Pasukan Gen-13 MATRI Belasah Gen-11 Dengan Jaringan 3-1 di KOPA Arena, USM

By Syed Ahmad Fathi - Monday, August 22, 2022


KOPA Arena, USM / 20 Ogos 2022
– Skuad Harimau G-13 MATRI meneruskan kempen 2022 dengan penuh bergaya apabila berjaya menewaskan dengan mudah Pasukan Alumni MATRI Generasi Ke-11 (G-11) dengan jaringan 3-1 di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, ditambah dengan trafik sesak menghala masuk ke pulau melalui jambatan, tidak menghalang kedua-dua pasukan untuk berkumpul untuk menyegarkan kembali ukhuwwah dan berentap di atas padang.

Perlawanan ini merupakan lanjutan perlawanan di Eco Ardence Setia Alam Football Arena di mana Pasukan Gen-13 MATRI seri dua sama menentang adik-adik Gen-16. Pasukan G-11 kali ini kelihatan begitu bergaya dan bersemangat dengan memakai jersi bewarna hijau kuning dengan design yang begitu trendy. Selain itu moral mereka juga tinggi hingga sanggup mencetak kain rentang semata-mata untuk bermain bola. Level konfiden mereka dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan. Antaranya adalah kenyataan yang ditulis oleh Hafiz Zainol Abidin yang sering memanggil diri sendiri sebagai Bampis. Beliau menulis di laman sesawang:

"Balik Penang ada misi penting menewaskan Batch G-13. Tengok depa dok rancak sangat main bola, set satu friendly tengok lagu mana power tak power depa ni. Doakan Bampis hatrik walaupun posisi main LB ja." tulis beliau penuh berkeyakinan. Namun ternyata over-konfiden beliau ini memakan diri, bukan sahaja beliau tidak hatrik malah pasukannya tewas. Hal ini persis kata-kata pujangga Melayu klasik "sudah jatuh ditimpa Syauqi".

Permainan bermula rancak sejurus sahaja pengadil meniupkan wisel sepak mula. Serangan bertali arus Gen-13 kelihatan seperti angin tsunami yang menghempas pantai jernih di Teluk Senangin. Bahagian serangan diketuai oleh Abdul Hanan Halim yang berkelajuan seperti kereta BMW. Hanan dibantu oleh Hamdi Abu Hasan yang cergas mengejar bola hasil istiqamah makan buah rambutan di Kokdiang. Usaha mereka ini akhirnya membuahkan hasil apabila pertahanan lawan memegang bola di dalam kotak penalti pada separuh masa yang pertama. Pada mulanya sepakan ini mahu diberikan kepada Ahmad Bashier, namun kemudian Kapten Syafiy datang dengan pantas dari belakang untuk pulun nak ambil penalti menyebabkan Bashier mengalah. Syafiy mudah melakukan plesing menewaskan keeper lawan, Ikhwan Rosli dan meletakkan pasukan G-13 di hadapan. 

Barisan Pemain Gen-13 MATRI di KOPA Arena USM.

Namun kegembiraan pasukan G-13 tidak bertahan lama, ibarat remaja bercinta tetapi hujan di tengah hari. Lastman Gen-13, Najmi bin Abdul Rahim yang sebelum ini memonteng perlawanan di Setia Alam telah berasa bersalah, beliau berazam untuk menebus kesilapannya pada sahabat-sahabat dengan bermain terlebih cergas. Hasilnya beliau telah melakukan sliding tackle untuk memintas penyerang lawan di dalam kotak penalti. Tackle beliau ini bukan sahaja memberikan penalti kepada pihak lawan, namun Najmi tercedera apabila penyerang lawan jatuh menghimpit tangannya menyebabkan tangannya dislocate. Mujur Saudara Nazim dari pasukan G-11 membawa petugas fisio dari Piala Presiden Kedah. Petugas fisio pantas mengepak semula tangan Najmi kepada bentuk asal sambil Najmi menjerit kesakitan. Jeritan Najmi berjaya membuatkan semua yang berada di atas padang berasa seram sejuk. Sementara itu dua doktor G-13, Dr. Ihsan Zakaria dan Dr. Afiq Fawwaz telah bermesyuarat ala-ala staf KKM perihal apa yang patut dilakukan. Akhirnya Dr. Fawwaz memakaikan anduh di tangan Najmi walaupun sebenarnya tangannya sudah tidak sakit lagi.

Ketika dihubungi wartawan BKK untuk menyiasat peristiwa ini, Najmi telah berkata: "Bila saya dok teringat tangan saya dislocate, rasa serik dah nak main bola padang, alhamdulillah semalam ada fisio dan doktor di tempat kejadian" kata beliau sambil menangis insaf. Beliau ditenangkan dan dipeluk oleh kawan baiknya sejak dari Dorm huffaz hingga ke UiTM, Afifi Zakaria. 

Baik, selesai laporan drama tangan sakit, kita kembali ke padang. Sepakan penalti G-11 berjaya ditepis cemerlang oleh keeper G-13, Afifi Zakaria. Namun bola muntah ini gagal diselamatkan oleh pertahanan G-13, Muhammad Radhi bin Abdul Rahman yang hanya jogging 4KM di Strava. Hasilnya penyerang lawan, Ahmad Al-Wafi cargas laksana lipas kudung merembat bola untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Gol Pertama Gen-13 MATRI.

Ibarat tersedar dari mimpi basah, pasukan G-13 kembali mengatur permainan. Muhammad Syafwan melakukan banyak pintasan-pintasan keras, gaya permainan beliau kelihatan berubah setelah berkahwin. Sementara itu, Umair Suhaimi pula hadir lambat. Ketika ditanya kenapa lepas kawin sampai lambat? Beliau dan isterinya hanya tersenyum. Umair tampil dengan kasut Lotto baharu bewarna hitam, beliau menafikan kasut tersebut adalah hadiah hantaran perkahwinan. Ahmad Bashier pula seperti biasa berlari-lari tanpa hasil. Sementara itu, Dr. Ihsan Zakaria telah mendapat hantaran cantik persis Xabi Alonso dari Syed Ahmad Fathi di bahagian kanan, namun Ihsan gagal meniru skil Son Heung-min untuk menjaringkan gol. Dr. Afiq Fawaz pula kelihatan cemerlang bermain di bahagian pertahanan tengah, beliau kelihatan fit setelah banyak berjogging bersama ayahnya di Terong, Perak. 

Pemain yang baru pulih dari kecederaan lutut, Amin Roseli juga mempamerkan persembahan yang membanggakan. Beliau dilihat berjaya menggelecek beberapa orang pemain lawan dan mendapat peluang untuk melakukan tendangan. Namun tendangan beliau terkena palang. Azarudin Rahim juga mendapat banyak peluang, namun permainan fancy beliau kali ini banyak tidak menjadi. Antara gerakan yang mejadi perhatian adalah pemain pertahanan kiri, Ahmad bin Abdul Hadi. Beliau kelihatan rajin mengejar bola dan lupa bahawa berat badannya sudah mencecah 90 kilogram. Ahmad dilihat beberapa kali cuba mengejar penyerang lawan, Khuzaifah, namun tidak berjaya. Apabila beliau tidak berjaya beliau akan menjerit dengan harapan pihak lawan terkejut dan melepaskan bola. Strategi ini walau bagaimanapun tidak berjaya. 

Syauqi muka riak dan hidung kembang selepas menjaringkan gol.

Sementara itu pemain G-13 lain seperti Saiful Islam Izraei, Hanif Ismail, dan Musthoffa Syawwal juga menyumbangkan larian-larian pintasan bagi membantu pasukan, sementara itu Syahmi Roslee telah menyumbangkan beberapa lawak jenaka bagi menambah keceriaan. Separuh masa kedua dan ketiga menyaksikan Afifi Zakaria naik menjadi striker, tugas menjaga gawang digalas oleh Izzat Mat Suki dari Bertam. Selepas Afifi naik atas, gawang gol Gen-13 tidak lagi bolos. Izzat Ariz-Belagak berjaya meneruskan rekod cleansheet beliau. Sebelum pengadil meniupkan wisel penamat, penyerang dari Shell Sungai Nibong, Ahmad Syauqi Murshid (Chot) berjaya menjaringkan 2 gol. Walaupun gol beliau biasa-biasa sahaja, ia telah membantu memberi kemenangan kepada G-13. Chot yang sebelum ini merupakan kaki bangku berjaya membuktikan kakinya kini boleh menjaringkan gol, bak kata orang tua-tua "jangan dicabar orang yang makan nasi kandar"

Tersedak dengan jaringan ini, pasukan G-11 semakin lama semakin terdesak untuk menjaringkan gol. Penyerang mereka Khuzaifah, Nazim, Fansuri dan Haji Yunus bertempiaran lari cuba untuk menjaringkan gol. Pada separuh masa terakhir, mereka telah bermain dengan licik dengan memasukkan 14 orang pemain. Pasukan G-13 yang sedar akan hal ini dilihat tenang sahaja bermain walaupun pengadil tidak perasan. Begitulah akhlak baik yang ditunjukkan oleh pasukan G-13 hasil tarbiah dari Ustaz Dahlan, Ustaz Omar, dan Ustaz Hadi Othman. Meskipun pihak lawan main "kecoh" mereka tetap mempamerkan aksi yang profesional dan penuh sportmanship. Jaringan 3-1 kekal hingga ke wisel penamat.


Semoga perlawanan ini dapat mengeratkan ukhuwwah dan otot-otot semua pemain dalam kalangan G-13 dan G-11. Menang kalah adat permainan, tapi kalau menang lebih seronok sebenarnya. Apa-apa pun semoga ia diganjari pahala dan diterima sebagai ibadah oleh Allah. Terima kasih juga diucapkan kepada wartawan Hilmi Azhari (Aloy) yang telah membuat liputan langsung bagi penyokong G-13 di rumah seperti ALBO. Liputan ini boleh ditonton di laman Facebook Rasmi G-13 FC. Untuk rekod, perlawanan G-13 seterusnya dijadualkan berlangsung pada 24 September 2022 di Padang MPK, Simpang Ampat, Perlis. Jumpa di sana!

"BIAR MENANG JADI KENANGAN" - BKK.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments