Sungguh manis si anak dara
Bertata rias pekerti mulia
Rasa hiba menyambut raya
Pertama kali tanpa bonda
Indah sungguh tahajjud cinta
Disembah khusus buat pencipta
Hiba kami bertanda pusara
Hiba 'mereka' tiada tanda
Maut datang tiap waktu
Siap siaga belum tentu
Dari-Mu Allah ku pohon selalu
Agar diri istiqamah dekat-Mu
Senang susah ujian dari-Nya
Buat penentu redhakah kita
Andai rasa tiada upaya
Lihatlah siapa di bawah kita.
Basmalah memulai, hamdalah mengakhiri
Tanda mensyukuri anugerah Ilahi
Ramadan pergi, Syawal mengganti
Mudahan fitrah setia mengiringi.
Salam Idufitri
Maaf Zahir Batin
TAQABBALALLAH MINNA WA MINKUM SOLIHAL A'MAL.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Isnin, 28 Julai 2014
Jumaat, 25 Julai 2014
Ucapan Selamat Hari Raya, salahkah?
Tiada satu pun ucapan
yang khusus daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Yang ada
hanya ucapan sesama sahabat nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Ini
bukanlah isu ibadah atau akidah. Ini ialah isu muamalah/keduniaan dan
adat manusia. Maka apa-apa perkara muamalah dan adat yang tidak
bercanggah syara' adalah dibenarkan dan diraikan.
Sudah menjadi adat kebiasaan kita saling mengucap tahniah pada hari raya, selepas mendapat kejayaan, pada hari perkahwinan dan sebagainya. Jom baca fatwa di bawah:
Jubair bin Nafir berkata:
كان أصحابُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ إذا التقوْا يومَ العيدِ يقولُ بعضُهم لبعضٍ : تقبل اللهُ منَّا ومنكَ
Sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, apabila mereka bertemu pada hari raya, mereka akan mengucapkan kepada satu sama lain: Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian. [Fathul Bari, Bab Makan Sebelum Solat Raya, Imam Ibn Hajar berkata isnadnya hasan]
Di bawah merupakan beberapa jawapan Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin tentang saling mengucapkan tahniah pada hari raya:
“التهنئة بالعيد جائزة ، وليس لها تهنئة مخصوصة ، بل ما اعتاده الناس فهو جائز ما لم يكن إثماً” اهـ .
Mengucapkan tahniah pada hari raya adalah dibenarkan. Tiada ucapan tahniah yang khusus. Apa sahaja yang biasa orang ramai ucapkan maka ia dibolehkan selagi mana ia bukan sesuatu dosa.
Kata beliau lagi:
“هذه الأشياء لا بأس بها ؛ لأن الناس لا يتخذونها على سبيل التعبد والتقرب إلى الله عز وجل ، وإنما يتخذونها على سبيل العادة ، والإكرام والاحترام ، ومادامت عادة لم يرد الشرع بالنهي عنها فإن الأصل فيها الإباحة” اهـ .
Ini merupakan perkara yang tiada apa-apa masalah. Ini kerana manusia tidak menjadikan ia sebagai jalan beribadah kepada Allah atau mendekatkan diri kepada Allah. Mereka melakukannya sebagai adat kebiasaan, memuliakan dan menghormati orang lain. Selagi mana adat itu tidak terdapat larangan daripada syara’, maka hukum asalnya ialah harus.
SUMBER: http://alkahfi.com.my/adab-adab-berhari-raya/
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Ahad, 13 Julai 2014
TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN
TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN
Oleh:
Dr. Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari
Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya.
Pendahuluan:
Nuzul Al-Qur’an merupakan satu
peristiwa penting berhubung sejarah Al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia mendapat
tempat khusus dalam karya-karya Ulum Al-Qur’an (Ilmu-ilmu berkaitan
Al-Qur’an). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap
penurunan Al-Quran.
Al-Syaikh
Muhammad Abd Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah
asas keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi
SAW.[1] Lihat juga di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1150
Nuzul
al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap utama:
Pertama:
Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua:
Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara
beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Berhubung
isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan (Nuzul)?
adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau pada tahap kedua?
Jika kita mengumpulkan pendapat para
ulama’ Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.
Pendapat Pertama:
Pendapat
yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul
Al-Qur’an. Pendapat ini dipegangi
sebahagian ulama’ sirah. Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada
pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh
al-Umam al-Islamiyyah.[2]
Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu
Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah
s.a.w bermula pada hari Isnin, 17
Ramadhan (dan dikatakan pada 24 Ramadhan).
Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:
روى الواقدي بسنده عن أبي
جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين
لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه[3]
Maksudnya: Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya
daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada
Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24
Ramadhan.
Ada
suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan
17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah
Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” (Bermulanya
Penurunan Al-Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada
membuat catatan berikut:
قال ابن إسحاق: فابتدئ
رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ( شهر رمضان الذي
أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان )
وقال الله تعالى ( إنا
أنزلنه في ليلة القدر... )...وقال تعالى ( إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا
على عبدنا يوم الفرقان يوم
التقى الجمعان ). وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه
وسلم والمشركون ببدر.
قال ابن إسحاق: وحدثني أبو
جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه
وسلم التقى هو والمشركون
ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.[4]
Maksudnya:
Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan
Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman (maksudnya): Bulan Ramadhan yang
diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan
keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza (antara yang haq
dan yang batil). Dan Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami
menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman ( maksudnya
): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan
kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah
(yang dimaksudkan) pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan
musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain
menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (memerangi) golongan
musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan…
Jika
diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen
‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an (pada ayat 185, Surah Al-Baqarah)
dengan ‘yaum al-furqan’ (hari al-Furqan, pada ayat 41, Surah al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan
Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah
tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami
bahawa Nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.
Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an
berlaku pada 7 Ramadhan.
Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an
berlaku pada 18 Ramadhan.
Pendapat
kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri
dalam kitab sirahnya.
Pendapat Keempat:
Syaikh
Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’
lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan
yang dikemukakan seperti berikut:
1-
Semua ulama’ sirah
atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW
dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith Abu Qatadah r.a dalam Sahih
Muslim dan lain-lain.
2-
Hari Isnin pada tahun
Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21
Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith yang sahih ada menyebut bahawa malam
al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir
Ramadhan.
3-
Setelah dibuat
perbandingan antara firman Allah:
(إنا
أنزلنه في ليلة القدر)
dan
riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi SAW
dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah
sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW,
jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[5]
Pendapat Kelima:
Pendapat
seterusnya, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan
hadith berikut:
قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو
العوام عن قتادة عن أبي المليح عن واثلة بن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
أنزلت صحف إبراهيم
عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من
رمضان، والإنجيل
لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت
من رمضان.[6]
Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu
Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam
memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin
Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada
malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil
diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an) pada 24
Ramadhan.
Hadith di atas dihukumkan hasan
oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith
ini sebagai sahih.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di
atas bertepatan dengan firman Allah SWT (Surah al-Baqarah: Ayat 185):
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ
فِيهِ الْقُرْآَنُ
Dan firmanNya (Surah al-Qadr: Ayat 1):
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Kata beliau, berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada
tahun kebangkitan Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an
diturunkan secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24
Ramadhan) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي
خَلَقَ [7]
Al-Tabari
juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair
daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz
pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[8]
Al-Qurtubi
pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith
tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan al-Basri yang
menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[9]
Al-Hafiz
Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat
185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada
meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah
dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.[10]
Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith
Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in
berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[11]
Turut
menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau
mengambil hadith ini bagi menjelaskan Nuzul
Al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[12]
Kesimpulan
yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas
berhubung tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:
1-
Pendapat yang menyebut
Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut
ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi (m. 207 H), nama penuh beliau:
Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami
seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima
riwayatnya[13].
Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan
pendapat yang masyhur lagi sahih.[14]
2-
Pendapat Syaikh
Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul Al-Qur’an jatuh pada
tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan
penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang
dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr. Malam
al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada
malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.
3-
Pendapat yang
menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat. Ini
berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
I-
Pendapat ini
bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam
bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama
Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith
Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya
Nuzul Al-Qur’an.
II-
Matan hadith dengan
jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.
III-
Maksud atau mafhum
hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para
mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai
tarikh tepat bagi Nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam
al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.
Penutup:
Kepelbagaian
pandangan para ulama’ dalam membincangkan tarikh Nuzul Al-Quran membuktikan
keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Al-Qur’an Al-Karim.
Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi. Ruang untuk perbincangan
masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat
dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh
meruntuhkan ummah.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
RAMADAN TANPA EMAK
Alhamdulillah, Ramadan berjalan dengan begitu baik. Cuaca pula tidak terlalu panas.
Alhamdulilah, selesai 8 rakaat bertarawih saya susuli dengan zikir " Lailaha illallah...wahdahu laa shariikalah...lahulmulku walahulhamdu yuhyii wa yumiit, wahuwa a'la kulli shay'in qadir. "
Alangkah sayunya tika zikir tersebut dialunkan, selepas sekali lafaz air mata tanpa segan mengalir pilu.Sendu... Teringat almarhumah emak. Tika emak terlantar, zikir inilah saya alunkan sentiasa, sambil diikuti oleh suara sayu emak yang sesekali menahan sakit.
Ada kalanya emak mahu rebah, namun saya cepat memujuk, memberi galakan demi galakan agar emak terus khayal dengan zikir mengingati ALLAH.
Saya ingatkan emak, sakit itu ujian ALLAH untuk emak yang menjadi pilihan DIA. Usaha, tawakkal, dan doa tetap kami, ayah, adik beradik akan terus iringi selagi nyawa dikandung badan.Itu tanggungjawab kami, amanah yang ALLAH titipkan buat kami.
Ramadan kali ini, walau panas tidak keterlaluan, namun hati dan keinginan seakan tidak cukup. Suasana terasa sangat berkurangan. Kali pertama Ramadan tanpa emak...Emak yang tidak jemu melakukan apa saja demi sebuah keharmonian dan kecukupan keluarga.
Ramadan, istimewanya tiada bandingan.
Ramadan barakahnya sangat ideal.
Ramadan...dengan barakahmu itu...ampunkan kami ya ALLAH, ampunkanlah emak di sana, tenanglah emak di sana...
Ya ALLAH berkatilah perjalanan hidup kami sekeluarga dengan diiringi barakah seorang bapa. Berikanlah peluang kami untuk berbakti untuk bapa di dunia.
Ya ALLAH di saat Ramadan masih setia ditelusuri, Engkau lorongkanlah jalan untuk kami menjejak jalan anak soleh/solehah. Mudahan amal kami sampai buat emak di sana. Aamiin.
#Rindu emak sangat-sangat.
#Semoga jumpa emak di syurga.
Alhamdulilah, selesai 8 rakaat bertarawih saya susuli dengan zikir " Lailaha illallah...wahdahu laa shariikalah...lahulmulku walahulhamdu yuhyii wa yumiit, wahuwa a'la kulli shay'in qadir. "
Alangkah sayunya tika zikir tersebut dialunkan, selepas sekali lafaz air mata tanpa segan mengalir pilu.Sendu... Teringat almarhumah emak. Tika emak terlantar, zikir inilah saya alunkan sentiasa, sambil diikuti oleh suara sayu emak yang sesekali menahan sakit.
Ada kalanya emak mahu rebah, namun saya cepat memujuk, memberi galakan demi galakan agar emak terus khayal dengan zikir mengingati ALLAH.
Saya ingatkan emak, sakit itu ujian ALLAH untuk emak yang menjadi pilihan DIA. Usaha, tawakkal, dan doa tetap kami, ayah, adik beradik akan terus iringi selagi nyawa dikandung badan.Itu tanggungjawab kami, amanah yang ALLAH titipkan buat kami.
Ramadan kali ini, walau panas tidak keterlaluan, namun hati dan keinginan seakan tidak cukup. Suasana terasa sangat berkurangan. Kali pertama Ramadan tanpa emak...Emak yang tidak jemu melakukan apa saja demi sebuah keharmonian dan kecukupan keluarga.
Ramadan, istimewanya tiada bandingan.
Ramadan barakahnya sangat ideal.
Ramadan...dengan barakahmu itu...ampunkan kami ya ALLAH, ampunkanlah emak di sana, tenanglah emak di sana...
Ya ALLAH berkatilah perjalanan hidup kami sekeluarga dengan diiringi barakah seorang bapa. Berikanlah peluang kami untuk berbakti untuk bapa di dunia.
Ya ALLAH di saat Ramadan masih setia ditelusuri, Engkau lorongkanlah jalan untuk kami menjejak jalan anak soleh/solehah. Mudahan amal kami sampai buat emak di sana. Aamiin.
#Rindu emak sangat-sangat.
#Semoga jumpa emak di syurga.
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"
Langgan:
Catatan (Atom)