafhumnya: “Sesiapa yang menolak sesuatu yang boleh mencemarkan maruah saudaranya, Allah akan menolak wajahnya dari neraka pada hari kiamat.”   (HR al-Tirmizi dan katanya: Hasan)

Selain itu jangan mempercayai Namimah yang sampai kepada anda, ini kerana Namimah termasuk di dalam dosa besar, pelakunya dikira telah melakukan dosa besar yang menggugurkan kelayakannya sebagai seorang saksi. Di samping itu peliharalah juga pendengaran anda. Jangan biarkan namimah itu terus didendangkan kepada anda, nanti anda juga akan berbicara tentangnya.
Peliharalah juga lidah anda, jangan anda memindahkan namimah yang anda dengar termasuk kepada orang yang menjadi mangsa namimah, jauhi anda dari berkata kepada seseorang:“Orang itu bercerita tentang kamu demikian dan demikian.” Jika demikian keadaan anda, maka anda salah seorang dari pelaku Namimah.

Seorang lelaki datang bertemu dengan seorang ulama dan berkata: “Wahai tuan, orang itu berkata tentang tuan demikian dan demikian.” Jawab ulama tersebut:“Apakah kamu mahu mewujudkan permusuhan antara saya dan saudara saya? Demi Allah saya akan menjadikan syaitan marah” lalu ulama itu berdoa: “Ya Allah ampunilah daku dan saudaraku.”

Yang penting jangan kita terbabit dalam membawa Namimah. Kerana orang yang membawa cerita Namimah, hakikatnya dia adalah salah seorang daripada mereka. Jika sesuatu namimah diibaratkan seperti sebilah anak panah, ketika ia dimulakan, anak panah itu tidak kena pada sasarannya, kerana mangsa tidak mengetahuinya. Sebaliknya jika kita menyampaikan namimah tersebut kepada mangsa, maka seolah-olah kita mengambil anak panah yang tersasar tadi lalu kita tusukkannya ke dada saudara kita. Kata Yahya bin Abi Kathir:

يفسد النمام في الساعة، ما لا يفسده الساحر في الشهر

Maksudnya: “Kerosakan yang dibawah oleh pelaku Namimah dalam masa satu jam, adalah suatu yang tidak dapat dilakukan oleh seorang ahli sihir dalam masa sebulan.”

Barangkali ada yang berkata: Bagaimana kalau kami pernah melakukan ghibah dan namimah? Apa yang perlu kami lakukan? Perlukan kami berjumpa dan memberitahu orang yang kami ghibah atau namimah itu untuk meminda maaf darinya?

Pandangan yang lebih benar di kalangan ulama ialah anda tidak perlu melakukan sedemikian. Tidak perlu anda menceritakannya... ini kerana ghibah dan namimah itu diharamkan bertujuan mengelak permusuhan di kalangan umat Islam. Maka jangan anda menceritakan ghibah dan namimah anda kepadanya yang boleh menimbulkan permusuhan itu. Jika begitu, apa yang perlu kami lakukan,?

Jangan bimbang, jalan keluar dari kesalahan ini masih ada, disebut oleh para ulama. Iaitulah hendaklah anda berdoa untuk orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah anda dengan kadar yang seimbang dengan kadar ghibah dan namimah anda tentangnya. Agar dari doa anda kepadanya dapat mengimbangi pahala yang diberikan kepadanya di akhirat kelak. Selain itu, jika anda berdoa untuknya tanpa pengetahuannya, akan ada malaikat yang akan mengaminkan doa anda tersebut dengan berkata:

آمين، ولك بمثل

Mafhumnya: “Amin, dan untuk anda juga seperti permohonan yang anda pinta untuknya.” (HR Muslim)

Selain itu berusahalah juga menyebut kebaikan orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah kita. Sebutkan kebaikan sebenar orang tersebut kepada orang-orang yang mendengar ghibah dan namimah dari anda, agar mereka dapat memperbetulkan buruk sangka mereka kepada mangsa tersebut.

Kata Qatadah:

ذُكِرَ لَنَا أَنَّ عَذَابَ الْقَبْرِ ثَلاثَةُ أَثْلاثٍ : ثُلُثٌ مِنَ الْغِيبَةِ ، وَثُلُثٌ مِنَ الْبَوْلِ ، وَثُلُثٌ مِنَ النَّمِيمَةِ

Maksudnya: “Dinyatakan kepada kami bahawa azab kubur itu satu pertiganya dari al-Ghibah, satu pertiga dari air kencing (yang tidak disucikan) dan satu pertiga lagi dari al-Namimah.” (Lihat Zamm al-Ghibah wa al-Namimah oleh Ibn Abi al-Dunya)

Ini bermakna, bebas dari Ghibah dan Namimah bermakna kita telah bebas dari 2/3 sebab seseorang diazab di dalam kubur. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesalahan ini.

Wallahu a’lam.


Monday, August 27, 2012

Setiap Hari Kita Pasti Akan Diuji

Karya Asal: al-Syeikh Masyari al-Kharraz
Olahan semula oleh: Bin Sahak

Tuhan kita, Allah SWT pasti akan menguji kesemua hambaNya setiap hari. Di kalangan hamba-hambaNya itu ada yang berjaya, ada pula yang gagal. Allah SWT sedia mengetahui keadaan hambaNya siapa yang akan berjaya dan siapa pula yang akan gagal, maka Dia sentiasa membolak-bolikkan hati mereka berdasarkan kehendakNya, Dialah Tuhan yang Maha Membolak-bolikkan hati hambaNya. Tahukah anda semua bahawa Nabi SAW apabila hendak bersumpah, kadang-kalanya baginda akan bersumpah dengan menyebut: “Demi Tuhan yang membolak-balikkan hati.” Kata para ulama: Hati itu lebih cepat berbolak-balik berbanding air yang mendidih di dalam cerek.”

Oleh yang demikian bagaimana kita berinteraksi dengan Allah, ketikamana Dia menguji kita?

Bukankah kita biasa melihat orang yang hidupnya berada bersama hidayah, dia menunaikan solat dan berpegang dengan agama… tetapi secara tiba-tiba keadaan dia berubah, sehingga dia terjebak melalakukan dosa-dosa besar. Pasti semua kita pernah melihat keadaan sedemikian, atau barangkali kita sendiri melaluinya di dalam sejarah hidup kita. Ketahuilah! Perkara seperti ini bukanlah suatu yang patut dihairankan, ia bukan juga suatu yang pelik dan ganjil. Bahkan keadaan ini adalah suatu yang tabi’e, ia merupakan keadaan kebanyakan insan. Kata al-Hasan al-Basri: “Jangan anda berasa hairan dengan orang-orang yang binasa, bagaimana dia boleh binasa, sebaliknya rasa hairan itu terhadap orang yang berjaya, bagaimana mereka boleh berjaya?” Justeru jika ada seseorang insan yang tetap berada di atas hidayah, menunaikan solat, berbakti kepada kedua orang tunya, menghubungkan Silaturrahim, tidak memakan harta-harta yang haram dan seumpamanya, maka inilah keadaan yang patut dihairankan… sebaliknya jika ada seseorang insan yang menyeleweng dari hidayah, maka keadaan itu adalah biasa. Allah SWT berfirman:  

“Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman sekalipun kamu sangat menginginkannya.” (Yusuf: 103)

Perhatikan… Sekalipun Nabi SAW sangat mengharapkan manusia beriman, tetapi tetap juga ramai di kalangan mereka yang tidak beriman. Oleh yang demikian… pada setiap hari ada sahaja orang-orang yang disesatkan oleh Allah kerana mereka memilih kesesatan dan ada pula orang-orang yang diberi hidayah olehNya kerana mereka memilih hidayah, keadaan ini berterus setiap hari.

Persoalannya… dari golongan manakah kita? Allah SWT berfirman:

“Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu (termasuk di dalamnya kalimah Tauhid) dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Ibrahim: 27)

Sebahagian dari kita ada yang berkata: “Jika demikian persoalan hidayah dan kesesatan, dimana ianya bukan kuasa kita, maka kita serahkan sahaja kepada Allah, seterusnya kita tunggu sahaja apa yang berlaku, kerana ia bukan di bawah kuasa kita”

TIDAK, bukan demikian….

Hal ini kerana Allah SWT tidak pernah sama sekali menyeru manusia kepada kesesatan, kerana sesiapa sahaja yang sentiasa menuju kepadaNya, maka sentiasalah juga Allah SWT akan menuju kepada hamba tersebut, Allah akan terus memberi hidayah dan kurniaan kepadanya, dan Allah sama sekali tidak akan membiarkannya begitu sahaja. Melainkan orang itu sendiri yang meninggalkan ketaatannya kepada Allah SWT. Maka jika seseorang insan meninggalkan ketaatannya kepada Allah, Allah juga akan meninggalkannya sama sepertimana dia meninggalkan Allah. Allah SWT berfirman: “Maka ketikamana mereka berpaling dari (dari ketaatan), Allah memalingkan hati-hati mereka. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (al-Saf: 5)

FirmanNya lagi: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (al-Ra’d :11)

          Oleh itu, seseorang yang baik akan sentiasa bimbang jika Allah SWT meninggalkannya. Kerana itu di dalam surah Ali Imran ketika menyebut tentang orang-orang yang beriman, Allah SWT berfirman:

“(Mereka berdoa) Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Maha Pemberi Kurnia.” (Ali Imran: 8)

Ketikamana Allah SWT melihat para hambaNya bimbang ditinggalkanNya, maka Dia akan menerima dan menetapkan mereka di atas kebenaran sehingga mereka bertemu denganNya dalam keadaan melafazkan kalimah Tauhid:

لَا إِلَهَ إلَّا الله، مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pula adalah utusan Allah.”

          Persoalan berikutnya… bagaimana kita hendak pastikan kita tetap berada di atas hidayah, bagaimana? Jawapannya:

Jika kita inginkan Allah SWT menetapkan kita berada di atas hidayah, maka kita perlu memastikan, ada satu perkara yang tidak boleh berada di dalam hati kita dan memastikan satu perkara lagi yang perlu berada di dalam hati kita. Tidak banyak hanya dua perkara.

Perkara yang tidak boleh ada di dalam hati kita iaitulah perasaan aman dan tenteram, merasakan dirinya pasti akan sentiasa taat kepada Allah dan sudah tentu tidak akan bermaksiat. Jika demikian yang berada di dalam hati kita, maka ketahuilah, kita berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana ketaatan yang mampu kita buat merupakan anugerah dari Allah SWT, kalaulah bukan Allah yang memberi hidayah dan menetapkan kita di atas ketaatan, sudah tentu kita tidak akan mampu memperoleh hidayah dan melakukan ketaatan. Firman Allah SWT: “Jika bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu sekelian, pasti tidak ada seorangpun dari kalangan kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar) selama-lamanya.” (al-Nur: 21)

Demi Allah, jika Allah SWT membiarkan kita dengan diri kita sendiri, pasti kita akan tersesat, kerana itu termasuk di dalam doa yang dibaca oleh Nabi SAW ialah:

“Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan, perbaikilah semua keadaanku, dan jangan Engkau membiarkan daku kepada diriku sendiri sekalipun sekadar sekelip mata.”

          Manakala perkara yang perlu ada di dalam hati kita pula iaitulah rasa berlidung dan bergantung diri kepada Allah agar Dia terus menetapkan kita di atas hidayah di samping kita terus melakukan ketaatan. Hati kita perlu sentiasa berlindung dan bergantung kepada Allah, menyedari yang Dia sahaja yang mampu memberi kejayaan kepada kita, dalam masa yang sama kita tidak berhenti dari melakukan ketaatan dan beribadah kepadaNya.

          Ketahuilah… berlindung dan bergantung diri kepada selain dari Allah adalah suatu yang sia-sia. Ketika berlaku banjir besar di zaman Nabi Nuh, baginda berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, naiklah (kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.” Anak baginda menjawab “aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air banjir besar.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat melindungi pada hari ini dari azab Allah selain dari Allah yang Maha Penyayang. Lalu ombak menjadi penghalang diantara mereka berdua, maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan” (Hud: 43)

Diceritakan terdapat sebahagian ulama yang pernah bertanya kepada murid mereka: “Apakah yang kamu akan lakukan jika kamu diganggu oleh Syaitan?” Jawab si murid: “Saya akan bermujahadah melawannya.” Kata guru tadi: “Jika Syaitan itu datang lagi?” Jawab anak murid lagi: “Saya akan bermujahadah melawannya lagi.” Kata guru tadi: “Wahai anak, jika demikian kamu akan mengambil banyak masa untuk bermujahadah melawannya. Bagaimana jika kamu sedang membawa sekumpulan kambing, kemudian datang seekor anjing mengganggu pergerakan kambingmu, apa yang kamu lakukan? Jawab murid tadi: “Saya akan menghalau anjing tersebut.” Jawab si guru: “Itu juga akan mengambil banyak masa, kerana barangkali anjing itu akan datang lagi. Sebaliknya memadailah dengan kamu meminta pertolongan dari pemilik anjing itu agar dia mengikat anjingnya, maka kamu akan selamat dari ganguannya. Demikian juga jika kamu diganggu oleh Syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah dan bergantunglah kepadaNya.”

Demikianlah kita… jika syaitan datang mengganggu dan mengajak melakukan kejahatan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu digoda oleh syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A’raf: 200)

Allah SWT jika memerhatikan kita benar-benar berlindung kepadanya dan benar-benar mahukan hidayah darinya dan benar-benar mahu ditetatpkan di atas hidayah, pasti Dia akan memberi kejayaan kepada kita dan menerima kita agar terus tetap di atas hidayahNya. Adapun orang-orang yang berasa dirinya segala-galanya, dia tidak berlindung kepada Allah, dia tidak akan ditetapkan di atas hidayah. Lihatlah apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf, ketikamana isteri pembesar Mesir menggoda baginda, baginda berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Tuhanku telah memperlakukan kepadaku dengan baik. Sesungguhnya DIa tidak akan memberi kejayaan kepada orang-orang yang zalim” (Yusuf: 23)

Oleh yang demikian, ketikamana kita berasa bimbang akan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan, maka berlindunglah kepada Allah dan bergantung kepadaNya. Katakana kepadaNya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya daku tidak akan terlepas dari keburukan ini, melainkan jika Engkau yang melepaskan daku. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agamaMu.” 

Jangan merasakan diri kita dari kalangan orang-orang yang hampir dengan Allah, lalu menjadikan kita berasa aman dari diuji oleh Allah SWT. Sebaliknya katakanlah: “Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya daku termasuk dari kalangan orang-orang yang zalim.” 

Katakan juga kepada Allah: “Wahai Tuhan, jika Engkau tidak mengampunkan daku dan merahmati daku, sudah pasti daku akan termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi.” 
Mudah-mudahan kita termasuk dari kalangan hamba-hamba Allah yang ikhlas kepadaNya.

Monday, July 30, 2012

Ketahuilah! Bahawa Ketiadaan Rezeki Itu Adalah Satu Rezeki

KETIADAAN REZEKI ITU ADALAH SATU REZEKI

Karya Asal: al-Syeikh Masyari al-Kharraz
Terjemahan dan sedikit olahan semula: binsahak



Bagaimana anda berinteraksi dengan Allah… ketikamana rezeki anda tertangguh?

Barangkali terlintas difikiran anda, hari ini saya akan berbicara tentang beberapa perkara yang boleh menambahkan rezeki seperti memperbanyakkan istighfar, meninggalkan dosa dan seumpamanya.. tidak.. tidak.. tidak... saya tidak akan berbicara tentang itu, anda semua telah mengetahuinya.

Sebaliknya hari ini, saya ingin mengubah kefahaman biasa anda tentang rezeki, kepada kefahaman lain yang baharu. Jika anda membaca posting ini sehingga ke akhirnya, insyaAllah ia akan mengubah kefahaman anda tentang rezeki, saya tidak berlebih-lebihan dalam perkari ini, insyaAllah.

Cuma di awal ini anda perlu ketahui bahawa ketiadaan rezeki itu adalah satu rezeki... bagaimana?

Ketikamana anda tidak dikurniakan rezeki berbentuk makanan, minuman, pekerjaan dan perniagaan, akan datang pula rezeki lain iaitulah rezeki balasan baik dan pahala dari Allah swt. Bukankah kita semua akan diberi pahala apabila bersabar dengan setiap musibah yang menimpa??? Oleh yang demikian, apabila ada rezeki di dunia yang kita tidak memperolehinya, ia akan membuka pintu rezeki yang lain iaitulah rezeki akhirat yang sudah tentu, ianya lebih utama. Allah Taala berfirman:

وللآخرة خير لك من الأولى

"Dan sesungguhnya akhirat itu adalah lebih baik untukmu berbanding dunia” (al-Dhuha:4)

MAKA JADILAH KETIADAAN REZEKI ITU ADALAH REZEKI.

Seseorang yang bijak, adalah orang yang tahu membezakan apakah rezeki yang biasa dan apa pula rezeki yang hakiki. Ramai di kalangan kita, jika ditanya apakah rezeki yang telah Allah kurniakan kepadanya. Kebiasaannya jawapan pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah rezeki makan, minum, anak-pinak, kerjaya, barangkali juga rumah atau seumpamanya.... Tidak.... rezeki bukan terhenti sekadar yang itu sahaja. Bahkan terdapat rezeki yang lebih afdhal, iaitulah rezeki yang kekal, kerana rezeki yang kekal lebih utama dari rezeki yang tidak kekal. Sesungguhnya rezeki berbentuk balasan baik dan pahala itu adalah rezeki yang kekal. Adapun rezeki harta benda adalah rezeki yang sementara. Oleh itu solat yang kita tunaikan dikira sebagai rezeki, zikir-zikir yang kita baca pada pagi dan petang, selepas solat fardhu... semuanya adalah rezeki.

Ketikamana anda sedang tidur, kemudian anda bangun pada 1/3 akhir malam, anda bersendirian, tidak diperhatikan sesiapa, anda bangun, anda tunaikan solat dua rakaat.... Perkara itu adalah rezeki. Sehinggakan ketikamana anda bangun awal pagi untuk menunaikan solat subuh, anda tidak mengabaikannya, ia juga adalah rezeki, kerana berapa ramai orang yang langsung tidak bangun pagi untuk menunaikan solat subuh. Demikian juga ketika anda berhadapan dengan ujian, lalu Allah kurniakan kekuatan bersabar menghadapinya, sehinggalah ujian itu selesai. Itu juga adalah satu rezeki. Sama halnya, ketikamana anda berada di rumah bersama orang tua anda, lalu bapa anda meminta dibawakan secawan air kepadanya, maka ia juga merupakan rezeki. Ini kerana, jika anda tiada di rumah ketika itu, sudah tentu perkara itu akan dilakukan oleh adik-beradik anda yang lain. Maka... ketikamana anda berpeluang berbuat baik kepada orang tua, ia adalah rezeki.

Bukankah juga, kadang-kala ketika menunaikan solat, anda merasakan fikiran anda melayang-layang... tiba-tiba anda tersedar, lalu bersegera memberikan tumpuan kepada solat. Rasa tersedar ini adalah daripada Allah dan ia merupakan satu rezeki.

Inilah dia rezeki hakiki, iaitulah rezeki yang kekal sehingga hari kiamat, yang akan tercatit di dalam buku catitan amalan anda di akhirat kelak, kita semua berharap agar buku catitan itu akan diserahkan kepada tangan kanan kita. Inilah rezeki hakiki, ia bukanlah sebuah kereta, bukan juga sebuah rumah, bukan juga sejumlah bayaran gaji yang lumayan.

INI KERANA REZEKI BERBENTUK HARTA, AKAN DIKURNIAKAN KEPADA SEMUA MAKHLUK ALLAH SAMADA DIA SEORANG YANG SALIH MAHUPUN SEORANG YANG JAHAT. ADAPUN REZEKI BERBENTUK BALASAN KEBAIKAN DAN PAHALA, IA TIDAK AKAN DIKURNIAKAN OLEH ALLAH MELAINKAN UNTUK ORANG-ORANG YANG DIKASIHINYA SAHAJA. Oleh itu sebelum kita bersedih dilewatkan kurniaan rezeki, kita wajib terlebih dahulu mengetahui, apakah rezeki yang wajar ditangisi kelewatannya, dan apakah pula rezeki yang kelewatannya itu dikira sebagai suatu rezeki yang lain pula. 

wallahu a'lam.